Melankolik Cinta Cassandra 4

Hanafi mengelap manik-manik halus di wajah Soleha. Hiba hatinya melihat kepayahan Soleha melawan sakitnya. Andainya dia dapat mengambil alih kesakitan yang dideritai oleh Soleha ketika ini, pasti dia akan menanggung segala keperitan itu. Tidak sanggup rasanya melihat isteri kesayangan berkerut wajah menahan sakit.

“Sabar ya sayang, ingat Allah. Istighfar banyak-banyak,” pujuknya lembut.

Seulas bibir Soleha mengukir senyuman. Dia tahu Hanafi pasti sangat susah hati melihat keadaan dirinya. Betapa beruntungnya dia bersuamikan Hanafi. Jika lelaki lain belum tentu akan setia menemaninya. Jika lelaki lain belum tentu boleh sesabar Hanafi. Sokongan serta kasih sayang yang Hanafi tunjukkan setiap hari begitu menyentuh nalurinya. Allah telah menganugerahkannya seorang lelaki yang baik untuk membimbing dan melindungi dia. Allah memberi dia insan yang berhati mulia serta sanggup menjaganya.

“Abang…,” seru Soleha perlahan.

Wajah Soleha direnung penuh cinta. Terbaring lemah setelah lelah seharian di sekolah. Dia bangga kerana memiliki wanita gigih ini. Walau segunung kesakitan yang harus ditempuhnya, semangat Soleha tetap gagah. Itulah yang membuat dia sangat kagum.

“Ada apa sayang?” Hanafi menyoal lembut.

Soleha menghela nafas perlahan. Ada kepayahan dalam nafasnya. Ada getar menjalar ke peti suaranya. Membuat dia amat sukar untuk bersuara. Bimbang Hanafi akan berduka, bimbang Hanafi akan memarahinya. Namun dia harus suarakan juga luahan hatinya ini. Dia tidak mahu melihat Hanafi bersusah payah menjaganya sedangkan tugas itu adalah haknya. Dia yang sepatutnya menjaga makan pakai suaminya itu.

“Kalau Leha cakap sikit abang jangan marah ya?” Tanya Soleha.

“Apa dia?” Soal Hanafi hairan.

“Abang janjilah jangan marah,” rengek Soleha manja.

“Hai, sampai takut abang marah ni, mesti ada buat salah ya?”

“Maafkan Leha. Bukan Leha buat salah, tapi Leha takut tersalah cakap aja,” tukas Soleha.

Hanafi tergelak kecil.

Dalam pada risau, dia juga tergelak sama. Agaknya sampai bila dia akan mendengar gelak tawa Hanafi ini? Bukannya dia tidak sedar semua itu, Hanafi sudah jarang ketawa. Hanafi hanya mampu tersenyum apabila melihatnya. Mungkin juga senyuman itu senyuman terpaksa demi menjaga hatinya. Dia tidak mahu keadaan berterusan begini. Senyuman dan ketawa Hanafi harus dikembalikan pada wajahnya yang tampan itu. Sudah terlalu lama senyuman dan ketawa itu pergi. Semuanya gara-gara ujian yang Allah berikan kepadanya kini.

“Leha nak cakap apa? Cakaplah abang dengar,” ujar Hanafi lembut sambil renungannya tidak langsung dikalih dari anak mata Soleha.

Soleha membalas renungan Hanafi itu. Sedikit sebanyak menghantar getar di jiwanya. Renungan itulah membuat dia terpaut pada lelaki itu lima tahun dahulu. Renungan itulah yang berjaya membawa bibit-bibit cinta ke dalam hatinya.

“Abang tak menyesal kahwin dengan Leha?” Tanyanya.

“Kenapa Leha tanya macam tu?” Soal Hanafi kembali. Berkerut dahinya kehairanan.

Soleha diam seketika. Intonasi suara Hanafi bertukar nada. Sedikit sebanyak membuat dia berasa serba salah.

“Leha kesian pada abang. Leha tak dapat jadi isteri sempurna untuk abang. Leha sakit bang… Leha tak mampu untuk bahagiakan abang,” tutur Soleha mendayu.

“Kenapa Leha cakap macam ni? Leha dah cukup membahagiakan abang selama ni,” pujuk Hanafi lembut.

Disekanya titisan jernih yang mula meleleh di pipi isterinya itu. Sungguh, dia sebak dengan soalan-soalan dari Soleha itu. Namun dia berusaha untuk tidak mempamerkannya demi menjaga hati Soleha. Demi tidak mahu isterinya itu berkecil hati.

“Yelah, sepatutnya Leha yang jaga abang, bukan abang yang jaga Leha.”

“Ada pulak cakap macam tu? Dah Leha sakit, abang jagalah. Dulu, kan abang dah janji akan menjaga dan melindungi Leha sedaya mampu? Dah lupa?”

Soleha tersenyum nipis. Masakan dia lupa janji manis Hanafi sebaik mereka menjalinkan ikatan pertunangan. Malah, bukan itu saja taruhan janji Hanafi. Kebahagiaan dan kesetiaan juga turut dilaburkan jua. Seingat dia, belum pernah lagi Hanafi memungkiri janjinya itu. Malah dia cukup bahagia sekali bersuamikan Hanafi. Cuma jarak jodoh antara dia dan Hanafi semakin pendek. Dia tahu itu. Hanafi juga tahu.

“Leha tak pernah lupa bang. Malah Leha ucapkan terima kasih pada abang kerana sanggup bersusah-payah begini. Leha sayang abang.”

“Abang seribu kali sayang pada Leha. Dah, tak payah nak susah hati lagi. Dah memang tugas abangkan? Dan abang percaya, kalau abang berada di tempat Leha sekarang, pasti Leha akan menjaga abang macam abang jaga Leha sekarang, kan? Malah, abang rasa layanan Leha pasti lebih hebat lagi.”

Soleha tergelak kecil. Inilah yang dia suka sangat tentang Hanafi. Sentiasa berfikiran positif.

“Abang tak penat ke jaga Leha?”

“Tak.”

“Abang tak jemu ke layan Leha?”

“Tak.”

“Abang tak marah ke kita tak dapat bersama?”

“Hmm… nak marah buat apa? Abang faham keadaan Leha.”

“Tapi, abang berhak dan Leha tak dapat tunaikan hak itu?”

“Tak apa, abang tak kisah. Apa yang abang mahu lihat, Leha cepat sembuh.”

“Abang tahukan Leha tak akan sembuh?”

“Kita berusaha dan bertawakal, ya? Jangan mudah putus asa.”

“Tapi….”

“Leha, kadang-kadang bila Allah ambil sesuatu dari kita, mungkin Dia nak beri sesuatu yang lebih baik. Jadi dia nak uji kita sikit. Bertahan tak kita, bersabar tak kita dengan dugaan yang diberi. Mungkin juga sakit yang Leha tanggung ini cara Allah menegur kita. Mungkin juga untuk menghapuskan dosa-dosa silam kita, kan? Jadi bersabarlah dan tawakal saja. Sentiasalah bersangka baik pada Allah, ya sayang?”
Perlahan air hangat mengalir menuruni pipi dan masuk ke dalam kupingnya. Sebak dan insaf dengan teguran Hanafi.

“Maafkan Leha bang, ampunkan segala salah silap Leha,” pintanya bersama sendu.

“Dah, dah… jangan nangis. Jangan disesali apa yang terjadi. Terima saja dengan reda. Ingat satu perkara aja, Allah sayang sangat pada Leha, tu sebab dia menguji Leha seberat ini. Dan Dia tahu Leha pasti boleh laluinya. Allah itu tidak kejam sayang.”

Memang Allah tidak pernah kejam dengan hambanya. Cuma hambanya di alam yang fana ini saja yang kejam dengan diri sendiri. Tidak pernah bersyukur dengan apa saja kurniaan yang telah diberi. Soleha mengeluh hiba. Apa yang terbuku di hati ingin disampaikan segera. Bimbang jika dia tidak punya kesempatan lagi.

“Abang…,” serunya perlahan.

“Ya, sayang?”

“Hmm… abang… hmm…” teragak-agak Soleha ingin bertanya. Suaranya bagaikan tidak mahu keluar saja.

“Apa dia? Hmm?” Hanafi menyoal lembut sambil mengukir senyum manis.

Soalan lembut Hanafi itu meruntun hati Soleha. Separuh hatinya menjerit tidak mahu. Separuh lagi membisikkan sebaliknya. Dia benar-benar kelu.

“Leha?”

Soleha membalas renungan lembut Hanafi. Tiba-tiba terasa apa yang ingin diluahkannya itu sangat menyakitkan. Dia jadi takut.

“Sayang, kenapa ni?” Soal Hanafi yang mula berasa cuak. “Sakit ke?” Tanyanya lagi sedikit cemas.

Soleha menggeleng perlahan. “Err… Leha nak cakap sesuatu, tapi takut abang marah,” jawabnya perlahan.

“Apa dia, cakaplah. Abang tak akan marah.”

“Betul ni?”

“Betul sayang. Pernah ke abang marah Leha sebelum ni?”

Soleha mengukir senyum. Memang tidak pernah sekalipun Hanafi memarahinya. Hanafi yang memiliki sifat penyayang itu memang sangat tinggi sifat sabarnya.

“Leha nak cakap apa ni?” Pujuk Hanafi lagi bila melihat Soleha terdiam.

“Hmm… abang… tak rasa nak kahwin lain ke?” Soal Soleha takut-takut.

“Leha? Apa ni?” Tanya Hanafi terkejut. Memang dia terkejut betul dengan soalan yang tidak diduganya itu.

“Maaf bang. Leha cuma mahu yang terbaik untuk abang aja. Leha tahu abang sunyi.”

“Astaghfirullahalazim. Leha, abang tak suka Leha cakap macam ni. Dah, Leha berehat aja. Jangan nak merepek yang bukan-bukan,” arahnya tegas.

“Leha tak merepek bang. Leha tak mahu menyusahkan abang lagi. Leha mahu abang bahagia,” sanggah Soleha bersungguh-sungguh.

“Leha dah tak sudi nak abang jagakan Leha lagi ke?” Hanafi menyoal sayu.

“Bukan! Bukan itu maksud Leha. Abang ni, dah janji tak nak marah, kan?”

“Mana ada marah, merajuk aja….”

Soleha tersenyum lebar. “Merajuk kenapa pulak?” Soalnya pura-pura tidak mengerti.

“Lehalah! Dah tak bagi abang jaga. Hmm… yelah, apa nak buat… orang dah tak sudi….”

“Leha sudi. Seribu kali sudi tau. Apa yang Leha maksudkan ialah Leha tak nak abang bersusah payah jaga Leha. Leha tahu abang penat, tak cukup masa. Mana nak kerja, uruskan rumahtangga kita, nak jaga Leha lagi. Kan Leha dah menyusahkan abang tu?”

“Leha, abang tak pernah rasa Leha ni menyusahkan hidup abang. Tak pernah sekalipun sayang. Memang tanggungjawab abang menjaga Leha, kan? Tak kira waktu Leha sihat atau sakit dan abang nak Leha tahu abang memang enjoy buat semua tu. Ada tak abang merungut? Tak ada, kan? Abang happy dapat bahagiakan Leha.”

“Tapi bang?”

“Tak ada tapi-tapi lagi. Sekarang abang nak Leha berehat dan jangan fikir yang bukan-bukan lagi. Apa saja cadangan Leha abang tak akan setuju,” sanggah Hanafi tegas.

Soleha tersenyum dalam kepahitan. Wajah kelat suaminya dipandang lama. Dia sedar dia tidak boleh mementingkan diri sendiri. Kebajikan Hanafi harus dia utamakan. Apa salahnya jika dia berkorban sedikit? Beralah demi melihat kegembiraan terpancar semula di wajah suami tersayang?

“Nanti kita bincang lagi ya bang?” Tanya Soleha inginkan kepastian.

Hanafi diam. Tidak mahu mengiyakan atau menidakkan permintaan Soleha itu. Biarlah masa yang menentukan. Baginya, kesihatan Soleha lebih penting dari segala-galanya. Dia mahu menjaga Soleha selagi mampu. Itu janjinya semasa termeterai ijab qabul di antara mereka. Kasihnya pada Soleha tiada mana-mana gadis pun boleh menandinginya.

“Leha tidurlah. Tidur ya? Abang ada kat luar buat kerja sikit. Kalau nak apa-apa panggil abang ya?”

Soleha tersenyum hambar. Kucupan Hanafi di dahinya menandakan cinta suaminya itu tidak pernah berubah. Sama seperti dulu. Perlahan dipejamnya mata. Ingin melupakan seketika rasa bersalah yang mula hadir. Ingin membuang jauh-jauh perasaan sedih setiap kali melihat wajah suaminya itu.



0 Suara Merdu Anda:

Post a Comment