Kerana Sebuah Janji 15

Keletihan jelas terasa. Setelah berjam-jam memandu menuju ke destinasi utama Pulau Perhentian, di Terengganu. Semasa tiba di Kuala Besut tadi, satu-satunya jalan untuk ke pulau ini, Dani sudah terasa lenguh-lenguh seluruh badannya. Namun demi melihat isterinya itu gembira dan sentiasa tersenyum, penat itu seolah-olah menjauh. Bukannya tidak mahu menaiki kapal terbang, tapi sengaja ingin memberi pengalaman
baru buat isterinya itu.

Dani menghempaskan diri di atas tilam empuk milik Awana Resort, Pulau Perhentian. Biliknya ini menghadap laut. Terasa angin yang menerobos masuk amat nyaman sekali ditambah pula bunyi ombak yang berlagu, sungguh mengasyikkan. Dani melihat Dahlia amat teruja sekali menikmati pemandangan indah di balkoni. Dani tersenyum. Dahlia kelihatan sangat manja. Dia bangun merapati isterinya itu.

Dahlia tersentak bila terasa sepasang tangan sasa melingkari pinggangnya. Malunya masih ada.

“Abaang..”

“Apa?”

“Janganlah macam ni.”

“Salah ke? Abang peluk isteri sendiri pun salah?”

Bergetar seluruh tubuh saat Dani berbisik lembut di telinganya. Hangat nafas suaminya itu menjalar ke seluruh urat nadinya. Terlintas sejenak sentuhan pertama Dani malam kelmarin.

“Lia tengok tu.”

Dahlia mengangkat muka melihat ke arah pelangi indah di dada langit. Melintang megah menayang warna-warni miliknya.

“Cantikkan?”

“Hmm.. indah sekali. Pelangi indah ciptaan Allahhuakbar.”

Kau juga indah Dahlia. Parasmu, pekertimu dan tingkahmu juga ciptaan indah Allahhuakbar. Namun kata-kata itu tidak terluah oleh Dani. Bimbang Dahlia mencurigainya, curiga tentang perasaan barunya. Perasaan kasih yang baru bercambah
buat gadis itu. Saat itu juga, perasaan bersalahnya muncul bila Juliana terlintas di
fikiran. Entah mengapa dia semakin tidak kisahkan Juliana. Kasihnya pada Dahlia ini
lebih mengatasi segalanya.

“Suka tak datang sini?”

“Suka.”

“Abang ajak pergi Bali ke Phuket ke tak nak. Kat sana lagi best, lagi cantik.”

Dahlia tersenyum. Amat payah sekali dia mengajak Dahlia pergi berbulan madu ke luar negara. Katanya dalam Malaysia pun tidak kurang hebat, katanya juga senang nak cari makan, tanpa ragu-ragu tentang halal haramnya makanan itu.

“Lain kali ya? Lagipun Lia tak boleh cuti lama-lama kan?”

“Ok stop. Abang dah cakapkan, jangan sebut pasal assignment atau apa pun urusan kita kan? Sekarang waktu kita berdua menikmati perkahwinan ini, waktu untuk kita mengenali diri masing-masing, ya sayang?”

Dahlia terkedu. Sayang? Mudahnya lelaki ini menutur kata sayang, sedangkan di hati suaminya itu masih wujud insan yang paling dia sayangi. Dahlia berkalih menghadap Dani. Merenung lembut ke arah suaminya itu.

“Ooops, sorry… tersasul.”

Dani tahu dia sudah terlepas cakap. Dahlia tersenyum nipis melihat Dani yang sudah tersengih.

“Ingat tau, abang dah janji dengan Lia.”

“Ya, abang ingat. Tapi kan, setakat sebut sayang tak akan tak boleh?”

“Tak boleh.”

“Kenapa?”

“Untuk apa nak sebut?”

“Saja-saja.”

“Dari sebut saja-saja, nanti jadi betul-betul.”

“Tapi apa salahnya betul-betul? Jatuh cinta dengan wife sendiri salah ke?”

“Abaang.. abang kan dah janji pada Lia? Mana boleh mungkir janji?”

“Ala, janji tu kita yang buat, kita juga yang boleh batalkan.”

“Abang tak ingat ke?”

“Apa dia? Ingat apa?”

“Syarat Lia kahwin dengan abang?”

Dani menelan air liur. Nampaknya Dahlia bersungguh-sungguh mahu dia mengotakan janjinya. Sedang dia berusaha memikat Dahlia, isterinya itu pula menuntut janji. Apakah Dahlia tidak merasa apa yang dia rasakan sekarang? Kebalkah hati isterinya itu?

“Abang janji dengan Lia tak akan jatuh cinta, kan?”

“Ya.”

Dani keliru. Fikirannya cuba membenarkan tentang janjinya kepada Dahlia. Sedang hatinya cuba menafikan. Malah semakin kuat meronta untuk melafazkan ayat-ayat cinta buat isterinya itu.

“Good. So, Lia tak payah risau lagi ya. Abang boleh teruskan percintaan abang dengan Juliana, Lia tak kisah. Lia pegang janji abang yang lagi satu tu.”

“Apa dia?”

“Tak akan persiakan Lia. Kan?”

“Hmm..”

“Lia betul-betul harapkan abang, Lia dah tak ada sesiapa pun.”

“Jangan risau Lia. Abang akan jaga Lia, as promised. Lia dah banyak berkorban untuk abang.”

Dahlia tersenyum. Apa betul dia benar-benar tidak kisah tentang Juliana?

Rajuk Sang Hati 33

Pagi ini aku ke sekolah dengan penuh bersemangat. Hatiku yang penuh dengan kuntum-kuntum cinta Irfan mengharum mekar. Irfan yang ku puja berkongsi perasaan yang sama denganku. Bezanya kami saling mendiamkan diri, saling memendam rasa, saling menunggu siapa yang patut mulakan.

“Hai Qai, awal hari ni?”

Azrai menyapa dengan sekuntum senyum yang agak lebar. Bukannya tidak tampan lelaki ini. Kumisnya baru saja nak tumbuh, wajahnya bersih dari anasir jerawat, alis lentik macam perempuan. Kalau tak silap aku peminatnya pun bukan sedikit. Maklumlah kapten pasukan bola sopak sekolah. Pastilah jadi tumpuan. Ironinya dia menjadi peminat setiaku sejak aku di tingkatan satu lagi. Cukup setia.

“Qairunissaku sayang, kenapa termenung?”

Aku tersentak. Sayang? Tiba-tiba wajahku meruap panas mendengar perkataan itu. Alahai Azrai, sayang sangat ke kau pada aku? Sayangnya, aku tak sayang pun pada kau. Kalau ada pun hanya sebagai kawan saja. Senyuman manis ku hadiahkan padanya.

“Macam tulah, pagi-pagi dah berwajah manis, baru bersemangat aku nak belajar.”

Aku tergelak. Menoleh ke pintu bila mendengar suara riuh Azura dan Maisarah. Mata mereka membulat.

“Qai, awalnya?”

“Mimpi apa ni?

“Tak tidur sepanjang malam ke?”

“Bukan Qai kot ni, jelmaan ke apa?”

Soalan Maisarah dan Azura yang silih berganti itu, membuat aku dan Azrai tergelak.

“Oit, korang ingat aku hantu ke?”

Mereka berdua tersengih.

“Eh, semalam kau balik awal ke? Sedar-sedar dah lesap aja.”

Aku tersengih lagi. Mahunya tak, sebaik saja mendengar kata-kata Hasnul Amin semalam, aku terasa seperti di awang-awangan. Niat hendak menonton debat hilang. Apa yang aku tahu, aku dan Hasnul Amin menyelinap keluar dari pagar sekolah dengan motorbikenya.

“Siapa menang semalam?”

“Siapa lagi, SMPSlah.”

Maisarah menepuk bahu Azura. Gadis itu kelihatan tersipu.

“Oh, hebat! SMPS memang juara debat dari dulu lagi, kan?”

“Ala, bukannya hebat sangat dia orang tu, nasib aja.”

Azrai berlalu. Kami bertiga saling berpandangan, lalu tergelak.

“Ala, jealouslah tu.”

“Pandailah, apa hal pulak dia jealous?”

“Qai, SMPS tu kan boy’s school. Yang datang tu bukan calang-calang budak, mostly anak somebody, handsome-handsome pulak tu, kan Zura?”

“Haah and for your information Qai, budak lelaki sekolah kita ni memang tak suka budak-budak SMPS tu.”

“Kenapa?”

“Sebab budak perempuan sekolah kita ni memang hilang akal kalau jumpa dia orang. Gedik, miang semua cukuplah.”

“Oh, gitu. Korang tak tergolong ke dalam gedik miang tu?”

Aku tersengih.

“Aku tak ya, Zura ni yang join the club.”

“Mana adalah! Suka-suki aja tuduh aku ya?”

“Eh, suka-suki pulak katanya. Betul apa?”

“Tak betul!”

“Betul!”

Aku hanya menggeleng melihat telatah mereka berdua dan berlalu keluar.

“Qai! Nak ke mana?”

“Toilet!”

“Ikut!”

Mereka bersuara serentak.


**************


“Koranngg..”

Tiba-tiba Azura bersuara agak kuat sambil membuka pintu tandas. Wajahnya yang cemas membuat aku dan Maisarah terpinga-pinga.

“Kenapa?”

“Emergency!”

“Emergency? Kenapa?”

“Ada pad tak?”

Kami berdua tergelak. Buat suspend saja, aku ingat apa bendalah yang emergency sangat.

“Kau ni Zura, buat suspend aja, aku ketuk kepala kang.”

“Ala Qai, janganlah marah aku, aku betul-betul emergency ni.”

“Kau tak tahu ke bila nak keluar?”

“Aku bajet lusa, mana tahu tercepat dua hari.”

“Hissy, teruk betullah kau ni Zura, agak-agak aah..”

“Entah Zura, lain kali bawalah spare, kan senang.”

“Korang ada spare tak?”

Azura tersengih.

“Mai, kau agak-agakkan patut tak aku ketuk kepala dia ni?”

Maisarah tergelak bila melihat Azura terkebil-kebil.

“Patut juga, tapi bukan sekarang.”

“Habis bila lagi? Tangan aku dah ringan dah ni, ha tengok.. tengok dah naik atas kepala Zura dah ni. Teruskan ajalah ya?”

Aku buat-buat angkat tangan hingga melepasi kepala Azura membuat Maisarah tertawa kuat.

“Dah, dah Qai. Sekarang ni kita kena cari jalan tolong Zura.”

“Qai, tolonglah akuu..”

Azura merintih. Buat pulak muka kesian, terus lemah aku dibuatnya.

“Yalah, yalah. Nak buat macam mana ni?”

“Okey macam ni, kau pergi jumpa cikgu SRT. Beli pad kat dia.”

“Siapa cikgu SRT?”

“La.. kau ni cikgu SRT pun tak kenal ke?”

“Mana aku kenal! Dulu aku bukan ambil SRT.”

“Cikgu Anis.”

“Cikgu Anis? Yang mana ek?”

Azura menepuk dahi, Maisarah pula menggeleng geram. Aku tersengih lebar. Sungguh, aku tak kenal cikgu yang mengajar subjek sains rumahtangga itu. Aku tak tipulah!

“Cikgu Anis, yang putih melepak berlesung pipit tu.”

“Oh, cikgu insaf ya?”

“Hah? Cikgu insaf?”

Mereka berdua bersuara serentak. Aku tersengih melihat gelagat mereka yang sudah berkerut-kerut kening.

“Yalah, cikgu tu dulu kan tak pakai tudung, pergi sekolah pun asyik pakai kebaya aja, sekarang bila dah pakai tudung, aku panggillah cikgu insaf.”

“Hai, Qai..Qai.”

“Silap-silap aku yang ketuk kepala kau karang.”

Aku tergelak.

“Pergilah cepat Qai!”

“Okey..okey! Cikgu insaf ya?”

Aku bertanya sekali lagi sambil melangkah laju.

“Cikgu Anislah!”


****


“Assalamualaikum cikgu.”

“Walaikumsalam, ada apa?”

Cikgu Anis menoleh. Aku melangkah perlahan ke dalam bilik guru yang sejuk dek penghawa dingin itu. Cikgu Anis yang sememangnya cantik itu tersenyum manis.

“Err.. cikgu ni, cikgu SRT kan?”

“Kenapa?”

“Err, nak beli pad cikgu, emergency ni.”

“Oh, benda tu ada di bilik SRTlah. Tapi saya tak pegang kuncinya. Cuba awak pergi cari cikgu Rozita. Dia yang pegang kunci. Boleh ya?”

“Okey, terima kasih cikgu.”

“Sama-sama.”

Loceng berbunyi dengan kuat. Aku kerling jam di tangan. Tepat 7.30 pagi. Nak tak nak aku terpaksa berdiri kaku di depan bilik guru bila lagu Negaraku berkumandang di speaker. Bermulalah subjek pertama pagi ini. Yang pastinya kami bertiga ponteng kelas. Harap-harap cikgu Ashikin tak marah. Eh? Aku yang sudah mengatur beberapa langkah, berpatah balik ke bilik guru.

“Err… cikgu, sorry ya. Err, cikgu Rozita mengajar kelas mana?”

“Awak ni, macam confident saja tadi.”

Cikgu Anis tersenyum lalu mengangkat punggung dan berjalan ke arah sebuah meja. Beliau meneliti sesuatu di atas meja tersebut. Mungkin itu meja cikgu Rozita.

“Hmm, cuba awak cari dekat form six.”

“Terima kasih cikgu.”

Aku melangkah laju ke bangunan D. Memanjat tangga satu persatu ke tingkat tiga. Mencari kelibat cikgu Rozita. Bukan cikgu Rozita ni cikgu SRT ke? Kenapa ada dekat form six pulak? Duduk sajalah kat bilik SRT tu, kan senang aku nak cari. Para pelajar tingkatan enam sedikit terpinga bila aku mula merayau-rayau di aras tingkat kelas mereka. Aku tak peduli! Satu persatu kelas tingkatan enam aku lewati, bayang cikgu Rozita pun aku tak nampak. Ha, itu pun dia! Aku kaku di depan pintu kelas 6R1 itu. Ini kelas Irfan! Alamak…

“Ya? Ada apa?”

Cikgu Rozita yang sedang mengajar tiba-tiba terhenti gara-gara aku berdiri tegak di luar kelasnya. Aku perasan, banyak mata yang memandang ke arahku. Pasti Irfan pun sedang tengok aku saat ini. Tiba-tiba aku jadi gabra.

“Err.. assalamualaikum cikgu, selamat pagi.”

Suaraku bagai tersekat di kerongkong. Cukup payah nak keluarkannya.

“Walaikumsalam, selamat pagi. Ada apa?”

“Err.. cikgu, sini kejap.”

Aku menggamit cikgu Rozita supaya datang ke arahku. Dan aku dengar suara ketawa pelajar-pelajar kelas 6R1.

“Awak yang datang ke kelas saya dan mengganggu waktu belajar palajar saya, sekarang saya ke yang datang pada awak, atau awak yang datang pada saya?”

Suara ketawa pelajar 6R1 makin kuat. Ada yang bersiul, ada yang bunyi macam kera.

“Maaf cikgu. Err, ini emergency.”

“Emergency? Siapa sakit?”

Tiba-tiba kelas itu menjadi senyap-sunyi. Aku terpandang Irfan yang sedang memandang tepat ke arahku. Mukaku panas. Malunya mana nak sorok muka ni?

“Cikgu sinilah!”

Aku tak peduli lagi. Terus menggamit cikgu Rozita datang ke arahku.

“Awak ni..”

Aku tersenyum bila cikgu Rozita mengalah dan datang kepadaku.

“Hmm, ada apa?”

“Errr.. cikgu, saya nak beli pad.”

“Oh, itu ke emergencynya?”

Aku tersengih.

“Maaflah cikgu. Cikgu Anis yang minta saya cari cikgu. Sebab dia tak ada kunci bilik SRT katanya.”

“Hmm, kejap.”

Cikgu Rozita kembali ke mejanya. Menyelongkar tas tangannya. Dia berpaling dan kembali kepadaku.

“Kuncinya ada dalam kereta sayalah. Err, macam nilah, ni saya punya awak ambil sajalah.”

Cikgu Rozita menghulurkan sekeping tuala wanita kepadaku. Tanpa berlengah aku mencapainya. Cepat-cepat aku simpan dalam poket baju. Bimbang dilihat oleh pelajar kelas itu.

“Terima kasih cikgu.”

“Hmm, lain kali sediakan payung sebelum hujan.”

Aku hanya mampu tersengih. Bukan sayalah cikgu. Saya ni budak suruhan saja. Aku cepat-cepat melangkah pergi. Sempat lagi aku menjeling ke arah Irfan. Matanya masih melekat ke arahku. Aku tunduk.

Kerana Sebuah Janji 14

Zarina mengesat airmata yang bergenang. Akhirnya, berlangsung perkahwinan ini. Dani dan Dahlia di mata kasar, amat secocok, sama sepadan. Di wajah Dani terpancar kegembiraan, Dahlia juga begitu tenang tersenyum manis. Malah kedua-dua sahabat mereka, Balqis dan Mursyid diberi penghormatan menjadi pengapit. Gurau senda Balqis dan usikan nakal Mursyid menambah perisa pada majlis ini.Jam berganjak ke pukul tiga petang, tetamu tidak putus-putus datang. Dani dan Dahlia sibuk sekali melayan hadirin yang bertandang ke walimah mereka.

“Encik Mursyid, kawan awak tu dah naik pelamin. Awak bila lagi?”

Mursyid tergelak mendengar soalan Balqis. Wajah manis itu direnung.

“Tak ada calon lagi.”

“Tak akanlah tak ada calon? Tak logik betul.”

“Kenapa pulak tak logik?”

“Muka handsome macam ni tak ada calon? Impossible.”

Mursyid tergelak lagi.

“Handsome ke?”

Balqis mencebik. Perasan pula lelaki ini. Mereka berpaling serentak bila pasangan penganti baru menghampiri.

“Hai Syid, kat sini pun nak jual minyak?”

“Banyaklah kau punya jual minyak. Sembang kosong ajalah.”

Mursyid menjeling Balqis. Gadis itu tersenyum manis.

“Lia, macam mana? Berseri-seri aja muka kau aku tengok?”

“Qis!”

Dahlia menyiku Balqis. Roman wajahnya merona merah.

“Mestilah berseri cik Balqis. Hari ni kan hari bahagia, cuba tengok orang kat sebelah saya ni, menyengih tak habis-habis dari semalam, sukalah tu dapat kahwin dengan si cantik manis Dahlia ni.”

Mursyid tersengih. Giliran Dani pula menyiku perut Mursyid.

“Sakit la woii!”

“Padan muka! Mengarut lagi.”

Sekilas dia menjeling Dahlia. Isterinya itu menunduk tapi masih mampu tersenyum manja. Cantik sekali. Seri pengantin isterinya itu begitu menyerlah. Indah berbusana merah hati. Hati yang bergetar dari tadi makin tidak keruan.

“Sudah-sudahlah pandang tu. Dah jadi hak kau pun, ha malam karang tengoklah puas-puas.”

“Mursyid!”

Dani menjegilkan matanya. Reaksi Dani itu mengundang gelak besar Mursyid dan Balqis. Wajah Dahlia panas menahan malu. Dani menggetap bibir.

“Assalamualaikum.”

“Walaikumsalam.”

Serentak mereka menjawab dan berpaling. Mata Balqis membulat. Tidak menyangka sama sekali kehadiran lelaki itu di majlis ini. Dia berbisik perlahan ke telinga Dahlia.

“Kau jemput dia?”

“Aku jemput satu kelas.”

“Tahniah Dahlia, Dani.”

Adam menghulurkan salam kepada Dani. Dani tersenyum megah lantas menyambut huluran itu dengan perasaan bangga. Aku menang Adam Firdaus! Kata-kata hati Dani itu jelas terpamer di wajahnya. Bagai memberi isyarat Dahlia adalah hak mutlak dirinya. Tidak boleh diganggu. Mata mereka bertentangan. Tajam.

“Err, dah makan Adam?”

Balqis cuba menjernihkan suasana yang sedikit tegang itu. Bimbang bila merasakan ada aura tidak puas hati di antara keduanya.

“Belum. Baru sampai, terus nak jumpa pengantin baru.”

Adam melepaskan tangan Dani lalu berpaling ke arah Dahlia.

“Awak cantik sangat hari ni. Semoga bahagia Dahlia.”

“Terima kasih.”

Dani rasa panas badannya meruap semacam. Dia tidak suka melihat senyuman manis yang Dahlia lemparkan buat Adam. Lelaki itu tidak berhak mendapat senyuman manis isterinya itu. Senyuman Dahlia itu kepunyaannya. Malah Dahlia sendiri telah menjadi miliknya. Dia tidak suka dengan apa yang baru terhidang di depan matanya sebentar tadi. Dia cemburu. Segera jemari Dahlia digenggam.

“Jom, pak anjang nak balik dah tu. Kita jumpa dia orang kejap.”

Terkocoh-kocoh Dahlia mengikut langkah besar Dani. Dengan kasut tumit tinggi yang tersarung di kakinya mana mungkin dia bisa mengikut langkah besar suaminya itu. Kainnya yang sempit itu juga penyumbang utama kepada langkahnya yang perlahan. Mursyid dan Balqis menggeleng perlahan melihat aksi mereka. Tidak lain tidak bukan pastilah kes cemburu yang memaksa Dani mengheret Dahlia meninggalkan mereka begitu saja. Adam pula hanya mampu menyoroti dengan pandangan yang sayu. Semoga berbahagia Dahlia!

*******

Pintu kamar dikuak perlahan. Bilik pengantin yang dihias indah itu cukup mendebarkan hati. Berbaur harum si bunga rampai. Merebak ke seluruh ruang dan sudut kamarnya itu. Kini kamarnya telah bertambah penghuni. Dia dan Dahlia akan mendiami kamar ini seperti pasangan lain. Menempuh detik-detik indah berdua. Akan dia cuba sedaya mampu mencurah kasih buat isteri yang baru dinikahinya itu. Walaupun kasihnya telah diletakkan syarat.

Dani melabuhkan punggung di katil menunggu Dahlia yang sedang bersolat. Sepatutnya sebagai suami, dia berjemaah dengan istrerinya tadi. Semua gara-gara terlalu asyik bersembang dengan Mursyid sehingga terlepas masa emas mereka berdua. Tak mengapalah, subuh esok dia akan pastikan dirinya menjadi imam kepada Dahlia.

“Abang tak solat?”

Tersentak Dani dengan suara lembut Dahlia. Abang? Bagus juga, dia suka. Dani tersenyum.

“Sekejap lagilah. Nak mandi dulu. Sorry tak berjemaah. Subuh esok abang janji akan jadi imam Lia.”

Dahlia tersenyum. Pertama kali Dani menyebut nama ringkasnya. Dia suka. Telekung dibuka dan dilipatnya. Dani terpegun. Pertama kali juga dia melihat rambut Dahlia. Panjang dan lurus. Cantik sekali.

“Cantik rambut Lia.”

Dahlia berpaling. Melemparkan senyuman semanis mungkin buat suami yang baru dinikahinya itu. Cuba menutup getar yang hadir saat dipuji begitu. Sebelum ini Dani tidak pernah memujinya. Malah, berada di dalam kamar berdua-duaan begini juga sudah cukup membuat jantungnya berdetak laju.

“Thanks.”

“Mari sini, duduk kat abang.”

Dani menepuk-nepuk tilam agar Dahlia duduk di sebelahnya. Gadis itu akur. Teragak-agak mengatur langkah. Arahan sang suami tidak patut diengkar. Dia melabuh punggung betul-betul di sebelah Dani. Takutnya tiada tara. Debarnya tiada tandingan. Perasaan gentar memang tidak pernah surut dari siang tadi. Dani mengelus lembut rambut panjang separas pinggang itu. Harumannya cukup meransang naluri lelakinya. Dani menarik nafas dalam.

“Terima kasih kerana Lia sudi jadi isteri abang. Abang akan cuba sedaya-upaya membahagiakan Lia.”

Setulus hati dia menutur kata-kata itu. Entah mengapa sejak melafazkan ijabkabul siang tadi, dia dapat merasakan kasihnya makin bercambah untuk Dahlia. Dia bernekad tidak mahu memarahi gadis itu tak tentu fasal lagi. Dahlia sudah cukup baik untuk menerima dirinya.

“Lia pun sama. Maaflah kalau Lia tak sempurna, kalau Lia bukan gadis pilihan abang.”

“Lia dah cukup sempurna di mata abang.”

Dani mengenggam erat jemari isterinya. Dia tidak mahu menafikan perasaannya lagi. Dia mula menyayangi isterinya itu. Mungkin kuasa Allah, yang memberi hikmah di sebalik perkahwinan yang dia tidak mahukan sebelum ini. Mungkin juga Allah telah membalikkan hatinya dari benci menjadi sayang.

“Abang nak minum?”

“Tak nak. Baru aja lepas minum dengan Mursyid tadi.”

“Oh, encik Mursyid dah balik?”

“Dah.”

“Kalau gitu, abang pergilah mandi, solat.”

“Hmm.. Lia tunggu abang ya, jangan pergi mana-mana.”

Dahlia tertunduk malu. Perasaan debarnya makin hebat bergendang. Dani tergelak melihat aksi Dahlia itu. Tidak mahu terus mengusik, dia bangun untuk menunaikan tanggungjawabnya.

Rajuk Sang Hati 32

“Adik makan apa tu? Nak sikit.”

“Pergilah ambil sendiri, pemalas betul.”

“Ala, akak nak sikit aja, kedekutnya!”

“Sikit aja tau.”

Haikal menyorong semangkuk bubur kacang kepadaku. Aku tersengih. Tanpa berlengah aku duduk berhadapan dengan Haikal. Terkebil-kebil Haikal tengok aku menghirup bubur kacangnya.

“Dah, dah pergi ambil sendiri, menyibuk aja.”

“Tak baik tau cakap macam tu kat akak. Nak merajuklah macam ni.”

“Merajuklah tak hairan pun.”

Aku buat tak tau saja dengan kata-kata Haikal itu, sebaliknya bubur kacangnya makin surut aku kerjakan.

“Dahlah akak, kata nak sikit aja. Ni dah lima enam sudu dah ni. Habislah adiknya punya.”

“Ala, adik ambil yang lain ajalah.”

“Tak nak, penat aja adik sejukkan bubur tu. Kang ambil lain kena tunggu sejuk balik. Dah, dah bak sini.”

Haikal menarik semula mangkuk bubur kepunyaannya. Aku mencebik.

“Kedekut!”

Aku bangun meninggalkannya. Haikal bermuka selamba terus menghabiskan sisa-sisa bubur kacangnya itu. Aku ke ruang tamu. Ayah menonton tv, mak pula melipat kain. Aku mengeluh panjang. Bosan pula petang-petang begini. Aku menghampiri mak.

“Mak along mana?”

“Entah, keluar agaknya.”

“Pergi mana?”

“Mak tak tahulah Nissa, melepak dengan kawan-kawan dialah tu.”

“Ala, kenapa mak tak cakap kat orang tadi? Orang nak ikut juga.”

“Kamu ni, along tu keluar dengan kawan-kawan lelaki, bukan perempuan, takkan kamu nak melepak dengan dia orang?”

“Apa salahnya.”

“Tentulah salah Nissa oii… tak manis dipandang orang.”

“Ala, along kan ada.”

“Hisyy, budak ni, tak faham bahasa gamaknya.”

Aku tersengih. Agenda untuk menyakat mak menjadi lagi.

“Bahasa apa mak?”

“Aii, mak ni bercakap dengan kamu bahasa apa? Bukan Bahasa Melayu ke?”

“Bahasa Melayu mak tak jelas.”

“Tak jelas ke kamu yang benak sangat?”

“Mak, tak baik tau cakap orang benak. Nanti orang benak betul-betul baru mak tahu.”

“Kamu ni dari mengarut merepek yang bukan-bukan, cuba tolong mak lipat kain ni, ada juga faedahnya.”

“Err, tak apalah mak tangan orang ni lenguh-lenguhlah.”

“Tengok tu, kalau disuruh buat kerja ada aja alasannya.”

Aku tersengih.

“Bukan alasanlah mak, memang betul tangan orang lenguh-lenguh ni.”

“Lenguh buat apa?”

“Err, entahlah salah tidur kot.”

Laju lidahku mereka alasan. Aku tahu mak tak percaya. Jelingan maut mak dah cukup memberitahu segalanya.

“Tengok bang, anak dara awak ni, malasnya menjadi-jadi. Hai, tak tahulah apa sudahnya kamu nanti. Kerja rumah bukan main liat nak buat.”

Aku tengok ayah. Ayahku yang sememangnya tak banyak cakap itu hanya menggeleng kepala.

“Nissa, cuba buat apa yang mak suruh tu.”

“Ala, kakak tu memang pemalas ayah.”

Belum sempat aku nak bagi alasan pada ayah, Haikal sudah muncul di belakangku.

“Amboi, sedap mulut kau mengata akak?”

“Memang betul pun.”

“Ada bukti?”

“Tadi tu apa?”

“Apa?”

“Tadi adik suruh akak ambil bubur sendiri tak nak, hentam adik punya sampai tinggal sikit.”

“Itu aja? Akak rasa sikit ajalah. Bukan luak pun.”

“Tak luak akak kata?”

“Yalah, kau sendiri yang makan banyak nak tuduh akak pulak. Kalau kedekut tu katalah kedekut.”

“Mana ada! Mak tengok akak ni.”

“Sudah! Korang berdua ni, kalau mak lagakan kepala tu baru tahu. Mak masak seperiuk, banyak lagi kat dapur tu, pergi makan puas-puas.”

“Sudah Nissa, Haikal. Macam anjing dengan kucing ya. Nissa cuba beralah dengan adik.”

“Bueekk!! Padan muka!”

Haikal menjelirkan lidahnya padaku, mengundang geram bukan kepalang.

“Ayah tengok, dia jelir lidah.”

“Haikal! Siapa yang ajar macam tu? Cepat minta maaf kat kakak.”

Aku mengangkat kening sambil tersenyum sinis. Kemenangan berpihak padaku lagi. Dengan muncung yang panjang, Haikal menghulurkan tangan.

“Maaf kak.”

“Hmm, buat lagi siap kau!”

“Sudah Nissa, pergi dapur buat kopi ayah, bawa bubur kacang sikit.”

Kali ini aku pula yang menarik muncung. Mak ni sengaja nak menangkan Haikal tau. Haikal tergelak. Aku sekeh kepala Haikal membuat dia terduduk di sofa.

“Mak, tengok kakak!”

Aku angkat kaki masuk ke bilik.


***

Selesai solat, aku termenung seketika di sejadah. Terbayang-bayang wajah arwah atuk yang tersenyum bahagia. Aku harap atuk benar-benar bahagia di sana. Di tempat yang terhijab dari pandangan manusia. Seusai melipat telekung, aku bergerak ke meja. Meneliti buku-buku latihan satu-persatu. Tiada tugasan yang cikgu titipkan untuk hari ini. Maklum sajalah, hari ini semua guru-guru sibuk dengan tugasan masing-masing mengendalikan acara debat di antara sekolahku dengan sekolah SMPS. Agaknya sekolah manalah yang menang?

Aku merebahkan diri di atas katil. Tekebil-kebil aku merenung siling rumah. Bagai tidak percaya saja apa yang berlaku hari ini. Aku tersengih sendirian. Aku golek ke kiri, tersengih. Aku golek ke kanan, tersengih lagi. Aku terlentang semula tengok siling pun, masih tersengih.

“Dia sukakan kau!”

Kata-kata Hasnul Amin di sekolah tadi betul-betul buat aku tak tentu hala sekarang. Betul ke apa yang Hasnul Amin cakapkan tu? Irfan sukakan aku juga? Aku macam tak percaya pulak.

“Tak percaya?”

“Kau jangan nak buat cerita Hasnul, peminat dia dengar kang naya aku.”

“Kau kan peminat dia juga.”

“Mana ada!”

“Jangan tipulah Nissa, aku tahu.”

“Eleh, kau tu semuanya tahu, poyo aahh..”

“Suka hati kaulah nak cakap apa, yang aku tahu aku tak silap menilai.”

“Menilai?”

“Nissa, aku tahu kau suka Irfan. Dari cara kau tengok dia pun aku dah tahu, dua kali kau menangis kerana dia kan? Itu yang aku tahu, yang aku nampaklah.”

“Dua kali? Mana ada?”

“Yang belakang bilik stor sukan tu apa? Bukan sebab dia ke? Yang kat kedai runcit, sampai campak aiskrim dalam longkang tu, bukan sebab dia juga ke?”

Dan saat itu aku hanya mampu mendiamkan diri. Hasnul Amin nampak semuanya? Tak sangka. Dia tahu aku suka Irfan dan kini aku baru tahu yang Irfan juga sukakan aku. Betul-betul diluar jangkaan. Aku tersengih lagi. Alangkah bahagianya aku rasa. Bagai diawangan rasanya. Itu baru aku dengar dari mulut Hasnul Amin. Macam manalah agaknya jika Irfan sendiri yang meluahkannya di hadapanku? Silap haribulan mahu pengsan aku di situ juga.

Akan ku nantikan hari itu tiba jua. Akan ku balas cintanya. Cuma tunggu masa dan ketika saja untuk aku ungkapkan kasih, luahkan rindu dan ucapkan sayang. Tapi macam mana kalau Irfan terus membisu? Bagaimana kalau ini adalah andaian dari Hasnul Amin saja? Bukankah segunung malu yang akan ku pikul nanti? Tak boleh jadi ni. Aku capai telefonku ingin mendail nombor Hasnul Amin, tetapi jemariku terhenti. Rasanya tidak wajar untuk aku berbuat demikian. Apa pula Hasnul Amin fikirkan nanti agaknya. Perlahan telefon itu aku letakkan di atas meja.

Aku menarik nafas sedalamnya lalu ku pejamkan mataku ini. Saat ini terimbas segalanya. Dari mula aku bercakap dengan Irfan semasa nak ke perpustakaan akibat berlaga di tangga, dan saat-saat mencemaskan semasa dia memeriksa beg sekolahku kerana jam tangan Atikah yang hilang, hingga terbit kata-kata sinis dan sikap dingin darinya, yang menjadikan aku terluka teramat sangat. Hingga yang terkini adalah hari ini. Kami berbual di balik tiang dewan utama sekolah. Seolah-olah kami sudah kenal lama. Aku tersengih lagi. Menonton bayangan wajahnya di minda saat ini benar-benar membahagiakan aku. Membuat aku tersengih-sengih sejak balik dari sekolah tadi. Aku pasti ini adalah sengih bahagia seperti yang dikatakan oleh Maisarah.

Kerana Sebuah Janji 13

“Assalamualaikum.”

Dani tersentak. Sedikit terkejut melihat Dahlia tersenyum manis di belakangnya. Perlahan gadis itu mengorak langkah ke balkoni. Senyumannya masih terukir di wajah itu. Senyuman yang mengundang getar tiba-tiba.

“Tak jawab, berdosa.”

“Err.. walaikumsalam.”

Dahlia tergelak halus. Gelihati melihat aksi gelabah Dani. Pandangan matanya ditebarkan ke dada langit. Maha suci Allah, menjadikan langit di malam hari secantik ini. Dihiasi indahnya gemerlapan bintang-bintang yang kelihatan seperti permata yang bertaburan. Di tambah pula dengan sang bayu yang memupuk lembut ke kulit wajahnya. Sedikit dingin menerobos ke dalam pakaian hingga berjaya membuat roma-romanya berdiri. Dahlia berpeluk tubuh.

Dani pelik. Dahlia tidak pernah menegurnya. Dahlia tidak pernah bermanis muka seperti ini dengannya. Pasti ada sesuatu yang memungkinkan semua ini. Wajah manis yang tak lekang dengan senyuman itu dipandang curi.

“Awak menungkan apa?”

“Tak ada apa.”

Dari ekor mata Dahlia tahu Dani sedang merenungnya. Dia tahu Dani pasti pelik dengan dirinya. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia begitu senang hati berbual dengan lelaki itu malam ini. Yang pasti dia cuba berbuat baik dengan bakal suami.

“Kira bintang ke?”

“Hah? Tak adalah. Cuba nak tenang fikiran aja.”

“Awak fikir apa?”

“Kau pun tahu kan?”

“Masalah kita?”

Dani mengangguk. Entah kenapa dia suka mendengar soalan terakhir itu. Sangat mesra bunyinya. Seolah-olah dia begitu hampir dengan Dahlia. Malah dia mula sukakan situasi ini. Berbual santai begini. Malam ini dia dapat melihat Dahlia dari sudut yang lain. Ramah dan manja.

“Awak tahu tak, tadi saya jumpa anak kucing. Comel sangat. Anak kucing tu warna kuning tompok hitam. Tapi dah comot sebab jatuh longkang kot. Saya rasa macam nak bela dia. Tapi saya tak tahu sama ada saya dibenarkan membela kucing di sini. Jadi saya serahkan pada Balqis aja. Kebetulan kucing dia pun baru aja mati.”

Dani tidak berkutik. Terpegun dengan wajah manis itu yang asyik berceloteh manja. Dani mengukir senyum. Dalam diam hatinya mengakui, dia mula menyukai perwatakan Dahlia.

“Dah bagi nama pada kucing tu?”

“Dah. Balqis bubuh nama Petot.”

“Petot?”

Dahlia tergelak manja. Sekali lagi Dani terpaku. Dia benar-benar terpesona. Duhai hati, bersabarlah.

“Haah petot. Saya tanya kenapa Petot? Dia cakap sebab ekor kucing tu kontot.”

Mereka sama-sama tergelak mesra. Dalam kesempatan itu Dani merenung ke dalam anak mata Dahlia. Ketawa mereka beransur-ansur hilang. Empat pasang mata kini bertaut mesra. Seperti biasa Dahlia hanya mampu bertahan sesaat cuma. Malah Dani juga cuba mengukir senyum dengan payah. Paluan debar semakin hebat bergendang.

“Dahlia..”

“Hmm..?”

“Pasal semalam. Aku minta maaf. Aku tahu, aku terlalu mendesak.”

“Tak apa, saya faham.”

“Kau tak akan faham Dahlia. Tanggungjawab aku sangat berat. Di rumah, di office semua masalah aku yang tanggung. Aku runsing sangat.”

“Mahu ke awak berjanji dengan saya?”

“Janji? Janji apa?”

“Awak janji, jangan jatuh cinta pada saya. Boleh?”

“Hah?”

“Kalau awak boleh berjanji dengan saya… saya setuju jadi isteri awak.”

“Hah?”

Dahlia tergelak. Hatinya tercuit gelihati melihat gelagat Dani yang kebingungan. Pasti tidak menyangka sama sekali ini keputusan dia. Keputusan yang sebenarnya amat payah sekali untuk dia timbang-tarakan.

“Boleh?”

Tanyanya lembut. Dani merenung tepat ke mata Dahlia. Apa dia salah dengarkah tadi? Dahlia setuju menjadi isteri dia? Bermakna Dahlia terima lamarannya tempoh hari? Perlahan senyuman diukir.

“Kau setuju?”

“Jika awak pun setuju dengan syarat saya tu.”

“Dahlia, aku tak tahu nak cakap apa. I’m happy. Thanks a lot Dahlia.”

“Not yet. Awak tak mengakui janji lagi.”

“Okey, aku janji. Aku janji tak akan jatuh cinta pada kau. Dan aku janji juga tak akan persiakan kau. You have my word now.”

Dahlia tersenyum. Walaupun dia sendiri tidak pasti apa yang sedang dia lakukan itu. Namun, dia lega. Sekurang-kurangnya Dani tak akan merobek-robek hatinya jika cinta itu wujud. Dan dia harus melindungi hatinya sendiri.

“So, bila kita nak kahwin?”

Dahlia tergelak lagi. Reaksi Dani yang tidak sabar itu mencuit hati. Dani pula hanya mampu menahan malu dengan keterlanjuran sendiri.

“Bincanglah dengan aunty. Saya ikut aja.”

“Hmm, boleh aku tanya sikit?”

“Apa dia?”

“Kenapa kau setuju?”

“Kerana sebuah janji.”

“Janji? Janji lagi? Janji apa pulak?”

“Saya dah berjanji dengan uncle dulu. Uncle mahu saya jadi isteri awak. Walaupun payah, akhirnya saya berjanji.”

Dani telan air liur. Jadi papa sudah merancang lebih awal dengan Dahlia? Dahlia sudi berkahwin dengan dia hanya kerana janjinya pada papa? Dahlia memang tidak mempunyai apa-apa perasan pada dia dan kini Dahlia minta dia pula berjanji agar tidak jatuh cinta pada dirinya itu. Sedangkan dia sudah mula berputik perasaan kasihnya. Di mana mahu disemainya kasih sayang yang baru bercambah itu? Dani mengetap bibir.

Rajuk Sang Hati 31

“Hasnul!”

Hasnul Amin yang sedang rancak berbual dengan beberapa orang pelajar lelaki di tangga block B, tersentak.

“Nissa? Kenapa ni?”

“Kau masih tanya kenapa? Apa yang kau sorokkan dari pengetahuan aku?”

Hasnul Amin berkerut kening. Beberapa pelajar lelaki yang melepak di tangga itu turut senyap dan memandang aku.

“Aku tak ada sorok apa-apa pun.”

“Sure?”

Aku merenung tajam ke arahnya sambil bercekak pinggang. Panas sungguh hati aku bila dapat tahu perkara yang sebenarnya. Hasnul Amin yang kononnya sentiasa ada di saat dukaku pun tak boleh diharap. Geram!

“Nissa, kenapa ni? Cuba berterus-terang?”

Lidahku tiba-tiba menjadi kelu. Nak beritahu depan dia orang semua ni ke? Aku jeling Hasnul Amin kemudian berlalu dari situ.

“Nissa, Nissa tunggu!”

Aku melangkah laju, membelok ke kiri terus ke tempat parkir kereta. Aku tahu Hasnul Amin mengejar aku. Panggilan darinya yang bertubi-tubi itu lansung tidak ku endah. Tiba-tiba lenganku disentap dari belakang.

“Nissa tunggulah!”

Hasnul Amin bersuara agak keras. Aku merenung tepat ke matanya. Buat seketika mata kami bersatu. Dua-dua memberi renungan maut!

“Apa masalahnya ni?”

“Kau!”

“Aku? Kenapa? Aku buat apa?”

“Kau buat apa, kau tanya?

Geram betul aku! Kalau dia adik aku memang dah kena lempang ni.

“Kes curi hari tu, apa cerita?”

Hasnul Amin sedikit tersentak.

“Jadi kau dah tahu?”

Dia bersuara perlahan sambil merenung tepat ke mataku. Dan renungan itu tidak setajam tadi, malah agak redup.

“Jadi betullah kau tahu?”

Dia mengangguk lemah.

“Macam mana kau tahu Nissa?”

“Dah tahu, kenapa tak beritahu aku?”

“Siapa yang beritahu kau Nissa?”

“Kenapa berahsia dengan aku?”

“Atikah sendiri yang beritahu ke?”

“Kenapa tak bersihkan nama aku?”

“Atau Irfan?”

“Jawablah soalan aku!”

Kami bersuara serentak. Renungan maut bertembung semula. Hasnul Amin menghela nafas. Jemariku diraih lembut lalu menarikku duduk di bangku kayu berhampiran kereta-kereta guru.

“Duduk dulu.”

Aku akur.

“Maafkan aku kalau aku sembunyikannya. Tapi aku ada alasan.”

“Apa alasannya?”

Suaraku mengendur.

“Kes tu aku siasat sendiri.”

“Macam mana?”

“Tak payahlah kau tahu. Yang penting aku ada saksi dan dia beritahu semuanya kat aku.”

“Siapa?”

Hasnul Amin tersenyum nipis.

“Tak payahlah kau tahu.”

“Semuanya tak payah! Aku tak kira aku nak tahu juga.”

“Tak payahlah, aku dah janji tak akan dedahkan identiti dia.”

“Kenapa? Takut? Saksi tu takutkan aku?”

“Anggaplah macam tu.”

Aku merengus tak puas hati. Sudahlah kes ni berkaitan dengan aku dan telah mencalarkan maruahku, boleh pula si Hasnul Amin ni cakap tak payah tahu? Geramnya!

“Apa yang penting, aku dah bersemuka dengan Atikah dan dia dah mengaku.”

“Kenapa tak beritahu aku? Kenapa tak cuba bersihkan nama aku?”

Hasnul Amin tersenyum nipis.

“Kau tahu kenapa dia set up kau?”

Aku diam.

“Kau tahu kan?”

“Sebab Irfan?”

“Tepat sekali.”

“Dia cemburukan Irfan?”

Hasnul Amin mengangguk.

“Kenapa?”

Hasnul Amin tersenyum lagi. Dia berpaling memandangku.

“Kau tak tahu kenapa?”

Aku menggeleng. Sebab aku suka Irfan ke? Cuak pula rasanya. Ada orang tahu ke aku suka Irfan?

“Betul kau tak tahu? Atau buat-buat tak tahu?”

“Tak tahu.”

Laju lidahku berbohong.

“Aku tahu.”

Hasnul Amin tahu? Tahu apa? Tahu aku suka Irfan?

“Apa dia?”

“Atikah suka Irfan!”

Aku terkedu. Sungguh, walaupun aku tahu ramai pelajar perempuan sukakan Irfan, walaupun ku tahu Irfan digilai ramai pelajar perempuan sekolah ini, tidak pula aku sangka Nurul Atikah juga termasuk dalam senarai.

“So, kenapa dia nak set up aku?”

“Dia geram, dia jealous.”

“Kenapa?”

“Sebab, Irfan tak sukakan dia.”

“So, apa kena mengena dengan aku?”

“Hai Nissa, Nissa. Tak dapat tangkap lagi ke? Slow betullah kau ni.”

“Amboi, sedapnya kutuk aku! Kau nampak ni?”

Aku tunjuk buku lima pada Hasnul Amin dan dia tersengih.

“Sorry, tak sengaja.”

“Cakap cepat, apa kaitannya dengan aku?”

Hasnul Amin mengeluh.

“Sebab… sebab Irfan tu sukakan orang lain.”

“Aku tak kiralah dia suka siapa pun, tapi kenapa aku yang jadi mangsa?”

“Nissa…”

“Aku tak fahamlah, aku tak kacau orang pun..”

“Nissa…”

“Tapi kenapa aku pulak yang difitnah sampai macam ni?”

“Nissa..”

“Sampai jatuhkan air muka aku.”

“Nissa!”

Aku terdiam. Hasnul Amin merenung tepat ke mataku.

“Apa?”

“Kau tahu tak?”

“Tahu apa?”

“Betul kau tak tahu apa-apa?”

“Tahu apa?”

Nadaku sedikit geram.

“Irfan..”

“Kenapa dengan Irfan?”

“Irfan..”

“Yalah kenapa dengan mamat tu?”

“Dia sukakan kau!”

Kerana Sebuah Janji 12

Asyik sekali matanya memerhati Dahlia menyiram pokok bunga. Wajah putih bersih itu nampak ayu dari jauh. Nampak tenang bagai tiada masalah yang hadir mengacau-bilau jiwanya. Tingkah Dahlia yang lembut sambil mengusap-ngusap bunga mawar itu mampu menggarit sedikit senyum tipis di bibir lelakinya. Benar kata mama, gadis itu manis sekali. Gadis itu sopan tingkahnya. Kenapa baru sekarang dia menyedari semua itu?

Gerak langkah Dahlia menjadi perlahan tatkala terasa ada sepasang mata sedang asyik memerhatinya. Mencari-cari empunya siapakah sang mata itu, Dahlia terkedu. Rasa segan menyimbah raut wajahnya bila menangkap sepasang mata Dani merenung lembut ke arahnya. Empat pasang mata itu bertaut mesra. Namun, getar yang hadir datang menyapa di jiwa membuat keadaan renung-merenung itu seketika cuma. Dahlia mula rasa tidak selesa. Kenapa Dani tengok dia begitu? Sudah lamakah dia diperhatikan? Dahlia ingin segera beredar tapi langkahnya mati bila Dani memanggil namanya.

“Sinilah kejap, aku nak cakap sikit.”

Dalam terpaksa Dahlia akur jua. Menapak perlahan ke arah lelaki itu yang enak santai di beranda rumah lantas dia melabuhkan punggungnya berhadapan Dani. Wajah serius lelaki itu direnung penuh tanda tanya.

“Kita perlu berbincang.”

Dahlia diam. Menunggu butir ayat seterusnya yang keluar dari bibir berkumis nipis itu. Bibir yang dihiasi lebam hasil dari santapan rokok yang menjadi teman karib lelaki itu.

“Tentang wasiat tu.”

Dahlia masih diam. Sikapnya itu mengundang geram di hati Dani. Baginya berdiam diri tidak akan menyelesaikan masalah. Kata putus harus dia dapatkan segera dari Dahlia. Dani tidak mahu membuang masa lagi. Syarikatnya sedang nazak. Kewangannya sangat tenat. Hanya pertolongan gadis itu mampu merubah segalanya.

“Kau dengar tak ni?”

“Dengar. Awak cakap ajalah, saya dengar.”

“Duit kat bank makin susut. Kewangan syarikat juga dah tenat. Paling lama bertahan pun 2 tahun lagi. Tender kat Brunei pun mungkin akan terlepas.”

Dani mengeluh. Matanya tepat merenung wajah yang tenang di hadapannya itu. Cukup bersahaja, cukup selamba. Seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Seolah-olah tiada apa yang merunsingkan fikiran gadis itu.

“Dahlia..”

Dani menarik nafas dalam. Sedalam-dalamnya. Dia tahu, apa yang bakal dia luahkan sebentar lagi belum tentu berhasil. Dia juga tahu tidak mudah baginya untuk melamar gadis itu. Tidak semudah dia melamar Juliana. Kerana lamarannya pada kekasihnya itu disertai bunga-bunga cinta dan impian. Betapa tidak relanya jiwa melamar gadis yang bukan menghiasi sanubarinya. Betapa segannya dia ingin melamar gadis itu menjadi suri dalam hidupnya semata-mata harta yang ingin dia warisi. Ada jalur kesal melintas di benaknya. Kesal dengan sikap sang ayah yang tidak mahu berbincang dan membuat keputusan sesuka hati tanpa kerelaan jiwanya.

“Dahlia, kita…”

Ada getar yang menjadi pengiring alunan suaranya. Mencari kata-kata yang sesuai untuk membujuk raih simpati Dahlia. Dia tahu, dia bukanlah lelaki romantis kerana cuba melamar gadis itu di waktu petang begini. Tanpa candle light dinner. Tanpa bunga. Malah tiada sebentuk cincin mahupun coklat sebagai penyeri. Dia hanya ingin menamatkan sebuah persoalan yang masih tergantung jawapannya. Jika dia tidak terdesak begini pasti akan dirancangnya sebaik mungkin bagi menambat hati nurani gadis di hadapannya itu. Dani mencari-cari sepasang mata cantik itu yang sedang merendahkan pandangannya. Lebih rela menunduk segan dari bertaut mesra dengan matanya.

“Kita.. kita kahwin?”

Bagai terlepas satu bongkah beban yang dipikulnya selama ini sebaik saja kata-kata itu berjaya diluahkan. Dani lega. Paluan debar yang menggila saat ini terus kencang menanti giliran Dahlia menyatakan keputusannya. Dani cuba bersabar dan memberi sedikit ruang untuk Dahlia. Gadis itu kaku di situ.

Dahlia merasakan dirinya seakan putus nafas. Langsung dia tidak menduga dengan apa yang terzahir dari bibir Dani. Apa yang ditakutinya selama ini sudah pun terjadi. Kini, Dani benar-benar melamarnya dan lelaki itu sangat berharap. Tegakah dia membiarkan terus harapan lelaki itu? Tapi, mampukah dia memikul padah jika kata setuju yang diberi? Dahlia celaru.

“Dahlia..”

“Saya perlukan masa.”

“Lama ke?”

“Tak tahu.”

“Jangan hampakan aku dan mama.”

“Jangan berharap terlalu tinggi.”

“Aku sangat-sangat perlukan pertolongan kau Dahlia. Apa saja permintaan kau, aku akan ikut, apa juga syaratnya akan aku penuhi, please say yes Dahlia, please..”

“Awak, tolong jangan mendesak saya. Saya perlu masa, harap awak faham.”

Dani hanya mampu menelan liurnya melihat kelibat Dahlia hilang dari pandangan mata. Berlalu bersama wajah yang memerah. Hari ini dalam sejarah, dia membuang ego dan merayu pertolongan seorang gadis demi kesinambungan hidupnya, hari ini dalam sejarah juga lima kali lamarannya ditolak. Ah, baik Juliana atau Dahlia sama saja! Menyakitkan hati!

***********

“Boleh Lia? Itu aja permintaan uncle. Memang uncle tahu, permintaan ni sangat besar. Tapi, uncle memang dah berniat nak tolong Lia. Uncle dah janji dengan ayah Lia. Uncle rasa bersalah sangat, kerana uncle Lia jadi yatim piatu. Jadi, uncle dah buat keputusan dan uncle mahu Lia terima keputusan uncle ni. Boleh Lia janji?”

“Uncle janganlah cakap macam tu. Macamlah uncle ni nak mati esok.”

Hishamuddin tergelak.

“Ajal dan maut tu bukan urusan kita Lia. Uncle cuma bersiap sedia aja. Mana tahu esok uncle betul-betul mati?”

Dahlia menelan kesat air liurnya. Kehilangan kedua orang tuanya sudah cukup meninggalkan kesan yang sangat mendalam pada dirinya, kini bapa angkatnya pula berkisah tentang kematian. Bagai belati menghiris dada, pedih dan nyeri.

“Dani pasti memberontak uncle, dia tak pernah suka Lia pun.”

“Dia terpaksa Lia. Kalau tidak dia akan muflis. Lia sanggup tengok aunty dan Dani muflis?”

“Tak. Uncle pun tahu Lia tak sekejam itu.”

“Jadi, Lia setuju dengan uncle?”

“Lia tak tahu uncle. Lia takut. Nanti Dani akan tinggalkan Lia selepas dapat apa yang dia nak.”

“Itu Lia jangan risau, tahulah uncle nak buat macam mana ya? Yang penting sekarang, uncle perlukan persetujuan Lia.”

“Tapi..”

“Tolong uncle ya? Janji dengan uncle.”

Melihat kesungguhan dari Hishamuddin dan tidak mahu mengecewakan lelaki itu, Dahlia menyata persetujuannya dan berjanji akan menjadi isteri Dani bila sampai saatnya kelak. Demi budi yang telah ditabur, demi arwah ayahnya, Dahlia tolak ke tepi soal cinta. Cinta tidak wujud di hatinya. Baginya biar cinta itu hadir dengan sendiri tanpa mencarinya. Lagipun keluarga angkatnya itu telah menjaganya dengan baik sekali. Semua keperluannya cukup. Malah sanggup menanggung pengajiannya. Apa lagi yang disangsi, apa yang perlu dikesali? Tidak, permergian kedua orang tuanya bukan kerana salahnya Hishamuddin tapi kerana ajal mereka sudah menjemput, janji dengan yang Maha Esa perlu dilangsaikan. Dia redha dengan kehilangan itu.

Tersentak dengan usapan lembut jemari wanita yang masih anggun itu, Dahlia segera menyeka airmata yang bergenang.

“Lia nangis?”

“Taklah aunty.”

“Jangan tipu.”

“Betul tak.”

Zarina tahu Dahlia berbohong. Mata yang berkaca dipandang redup, pipinya yang basah itu diusap lembut. Hati tuanya tersentuh. Dahlia anak yang baik. Desakan Dani sedikit sebanyak meresahkan hati gadis itu. Dan kini Dani mendesaknya pula untuk memujuk Dahlia.

“Aunty tahu, Lia tak nak perkahwinan begini, kan? Mana-mana perempuan pun tak mahu berkahwin dengan cara begini, kahwin tanpa cinta.”

Dahlia tidak dapat menahan lagi air jernih di bibir matanya. Biarkan. Biarkan ia tumpah dan membasahi pipinya. Biarkan sendu itu bergema ke seluruh udara.

“Tapi aunty mohon pada Lia, jangan hampakan kami. Aunty tahu kami sedikit selfish tapi aunty pasti kebahagiaan itu akan Lia dapat nanti. Tolong ya Lia? Aunty sayang Lia, aunty sayang Dani. Aunty nak tengok you all berdua happy together.”

Bahagia? Bersama Dani? Rasanya hampir mustahil akan berlaku. Haruskah dia menerima lamaran Dani demi serelung budi? Haruskah dia mempertaruhkan jiwa demi sebuah kehidupan yang tidak disulami cinta? Perlukah dia mengorban diri dan masa depannya kerana sebuah janji? Ya, kerana sebuah janji. Kerana janjinya pada arwah bapa angkatnya lewat musim yang lalu. Dahlia rasa dirinya sudah terperangkap. Terperangkap dengan janji yang belum tentu menjanjikan kebahagiaan padanya. Janji yang dia tidak boleh mungkiri. Dahlia sedar, dia telah menjerat dirinya sendiri hanya kerana janjinya pada kenangan lalu.

Wasiat Cinta 17

Tihani terkebil-kebil dalam gelap. Tidak dapat melelapkan mata. Walaupun tubuhnya kepenatan. Terngiang-ngiang luahan cinta Fendi kepadanya siang tadi. Dia tidak menyangka begitu lama Fendi menyimpan rasa. Patutlah tidak pernah mendengar Fendi bercerita tentang teman wanita sepanjang mereka kenal. Tihani mula pelik dengan perasaannya. Kenapa setiap kali bertentang mata dengan Fendi, jantungnya berdebar-debar? Kenapa setiap kali Fendi memandangnya dia jadi tidak keruan? Kenapa sebelum ini tidak ada perasaan begitu? Mungkin sebelum ini Faizal ada di depan matanya. Ya, rasa itu datang bila Faizal sudah tiada. Bila Faizal pergi untuk selama-lamanya. Mungkin kerana rindukan Faizal, barulah dia berperasaan begitu.

“Along, along suka Hani. Along cintakan Hani.”

Kata-kata keramat itu membuat dia tersenyum. Bahagia pula rasanya.

“Along faham, Hani confused bukan? Hani ambillah seberapa lama masa yang Hani mahu. Along sedia menunggu. Kalau sepuluh tahun dulu along sanggup tunggu apa lagi sekarang.”

Sanggupkah Fendi menunggu? Pintu hatinya sudah tertutup rapat buat masa ini. Bila akan terbuka kembali dia sendiri tidak pasti. Betulkah Fendi sanggup menunggunya? Tetapi sampai bila?

“Along tak akan mendesak Hani, apa lagi memaksa. Hani fikirlah. Cuma along nak Hani tahu, along sayang Hani, sayang sangat.”

Tiba-tiba suka pula dia mendengar perkataan itu. Sayang sangat? Betulkah dia sayang sangat? Tihani mengeluh berat. Memang payah bila sudah melibatkan perasaan. Akhirnya dia terlelap.


****************


Fendi terpaksa bertugas malam ini. Bersiap sedia di biliknya. Bila-bila masa sahaja akan dipanggil untuk melakukan pembedahan kecil seorang pesakit appendiks. Dia berteleku di mejanya. Memikirkan Tihani. Apa yang dibuat gadis itu waktu ini? Ah, sudah pastilah enak dibuai mimpi. Berfikirkah Tihani tentang perasaannya? Tentang cintanya? Bagaimana seandainya gadis itu betul-betul menolaknya? Mampukah dia berhadapan dengan Tihani lagi? Jika dulu dia dapat bertahan kerana Tihani tidak tahu isi hatinya, tetapi sekarang Tihani sudah pun tahu. Adakah gadis itu akan cuba mengelak dari berjumpa dengannya? Janganlah itu yang berlaku. Dia sangat mencintai gadis itu. Bukan tidak ada gadis lain yang cuba memikatnya. Di hospital ini saja ramai jururawat yang manis-manis. Tetapi hatinya telah buta, buta dalam terang. Buta kerana cinta Tihani. Fendi mengeluh perlahan. Kalaulah Tihani ada di depannya sekarang ingin saja dia mendakap gadis itu.

Kerana Sebuah Janji 11

“Masuk ajalah.”

Dani menjeling geram ke arah Mursyid yang tersengih di muka pintu. Tersengih-sengih macam kerang busuk.

“Hai, masam aja ni? Apa kes?”

“Juliana.”

“Ha, apa cerita dia? Dah lama aku tak jumpa.”

“Macam tulah. Mana ada perubahan apa pun.”

“Hai, lain macam aja bunyi ni? Gaduh lagi ke bro?”

“Dialah.”

“Kenapa dengan dia?”

“Dia tolak aku lagi.”

Mursyid tercengang seketika kemudian tergelak besar. Sungguh-sungguh dia gelihati. Jika kali ini ditolak lagi bermakna, sudah empat kalilah lamaran Dani pada kekasih hatinya itu ditolak. Entah di mana silapnya dia sendiri tidak pasti. Walhal, kedua-duanya saling mencintai.

“Gelaklah, gelak.”

“Adoyai.. apalah malang nasib kawan aku ni? Kau kena mandi bungalah bro.”

“Mandi bunga tengkorak kau!”

“Eh, kau tak malu ke ha? Dah empat kali kena tolak tu. Kalau aku terjun lombong dah.”

“Itu kau. Aku ni orang yang beriman. Waras lagi.”

“Yelah tu. Beriman sangatlah, waras sangatlah. Orang kalau beriman, dia redha aja apa yang berlaku. Kau? Pagi-pagi buta dah monyok masam, macam susu basi tau?”

“Eh, kau kalau nak kutuk aku, blah balik bilik kau! Blah!”

“Pulak! Tadi kau yang intercom aku suruh datang sini. Aku yang berhati mulia ni datanglah nak tolong kawan, tup tup kena halau pulak.”

“Tolong apa? Tolong kutuk, tolong gelak? Gitu?”

“La, biasalah tu. Nak tolong mesti ada upah. Dengan kau, aku tak nak berkira sangat, kutuk sikit, gelak sikit tu kira upahnyalah.”

Mursyid menyambung tawanya semula. Mengundang masam di wajah Dani. Sebalnya di hati tidak terungkap dengan kata-kata. Semuanya gara-gara Juliana. Gara-gara gadis kesayangannya itu mementingkan diri tanpa mempedulikan perasaannya.

“Okeylah bro. Serius, what is your problem?”

Dani mengeluh berat.

“Amboi, mengeluh sakan. Big problem huh?”

“Entahlah, aku rasakan, aku dengan Juliana makin tak serasilah. Susah nak faham dia sekarang. Dia pun tak nak cuba faham aku.”

“Cuba korang bawa berbincang dari hati ke hati.”

“Dah cuba, tapi end of the part, gaduh.”

“Kau tu baran tak bertempat. Ego tak tentu hala. Cubalah bersabar, berlembut sikit. Dengan perempuan ni, cakap tak boleh kasar. Tersilap sikit dia anggap lain. Mulalah nak sentap.”

“Mana boleh nak sabar, kalau cakap dia aja kita nak ikut.”

“Kau ada suruh dia buat apa-apa tak?”

“Ada.”

“Apa dia?”

“Macam biasa. Suruh dia resign.”

“Hai.. kau ni pun. Kau dah tahu jawapan dia, pergi provoke lagi kenapa?”

“Aku tak sukalah dia jadi stewardess ni.”

“Kau tak suka, tapi dia suka.”

“Aku ajak dia kahwin, jadi full time house wife. Melenting dia.”

Mursyid tergelak besar. Perlahan kepala digeleng. Sudah masak benar dengan perangai Juliana. Teman sekelasnya semasa berada di universiti dulu. Amat komited dengan satu-satu perkara yang disukainya. Malah, melalui dialah Dani mengenali Juliana walaupun berbeza fakulti lalu menjalinkan hubungan cinta hingga sekarang. Tapi, entah di mana silapnya Juliana lebih berminat menjadi pramugari. Kerjaya yang langsung menyimpang dari pengkhususannya di universiti dulu. Kata gadis itu dia suka pergi negara orang. Dia suka kerja yang tidak menjadikan dia seperti anak patung duduk statik di meja dari pagi sampai ke petang.

“Dani, Dani. Kau cakap macam tu, confirm dia tak nak kahwin dengan kau.”

“Memang pun.”

“Betul? Patutlaah..”

Dani diam. Hatinya kini bagai dicucuk-cucuk dengan jarum yang halus. Nyeri. Sakitnya dada bagai dihempap sekumpulan gajah. Sukar sekali untuk bernafas.

“Sabarlah bro. Nak buat macam mana lagi dah itu keputusan dia. Kau kena respectlah, you must accept the fact.”

Dani mengeluh lagi. Itu saja yang dia mampu lakukan hari ini. Tertekan sekali dengan kisah cintanya. Apakah ini petanda sebuah cerita? Petanda berakhirnya kasih sayang yang disemai sejak sekian lama?

“Senang-senang, kau kahwinlah dengan Dahlia.”

Dani tersentak. Dia merengus kasar.

“Itu lagi satu. Belum fikirlah, nak fikirlah.”

Mursyid tergelak.

“Dia perlukan masa. Lagipun dia masih belajar bro. Kesianlah kat dia.”

“Masalahnya masa berjalan. Lama-lama habislah duit kat bank tu.”

“Ha, cakap pasal duit ni kan, aku ingat tender kita kat Brunei tu 50-50 lah.”

“Eh, fasal apa pulak?”

“Tak cukup duit nak melobilah bro.”

“Kau biar betul Syid, tender tu penting tau. Nama baik company kita ada pada tender ni.”

“Aku tahu, tapi kewangan kita dah menyusut 20%. Jangan sampai tenat bro. Takkan kau nak cairkan asset kot?”

“Tak. Tak akan. Kalau ada pun, itu adalah pilihan terakhir. Balance ada banyak mana?”

“Cukuplah nak bayar gaji staff dalam masa dua tahun ni.”

Dani tersentak.

“Kau biar betul Syid? Tu bukan kira tenat tapi dah nazak dah ni. Gila!”

“Gila tak gila, itu adalah kenyataan.”

“Kau dah check betul-betul ke? Dah buat audit?”

Dani mula rasa cuak. Fikirannya mula kusut. Masalah syarikat, masalah peribadi, bercampur-gaul menjadi beban yang bukan sedikit hebatnya. Pada Mursyid dia sandarkan harapan. Sebagai pengurus kewangan syarikat, Mursyid lebih arif tentang itu. Suka atau tidak kenyataan pahit dari Mursyid tadi benar-benar menggusarkan.

“Pujuklah Dahlia kahwin.”

“Aku tak tahu nak cakap macam mana? Cuba kau fikir, dia nak ke terima aku semata-mata kerana harta? Dan dia tak ada keuntungan di situ pun. Kau rasa dia sanggup tak, korbankan diri dia, masa depan dia demi aku? Terima aku ni, yang tak pernah terima kehadiran dia dalam rumah aku tu pun. Kau rasa dia nak ke?”

“Kau cubalah berbaik dengan dia.”

“Aku tengah cubalah ni. Lately, aku control volume aku, susah rupanya. Dah biasa marah-marah dia, tiba-tiba bercakap elok, lainlah. Aku rasa dia pun dah syak tujuan aku.”

“Baguslah, lagi senang. Kau tak payah risaulah. Dahlia tu budak baik. Dia mesti tolong kau punya.”

Dani merenung sahabatnya itu. Begitu yakin bila berkata-kata. Dapatkah dia seyakin itu untuk melamar Dahlia menikahinya?