Melankolik Cinta Cassandra 15

Individu tanpa agama dan keimanan, adalah umpama binatang yang buas dan jahat, yang sentiasa menerkam. Dalam hal ini, kebudayaan dan undang-undang tidak sanggup sama sekali membatasi kejahatannya atau mempertumpulkan kuku-kuku cengkamannya.

Termenung panjang Cassandra memahami bait-bait petikan yang terdapat di dalam buku Iman Dan Kehidupan itu. Kalau tak ada agama, umpama binatang yang buas dan jahat? Mengapa sekejam itu perumpamaan yang terdapat di dalam buku ini? Jahat sangatkah insan yang tidak beragama seperti dirinya? Dia tidak jahat. Dia dari keluarga baik-baik.

Cassandra mengeluh. Akhirnya buku itu ditutupnya perlahan. Sudah penat menelaah. Sejak buku itu diserahkan padanya, dia bagaikan tidak sabar untuk membacanya. Pada mulanya agak membosankan namun lama-kelamaan dia bagai tertarik untuk meneruskan pembacaannya. Apa yang dia fahami setakat ini adalah iman dan taqwa saling berkait. Taqwa adalah satu hal yang sangat penting dan harus dimiliki oleh setiap Muslim. Taqwa adalah refleksi iman seorang Muslim kerana iman itu sendiri ertinya percaya.

“Percaya kepada Allah adalah rukun iman yang pertama.”

Terngiang-ngiang lagi tutur kata yang lembut dari Soleha. Mungkin benar kata wanita itu. Jika tidak percaya kepada Tuhan bagaimana mahu menganuti agama ini? Jadi asasnya adalah kepercayaan iaitu iman. Iman itu mungkin pada logiknya seperti akar tunjang. Jika tiada, pokok yang gah sebesar pemeluk pun boleh rebah. Orang beriman selalu berjalan ke arah yang benar. Apakah maksud berjalan ke arah yang benar itu? Apakah selama ini jalan yang dia pilih satu pembohongan? Bagaimana dia ingin mengetahui jalan itu benar atau tidak?

Cassandra mengeluh lagi. Persoalan-persoalan yang dia jawab itu merupakan logik akalnya saja. Namun tidak mustahil juga rasanya. Ah, tak boleh jadi ni, dia harus berjumpa dengan Soleha semula. Banyak persoalan yang ingin dia tahu jawapannya. Harapan Cassandra sangat besar kali ini. Dia benar-benar ingin mengetahuinya.

***

Cassandra berjalan perlahan-lahan sambil menolak troli. Matanya memerhati deretan setiap jenama syampu yang bersusun di pasaraya itu. Mencari-cari yang bersesuaian dengan rambutnya. Oleh kerana terlampau asyik sangat memerhati tanpa sedar dia telah melanggar troli seseorang.

 “Maaf,” ucapnya perlahan sambil menunduk.

“Tak mengapa, saya juga cuai,” jawab suara itu. Suara seorang lelaki.

 Mendengarkan suara itu Cassandra mendongak. Wajahnya disimbah riak terkejut. Bukankah ini suami Soleha?

 “Eh, ustaz?” Sapa Cassandra.

“Eh, awak Cassandra? Maaf, tak perasan pula tadi,” ucap Hanafi sambil tersenyum manis.

 Cassandra tergelak kecil sambil mengeleng.

“Saya juga tak perasan. Apa khabar ustaz?” Tanya Cassandra sekadar berbasa-basi.

“Saya sihat. Awak?”

“Saya juga sihat. Jika tidak, tak adalah saya bershopping di sini.” Hanafi tergelak kecil.

“Betul juga. Banyak beli barang?” Hanafi menjenguk sedikit ke dalam troli Cassandra sambil tersenyum.

“Barang dapur aja ustaz.” Hanafi mengangguk perlahan.

 “Hmm, jika begitu saya pergi dulu ya Cassandra.”

 Cassandra hanya mengangguk walaupun dia masih ingin meneruskan perbualan lagi. Ingin dia tanyakan persoalan tentang iman yang telah pun mencuit sedikit hatinya. Pada fikirannya, Hanafi juga boleh menjawab soalan-soalan itu. Bukankah dia juga seorang ustaz?

“Err, Ustaz Hanafi!” Laung Cassandra tanpa berlengah.

Langkah Hanafi terhenti seketika apabila terdengar satu suara memanggilnya dari arah belakang. Dia berpaling. Kelihatan Cassandra yang sudah jauh beberapa langkah itu sedang menggamitnya. Hanafi berkerut dahi. Dia hanya kaku di situ bila melihat gadis itu sudah pun mengatur langkah ke arahnya.

 “Maaf ustaz. Err, saya sebenarnya ada sesuatu nak bertanya pada ustaz ni,” kata Cassandra sedikit tercungap.

 “Apa dia?” Tanya Hanafi semula sambil berkerut kening.

“Err, saya rasa tidak elok bercakap di sini. Apa kata minum di mana-mana?” Pelawa Cassandra bersahaja.

Hanafi tersentak dengan pelawaan Cassandra itu. Mana mungkin dia keluar berdua-duaan dengan gadis itu walau hanya sekadar untuk minum?

 “Tak mengapa, kita berbual saja di sini. Apa halnya?” Hanafi menolak lembut. Bimbang juga Cassandra berkecil hati.

“Erm, ustaz nak cepat ke? Sebab saya bercadang nak buat sesi soal jawab sikit dengan ustaz. Boleh?” Laju saja Cassandra bertanya.

“Boleh, tak ada masalah. Tentang apa tu?”

“Iman.” 

Hanafi mengangguk perlahan. Berfikir sejenak dengan pelawaan Cassandra itu tadi. Tak akan pula nak berbual panjang lebar di sini? Hendak dijemput ke rumah pun, Soleha tiada. Isterinya itu ada kelas agama waktu-waktu begini. Nampaknya terpaksalah dia bersetuju.

“Baiklah, kita nak minum di mana?” Hanafi bertanya semula.

 “Err, di mana-manalah yang ustaz rasa selesa,” jawab Cassandra polos.

“Kalau begitu kita ke kedai mamak depan sanalah ya?” Hanafi memberi cadangan. Dia rasa di situ lebih terbuka.

“Boleh, tak ada masalah. Kalau begitu, saya pergi bayar dulu,” Cassandra tersenyum ceria.


Hanafi mengangguk sambil membalas senyuman itu.

0 Suara Merdu Anda:

Post a Comment