Rajuk Sang Hati - Special Edition 2

Terjengket-jengket aku berjalan. Seolah-olah sedang menghendap sesuatu. Padahal aku hanya nak terkejutkan mak saja. Bukan main asyik lagi. Sambil menyanyi lagu Gurindam Jiwa. Klasik habis! Mengekek aku gelak dalam hati.

“MAKK!!”

“Opocot kau tuai padi kau!”

“Esok jangan layu-layuan!”

Aku segera menyambung latah mak sambil tergelak besar.

“Ya jangan layu-layu kau eh layulah kau eh! Nissa!”

Aku gelak terbahak-bahak sambil mengelak dari dicubit mak. Suka hati betul aku dapat menyakat mak. Sudah lama tak mengusik mak begini. Maklumlah balik pun sekali-sekala. Aku duduk bertinggung menekan perut setelah penat ketawa. Bagai nak putus nafas saja rasanya. Sambil aku mengatur nafas semula aku pandang mak yang sedang bercekak pinggang akibat geram. Cepat-cepat aku susun sepuluh jari tanda mohon maaf pada mak. Mak menjeling geram sambil mengetap bibir.

“Ampun mak.”

Aku tersengih.

“Kamu ni kan Nissa, bilalah nak berubah perangai ha? Nakalnya nauzubillah. Baik lagi si Haikal tu ha.”

Aku mencebik bila mak memuji adikku yang seorang tu. Jika Haikal dengar ni kembang-kempislah hidung dia.

“Dah jadi tunang orang pun perangai masih sama. Ubah-ubahlah Nissa. Nanti terbawa-bawa perangai gila kamu ni kat rumah mertua, baru haru-biru dibuatnya.”

Aku tersengih sambil menarik kerusi untuk duduk.

“Apa pulak yang haru-birunya mak? Kat rumah mertua nanti orang tahulah jaga diri. Mak mesti tak percaya tengok anak mak yang cun-melecun ni menjaga tingkah laku.”

“Boleh percaya ke cakap kamu ni? Risau mak. Nanti dikata orang tak pandai mengajar anak.”

“Ala mak, relekslah. Orang taulah jaga diri orang mak. Anak mak ni, sopan-santun dan lemah-lembut mesti menjadi menantu kesayangan punya.”

“Ish, perasanlah kamu! Tang mana yang lemah-lembut sopan-santun tu? Asyik nak mengacau orang aja tahunya.”

“La mak ni, tak percaya pulak…”

Aku mencebik. Sampai hati mak tak percaya yang anak dia ni seorang yang feminin dan ayu.

“Nissa, dengar sini mak nak cakap. Esok-esok ni dah jadi isteri orang, ubahlah perangai nakal kamu tu. Kalau bakal mertua kamu tu faham macam mak ni tak apalah, dibuatnya dia menyampah nanti? Tak ke diblacklistnya kamu nanti?”

Aku tergelak besar. Diblacklist? Fuh, mak aku ni kalau dapat bercakap, tabik spring dibuatnya.

“Fuyooo..mak cakap apa tadi? Diblacklistnya? Fullamak! Dahsyatnya mak?”

“Ha baru kamu tahu ya? Ingat mak tak tahu cakap orang putih ke?”

Kami sama-sama tergelak. Aduhai, inilah ibuku, inilah sahabatku. Hilangnya dia tiada galang gantinya. Aku kalau dengan mak memang kamcing habis. Bab paling best kalau menyakat mak. Memang menjadi kesukaan aku. Beruntung aku dapat mak yang sporting. Kalau datang angin sportingnyalah, kalau datang angin mak-neneknya, jenuh aku nak tadah telinga. Mahu cair tahi telinga aku ni.

“Mak along tak balik ke?”

“Macam mana nak balik? Bini dia tengah sarat tu. Baik berehat aja.”

Aku mengangguk. Tak sabar rasanya nak tunggu anak buah pertama aku lahir. Bagaimanalah rupanya nanti. Ikut along atau kak Mira, isteri along? Kalau ikut muka aku bukankah bagus? Isy, suka hati aku saja nak muka anak orang ikut muka sendiri. Sudah tentulah bayi yang bakal lahir itu mengikut ayah atau ibunya. Tak ada kena mengena dengan aku langsung. Aku tergelak kecil.

“Ha, yang dok tergelak-gelak ni kenapa?”

“Eh, tak ada apalah mak. Orang tergelak sebab tiba-tiba terfikir kalau baby tu nanti ikut muka orang, kan best!”

“Banyaklah kamu punya best. Tak ada sebab musabab anak along kamu tu nak ikut muka kamu ni.”

“Eh, apa pulak tak ada? Kalau orang punya enetic kuat mesti ikut punya.”

“Kalau kamu dah teringin sangat nak baby ikut muka kamu, ha, kahwin nanti beranaklah cepat-cepat. Dapatlah dia ikut muka kamu.”

“Apa mak ni? Orang lambat lagilah.”

“Lambat tak lambatlah Nissa oii..hujung tahun ni kenduri lagi kita. Mak rasakan Nissa, eloklah kita siapkan sikit-sikit barang perkahwinan kamu ya. Nanti tak adalah tercicir kat mana-mana.”

“Ala, nak cicir apanya mak? Buatlah list, baru senang.”

“Kamu tu kalau bercakap memang nombor satu. Sepatah kita sepuluh dia jawab!”
Aku tergelak melihat bibir mak muncung. Agak-agak kalau sangkut baju, lepas tak? Tiba-tiba terdengar bunyi hon kereta yang agak kuat. Aku memanjangkan leher meniru aksi mak yang sedang meninjau ke luar.

“Ha, Nissa, ayah balik tu, bukakan pagar.”

“Alright mak.”

Laju saja langkah kaki ku atur mengikut arahan yang telah diberi oleh mak tersayang. Selebihnya ingin aku melepaskan rindu pada ayah pula.

0 Suara Merdu Anda:

Post a Comment