Rajuk Sang Hati 28

Dingin terasa menggigit kulit di waktu-waktu kelam begini. Pagi masih muda usianya. Sesudah subuh aku terus ke sini. Ke pusara atuk. Rindu yang hadir menyentak tangkai hati. Bunyi kicauan ciak dan murai bersilih ganti. Bagai berlumba-lumba menyanyikan lagu merdu demi sebuah hati yang duka. Haruman cempaka dan sundal malam menerjah ke rongga hidung lalu aku menyedut perlahan bersama udara pagi yang basah. Ingin aku tenteramkan hati ini dengan haruman itu. Ingin aku tenangkan jiwa dengan suara merdu sang ciak dan murai.

Aku meletakkan surah yassin di sisi. Bunga aneka warna yang aku bawa bersama, ku tabur penuh kasih di atas pusara atuk yang masih merah itu. Air juga aku siram perlahan. Biar atuk rasa sejuk di bawah sana, fikirku. Sesejuk tubuhku yang kedinginan dek semilir pagi yang bercampur embun. Aku duduk semula di atas tanah merah lembab itu. Aku tidak peduli jika bajuku kotor. Aku juga tidak takut berteleku keseorangan di kawasan kubur pagi-pagi begini. Apa yang aku tahu, aku hanya ingin bersama atuk. Aku hanya mahu mengimbau segala kenangan manis bersama atuk sepanjang aku membesar, sepanjang aku menjadi cucu kesayangan atuk.

Atukku yang bernama Mustafa itu sangat penyayang orangnya. Aku tahu dia sayang semua cucu-cucunya. Tetapi aku adalah cucu yang paling manja dengannya. Kerana akulah satu-satunya cucu perempuan dia. Abang dan adikku serta sepupu-sepupuku semuanya lelaki. Macam manalah aku tak jadi nakal?

Atukku yang bernama Mustafa itu sangat rajin ke masjid, selalu tolong orang dan tidak pernah kedekut. Budi bahasanya luhur dan selalu sangat tersenyum. Aku tahu ramai yang menyenangi sikap atukku yang satu itu. Atukku juga sangat mencintai nenekku Halimaton, yang telah pergi dua tahun lalu akibat barah payu dara. Betapa deritanya atuk sejak kehilangan nenek. Betapa dia merindui kasih sayang nenek yang tidak berbelah bagi itu sehingga nyawanya terpisah dari jasad. Penyakit asmanya juga semakin menjadi-jadi sejak dia kesunyian.

Aku ingat lagi atuklah orang pertama yang mengajar aku mendirikan solat. Jika aku malas atuk akan menasihati aku. Tidak pernah atuk marah dan memukul aku. Betapa sayangnya aku pada atuk. Atuk juga yang mengajar aku mengaji sampai aku qatam quran. Pernah aku disuruh hafal sepuluh ayat lazim dalam masa lima belas minit sewaktu aku kecil dahulu. Memang atuk cukup tegas dalam didikan agama. Atuk juga pernah ajar aku bagaimana nak anyam ketupat. Tapi sampai sekarang aku tidak berjaya melakukannya. Malah atuk juga yang mengajar aku macam mana nak masak rendang. Aku tersenyum kecil. Atukku yang bernama Mustafa itu memang pakar memasak. Chef tenteralah katakan.

“Nissa, kalau atuk dah tak ada jangan nakal-nakal tahu. Dengar cakap ayah dan mak, jangan tinggal solat. Dalam ramai-ramai cucu atuk, Nissalah yang paling atuk sayang. Nissalah yang rajin jaga atuk. Nanti bila mak dan ayah Nissa jatuh sakit macam atuk, Nissa jaga mereka lebih baik dari jaga atuk, ya cu? Nissa belajar rajin-rajin ya? Buat kerja-kerja rumahtangga, esok ni bila dah kahwin senang, tak kekok. Suami akan sayang Nissa. Nissa, belajar rajin-rajin tahu. Ilmu dunia dan ilmu akhirat biar seimbang. Nak cari suami nanti biar yang beriman, ya cu?”

Tiba-tiba segala pesan atuk dulu mengapung kembali. Aku jadi sebak. Namun sekuat hati aku menahan. Atuk, kenapa atuk pergi cepat sangat? Malam kelmarin adalah malam terakhir aku bersama atuk. Kalaulah aku tahu malam tu hayat atuk akan sampai ke penghujungnya, pasti aku akan menemani atuk di saat deritanya menahan kesakitan. Aku menyesal. Menyesal kerana aku tidur awal malam kelmarin. Tiba-tiba aku teringat kata-kata atuk selepas suatu malam atuk penat akibat ketawa terbahak-bahak bila aku mengajuk cara dia menonton berita Dunia Jam 10.

“Nissa dengar cakap atuk ya, atuk cuma nak yang terbaik untuk cucu atuk yang manja ni. Nissa jangan salah anggap, jangan fikir yang bukan-bukan ya.”

“Atuk nak cakap apa ni, orang tak nak dengarlah atuk merepek.”

“Sebelum tu atuk nak tanya, cucu atuk ni dah ada yang punya?”

“Ha?”

“Bukan apa, atuk berkenan sangat dengan anak kawan atuk tu. Anak bongsu si Ali.”

“Ali mana pulak ni?”

“Ali polislah, yang bini dia jual laksa petang-petang tu.”

“Entah, tak kenal.”

“Mustahil tak kenal. Anaknya kata dia kenal kamu?”

“Siapa anak dia tuk? Satu sekolah dengan orang ke?”

“Tak kot, sekolah lain. Tapi dia kata dia kenal kamu.”

“Lantaklah. Entah siapa-siapa entah.”

“Tapi atuk kenan betul dengan budak tu. Baik, pandai hormat orang tua, rajin tolong mak dia, berbudi bahasa budaknya. Rajin ke masjid pulak tu.”

Atuk senyum. Masa itu aku lihat senyuman atuk sungguh bermakna. Aku tidak ambil pusing. Aku anggap atuk tidak serius.

“Atuk ni bukan apa, teringin nak tengok Nissa naik pelamin.”

“Atuk, orang sekolah pun tak habis lagi.”

“Apa salahnya, tanda dulu nak?”

“Tak naklah!”

Aku rasa mataku mula berkaca. Atuk kempunan nak tengok aku naik pelamin. Kesiannya atuk. Bersalahkah aku?

“Atuk tak nak paksa Nissa. Kalau boleh sebelum atuk pejam mata, biarlah atuk merasa sorang cicit.”

Buat pertama kali, airmataku gugur setelah pemergian atuk. Sungguh tinggi harapan dan impian atuk. Maafkan orang tuk, orang tak mampu nak tunaikan permintaan atuk. Orang betul-betul minta maaf. Hatiku merintih hiba.

“Nissa,”

Aku tersentak. Suara itu? Aku berpaling dan mendongak. Hasnul Amin? Lelaki itu tegak berdiri sambil matanya menyapa lembut ke wajahku. Cepat-cepat aku seka airmata yang basah di pipi. Hasnul duduk mencangkung di sebelahku.

“Kau buat apa kat sini? Tak pergi sekolah ke?”

“Tak, ponteng.”

“Kenapa?”

“Aku risaukan kau.”

“Hasnul, tak payahlah kau nak risaukan aku, aku okey.”

“Betul ke okey?”

Aku angguk. Hasnul Amin merenung sekitar pusara atuk lalu mencapai surah yassin dan mula membacanya. Aku hanya diam. Terbuai dengan alunan suara merdu Hasnul Amin. Lelaki itu pandai mengaji. Tajwidnya tiada cacat-cela. Taranumnya sungguh indah berlagu. Aku meramas-ramas tanah liat yang kemerahan dan lembab itu.

“Sebelum tu atuk nak tanya, cucu atuk ni dah ada yang punya?”

Selintas soalan atuk itu muncul semula. Seingat aku, aku tidak pernah bercerita tentang hati dan perasaanku pada atuk. Aku tidak pernah berterus-terang tentang lelaki yang aku minati. Tentang Irfan. Aku tidak pernah minta pendapat atuk tentang lelaki itu. Menyesal pula rasanya. Pasti atuk banyak pendapat dan nasihat untukku. Sebenarnya aku malu. Aku sangat malu sebab kasihku tidak pernah berbalas. Aku malu sebab aku hanya bertepuk sebelah tangan. Sedang Irfan tidak mahu bertepuk sama. Airmataku menitis lagi.

“Nissa, sabarlah.”

Aku diam. Aku tunduk.

“Redhakan atuk kau pergi. Masa dia sudah sampai, dari atuk kau menderita sakit, lebih baik redhakan.”

Aku diam lagi. Cuba sedaya-upaya menahan airmata dari tumpah. Aku tidak mahu lagi menangis di hadapan Hasnul Amin. Aku tidak mahu dia lihat aku ini gadis yang lemah.

“Aku tahu kau sayang sangat atuk kau.”

“Atuk kawan aku. Aku selalu bersembang dengan atuk. Atuk rajin layan aku. Sekarang atuk dah tak ada. Aku akan sunyi. Sekarang pun aku dah sunyi. Nanti aku nak sembang dengan siapa?”

“Aku ada. Kan aku dah cakap, aku ni pendengar yang baik.”

“Kau bukan atuk. Kau tak ada pengalaman hidup sehebat atuk. Kau langsung tak ada persamaan dengan atuk.”

“Ada. Aku lelaki macam atuk kau juga.”

Aku pandang Hasnul Amin dengan sedikit geram. Sempat juga dia buat lawak waktu begini?

“Okey, okey sorry. Aku gurau aja.”

Aku muncung.

“Atuk terkilan nak tengok aku naik pelamin. Atuk nak aku bagi dia cicit. Atuk dah ada calon untuk aku.”

Aku nampak perubahan air muka Hasnul Amin. Dia merenung tepat ke mataku.

“Tapi, aku dah tolak bulat-bulat. Aku tahu atuk frust dengan keputusan aku. Sejak tu atuk tak pernah sentuh lagi soal ni. Aku rasa bersalah.”

“Nissa, kau tak perlu rasa bersalah. Aku rasa atuk hormat pendirian kau tu. Dia pun tak paksa kan?”

Aku angguk perlahan. Memang atuk cakap tak akan paksa aku, tapi jauh di sudut hati aku ni rasa sangat bersalah.

“Perasaan bersalah itu menghantui aku. Andainya aku tahu atuk akan pergi secepat ini, pasti aku akan turutkan kehendak dia. Aku akan ketepikan kepentingan aku, asalkan atuk bahagia, asalkan atuk tak kempunan, asalkan atuk tak tinggalkan aku.”

“Ya Allah, beristighfar Nissa. Ajal atuk kau dah sampai. Biarkan dia pergi dengan aman.”

Aku tak dapat bertahan lagi. Terhenjut-henjut bahuku menahan esakan. Pecah juga empangan airmata yang cuba aku tahan. Aku menangis semahu-mahunya. Dalam esakan kesedihan itu, aku dapat rasakan Hasnul Amin mendakapku erat. Ada getar menyelit di jiwa. Ah, aku tidak peduli lagi.

“Menangislah, menangislah sepuas-puasnya Nissa. Aku temankan kau. Tapi janji dengan aku, lepas ni kau jangan menangis lagi. Doakan atuk kau bersama dengan orang-orang yang soleh.”

Aku tidak mampu untuk berkata-kata lagi. Aku doakan atuk dicucuri rahmat Allah dan ditempat bersama orang-orang yang soleh. Aku redha dengan pemergian ini. Selamat tinggal atuk. Selamat pulang ke negeri abadi.

1 Suara Merdu Anda:

Anonymous said...

makin seronoknya cite ni ye...cpt smbg ye...dh x sabar menunggu n3 baru.

Post a Comment