Rajuk Sang Hati 27

“Nissa! Nissa! Bangun!”

Sayup-sayup aku dengar suara orang memanggilku.

“Nissa! Buka pintu ni cepat!”

Bergegar pintu kayu kamarku bila diketuk kuat begitu. Dalam kesamaran lampu tidur, aku renggangkan mata.

“Oh Nissa! Bangunlah nak.. atuk Nissa oii! Buka pintu ni!”

Macam suara mak. Apa mak buat kacau aku malam-malam buta ni? Aku celik mata sebelah, tengok jam di sisi katil. Dua setengah pagi?

“Nissa! Bangunlah, cepat! Atuk tu.”

Bunyi ketukan pintu makin kuat. Betul ke mak tu? Entah-entah aku mimpi tak? Tak pun bukan mak, hisyy.. seram! Aku tarik selimut sampai ke kepala. Berbungkus seketul. Bunyi pintu dah senyap. Betullah bukan mak tadi. Aku pejamkan mata rapat-rapat. Takutnya!

“Nissa, oh Nissa!”

Suara siapa pulak tu? Hisyy, kenapalah ada saja gangguan ni? Aku nak tidur dengan aman pun tak senang.

“Nissa bangunlah, atuk tenat.”

Terkebil-kebil aku dalam selimut. Macam suara along. Along sebut tenat ke penat tadi? Wait.. atuk tenat? Hah? Atuk tenat? Ya Allah! Aku bingkas menuju ke pintu. Terbentang wajah along yang muram merenung tepat ke arahku.

“Atuk…”

Tak sempat along menghabiskan kata-katanya, aku dah tolak along ke tepi lalu bergegas ke bilik atuk. Sampai di muka pintu bilik atuk, aku kaku. Mak tengah menangis sambil urut dada atuk yang berombak. Ayah pula membisik sesuatu di telinga atuk. Haikal menangis sambil mengusap kepala atuk. Aku melangkah perlahan duduk di sebelah mak. Aku dengar ayah mengajar atuk mengucap syahadah. Dada atuk berombak kuat. Pasti sakit. Atuk memandangku sayu. Aku genggam tangan atuk.

“Atuk… ampunkan dosa-dosa orang ya tuk?”

Aku kucup tangan atuk. Dadaku sebak. Perlahan-lahan mata atuk tertutup rapat. Dada atuk berhenti berombak. Kami semua saling berpandangan. Ayah letak jari telunjuknya di hidung atuk.

“Innalillah hiwainna ilahirajiun…”

Sebaik ayah mengungkap kata-kata itu, mak meraung. Haikal juga menangis. Ayah bangun tenangkan mak. Aku berpaling melihat along yang sudah duduk tersandar di pintu. Aku? Aku diam tidak bereaksi. Dadaku sebak. Aku seperti tidak percaya dengan apa yang baru berlaku. Aku bingung. Atuk dah pergi? Atuk kesayanganku dah pergi buat selama-lamanya? Tiba-tiba terasa bahuku dipeluk. Aku tahu itu along. Along mengosok perlahan bahuku. Aku diam. Aku tatap wajah atuk. Bersih wajah tua itu. Seulas bibir kedut atuk menggarit senyuman. Aku tahu atuk sudah lama menderita. Derita sakit, derita merindui nenek. Biarlah, biar atuk pergi dengan aman. Tiada apa lagi urusan atuk di dunia ini. Biar atuk pergi menemui penciptanya. Aku redha.

“Nissa..”

Aku diam. Aku tarik selimut atuk sampai ke mukanya. Aku lihat Haikal berlari keluar sambil menangis. Ayah juga sudah membawa mak keluar dari bilik atuk.

“Afnan,”

“Ya ayah?”

“Bawa Nissa ke bilik. Lepas tu sediakan apa yang patut.”

“Ayah nak ke mana?”

“Nak bagitahu tok imam. Tengok mak sekali ya?”

“Baik ayah.”

Aku diam saja mendengar arahan ayah untuk along.

“Nissa,”

Aku kaku. Mataku masih tertancap pada susuk tubuh atuk yang sudah diselubungi kain selimut. Andai aku tahu malam ni adalah malam terakhir atuk, akan aku temani atuk. Andai aku aku tahu bahawa malam tadi malam terakhir aku bersembang dengan atuk, pasti aku takkan masuk tidur awal. Andai aku tahu…

“Nissa,”

“Orang okey. Along pergilah buat kerja along.”

“Nissa, pergi masuk bilik ambil wuduk, baca yassin untuk atuk ya?”

“Orang nak duduk sini kejap. Along pergilah dulu. Karang orang buatlah.”

“Hmm, suka hatilah. Ingat jangan meratap, tak baik.”

Aku diam. Meratap? Menangis pun aku tak mampu. Airmataku seolah-olah kering, airmataku seolah-olah segan nak keluar. Hanya sebak yang sarat di dada. Hanya kesedihan mengapung suasana.


**************


Majlis tahlil atuk berjalan lancar. Orang ramai juga beransur-ansur pulang, yang tinggal hanya saudara-mara dan sahabat yang rapat dengan keluargaku. Aku lihat kesedihan ada di mana-mana saja. Di wajah-wajah mereka yang datang, di ruang tamu, di luar rumah, di dapur semuanya berwajah muram. Hanya bisik-bisik yang berdengung hasil dari perbualan sesama mereka singgah menyapa telingaku. Aku duduk di satu sudut antara bilikku dan bilik atuk. Dari tadi airmataku tidak tumpah langsung. Aku sendiri hairan. Setabah inikah aku? Atau aku masih belum menerima hakikat pemergian atuk kesayanganku?

“Qai,”

Aku renung Maisarah sayu. Azura juga sudah bersimpuh ayu di sebelahku. Belum pulang lagi teman-temanku ini. Kadang-kala rasa bertuah juga mempunyai dua orang sahabat yang sentiasa ada bersamaku.

“Qai, sabar ya. Kau mesti redha.”

“Kenapa korang tak balik lagi? Dah malam ni.”

“Jangan risau pasal kita orang Qai.”

Azura capai tangan kiriku dan menggenggam erat. Maisarah pula meraih tangan kananku dan meramas-ramas lembut. Aku hanya tersenyum hambar.

“Kawan-kawan yang lain ucapkan takziah. Cikgu Asyikin dan ustaz Arifin pun ucapkan takziah pada kau.”

Maisarah tersenyum manis.

“Qai, kau jangan risau, nanti aku bagi pinjam nota aku. Kau restlah dulu kat rumah. Kalau dah okey baru pergi sekolah ya.”

“Thanks Zura, aku tahu kau akan bagi pinjam.”

Mereka berdua tergelak. Aku hanya mengukir senyuman tawar. Tak bersemangat langsung rasanya.

“Eh, Azrai dengan Hasnul ada kat luar tau.”

Aku tersentak. Mereka berdua pun datang?

“Jomlah jumpa dia orang. Dari tadi dia orang tunggu kau keluar.”

“Kenapa dia orang tak masuk aja?”

“Dia orang segan. Dia orang kata tak manis. So, dia orang tunggu kau kat luar. Selagi dia orang tak jumpa kau, selagi tu dia orang tak nak balik.”

Betul ke? Aku lihat Azura mengenyit mata pada Maisarah.

“Haah, jomlah Qai.”

“Jom, kita orang pimpin kau.”

“Tak payah pimpinlah, aku bukan OKU.”

Mereka berdua tergelak. Aku bangun dengan malas. Melangkah perlahan ke muka pintu. Benar kata mereka, Azrai dan Hasnul Amin berdiri di tepi pagar. Bukan main segak lagi berbaju melayu dengan kopiah.

“Qai, kau macam mana? Okey ke?”

Aku angguk perlahan. Senyuman ku ukir tipis buat Azrai.

“Muka kau nampak pucat. Dah makan?”

Aku senyum hambar lagi. Mataku beralih pada Hasnul Amin yang merenung tepat ke arahku. Wajahnya serius dan kelihatan bimbang. Aku betulkan tudung. Kepalaku sedikit pusing membuat tegakku sedikit goyah.

“Aku okey, korang janganlah risau. Aku okey.”

“Muka pucat, mata bengkak, berdiri pun tak betul, masih kata okey?”

Hasnul Amin merenung tepat ke mataku. Tiba-tiba dia menarik aku duduk di dalam kanopi yang tersedia. Tiga lagi temanku hanya menurut saja. Aku duduk bersandar, kepala ku lentok pada tiang kanopi. Tiba-tiba mataku rasa berat dan letih.

“Kau letih ya Qai? Mesti kau tak tidur dari awal pagi tadi kan?”

“Ya kot Mai, aku dengar tadi mak dia kata dia orang semua tak tidur start dari arwah nazak.”

“Ya ke Zura? Maknanya dari pukul 2.00 pagi tadi kau tak tidur-tidur Qai?”

Aku diam.

“Nissa, masuklah tidur. Nanti kau jatuh sakit pulak, pergi tidur ya?”

Aku geleng.

“Tak boleh tidur?”

Aku angguk.

“Nak kita orang temankan malam ni?”

Aku pandang muka Maisarah, kemudian beralih pada Azura. Gadis itu menggenggam erat tanganku semula.

“Kalau nak, kita orang temankan.”

“Tak apalah. Esok sekolah kan?”

“Kita orang boleh pergi dari sini.”

Aku geleng perlahan.

“Assalamualaikum.”

Serentak kami semua menjawab salam dan berpaling. Hisham? Lelaki itu tersenyum. Along juga berdiri di sisinya. Aku pandang Maisarah, serentak kami menjeling Azura. Gadis itu sedikit terpempan. Mungkin tidak menyangka jejaka idaman berdiri di depan mata. Secara tidak sengaja juga mataku terpandang Hasnul Amin yang bermuka serius. Peliknya dia merenung tepat ke arah along.

“Saya cuma nak ucapkan takziah pada awak Qairunissa.”

Aku memberi senyuman hambar lagi. Risau juga kalau-kalau Azura berkecil hati. Aku jeling gadis itu. Matanya masih merenung Hisham.

“Ni semua bestfriend Nissa ya?”

“Haah, kenalkan ni Mai, Zura, Hasnul dan Azrai.”

“Err, korang ni abang aku, Afnan dan ni aku rasa korang dah kenalkan, budak SMPS, Hisham.”

Mereka mengangguk dan saling berjabat tangan.

“Oh, ni abang kau.”

Hasnul Amin tersengih. Aku hanya berkerut kening. Tiba-tiba along dekatkan mukanya ke telingaku.

“Budak ni ke?”

Ha? Budak ni? Budak mana? Budak apa? Aku terpinga-pinga dengan soalan along itu. Agaknya along maksudkan Irfan kot. Budak lelaki yang kononnya melukakan hati aku.

“Oh, eh bukan, bukan.”

“Sure?”

“Haah.”

“Oh, okey. So, Nissa pergi rest dulu ya? Tak tidur-tidur lagi ni.”

“Haah, betullah apa yang kau cakap Zura, Qai tak tidur-tidur. Patutlah dah macam zombie aku tengok.”

Kata-kata Maisarah itu mengundang tawa mereka semua. Aku turut tergelak kecil. Biarlah, biar rupa parasku ini jadi bahan tawa. Aku tahu mereka hanya bergurau. Mereka hanya mahu mewujudkan sedikit suasana ceria. Mungkin rimas dengan keadaanku yang muram dan kusam.

“Qai, pergilah masuk. Kita orang pun nak balik dah ni.”

Aku merenung Azrai.

“Thanks semua.”

Aku bangun dengan perlahan. Lemah sungguh rasa tubuhku ini. Kepala mula berdenyut-denyut. Along menuntun aku masuk. Aku berpaling ingin melambai tangan pada mereka. Aku lihat tiga orang lelaki itu memandang tepat ke arahku. Hanya Maisarah dan Azura saja yang tersenyum dan membalas lambaianku.

7 Suara Merdu Anda:

epy elina said...

wahhhh....
hisham 2 suke qai ke???

IVORYGINGER said...

Hasnul Azrai Hisham & Irfan... Jejaka yg suka kat Nissa ya writer??? Mn 1 pilihan Nissa???
Sy prefer Nissa & Hasnul. ;D

Anonymous said...

Nissa suka Irfan...
Hisham, Azrai & Hasnul suka Nissa...

apa apa pun terpulang pada Nissa.. ikut kata hati...

Tapi Hasnul is the best... sungguh perihatin...

biar org suka kat kita lebih right?...dari kita suka kat org tu lebih... hmmm, betul ker?...

Anonymous said...

Makin menarik..erm yg ni takde ura nak terbit ker dik?..Apa pun teruskan berkarya

Nozi Danisya said...

hmm.. sebenarnya ada. cuma sy dpt byk mesej di inbox facebook supaya habiskn aja di sini. entahla.. masih berfikir lg..
btw, thnx sbb menyokong.

Anonymous said...

org ckp...pilih la org yg btol2 suka kn kita,bukan ngn org yg kita sukakan tp xsuka kita pun...btol tak??

Miss As said...

semua jejaka yg suka qai ade laaaa.....so sweet:)..pape pun sad ngn pemergian arwah atuk qai

Post a Comment