Akulah Cinderella 14

Kami semua tercengang bila kereta yang dipandu Sarah berhenti di hadapan sebuah banglo mewah tiga tingkat. Mulut adik-adikku ternganga dan melopong. Aku hanya tersenyum melihat gelagat mereka.

“Wah, magiknya!”

Suara Aiman mengundang riuh tawa kami bila pagar automatik terbuka dengan sendirinya. Perlahan kereta Toyota Estima itu merangkak masuk. Aku lihat ada beberapa buah kereta lagi yang tersadai di dalam garaj rumah besar ini. Ada lapan buah kesemuanya. Dan sudah pastilah kesemuanya kereta mewah. Tiada lansung kereta buatan Malaysia. Tinggi juga selera mereka ni. Kami keluar dari perut kereta dan mengambil barang masing-masing. Berjalan berhati-hati mengekori langkah Datin Zulaikha.

“Come, jangan malu-malu. Mulai hari ni, anggap aja rumah ini seperti rumah sendiri, okey?”

Adik-adikku mematung di depan pintu rumah menanti reaksi dariku. Aku tersenyum.

“Jom, sekarang inilah rumah kita.”

Sebaik mendengar bicara yang keluar dari bibirku, barulah mereka tersenyum ceria. Apabila pintu utama dikuak mata kami masing-masing membulat. Kagum dengan perhiasan mewah di setiap sudut mahligai itu. Perabotnya pasti mahal. Lantainya berkilat seperti cermin. Secalit kotor pun tidak kelihatan malah cantik sekali dihiasi jambangan bunga dan lampu-lampu kristal. Kami masih tercegat di ruang tengah menghadap tangga yang berkerawang keemasan. Aku betul-betul kagum dan aku tahu adik-adikku pasti lebih dari itu. Dari ekspresi muka mereka saja sudah menunjukkan betapa kagum dan tidak percaya bahawa mereka akan tinggal di sini. Aku sendiri pun begitu juga. Seperti bermimpi saja aku menjadi anak angkat seorang kaya. Betahkah kami semua tinggal di mahligai ini?

“Duduklah, kita minum dulu ya.”

Datin Zulaikha merenungku. Wajah keibuannya seperti tersentuh melihat telatah adik-adikku itu. Kami mengambil tempat masing-masing. Duduk di sofa empuk yang menenggelamkan punggung itu. Rasanya tilamku pun kalah. Selesa sungguh rasanya. Sarah melabuhkan punggungnya di sebelahku.

“Kak Som!”

Aku berpaling bila seorang wanita separuh abad datang sambil tersenyum manis.

“Kak Som, inilah Syah yang selamatkan nyawa saya hari tu. Ini adik-adiknya. Syah, ni mak Som. Pembantu rumah mummy yang paling setia dan yang paling baik.”

Aku dan adik-adik bangun bersalaman dan mengucup tangannya. Orang tua harus dihormati. Itu adalah pesan ibuku.

“Oh, inilah dia yang Datin selalu sebut-sebutkan tu. Manis orangnya.”

Aku tersenyum. Malu pulak bila dipuji begitu.

“Err, kak Som buatkan air ya. Bawakan makanan sekali, kesian diorang lapar ni.”

Aku hanya melemparkan senyuman manis kepada wanita itu. Sedari tadi aku masih belum mampu untuk berkata-kata. Masih terasa canggung.

“Err, Datin, saya rasa elok saya balik dulu.”

“Baiklah Sarah. Esok awak ada ke mana-mana tak?”

“I don’t know yet, Datin. Why?”

“Yalah, esok hujung minggu. Saya ingat nak buat makan-makan sikit. Shafiq pun ada, esok bolehlah kita discuss apa yang patut pasal proposal syarikat dari Jepun tu,”

“Nanti saya confirm balik ya, Datin. Sebab takut si Haziq ajak dating pula.”

Datin Zulaikha tergelak.

“Oh, saya lupa. Orang tengah darah manis, but why don’t you bring him together tomorrow. Dia pun kawan Shafiq juga, bukan?”

“Alright then, I’ll call you later Datin. So, I have to go now. Girls, akak balik dulu ya. Jangan segan tahu? Buat macam biasa aja ya. Mummy you all ni confirm baik punya. Nak makan apa-apa minta aja dekat mak Som, okey?”

Adik-adikku tersenyum senang dan mengangguk. Sekali lagi mereka bangun bersalaman dengan Sarah. Mak Som datang membawa tujuh gelas air oren dan sepinggan goreng pisang.

“Makan Syah, ini aja yang sempat mak Som buat. Makan ya.”

Aku hanya mengangguk dan tersenyum. Pandangan ku lemparkan pada sesusuk tubuh wanita separuh abad itu yang berlalu ke dapur semula. Aiman dan Azah tanpa segan silu mencapai goreng pisang dan makan dengan rakus.

“Azah, Aiman!”

Aku jegilkan mata kepada mereka. Sebagai isyarat supaya menjaga adab.

“Tak apalah Syah, diorang lapar sangat agaknya. Biarlah. Girls, makan cepat. Sekejap lagi mummy tunjukkan bilik ya.”


****************


Kami meniti satu persatu anak tangga menuju ke tingkat atas. Di tingkat dua saja menempatkan enam bilik. Bilik-bilik itu berhadapan di antara satu sama lain. Terdapat ruang tamu sederhana besar menjadi pemisah di antara keenam-enam bilik itu. Di ruangan ini terdapat system home theatre dan permainan playstation. Mungkin ruangan ini untuk bersantai, kerana hiasannya juga amat simple dengan langsir yang berwarna coklat gelap.

“Yang itu bilik air ya. Semua bilik kat level ni guna bilik air yang itu.”

Jari telunjuk Datin Zulaikha menghala ke arah sebuah pintu yang tertutup rapat. Betul-betul setentang dengan muka tangga. Bilik yang pertama adalah kepunyaan Alia. Kami beramai-ramai masuk ke bilik itu. Cantik sekali hiasannya yang berwarna pink bercampur putih.

“Err, mummy, bilik ni untuk Lia ke?”

“Ya sayang, kenapa? Alia tak suka? Tak suka colour pink? Nanti mummy panggil orang tukarkan ya.”

“Eh, tak payah, tak payah. Memang Lia suka warna pink. Cuma bilik ni besar sangat.”

“Alia takut ke?”

Alia hanya tersengih. Memang adikku ini penakut sikit orangnya.

“Tak boleh berkongsi bilik ke mummy? Membazir pula bagi sorang satu bilik.”

Soalku pula.

“Nope! Hanya Azah dan Aiman aja yang berkongsi bilik, sebab mereka masih kecil.”

Aku terdiam. Kami meninggalkan Alia keseorangan di bilik barunya itu. Bilik pertamanya. Kami masuk pula ke dalam bilik kedua. Bilik ini berhadapan dengan bilik Alia.

“Bilik ni untuk Aida ya.”

Aida tersenyum senang. Lalu terus saja duduk di atas katil barunya itu. Cantik juga bilik ini. Hiasannya pun tidak keterlaluan. Menempatkan sebuah katil bujang di tepi jendela yang dihiasi warna ungu bercampur putih. Memang tenang sekali bila berada di bilik Aida ini.

“Aida suka tak?”

“Sukaaa sangat mummy! Thank you.”

Tiba-tiba Aida datang memeluk Datin Zulaikha. Pipinya basah. Adikku ini pula memang pelakon airmata. Pantang silap sikit pasti menangis.

“Hey, stop crying. Tak ada apa yang nak disedihkan. Aida bebas nak buat apa saja dalam bilik ini. Okey sayang?”

Jemari Datin Zulaikha mengesat air jernih yang menitis di pipi Aida. Adikku itu hanya mengangguk perlahan. Kami keluar menuju pula ke sebelah bilik Aida tadi. Bilik ini kecil sedikit tetapi tetap juga dihias cantik. Berwarna kuning bercampur putih. Mungkin itu tema yang menghiasi setiap bilik agaknya. Warna utama digabungkan dengan warna putih.

“Ini pula bilik Ain.”

“Wah, cantiklah!! Ain memang suka warna kuning tau mummy.”

“Iya? Baguslah kalau macam tu, tak sia-sia bilik ni mummy bagi untuk Ain. Tapi kecil sikit, tak apa ya sayang?”

“Ain okey je, tak kisah pun. Tidur di ruang tamu pun tak apa mummy.”

Ain tersengih memandang Datin Zulaikha. Wanita itu tergelak halus. Ada keruh di wajahnya. Mungkin simpati bertandang agaknya. Aku juga tersenyum melihat telatah Ain. Adikku yang ini pula memang selamba dan sangat simple. Sifatnya amat menyenangkan. Sebab itu jugalah dia mempunyai ramai kawan.

Aku mengekori langkah Datin Zulaikha diikuti oleh dua adik kecilku itu. Kami menuju ke bilik yang berhadapan dengan bilik Ain pula. Sebaik pintu bilik dibuka, mataku membulat melihat kecerian bilik ini. Seperti berada di sebuah taska pula rasanya. Bilik ini agak besar. Menempatkan dua katil bujang di kiri dan kanan. Di tengah-tengah tersedia meja kecil berwarna putih sebagai pemisah antara dua katil itu. Di sebelah kiri, cadar katil, dinding dan perabot dihiasi warna biru dan putih.

“Colour biru ini untuk Aiman.”

Aiman pula sudah melompat-lompat di atas katil. Aku menjegilkan mata sekali lagi kepadanya. Tetapi perbuatanku itu hanyalah sia-sia saja kerana Aiman buat-buat tidak nampak. Memang nakal betul adikku yang seorang ini. Memang begini perangai budak lelaki agaknya, lansung tak mahu mendengar kata.

“Yang colour merah ni untuk Azah.”

Aku menoleh melihat di sebelah kanan. Warna merah darah. Di dinding terhias bunga-bunga kecil berwarna putih. Cadar katilnya juga berwarna merah dan putih. Aku melihat sudut lain pula. Terdapat kereta-kereta kecil terhias di hujung katil Aiman dan teddy bear pelbagai bentuk tersusun cantik di hujung katil Azah. Memang ceria betul bilik ini.

“Bilik ni baru siap dihias semalam. Bau cat pun ada lagi ha, mummy saja pilih bilik ni sebelah bilik Alia. Takut-takut diorang mengingau malam-malam, bolehlah Alia dengar.”

Aku mengangguk faham.

“Come, mummy tunjukkan bilik Syah pula.”

“Aiman, Azah, jangan bergaduh tau? Lepas main nanti kemas semula faham?”

Aku menitip pesan buat mereka lalu mengekori langkah Datin Zulaikha. Berkerut keningku bila kami meniti tangga menuju ke atas. Sangkaku, bilikku juga di tingkat dua bersama dengan adik-adikku.

“Syah special sikit. So, mummy bagi bilik atas ya. Kat atas ni, ada dua bilik aja. Dua-dua bilik tu besar.”

Aku membisu. Tidak perlulah bilik besar sangat. Aku ini anak dara pemalas Datin. Bab-bab mengemas rumah bukan kepakaranku.

“Ha, yang ini bilik Shafiq. Bilik Syah sebelah bilik Shafiq ni.”

What? Bilikku sebelah bilik si mangkuk ayun itu? Habis! Masak aku dibuatnya. Sebaik pintu kamarku dikuak mataku membulat. Besarnya! Dihias cantik dengan warna pic dan sedikit warna coklat. Tidakku sangka warna ini bila digabungkan boleh membangkitkan kelainan.

“Mummy tak tahu Syah suka colour apa? So, mummy gabungkan dua colour ini sebagai simbolik imej Syah sekarang. Pic untuk perempuan dan coklat gelap ni mewakili sifat lelaki. Boleh ke macam tu?”

“Mummy, cantik sangat! Walaupun ini bukan favorite colour saya, tapi bila digabungkan begini jadi cantiklah. Thanks mummy.”

Datin Zulaikha tersenyum senang. Dia menarikku duduk di sofa berbentuk L.

“Lega rasanya Syah boleh terima idea mummy ni. Jenuh juga bertelagah dengan Sarah.”

Aku berkerut kening.

“So, memang mummy dah planlah?”

“Ya, sejak mummy tahu kisah hidup Syah pada malam tu, kat restoran Syah kerja dulu. Mummy memang nekad untuk membawa Syah dan adik-adik tinggal dengan mummy. Esoknya mummy arahkan Sarah untuk arranged semua benda ni.”

“Walaupun masa tu mummy tak pernah jumpa adik-adik saya lagi?”

“Itulah namanya mother instinct sayang.”

Aku macam tak percaya saja. Agaknya Datin Zulaikha sudah menyiasat latar belakangku. Agaknya dia mengupah penyiasat persendirian kot. Aku tersenyum nipis bila memikirkan andaian yang ku rumus sendiri.

“Syah rest dulu ya, mummy nak solat ni. Karang kita dinner sama-sama okey.”

Datin Zulaikha mengangkat punggung dan beredar dari kamarku. Aku menutup perlahan pintu kayu yang berukir cantik itu. Pintu kamar saja sudah cukup mahal. Aku memerhati setiap sudut kamarku itu. Katilku agak besar, queen size barangkali. Puaslah aku tidur malam nanti. Di kiri dan kanan katil terdapat dua meja kecil dan di atasnya terdapat lampu tidur. Permaidani yang gebu, jambangan bunga dan lampu kristal menghiasi indah ruang kamarku itu. Aroma lavender semerbak harum.

Aku melangkah ke meja solek yang terletak setentang dengan hujung katil. Besarnya meja solek ini. Apalah yang aku nak letak di atasnya? Aku hanya ada bedak talkum, deodorant dan sikat rambut saja. Minyak wangi tidak pernah merasa lansung, apa lagi alat solek beraneka warna. Wajahku ini mulus sekali tanpa secalit gincu atau pun pemerah pipi. Mataku melilau pula mencari almari pakaian. Tak akanlah tak ada?

Aku menghampiri meja tulis yang sederhana besar di sebelah meja solek tadi. Di atas meja tulis itu sudah tersedia sebuah komputer dan lampu meja. Aku beralih pandang pula pada sebuah pintu yang tertutup rapat. Pintu kaca berwarna-warni itu ku buka.Dan secara automatik lampu pun menyala. Terbeliak mataku bila melihat almari pakaian yang panjang melekat di dinding kiri. Terdapat juga cermin panjang dan penyangkut di tepi dinding sebelah kanan. Jadi, di sinilah almari pakaian rupanya. Aku membuka almari itu. Kosong. Apalah yang aku nak isi di dalam almari yang luas begini? Bukannya banyak pun bajuku.

Aku menutup semula pintu kaca yang berwarna-warni itu dan tanganku memulas tombol pintu di sebelahnya. Bilik air rupanya. Bersihnya bilik air ini, cantik sekali. Tidaklah berapa besar, tapi cukup selesa untuk seorang puteri sepertiku berlama-lama di dalamnya. Aku keluar dari kamar mandi dan menuju ke arah jendela. Dari jendela ku lihat masyhad yang indah sekali. Kesemua rumah yang berhampiran juga adalah rumah banglo mewah tiga tingkat. Mataku beralih ke bawah pula. Terdapat kolam renang sederhana besar. Cantik membiru dari atas.

Aku berpaling dan melompat di atas katil. Melantun-lantun tubuhku dek spring tilam empuk ini. Aku merebahkan badan. Letih sungguh rasanya. Bila mengenangkan di mana aku berada kini, terasa bagai mimpi pula. Hanya kerana telah menyelamatkan seorang wanita kaya, hidupku berubah. Dari kehidupan yang serba daif, menjadi selesa dalam sekelip mata. Dari seorang gadis kampung yang comot dan berpakaian lusuh, terus menjadi seorang puteri. Puteri tomboi. Aku tergelak halus. Terasa seperti sebuah cerita dongeng Cinderella pula.

Ya, akulah Cinderella itu.

1 Suara Merdu Anda:

Anonymous said...

nak lagi2 .. sambung lah cepat .. x sabr2 dah ne

Post a Comment