Kamal Oh Kamalia 8

Aku membawa mereka berjalan-jalan di Zoo Taiping. Biasalahkan dah bawa budak-budak, tempat apa lagi yang paling afdal? Bukannya aku tidak nampak muncung si Natrah tu. Mengalahkan itik serati. Bersungut-sungut dari tadi. Lantak kaulah. Siapa suruh ajak aku keluar. Aku manalah tahu nak berdating-dating ni. Bercinta pun tak pernah. Tapi jika Azlin Nasihin yang bersamaku sekarang bukan di sinilah destinasiku. Pastinya tempat-tempat romantik yang boleh aku jadikan kenangan yang terindah. Dan sudah pastilah kanak-kanak riang yang ada bersamaku ketika ini tak boleh ikut. Buat kacau daun saja. Aku tersenyum.

“Apa senyum-senyum? Sukalah ek bawa Nat pergi tempat macam ni?”

“La.. senyum pun salah ke? Mal nak tergelak tengok badak tu. Ha, cuba Nat tengok badak air tu.”

Aku tergelak besar. Bukan kerana badak air yang sedang berkubang itu tetapi melihat muncung Natrah yang semakin tebal dan panjang. Betul-betul lawak.

“Kalau setakat pergi Zoo, kat Singapore pun ada. Lagi best!”

“Eh iya? Nanti kalau Mal pergi sana boleh Nat bawa Mal pergi Zoo ya?”

“Hii.. apa yang best sangat pergi Zoo ni? Bosanlah!”

Natrah bersandar pada tiang besi yang menjadi penghalang pada para pengunjung. Aku tidak mengendahkan kata-kata Natrah itu lalu menghampiri adik kembarku yang begitu riang bersama adik sepupuku Adif. Entah apa yang Adif terangkan pada Amni dan Amna tu. Baik aku tumpang sekaki dari melayan rajuknya Natrah.

“Dif! Lapar tak? Jom makan?”

“Boleh juga bang. Siapa nak makan aiskrim angkat tangan?”

“Nak! Nak!”

Terkinja-kinja Amni dan Amna mengangkat tangan. Seronok sangat nak makan aiskrim agaknya. Si Adif ni cukup pandai melayan mereka. Aku sungging senyum lebar.

“Manjakanlah dia orang Dif.”

“Ala, tak apalah bang. Sekali-sekala. Seronok layan dia orang berdua ni. Lagipun Adif tak ada adik. Yang ada, tu.. cekmek molek yang monyok tu.”

Aku tergelak bila bibir Adif menghala ke arah Natrah yang sedang cemberut. Buat muka protes dari jauh. Minta dipujuklah tu. Tak kuasa aku nak layan.

“Apa kena tu bang? Panjang muncungnya?”

“Tak nak datang sini. Bosan katanya.”

Serentak itu aku dan Adif tergelak besar. Gelihati melihat wajah cuka Natrah dari jauh. Tapi, macam tahu-tahu pula dia kami berdua sedang mentertawakannya. Besar langkahnya menghala ke arah kami.

“Ala, kalau abang nak tahu tempat dia paling tak bosan ialah shopping complex. Yang lain semuanya bosan.”

Aku sambung gelak. Hanguslah poket aku kalau aku bawa Natrah ke shopping complex. Paling tidak pun mahu longgar tempurung lutut aku mengikut ragam dia.

“Syy.. dia datang, dia datang.”

Bergoyang-goyang bahu aku menahan tawa. Gelihati masih belum mahu pergi. Natrah pula sudah tercegat di depanku.

“Amboi seronok nampak? Gelak apa?”

“Ha? Oh.. tak ada apa-apa.”

“Tipu! Korang berdua mengumpat Nat ya?”

“Mana ada! Jangan buat fitnah, tak baik tahu?”

Natrah mencebik. Mungkin tidak percaya dengan bohonganku. Lantas matanya menghala ke arah Adif. Adiknya itu bermuka selamba.

“Kau gelakkan akak ya Dif? Jahat ya kau, bilang sama mama!”

“Akak ni, kecoh la.. mana ada kita orang gelakkan akak.”

“Tipu!”

“Tipu apanya? Ni hal orang lelakilah. Akak mana tahu?”

“Betul ni?”

“Betul.”

Gelagat Adif yang sungguh meyakinkan itu membuat aku tabik spring pada dia. Dengan mudah saja dia menangani kakaknya itu. Pasti sudah biasa sangat dengan kerenah Natrah agaknya.

“Okey. Tapi kalau akak dapat tahu Adif tipu akak, siap!”

Adif hanya mampu tersengih sambil menjungkit kening ke arahkku. Aku memberi isyrat yang sama sebelum Natrah menoleh ke arahku tiba-tiba.

“Mal..”

Dah, dia buat lagi. Natrah bersuara lunak sambil memaut lenganku dan melentokkan kepalanya. Aksi terlebih manjanya itu membuat aku terasa segan dipandang orang. Malah lebih segan lagi bila Adif dan adik kembarku menjadi penontonnya. Perlahan aku meleraikan pautan kemas Natrah.

“Mal!”

Natrah merengek manja sambil menghentak kaki. Tanda protes kerana aku cuba menolaknya. Aku hadiahkan senyuman terpaksa.

“Tak manis dipandang orang Nat. Malu kat adik-adik.”

Teguran aku itu membuat wajah Natrah mencuka dan memerah. Malu barangkali aku menegurnya secara terbuka begitu. Nasiblah kan, siapa suruh kau tak jaga tingkah laku.

“Let’s go girls.”

Adif memimpin tangan kecil Amni dan Amna. Kedua kembar comelku itu hanya menurut perintah tanpa banyak ragam. Aku mengekori mereka dari belakang.

“Kita nak pergi mana ni?”

Soal Natrah cuba menyaingi langkah besarku. Terkedek-kedek dengan kasut tumit tingginya itu. Wajahnya kembali ceria. Inilah satu perkara yang aku suka tentang Natrah. Walaupun dia mudah merajuk tetapi dia cepat sejuk. Agaknya sedar merajuk diri itu adalah perbuatan sia-sia. Agaknya sedar bahawa aku tidak akan sekali-kali memujuknya.

“Makanlah, dah dekat pukul 3.00 petang dah ni.”

“Hmm.. patutlah Nat rasa pedih perut.”

Dia tergelak manja. Benarlah kata Zaid, Natrah bukan saja cantik tapi manja. Tawanya saja cukup menggetarkan hati lelaki. Jika dia bukan sepupu aku, mungkin saja aku juga akan goyah.

Rajuk Sang Hati 41 (END)

Sudah sebulan lamaran Hasnul Amin ku biar sepi. Setiap kali berjumpa dia, ada saja alasanku. Aku masih belum boleh buat keputusan. Aku masih tak tahu hati aku. Aku malas nak fikir. Kadang-kadang timbul juga rasa seronok melihat kegelisahan Hasnul Amin. Tapi aku tahu lelaki itu memiliki kesabaran yang cukup tinggi. Malah cukup tenang mendengar alasan demi alasan yang ku reka khas untuk dia. Kesibukanku juga penyumbang utama dalam hal ini. Bukan mudah untuk membuat keputusan. Keputusan terpenting dalam hidup.

Jemariku melurut bintik-bintik ais yang muncul di gelas. Aku tahu Hasnul Amin sedang merenungku. Aku memandangnya sekilas. Tak sanggup rasanya nak bertentang mata dengan lelaki kacak itu.

“Keputusan kau masih sama?”

Aku tersenyum. Dia juga turut tersenyum.

“Aku rasa tak sanggup nak tunggu lagi. Dah lama sangat aku tunggu.”

“Apa kata kau tak payah tunggu lagi?”

“Maksud kau, kau dah terima aku?”

Aku menggeleng dan tersenyum.

“Maksud aku, kau tak payah tunggu akulah. Cari aja yang lain.”

Hasnul Amin merenungku tajam.

“Kalau aku nak cari yang lain, dah lama dah. Kau tak payah suruh pun.”

“Habis tu kenapa tak cari?”

“Untuk apa? Orang yang aku cari dah ada depan mata.”

“Aku tak layak untuk kau. Ramai lagi perempuan cantik-cantik yang sesuai dengan kau. Lagipun keluarga kita tak setaraf.”

“Nonsense!”

Aku tersenyum nipis.

“Kau doktor, aku kerja biasa aja. Kita tak sepadan.”

“Penolong Pengarah tu kerja biasa ke?”

Aku tergelak. Siap sebut jawatan aku lagi.

“Nissa, cukuplah. Jangan bagi alasan yang tak logik. Aku tak boleh terima.”

“Err, Hasnul kita tukar topik ya? Aku rasa sesak nafaslah cerita pasal ni.”

Hasnul Amin tergelak besar.

“Okey, kita tukar topik. Nak cerita pasal apa?”

“Err, apa-apalah.”

Aku tersengih.

“Oh ya, kau tak ada contact Mai dengan Zura ke?”

Aku menggeleng. Bila sebut pasal mereka saja aku naik geram. Sejak aku tahu mereka tipu aku, aku malas nak jawab setiap panggilan masuk dari mereka berdua. Aku nak merajuk dulu. Biar mereka rasakan!

“Kenapa?”

“Saja, nak hukum dia orang.”

“Kau ni, tak baik buat dia orang macam tu.”

“Apa yang dia orang buat kat aku tu, baik?”

Hasnul Amin terdiam. Dia mengeluh berat. Riak bersalah jelas terpamer di wajahnya.

“Kadang-kadang, aku rasa menyesal pula sebab setuju dengan idea dia orang tu. Tapi bila aku fikir dari sudut positifnya, okey pulak.”

“Memanglah okey, sebab kau tak rasa apa yang aku rasa.”

“Boleh aku tahu apa yang kau rasa?”

“Aku geram! Aku rasa dipermainkan, aku rasa terpinggir. Aku tak boleh terima dia orang tipu aku!”

Aku bersuara sedikit keras.

“Maafkanlah dia orang, apa yang dia orang buat ni demi kita.”

“Demi kita?”

“Ya, demi kau dan aku. Aku pasti mereka tak berniat nak kenakan kau, mereka berniat baik. Dan aku pasti dia orang juga rasa bersalah.”

“Amboi, bela dia orang nampak?”

“Bukanlah macam tu. Cuma aku kesian kat dia orang. Zura called aku, dia cakap kau tak nak angkat called dia. Mai pun komplen benda yang sama.”

“Padan muka! Rasakan! Buat lagi aku macam ni. Bukannya dia orang tak tahu kalau aku marah macam mana. Tu baru sikit hukuman aku, belum aku fire dia orang lagi.”

Hasnul Amin menggeleng sambil tersenyum.

“Perangai yang satu ni, masih tak berubah ya?”

“Ha?”

“Suka berdendam.”

“Aku bukan berdendamlah, cuma nak beri pengajaran sikit aja. Lain kali jangan tipu aku. Aku bulat-bulat percaya yang dia orang pun lost contact dengan kau. Rupanya semua sandiwara.”

Hasnul Amin tersenyum manis.

“Kenapa kau senyum? Kau ingat aku buat lawak ke ha?”

“Tak adalah, aku curious juga. Kenapa yang kau geram sangat, marah sangat ni?”

“Maunya tak, selalunya kalau aku ada masalah, aku cari kau. Kau selalu ada kalau aku bersedih. Tapi tiba-tiba kau missing in action. Bila aku tanya dia orang, semua cakap tak tahu. Mana aku tak geram, mana aku tak sedih! Aku banyak benda nak cerita kat kau, banyak aku nak tahu fasal kau. Dia orang aja ke kawan kau? Aku bukan? Tak adil tahu tak? Tak aci!”

“I missed you too, sayang.”

Aku terdiam. Hasnul Amin tersenyum nakal sambil mengangkat kening. Rindu? Mukaku membahang. Akhirnya aku tertunduk. Malunya! Hasnul Amin tergelak.

“Sekarang aku dah ada depan mata, kan? Tak payah nak marah-marah lagi okey? Tanyalah apa lagi yang kau nak tahu fasal aku?”

Aku diam. Tak tahu nak tanya apa. Bagi aku soalan dan jawapan sekarang tidak penting. Tapi, kehilangan masa selama tujuh tahun itu yang membuat aku terkilan.

“Atau kau nak share something dengan aku? Tadi kata banyak cerita, kan? So, I’m here now.”

Aku tersenyum sinis.

“Bukan kau dah tahu banyak cerita tentang aku ke?”

Dia mengeluh.

“Nissa, aku tahu kau marah. Aku minta maaf okey? Aku menyesal, lain kali aku tak buat lagi. Aku janji.”

“Jangan berjanji! Jangan mudah berjanji kalau tak boleh nak tepati janji!”

“Aku cuba.”

Aku membuang pandang. Entah kenapa bila isu ini berbangkit, aku jadi marah sangat malah aku sangat sedih.

“Aku balik dululah!”

“Tunggu!”

Hasnul Amin menarik tanganku membuat aku terduduk semula. Aku merenungnya tajam.

“Aku tahu, kau juga sedang menghukum aku, bukan?”

Akhirnya dia tahu juga…

“Aku terima hukuman ini. Tapi aku nak kau tahu, aku betul-betul ikhlas pada kau. Aku serius dan aku tak main-main.”

Aku bangun.

“Nissa..”

Aku melangkah laju ke parkir kereta. Aku tahu Hasnul Amin tetap mengekoriku. Dia menarik tanganku.

“Tunggu Nissa!”

“Apa lagi?”

Tiba-tiba dia menarik bahuku dan memelukku erat.

“Be my wife.”

Hasnul Amin berbisik lembut di telingaku. Sekali lagi aku kehilangan kata-kata. Aku menolak perlahan dadanya yang bidang itu. Bimbang dilihat orang.

“Lepaskan.”

Mata kami bertaut lagi. Aku betul-betul gemuruh. Rentak jantungku juga sudah sumbang iramanya.

“Hanya satu perkataan Nissa, aku nak dengar satu perkataan saja. Please.. I love you so much.”

Nafasku yang berombak cuba ku kawal. Sungguh, aku kelu. Hasnul Amin mengeluarkan sesuatu dari poket seluarnya. Mataku membulat bila kotak kecil warna biru tua berada di telapak tangannya.

“Marry me, be my wife.”

Aku terkedu melihat cincin comel berbatu kecil. Cantik! Nampaknya Hasnul Amin memang bersungguh-sungguh kali ni. Wajah seriusnya sedikit cuak menunggu jawapan dari aku. Aku masih teragak-agak. Aku mengangkat muka membalas renungannya.

“Kau ni, tak romantik betul! Ada ke proposed aku kat car park?”

Aku menjeling ala-ala manja. Dalam gelisah Hasnul Amin tersenyum nipis. Matanya masih melekat padaku.

“Kau nak tayang aja ke cincin tu? Tak nak pakaikan ke?”

Aku menghadiahkan senyuman manis untuknya. Aku lihat dia terpinga-pinga merenungku.

“Nissa, kau…”

“Yes.”

Serta-merta senyuman lebar terukir di wajah Hasnul Amin. Aku lihat matanya berkaca-kaca. Jemariku digapai dan cincin comel berbatu kecil itu tersarung indah di jari manisku. Aku tersenyum bahagia. Inikah yang aku tunggu? Hasnul Amin mengucup lembut jemariku membuat naluriku bergetar.

“Aku betul-betul takut tadi, aku ingat kau nak tolak.”

Aku tersenyum.

“Sekarang?”

“Sekarang dah lega. Aku harap kau tak ubah fikiran, sebab aku sayangkan kau. Sayang sangat-sangat.”

Entah kenapa aku rasa sungguh bahagia mendengar kata-kata keramat itu. Sudah timbulkah rasa itu terhadap Hasnul Amin? Sahabat di zaman persekolahanku, sahabat yang sentiasa ada di saat dukaku. Dan sahabat itu juga menyimpan rasa yang cukup lama terhadapku. Dan kini sahabat itu telah melamar aku menjadi suri hidupnya. Dalam diam aku akur, dialah orang yang ku tunggu selama ini.


-Tamat-

Kerana Sebuah Janji 21

Dani terpempan dengan gambar-gambar yang dilihatnya di dalam telefon bimbit Juliana. Tekaknya terasa kesat untuk menelan air liur. Dia merenung Juliana. Renungan yang penuh dengan tanda tanya. Seakan tidak percaya dengan kata-kata Juliana sebentar tadi. Dahlia bermain kayu tiga?

“So, you percaya sekarang? I tak tipu you Dani. I tengok dengan mata I sendiri.”

Dani diam seribu bahasa. Wajah yang pernah bertakhta di hatinya itu ditatap tajam. Sedikit sebanyak rindunya pada Juliana terlerai bila gadis itu tiba-tiba saja muncul di pejabatnya petang ini. Sangkanya Juliana ingin kembali padanya, fikirnya Juliana mahu meleraikan rindu sebagaimana sarat rindunya pada gadis itu. Tapi kedatangan gadis itu hanya membawa perkhabaran buruk buat dirinya. Dahlia curang!

“I dah cakap pada you Dani, dia licik. Dia ada agenda dia sendiri. Dia kahwin dengan you, tapi dalam masa yang sama, dia ada jantan lain!”

“Cukup Ju!”

“Kenapa? You tak sanggup nak dengar? Kebenaran itu memang pahit untuk ditelan Dani.”

Dani menekan intercom.

“Syid, masuk bilik aku.”

“Apa hal? Aku busy ni.”

“Masuk sekarang!”

Juliana tersenyum sinis. Tak habis-habis dengan Mursyid! Ke sana Mursyid, ke sini pun Mursyid. Macam belangkas! Panggillah Mursyid Dani, bukti memang ada di depan mata kau. Kau memang tak boleh menafikannya lagi.

“Yo, what’s up?”

Kepala Mursyid terjengul di pintu. Tersentak seketika melihat Juliana tersenyum padanya. Apa yang Juliana buat di sini? Bukankah mereka sudah pun putus hubungan? Oh, agaknya mereka ingin berbaik semula.

“Sinilah, yang kau tersengih kat situ buat apa?”

“Hai Ju. Apa khabar?”

Mursyid melangkah perlahan dan duduk di sebelah Juliana. Sekilas matanya melirik ke peha gebu gadis itu dek kerana mini skirtnya. Cepat-cepat matanya beralih memandang Dani semula.

“Apa hal bro?”

“Kau tengok ni.”

Telefon bimbit Juliana beralih tangan. Mursyid menyambutnya dengan wajah yang sedikit berkerut. Tanpa banyak soal dia menatap skrin telefon bimbit itu. Bulat mata Mursyid merenung gambar Dahlia dipegang seorang lelaki. Posisi mereka agak rapat dan saling merenung antara satu sama lain.

Hati Juliana bersorak riang. Senang dengan apa yang berlaku saat ini. Bangga dengan diri sendiri yang bertindak bijak untuk merakam adegan Dahlia bersama lelaki yang tidak dikenalinya itu.

Sepasang mata Mursyid mencari wajah Dani. Riak cemburu dan kecewa jelas terbias di wajah sahabatnya itu.

“Ini…”

“Dahlia.”

“Dengan…”

“Adam.”

“Adam? Kawan sekolej dia?”

Dani mengangguk perlahan. Mursyid berkalih pandang pada Juliana semula.

“Mana you dapat ni Ju?”

“I sendiri yang ambil.”

“You?”

“Yes, me. I tengok adegan tu dengan mata kepala I sendiri. Puas hati?”

“So, you sengaja datang sini untuk tunjuk pada Dani?”

“Well you know, I tak nak bersubahat.”

“Apa motif you Juliana?”

Juliana tersentak. Mursyid dipandang lama. Cuak juga hatinya, seolah-olah Muryid tahu saja apa permainannya. Seolah-olah Mursyid sudah tahu muslihatnya.

“Syid..”

“Dani, aku harap kau siasat dulu. Jangan percaya sangat. Sekarang ni zaman teknologi, serba canggih. Macam-macam boleh buat.”

“Hei, Mursyid! You ni bercakap macam tuduh I saja? You ingat I sengaja ke buat benda-benda ni?”

“Juliana, kalau benar sekali pun apa yang you nampak ni, why don’t you just ignore it? Ini kan rumahtangga orang, kenapa you masuk campur pulak?”

“Kan I dah cakap tadi, I tak nak bersubahat. Understand?”

“Tapi you dah buat Dani salah sangka.”

“Memang patut pun Dani salah sangka. Biar dia tahu the true colour of his wife!”

“True colour apa? I tak percaya Dahlia macam tu orangnya.”

“Hei, kenapa you asyik bela perempuan tu? You ada hati dengan dia juga ke?”

Mursyid tersentak. Tidak menyangka soalan pedas begitu terpacul dari bibir mungil Juliana. Dia berkalih merenung Dani pula. Nampaknya Dani juga sudah salah faham. Dani merenung tajam ke arahnya. Ini semua gara-gara mulut celupar Juliana!
Hati Juliana masih bersorak riang. Jerat sudah mengena!

“I bela Dahlia sebab I tahu dia tak bersalah, dia perempuan baik. And you Dani, don’t stare at me like that! Kau sepatutnya mempertahankan isteri sendiri dari mendengar racun dari Juliana ni.”

“Apa? Racun?”

“Tak betul ke?”

“Hati-hati sikit bila bercakap Mursyid!”

“You yang patut berhati-hati Ju.”

Mursyid bersuara keras. Dani dapat merasakan suasana di dalam pejabatnya agak tegang. Agak berbahang. Pertengkaran antara Juliana dan Mursyid semakin menyemakkan fikirannya. Tidak tahu siapa yang harus dia percayai? Mursyid atau Juliana? Dua-dua dia sayang. Apa benar seperti kata Juliana, Dahlia licik dan mempunyai agendanya tersendiri? Walau hati menafikan, tapi bukti yang terpampang sukar ditolak. Mungkin juga benar kata-kata Mursyid, Dahlia tidak bersalah?

“Dani, kau tak boleh dengar cerita sebelah pihak aja. Aku nak kau siasat. Tanya pada Dahlia. Tunjukkan bukti tu pada dia. Mungkin ada cerita di sebaliknya.”

“Ala, kalau nak menutup kesalahan, dia boleh reka apa saja jalan cerita untuk membuktikan dia tak bersalah, dia mangsa keadaan.”

“Juliana! You boleh diam tak? Cuba you jangan jadi batu api?”

“I batu api? You ni kan..”

“Apa?”

“I ni, kesian pada Dani. I tak nak wife dia tipu dia hidup-hidup. Nanti bila dia dah dapat apa yang dia nak, dia akan tinggalkan Dani macam tu aja.”

“Atau pun, memang itu rancangan you? Supaya you boleh masuk jarum?”

Juliana tersentak lagi. Mursyid! Lelaki ini bijak sungguh. Juliana tidak betah untuk terus-terusan berada di situ. Alamatnya, niat dia yang sebenarnya akan terbongkar. Dan dia sendiri yang akan mendapat malu.

“Dahlah, I malas nak bertekak dengan you Mursyid. Apa aja yang I cakap sekarang semua dah tak betul. Dan I percaya Dani, you lebih pentingkan Mursyid dari I sendiri. Dari dulu lagi macam tu!”

Juliana pura-pura merajuk. Pura-pura berkecil hati. Dia mengangkat punggung. Telefon bimbitnya dirampas kasar dari tangan Murysid.

“You fikirlah. Buatlah apa yang you nak buat. I just tell the truth. I tak bohong langsung. Kalau you tak percaya, tanya sendiri dengan your wife.”

Juliana tunduk merenung telefon bimbitnnya. Jemarinya menekan sesuatu. Kemudian matanya merenung Dani. Mungkinkah ini kali terakhir dia melihat cinta hatinya itu? Dani juga membalas renungan mata Juliana. Rindu di hati begitu sarat.

“I dah MMS dekat you gambar tu. Balik karang you tanya sendiri. Kalau I yang silap, I minta maaf.”

Dani mengeluh saat pintu pejabatnya ditutup kuat.

“Marahlah tu. Entah-entah betul apa yang aku cakap tadi.”

Dani merenung Mursyid.

“Kau rasa Juliana buat cerita?”

“I don’t know. Mungkin Juliana nak balas dendam pada kau.”

“Kau percaya Dahlia macam tu?”

“Aku tak kenal rapat dengan Dahlia. Kau suami dia, sebelum ni pun kau duduk serumah dengan dia, patutnya kau lagi kenal siapa Dahlia, kan?”

“Aku tak tahu. Aku tak dapat fikir dengan betul sekarang. Dahlia main-mainkan aku ke Syid? Betul ke dia ada affair dengan si Adam tu?”

“Dani, Adam tu sekolej dengan dia. Aku rasa gambar tu tak menunjukkan apa-apa pun.”

“Tak tunjuk apa-apa? Yang pegang-pegang tu apa? Yang bercakap rapat-rapat tu apa?”

Mursyid tergelak.

“Nampaknya kau cemburu.”

“She’s my wife, Mursyid.”

“Okey, okey aku faham. Siapa yang tak sayang bini, kan?”

Mursyid tergelak lagi.

“Dahlah, aku banyak kerja ni. Kau banyakkan bersabar. Dapatkan cerita sebenar dulu. Faham?”

“Kalau betul Syid?”

“Kita discuss lain. Yang penting siasat dan dengar dulu dari mulut Dahlia. Tanya dia secara baik, jangan kau berkasar dengan dia pulak.”

“Kalau dia mengaku Syid?”

“Kau berbincanglah elok-elok dengan dia. Perkahwinan kau ni special sikit, lain dari yang lain. So, bincang elok-elok.”

“Kalau dia cakap dia sukakan Adam, Syid?”

Mursyid mengeluh. Sayu melihat wajah serabut Dani. Sungguh tak keruan temannya itu. Nampaknya Dani betul-betul dah jatuh cinta pada isterinya.

“Dani, aku yakin, Dahlia tak suka Adam. Percayalah. Aku jamin.”
“Betul ke Syid?”

“Bro, kau perlu yakin dengan cinta kau tu.”

“Aku tak yakin Syid.”

“Kenapa kau tak yakin?”

“Aku bukan lelaki pilihan dia. Sebab itu aku takut. Aku takut sangat kehilangan dia Syid.”

“Dah, dah. Macam nilah. Apa kata, kau balik sekarang. Aku rasa time macam ni wife kau dah ada kat rumah kan? Baliklah. Settlekan masalah kau ni. Office ni kau jangan risau, aku boleh handle.”

Dani merenung sayu sahabat baiknya itu. Sahabat sejak di bangku sekolah lagi. Sahabat yang sentiasa ada di sisi dan melalui susah senang bersamanya. Hari ini Mursyid kelihatan matang. Dani tersenyum hambar.

“Betul ni?”

“Pergilah.”

Mursyid mengangguk senang.

Kamal Oh Kamalia 7

“Apa khabar pak Andak, mak Andak?”

Aku tunduk salam tangan pak Andak Kasim dan mak Andak Bibah. Kemudian seorang budak lelaki berumur lebih kurang empat belas tahun menghulurkan tangannya. Aku sambut huluran itu sambil tersenyum.

“Adif kan?”

Adif tersenyum lebar dan mengangguk laju.

“Apa khabar abang Kamal?”

“Baik.”

Dah besar dah budak ni. Dulu aku selalu dukung dia. Sekejap betul masa berlalu. Mereka sekeluarga pun dah lama tak balik ke Malaysia. Seronok sangat agaknya tinggal di Singapura tu.

“Mal, tolong bawa buah ni ke dapur.”

Arahan mak aku patuh. Aku ambil besin sederhana besar untuk meletakkan perlbagai jenis buah-buahan itu. Sebaik aku berpaling, nyaris aku berlaga dengan seorang gadis.

“Hai, Kamal!”

“Natrah!”

Gadis itu tersenyum manis. Makin lawalah dia. Dengan rambut perang celup dan biji matanya yang sudah pun bertukar warna kelabu, dia kelihatan trendy.

“Ingat tak datang.”

“Mestilah Nat datang. Dah lama tak balik Malaysia.”

“Iyalah negara orang lagi best kan?”

“Mana sama dengan negara sendiri Mal.”

Aku mencebik. Iya sangatlah tu.

“Mal, mangkuk tingkat ni nak letak mana ek?”

“Letak ajalah kat atas meja tu, Nat bawa apa tu?”

“Entah, mama.”

Eh, tersengih pulak dia. Memang dasar tak ke dapurlah ni.

“Mal, yok bawa Nat pusing-pusing kampung.”

“Malaslah. Mal pun baru sampai tengahari tadi. Ingat nak rest aja. Esoklah ya?”

“Hii.. Mal ni, boringlah. Macam anak dara pula. Apa barang duduk terperap kat rumah.”

Natrah tarik muncung. Lantak kaulah. Peduli apa aku! Kalau Azlin tu, hendak juga aku memujuknya. Setakat Natrah, kejap saja muncungnya tu. Dari kecil dah kenal dia. Natrah ni manja dan nakal budaknya. Tapi baik. Dari kecil aku tahu dia suka pada aku. Tapi aku dah anggap dia macam adik aku saja. Kira rapat jugaklah aku dengan dia ni dulu. Pergi sekolah sama-sama, main pun sama-sama pendek cerita banyak benda yang kami buat bersama. Tapi tanpa aku sedar Natrah ada hati pada aku. Itu pun Zaid kawan sekampung aku yang cakap. Kalau tak, sampai sudahlah aku tak tahu.

“Mal, jomlah. Nat tunggu kat bawah ya?”

“Eh, nanti! Esok ajalah. Mal penatlah, ya?”

“Ala, Nat yang dari jauh pun steady lagi, tak akanlah lelaki segagah Mal tak larat kot?”

Ish, perempuan ni. Tak faham rupanya. Aku dah menolak tu tetap juga dia nak paksa. Inilah satu-satunya sikap Natrah yang aku tak suka. Degil! Aku nampak mak melangkah ke dapur. Bagus! Bolehlah aku angkat kaki.

“Mal masuk bilik dulu, nak kemas sikit.”

Aku bagi alasan. Terpulanglah pada dia nak percaya ke tidak. Lama-lama aku berada dengan dia pun boleh goyang juga iman aku. Sepupu aku ni boleh tahan cantik. Zaid pernah kata aku bodoh. Sebab tak nampak keistimewaan Natrah. Bukan aku tak nampak, bukan aku tak perasan semua tu. Dia sepupu aku. Rapat pula tu. Mestilah aku nampak semuanya. Tapi dalam hati aku ini tak ada taman. Tak rasa apa yang aku cari. Tidak seperti rasa aku pada Azlin. Apa yang aku rasa pada Azlin tidak wujud pada Natrah. Jadi aku hanya boleh menganggap dia sebagai sepupu aku atau adik perempuan aku. Itu saja. Nak lebih dari itu? Aku tak mampu nak bagi.



*****


Selepas makan malam aku melepak di beranda dengan pak andak. Macam-macam cerita yang aku dengar. Semuanya tentang pengalaman pak andak berada di negara orang. Sesekali terselit beberapa nasihat dan pengajaran untuk aku jadikan pedoman. Aku hanya mengangguk senyum bila pak andak meminta aku mengikuti nasihatnya. Pak andak ni tegas orangnya tapi jika dia buat kelakar sekali-sekala mahu pecah perut aku dibuatnya.

Mak Andak muncul bersama sedulang kopi O. Berkepul-kepul asap yang menari-nari dari muka cawan itu. Aku tersenyum sebaik mak andak menghulurkan secangkir kopi buatku.

“Terima kasih mak andak.”

“Sama-sama.”

Aku melilau mencari kelibat emak. Namun mak andak khabarkan emak sedang bersolat Isya’. Emak memang begitu, sepanjang aku membesar belum pernah aku melihat mak melewat-lewatkan solat fardhu. Beruntung arwah ayah memiliki mak. Bukan saja taat pada suami malah pada suruhan Illahi. Dapatkah aku mencari isteri solehah seperti mak? Apakah cirri-ciri itu ada pada Azlin Nasihin? Ah, menyebut namanya saja membuat hatiku bergetar. Aku tersenyum sendirian.

“Hai, Mal apa yang diangankan tu?”

“Ha?”

“Tersenyum sorang-sorang. Ingatkan siapa?”

“Eh, mana ada siapa mak andak.”

Pak andak dan mak andak saling berpandangan lalu tersenyum. Aku dapat rasakan senyuman mereka tu ada makna.

“Betul ke Mal tak ada siapa-siapa ni?”

Aku hanya mampu tersengih. Tak akanlah aku nak buka cerita aku syok sama Azlin pulak. Mahunya aku diketawakan empat puluh hari empat puluh malam kot. Ish, tak sangguplah aku. Mungkin belum masanya lagi untukku berterus-terang. Pada aku orang yang pertama akan diberitahu tentulah mak aku.

“Lama ke pak andak ada kat sini?”

“Eh, tak kejap aja. Sebenarnya pak andak ada seminar kat Penang lusa.”

“Ala, dah alang-alang balik Malaysia ni lepaklah lama sikit, bawa budak-budak tu berjalan ke?”

“Hmm.. tak payahlah kau susah-susah nak cakap macam tu Mal. Dah jenuh dah mak andak ni cakap, tak boleh juga. Nak kena balik cepat.”

Pak andak ketawa.

“Tak usahlah awak nak muncung-muncungkan mulut macam tu, buruk benar abang tengok.”

Aku turut tergelak bila melihat wajah mak andak sudah mencuka tanda protes. Betullah kata orang, buruk benar jika orang tua merajuk.

“Ala, tak apalah mama, kalau papa tak nak bawa kami berjalan-jalan, Kamal kan ada.”

Hampir terlompat aku dari kerusi rotan yang ku duduk itu saat mendengar suara lunak Natrah yang muncul tiba-tiba. Sungguh tidak bernas ideanya itu. Aku hanya mampu tersenyum hambar pada mata-mata yang sedang memandang ke arahku.

“Boleh ke Mal?”

Soal pak andak. Sempat aku menjeling ke arah Natrah. Gadis itu tersenyum manis semanis gula saja lagaknya. Nak tak nak aku mengangguk perlahan. Terlalu perlahan dan berharap tiada siapa yang perasan.

“Yey! Thanks Mal. Janji ek, esok bawa Nat jalan-jalan?”

Eh, suka pulak dia? Seronoklah tu niat asalnya tercapai. Jangan harap aku nak keluar berdua-duan dengan kau Natrah. Aku akan bawa satu batillion menemani kau dan aku.

“Hmm.. bukan Nat aja, kita bawa Adif, Amni dan Amna sekali.”

Wajah yang manis dan ceria tadi sudah bertukar hambar sebaik nama adik kembarku dan adik lelakinya disebut. Aku cuba tahan ketawa bila melihat wajah cemberut Natrah tapi aku tak berjaya bila pak andak dan mak andak sudah meledak ketawa. Apa lagi, aku pun tumpang sekakilah.

Rajuk Sang Hati 40

Aku golek ke kiri tak kena, ke kanan pun tak kena juga. Aku telentang merenung siling. Dua tiga ekor cicak berkejar-kejaran di sekitar lampu kalimantang. Aku mengeluh lagi. Untuk yang ke berapa kali, aku pun tak pasti. Macam mana ni? Badan terasa agak letih. Pulang dari Bukit Tinggi tadi aku terus lemah. Lemah bukan kerana perjalanan dari Kuala Lumpur ke Bukit Tinggi, tapi lemah kerana Hasnul Amin. Kerana lamaran dia. Lamaran dia yang membuat aku hilang kata-kata. Lamaran dia yang masih belum ku jawab.

Gila!

Memang Hasnul Amin buat kerja gila. Dari KLIA terus drive ke Bukit Tinggi, semata-mata ingin meluahkan perasaannya padaku, semata-mata ingin melamar aku. Fikiranku melayang ke Bukit Tinggi sekali lagi. Saat aku mengecapi keindahan landskap Taman Jepun. Saat itulah bermula segalanya. Bermulanya saat aku tak tentu arah seperti sekarang.

“Cantikkan?”

“Cantik. First time aku ke sini.”

Hasnul Amin tersenyum manis memandangku.

“Kenapa kau bawa aku ke sini?”

“Saja. Nak dating dengan kau.”

“Ha?”

Hasnul Amin tergelak.

“Tak betul ke? Kita tak pernah berdating, kan?”

“Kau ni, janganlah guna perkataan dating tu, kita bukan bercinta pun.”

Hasnul Amin tersenyum nipis merenungku. Aku tersengih.

“Kalau aku ajak kau bercinta nak tak?”

Sengih aku hilang serta-merta. Terkebil-kebil merenung wajah Hasnul Amin yang sudah serius memandangku.

“Hasnul, jangan main-main boleh tak?”

Aku buat-buat gelak. Gelak gabra sebenarnya. Jantung aku berdebar-debar, renungan Hasnul Amin bagai melekat di wajahku.

“Aku serius, Nissa.”

“Hasnul, macam mana kita nak bercinta kalau kita tak ada perasaan cinta pada seseorang? Perasaan tu hadir tanpa dipaksa tahu?”

Dia diam.

“Nissa, boleh aku tanya sesuatu?”

“Apa dia?”

“Kau masih sukakan Irfan?”

Aku tersentak dengan soalan itu. Irfan. Nama itu sudah berkubur di hatiku. Aku sendiri tidak tahu di mana dia berada sekarang. Aku sudah lama menerima hakikat, Irfan tidak dicipta untukku. Aku tersenyum nipis. Perlahan aku menggeleng.

“Dia kisah silam aku.”

“Tapi kau masih ingat dia, kan? Dia masih ada dalam hati kau, bukan?”

Aku diam. Masihkah Irfan bertakhta di hatiku? Aku tak nafikan sesekali ada juga nama dia terlintas di fikiran, namun seiring dengan masa, perlahan-lahan aku cuba melupakan cintaku yang tidak kesampaian itu.

“Kalau tiba-tiba sekarang Irfan muncul depan kau dan ingin bercinta dengan kau, macam mana?”

Kenapa Hasnul Amin bertanyakan soalan-soalan pelik begini? Aku berpaling merenungnya.

“Kenapa kau tanya semua ni?”

“Saja nak tahu.”

“Kau nak menduga aku?”

Hasnul Amin tersenyum.

“Salah ke?”

Aku turut tersenyum.

“Kalau dia muncul, muncullah. Aku tetap macam ni.”

“Kau akan terima dia?”

“Tak.”

“Kenapa?”

“Rasa itu dah tak ada.”

Hasnul Amin diam.

“Aku pasti, tak mudah bagi kau bukan?”

“Ya, amat payah sekali.”

Sungguh, hati aku sangat pilu, pedih dan sakit sekali bila cintaku nan satu itu tidak kesampaian.

“So, siapa boyfriend baru kau?”

“Kenapa kau nak tahu?”

“Yalah, kan aku ajak kau bercinta tadi, naklah tahu, kau still solo ke atau dah ada pengganti Irfan.”

Aku tergelak.

“Kalau aku kata ada?”

Wajah Hasnul Amin bertukar kelat.

“Nampaknya aku terpaksa bersainglah.”

Aku tergelak lagi. Entah kenapa bahagia pula aku rasa bila bersama lelaki ini. Tujuh tahun menghilang, tiba-tiba muncul dan bercakap soal hati dan perasaan. Malah gaya bercakap juga menunjukkan kematangannya.

“Ok, enough about me. Tell me about yourself.”

Dia tersenyum manis.

“Apa yang kau nak tahu?”

“Semuanya. Kau ke mana selama ni? Kenapa lost contact dengan aku?”

Dia menarik nafas.

“Aku kat India. Ambil medical.”

“Oh, bakal doktorlah ni?”

“Dah bertugas pun, kat HKL. Last week start.”

“Maknanya kau dah lamalah balik Malaysia?”

“Yup, dah tiga bulan.”

Ternganga sekejap aku. Sudah tiga bulan? Memang melampau!

“Kenapa tak contact aku?”

“Tu idea Azrai, Mai dan Zura.”

“Ha?”

“Actually, we all still keep in touch. Selalu chatting.”

Apa? Tiba-tiba aku rasa tersentap. Jadi mereka tipu akulah selama ni? Bila aku tanya pasal Hasnul Amin, semua kata tak tahu, semua cakap lost contact macam aku. Tapi sebenarnya mereka saling berhubung kecuali aku. Tiba-tiba aku terasa sebak, hati terasa sayu. Aku rasa terpinggir. Aku rasa diketepikan. Airmata mula bergenang di bibir mata. Aku tunduk dan diam.

“Mulanya aku tak setuju, tapi dia orang cakap nak surprisekan kau, so aku ikut aja. Aku tahu semua cerita pasal kau dari dia orang. Azura ada bagi kami bertiga gambar terkini kau. So, dapatlah aku melepaskan rindu.”

Apa? Gambar? Gambar mana? Gambar bila? Tak guna punya Azura! Mana aci! Hasnul Amin dapat tengok aku sepanjang tujuh tahun ni, dia tahu cerita terkini aku, tapi aku? Langsung tak tahu apa-apa! Aku rasa seperti dipermainkan!

“Nissa, kenapa diam? Dah tak ada soalan nak tanya?”

Aku diam lagi. Cuba menahan airmata agar tidak jatuh. Walaupun ini bukan pertama kali dia melihat aku menangis, tapi kali ini aku betul-betul rasa tersinggung. Sampai hati mereka permainkan aku.

“Aku nak balik!”

Aku berpaling dan melangkah laju. Nak tuju ke mana, aku pun tak tahu.

“Nissa tunggu!”

Hasnul Amin menghalangku. Wajahnya disimbah riak terkejut.

“Nissa, kenapa ni? Kenapa menangis?”

Cepat-cepat aku kesat airmata yang sudah tumpah di pipi. Sedihnya aku..

“Aku ada tersalah cakap ke? Kalau ada, aku minta maaf.”

Aku tunduk. Namun jemari Hasnul Amin menyentuh daguku dan mengangkat mukaku perlahan.

“Kenapa ni? What’s wrong? Tell me.”

Soalnya lembut. Aku menggeleng.

“Aku tak percaya. Mesti ada sesuatu ni. Apa dia?”

Aku menarik nafas dalam, cuba mencari kekuatan. Geramnya aku bukan kepalang!

“Korang semua tipu aku..”

Perlahan aku bersuara. Getar sendu masih bersisa. Rasa geram masih menebal. Amarah yang membara di jiwa, aku cuba kawal sedaya mampu.

“Tipu?”

“Sampai hati. Memang cukup sampai hati. Sampai hati pinggirkan aku. Sampai hati buat aku macam ni. Bila aku tanya pasal kau, semua cakap tak tahu. Tapi semuanya tipu aku. Korang semua tipu aku!”

Aku tidak dapat lagi menahan airmata. Biarkan. Biarkan airmata kesedihan ini meluncur semahunya.

“Nissa, sorry. Aku tak tahu nak cakap apa. Aku ikut saja idea dia orang.”

Aku merenungnya tajam.

“Kau tak ada otak? Tak boleh fikir ke ha? Tak adil tahu tak? Kau tahu semuanya cerita pasal aku, tapi aku langsung tak ada berita apa-apa dari kau!”

“Kau ingat senang ke aku nak buat keputusan tu? Kau ingat senang ke aku nak tempuh tujuh tahun tanpa mendengar suara kau? Tanpa berjumpa kau? Kau ingat senang? Aku terseksa tau tak?”

Aku terdiam bila suara Hasunul Amin mula meninggi menyaingi suaraku. Mata kami bertentangan. Saling memanah tajam.

“Sekurang-kurangnya kau tahu pasal aku, kan?”

“Lebih baik tak tahu Nissa. Dari dengar cerita tapi tak dapat dengar suara, apa lagi berjumpa.”

Hasnul Amin tunduk. Dia menarik nafas dalam.

“Aku rindukan kau.”

Aku terkedu. Sebaris ayat itu menggetarkan naluriku. Dalam diam aku akui, aku juga sangat merindui lelaki itu.

“Aku juga sayangkan kau.”

Kali ini, aku terus hilang kata-kata. Wajah lelaki itu ku pandang lama. Sejak bila dia rasa macam tu?

“Dari sekolah lagi aku sukakan kau, tapi aku tak boleh buat apa-apa sebab kau sukakan Irfan. Aku hanya boleh jadi pendengar setia kau.” Ujarnya perlahan.

“ Azura orang pertama yang tahu tentang perasaan aku pada kau. Barulah yang lain-lain tahu. Aku minta mereka rahsiakan. Sebab aku nak beritahu sendiri pada kau. Mana tahu mereka ada plan lain? Dan tak sangka aku terpaksa ambil masa tujuh tahun untuk saat ini.”

Sambungnya lagi sambil matanya merenung tepat ke mataku. Sekali lagi, aku kehilangan kata-kata. Betul-betul tak sangka!

Segala kenangan di sekolah bersama Hasnul Amin, mula melintas satu-persatu di kotak fikiranku. Semuanya, dari awal perkenalan, saat datang lewat ke sekolah, kena menghadap cikgu Wahid, balik sekolah sama-sama, menangis dalam dakapannya di belakang stor, di kubur arwah atuk, di depan kedai runcit, makan di kantin, belajar sama-sama, naik motorbike dia, marahkan dia di pakir kereta sehinggalah sekarang, semuanya dapat ku tonton jelas. Aku tersenyum.

“So, aku tanya kau sekali lagi, kita bercinta nak?”

“Hasnul, kan aku cakap, untuk bercinta mesti ada …”

Cupp!

Satu ciuman lembut singgah di pipiku. Aku terkasima. Mata kami bertaut. Lama. Cukup laju rentak jantungku kala ini. Apa yang dah berlaku?

“I love you, Nissa. Really, really loves you.”

Sekali lagi airmataku lencun di pipi. Perlahan jemari Hasnul Amin menyekanya. Dia merenungku lembut.

“Will you marry me?”

Dan soalan itulah yang membuat aku tidak tentu arah hingga sekarang. Aku telah dilamar buat kali kedua. Aku buntu.

Kerana Sebuah Janji 20

“Macam mana?”

Balqis sedikit cemas sebaik Dahlia menutup perlahan pintu bilik doktor itu. Wajah sahabatnya itu dicari. Dahlia mengukir senyum lebar. Malah kegembiraan jelas terpamer di wajah manis itu.

“Confirm.”

“Apa yang confirm?”

“Aku pregnant.”

“Ha?”

Balqis ternganga dengan mata yang membulat. Dahlia terus saja tergelak besar melihat aksi temannya itu. Buruk benar rupanya.

“Betul ke ni?”

Dahlia sekadar mengangguk. Dia sendiri tidak percaya dengan apa yang baru di sampaikan oleh doktor wanita berbangsa Punjabi itu tadi. Dia kini berbadan dua. Patut saja kebelakangan ini dia rasa tidak sedap badan.

“Berapa bulan?”

“Baru 6 minggu. Doktor kata kandungan ni tak kuat lagi, so kena hati-hati.”

“Hmm, betullah tu. Ikut aja nasihat doktor, tak rugi pun.”

Dahlia mengangguk riang.

“Hii… tak sangka aku, bestfriend aku dah mengandung, dah mula membina keluarga.”

Dahlia tersenyum bahagia. Ya, dia akan mula membina keluarga. Kehadiran permata hati yang ditunggu-tunggu. Kehadiran yang pasti akan membawa ke perubahan besar dalam hidup Dani dan bakal mencorak kehidupan yang akan datang.

“Dani dah tahu?”

“Belumlah. Kan kita dari kampus tadi? Aku ingat nak surprisekan dialah.”

“Apa plan kau?”

“Hmm, aku ingat nak masak speciallah malam ni. Kau teman aku pergi mall ya?”

“Bila?”

“Sekaranglah.”

“Laa.. kau lupa ke? Kelas Statistik aku lepas ni.”

“Pukul berapa?”

Balqis mengerling jam di pergelangan tangannya.

“2.30 petang ni.”

“Hmm, kalau macam tu tak dapatlah ya?”

“Sorry Lia, tapi kalau setakat nak hantar dekat mall tu, bolehlah. Tapi balik sendiri-sendirilah ya?”

“Okey, no problem.”

“Jom.”

**************

Satu-persatu barang-barang yang dibelinya diletakkan di atas kaunter. Sejumlah wang juga sudah bertukar tangan. Dahlia mengangkat dua bundut beg palstik yang penuh berisi bahan mentah untuk dimasak malam ini. Dia bercadang hendak masak makanan barat buat seisi rumah dan dia tahu kak Miah pasti menolongnya menyediakan makan malam itu nanti. Pembantu rumah itu tidak pernah lepas tangan dan aktiviti memasak bersama-sama itu sudah menjadi kebiasaan bagi mereka. Sedang asyik menjinjing beg plastik yang agak berat itu, Dahlia bertembung dengan Adam.

“Dahlia?”

“Awak, buat apa kat sini? Tak ada kelas ke?”

“Lupa ke? Kan kita sama course, kalau awak tak ada kelas, bermakna saya pun tak adalah, kan?”

Dahlia tersipu. Punya terkejut bertembung dengan Adam di situ, sehingga dia terlupa seketika. Adam merenung gadis yang pernah mencuri hatinya itu. Walaupun mereka sekolej, mereka sama-sama satu kelas, namun sejak berkahwin Dahlia tidak pernah lagi menegurnya, malah dia sendiri juga segan. Dahlia cuba sedaya mungkin menjarakkan diri mereka. Adam faham dan dia hanya mengikut rentak Dahlia.

“Banyak beli barang?”

“Oh, barang dapur aja.”

“Nak saya tolong ke?”

“Err.. tak payahlah. Terima kasih.”

Adam memandang keliling.

“Mana husband?”

“Kerjalah.”

“Oh, awak soranglah ni? Mana kereta? Biar saya tolong bawa sampai kat kereta awak.”

“Saya tak ada lesen, macam mana nak bawa kereta?”

“Habis tu? Balik naik apa ni?”

“Teksi.”

“Oh, ya ke? Kalau macam tuu… jomlah saya tumpangkan awak.”

“Eh, tak payah-tak payah. Susah aja.”

“Untuk awak Dahlia, saya tak pernah rasa susah pun.”

Dahlia diam. Kurang selesa dengan bicara Adam.

“Saya pergi dulu.”

Selangkah dia menjauhi Adam, namun derap kakinya terhenti bila terasa kejap pegangan Adam di lengannya. Dahlia mendongak.

“Lepaskan saya.”

Adam merenung tajam.

“Adam, tolonglah..”

“Apa kurangnya saya Dahlia? Kenapa dia yang awak pilih?”

“Adam, saya mohon awak lepaskan saya dan tolong hormat saya sebagai isteri orang.”

“Dah lama saya nak tanya, kerana harta ke awak pilih dia? Saya juga ada duit Dahlia cuma sekarang saya masih study dan belum bekerja. Saya tahu saya tak sehebat dia, tapi…”

“Adam, tolonglah. Jangan buat macam ni.”

“Saya masih sayangkan awak Dahlia.”

Dahlia menyentap tangannya dengan kuat. Laju langkahnya meninggalkan lelaki itu. Jantungnya cukup kuat berdebar. Sudah terpalitkah dosa pada dirinya?

Dari jauh Juliana tersenyum sinis. Senang dengan adegan yang baru dirakamnya sebentar tadi. Bengkak di hatinya masih tidak surut. Juliana memasang dendam pada Dahlia kerana merampas Dani dari hidupnya.

Kau tunggu saja Dahlia, Dani pasti tidak akan memaafkan kau!

Kamal Oh Kamalia 6

“Sorry, lambat.”

Dina tersenyum manis pada Iqbal. Iqbal pula membalas mesra. Aku di sebelah Iqbal terkulat-kulat melihat aksi romantis berbalas renungan merpati dua sejoli itu. Seronoknya kalau cinta dibalas. Pasti bahagia.

“So, Kamal sambung balik.”

“Oh, sebenarnya aku betul-betul perlukan pertolongan kau Dina.”

“Ya, ya tahu. Kan kau dah cakap tadi. Kau nak aku tolong buat apa?”

“Banyak.”

“Banyak? Macam mana tu?”

“Err, macam yang kau tahukan, aku nak tackle Azlin.”

“Okey, kau nak aku cakap kat dia ke?”

“Bukan, aku..”

“Ish, nak buat tapi takut nak cakap. Apa bendalah.”

Aku mengetap bibir. Iqbal cuba perlekehkan aku.

“Dah aku suruh kau tolong kau tak nak, kau bukan tak tahu aku ni nervous sikit.”

“Cakap ajalah Kamal. Nak nervous-nervous buat apa? Macam nak buat benda salah saja?”

GULP!

Aku telan air liur. Dina ni macam tahu-tahu saja. Aduhai, makin tak keruan aku dibuatnya.

“Memang pun, benda yang dia nak buat ni memang salah, mengarut!”

Iqbal merengus geram. Ditambah pula dengan muka tak puas hatinya tu, makin nervous aku dibuatnya.

“Iya? Apa bendanya? Ish, dah seram aku ni.”

“Eh, rileks Dina rileks.”

Aku cuba mengatur ayat. Ais laici di hadapanku, aku sisip perlahan. Biar sejuk tekak aku ni.

“Begini, Azlin sedang cari housemate. Jadi.. aku ingat... aku.. nak jadi housemate dialah.”

“You what?!!”

Aku sengih. Gila lawak tengok muka Dina yang terkejut. Beruk mat yeh pun kalah ni. Iqbal menjeling aku. Ala, rilekslah Bal. Tak habis-habis dengan muka cencorot kau tu.

“Kamal, kau ni tak betul ke? Mana boleh macam tu. Haram! Dosa!”

Lagi sekali. Perkataan itulah yang diulang-ulang sepanjang hari ni. Naik jemu jelak aku mendengarnya.

“You, you pun setuju ke dengan Kamal ni?”

“No dear. Awal-awal lagi I dah rejected idea dia tu. Gila!”

“Kau ni Bal, tak habis-habis kata aku gila. Nanti aku gila betul-betul baru kau tahu. Kau nak ke ha? Kau nak kawan kau dunia akhirat ni masuk wad gila kerana mulut masin kau tu? Ha?”

“Sebab kau kawan aku dunia akhiratlah, aku melarang kau buat benda-benda tak senonoh macam ni.”

“Benda tak senonoh apa? Bukannya aku buat apa-apa pun dengan si Azlin tu.”

“Cakap sekarang memanglah tak. Nanti dah tinggal serumah macam mana? Silap-silap kena cekup.”

“Hii… mulut kau ni kan. Saja aja nak bagi aku angin.”

“Sudah, sudah. You all berdua ni, macam budak-budak tau. Malulah kat orang.”

Aku senyum kelat. Tengok sekeliling. Ada juga mata-mata yang memandang bila dengar aura tegang antara aku dan Iqbal tadi.

“Boyfriend kau nilah. Bukan nak sokong kawan. Mentang-mentang dia dah ada awek. Kesianlah sikit kat aku ni Bal. Aku syok kat Azlin, aku nak tackle dia, aku nak bercinta dengan dia, aku nak dia jadi awek aku. Macam kau dengan Dina ni. Hanya dia Bal, hanya dia yang aku suka, yang aku nak. Yang boleh buat aku senyum bahagia. Kau tak suka tengok aku bahagia ke Bal?”

Aku cuba cucuk jarum simpati. Biar Iqbal terasa denyutan kat jantung. Kasi dia syahdu sikit. Moga-moga dia dan Dina setuju dengan idea aku ni. Gadis itu pun aku tengok dah sayu semacam mukanya.

“Okey Kamal, kau nak aku buat apa sebenarnya ni?”

“Okey macam ni, aku ingat… hmm.. aku nak menyamar.”

“Ha? Menyamar? Maksud kau… jadi perempuan?”

“Haa.. pandai pun kau Dina. Yup, aku nak menyamar jadi perempuan. Amacam?”

Aku gelak dalam hati tengok muka Dina yang dah tercengang habis. Siap terbeliak biji mata, mulut terlopong. Gila lawak muka dia. Hai, Bal Bal apa buruk benar awek kau ni? Aku kulum senyum.

“Sah! Kawan you tak betul Bal.”

“I tahu.”

Senyuman yang aku cuba ukir, tak jadi. Cewah, bukan main lagi pasangan kekasih ni mengutuk aku. Kepala aku rasa berasap dah ni.

“Nak tolong aku ke tak ni Dina?”

“Cuba kau cerita sikit, macam mana gayanya kau nak jadi perempuan? Sedangkan fizikal kau lelaki?”

“Okey, cuba korang tengok aku ni. Ha, tengok, tengok.”

Aku tuding jari telunjuk ke muka sendiri. Perhatian dari keduanya menambahkan semangat aku.

“Kulit aku cerah, kan? Muka aku licin, kan? Bulu mata aku lentik, kan? Ha apa lagi.. apa lagi.. ha ni, tahi lalat kat bibir aku ni.. sweet, kan? Cuma tak timbul aja, kan? Ha, tu semua boleh alter, kacang punya! Itu semua asset yang baik betul tak?”

Iqbal geleng kepala. Dia tunjal kepala aku.

“Apa ni? Sekeh-sekeh kepala orang pulak?”

Dina tergelak manja.

“Kamal, memanglah apa yang kau cakap tu betul. Tapi tangan kau tu nampak kasar, jari-jari kau tak halus pun macam perempuan. Hii.. tak kenalah, boleh detect nanti.”

“Jalan pun kengkang, macam mana gayanya? Tu..tu.. bulu kaki yang bersepah tu tak akan nak cukur kot?”

Kali ni aku pula yang tumbuk bahu Iqbal. Agak-agaklah nak cakap. Segan aku bila Dina tergelak manja. Ish, suara awek si Iqbal ni boleh tahan juga. Goyah sekejap aku.

“Dina kau alterlah aku ya? Boleh ya?”

“Suara kau macam mana? Tu.. tu halkum tu, nak sorok mana? Dada kau tu pulak, tak akan leper kot?”

Hantu punya Iqbal! Cakap tak berlapik dah. Aku senyum kelat. Sempat juga aku mengerling Dina. Gadis itu tersipu merenung makanannya. Hai, nasib kaulah Dina, dapat pakwe jenis mulut longkang.

“Itu kemudian kita fikir. Sekarang aku nak tanya Dina, sanggup tak sanggup tolong aku ni?”

“Kau nak aku tolong buat apa?”

“Ajar akulah., jadi perempuan melayu terakhir.”

Dina renung Iqbal.

“You, macam mana ek? You setuju ke?”

Aku dengar Iqbal mengeluh sambil menggeleng perlahan.

“Tak.”

“Baaal.., Dina?”

“Nantilah aku fikir ya?”

Aku Cuma mampu tersenyum kelat. Apa lagi yang boleh aku buat? Terpaksalah akur.

Rajuk Sang Hati 39

“Qai!”

Aku menoleh. Baru saja aku menjejakkan kaki di KLIA, Azura sudah melambai dan melaung memanggilku. Gadis itu menggamit aku ke arahnya. Aku tersenyum lebar. Dari jauh aku lihat seorang lelaki tinggi lampai berada di sampingnya. Kami berpelukan.

“Apa khabar Qai? Kau sihat?”

“Sihat, alhamdulillah. Kau?”

“Aku pun sihat juga.”

“Memanglah, aku tengok kau dah berisi sikit ya? Senang hati ke?”

Azura tergelak sambil mengesat air jernih yang bergenang di matanya.

“Kenalkan ni tunang aku, Aris. Err, abang ni bestfriend Zura, Qai.”

Lelaki itu tersenyum lebar sambil menghulur tangan.

“Aris Amirul.”

“Qairunissa.”

Senyuman manis ku beri sambil menyambut huluran tangan lelaki itu.

“So, inilah Qairunissa? Hmm, tak ada pun jerawat batu?”

Mataku membulat merenung Azura. Jerawat batu? Kurang asam punya kawan! Entah apalah yang dia cerita tentang aku pada tunangnya itu. Aris merenung Azura. Gadis itu tergelak besar.

“Sorry, sorry. Zura gurau aja. Maksud Zura, Qai ni cantik manis. Punyalah famous masa kat sekolah dulu.”

“Oh ya ke? Mesti ramai peminat ni?”

“Keliling pinggang bang..”

Aku berkerut kening mendengar Azura mengumpat aku depan-depan muka.

“Kau ni Zura, tak berubah ya perangai? Ingatkan bila dah jadi pensyarah, dah matang. Rupanya terencat macam dulu jugak.”

Aku membuat serangan balas. Tambahan pula kata-kataku itu disambut Aris dengan gelak yang besar. Aku lihat Azura pura-pura merajuk. Dan aku lihat pula Aris yang kelam-kabut memujuk. Alahai… terpaksalah aku menonton drama pula.



***********


Azrai menarik kerusi untuk Maisarah. Sahabatku itu tersenyum senang dengan layanan manja si suami.

“Azrai, caring betul ya kau pada Mai? Suka aku tengok.”

Azura tersengih sambil menyiku aku.

“Dah tu, tak nampak perut aku ni? Mestilah kena jaga baik-baik, anak dia, kan?”

“Hai, sayang anak aja? Bini tak sayang ke?”

Aku menyampuk.

“Siapa tak sayang bini oi, aku sayang dua-dualah.”

Azrai merenung manja ke wajah Maisarah. Rona wajah Maisarah bertukar merah. Kami tergelak melihat aksi romantis pasangan itu.

“Tak sangkakan Azrai, Qai yang kau aim, Mai yang kau dapat.”

Azura tergelak. Aku hanya tersenyum kelat. Azura ni, mulut dia.. sempat lagi aku mengerling Azrai. Lelaki itu beraksi selamba. Maisarah juga tersenyum lebar. Cuak juga aku jika lawak pedas Azura itu membuat Maisarah terasa hati.

“Zura, kau ni pun, agak-agaklah. Kang terasa hati Qai.”

Azrai dan Maisarah merenungku.

“Eh, Qai kau terasa ke?”

“Terasa apa pulak? Tak adalah. Aku okey. Aku happy kalau kawan-kawan aku happy. Seriously, Mai, Azrai, aku doakan korang happy sampai akhir hayat.”

“Hmm, doakan Mai aja ke? Aku ni kau tak nak doakan ke?”

Aku tergelak.

“Yalah Zura cayang, aku doakan kau dan Aris bahagia. And you Aris, if you break her heart, I’ll break your neck!”

“Whoa… ganasnya?”

Kami semua tergelak. Makanan yang kami order sudah terhidang depan mata. Aku menyedut milo ais kegemaranku dengan rakus. Dahaga sungguh, dari tadi hanya ketawa dan bercakap, kerongkongku terasa kering.

“Masih minum milo ais?”

Azrai menegurku. Aku mengangkat muka, lalu tersengih.

“B, kan memang itu favorite drink dia? Tak ingat ke?”

“Sebab ingatlah yang tanya tu, ingatkan dia dah tukar selera.”

“Milo ais, dulu kini dan selamanya. Ingat tu.”

“Ingat, semuanya aku ingat tau Qai.”

Maisarah merenungku.

“Semua kenangan kita kat sekolah, semua aku ingat. Korang tahu, aku punyalah tak sabar nak balik Malaysia, rindu betul. Rindu kat korang berdua.”

Aku dan Azura tersengih.

“Kita orang pun rindu jugak kat kau. Maklumlah kau sorang yang tercampak jauh. Bila dah balik sini bolehlah kita jumpa selalu, kan Qai?”

“Haah. Korang dah plan ke nak kerja mana?”

“Hmm, aku dah dapat offer dah pun, kat Johor. Buat masa ni aku kerja sorang dululah kot, keadaan Mai macam ni, siapa yang nak ambil dia?”

Kami tergelak.

“Eh, Qai kau tak dengar cerita Hasnul ke?”

Aku terdiam mendengar soalan Azrai itu. Aku menggeleng.

“Lost contact. Kat mana dia sekarang ha?”

“Dia kat belakang kau.”

Azrai dan Maisarah tersenyum. Aku mencebik. Nak kenakan akulah tu. Aku lihat Azura menoleh dan tersenyum, kemudian memandangku semula.

“Kau kenapa?”

Azura terus mengulum senyum sambil merenung tunangnya. Lelaki itu tersenyum nipis.

“Cuba kau pusing belakang, tengok siapa datang.”

Maisarah dan Azrai masih lagi tersengih. Sengih-sengih, macam budak terencat akal pun ada. Aku menoleh. Seorang lelaki tampan persis bintang Korea, tersenyum lebar sambil menyeluk poket.

“Hai, Nissa.”

Mataku membulat. Aku menelan air liur. Hasnul Amin? Dia menarik kerusi di sebelah Azrai. Duduk berhadapan denganku. Aku masih terkedu melihatnya. Handsomenya dia sekarang? Aku dapat rasakan jantungku berdegup tidak normal. Apa pulak ni?

“Hmm.. taulah kau terkejut, sudah-sudahlah tengok dia tu.”

Suara Azura mengejutkan aku. Aku tertunduk. Mukaku hangat. Kenapa aku tiba-tiba jadi malu pulak ni? Ni gara-gara mulut Azuralah ni.

“Kan aku dah cakap? Menjadi tak?”

“Jadi. Thanks bro.”

Azrai dan Hasnul Amin melaga penumbuk. Aku terkebil-kebil melihat aksi mereka. Azura dan Maisarah pula hanya tersengih.

“Nissa, sihat?”

“Sihat. Kau?”

“Alhamdulillah. Sihat.”

Aku lihat, semua mengulum senyum. Apa hal ni? Pelik betullah. Macam ada yang tak kena aja?

“Err, Zura okeylah, aku ingat nak blah dululah. Tak larat dah ni. Qai, thanks sebab jemput aku ya. Nanti kita jumpa lagi, kita borak panjang, okey?”

“Eh, takkan korang nak balik dah? Hasnul kan baru sampai ni?”

“Tak apalah sekarang turn kau layan Hasnul. Bini aku ni dah sakit pinggang. So, aku kena bawa dia balik dulu. Family pun tak jumpa lagi ni.”

“Haahlah Qai, aku pun ingat nak blah dululah. Lagipun dah janji dengan kakak Aris nak lunch kat rumah dia. Sorry ek. Nanti aku call kau ya?”

Aku lihat mereka bangun dengan serentak. Kenapa ni? Apa yang dah jadi? Elok-elok berborak tadi tiba-tiba semua nak balik. Aku pelik.

“Hasnul, okeylah. Aku nampak kepala Qai dah berasap dah tu. Pandai-pandailah kau handle.”

Aku bertambah pelik bila mendengar kata-kata Azrai. Mereka saling berpelukan. Kemudian Hasnul Amin bersalaman dengan semua orang. Masing-masing mengulum senyum.

“Good luck.” Ucap Aris.

“It’s your turn now.” Ucap Azura pula.

“Make sure jadi tau.” Pesan Maisarah.

“Tugas aku dah habis. Tak jadi siap kau!”

Azrai menokok sambil mengacu buku lima ke muka Hasnul Amin. Lelaki itu tergelak. Aku seperti biasa, tercegat dan tidak mengerti apa-apa.

“Thanks guys.”

Hasnul Amin membalas dengan senyuman lebar.

“Sama-sama. Bye Qai. Caiyo! Caiyo!”

Laung Azura dari jauh. Aku hanya menggeleng. Tak berubah-ubah perangai kawanku yang sorang ni. Aku duduk semula. Kini hanya tinggal aku dan Hasnul Amin. Tiba-tiba suasana jadi kekok.

“Jom!”

“Ke mana?”

Hasnul Amin tersenyum.

Wasiat Cinta 20

Mata Tihani terpaku pada skrin komputer di mejanya. Fikirannya menerawang jauh. Mengimbas kejadian semalam antara dirinya dan Fendi. Perasaan bersalah pada Faizal telah menghantuinya sepanjang hari. Nadia yang membebel di meja sebelah langsung tidak didengarnya. Dia lebih berminat melayan perasaan bingungnya itu. Perasaan tidak keruannya.

“Hoi makcik! Kau dengar tak apa yang aku cakap ni?”

Nadia menepuk bahu Tihani membuat gadis itu tersentak. Tihani menjeling geram kepada temannya itu. Suka sangat mengganggu lamunannya.

“Kau ni kenapa? Ada problem ke?”

Tihani diam. Merenung sayu ke wajah temannya itu. Dia mengeluh berat.

“Kau tak sihat ya?”

“Nadia, aku tengah confuselah.”

“Ceritalah, mungkin aku boleh tolong.”

“Ada orang jatuh cinta pada aku.”

“Hah!?”

Nadia melongo. Kemudian tersenyum.

“Tahniah! So, kau terima tak?”

“Itulah yang membuat aku confuse ni. Aku rasa macam aku curang pada arwah Faizallah.”

“Hani, mula-mula memanglah kau akan rasa begitu. Lama-lama esok kau okey punya. Percayalah cakap aku.”

“Aku rasa tak akan okey kot.”

“La, kenapa pulak? Dia tak handsome ya?”

“Handsome. Tapi aku rasa tak bolehlah.”

“Kau dah bagi jawapan?”

Tihani mengangguk lemah.

“Kau jawab apa?”

“Aku tolak, aku kata tak boleh. Tapi dia kata aku tengah confuse. So, dia suruh aku fikir dulu.”

“Jadi kau tak dapat buat keputusanlah ni?”

Sekali lagi Tihani mengangguk lemah.

“Ya, aku rasa bersalah pada Faizal. Aku mengkhianati dia, aku curang.”

“Astaghfirullahalazim. Kau ni, cuba jangan fikir over sangat. Dalam kes kau ni mana ada istilah curang, khianat. You’re single woman now. You’re available. Kau bebas.”

“Tapi hati aku ni tak bebas lagi.”

Perlahan dia mengeluh.

“Siapa lelaki bertuah tu ya? Kerja apa? Tinggal kat mana?”

Tihani menjeling tajam ke arah Nadia. Sibuk betul nak tahu. Memang Nadia ini mulutnya becok sedikit. Tetapi setakat ini rahsianya tersimpan kemas oleh gadis itu. Itu yang membuat Tihani senang dengannya.

“Nama dia Fendi, dia doktor. Tinggal dekat Subang. Puas hati?”

Nadia tersengih.

“Wah, beruntungnya kau. Doktor tu, doktor. Sah-sah terjamin masa depan kau dan Mikhail tau. Memang tuah badan kau ya. Dulu arwah suami kau tu engineer, sekarang ni doktor pulak. Hai, melepaslah encik Saiful nampaknya.”

“Kau ni, yang babitkan encik Saiful tu apa hal?”

Tihani cemberut. Boleh pula si Nadia ini menyelitkan nama encik Saiful di dalam kisah hidupnya. Buat didengar oleh staff lain mahu saja jadi gosip.

“Ala, tak akan tak boleh kot. Aku tengok dia pun macam tangkap lentok aja dengan kau.”

“Banyaklah kau punya tangkap lentok.”

“Betul apa? Kau tak perasan ke? Lately dia layan kau baikkan? Tak marah-marah macam dulu. Cara dia pandang kau pun lain macam aja.”

“Hey stop it! Jangan nak mengarut okey?”

Tihani cuba memberi amaran dengan menuding jari telunjuk ke arah Nadia. Tetapi perbuatannya itu hanyalah sia-sia saja bila Nadia hanya tersengih macam kerang busuk melihatnya.

“Lantak kaulah. Semua orang boleh perasan tau. Kau saja yang buat-buat tak tahu.”

Perbualan mereka terhenti bila Saiful keluar dari biliknya. Tihani tunduk pura-pura buat kerja. Sedangkan dia langsung tidak ada mood.

“Tihani, nanti lunch dengan saya ya.”

Sedar-sedar saja Saiful sudah berada di depan mejanya. Tihani berkedut kening. Apa hal? Nak jumpa client lagikah?

“Ada appointment lagi ke lunch ni encik?”

“Kalau tak jumpa client, tak boleh keluar lunch dengan saya ke?”

Saiful menduga. Tihani mula gelisah. Tak tahu nak bagi jawapan apa. Sudahnya dia hanya tersenyum kelat.

“Pergi sajalah Hani, lagipun aku ada lunch date hari ni. So, kita tak dapat lunch sekalilah.”

Nadia yang sedari tadi memasang telinga tiba-tiba menyampuk. Betapa geramnya Tihani dengan aksi selamba Nadia itu. Nak saja dia gamkan mulut temannya itu. Saiful yang tercegat menunggu jawapan dari Tihani, tersenyum manis.

“So, bolehlah ya?”

“Okey.”

Akhirnya dia mengalah. Saiful tersenyum lebar. Pandangan mereka bertiga beralih ke arah pintu utama. Seorang pemuda dengan hanya berseluar jeans lusuh, t-shirt berwarna kelabu dan memakai cap muncul dengan sejambak bunga di tangan.

“Cik Tihani Annur ada?”

Tihani senyum dan mengangkat punggung melangkah ke arah pemuda itu. Setelah menurunkan tandatangan pada resit dan mengucapkan terima kasih kepada pemuda itu, dia menghala ke mejanya semula. Kad kecil yang terselit di celah-celah bunga itu dibacanya.

“I’m really sorry & I love you so much.”

-Fendi-

Fendi rupanya. Tihani mengeluh. Jambangan bunga ditenung. Cantik. Dia mengukir senyum. Wajah Saiful sudah bertukar rupa. Dari manis senyumannya, bertukar kelat. Dia cemburu. Siapalah agaknya yang memberi gadisnya itu bunga?

“Happy nampak? Dari siapa tu?”

Saiful cuba merisik. Tihani hanya menggelengkan kepala. Nadia yang sudah lama tersengih-sengih macam kerang busuk itu pun tidak sabar-sabar ingin tahu. Dengan selamba dia mencapai kad kecil itu. Matanya bulat merenung Tihani.

“Kau tak habis cerita kat aku ya?”

Tihani berkedut dahi. Tidak faham dengan maksud temannya itu. Nadia mencebik.

“I’m really sorry and I love you so much.”

Nadia membaca dengan kuat. Cukup membuat Saiful tersentak. Mukanya berubah. Ada orang lain yang mencintai gadisnya itu? Cepat-cepat Tihani merampas kembali kad kecil itu. Sempat juga dia menjeling ke arah bosnya itu. Saiful memandang tepat ke mata Tihani. Dia tidak betah lagi berada di situ. Sebelum api cemburunya menguasai emosi, lebih baik dia beredar segera. Tihani dan Nadia hanya menyorot permergian Saiful ke kamarnya.

“Jealouslah tu.”

Nadia mencebik dan memuncungkan bibirnya ke arah pintu kamar Saiful yang sudah tertutup rapat.

“Kau punya pasallah. Yang baca kuat-kuat tu kenapa? Dahlah suara tu macam speaker.”

Geram Tihani masih berbekas. Habislah dia time lunch nanti. Jenuh nak berjawab dengan encik Saiful.

“Hello, excuse me. Aku pulak. Kaulah puncanya, siapa suruh tak cerita habis. Kasi clean and clearlah sikit.”

“Memanglah aku nak cerita, tapi bukan ke encik Saiful keluar tiba-tiba tadi? Habis tu, tak reti-reti nak diam buat kerja ke? Karang tak pasal-pasal kena sound free.”

Tihani mula mengomel geram. Geram pada siapa dia sendiri pun tidak pasti. Pada Fendi ada, pada Nadia ada, pada encik Saiful pun ada dan pada diri sendiri juga.

“So, apa tu? Sorry? Sorry for what?”

Nadia mula buat muka penyibuk semula. Tihani duduk dan mengeluh panjang. Tidak tahu bagaimana hendak bercerita pada gadis penyibuk di sebelahnya ini. Apa reaksi Nadia agaknya jika dia ceritakan bahawa Fendi telah mengucupnya?

“Kau bergaduh ke?”

Tihani diam. Adakah situasinya sekarang dikira bergaduh dengan Fendi? Tidak rasanya.

“Semalam birthday Mikhail.”

Tanpa menjawab soalan Nadia dia memulakan bicara.

“Aku jemput dia.”

Mata Nadia melekat ke wajah Tihani. Mulutnya sedikit ternganga. Cuba memberi konsentrasi. Hodoh pula rupanya. Tihani tidak dapat menahan senyum.

“Kau ni, jangan buat muka macam tu boleh tak? Buruk tahu.”

“Ah, cepatlah cerita.”

Nadia tidak peduli.

“Okey, malam tu lepas semua orang tidur, aku kemas-kemaslah ruang tamu yang bersepah tu. Dia pun tolong aku.”

“Chup.. chup, aku tak faham. Dia yang kau maksudkan tu Fendi si doktor tulah, kan?”

“Ya, kenapa?”

“Dia lepak rumah kau sampai malam? Ummi kau tak marah ke?”

Tihani senyum. Dia terlupa rupanya nak ceritakan siapa Fendi. Patut sajalah Nadia pelik.

“Ya, dia tidur rumah aku, ibu dia pun sekali.”

“Wah, jemput bakal mak mertua sekali rupanya.”

Tihani tersenyum dan menggelengkan kepala. Kalaulah Nadia tahu.

“Masa tengah syok-syok mengemas tu, kita orang terhantuk kepala masing-masing. Sakit tau. Lepas tu dia hembuslah dahi aku. Masa tu muka dia dekat sangat dengan muka aku.”

Tihani terhenti seketika. Dia masih dapat membayangkan memori semalam.

“Then, what happened?”

Tak sabar sungguh si Nadia ni. Tihani menjeling geram.

“Dia tenung aku… then… dia kissed..”

Tihani bersuara perlahan menahan malu. Segan pula rasanya. Reaksi Nadia tidak usah dicakaplah. Matanya terbeliak dan mulut ternganga. Kalau lalat masuk mahu saja terus turun ke perut.

“Dia.. dia kissed kau? Habis tu kau balas tak?”

Tihani menggeleng.

“Aku kaku, beku, kelu. Tak tahu nak buat apa, terkejut sangat.”

“Dia tak apa-apakan kau, kan? Tidak bukan?”

“Tak, dia menyesal dan minta maaf berkali-kali pada aku sampailah sekarang.”

“Oh, patutlah kau confused. Masa tu mana ummi kau dan mak dia?”

“Dia orang dah tidur. Kalau dia orang nampak, mahu aja aku kena nikah malam tu jugak.”

Tihani tersengih.

“Lain kali jangan gatal-gatal ajak jantan tidur kat rumah. Dahlah rumah kau tu tak ada lelaki muhrim. Bahaya Hani oii..”

“Eh, ada apa lelaki muhrim, Mikhail tu siapa?”

“Ish, jangan main-main boleh tak? Aku serius ni Hani.”

“Okey okey sorry.”

“Tapikan, dari gaya kau cerita, macam rapat aja kau dengan dia ya? Mana kau jumpa dia?”

“Dah lama aku kenal dia, dah sepuluh tahun.”

“What? Both of you? But how? When? Where?”

Bertubi-tubi soalan yang keluar dari mulut Nadia. Tihani mengeluh berat. Berkira-kira mahu bercerita atau tidak.

“Yup, aku dah lama kenal dia. Masa aku form four lagi. Mana tahu dia menyimpan rasa pada aku sekian lama, baru-baru ni aja dia meluahkannya.”

Tihani meringkaskan ceritanya agar Nadia faham. Agar Nadia tidak banyak soal sebenarnya.

“Mak aii, setianya dia. Kalau aku jadi kau, aku terima aja. Bukan senang nak cari lelaki setia sekarang ni.”

Tihani diam. Jari-jemarinya mengetuk meja. Jambangan bunga dipandangnya sekali lagi. Bunga ros merah. Sepuluh kuntum semuanya. Bagai simbolik cinta Fendi kepadanya. Dia menghidu bunga itu. Wangi dan segar. Adakah sewangi cinta Fendi kepadanya? Adakah sesegar kasih yang bercambah di hati lelaki itu?