Rajuk Sang Hati 6

Dari jauh ku lihat Irfan melangkah perlahan mengepit buku di tangannya. Pengawas lelaki itu cukup popular di sekolahku. Aktif bersukan dan berpersatuan. Memang menjadi idola pelajar perempuan. Membuat mereka tertoleh setiap kali lelaki itu melintasi mereka. Tidak terkecuali aku. Masakan tidak, lelaki berkacukan Melayu- Inggeris itu cukup menawan. Dalam diam aku memasang angan-angan ingin menjadi kekasihnya. Namun walaupun Irfan digilai ramai pelajar perempuan, sedikit pun tidak menarik perhatiannya. Dia seolah-olah tiada perasaan lansung terhadap mereka. Apalagi aku. Memandang sebelah mata pun tidak. Biarlah. Biar perasaanku ini begini selamanya. Tiada siapa perlu tahu. Aku tersenyum sendirian. Untung juga aku kena denda hari ini. Dapatlah aku melihat Irfan. Agaknya dia memang selalu pulang lewat kot. Kalau betullah, mahu saja aku didenda hari-hari, bolehlah aku selalu bertembung dengan Irfan.

“Nissa!”

Aku tersentak. Siapakah manusia yang berani memanggilku dengan panggilan manjaku itu? Panggilan itu hanya keluargaku saja yang boleh memanggilnya. Aku menoleh. Hasnul Amin?

“Hai, Nissa.”

Aku merenung tepat ke matanya. Dia pula tersenyum lawa.

“Apa kau panggil aku?”

“Nissa.”

“Kenapa kau panggil aku macam tu?”

“Kenapa? Tak boleh? Nissa tu pun nama kau juga bukan?”

“Panggil aku Qai. Semua orang panggil aku Qai, kecuali..”

“Kecuali?”

“Kecuali family aku aja. Jadi kau jangan nak pandai-pandai panggil aku macam tu.”

Hasnul Amin tersenyum.

“Aku tak nak. Aku nak panggil kau Nissa juga.”

“Kau ni kenapa degil sangat? Nak cari gaduh dengan aku ke?”

Dia tergelak.

“Dah habis cuci toilet?”

Aku menjeling tak puas hati. Suka-suka saja tukar tajuk. Aku segera berpaling. Melangkah menuju ke pintu pagar utama. Ingin segera beredar dari situ.

“Hei, tunggulah!”

Dia menyaingiku. Hati aku mula cuak. Buat ada mata yang memandang, boleh jadi gossip ni. Aku memandang keliling. Tiba-tiba jantungku berdegup kencang. Irfan! Habislah, jika dia lihat aku dan Hasnul Amin pulang bersama, terlepaslah peluang aku untuk mendekatinya.

“Marah ke?”

“Kenapa kau tak balik lagi?”

“Tunggu kau.”

“Ha?”

Langkahku terhenti. Jam di tangan ku lihat. Sudah hampir pukul tiga petang. Takkanlah dia tunggu aku? Untuk apa?

“Jawab betul-betul boleh tak?”

“Betullah. Tak percaya?”

Aku menggeleng.

“Aku rasa bersalah pula. Kau kena denda, tapi aku tak. Padahal kita sama-sama datang lewat hari ni. So, untuk tidak rasa bersalah sangat, aku tungulah kau.”

“Memanglah, kau kan budak baru. Tak tahu peraturan sekolah ini. Bukan ke itu alasan kau?”

Hasnul Amin tersengih. Kami melangkah perlahan melepasi pagar sekolah. Irfan juga melangkah perlahan. Dia melihat aku, tanpa sebarang ekpresi di mukanya. Aku hanya mampu merenungnya, juga tanpa ekpresi apa-apa. Sebenarnya aku teringin melemparkan senyum padanya tapi terasa malu pula. Takkanlah aku nak mulakan dulu? Malulah aku. Sudahnya aku pendamkan saja keinginanku itu.

“Rumah kau kat mana?”

Aku tersentak. Alamak, macam manalah aku boleh lupa Hasnul Amin ada kat sebelah aku! Dia nampak ke tingkahku yang serba tak kena tadi? Pasti dia nampak dengan jelas. Sebab itulah sikapku setiap kali bertembung dengan Irfan. Tiba-tiba mukaku terasa panas.

“Nissa?”

“Ha? Kau tanya apa tadi?”

“Aku tanya rumah kau kat mana?”

“Oh.. itu, err.. kat Taman Bintang.”

“Kau?”

“Kat Taman Golf.”

“Taman Golf? Bukan situ tempat orang kaya ke? Bas masuk situ ke?”

Hasnul Amin tersengih.

“Tak, bas tak masuk situ. Aku yang saja nak naik bas. Sepatutnya driver aku hantar pagi tadi. Tapi aku tak nak.”

“Kenapa tak nak?”

“Sebab aku tak nak gempak nanti. Biarlah aku naik bas, jauh sikit aku menapak pun tak apa. Lagipun sementara tunggu bike aku sampai dari Jakarta. Tapi, aku tak sangka pula terlewat pagi tadi.”

Oh, begitu ceritanya. Ramah pula si Hasnul Amin ni. Tapi dalam kelas tadi diam saja dia?

“Tapikan, untung juga aku naik bas hari ni, dapatlah aku kenal kau. Dapatlah aku tengok muka kelat kau tu masa cikgu Wahid denda kau.”

Dia tergelak besar. Cukup-cukup besar membuat hatiku membengkak.

“Oh, sukalah tu ya?”

“Mahunya tak. Dari dalam bilik cikgu Wahid tadi aku tahan gelak tau.”

Dia menyambung gelaknya sambil menekan-nekan perut. Sukanya dia! Aku yang tadinya cemberut juga tak dapat menahan tawa melihat keadaannya yang mentertawakan aku.

“By the way Nissa, nice to meet you. Aku harap, aku boleh jadi kawan kau.”

Dia merenung tepat ke mataku. Menghadiahkan senyuman manis. Dan aku amat pasti senyuman itu ikhlas untukku. Ya, apa salahnya, jika dia ikhlas aku juga ikhlas menerima persahabatan baru ini.

3 Suara Merdu Anda:

Post a Comment