Melankolik Cinta Cassandra 16

‘Allahhu..,’ turut naik nafas Soleha menahan nyeri di bahagian ari-arinya. Manik-manik halus mula memercik di seluruh wajah. Berkerut-kerut dia menahan sakit yang maha hebat.

‘Allahhu…,’ ulanginya lagi. Dengan hanya menyebut nama Allah SWT saja yang dapat meredakan kesakitannya. Dengan berserah kepada Allah saja yang dapat menyabarkan hatinya. Sesungguhnya Allah itu Maha Belas lagi Maha Mengasihani.

Soleha terbongkok-bongkok menuju ke katilnya. Ingin segera merebahkan tubuhnya yang sudah tidak bermaya itu. Mujur sempat pulang ke rumah, jika tidak pasti dia akan menyusahkan orang lain andainya dia jatuh pengsan. Soleha meraba ubat yang terdapat di meja kecil di sebelah katil. Beberapa biji pil berjaya ditelan untuk menahan rasa sakit yang teramat, yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Sempat dia mengerling ke arah jam di dinding, sudah melewati angka empat petang. Sebentar nanti pasti Hanafi pulang. Pasti suaminya yang lelah itu dahaga dan kelaparan. Soleha memejam matanya seketika. Mengatur nafas dan merehatkan diri sebelum bangkit untuk menyediakan juadah buat Hanafi.

Dadanya tiba-tiba menjadi sebak. Sampai bilakah dia dapat melayani Hanafi begini? Sekejap sangat dia menjadi isteri Hanafi. Belum puas rasanya. Dia mahukan sedikit masa lagi. Sedangkan dia tahu masa itu semakin pendek untuknya. Masih banyak yang belum dia buat untuk membahagiakan Hanafi. Sungguh, dia berasa terkilan. Perlahan titisan hangat meleleh masuk ke kupingnya.

“Ya Allah, andai ditakdirkan aku menemuiMu dalam tempoh terdekat ini, izinkan aku membuat suamiku bahagia seketika. Restuilah aku Ya Allah, permudahkanlah segala urusanku. Kuatkan semangatku dan berilah ketabahan pada diriku, aku mohon sedikit kemanisan Ya Allah, sebelum Kau menjemputku. Sesungguhnya, hanya Engkau yang Maha Mengetahui setiap sesuatu, hanya Engkau yang Maha Belas. Kasihani hambamu ini, Ya Allah,” rintih Soleha dalam hiba dan esak tangis yang tiada surutnya.

Sungguh-sungguh dia berharap sangat diberi kesempatan untuk menyempurnakan hajatnya yang terakhir. Dan dia amat pasti percaturannya kali ini pasti akan membahagiakan Hanafi.


***


Matanya terasa berat untuk dibuka. Namun dia terasa dahi dan rambutnya dielus lembut. Nyaman. Soleha berusaha membuka matanya perlahan-lahan. Terhidang wajah Hanafi yang sedang tersenyum lebar memandangnya.

“Sayang dah bangun?” Lembut suara suaminya itu menyapa telinga.

Soleha menelan liur yang kering sambil berusaha membalas senyuman Hanafi. Dia cuba bangkit dari pembaringan. Namun dia rebah semula kerana hilang daya.

“Jangan bangun, Leha rehat aja. Nak apa-apa cakap aja, abang ambilkan,” tegah Hanafi.

“Abang...,” seru soleha perlahan.

“Ya sayang?”

“Dah lama ke abang balik? Dah lama ke Leha tidur?”

Hanafi tersenyum sambil mengusap-ngusap anak rambut Soleha dengan penuh kasih. Luluh hatinya melihat wajah pucat Soleha. Namun terpaksa jua dia gagahkan diri mengukir senyum demi sekeping hati Soleha.

“Hmm, abang baru balik. Abang tak tahu pula dah berapa lama Leha tidur. Leha sakit ya? Kenapa tak call abang? Kalau jadi apa-apa kan susah?”

“Leha dah okey.”

“Leha kan dah janji dengan abang? Risau abang tau bila balik tadi, panggil nama Leha tapi tak menyahut. Rasa nak gugur jantung abang tau tengok Leha terbaring macam ni,” rungut Hanafi kerisauan.

Memang dia sangat bimbang bila melihat keadaan Soleha yang terbaring tadi. Berdegup kencang jantungnya bila melihat wajah Soleha yang pucat itu sedang terlena. Bimbang jika Soleha tidur untuk selamanya.

Soleha tersenyum manis. Sekadar menyedapkan hati suaminya.

“Maafkan Leha, Leha tak tahan sangat tadi, sempat capai ubat aja, yang lain-lain tak ingat dah. Maaf ya bang?”

Hanafi hanya mengangguk perlahan.

“Sakit sangat ya sayang?” Matanya tepat memanah ke dalam mata Soleha. Ingin diselaminya penderitaan isterinya itu.

“Sakit bang… Leha tak tahan,” rengek Soleha sayu.

“Sabar ya sayang. Ingat lagi tak surah Al-Anfal ayat 46?” Tanya Hanafi cuba memujuk.

Soleha tersenyum. Dia mengangguk perlahan.

“…Allah bersama orang-orang yang sabar….”

“Pandai pun isteri abang ni. Sekarang Leha rehat, abang nak masak okey?” Kata Hanafi sambil berdiri.

“Eh, tak apa biar Leha yang masak,” Soleha berusaha untuk bangun namun ditahan oleh Hanafi.

“Tak boleh! Leha berehat aja. Hari ni biar abang yang masak,” tegah Hanafi sedikit tegas.

“Tapi bang..,” rengek Soleha.

“Tak ada tapi-tapi!” Bantah Hanafi.

Soleha mengeluh lemah. Terpaksalah dia mengalah.

“Okaylah. Kalau macam tu Leha solat Asar dululah. Dah lewat ni,” ujarnya lagi.

“Larat ke ni? Solat baring sajalah,” cadang Hanafi.

Kali ini dia membantu Soleha untuk bangun. Namun dalam masa yang sama dia berasa kurang yakin dengan kemampuan Soleha. Bimbang juga isterinya itu jatuh.

“Tak apa bang, Leha masih mampu berdiri, InsyaAllah,” sanggah Soleha penuh yakin.

              “Nak abang papah ke?”
           
              “Tak apa, tak payah. Leha boleh.”

“Hmm… hati-hati,” pesan Hanafi sambil menyoroti langkah Soleha yang lemah menuju ke bilik air.

Bagaimana sayu pandangannya begitulah pilu yang menjalar di hatinya. Kasihan Soleha. Dia menunggu seketika sehingga Soleha keluar dari bilik air. Bimbang jika isterinya itu jatuh pula. Sangkaannya meleset bila Soleha keluar dari bilik sambil tersenyum memandangnya.

“Abang kata tadi nak masak?” Soal Soleha bila melihat Hanafi masih duduk di birai katil memerhatikannya.

Dia tahu, pasti suaminya itu bimbang akan dirinya. Terdetik di hati kecilnya, sampai bila dia harus membuat suaminya risau begini?

“Nak masaklah ni,” Hanafi tersenyum lalu bangun menuju ke pintu kamar.

Sekali lagi dia menoleh melihat Soleha. Yakin bahawa isterinya boleh mendirikan solat, Hanafi pun berlalu ke dapur.


…sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar…
(Al-Anfal: 46)


***


            Aroma bihun sup menusuk ke rongga hidung tatkala Soleha melangkah ke anak tangga menuju ke ruang makan. Dia tersenyum lebar bila Hanafi menghulurkan tangan untuk menuntunnya. Tanpa berfikir panjang Soleha menyambut huluran tangan suaminya itu. Perlahan-lahan dia melangkah sambil berkerut menahan nyeri.

            “Wanginya dia...,” Hanafi tersenyum nakal sambil mencubit lembut pipi Soleha. Isterinya itu tergelak kecil.

            “Leha wangi pun untuk abang juga,” giliran Soleha menjeling manja sambil memaut lengan Hanafi menuju ke meja makan.

            “Silakan duduk tuan puteri,” kata Hanafi sambil menarik kerusi untuk Soleha.

            “Terima kasih sayang,” ucap Soleha.

Kembang hatinya bila Hanafi tersenyum manis.

            “Malam ni kita makan bihun sup aja ya?” Saran Hanafi.

            “Leha tak kisah bang. Abang dah siapkan makan malam pun, Leha dah bersyukur sangat-sangat,” ujar Soleha perlahan.

            Hanafi tersenyum sambil tangannya menyediakan semangkuk bihun sup untuk Soleha.

“Cuba Leha rasa, sedap tak? Ada apa-apa yang kurang?” Arah Hanafi sambil meletakkan semangkuk bihun sup di depan Soleha.

            Soleha menyisip sedikit sup tulang itu.

“Erm, sedap! Pandai abang masak. Boleh jadi chef ni,” usik Soleha sambil tersenyum simpul.

            Hanafi tergelak.

“Betul ke sedap? Atau nak ambil hati abang aja ni, erm?” Hanafi mengecilkan matanya. Kononnya tidak percaya dengan kata-kata Soleha tadi.

            “Cuba abang rasa sendiri,” Soleha menjeling manja.

            Tanpa berlengah Hanafi menghirup sup tulang buatannya itu. Dia mengangkat muka merenung Soleha. Kening digeraknya ke atas dua kali.

Melihat aksi suaminya itu mengundang tawa besar Soleha.

            “Boleh tahan,” kata Hanafi terus membuat aksi yang sama sekali lagi.

Suka benar dia melihat tawa Soleha itu. Sudah terlalu lama rasanya tawa itu pergi. Hanafi tersenyum lebar.

            “Dah, makan cepat, boleh makan ubat,” arah Hanafi.

            Soleha mengangguk akur. Dia tidak mahu menunggu lama kerana perutnya sudah lapar sangat. Masakan tidak, sejak dari tengahari tadi dia tidak menjamah apa-apa makanan lantaran menanggung kesakitan teramat sangat. Sampai bila dia harus menahan, dia sendiri tidak pasti. Dia hanya mampu berdoa semoga Allah memberi kekuatan jiwa dan sedikit ketabahan untuk dia menempuh sisa-sisa hidupnya.

            Hanafi tersenyum lebar melihat betapa berseleranya Soleha makan. Dia berasa puas hati dapat menyediakan juadah untuk mengisi perut isterinya yang kosong itu. Bukannya lama lagi dia dapat melayan Soleha begini. Kesempatan yang ada tidak akan dia sia-siakan.


…Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka  tanpa batas.

(Az-Zumar: 10)