Wasiat Cinta 24

Fendi tidak keruan. Pulang dari KLCC tadi, terus sahaja dia memerap dalam bilik. Fikirannya melayang, terbayang kemesraan Tihani dan seorang lelaki tinggi lampai. Dari jauh kelihatan lelaki itu mempunyai gaya yang tersendiri. Muka pun boleh tahan kacak. Tetapi apakah hubungan lelaki itu dengan Tihani? Teman lelaki barukah? Fendi mula gelisah. Api cemburu sudah meresap keseluruh jiwanya. Siapa lelaki tu? Siapa yang dah berjaya menawan hati insan yang disayanginya itu? Dia memandang telefon bimbitnya. Mencongak samada mahu menelefon Tihani atau pun tidak. Dia nekad. Dia mahu penjelasan.

“Assalamualaikum, Hani.”

“Walaikumsalam along, apa hal?”

“Takkan ada hal aja, baru along boleh call Hani?”

“Bukan macam tu, sorry.”

Tihani berasa serba salah.

“Hani free tak malam ni?”

“Free rasanya. Kenapa along?”

“Along nak ajak Hani keluar dinner.”

Tihani berkira-kira mahu terima pelawaan Fendi atau tidak. Tubuhnya agak letih hari ini. Seharian keluar menghabiskan masa cuti membuatnya ingin berehat saja.

“Hani letihlah, lagipun esok nak kerja.”

Fendi diam.

“Letih buat apa?”

“Berjalan sakan.”

Tihani tersengih. Teringat sketsa antara dia, Nadia dan Iskandar.

“Kalau macam tu, along ke rumah Hani sajalah.”

“Sorry ya along, tak susahkan along ke?”

“Ala, bukan jauh pun Subang dengan Shah Alam, kan?”

“Kalau macam tu, Hani tunggu. Along dinner kat sini sajalah ya. Nanti Hani beritahu ummi.”

“Tak susahkan ummi ke? Kesian pulak.”

“Tak adalah, dia lagi suka kalau ramai yang makan masakan dia.”

“Okeylah, lepas maghrib nanti along datang.”

“Ok bye.”

“Bye, sayang.”

Tihani terkedu. Getaran halus menyelinap masuk ke hatinya. Kenapa harus begini?


************


Malam masih muda. Fendi berayun di buaian besi di halaman rumah Tihani. Mengambil angin malam. Kuat juga angin yang menyapa wajahnya. Seperti hujan akan turun tidak lama lagi. Dia mendongak ke langit. Bintang tiada, bulan pun tiada. Gelap pekat. Hanya lampu jalan saja yang menerangi suasana kawasan perumahan itu. Tihani melangkah perlahan menuju ke arah Fendi. Dalam kesamaran dia dapat melihat lelaki itu sedang memerhatikannya.

“Along nak minum tak?”

Tihani menyapa lembut sambil melabuhkan punggung di sebelah Fendi. Bahu mereka bergesel. Membuat Fendi sedikit gusar.

“Tak nak, along dah kenyang.”

“Apa yang along tengok kat atas langit tu?”

“Hmm, malam ni tak ada bintang dan bulan, macam nak hujan aja.”

Kepala mereka mendongak meninjau-ninjau jika ada sebutir bintang yang tersesat. Tapi tiada.

“Angin pun agak kuatkan?”

Rambut Tihani yang separas bahu membuai-buai lembut mengikut rentak angin. Fendi terpaku dengan kecantikan semulajadi gadis itu. Rambut Tihani memang cantik. Hitam dan lebat. Tihani dapat rasakan Fendi sedang memerhatikannya. Dia menoleh.

“Kenapa along tengok Hani macam tu?”

“Tak ada apa, Hani cantik.”

Tihani tunduk tersipu malu. Mukanya membahang. Tidak betah dipuji begitu.

“Kenapa along ajak Hani keluar tadi? Ada hal penting ke?”

Tihani beralih kepada mauduk sebenar Fendi yang mahu ketemu dengannya. Fendi membuang pandang. Menarik nafas dalam.

“Tadi along nampak Hani kat KLCC.”

Tihani tersentak. Nampak dirinya? Adakah Fendi nampak dia bersama Iskandar tadi?

“Haah, memang Hani pergi KLCC tadi. Berjalan sakan.”

Tihani tergelak halus. Matanya beralih kepada Fendi. Wajah lelaki itu sungguh serius. Seperti menahan marah.

“Siapa lelaki itu?”

Tihani sudah dapat menebak, Fendi pasti akan bertanya soalan itu.

“Kawan.”

“Kawan ke boyfriend? Bukan main mesra lagi.”

Dia merenung tepat ke mata Tihani. Gadis itu kecut. Memang Fendi sedang marah, atau cemburu?

“Kawan aja.”

Tihani bersuara perlahan. Takut. Tidak pernah Fendi bersikap begini. Fendi yang dia kenal sejak sebelas tahun dulu tidak pernah marah kepadanya. Tidak pernah serius begini. Fendi terus merenung tajam Tihani.

“Along, jangan tengok Hani macam tu, salah ke Hani keluar dengan kawan?”

“Bukan salah, tapi Hani tahukan perasaan along pada Hani?”

Fendi menggenggam jemari Tihani.

“Along, jangan macam ni. Along kata tak nak paksa Hani?”

Tihani cuba meleraikan genggaman tangan Fendi namun semakin dia berusaha semakin kemas genggaman tangan lelaki itu.

“Along tahu, tapi along tak boleh menahan diri dari rasa cemburu, sayang. Along tak mahu kehilangan Hani sekali lagi. Along tak sanggup. Masa Hani bersama angah dulu pun dah cukup buat along terseksa. Along beralah demi adik along sendiri. Tapi tidak kali ni Hani, I love you so much.”

“Along, inikan tak adil buat along, Hani tak nak buat along begini. Maafkan Hani.”

Dadanya mula sebak. Bibir mata mula memberat.

“Apa maksud Hani? Along tak faham.”

Fendi membetulkan duduknya menghadap Tihani. Gadis itu tunduk. Wajahnya bertukar mendung. Dia mula rasa bersalah.

“Selama ni, Hani hidup dengan bayangan Faizal, along. Hani selalu membayangkan dia ada bersama Hani. Dengan cara tu, barulah Hani dapat teruskan hidup. Baru Hani dapat besarkan Mikhail. Dan kalau Hani rindu dia, Hani akan tengok along. Inikan tak adil buat along. Kalau Hani terima cinta along macam mana? Hani akan menganggap along adalah Faizal.”

Airmatanya sudah meluncur laju di pipi. Sedih dan pilu. Dia tidak sanggup mengecewakan harapan Fendi namun dia tidak boleh menerima lelaki itu. Fendi mengeluh berat.

“Hani, relakanlah angah pergi. Selagi Hani buat macam ni, selagi itulah Hani akan terseksa. Selagi itulah Hani akan terus menutup pintu hatimu, sayang.”

Fendi mengesat airmata yang membanjiri pipi Tihani. Cuba untuk memujuk gadis itu.

“Hani tak boleh. Hani dah cuba, tapi tetap jugak tak boleh.”

“Boleh, Hani boleh buat. Beri peluang pada diri sendiri. Peluang untuk bercinta semula, untuk menerima cinta baru.”

Kata-kata Fendi itu mengingatkannya kepada bicara Saiful tempoh hari. Bosnya itu juga menagih cintanya. Meminta peluang darinya. Peluang untuk mencintai dan dicintai.

“Bagi peluang pada along boleh? Along akan cuba mengisi kekosongan hati Hani tu. Along akan cuba yang terbaik untuk bahagiakan Hani. Along akan jaga Hani dan Mikhail, itu janji along. Hani tak kesian pada Mikhail ke?”

Siapalah yang tidak kasihan kepada anak yatim seperti Mikhail. Langsung tidak mengerti apa-apa. Langsung tidak merasai kasih seorang ayah.

“I will protect both of you. Just give me a chance, Hani. Let me prove my love to you.”

Tihani diam. Fikirannya buntu.

“Tapi, ini tak adil buat along. Hani rasa bersalah pada Faizal. Hani rasa Hani mengkhianati dia, Hani curang pada cintanya.”

“Hani, listen to me. Hani tak curang okey, Hani tak mengkhianati dia. Hani tetap boleh menyayanginya sampai bila-bila. Hani cuma perlu mulakan saja. Mulakan hidup baru dengan cinta baru. Along percaya dia faham dan along rasa pun dia tak nak Hani terus hidup begini. Hidup dalam bayang-bayangnya. Masa akan merubah segalanya sayang, percayalah cakap along.”

“Along macam mana? Kan tak adil kalau Hani terus menganggap along adalah dia?”

“Along dan angah walaupun kembar seiras tapi perangai kami lain. Hani pun tahu itu bukan? Angah happy go lucky dan along ni jenis yang cool. Betul bukan?”

Tihani memandang Fendi. Perlahan kepalanya diangguk. Memang benar sifat Fendi dan Faizal bagai langit dan bumi. Cuma ada satu saja persamaan. Kedua-duanya pandai menyimpan rahsia. Kemas sekali.

“Kita berusaha bersama ya? Along akan bantu Hani. Cuma beri along satu saja peluang. Peluang pertama dan terakhir, ya sayang?”

Fendi merenung tepat ke mata Tihani. Mengharap persetujuan dari gadis itu.

“Tengoklah dulu macam mana, I need more time.”

Fendi mengeluh kecewa. Wajahnya berubah. Harapan yang menggunung tinggi runtuh lagi.

“Tak apalah kalau macam tu, hari pun dah lewat ni, along balik dululah.”

“Along tak marah Hani?”

Fendi tersenyum. Dia tidak marah. Cuma ada sedikit rajuk di hatinya. Rajuk kerana cintanya ditolak sekali lagi.

“Tak sanggup along nak marah, sayang.”

Tihani bagai sudah lali mendengar perkataan sayang yang acap kali keluar dari bibir bekas abang iparnya itu.

“Kirim salam kat ummi ya.”

Perlahan kereta Fendi meninggalkan Tihani yang termangu sendirian. Marahkah Fendi? Merajukkah lelaki itu? Dia binggung.

Di dalam kereta Fendi mengeluh berat. Sengaja muzik dipasang kuat agar dia tidak mengantuk. Angah, along dah cuba tapi tak boleh. Susah betul nak tawan hati isteri kau, bro. Kau memang beruntung bro, kau dapat cintanya. Dia tak mahu lepaskan kau dari hatinya bro. Dia masih ingatkan kau. Nampaknya along terpaksa mungkir janji bro. Airmata Fendi menitis tatkala memori bersama Faizal tersingkap satu-persatu. Hatinya luluh.

6 Suara Merdu Anda:

IVORYGINGER said...

alahai... tihani ni. sian fendi. give him chance lo. dah la dia pegang wasiat faizal. huhuhu...

hani said...

sian fendi...nak hani gan fendi juga...biarlah cinta berputik slepas kawin..kan..kan..kan..!!!

MaY_LiN said...

harap fendi xputus asa

adzmarfazami said...

ala cian fendi... kesian juga dengan tihani... harap2 fendi tak putus asa..

Anonymous said...

ala. x nak la fendi dgn tihani.
bgi la saiful dgn tihani plez.

aqilah said...

sampai 3 org sekali nakkan Tihani!!!!! Wow!!!! bestnya kalau akak berada kat tempat Hani......heheheee berangan lah pulak!!!

Post a Comment