Rajuk Sang Hati 30

Hari ini semua kelas selepas waktu rehat dibatalkan. Semuanya gara-gara pertandingan debat antara Sekolah Menengah Anggerik Biru dan Sekolah Menengah Putera Shah. Dewan utama cantik berhias. Penonton yang terdiri dari kedua-dua sekolah pun sudah memenuhi ruang dewan itu. Azura dengan selamba menarik tangan Maisarah duduk di barisan kedua dari depan. Bukan main lagi semangatnya. Betul-betul minat debat ke minat orang yang berdebat? Aku hanya berdiri di suatu sudut hujung dewan. Agak tersorok di balik tiang batu yang berukir. Bukan apa, senang aku nak pergi dari situ jika acara ini membosankan aku. Itulah juga alasan yang ku beri kepada dua orang sahabat baikku itu. Aneh, kali ini mereka tidak memaksa aku. Mungkin takut tempat duduk bahagian hadapan diambil orang. Aku tersenyum.

“Belum apa-apa lagi dah senyum?”

Aku tersentak. Irfan? Lelaki itu tersenyum manis. Pelik? Irfan adalah manusia yang paling susah untuk senyum terutama dengan perempuan. Tapi hari ni, banyak kali aku lihat dia senyum. Tiba-tiba pulak jadi mesra alam ni kenapa?

“Hisham kirim salam.”

“Walaikumsalam.”

“Awak janganlah nyorok balik tiang, baik awak munculkan diri, kang dia tak bersemangat pulak.”

Aku tergelak. Pandai buat lawak rupanya Irfan ni.

“Tu dia dah naik pentas tu.”

Aku lihat dari jauh, Hisham seperti tercari-cari sesuatu. Cari siapa? Cari aku ke?

“Kita lambai kat dia.”

Aku angguk. Serentak dengan itu Irfan mengangkat tangan dan aku hanya membuat isyarat bagus. Walaupun agak jauh, aku nampak Hisham tersenyum. Beberapa pelajar menoleh ke belakang. Cepat-cepat aku menyorok di balik tiang semula. Perlakuan aku itu membuat Irfan tergelak. Aku terpanar. Handsomenya dia! Pertama kali aku tengok dia gelak. Dia melangkah hampir kepadaku. Aku dapat rasakan rentak jantungku mula sumbang iramanya.

“Awak tahu tak?”

Dia berwajah serius semula. Aku hanya mengangkat kening.

“Hisham tu sukakan awak.”

Tapi aku sukakan kau, Irfan! Hati kecilku menjerit. Kami bertentang mata. Degup jantungku mula tidak normal. Irfan tersenyum halus.

“Hari-hari dia tanya pasal awak. Saya ni, dah jadi macam posmen tak bertauliah pula pada dia.”

Aku diam.

“Semua benda dia nak tahu.”

“Jadi awaklah tukang report kat dia ya?”

Irfan mengangguk.

“Termasuk kes curi tu?”

Irfan sedikit tersentak. Dia merenungku lembut.

“Saya minta maaf.”

Aku diam. Bila teringat semula kata-kata dan pandangan sinis Irfan dulu aku jadi berjauh hati. Aku tersinggung. Bila mengenangkan dia dingin padaku kerana kejadian itu, aku sengsara. Aku terluka.

“Sebenarnya saya memang nak minta maaf pasal tu. Hisham suruh saya siasat perkara tu dan ternyata awak memang tak bersalah.”

Aku terkejut. Kenapa aku tak tahu pun?

“Jam tu memang satu perangkap buat awak.”

“Awak tahu siapa yang buat?”

Irfan tersenyum nipis.

“Si empunya jam tulah. Dia memang sengaja nak kenakan awak.”

“Sebabnya?”

Irfan diam. Dia menarik nafas panjang.

“Sebab... saya.”

Mataku membulat. Biar betul?

“Meaning?”

“Meaning is… dia jealous.”

“Ya Allah.”

Aku bersuara perlahan. Betul-betul tak sangka Atikah sanggup buat begitu padaku. Apa salah aku pada dia? Kenapa dia nak cemburu? Cemburukan Irfan? Eh, dia tahu ke aku sukakan Irfan? Alamak!

“Qairunissa?”

“Saya diperangkap… maruah saya tercalar.”

Aku tunduk dan bersuara perlahan. Seolah-olah aku hanya bercakap dengan diri sendiri.

“Maafkan saya kerana bersikap kasar dengan awak dulu.”

“Untuk apa? Sebab saya bersubahat dengan awak? Qairunissa, saya akui saya mengenali awak melalui rekod peribadi awak yang sentiasa penuh dalam buku pengawas. Tapi saya tak sangka pula profession sambilan awak adalah mencuri.”

Tak semena-mena kata-kata Irfan sedikit waktu dahulu muncul. Kerana kata-kata itulah yang membuat aku terluka teramat sangat. Membuat aku menyendiri di belakang stor barang sukan sehingga tamat sesi persekolahan. Aku mengangkat muka membalas renungannya.

“Sejak bila awak tahu?”

“Err.. kalau tak silap, tiga minggu selepas kejadian tu.”

Mataku membulat lagi.

“Dah lamalah? Kenapa tak beritahu saya?”

“Err, saya ingat awak dah tahu.”

“Tahu dari siapa?”

“Hasnul Amin.”

Ha? Hasnul Amin pun tahu? Dan mereka hanya berdiam diri? Mereka tidak cuba untuk membersihkan namaku? Apa makna semua ni? Aku bingung. Suasana di dalam dewan hangat dengan sorakan dan tepukan dari penonton. Aku tidak peduli lagi. Aku juga rasa hangat. Hangat dengan Atikah. Hangat dengan Hasnul Amin dan hangat dengan Irfan. Aku rasa aku tidak betah lagi untuk terus kaku berdiri. Aku harus pergi dari situ. Aku rasa sesak nafas. Aku perlukan udara segar. Aku perlukan oksigen!

“Excuse me.”

“Qairunissa..”

Aku melangkah laju. Mataku mula memberat. Aku tahu hujan airmata pasti membasahi pipiku sebentar lagi.

Kerana Sebuah Janji 10

Juliana buat muka simpati. Wajah kekasih hatinya dipandang lembut. Mengharap lelaki itu memaafkan kesalahannya kali ini.

“Kali ni ke mana pula?”

Serius suara Dani membuat Juliana teragak-agak untuk menjawab.

“Dubai.”

Dani mengeluh. Kena tinggal lagi.

“Berapa lama?”

“Seminggu.”

Perlahan jari telunjuk runcingnya diangkat. Dani merenung tajam.

“I told you, resign aja, you degil!”

“And I told you too, it’s never happen!”

Bunga-bunga pertengkaran mula berputik. Juliana geram setiap kali permintaan yang satu itu diulang-ulang Dani.

“Kerja macam you ni, tak menentu tau tak. Esok ni kalau kita kahwin macam mana?”

“Macam mana apa?”

“Yelah, rumahtangga macam mana? Anak macam mana? I pulak macam mana? Sanggup you biarkan I? Tinggalkan I?”

“Hey, I’m working.”

“I boleh tanggung you. Memang tugas I pun nantikan? Senang-senang you duduk rumah sajalah.”

“Excuse me? I what? Duduk rumah? Jadi full time house wife? Is that what you mean?”

“Yup.”

“Kalau macam tu I tak nak kahwin dengan you!”

Dani tersentak. Wajah cemberut Juliana dicari.

“You tak nak? Why?”

“Dani, please. I tak nak resign okey. I love my job.”

“Do you love me?”

“Of course I do, dear.”

“So, marry me.”

Juliana diam. Termasuk yang ini, sudah empat kali Dani melamarnya. Dan empat kali juga dia menolaknya. Alasannya, belum bersedia dan tak sanggup berhenti kerja.

“Ju, I’m waiting.”

“Sorry, I have to say no.”

Dani diam. Nampaknya Juliana masih berkeras, masih berdegil. Impian indahnya semakin kabur. Harapan yang setinggi gunung lebur. Juliana memilih kerjaya dari dirinya.

“The same reason?”

Juliana hanya mampu mengangguk. Dia tahu Dani kecewa dengan keputusannya. Dia tahu dia sedikit kejam.

“I hope you understand me.”

Dani hanya diam. Haruskah dia saja yang memahami gadis itu? Demi cinta, demi sayang Dani masih mampu untuk bersabar.

“I harap you tak menyesal dengan keputusan you ni.”

Juliana tergelak besar. Menyesal? Mengapa mesti dia menyesal? Kerjaya baginya adalah nombor satu. Dia masih belum mampu untuk memikul tangungjawabnya sebagai seorang isteri. Bukan saja isteri Dani, malah isteri sesiapa pun.

“Dani, sudahlah. I penatlah dengan you ni. Asyik-asyik benda yang sama saja. You kata you rindu I? Tapi bila jumpa macam marah aja. Kenapa sayang?”

“Because of you.”

“I? I buat apa?”

“I ajak kahwin you tak nak. Dah empat kali you tolak. Malulah I.”

Juliana tergelak lagi. Kata-kata Dani itu berbaur rajuk.

“Apa yang you nak malukan? I bukan tolak cinta you, I just tak nak kahwin lagi. Itu aja.”

“You cakap memanglah senang. I ni ada maruah tau. Kalau mama I tahu, dah lama dia suruh tinggalkan you. I aja yang tak nak.”

“Hmm.. kenapa you tak nak ya?”

“Because I love you Juliana. I nak kahwin dengan you, nak hidup dengan you, nak ada anak dengan you, nak lalui susah senang, suka duka, hari tua semua dengan you. Tapi nampaknya I sorang saja yang rasa macam tu, you tak.”

Kata-kata Dani itu sedikit sebanyak meruntun hati perempuannya. Dani memasang impian yang indah untuk hidup bersamanya, tapi dia masih belum bersedia.

“I’m sorry dear.”

“Hmm, tak apalah. What can I do?”

“You marah?”

“You think?”

Juliana diam. Suara Dani bergetar. Dia tidak tahu sama ada lelaki itu menahan marah atau menahan rasa kecewa.

“Dani, I need more time ok? I ..”

Kata-kata Juliana terhenti bila bunyi nada sms masuk ke telefon bimbitnya. Dani hanya memandang.

“Dani dear, I’m sorry. I have to go.”

“Nak ke mana?”

“Packing. I kena ganti Christina this evening. She got fever. So sorry.”

“Bukan your flight tonight ke?”

“Dani, you sengaja tak nak faham I kan? I just said that I kena cover duty my friend and I’ve to go now. So, no more question ok?

“And why don’t you understand me too? I need you.”

“I’m not your wife yet Dani Ikmal! So, jangan jadi budak-budak okey?”

“I budak-budak? Kalau I budak-budak, you apa?”

“Ok enough! I tak nak fight dengan you. I nak cepat. I’m sorry, bye.”

Laju langkah Juliana meninggalkan Dani yang terkebil-kebil tidak berpuas hati. Kenapa mesti begini? Kenapa semakin lama dia merasakan hubungannya dengan Juliana semakin tiada keserasian? Semakin tiada kesefahaman? Dani menarik nafas dalam. Dia hanya mampu memandang gadis kesayangannya itu berlalu.

Rajuk Sang Hati 29

Sudah dua minggu atuk pergi. Aku sudah boleh menerima hakikat kehilangannya. Kini aku kembali bersemangat semula. Aku lihat Azura tersengih-sengih. Mesti ada sesuatu ni.

“Kenapa Zura tu Mai? Tersengih-sengih macam kerang busuk. Angau ke?”

“Lebih kuranglah.”

“Maksud kau?”

“Lupa ke? Hari ni kan ada pertandingan debat.”

“Oh, ya ke? Dengan sekolah SMPS kan?”

“Haah. Tu pasallah dia tersengih-sengih tu.”

“Oh, ni mesti budak yang dia minat tu ada datang ek? Sapa ke nama dia… ha, Hisham.”

“Ala, bukan Hisham aja yang datang, separuh budak-budak SMPS datang bagi sokongan.”

“Oh, patutlah aku tengok budak-budak perempuan sekolah ni tergedik-gedik. Termasuklah minah tu, tersengih-sengih.”

“Itu sengih bahagialah, kau ni pun.”

“Ha? Sengih bahagia?”

Aku tergelak. Tiba-tiba Maisarah mengosok-gosok lenganku.

“Aku lega Qai yang lama dah kembali.”

Aku senyum.

“Teruk sangat ke aku murung dalam masa dua minggu ni?”

“Teruklah juga. Muncung aja.”

Aku tersengih.

“Sengih pulak dia.”

“Ini sengih bahagialah.”

Kami sama-sama tergelak dengan lawak bodoh aku itu.


*************


Aku masih berbaris untuk membeli makanan. Maisarah sudah ke depan. Kalau pasal mencelah dan potong barisan, bagilah kat dia. Aku berpaling mencari kelibat Azura. Mana dia?

“Assalamualaikum.”

“Walaikum… salam”

Aku kaget saat aku menoleh, Irfan dan Hisham berdiri di sisiku. Seulas bibir Hisham mengukir senyuman mekar. Irfan, seperti biasa diam tanpa ekspresi.

“Hai, Qairunissa. Apa khabar? Dah okey?”

“Alhamdulillah.”

“Err, nak makan ke? Jomlah saya belanja.”

“Tak apalah, terima kasih.”

“Jangan begitu, saya ikhlas ni.”

Aku diam. Nak jawab apa ni? Takkan aku nak terima pelawaan si Hisham ni? Karang Irfan kata aku gatal pulak. Aku cari Maisarah. Mana pulak dia pergi? Tadi Azura hilang, sekarang dia pulak yang lesap.

“Qairunissa?”

“Ha? Oh.. err tak apalah, tadi saya dengan kawan.”

“Tak apalah ajaklah kawan awak sekali. Saya pun dengan Irfan ni.”

Aku pandang Irfan. Dia merenung tepat ke mataku.

“Oh ya, kalau awak nak tahu, inilah cousin saya.”

Mataku membulat. Sepupu? Irfan sepupu Hisham? Aku pandang Irfan dan Hisham silih berganti. Kenapa lain? Kenapa Hisham tak macam mix pun? Hisham tersenyum panjang.

“Saya melayu sejati. Tak ada mix-mix.”

Aku tersipu. Macam tahu pulak dia apa yang berada dalam kepala otak aku ni. Aku lihat Irfan tersenyum kecil.

“Qai, eh?”

Aku berpaling bila Maisarah sudah berada di sisiku. Gadis itu melemparkan senyuman kepada dua jejaka tampan di hadapanku itu. Senyuman Maisarah itu dibalas Hisham. Tetapi tidak pada Irfan. Dia masih merenungku. Aku tunduk. Sedikit sebanyak renungannya itu menggetarkan naluriku.

“La, kau tak beli lagi ke? Cepatlah sikit.”

“Okey.”

“Aku duduk dulu ya.”

Aku angguk. Cepat-cepat berpaling dan mara ke depan. Dah tak ramai pelajar. Aku tahu Hisham dan Irfan berbaris di belakangku.

“Makcik, mi goreng dengan milo ais ya.”

Aku seluk poket, bila makcik kantin meletakkan makananku di kaunter. Tiba-tiba melintas not lima ringgit dari arah belakang.

“Tak apa makcik, saya bayarkan.”

Aku berpaling. Hisham tersenyum lebar.

“Eh, tak apalah awak, tak payah susah-susah. Saya bayar sendiri.”

“Kan saya cakap saya belanja tadi.”

“Tak apalah, lain kali ya?”

“Janganlah macam tu, saya ikhlas ni.”

“Eh, tak baiklah macam ni. Saya tak nak susahkan sesiapa.”

“Tak susah pun.”

“Dah bayar dah.”

Makcik kantin bersuara selamba. Aku berpaling semula.

“Siapa yang bayar makcik?”

“Tu.”

Makcik kantin muncungkan mulutnya ke arah seseorang. Irfan? Lelaki itu sedang berlalu ke sinki. Irfan bayarkan makanan aku? Sukar untuk aku percaya. Aku pandang Hisham. Lelaki itu hanya menjungkit bahu. Aku ambil makananku dan berlalu ke arah Maisarah yang sedia menunggu.

“Lamanya?”

Aku senyum. Tak tahu senyuman aku itu manis atau pun hambar. Yang aku pasti sangat, senyuman aku tu senyum gabra. Tak sangka Irfan belanja aku makan. Dalam pada aku bertelagah sekejap dengan Hisham, Irfan bayarkan makananku. Macam mimpi pula aku rasa. Aku tahu mesti Irfan bosan menunggu atau mendengar aksi tarik tali aku dan Hisham tadi.

“Boleh kami duduk sini?”

Aku menoleh. Hisham bersama senyum lebarnya menatang nasi lemak dan segelas sirap limau.

“Boleh, duduklah. Ini bukan meja VIP pun, duduk aja.”

Hisham tergelak kecil dengan kata-kata Maisarah itu. Aku hanya tersenyum kelat.

“Fan, kita duduk sini ya?”

Aku lihat Irfan hanya mengangguk dan meletakkan mi goreng dan milo aisnya. Eh? Seleranya sama dengan aku! Seketika kami diam tanpa bicara. Masing-masing sibuk dengan acara makan. Aku pula, begitu kelu untuk mengucapkan terima kasih kepada Irfan. Nantilah!

“Err, awak Hishamkan? Budak SMPS?”

Maisarah ni pura-pura tak kenal pula. Hairan!

“Ya saya, dan awak siapa ya? Saya dah lupalah nama awak.”

“Maisarah.”

“Maisarah. Hmm, what a nice name.”

Maisarah tersenyum.

“Err, awak masuk ke acara debat tu?”

“Masuk.”

“Oh, dahsyat ya awak. Tapi terus-terang saya cakap saya akan sokong sekolah saya.”

Kata-kata bersahaja Maisarah itu mengundang tawa Hisham dan senyuman kecil Irfan. Aku juga tergelak halus.

“Bukan awak saja, cousin saya ni pun akan sokong sekolah SMAB juga.”

“Cousin? Oh, abang pengawas ni cousin awak. Tapi betullah tu, sekolah awak bawa penyokong satu bas, tak payahlah kami susah-susah nak sokong awak lagi.”

“Ala, at least bagi chancelah kat cousin sendiri.”

“Jangan harap!”

Tiba-tiba Irfan bersuara. Maisarah dan Hisham tergelak. Aku diam dan terus menikmati mi goreng. Sungguh enak rasa mi goreng makcik kantin hari ni. Kenapa agaknya? Mungkin sebab Irfan yang bayarkan atau Irfan duduk semeja dengan aku? Hisyy, perasan betul kau ni Qairunissa! Sikit pun dia tak endahkan kaulah. Hati kecilku bersuara.

“Tengok tu, betul tak saya cakap?”

Maisarah tergelak manja. Amboi, gedik juga kawan aku sorang ni.

“Apa tajuknya?”

“Buli.”

“Wow, gempaknya tajuk. Teks dah ready?”

“Sikit aja. Yang lain semuanya kat sini.”

Jari telunjuk Hisham menyentuh dahinya. Ramah juga si Hisham ni. Perbualan ketika makan itu banyak dimonopoli oleh Maisarah dan Hisham. Sedangkan aku dan Irfan hanya membatu.

“Qairunissa, diam aja?”

Aku hanya mampu tersenyum manis.

“Dia ni pemalu sikit, Hisham.”

Cis! Maisarah ni. Jangan nak mereka-reka ceritalah. Sejak bila pulak aku jadi pemalu? Kalau aku ni pemalu tak adalah aku selalu kena denda.

“Oh ya ke? Malu kat siapa? Saya ke?”

Hisham merenungku dengan pandangan yang sungguh bermakna. Sempat pula aku menjeling Irfan. Lelaki itu mengacau-ngacau milo aisnya sambil tersenyum sinis. Tiba-tiba aku rasa tersindir dengan perlakuan Irfan itu.

“Tak adalah. Saya bukan pemalu. Kalau saya ni pemalu saya tak akan selalu kena denda.”

“Kena denda?”

“Ya, kena denda. Kalau tak percaya tanyalah sepupu awak tu. Nama saya pasti banyak dalam buku pengawas.”

Tiba-tiba aku dapat kekuatan untuk membalas balik sindiran Irfan itu. Aku ulang balik kata-kata Irfan padaku dulu. Maisarah tersenyum kelat.

“Betul ke Fan?”

“Yup. Banyak sangat.”

Kali ni aku pula yang terdiam. Banyak sangat? Betul ke? Hisham merenungku kembali. Perasaan ingin tahu menyimbah riak wajahnya.

“Apa kesalahan awak?”

“Macam-macam.”

“Hmm, tak sangka, nakal juga awak ni ya.”

Aku tersenyum kecil. Maisarah juga tersengih.

“Dia ni nampak aja nakal Hisham, tapi manja.”

“Selalunya budak manjalah nakal. Betul tak?”

“Nakal tak semestinya jahat, kan?”

Maisarah tokok-tambah. Menjadi-jadilah pulak ramahnya kali ni. Mentang-mentanglah Azura tak ada. Eh, mana dia pergi? Aku panjangkan tengkuk, mataku melilau mencari Azura.

“Qai, kenapa kau?”

“Zura mana?”

“La, baru perasan ke dia tak ada? Dia cakap kat aku tadi dia sakit perut nak pergi toilet.”

“Oh..”

“Siapa Zura?”

“Kawan kami sorang lagi.”

“Oh, yang malam tu ya.”

“Haah. Yang sweet tulah, yang mana lagi.”

Hisham tergelak kecil.

“Sweet lagi Qairunissa.”

Aku hampir tersedak air milo. Cepat-cepat aku telan. Berair sekejap biji mata aku.

“Betul tak Fan?”

Irfan merenung aku. Kami bertentang mata seketika, aku buat-buat kacau milo aisku yang lagi sikit nak habis.

“Sweet sangat.”

Rasa nak gugur jantung aku bila mendengar suara Irfan memujiku. Sungguh lunak dan merdu pada deria dengarku. Aku lansung tak angkat muka. Tak tahu ekpresi yang bagaimana aku harus tunjukkan. Yang aku tahu mukaku hangat. Aku perasan mata Maisarah dan Hisham merenungku. Aku gabra.

“Dah Mai? Jomlah, pergi toilet cari Zura. Lama sangat dah ni.”

“Haah jom, entah pengsan ke apa dia kat dalam toilet tu. Makan pun belum.”

Bagus! Alasan yang paling logik sekali untuk aku mengangkat punggung. Aku tahu Maisarah perasan aku gabra. Nasib baik dia ikut saja cakap aku. Selamat!

“Okeylah Hisham, nice to know you. Good luck for today.”

“Me too. Thanks anyway. Jangan lupa tengok tau.”

“Oh, tak akan lupa. Saya suka debat. Suka tengoklah.”

Mereka tergelak.

“Qairunissa?”

“Hmm, InsyaAllah. Good luck.”

“Thanks. Kalau boleh datang ya? Awak ada baru saya bersemangat.”

Aku berkerut kening, membuat Hisham tergelak. Dan Irfan matanya bagai melekat di wajahku.

“Err… awak, terima kasih sebab bayarkan makanan saya tadi.”

Irfan tersenyum manis. Alahai.. ni yang aku lemah ni. Senyuman mahalnya itulah yang menjadi igauan pelajar perempuan sekolah ni.

“Sama-sama.”

Aku melangkah laju tanpa menoleh kebelakang lagi. Terus menuju ke tandas bersama Maisarah.

Kerana Sebuah Janji 9

“Kita duduk sana.”

Arah Balqis. Dahlia hanya mengangguk.

“So, apa cerita yang kau nak cakap tadi?”

“Fasal Adam.”

“Adam? Si Adam Firdaus kasanova tu?”

Dahlia mengangguk.

“Kenapa dengan dia?”

“Dia confess feeling dia kat aku.”

“Really? Bila?”

“Pagi tadi.”

“So, kau terima ke?”

Dahlia menggeleng perlahan.

“Aku cabut lari.”

Balqis tergelak besar mendengar pengakuan Dahlia itu. Bertuah punya kawan!

“Kesian dia ya.”

“Biarlah dia.”

“Tapi kesianlah Lia, dia betul-betul sukakan kau tau. Kau trylah.”

“Try apa?”

“Terima dia.”

“Tak naklah. Aku tak suka dialah.”

“Kenapa kau tak suka dia?”

“Kau pun tahu kan?”

“Dia player?”

Dahlia menyedut minumannya tanpa menjawab soalan Balqis itu.

“Dia ramai peminat? Dia..”

“Balqis! Jangan mengumpat.”

Balqis tersengih melihat wajah temannya yang sudah masam. Lebih masam dari cuka agaknya. Balqis tergelak.

“Kenapa gelak?”

“Tak ada apa. Kenapa eh kau tak suka Adam?”

“Sebab tak sukalah.”

“Oh… dalam hati tak ada tamanlah ni?”

“Hii… kau ni. Dahlah makan cepat.”

Balqis tergelak lagi.

“Qis, petang ni aku tak dapat tumpang kaulah. Kau balik dululah ya?”

“Kau nak ke mana?”

“Tak ke mana. Balik rumahlah.”

“Habis tu kenapa tak balik dengan aku aja? Kau nak balik dengan siapa? Don’t tell me kau nak balik dengan Adam.”

“Eh, ke situ pulak. Tak ada makna aku nak balik dengan dia.”

“Dah tu?”

“Dengan Dani.”

“Dani? Dia cakap nak ambil kau ke?”

Dahlia mengangguk.

“Aku dah cakap nak balik dengan kau. Tapi dia berkeras suruh aku tunggu dia so, I’ve no choice.”

“Hmm, gitu. Tak apalah kau ikut ajalah dia. Karang itu punca dia nak marah-marah kau.”

“Aku pun fikir macam tu juga.”



********


Dahlia asyik menonton berita di kaca televisyen. Tanpa menyedari Dani sudah melabuhkan punggungnya di sebelah gadis itu. Dahlia tersentak. Menoleh ke kanan melihat wajah selamba Dani. Segera dia menjarakkan dirinya sebaik melihat lelaki itu santai di sebelahnya. Tidak enak rasanya duduk terlalu rapat dengan lelaki itu. Bukan sahaja bimbang tentang dosa, malah bimbang dengan rasa yang datang menyapa.

Giliran Dani pula terpaku melihat berita yang disampaikan. Tidak berkedip matanya dengan wajah yang sedikit serius. Namun yang tenang itu hanyalah terlukis di wajah saja, di dasar hatinya bergelora. Bibirnya terasa berat untuk mengungkap kata maaf. Tapi dia terpaksa menuturkannya juga kerana dia tahu kesalahannya hari ini. Dahlia mula rasa tidak selesa. Perlahan dia mengangkat punggung ingin beredar ke dapur. Tolong kak Miah lagi bagus.

“Dahlia.”

Langkahnya terhenti. Wajah Dani dicari. Lelaki itu mengambil alat kawalan jauh dan memeperlahankan suara pembaca berita itu.

“Duduk kejap.”

Dahlia akur. Dia memilih sofa bersebelahan dengan sofa yang dia duduk tadi.

“Ada apa?”

“Maaf fasal tadi.”

Dahlia berkerut kening. Hairan sungguh. Dani tidak pernah begini. Malam ini pertama kali dia mendengar perkatan maaf dari bibir lelaki itu. Malah Dani bercakap elok dan tidak marah-marah seperti selalu.

“Lama kau tunggu ya? Kau balik dengan apa?”

“Teksi.”

“Kata nak balik dengan Balqis?”

Dahlia sedikit geram mendengar soalan itu. Dani ini lupakah? Padahal, lelaki itu yang beriya-iya mahu mengambil dirinya petang tadi? Punyalah lama dia menunggu. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk menaiki teksi bila jarum jam sudah menginjak ke pukul lima setengah.

“Aku ada meeting tadi, terlupa langsung.”

“Penat saya tunggu, sampai berpeluh-peluh.”

Ujar Dahlia lembut tapi cukup meruntun hati Dani. Simpati hadir tiba-tiba. Semuanya salah dia. Kerana terlalu asyik dengan mesyuarat petang tadi sehingga dia terlupa telah membuat janji dengan gadis itu. Dani rasa bersalah.

“Lain kali jangan berjanji kalau tak boleh tepati.”

Wajah Dani terasa panas dengan kata-kata lembut Dahlia yang berbaur sindiran itu. Terkebil-kebil matanya melihat gadis itu sudah berlalu ke dapur. Dani tidak dapat berbuat apa-apa, memang itu kesalahan dia. Hendak marah pun tidak berguna lagi.

Rajuk Sang Hati 28

Dingin terasa menggigit kulit di waktu-waktu kelam begini. Pagi masih muda usianya. Sesudah subuh aku terus ke sini. Ke pusara atuk. Rindu yang hadir menyentak tangkai hati. Bunyi kicauan ciak dan murai bersilih ganti. Bagai berlumba-lumba menyanyikan lagu merdu demi sebuah hati yang duka. Haruman cempaka dan sundal malam menerjah ke rongga hidung lalu aku menyedut perlahan bersama udara pagi yang basah. Ingin aku tenteramkan hati ini dengan haruman itu. Ingin aku tenangkan jiwa dengan suara merdu sang ciak dan murai.

Aku meletakkan surah yassin di sisi. Bunga aneka warna yang aku bawa bersama, ku tabur penuh kasih di atas pusara atuk yang masih merah itu. Air juga aku siram perlahan. Biar atuk rasa sejuk di bawah sana, fikirku. Sesejuk tubuhku yang kedinginan dek semilir pagi yang bercampur embun. Aku duduk semula di atas tanah merah lembab itu. Aku tidak peduli jika bajuku kotor. Aku juga tidak takut berteleku keseorangan di kawasan kubur pagi-pagi begini. Apa yang aku tahu, aku hanya ingin bersama atuk. Aku hanya mahu mengimbau segala kenangan manis bersama atuk sepanjang aku membesar, sepanjang aku menjadi cucu kesayangan atuk.

Atukku yang bernama Mustafa itu sangat penyayang orangnya. Aku tahu dia sayang semua cucu-cucunya. Tetapi aku adalah cucu yang paling manja dengannya. Kerana akulah satu-satunya cucu perempuan dia. Abang dan adikku serta sepupu-sepupuku semuanya lelaki. Macam manalah aku tak jadi nakal?

Atukku yang bernama Mustafa itu sangat rajin ke masjid, selalu tolong orang dan tidak pernah kedekut. Budi bahasanya luhur dan selalu sangat tersenyum. Aku tahu ramai yang menyenangi sikap atukku yang satu itu. Atukku juga sangat mencintai nenekku Halimaton, yang telah pergi dua tahun lalu akibat barah payu dara. Betapa deritanya atuk sejak kehilangan nenek. Betapa dia merindui kasih sayang nenek yang tidak berbelah bagi itu sehingga nyawanya terpisah dari jasad. Penyakit asmanya juga semakin menjadi-jadi sejak dia kesunyian.

Aku ingat lagi atuklah orang pertama yang mengajar aku mendirikan solat. Jika aku malas atuk akan menasihati aku. Tidak pernah atuk marah dan memukul aku. Betapa sayangnya aku pada atuk. Atuk juga yang mengajar aku mengaji sampai aku qatam quran. Pernah aku disuruh hafal sepuluh ayat lazim dalam masa lima belas minit sewaktu aku kecil dahulu. Memang atuk cukup tegas dalam didikan agama. Atuk juga pernah ajar aku bagaimana nak anyam ketupat. Tapi sampai sekarang aku tidak berjaya melakukannya. Malah atuk juga yang mengajar aku macam mana nak masak rendang. Aku tersenyum kecil. Atukku yang bernama Mustafa itu memang pakar memasak. Chef tenteralah katakan.

“Nissa, kalau atuk dah tak ada jangan nakal-nakal tahu. Dengar cakap ayah dan mak, jangan tinggal solat. Dalam ramai-ramai cucu atuk, Nissalah yang paling atuk sayang. Nissalah yang rajin jaga atuk. Nanti bila mak dan ayah Nissa jatuh sakit macam atuk, Nissa jaga mereka lebih baik dari jaga atuk, ya cu? Nissa belajar rajin-rajin ya? Buat kerja-kerja rumahtangga, esok ni bila dah kahwin senang, tak kekok. Suami akan sayang Nissa. Nissa, belajar rajin-rajin tahu. Ilmu dunia dan ilmu akhirat biar seimbang. Nak cari suami nanti biar yang beriman, ya cu?”

Tiba-tiba segala pesan atuk dulu mengapung kembali. Aku jadi sebak. Namun sekuat hati aku menahan. Atuk, kenapa atuk pergi cepat sangat? Malam kelmarin adalah malam terakhir aku bersama atuk. Kalaulah aku tahu malam tu hayat atuk akan sampai ke penghujungnya, pasti aku akan menemani atuk di saat deritanya menahan kesakitan. Aku menyesal. Menyesal kerana aku tidur awal malam kelmarin. Tiba-tiba aku teringat kata-kata atuk selepas suatu malam atuk penat akibat ketawa terbahak-bahak bila aku mengajuk cara dia menonton berita Dunia Jam 10.

“Nissa dengar cakap atuk ya, atuk cuma nak yang terbaik untuk cucu atuk yang manja ni. Nissa jangan salah anggap, jangan fikir yang bukan-bukan ya.”

“Atuk nak cakap apa ni, orang tak nak dengarlah atuk merepek.”

“Sebelum tu atuk nak tanya, cucu atuk ni dah ada yang punya?”

“Ha?”

“Bukan apa, atuk berkenan sangat dengan anak kawan atuk tu. Anak bongsu si Ali.”

“Ali mana pulak ni?”

“Ali polislah, yang bini dia jual laksa petang-petang tu.”

“Entah, tak kenal.”

“Mustahil tak kenal. Anaknya kata dia kenal kamu?”

“Siapa anak dia tuk? Satu sekolah dengan orang ke?”

“Tak kot, sekolah lain. Tapi dia kata dia kenal kamu.”

“Lantaklah. Entah siapa-siapa entah.”

“Tapi atuk kenan betul dengan budak tu. Baik, pandai hormat orang tua, rajin tolong mak dia, berbudi bahasa budaknya. Rajin ke masjid pulak tu.”

Atuk senyum. Masa itu aku lihat senyuman atuk sungguh bermakna. Aku tidak ambil pusing. Aku anggap atuk tidak serius.

“Atuk ni bukan apa, teringin nak tengok Nissa naik pelamin.”

“Atuk, orang sekolah pun tak habis lagi.”

“Apa salahnya, tanda dulu nak?”

“Tak naklah!”

Aku rasa mataku mula berkaca. Atuk kempunan nak tengok aku naik pelamin. Kesiannya atuk. Bersalahkah aku?

“Atuk tak nak paksa Nissa. Kalau boleh sebelum atuk pejam mata, biarlah atuk merasa sorang cicit.”

Buat pertama kali, airmataku gugur setelah pemergian atuk. Sungguh tinggi harapan dan impian atuk. Maafkan orang tuk, orang tak mampu nak tunaikan permintaan atuk. Orang betul-betul minta maaf. Hatiku merintih hiba.

“Nissa,”

Aku tersentak. Suara itu? Aku berpaling dan mendongak. Hasnul Amin? Lelaki itu tegak berdiri sambil matanya menyapa lembut ke wajahku. Cepat-cepat aku seka airmata yang basah di pipi. Hasnul duduk mencangkung di sebelahku.

“Kau buat apa kat sini? Tak pergi sekolah ke?”

“Tak, ponteng.”

“Kenapa?”

“Aku risaukan kau.”

“Hasnul, tak payahlah kau nak risaukan aku, aku okey.”

“Betul ke okey?”

Aku angguk. Hasnul Amin merenung sekitar pusara atuk lalu mencapai surah yassin dan mula membacanya. Aku hanya diam. Terbuai dengan alunan suara merdu Hasnul Amin. Lelaki itu pandai mengaji. Tajwidnya tiada cacat-cela. Taranumnya sungguh indah berlagu. Aku meramas-ramas tanah liat yang kemerahan dan lembab itu.

“Sebelum tu atuk nak tanya, cucu atuk ni dah ada yang punya?”

Selintas soalan atuk itu muncul semula. Seingat aku, aku tidak pernah bercerita tentang hati dan perasaanku pada atuk. Aku tidak pernah berterus-terang tentang lelaki yang aku minati. Tentang Irfan. Aku tidak pernah minta pendapat atuk tentang lelaki itu. Menyesal pula rasanya. Pasti atuk banyak pendapat dan nasihat untukku. Sebenarnya aku malu. Aku sangat malu sebab kasihku tidak pernah berbalas. Aku malu sebab aku hanya bertepuk sebelah tangan. Sedang Irfan tidak mahu bertepuk sama. Airmataku menitis lagi.

“Nissa, sabarlah.”

Aku diam. Aku tunduk.

“Redhakan atuk kau pergi. Masa dia sudah sampai, dari atuk kau menderita sakit, lebih baik redhakan.”

Aku diam lagi. Cuba sedaya-upaya menahan airmata dari tumpah. Aku tidak mahu lagi menangis di hadapan Hasnul Amin. Aku tidak mahu dia lihat aku ini gadis yang lemah.

“Aku tahu kau sayang sangat atuk kau.”

“Atuk kawan aku. Aku selalu bersembang dengan atuk. Atuk rajin layan aku. Sekarang atuk dah tak ada. Aku akan sunyi. Sekarang pun aku dah sunyi. Nanti aku nak sembang dengan siapa?”

“Aku ada. Kan aku dah cakap, aku ni pendengar yang baik.”

“Kau bukan atuk. Kau tak ada pengalaman hidup sehebat atuk. Kau langsung tak ada persamaan dengan atuk.”

“Ada. Aku lelaki macam atuk kau juga.”

Aku pandang Hasnul Amin dengan sedikit geram. Sempat juga dia buat lawak waktu begini?

“Okey, okey sorry. Aku gurau aja.”

Aku muncung.

“Atuk terkilan nak tengok aku naik pelamin. Atuk nak aku bagi dia cicit. Atuk dah ada calon untuk aku.”

Aku nampak perubahan air muka Hasnul Amin. Dia merenung tepat ke mataku.

“Tapi, aku dah tolak bulat-bulat. Aku tahu atuk frust dengan keputusan aku. Sejak tu atuk tak pernah sentuh lagi soal ni. Aku rasa bersalah.”

“Nissa, kau tak perlu rasa bersalah. Aku rasa atuk hormat pendirian kau tu. Dia pun tak paksa kan?”

Aku angguk perlahan. Memang atuk cakap tak akan paksa aku, tapi jauh di sudut hati aku ni rasa sangat bersalah.

“Perasaan bersalah itu menghantui aku. Andainya aku tahu atuk akan pergi secepat ini, pasti aku akan turutkan kehendak dia. Aku akan ketepikan kepentingan aku, asalkan atuk bahagia, asalkan atuk tak kempunan, asalkan atuk tak tinggalkan aku.”

“Ya Allah, beristighfar Nissa. Ajal atuk kau dah sampai. Biarkan dia pergi dengan aman.”

Aku tak dapat bertahan lagi. Terhenjut-henjut bahuku menahan esakan. Pecah juga empangan airmata yang cuba aku tahan. Aku menangis semahu-mahunya. Dalam esakan kesedihan itu, aku dapat rasakan Hasnul Amin mendakapku erat. Ada getar menyelit di jiwa. Ah, aku tidak peduli lagi.

“Menangislah, menangislah sepuas-puasnya Nissa. Aku temankan kau. Tapi janji dengan aku, lepas ni kau jangan menangis lagi. Doakan atuk kau bersama dengan orang-orang yang soleh.”

Aku tidak mampu untuk berkata-kata lagi. Aku doakan atuk dicucuri rahmat Allah dan ditempat bersama orang-orang yang soleh. Aku redha dengan pemergian ini. Selamat tinggal atuk. Selamat pulang ke negeri abadi.

Kerana Sebuah Janji 8

Masing-masing diam membisu. Masing-masing keras macam patung memandang ke depan. Dani tidak tahu bagaimana hendak memulakan perbualan. Seakan mulutnya terkunci rapat. Sedikit canggung bila pertama kali gadis itu bersama-sama dengannya di dalam kereta. Itu pun gara-gara sikapnya yang agak memaksa dan berkeras mahu menghantar Dahlia. Dia sendiri tidak mengerti dengan dirinya sendiri. Apa sudah jadi agaknya? Apa yang dia tahu semuanya bermula dari malam tadi. Malam di mana Dahlia jatuh pengsan. Malam di mana dia dapat menyaksikan seorang Dahlia dari jarak yang dekat. Malam di mana, hati lelakinya mula goyah.

Dahlia di sebelah dipandang sekilas. Gadis itu masih membisu. Merenung jauh ke luar tingkap menyaksikan pemandangan yang menyesakkan dada di pagi hari. Menyaksikan kehidupan warga kota yang tidak pernah sunyi dengan urusan masing-masing. Malah kota besar ini, tidak pernah tidur. Tidak pernah mati. Ada saja yang berlaku baik siang mahupun malam.

Merasakan suasana bisu itu adalah sesuatu yang melemaskan, Dani cuba mencari topik perbualan. Dahlia masih setia dengan kebisuannya. Marahkah gadis itu? Adakah dia terlalu memaksa tadi? Jika dia tidak berkeras tadi, pasti gadis itu akan terlambat sampai. Malah peluangnya untuk bersama Dahlia pagi ini pasti tidak akan tercapai. Dani tersenyum nipis. Memuji diri sendiri kerana bertindak cepat. Namun dia tidak menyangka pula ada sedikit getar yang menggoncang dada. Ada sedikit payah untuk berbicara. Dia akui, tidak pernah sekalipun sebelum ini lahir tutur kata yang lembut bila bercakap dengan gadis itu. Ada saja caranya unutk dia terus menyakiti hati Dahlia. Ingin membuat gadis itu tidak senang duduk di rumahnya itu.

Dahlia masih diam. Sedikit geram pada Dani kerana memaksa dia menaiki keretanya. Mujurlah dia benar-benar dah terlambat hari ini, jika tidak dia tidak mahu menyusahkan lelaki itu. Malah, jika boleh dia langsung tidak mahu termakan budinya. Cukuplah dia menumpang kasih Zarina dan arwahnya Hishamudin. Cukuplah dia menanggapi kata-kata sinis yang sering keluar dari bibir lelaki itu. Dani tidak pernah peduli dia tersinggung atau tidak. Dani tidak pernah peduli betapa sakitnya hati mendengar bait bicaranya yang bagaikan sembilu. Sering mencucuk hati setiap kali berbicara. Namun, sudah sifat lahiriahnya yang tidak suka melawan cakap. Tidak suka membentak dan membantah. Malah, dia sedar dirinya hanya menumpang jadi dia perlu menjaga tingkah.

“Kenapa diam aja? Marah kat aku ke?”

Dani menoleh sekilas bila tidak mendengar sahutan dari Dahlia. Gadis itu masih ingin membisu.

“Dahlia,”

“Tak.”

“Habis tu kenapa senyap aja?”

“Awak nak saya cakap apa?”

Dani terdiam. Tidak tahu nak jawab apa. Penyudahnya sama-sama senyap semula. Dahlia pula hanya menunggu soalan yang bakal keluar dari bibir Dani. Tidak perlu susah payah dia memikirkan topik perbualan dengan lelaki itu, tugasnya hanya menjawab soalan saja bila ditanya.

“Kau dah okey ke?”

“Hmm.. dah. Thanks.”

Dani tersenyum nipis.

“Hmm… kalau aku tanya sikit boleh?”

“Apa dia?”

“Tentang wasiat tu.”

“Oh.. apa yang awak nak tahu?”

“Hmm.. kau dah fikirkan?”

“Awak dah fikir?”

“Aku tanya kau.”

“Hmm.. masih berfikir.”

“So, tak ada jawapan lagilah?”

“Awak dah ada jawapan ke?”

“Aku kan tanya kau, kau janganlah jawab soalan aku dengan soalan balik.”

Dani bersuara keras. Sedikit geram dengan cara Dahlia yang suka main tarik tali itu. Melihat Dani sudah mula bertukar angin, Dahlia lebih berminat untuk diam. Tidak mahu berbalah. Penat, bosan dengan sikap Dani yang selalu moody.

“Aku pun masih berfikir.”

Akhirnya Dani mengalah setelah melihat Dahlia membisu semula. Keretanya sudah memasuki perkarangan kolej. Dahlia segera turun. Dani juga bereaksi sama.

“Balik nanti naik apa?”

“Selalunya saya naik apa ya?”

Dani rasa terpukul dengan soalan Dahlia itu. Mulutnya ingin membalas kata-kata gadis itu tetapi terdiam semula bila melihat seorang lelaki menghampiri mereka.

“Hai, Dahliaku baru sampai?”

Dahlia diam. Dari ekor matanya dia dapat merasakan Dani sedang merenung tajam ke arahnya. Adam menoleh ke arah Dani. Berkerut kening melihat reaksi lelaki itu. Siapa dia? Teman lelaki Dahlia ke? Dari penampilannya, kelihatan lelaki ini lebih tua darinya.

“Hai, saya Adam. Adam Firdaus.”

Ramah dengan senyuman, Adam menghulurkan salam. Dani menyambut dengan wajah sedikit serius, namun huluran tangan Adam bersambut. Mata mereka bertembung. Adam yang agak cemburu masih mampu tersenyum nipis menanggapi wajah serius Dani. Lelaki itu di mata kasarnya sangat tidak senang dengan kehadirannya di situ.

“Dani. Dani Ikmal.”

Tangan masih saling mengenggam. Aura cemburu jelas kelihatan di mata masing-masing. Adam cemburukan Dani. Dani juga begitu. Hati tertanya-tanya siapakah gerangan lelaki ini di sisi Dahlia? Dan Dahlia masih membisu melihat aksi mereka berdua. Dia tidak tahu kenapa lelaki-lelaki ini saling pandang-memandang antara satu sama lain. Seolah-olah ada yang tidak berpuas hati, ada yang tidak kena. Adakah kerana dirinya? Tidak. Mustahil. Mereka cemburu? Dahlia cuba berdehem. Ternyata kedua-dua lelaki itu tersentak. Serentak juga mereka menoleh ke arahnya.

“Saya masuk dulu.”

“Balik karang aku ambil.”

“Tak apalah, saya tumpang Balqis.”

“Pukul berapa habis kelas?”

“Hari ini pukul 4.30, saya..”

“Tunggu sini. Di sini. Aku ambil sharp 4.30, tunggu tau!”

Belum sempat Dahlia meneruskan kata-kata, Dani sudah memberi arahan.

“Ingat! Jangan ke mana-mana. Aku datang ambil.”

Sempat lagi Dani berpesan sambil masuk ke dalam kereta. Sebaik kereta BMW 5 series itu meluncur laju, Dahlia berpaling. Kuliah sudah hampir bermula. Adam juga mengekori Dahlia. Perasaan ingin tahunya meluap-luap. Siapa Dani pada Dahlia? Kenapa lelaki itu bercakap kasar dan seperti memaksa gadis itu? Dan Dahlia juga seolah-olah redha saja dengan apa yang berlaku.

“Siapa Dani?”

Soalan Adam itu membuat Dahlia tersentak. Ada lagi rupanya dia? Dahlia diam dan berjalan laju meninggalkan Adam. Dia tidak mahu dikaitkan mempunyai hubungan istimewa dengan lelaki itu. Adam agak popular di sini. Pasti saja ramai gadis-gadis yang menggilai lelaki ini. Jadi lebih baik dia menjauhkan diri saja dari Adam. Bimbang jika diri sendiri yang bakal disakiti.

“Dahlia! I’m talking to you!”

Adam menjerit bila Dahlia berlari anak menaiki tangga menuju ke kelasnya.

“Dahlia! Dahlia!”

Suara Adam yang tidak putus-putus memanggilnya namanya itu sedikit merimaskan. Tidak mahu menjadi perhatian, akhirnya dia berhenti melangkah. Termengah-mengah Adam cuba mendapati gadis itu.

“Siapa dia?”

Dahlia diam.

“Jawab Dahlia. Siapa dia? Siapa dia pada awak? Siapa Dani tu?”

“Kenapa nak tahu?”

“Saya perlu tahu.”

“Kenapa awak perlu tahu?”

“Dahlia, please answer me.”

“Dia Dani.”

“Ya, saya tahulah nama dia Dani. Tapi siapa dia pada awak? Kenapa dia hantar dan ambil awak? Dia boyfriend awak ke?”

“Kenapa ya, awak nak tahu?”

“Saya tak puas hati bila dia bercakap kasar dengan awak. Dia seolah-olah memberi arahan yang awak tak boleh bantah langsung. Dan awak, kenapa nampak macam takut saja pada dia?”

“Saya tak takutkan dia pun.”

“Habis tu?”

“Habis tu apa?”

Dahlia pelik dengan soalan Adam. Jam di tangan dikerling. Adam mengeluh. Dia juga melihat jam yang melingkari pergelangan tangannya.

“Kita dah lewat.”

“Dahlia, tunggu kejap.”

Langkah Dahlia terhenti lagi bila mendengar suara Adam beralun perlahan. Dia membalas renungan Adam yang redup. Hati kecilnya mengakui lelaki ini memiliki rupa paras yang tampan. Patut saja ramai gadis yang memujanya.

“Saya.. saya.. saya sukakan awak.”

Dahlia terkedu. Segera melarikan matanya bila direnung tepat sepasang mata milik Adam. Jantungnya berdebar-debar.

“Saya pergi dulu.”

“Tunggu.”

Langkah Dahlia dihalang lagi. Dahlia sudah mula rasa rimas.

“Saya ikhlas. Apa yang saya cakap tadi lahir dari hati saya yang tulus. Saya benar-benar sukakan awak Dahlia. Dah lama sebenarnya. Tapi awak terlalu jual mahal. Saya harap awak dapat pertimbangkannya.”

Dahlia diam. Laju langkahnya meninggal Adam yang masih terpacak di tangga.

Rajuk Sang Hati 27

“Nissa! Nissa! Bangun!”

Sayup-sayup aku dengar suara orang memanggilku.

“Nissa! Buka pintu ni cepat!”

Bergegar pintu kayu kamarku bila diketuk kuat begitu. Dalam kesamaran lampu tidur, aku renggangkan mata.

“Oh Nissa! Bangunlah nak.. atuk Nissa oii! Buka pintu ni!”

Macam suara mak. Apa mak buat kacau aku malam-malam buta ni? Aku celik mata sebelah, tengok jam di sisi katil. Dua setengah pagi?

“Nissa! Bangunlah, cepat! Atuk tu.”

Bunyi ketukan pintu makin kuat. Betul ke mak tu? Entah-entah aku mimpi tak? Tak pun bukan mak, hisyy.. seram! Aku tarik selimut sampai ke kepala. Berbungkus seketul. Bunyi pintu dah senyap. Betullah bukan mak tadi. Aku pejamkan mata rapat-rapat. Takutnya!

“Nissa, oh Nissa!”

Suara siapa pulak tu? Hisyy, kenapalah ada saja gangguan ni? Aku nak tidur dengan aman pun tak senang.

“Nissa bangunlah, atuk tenat.”

Terkebil-kebil aku dalam selimut. Macam suara along. Along sebut tenat ke penat tadi? Wait.. atuk tenat? Hah? Atuk tenat? Ya Allah! Aku bingkas menuju ke pintu. Terbentang wajah along yang muram merenung tepat ke arahku.

“Atuk…”

Tak sempat along menghabiskan kata-katanya, aku dah tolak along ke tepi lalu bergegas ke bilik atuk. Sampai di muka pintu bilik atuk, aku kaku. Mak tengah menangis sambil urut dada atuk yang berombak. Ayah pula membisik sesuatu di telinga atuk. Haikal menangis sambil mengusap kepala atuk. Aku melangkah perlahan duduk di sebelah mak. Aku dengar ayah mengajar atuk mengucap syahadah. Dada atuk berombak kuat. Pasti sakit. Atuk memandangku sayu. Aku genggam tangan atuk.

“Atuk… ampunkan dosa-dosa orang ya tuk?”

Aku kucup tangan atuk. Dadaku sebak. Perlahan-lahan mata atuk tertutup rapat. Dada atuk berhenti berombak. Kami semua saling berpandangan. Ayah letak jari telunjuknya di hidung atuk.

“Innalillah hiwainna ilahirajiun…”

Sebaik ayah mengungkap kata-kata itu, mak meraung. Haikal juga menangis. Ayah bangun tenangkan mak. Aku berpaling melihat along yang sudah duduk tersandar di pintu. Aku? Aku diam tidak bereaksi. Dadaku sebak. Aku seperti tidak percaya dengan apa yang baru berlaku. Aku bingung. Atuk dah pergi? Atuk kesayanganku dah pergi buat selama-lamanya? Tiba-tiba terasa bahuku dipeluk. Aku tahu itu along. Along mengosok perlahan bahuku. Aku diam. Aku tatap wajah atuk. Bersih wajah tua itu. Seulas bibir kedut atuk menggarit senyuman. Aku tahu atuk sudah lama menderita. Derita sakit, derita merindui nenek. Biarlah, biar atuk pergi dengan aman. Tiada apa lagi urusan atuk di dunia ini. Biar atuk pergi menemui penciptanya. Aku redha.

“Nissa..”

Aku diam. Aku tarik selimut atuk sampai ke mukanya. Aku lihat Haikal berlari keluar sambil menangis. Ayah juga sudah membawa mak keluar dari bilik atuk.

“Afnan,”

“Ya ayah?”

“Bawa Nissa ke bilik. Lepas tu sediakan apa yang patut.”

“Ayah nak ke mana?”

“Nak bagitahu tok imam. Tengok mak sekali ya?”

“Baik ayah.”

Aku diam saja mendengar arahan ayah untuk along.

“Nissa,”

Aku kaku. Mataku masih tertancap pada susuk tubuh atuk yang sudah diselubungi kain selimut. Andai aku tahu malam ni adalah malam terakhir atuk, akan aku temani atuk. Andai aku aku tahu bahawa malam tadi malam terakhir aku bersembang dengan atuk, pasti aku takkan masuk tidur awal. Andai aku tahu…

“Nissa,”

“Orang okey. Along pergilah buat kerja along.”

“Nissa, pergi masuk bilik ambil wuduk, baca yassin untuk atuk ya?”

“Orang nak duduk sini kejap. Along pergilah dulu. Karang orang buatlah.”

“Hmm, suka hatilah. Ingat jangan meratap, tak baik.”

Aku diam. Meratap? Menangis pun aku tak mampu. Airmataku seolah-olah kering, airmataku seolah-olah segan nak keluar. Hanya sebak yang sarat di dada. Hanya kesedihan mengapung suasana.


**************


Majlis tahlil atuk berjalan lancar. Orang ramai juga beransur-ansur pulang, yang tinggal hanya saudara-mara dan sahabat yang rapat dengan keluargaku. Aku lihat kesedihan ada di mana-mana saja. Di wajah-wajah mereka yang datang, di ruang tamu, di luar rumah, di dapur semuanya berwajah muram. Hanya bisik-bisik yang berdengung hasil dari perbualan sesama mereka singgah menyapa telingaku. Aku duduk di satu sudut antara bilikku dan bilik atuk. Dari tadi airmataku tidak tumpah langsung. Aku sendiri hairan. Setabah inikah aku? Atau aku masih belum menerima hakikat pemergian atuk kesayanganku?

“Qai,”

Aku renung Maisarah sayu. Azura juga sudah bersimpuh ayu di sebelahku. Belum pulang lagi teman-temanku ini. Kadang-kala rasa bertuah juga mempunyai dua orang sahabat yang sentiasa ada bersamaku.

“Qai, sabar ya. Kau mesti redha.”

“Kenapa korang tak balik lagi? Dah malam ni.”

“Jangan risau pasal kita orang Qai.”

Azura capai tangan kiriku dan menggenggam erat. Maisarah pula meraih tangan kananku dan meramas-ramas lembut. Aku hanya tersenyum hambar.

“Kawan-kawan yang lain ucapkan takziah. Cikgu Asyikin dan ustaz Arifin pun ucapkan takziah pada kau.”

Maisarah tersenyum manis.

“Qai, kau jangan risau, nanti aku bagi pinjam nota aku. Kau restlah dulu kat rumah. Kalau dah okey baru pergi sekolah ya.”

“Thanks Zura, aku tahu kau akan bagi pinjam.”

Mereka berdua tergelak. Aku hanya mengukir senyuman tawar. Tak bersemangat langsung rasanya.

“Eh, Azrai dengan Hasnul ada kat luar tau.”

Aku tersentak. Mereka berdua pun datang?

“Jomlah jumpa dia orang. Dari tadi dia orang tunggu kau keluar.”

“Kenapa dia orang tak masuk aja?”

“Dia orang segan. Dia orang kata tak manis. So, dia orang tunggu kau kat luar. Selagi dia orang tak jumpa kau, selagi tu dia orang tak nak balik.”

Betul ke? Aku lihat Azura mengenyit mata pada Maisarah.

“Haah, jomlah Qai.”

“Jom, kita orang pimpin kau.”

“Tak payah pimpinlah, aku bukan OKU.”

Mereka berdua tergelak. Aku bangun dengan malas. Melangkah perlahan ke muka pintu. Benar kata mereka, Azrai dan Hasnul Amin berdiri di tepi pagar. Bukan main segak lagi berbaju melayu dengan kopiah.

“Qai, kau macam mana? Okey ke?”

Aku angguk perlahan. Senyuman ku ukir tipis buat Azrai.

“Muka kau nampak pucat. Dah makan?”

Aku senyum hambar lagi. Mataku beralih pada Hasnul Amin yang merenung tepat ke arahku. Wajahnya serius dan kelihatan bimbang. Aku betulkan tudung. Kepalaku sedikit pusing membuat tegakku sedikit goyah.

“Aku okey, korang janganlah risau. Aku okey.”

“Muka pucat, mata bengkak, berdiri pun tak betul, masih kata okey?”

Hasnul Amin merenung tepat ke mataku. Tiba-tiba dia menarik aku duduk di dalam kanopi yang tersedia. Tiga lagi temanku hanya menurut saja. Aku duduk bersandar, kepala ku lentok pada tiang kanopi. Tiba-tiba mataku rasa berat dan letih.

“Kau letih ya Qai? Mesti kau tak tidur dari awal pagi tadi kan?”

“Ya kot Mai, aku dengar tadi mak dia kata dia orang semua tak tidur start dari arwah nazak.”

“Ya ke Zura? Maknanya dari pukul 2.00 pagi tadi kau tak tidur-tidur Qai?”

Aku diam.

“Nissa, masuklah tidur. Nanti kau jatuh sakit pulak, pergi tidur ya?”

Aku geleng.

“Tak boleh tidur?”

Aku angguk.

“Nak kita orang temankan malam ni?”

Aku pandang muka Maisarah, kemudian beralih pada Azura. Gadis itu menggenggam erat tanganku semula.

“Kalau nak, kita orang temankan.”

“Tak apalah. Esok sekolah kan?”

“Kita orang boleh pergi dari sini.”

Aku geleng perlahan.

“Assalamualaikum.”

Serentak kami semua menjawab salam dan berpaling. Hisham? Lelaki itu tersenyum. Along juga berdiri di sisinya. Aku pandang Maisarah, serentak kami menjeling Azura. Gadis itu sedikit terpempan. Mungkin tidak menyangka jejaka idaman berdiri di depan mata. Secara tidak sengaja juga mataku terpandang Hasnul Amin yang bermuka serius. Peliknya dia merenung tepat ke arah along.

“Saya cuma nak ucapkan takziah pada awak Qairunissa.”

Aku memberi senyuman hambar lagi. Risau juga kalau-kalau Azura berkecil hati. Aku jeling gadis itu. Matanya masih merenung Hisham.

“Ni semua bestfriend Nissa ya?”

“Haah, kenalkan ni Mai, Zura, Hasnul dan Azrai.”

“Err, korang ni abang aku, Afnan dan ni aku rasa korang dah kenalkan, budak SMPS, Hisham.”

Mereka mengangguk dan saling berjabat tangan.

“Oh, ni abang kau.”

Hasnul Amin tersengih. Aku hanya berkerut kening. Tiba-tiba along dekatkan mukanya ke telingaku.

“Budak ni ke?”

Ha? Budak ni? Budak mana? Budak apa? Aku terpinga-pinga dengan soalan along itu. Agaknya along maksudkan Irfan kot. Budak lelaki yang kononnya melukakan hati aku.

“Oh, eh bukan, bukan.”

“Sure?”

“Haah.”

“Oh, okey. So, Nissa pergi rest dulu ya? Tak tidur-tidur lagi ni.”

“Haah, betullah apa yang kau cakap Zura, Qai tak tidur-tidur. Patutlah dah macam zombie aku tengok.”

Kata-kata Maisarah itu mengundang tawa mereka semua. Aku turut tergelak kecil. Biarlah, biar rupa parasku ini jadi bahan tawa. Aku tahu mereka hanya bergurau. Mereka hanya mahu mewujudkan sedikit suasana ceria. Mungkin rimas dengan keadaanku yang muram dan kusam.

“Qai, pergilah masuk. Kita orang pun nak balik dah ni.”

Aku merenung Azrai.

“Thanks semua.”

Aku bangun dengan perlahan. Lemah sungguh rasa tubuhku ini. Kepala mula berdenyut-denyut. Along menuntun aku masuk. Aku berpaling ingin melambai tangan pada mereka. Aku lihat tiga orang lelaki itu memandang tepat ke arahku. Hanya Maisarah dan Azura saja yang tersenyum dan membalas lambaianku.

Wasiat Cinta 16

Tihani bersiap-siap untuk pulang. Mengemas beg pakaiannya dan barang-barang Mikhail. Selepas makan tengahari nanti dia akan pulang semula ke Shah Alam. Umminya masih sibuk di dapur, membantu ibu mertuanya menyediakan juadah tengah hari. Fendi pula menghantar Mimi ke stesen bas. Gadis itu perlu pulang awal kerana ada kuliah petang nanti. Mikhail pula telah dipinjam oleh Tok Seman dan Tok Timah, jiran ibu mertuanya. Yang bumbung rumahnya boleh nampak dari tingkap biliknya itu. Tihani tergelak kecil. Boleh pula anaknya itu dipinjam-pinjam, macam barang pula.

Tihani turun semula ke dapur menjenguk sekiranya ada kerja yang perlu dibantu. Nampaknya sudah hampir siap kesemuanya. Dia menuang jus oren dan berlalu keluar menuju ke pangkin. Duduk menjuntai kaki sambil mengambil angin. Walaupun mentari sudah menegak, namun suasana di kampung memang berbeza. Redup dan nyaman. Suara burung dan ayam yang hendak bertelur bersahut-sahutan. Di pangkin itu di bawah pokok bunga tanjung, tiada langsung terasa bahang mentari. Tihani menghirup jus oren kemudian mendongak ke atas melihat awan yang berbagai bentuk. Agaknya Faizal boleh melihat atau tidak dari atas sana? Mungkin Faizal sedang memerhatikannya.

‘Abang, Hani rindu.’

Tihani tersenyum. Seolah-olah dapat melihat gambaran Faizal yang juga tersenyum dari atas, di sebalik awan seperti bermain sorok-sorok dengannya. Pandangannya beralih ke arah Toyota Vios milik Fendi yang memasuki halaman rumah. Dia tersenyum melihat Fendi yang keluar dari perut kereta. Dan sudah pastilah senyumannya itu berbalas.

“Dah hantar Mimi?”

Tihani memulakan bicara bila melihat Fendi mengatur langkah mendekatinya.

“Dah naik bas pun. Mikhail mana? Tidur ke?”

Renungannya dijatuhkan ke wajah Tihani. Hairan melihat gadis itu santai seorang diri.

“Tok Timah pinjam.”

Tihani tergelak kecil.

“Oh, sayang betul dia orang pada Mikhail ya?”

“Itulah, semua orang sayang dia. Agaknya kesiankan dia anak yatim kot.”

“Mungkin jugak. Tapi rasanya, bukan Mikhail sorang saja yang disayangi ramai. Ada sorang lagi.”

“Ya ke? Siapa orang tu?”

“Mama Mikhail.”

Fendi merenung tepat ke dalam mata Tihani.

“Betul ke? Siapa yang sayang mama Mikhail tu?”

Tihani mengukir senyum cuba menutup gugup tatkala direnung tajam oleh Fendi.

“Nenek Mikahil, Opah Mikhail dan…”

Fendi tidak dapat meneruskan kata-kata. Tiba-tiba dadanya terasa sempit, jantung berdegup tidak normal, nafasnya menjadi tidak keruan. Semuanya di adun menjadi satu rasa. Rasa takut. Takut malu. Malu andainya Tihani menolak. Haruskah dia berterus-terang sekarang?

“Dan..?”

“Paklong Mikhail.”

Akhirnya dia bersuara perlahan. Tetapi Tihani dapat mendengarnya. Jantungnya berdegup kencang. Seperti baru habis berlari acara empat ratus meter saja. Fendi merenung tepat ke anak mata Tihani sekali lagi. Kali ini dia mendapat sedikit keyakinan diri. Keyakinan yang sepatutnya muncul sepuluh tahun dulu. Saat dia jatuh hati kepada gadis itu.

“Kenapa diam?”

“Hmm.. tak tahu nak cakap apa.”

“Kelu?”

Tihani diam lagi. Memang dia kelu. Apa yang harus dia katakan? Dia tunduk sambil merenung kaki, merenung tanah, meninjau-ninjau sekiranya ternampak cacing, boleh saja dia menggunakan alasan itu untuk mengangkat punggung. Dia tidak betah untuk duduk di situ lagi. Tetapi kakinya seakan lumpuh untuk bangun. Punggungnya seakan telah dipaku di pangkin itu.

“Kalau kelu, dengar aja apa yang along nak cakap ya.”

Fendi bersuara lagi bila melihat Tihani terus membisu.

“Sebenarnya.. along, along suka Hani. Along cintakan Hani.”

Akhirnya dengan sepenuh kekuatan, dia melafazkan cintanya yang selama ini hanya subur di dalam hati. Tihani tersentak. Ini memang pengakuan berani mati. Dadanya seakan mahu meletup saja. Dia mula tidak senang duduk, betul-betul tidak senang duduk. Fendi cintakannya? Betulkah apa yang dia dengar sebentar tadi? Perlahan Tihani mengangkat muka berpaling dan merenung wajah Fendi meminta kepastian. Fendi pula, seakan mengerti pertanyaan Tihani yang lahir dari sinar mata gadis itu. Dia mengeluh perlahan.

“Along dah lama jatuh hati pada Hani. Sejak kita di Teluk Intan lagi. Sejak pertama kali along terpandang Hani jual nasi lemak.”

Fendi tersenyum mengimbas memori lama. Saat pertama kali dia melihat Tihani, pertama kali melihat senyuman Tihani, pertama kali mendengar suara gadis itu. Hatinya lelakinya luluh.

“Kiranya, cinta pandang pertamalah ni?”

Tihani memberanikan diri bersuara bersama getaran halus yang menyelinap di jiwanya. Fendi tersenyum dan mengangguk. Tiba-tiba perasaan risau muncul. Mungkin lebih tepat rasa takut yang datang. Takut ditolak, takut malu.

“Tapi along lambat, angah lebih cepat. Tak sangka dia pun rasa apa yang along rasa.”

Tihani diam lagi. Membiarkan lelaki itu bersuara, meluahkan rasa hati kepadanya.

“Bila along tahu, angah pun sukakan Hani dan Hani pun suka angah, along undur diri. Bagi chance kat you all berdua. Bagi along, kebahagiaan angah lebih penting dari diri sendiri. Dan ternyata dia gembira. Dia bahagia hidup bersama Hani bukan?”

Fendi tersenyum memandang Tihani. Terasa lega dapat meluahkan segala isi hati yang terpendam sejak sekian lama. Terasa bongkah beban yang digalasnya selama ini sudah terlepas.

“Faizal tahu?”

Lambat-lambat Tihani mengajukan soalan itu. Terharu dengan pengorbanan Fendi terhadap arwah kembarnya sendiri. Fendi mengangguk perlahan.

“Bila?”

“Hani ingat tak kali terakhir Hani dan angah balik masa nak melenggang perut dulu?”

Tihani mengangguk. Masakan boleh lupa. Malam itu angin Faizal lain macam. Dia murung.

“Hmm, masa tulah.”

Sehingga kini Fendi tidak boleh lupa malam terakhir dia bersama Faizal. Malam yang membongkar segala rahsia hatinya. Malam yang menimbulkan aura tegang antara mereka berdua. Mata Tihani membulat. Sekarang barulah dia tahu kenapa Faizal bermurung sepanjang malam. Sepatah ditanya sepatah juga yang dijawabnya. Rupanya Faizal sedang marah, Faizal sedang bersedih. Dia dan Fendi mencintai gadis yang sama. Mencintai dirinya.

“So, macam mana? Along ada peluang tak?”

“Along, Mimi macam mana? Diakan suka along.”

“Along tak suka dia, along anggap dia macam adik aja.”

“Tapi..,”

Tihani tidak dapat meneruskan kata-kata. Dia rasa serba-salah. Dia rasa bersalah. Bersalah pada Faizal. Bersalah pada Mimi. Tetapi dia takut untuk menolak. Bimbang Fendi terguris hati. Ini akan menjejaskan hubungan baiknya dengan Fendi selama ini.

“Tapi apa? Hani tak boleh terima?”

Fendi mengukir senyuman manis buat Tihani. Dia tahu gadis itu serba-salah. Dia akur kalau selepas ini Tihani membencinya.

“Hani minta maaf along, Hani tak boleh.”

Wajah Fendi sedikit kelat, sedikit kecewa. Dia sudah dapat menebak. Pedih di hati bagai ditusuk belati tajam. Ngilu dan sakit.

“Along faham, Hani confused bukan? Hani ambillah seberapa lama masa yang Hani mahu. Along sedia menunggu. Kalau sepuluh tahun dulu along sanggup tunggu apa lagi sekarang,”

Tihani senyum. Nasib baik Fendi mengerti akan perasaannya. Ya, dia perlu masa. Semua ini terlalu mendadak. Dia tidak boleh menerimanya. Terasa dirinya telah mengkhianati cinta Faizal.

“Along tak akan mendesak Hani, apa lagi memaksa. Hani fikirlah. Cuma along nak Hani tahu, along sayangkan Hani, sayang sangat.”

Redup matanya merenung Tihani. Pandangan mereka bertaut. Dari dalam rumah, puan Rosnah melihat adegan mereka di pangkin. Bibir tuanya mengukir senyum bahagia. Harapan Faizal mungkin akan menjadi kenyataan.

Kerana Sebuah Janji 7

“Papa ni pandai-pandai aja. Entah dari mana dia pungut budak tu!”

“Dani! Hati-hati bila bercakap!”

Hishamuddin membulatkan matanya merenung anak tunggalnya itu. Memang Dani suka cakap lepas. Mewarisi dari siapa dia sendiri tidak pasti. Mungkin juga salah dia terlalu memanjakan anaknya itu.

“Dengar dulu apa papa nak cakap Dani.”

Zarina bersuara lembut. Sesekali dikerlingnya pintu bilik anak gadis yang baru sahaja sampai ke rumahnya itu. Gadis itu disuruh merehatkan diri saja setelah melalui perjalanan yang jauh.

“Duduk. Biar papa ceritakan apa yang berlaku.”

Dani akur. Punggungnya dilabuhkan bersebelahan Zarina.

“Sebenarnya papa rasa bersalah sangat pada Dahlia.”

“Dahlia?”

“Ya, nama dia Dahlia. Dahlia bt. Harun.”

Dani mencebik. Tak sedap langsung nama dia. Macam nama orang dulu-dulu.

“Papa rasa bertanggungjawab atas kehilangan orang tuanya. Dia anak yatim piatu.”

“Kalau macam tu kenapa tak angkut aja semua anak yatim duduk dengan kita? Kan bagus buat amal jariah.”

“Dani, dengarlah dulu cerita papa, jangan menyampuk.”

Hishamuddin menggeleng perlahan. Geram dengan sikap baran anak bujangnya itu.

“Sorry.”

“Dani ingat tak last two days papa accident?”

Dani mengangguk.

“Papa telah melanggar orang tua Dahlia. Ibu dia mati ditempat kejadian. Ayah dia papa sempat bawa ke hospital. On the way nak ke hospital tu, dia pesan suruh papa jaga anak dia. Anak dia baru habis SPM. Dia suruh papa anggap anak dia macam anak papa sendiri. Dia cakap Dahlia budak baik, papa pasti suka. Masa tu papa tak tahu nak cakap apa. Papa diam aja. Agaknya bila dia tengok papa diam, dia suruh papa berjanji. Sungguh-sungguh dia suruh papa janji. Papa tak sampai hati, papa pun terimalah janji tu.”

“Papa ni selalu macam tu! Suka-suka aja buat janji dengan orang yang kita tak kenal.”

“Dani, please..”

Zarina cuba memujuk Dani yang mula panas hati dengan keputusan suaminya itu. Namun Hishamuddin pura-pura tidak dengar dengan kata-kata Dani itu.

“Sampai hospital, ayah Dahlia meninggal.”

Hishamuddin diam. Bergetar suaranya menahan sebak. Dia rasa cukup-cukup bersalah. Walaupun telah menjadi kes polis, dia tetap tidak senang hati.

“Papa siasat latar belakang mereka, di mana mereka tinggal. Papa uruskan semua hal pengebumian mereka. Pertama kali papa jumpa Dahlia, papa terus rasa bersalah. Budak tu menangis tak berhenti.”

Hishamuddin menelan air liur. Diam seketika.

“Esoknya papa cari Dahlia lagi. Tanya tentang keluarga dia. Papa cakap papa dah janji dengan ayah dia suruh jaga dia. Mujur dia mahu ikut. Kalau tak, papa akan tanggung rasa bersalah ni seumur hidup.”

“Dia tak ada saudara-mara lain ke?”

Dani sinis. Hishamuddin menggeleng.

“Dia kata dia tak kenal siapa saudara mara dia. Sebab ibu dan ayah dia orang perantau. Mereka orang Pattani.”

“Oh, patutlah dia cantik lain macam ya bang?”

“Cantik apa rupa macam tu?”

“Dani, putih melepak, ada tahi lalat kat bibir tu tak cantik ke? Muka dia bersih aja. Apalah Dani ni?”

Dani geram bila Zarina mula memberi pujian tinggi melangit pada gadis yang tak tahu asal-usul itu.

“Jadi Dani, papa harap Dani boleh terima kehadiran Dahlia di rumah ni. Papa dan mama dah sepakat nak ambil dia sebagai anak angkat. Papa harap Dani juga boleh terima dia sebagai adik angkat ya?”

“No way! Never!”

“Dani, janganlah macam tu sayang.”

“Mama, elok-elok Dani tak berkongsi mama dan papa, tiba-tiba aja nak kongsi dengan budak perempuan tu, apa hal?”

“Tapi..”

“Sudahlah Ina, biarkan Dani. Lambat-laun dia kan terima juga.”

“I told you papa, it’s never happen!”

Zarina tersentak bila terasa tangannya disentuh lembut. Segala kenangan yang bertamu tiga tahun lepas bersepai. Segaris senyuman terukir tatkala melihat Dahlia sudah sedar dari pengsan.

“Aunty menung apa?”

“Tak ada apa-apa. Lia macam mana sekarang? Pening lagi?”

“Hmm..”

“Nak makan? Aunty suruh kak Miah bawa nasi ke sini ya?”

“Tak apalah. Lia tak lalu.”

“Nak nestum?”

Dahlia senyum. Lantas mengangguk perlahan. Melihat anggukan dari Dahlia itu Zarina tersenyum lega.

“Good girl. Lia tunggu kejap ya?”


************

Pagi itu Dahlia agak kelam-kabut menuruni tangga. Bimbang jika terlepas teksi untuk ke kampus. Semua gara-gara sakit kepala yang luar biasa hebat malam tadi. Sehingga dia tidak sedarkan diri. Sehingga menyusahkan seisi rumah! Jika boleh Dahlia tidak mahu langsung menyusahkan sesiapa. Sebab itu dia lebih rela menaiki teksi dari menyuruh pakcik Ali yang hantar. Seorang pemandu yang setia berkhidmat dengan keluarga angkatnya ini.

“Lia!”

Zarina memanggil Dahlia sebaik melihat kelibat gadis itu berlalu tanpa singgah di meja makan.

“Ya?”

Langkah yang dihayun laju itu serta-merta mati.

“Tak nak makan ke? Mari sini kita breakfast sama-sama.”

“Tak apalah aunty, Lia nak cepat. Karang susah dapat cab.”

“Kalau lambat sangat suruh pakcik Ali hantarlah. Mari duduk sini.”

Dahlia serba-salah. Dia nak cepat tapi aunty Zarina pula ajak makan, nak ditolak karang kecil pula hati wanita itu. Dahlah susah payah aunty Zarina menjaga dia malam tadi. Beg sandangnya diletak, perlahan kerusi ditarik. Zarina menguntum senyum. Dahlia mengerling Dani yang tenang bersarapan. Sedikit pun tidak bersuara dari tadi. Kenapa agaknya? Selalunya Dani suka cari pasal dengan dia.

“Lia nak makan apa, akak ambilkan.”

“Eh, tak apa tak apa, Lia ambil sendiri. Akak tak makan ke?”

“Lia makanlah dulu, akak nak sudahkan kerja kat dapur tu.”

Dahlia menganggguk sambil tersenyum manis. Dani mencuri pandang, sedikit terpempam saat melihat senyuman manis gadis itu. Dia ada lesung pipit! Sungguh, inilah pertama kali dia melihat senyuman manis Dahlia beserta lesung pipit di sebelah kanannya. Masakan tidak, Dahlia belum pernah tersenyum begitu pada dia. Cepat-cepat dia mengalih pandangan bila mata mereka berlaga.

“How are you today? Sakit lagi?”

“Tak. Dah okey. Thanks sebab aunty dah susah payah jaga Lia.”

“Tak susahlah. Lia kan anak aunty juga.”

Dahlia tersenyum lagi. Kali ini Dani tak sanggup nak tengok lama-lama. Hanya sekilas saja yang dia mampu. Entah kenapa dia rasa sangat pelik dengan perasaan sendiri. Berdebar tak tentu hala. Sehingga lenanya malam tadi sedikit terganggu. Gelora jiwanya yang hebat malam tadi benar-benar menggusarkan dirinya. Dia tidak tahu kenapa.

“Okeylah aunty, Lia betul-betul dah lambat ni.”

“La, sikitnya makan? Kenyang ke ni?”

“Tak apa, kalau Lia lapar karang Lia makan kat kafe aja ya? Aunty jangan risaulah.”

“Betul ni? Tak tipu?”

“Promise aunty.”

Dahlia tergelak. Sekali lagi Dani terpukau. Ketawa Dahlia indah berlagu. Ah, sudah! Kenapa dengan dia? Macamlah baru sehari saja Dahlia tinggal di sini. Baru dia nampak semuanya tentang Dahlia. Matanya, senyumnya, lesung pipitnya, ketawanya, tubuhnya, ah, semuanyalah! Dani menggetap bibir. Sedar-sedar saja gadis itu sudah tiada di depan mata. Bingkas dia bangun.

“Eh, Dani pun dah makan?”

“Hmm.. kenyang dah. Sorry ma.”

“Iya ke kenyang ni?”

“Iya ma. Tak apalah, Dani dah lewat. Karang stuck dalam jam pulak.”

“Hmm.. yelah. Drive carefully.”

“Sure. Bye ma.”

Dani menyalam Zarina. Sebuah ciuman dilayangkan ke pipi ibunya yang masih anggun itu. Zarina hanya menggeleng kepala melihat telatah Dani. Bukannya dia buta, bukannya dia tidak nampak. Sekilas ikan di laut, sudah kenal yang mana jantan yang mana betina.. Zarina berharap Dahlia belum dapat teksi lagi. Cepatlah Dani, peluang tak selalu akan datang.