Prolog & Melankolik Cinta Casandra 1

Bunga-bunga yang beraneka warna dan jenis itu belum pernah dia lihat sebelum ini. Belum pernah dia hidu bunga-bunga sewangi ini. Segar. Cassandra memandang sekeliling. Tiada sesiapa di sini. Hanya dia. Bagai berada di ladang bunga pula. Semuanya cantik-cantik belaka. Cuaca yang elok, langit yang membiru dan udara yang nyaman menjadi pelengkap kepada taman secantik ini.

Cassandra melangkah perlahan-lahan. Kedua-dua tangannya didepangkan untuk merasai bunga-bunga itu sepanjang kakinya melangkah. Melintuk-liuk kuntuman-kuntuman itu saat berlaga dengan telapak tangannya. Cassandra tersenyum riang. Asyik sekali dia memerhati sekitarnya. Begitu cantik! Dia benar-benar tidak pernah melihat kesemua jenis bunga-bunga itu. Seolah-olah bunga-bunga itu datangnya dari syurga. Siapakah yang tanam?

Cassandra terus melangkah. Dia tidak tahu ke mana arah destinasinya. Dia hanya menurut langkah kaki. Penuh berhati-hati. Bimbang juga akan merosakkan tanaman orang. Dia memetik sekuntum bunga lalu diselitkan di celah telinganya. Cassandra tersenyum lagi. Cantikkah dia memakai bunga ini? Dia memandang keliling. Sunyi. Hanya deruan sang bayu yang kedengaran. Pasti berlaga dengan daun dan bunga-bungaan di situ sehingga menghasilkan bunyi yang mengasyikkan. Bagai ada irama pula. Sememangnya dia terhibur. Cassandra meneruskan langkah sambil menghirup udara segar. Sesegar embun pagi. Namun perasaan cuak tetap muncul dalam dirinya. Adakah bahaya sedang menantinya?

Langkah kakinya terhenti saat terpandang seorang wanita berpakaian serba putih. Wanita itu berdiri di tengah-tengah bunga-bungaan di situ. Persisnya seperti bidadari sahaja. Dia tidak jelas siapa. Yang pastinya wanita itu berhijab lengkap. Hanya mata saja yang nampak. Cassandra cuba mendekati untuk memastikan adakah wanita itu benar-benar wujud atau hanya illusi semata-mata. Cassandra melangkah perlahan-lahan sehinggalah jarak di antara dia dan wanita itu hanya tinggal beberapa meter sahaja. Cassandra berdiri kaku.

Wanita itu menghulurkan tangan.

Cassandra mula teragak-agak. Dia cuba memandang di belakangnya. Mana tahu andai ada orang lain yang dimaksudkan oleh wanita itu, namun jangkaannnya meleset. Memang dari tadi tiada sesiapa pun, yang ada hanya dia. Jadi wanita itu maksudkan dirinya? Wanita itu menghulurkan tangan kepadanya? Tidak semena-mena jantungnya berdegup laju. Dia cuak. Siapakah wanita itu? Jelmaan bidadari atau syaitan? Sekali lagi Cassandra teragak-agak. Ingin pergi menyambutnya atau membiarkan saja? Perasaannya kuat ingin mendekati, namun akal warasnya menolak bulat-bulat. Dia berdiri kaku di situ. Masih berkira-kira untuk mendekati wanita itu atau tidak. Cassandra buntu. Siapakah wanita itu?


Bab 1


Dia bermimpi lagi rupanya. Sudah tiga malam berturut-turut dia bermimpi benda yang serupa. Mimpi yang dia tidak tahu apa maknanya. Cassandra meraup wajah bujur sirihnya yang sedikit basah disapa manik-manik halus. Malam ini terasa panas. Nak kata penghawa dinginnya rosak, tidak pula. Entah kenapa dia berasa hangat dan meruap.

Cassandra melangkah lemah ke arah jendela yang bertabir nipis. Diselak lembut tabir nipis yang berwarna putih salji itu lalu telapak tangannya menolak jendela kayu bercermin gelap ke arah luar. Tanpa segan silu semilir malam menerobos ke dalam kamarnya lewat jendela yang sudah terperangah. Tiada seculin pun rasa gentar di dalam diri gadis itu menanggapi pekat malam. Sepasang mata sepetnya meratah setiap keindahan di dada langit. Terkebil-kebil menafsir sendiri mengapa malam diciptakan, mengapa bintang menghiasi dan mengapa bulan sebagai penyeri? Ternyata dia tidak mampu menyelak persoalan yang bermain di mindanya itu.

Cassandra mengeluh. Sejak muncul mimpi aneh itu dia rasa tidak sedap hati dan gelisah seolah-olah hendak mengambil keputusan peperiksaan SPM saja lagaknya. Matanya mengerling ke arah jam bulat berwarna merah yang elok tergantung megah di dada dinding bersebelahan pintu kamarnya. Dalam kesamaran lampu tidur dia cuba mengecilkan mata melihat jarum jam yang sentiasa berkerja tanpa henti itu. Pukul empat lima belas pagi. Sama seperti tiga hari lepas.

Cassandra berpeluk tubuh. Kehangatan yang dirasainya tadi menghilang dan kini diganti pula kedinginan embun pagi yang telah pun membangkitkan roma-roma halus yang enak bermanja di tubuh gebunya itu. Tanpa berlengah dia menutup semula jendela kayu bercermin gelap itu lalu kembali melabuhkan punggungnya di katil. Sepasang mata sepetnya sudah segar. Sesegar dedaun yang basah bermandikan embun.

Tekak yang kehausan membawa derap langkahnya ke ruang dapur. Peti sejuk berjenama Samsung itu dibuka sambil matanya melilau melihat isi perut peti sejuk itu. Dia mencebik. Tiada yang menarik seleranya tika ini lalu peti sejuk itu ditutup semula. Dia mencapai pula cangkir seramik yang terjuntai di penyangkutnya. Hanya air suam saja yang menjadi pilihan hati.

Cassandra mengeluh lemah. Kotak fikirannya masih menerawang ke setiap detik kemunculan mimpi yang tidak pernah diundang kedatangannnya itu. Entah kenapa mimpinya kali ini pelik benar? Seolah-olah cuba memberitahunya sesuatu. Dia amat pasti mimpi itu mempunyai maksud. Apakah maksud mimpi itu? Haruskah dia mencari si bijak pandai yang boleh menafsir mimpi?


***


Soleha membetulkan tudung labuhnya. Wajah mulusnya sedikit pucat menahan nyeri di bahagian bawah pusatnya yang tidak semena-mena datang menyerang. Namun dia gagahi diri untuk bertahan dan cuba mengumpul seluruh kekuatan yang ada. Hari ini tidak boleh tidak dia mesti hadir ke sekolah. Anak-anak muridnya ada peperiksaan dan kertas Agama Islam yang diajarnya bermula pada pukul sembilan setengah pagi.

Sepasang kakinya melangkah perlahan ke meja makan. Segarit senyum terukir saat melihat suaminya sedang menuang air kopi ke dalam cangkir seramik berwarna kuning. Betapa beruntung dirinya memiliki suami semulia Hanafi. Tingkahnya yang santun dan tutur kata yang sentiasa lembut padanya, membuat cintanya membukit hari demi hari.

Melihat kelibat isteri tercinta menuruni tangga, Hanafi berkerut wajah. Dia segera menerpa ke arah Soleha lalu dituntun isterinya itu ke meja makan.

“Leha nak pergi juga ke?” Soal Hanafi.

Hanya anggukkan lembut berserta senyuman manis sebagai jawapan kepada soalan suaminya itu.

“Kena pergi jugak bang, minggu ni minggu exam, kebetulan hari ni paper agama. So, Leha memang kena datang,” terang Soleha. Cuba menjelaskan mengapa perlu dia hadir juga ke sekolah hari ini. Dia tidak mahu menyusahkan sesiapa jika dia mengambil cuti.

Hanafi hanya mampu menggeleng. Kedegilan Soleha sedikit sebanyak membuat dia geram bercampur bimbang. Bimbang jika Soleha tidak dapat bertahan sepanjang hari.

“Tapi Leha kan sakit? Mana boleh macam ni? Kalau jadi apa-apa macam mana?” Soal Hanafi lagi.

Kerisauannya itu dia luahkan juga pada Soleha agar isterinya itu mengerti apa yang bersarang di hatinya.

“Abang jangan risaulah. Leha tak apa-apa,” sanggah Soleha.

“Mestilah abang risau, Leha kan isteri abang? Nak pengsan kat sekolah ke?” Tanya Hanafi sedikit geram.

“InsyaAllah tak ada apa-apa,” jawab Soleha lembut. Dia mengukir senyum untuk menyedapkan hati Hanafi.

Hanafi membalas senyuman itu dengan hambar. Riak wajah yang pucat itu ditatap redup. Dia tahu Soleha berusaha sedaya-upaya menahan sakit agar tidak ketara di depan matanya. Dia tahu itu.

“Janji dengan abang, Leha kena hati-hati. Kalau jadi apa-apa, cepat-cepat call abang okey? Ubat pun mesti makan on time ya?” Pesan Hanafi. Secara tidak langsung mengizinkan Soleha bekerja hari ini.

Soleha mengangguk. “Terima kasih ya bang,” ucapnya lega.

“Sama-sama kasih,” balas Hanafi sambil menjeling geram.

Tingkahnya itu mengundang tawa kecil Soleha.

“Abang handsome tau kalau jeling Leha macam tu,” usiknya pula.

Dari berasa geram terus Hanafi tersenyum lebar mendengar pujian Soleha itu. “Baru tahu abang ni kacak lagi tampan ke?” Hanafi mengangkat keningnya. Dia tersenyum nakal.

Soleha mencebik manja. “Haah, baru hari ni Leha tahu. Maaflah tak perasan pulak suami Leha ni kacak lagi tampan sebelum ni,” balas Soleha.

“Amboi, melampaulah tu. Hari-hari tengok muka abang ni boleh tak perasan ya?”

Soleha tergelak riang. Senang hati bila Hanafi mencubit pipinya.

“Meh minum,” ajak Hanafi sambil menghulurkan secangkir kopi yang sudah suam.

Soleha menyisip perlahan kopi itu. “Hmm, sedap. Pandai abang buat kopi,” pujinya.

“Tengok oranglah,” jawab Hanafi sambil mengenyitkan matanya kepada Soleha.

Soleha tersipu. Kemudian dia merenung Hanafi semula.

“Kalau macam ni, senanglah hati Leha nak tinggalkan abang nanti, kan?”

Hanafi terkedu.

“Leha, kenapa cakap macam tu? Abang tak sukalah. Leha seronok ke nak tinggalkan abang ni?” Soal Hanafi. Tidak semena-mena hatinya terasa sebak.

“Bukan seronok. Sampai masanya nanti, Leha tetap kena pergi juga, kan?” Tanya Soleha pula.

Bukan tujuannya untuk menyakiti hati suaminya itu, tetapi dia sekadar ingin mengingatkan hakikat yang sebenar.

“Dah, dah. Jangan nak merepek pagi-pagi ni. Cepat minum, nanti kita terlambat,” kata Hanafi cuba mengubah topik.

Soleha mengangguk. Senyuman manis dia hadiahkan untuk Hanafi setelah melihat wajah keruh suaminya itu.

Hanafi membalas. Dia sedar dia cuba mengelak setiap kali Soleha mengungkit perkara ini. Bukan dia tidak mahu menerima hakikat, tetapi dia belum bersedia sebenarnya. Hanafi menarik nafas dalam. Belasnya pada Soleha bagaikan tiada kata-kata yang dapat dia luahkan. Tubuh Soleha yang montok dan gebu itu makin menyusut. Kulitnya makin kering, rambut juga banyak yang gugur.

Semenjak Soleha menghidap kanser servik, tubuh isterinya itu berubah. Pembunuh kedua wanita itu telah menyerang isterinya tiga tahun lalu. Itu pun dia mengetahuinya selepas Soleha keguguran anak sulung mereka. Setelah ujian pap smear dilakukan, doktor mengesahkan ada ketumbuhan kecil di pangkal rahim Soleha. Sel-sel di pangkal rahimnya mula tumbuh tidak normal dan membentuk satu ketumbuhan.

Hanafi menghela nafas pula. Ada hiba berlagu sayu di tasik hatinya. Ada ngilu yang menjalar di benaknya. Penyakit Soleha sudah sampai ke peringkat akhir, sudah tahap empat. Sudah merebak melalui sistem darah, berakar menjalar ke bahagian tubuh lain. Sudah sering dia menasihati Soleha agar berhenti menjadi guru agama di sekolah itu. Berehat saja di rumah. Tugas mencari rezeki itu adalah tugasnya. Tetapi kedegilan Soleha sering kali membuat dia tewas. Kerana kasih dia turutkan kemahuan isterinya itu. Kata Soleha, dia ingin berbakti buat kali terakhir untuk murid-muridnya. Dia mohon kesempatan itu diberi padanya selagi dia masih bernafas. Soleha tidak betah hanya menunggu sakaratul maut di rumah.

Hanafi takut hendak memikir segala kemungkinan yang menerpa. Dia amat pasti suatu hari nanti dia akan kehilangan Soleha. Cuma hanya menunggu detik waktu bertatih hari demi hari. Hati yang gundah cuba disirna dengan senyuman. Merenung penuh cinta wajah yang telah membuat dia tidak tidur malam suatu masa dulu. Tenang dan sentiasa tersenyum.

“Abang hantar ya?”

“Tak apalah Leha drive sendiri.”

“Tak, tak boleh. Abang tak benarkan.”

“Nanti abang lambat pula?”

“Tak mengapa.”

Soleha beralah setuju. Tidak mahu terus meningkah suara sang suami yang tegas dalam kelembutan. Tidak mahu mewujudkan suasana tegang akibat kedegilannya lalu menjemput hadir amarah suaminya itu. Kesempatan yang diberi oleh Hanafi untuk dia terus bekerja hari ini adalah satu nikmat dan pada pandangannya itu sudah cukup baik. Dia tidak perlu mempertikaikan keperihatinan suaminya itu terhadap dirinya. Memang itu wajar dilakukan oleh seorang suami sebaik Hanafi. Soleha berjeda dan terpekur seketika hingga menggamit tanda tanya pada roman wajah Hanafi.

“Kenapa Leha?”

“Nanti Leha nak balik macam mana?”

“Oh, abanglah yang ambil. Leha call abang bila dah selesai semuanya ya?” Seulas bibir Hanafi mengukir senyuman berserta anggukan kecil.

Ingin menghapuskan segala kerisauan yang menjentik hati Soleha. Mana mungkin dia membiarkan isteri kesayangan pulang sendirian di saat-saat begini? Hanya lelaki yang tidak berjiwa penyayang saja tega membiarkan insan kesayangannya mengharungi kepayahan. Kepada Illahi, dia panjatkan syukur kerana telah meminjamkan jiwa yang pengasih dan penyayang untuk dicurahkan kepada isteri tercinta.

“Dah bang? Jomlah!”

Gemersik suara Soleha membuat fikirannya bercempera. Serentak itu dia mengangkat punggung dan memimpin Soleha menuju ke kereta. Pintu kereta dibuka istimewa buat Soleha. Senyuman madu yang dihadiahkan isterinya itu benar-benar menggugah jiwa lelakinya. Serasa bersemangat saja untuk dia bekerja pagi ini. Usia perkahwinannya yang sudah pun mencecah tiga tahun itu tidak pernah sekalipun mengundang jemu di hatinya. Tidak pernah jenuh dengan kerenah isterinya. Malah kasih yang tercipta sejak sekian lama itu semakin hari semakin segar. Bagai bunga mawar yang baru berkembang di waktu pagi.

Kereta Peugeot 406 miliknya sudah meluncuri jalan raya yang sedikit lembab akibat hujan sepanjang malam tadi. Sekilas dia memandang Soleha yang bersandar lesu. Walaupun wajah itu agak tidak bermaya, manisnya tetap menggoda. Wajah Soleha persis gadis Arab. Matanya yang bundar itu diserikan dengan hidung yang mancung terletak. Berkulit putih kuning. Jika dia merenung nakal ke wajah isterinya itu, pasti wajah yang putih kuning itu bertukar merah. Sangat jelas dan tidak boleh diselindung. Hanafi tahu, suatu hari nanti dia pasti akan merindui wajah kesayangannya itu.




2 Suara Merdu Anda:

sufy danni said...

Best jgk novel ni kak Nozi. Smoga novel ni dpt dbukukn sprti akulah cinderella... cepat sambung yer...

Anonymous said...

nie novel yg prtama saya pernh bace sblm nie tk trtarik bace novel leppas bace novel akulah cinderella saye brasa truja bez la kak nozi saye harap ade jugak smbungan akulah cinderella and good luck dngn other novel saye akan sentiase cheer kak nozi ^^.....

Post a Comment