Rajuk Sang Hati 8

Aku buka perlahan pintu bilik atuk. Kepalaku masuk terlebih dahulu. Atuk duduk bersandar di kepala katil. Di tangannya senaskah surah yasin. Atuk menguntum senyum bila terpandang aku. Aku membalas senyuman atuk dan melangkah perlahan lalu melabuhkan punggung di hujung katil.

“Atuk, lapar tak? Orang ambilkan nasi untuk atuk ya?”

Atuk menggeleng. Dadanya berombak perlahan. Seperti sukar untuk bernafas. Mungkin penyakit asma atuk menyerang lagi.

“Atuk sakit lagi ya? Nak orang sapu minyak?”

Atuk senyum dan mengangguk perlahan. Aku mencapai minyak angin di atas meja kecil di tepi katil. Perlahan aku usap ke dada atuk. Kasihan atuk. Tubuh setua ini pasti derita menanggung kesakitan itu.

“Okey? Lega?”

“Terima kasih Nissa. Kalau kamu tak ada entah la…”

“Ala atuk ni, orang sayang atuk. Orang tak nak atuk sakit. Tak payah terima kasih segalalah atuk.”

Atuk tergelak perlahan. Dadanya berombak agak kuat dari tadi. Tercungap-cungap atuk nak menghabiskan satu-satu ayat.

“Atuk kalau penat, tak payah cakaplah ya. Atuk rest aja.”

Atuk mengangguk perlahan. Matanya bergenang merenungku. Aku mula tidak tahan melihat mata atuk yang berkaca itu. Pasti atuk derita.

“Betul atuk tak nak makan? Kalau atuk tak larat bangun, orang ambilkan nasi.”

Atuk masih cuba bernafas dengan elok. Aku terdengar ada bunyi halus yang hadir setiap kali atuk turun naik nafas. Hatiku seperti ditoreh-toreh melihat penderitaan atuk.

“Atuk makanlah sikit ya? Nanti perut masuk angin, lagi susah. Err, orang suapkan atuk ya? Nak tak?”

Susah payah atuk cuba mengukir senyum. Perlahan atuk mengangguk.

“Ha, macam tulah. Atuk tunggu kejap, nanti orang ambil nasi ya. Kejap ya tuk.”

Aku bingkas dan laju menuju ke dapur. Aku tidak mahu berlengah lagi. Tengah atuk setuju nak makan baik aku cepat. Kalau tak sia-sia saja aku memujuknya tadi.



*********


Telefon rumah berbunyi nyaring minta di angkat. Lama telefon itu berbunyi. Aku hanya memasang telinga dari dapur. Tak ada siapa ke nak angkat? Deringan telefon berhenti. Aku meneruskan acara membasuh pinggan selepas makan malam. Dah jadi rutinku sebenarnya. Maklumlah mak aku tak ada anak dara yang lain. Jadi aku tak ada pilihan, melainkan menolong mak yang dah menjadi tanggungjawabku sejak di sekolah rendah lagi. Telefon berbunyi lagi. Kali ini aku melangkah laju ke ruang tamu. Sempat aku jenguk ke bilik mak. Patutlah, mak dan ayah tengah berjemaah. Segera ganggang telefon ku capai.

“Hello, assalamualaikum.”

“Walaikumsalam.”

“Along!”

Aku terjerit sedikit bila terdengar suara abang sulungku yang berada di hujung talian.

“Nissa, sihat ke? Semua sihat?”

“Orang sihat. Semua sihat kecuali atuk.”

“Kenapa dengan atuk? Semput lagi?”

“Biasalah along. Dah itu penyakit dia.”

“Hmm, Nissa tengok-tengokkan dia ya. Kesian atuk.”

“Along jangan risaulah, selagi orang ada, orang akan jaga atuk.”

“Yalah tu. Boleh harap ke ni?”

“Eh, along jangan pandang orang sebelah mata tau. Dalam rumah ni kalau orang takda banyak kerja tak jadi tau.”

Along tergelak besar. Macam perli aku saja?

“Oh gelakkan orang ya? Tak percayalah tu?”

“Eh percaya, percaya sangat.”

Aku tersengih. Macamlah along nampak.

“Err, along sihat?”

“Sihat. Mak dan ayah mana? Haikal?”

“Haikal pergi mengaji tak balik-balik lagi. Mak dengan ayah tengah sembahyang. Along nak cakap dengan mak ke?”

“Tak apalah kot. Kirim salam aja kat dia orang ya. Cakap kat mak minggu depan along balik.”

“Ya ke? Cuti semester dah start ke?”

“Bukan dah start, along dah habis dah pun. Minggu depan last class.”

“Oh, along nak buat praktikal ya?”

“Haah, along dapat dua tiga tempat ni, tak tau nak buat kat mana. Eh, tak apalah along letak dulu. Credit pun nak habis ni.”

“Okey along, take care.”

“Nissa pun sama. Ingat jangan merayau sorang-sorang tahu, bahaya. Kirim salam aja kat dia orang. Assalamualaikum.”

“Walaikumsalam.”

Ganggang ku letak perlahan. Along ni, walau aku dah besar panjang masih anggap aku macam budak-budak lagi. Pesan-pesan segala. Perlahan aku menuju ke bilik mak.

Wasiat Cinta 4

Tihani mematung di hadapan Saiful. Jantungnya berdegup kencang. Apa lagi kali ni? Seingatnya tak ada kesalahan yang dibuat pada laporan tu. Angka-angka itu telah dikiranya berulang kali. Ya Allah, selamatkanlah hambamu ini. Doanya dalam hati, sambil matanya memerhati wajah serius Saiful. Muka saja hensem bos aku ni, garangnya bukan main lagi. Tapi, dengan aku saja pulak tu garangnya. Dengan orang lain okey saja aku tengok. Agaknya dia suka kat aku kot. Mana tahu saja nak ambil perhatian. Hissy, perasan betul aku ni. Takkanlah kot. Tidak! Hatiku ini masih milik Faizal. Tiada insan lain yang boleh merampas takhta Faizal. Hissy, tak boleh jadi ni, aku harus kuat. Ini semua dugaan. Lagipun bos aku yang hensem ni pasti sudah ada yang punya. Mungkin memang salah aku kot, itu sebab dia suka marah-marah. Hati Tihani berperang sesama sendiri. Sempat lagi bersoal jawab.

“Ehem! Hensem sangat ke saya ni?”

Soalan Saiful membuat dia tersentak. Wajahnya mula terasa pijar. Malunya!

“Err.. maafkan saya.”

Itu saja yang mampu diluahkannya. Penyudahnya dia tunduk merenung kaki sendiri. Saiful tersenyum kecil.

“Bagus! Laporan beginilah yang saya mahu, buatkan satu lagi salinan.”

“Baik encik, kalau tak ada apa-apa lagi, saya keluar dulu.”

Sambung Tihani sekadar berbasa-basi. Mata Saiful mengekori langkah Tihani yang melangkah keluar dari biliknya. Dia mengeluh perlahan. Sudah lama dia perhatikan gadis itu. Sejak pertama kali Tihani menjejakkan kaki ke syarikatnya itu. Mengikut perkiraannya sudah lima tahun dan selama lima tahun itu juga dia cuba menawan hati gadis itu. Namun sia-sia saja. Tihani bagai merpati. Dilihat boleh, didekat lari. Walaupun dia tahu Tihani sudah bertunang ketika itu, namun dia terus juga mencuba dan akhirnya dia tersungkur kecewa bila Tihani menghulurkan kad undangan perkahwinannya bersama Faizal. Sejak itu amarahnya bagai tidak bertepi. Ada saja yang tidak kena di matanya. Dia membiarkan barannya menguasai emosi. Pantang silap sikit, Tihani tempat dia melepaskan ketidakpuasan hatinya. Walaupun dia sebenarnya tidak bermaksud untuk berkasar dengan gadis itu. Tetapi itu dulu, kini perasaannya kembali berbunga-bunga bila Tihani sudah bergelar janda.

Ah, persetanlah gelaran itu!

Cintanya yang melangit tinggi pada Tihani, seolah-olah telah membutakannya. Kali ini dia tidak akan mensia-siakan peluang kedua ini. Dia harus berterus-terang. Agar Tihani tidak terlepas lagi.

Rajuk Sang Hati 7

“Nissa… oh Nissa!”

Sayup-sayup aku dengar suara orang memanggilku. Mata yang melekat ku paksa buka. Hanya sebelah mata saja yang ku mampu.

“Nissa!”

Macam suara mak. Ala mak, orang ngantuklah. Karanglah orang nyahut. Mata yang terbuka sebelah tadi ku pejam semula. Tiba-tiba aku terdengar pintu bilikku dibuka.

“Ya Allah, tidur rupanya dia. Patutlah tak menyahut mak panggil. Nissa, oh Nissa! Bangunlah dah petang ni. Anak dara apalah yang tidur sampai ke petang ni?”

Alamak, mak mula dah. Kalau tak membebel padaku satu hari tak sah ke? Punggungku terasa pedih. Mesti mak yang tampar ni. Aku buka mata sambil berkerut dahi.

“Apa mak ni? Pukul-pukul orang, sakitlah.”

“Bangun mak kata. Bangun!”

“Kejaplah mak, orang ngantuk ni. Penatlah.”

“Penat kenapanya? Apa benda yang kamu buat sampai penat sangat ni?”

Penat sebab kena cuci toilet cikgu, mengantuk sebab tidur lambat malam tadi. Aku cuba pejamkan mata lagi. PAPP!! Kena lagi sedas. Kali ni lebih pedih.

“Bangun mak kata. Kenapa yang degil sangat ni? Bangun, bangun. Tak bangun juga mak simbah air karang.”

“Yalah, yalah orang bangunlah ni. Mak ni, tak boleh lansung orang nak tidur dengan aman.”

“Hai, salahkan mak pulak, tak cukup lagi? Dah 2 jam kamu tidur tahu? Makan tidak, sembahyang tidak, apa nak jadi kamu ni?”

“Orang cutilah mak.”

“Makan pun cuti juga? Karang perut tu masuk angin baru tahu.”

“Orang dietlah mak.”

“Diet ke apanya? Badan dah sekeping macam ni pun nak diet lagi? Sudah, jangan nak mengada-ngada pergi mandi lepas tu makan. Karang ayah balik tengok kamu tidur lagi biar kena marah.”

Mak mula melangkah keluar. Yes! Bolehlah aku tidur balik. Perlahan aku tumbangkan badan ke atas tilam semula. Mak berpaling.

“Nissa!”

“Ha? Ya mak, ya mak. Orang bangunlah ni.”

Terus saja aku berdiri bila mendengar suara mak yang dah meninggi. Kecut perut aku bila mak dah naik angin. Cepat-cepat aku capai tuala dan masuk ke bilik air.



*************


“Akak!”

Aku tersentak. Adik bongsuku tersengih.

“Apa adik ni? Terkejut akak tau. Suka sergah-sergah macam tu. Nak kena?”

“Sorrylah kak. Mana adik tahu akak tengah berangan.”

“Siapa kata akak berangan? Pandai-pandai aja. Ha, dari mana ni? Berpeluh-peluh. Hi, busuklah! Pergi duduk jauh-jauh.”

Haikal tidak peduli, terus saja melabuhkan punggungnya duduk di sebelahku.

“Akak, ada orang kirim salam.”

“Ha? Siapa?”

“Adalah.”

“Cakaplah, siapa dia?”

“Nak tahu?”

Aku mengangguk laju. Haikal tersengih. Adalah tu, mesti dia ada agenda tersembunyi. Aku menjeling geram.

“Dengan satu syarat.”

Kan dah cakap. Mesti ada agenda tersembunyi. Aku dah kenal sangat dah dengan satu-satunya adikku ini. Dia tidak akan buat sesuatu perkara secara percuma.

“Apa dia?”

“5 ringgit.”

Haikal menadah tangan sambil tersengih.

“Ha? 5 ringgit? Nak buat apa duit banyak-banyak?”

“Nak tahu ke tak nak?”

Hmm.. nak tahu ke tak ni ya? Siapalah yang berkirim salam pada aku tu? Kalau nak tahu kena bayar tol, mahal pulak tu. Habislah duit tabung aku. Jika begini, setiap maklumat dari mulut adikku ini pasti kena bayar. Tak boleh dibiarkan! Rasuah ni. Aku report kat SPRM karang baru tahu.

“Tak apalah tak payah!”

“Ala kak, takkan tak nak tahu siapa orangnya. Handsome tau. Dia kata dia selalu perhatikan akak.”

Ha? Siapa tu? Selalu perhatikan aku? Ni yang menyeramkan ni. Aku menoleh melihat Haikal.

“Adik saja buat cerita ya? Nak bagi akak terpengaruhkan? Sorry, tak berjaya tau. Cari taktik lain.”

“Mana ada! Adik cakap benar, tiada yang benar melainkan benar belaka.”

Aku tergelak. Siap mengangkat sumpah tu. Mukanya pun sudah sedikit gelabah. Agaknya taktik dia nak mengenakan aku sudah hampir tak menjadi.

“Dah, dah. Tak ada benar tak benarnya. Pergi masuk dalam, pergi mandi. Karang ayah balik, biar dia kena marah.”

“Ala, adik tak takut. Akak kedekut!”

Eh, budak ni? Kedekut dikatanya aku? Tak guna betul!

“Apa kau kata?”

Aku bangun cuba mengejarnya yang berlari masuk ke dalam rumah sambil ketawa terkekek-kekek.

Akulah Cinderella 4

“Kak Syah! Kenapa ni?”

Alia bereaksi cemas bila membuka pintu untukku.

“Syyh! Cuba slow sikit suara tu. Kang bangun budak-budak tu tahu?”

Alia tidak memperdulikan kata-kataku, dia berlalu mengambil tuala dan air panas. Aku duduk tersandar di kerusi rotan yang sudah meminta nyawa ini. Tunggu masa nak rebah saja.

“Kak Syah bergaduh lagi ya? Kali ni sebab apa pulak?”

Alia memang memiliki sifat keibuan. Walaupun usianya masih muda tapi dia seperti sudah matang. Dia seorang yang penyabar, tidak seperti aku yang panas baran ini. Alia mengelap sisa darah pada bibirku.

“Auchh! Sakitlah! Slowlah sikit.”

Bentakku geram. Panas hati sebenarnya kerana dibelasah sehingga tidak mampu untuk melawan. Penyudahnya, Alia menjadi mangsa tempatku melampiaskan ketidakpuasan hatiku ini.

“Sorry kak, tak sengaja.”

“Hmm..”

Aku diam. Cuba mengawal emosi.

“Kenapa tak tidur lagi?”

“Lia study. Lagipun kalau Lia tidur, macam mana kak Syah nak masuk nanti?”

Aku diam lagi. Memejamkan mata, cuba melepaskan lelah.

“Kak Syah, ini.”

Alia menghulurkan sehelai kertas kepadaku. Aku berkerut kening memandang muka Alia.

“Ini Ain bagi, nak minta permission pergi rombongan sambil belajar.”

“Rombongan?”

Aku meneliti butiran yang tertera pada sehelai kertas itu. Rombongan ke Melaka. RM60.00? Mahalnya. Manalah aku nak cekau duit sebanyak itu? Duit di tangan hanya ada RM150.00 sahaja. Itu pun jenuh nak berjimat hingga ke hujung bulan ini. Aku memicit dahi. Kasihan pula pada Ain.

“Lia dah larang dia pergi, Lia kata kita tak ada duit.”

“Habis tu apa katanya?”

“Merajuklah apa lagi. Budak-budak kak, bukan dia faham. Dia tahu ada aja.”

Aku mengeluh berat. Tak habis-habis dengan masalah. Susah juga menjadi ketua keluarga rupanya. Aku meneliti kertas itu lagi. Tarikh tutup sehingga hujung bulan ini. Sempat lagi kot aku cari duit.

“Tak apalah, nanti Kak Syah usahakan.”

Alia hanya tersenyum lalu mengangkat punggung dan menuju ke dapur. Aku memerhatikan adik-adikku yang sudah nyenyak dibuai mimpi. Tidur bergelimpangan di atas tilam nipis beramai-ramai. Bilik hanya ada satu saja. Itu pun bilik arwah orang tuaku dulu. Bilik kecil itulah tempat kami bertukar pakaian dan menyimpan segala bantal dan tilam busuk. Jika mahu tidur, bentang saja tilam di ruang tamu yang hanya sekangkang kera itu.

Aku cuba melelapkan mata tetapi tidak boleh. Mulutku berdenyut-denyut. Aku cuba bertahan. Perlahan airmataku menitis. Sakitnya bukan kepalang. Dibelasah teruk oleh seorang lelaki yang sungguh tidak budiman lansung! Bayangkan saja, penumbuknya yang besar itu dan hayunan tangannya yang laju menghenyak pipi dan perutku. Masih terbayang-bayang senaknya sehingga kini. Nasib baik isi perut tak terkeluar sekali. Dan lebih malang lagi, tangan kasar lelaki itu telah menampar mukaku dengan kuat sekali hingga aku jatuh tersungkur. Gila! Memang lelaki itu gila. Mafia agaknya lelaki tu. Tapi betulkah salahku? Celupar sangatkah mulutku ini? Bukankah aku cuba mempertahankan diriku dari dihina dan dibuli? Ah, padan dengan muka aku! Dah tahu lelaki itu tengah angin satu badan, yang aku pergi simbah minyak lagi kenapa? Tapi aku pun tengah angin satu badan juga, mana boleh kira dia seorang saja. Tak boleh, tak boleh! Dia memang seorang lelaki yang tak tahu sopan-santun. Tak tahu nak hormat pada orang. Bukankah lelaki sepatutnya berlembut dengan perempuan? Perempuan itu bukan dicipta dari tapak kaki untuk dipijak, bukan juga dari kepala untuk disanjungi tetapi dari rusuk sebelah kiri dekat dengan tangan untuk dilindungi serta hampir dengan hati untuk disayangi. Tetapi, mungkin juga bukan salah diakan? Lelaki itu tidak tahu siapa aku yang sebenarnya. Huh, aku tidak akan memaafkan perbuatan lelaki itu kepadaku! Kalau aku jumpa lagi siap dia, aku akan buat serangan balas. Tetapi siapakah lelaki itu? Aku tak pernah tengok pun mukanya sebelum ini?

Rajuk Sang Hati 6

Dari jauh ku lihat Irfan melangkah perlahan mengepit buku di tangannya. Pengawas lelaki itu cukup popular di sekolahku. Aktif bersukan dan berpersatuan. Memang menjadi idola pelajar perempuan. Membuat mereka tertoleh setiap kali lelaki itu melintasi mereka. Tidak terkecuali aku. Masakan tidak, lelaki berkacukan Melayu- Inggeris itu cukup menawan. Dalam diam aku memasang angan-angan ingin menjadi kekasihnya. Namun walaupun Irfan digilai ramai pelajar perempuan, sedikit pun tidak menarik perhatiannya. Dia seolah-olah tiada perasaan lansung terhadap mereka. Apalagi aku. Memandang sebelah mata pun tidak. Biarlah. Biar perasaanku ini begini selamanya. Tiada siapa perlu tahu. Aku tersenyum sendirian. Untung juga aku kena denda hari ini. Dapatlah aku melihat Irfan. Agaknya dia memang selalu pulang lewat kot. Kalau betullah, mahu saja aku didenda hari-hari, bolehlah aku selalu bertembung dengan Irfan.

“Nissa!”

Aku tersentak. Siapakah manusia yang berani memanggilku dengan panggilan manjaku itu? Panggilan itu hanya keluargaku saja yang boleh memanggilnya. Aku menoleh. Hasnul Amin?

“Hai, Nissa.”

Aku merenung tepat ke matanya. Dia pula tersenyum lawa.

“Apa kau panggil aku?”

“Nissa.”

“Kenapa kau panggil aku macam tu?”

“Kenapa? Tak boleh? Nissa tu pun nama kau juga bukan?”

“Panggil aku Qai. Semua orang panggil aku Qai, kecuali..”

“Kecuali?”

“Kecuali family aku aja. Jadi kau jangan nak pandai-pandai panggil aku macam tu.”

Hasnul Amin tersenyum.

“Aku tak nak. Aku nak panggil kau Nissa juga.”

“Kau ni kenapa degil sangat? Nak cari gaduh dengan aku ke?”

Dia tergelak.

“Dah habis cuci toilet?”

Aku menjeling tak puas hati. Suka-suka saja tukar tajuk. Aku segera berpaling. Melangkah menuju ke pintu pagar utama. Ingin segera beredar dari situ.

“Hei, tunggulah!”

Dia menyaingiku. Hati aku mula cuak. Buat ada mata yang memandang, boleh jadi gossip ni. Aku memandang keliling. Tiba-tiba jantungku berdegup kencang. Irfan! Habislah, jika dia lihat aku dan Hasnul Amin pulang bersama, terlepaslah peluang aku untuk mendekatinya.

“Marah ke?”

“Kenapa kau tak balik lagi?”

“Tunggu kau.”

“Ha?”

Langkahku terhenti. Jam di tangan ku lihat. Sudah hampir pukul tiga petang. Takkanlah dia tunggu aku? Untuk apa?

“Jawab betul-betul boleh tak?”

“Betullah. Tak percaya?”

Aku menggeleng.

“Aku rasa bersalah pula. Kau kena denda, tapi aku tak. Padahal kita sama-sama datang lewat hari ni. So, untuk tidak rasa bersalah sangat, aku tungulah kau.”

“Memanglah, kau kan budak baru. Tak tahu peraturan sekolah ini. Bukan ke itu alasan kau?”

Hasnul Amin tersengih. Kami melangkah perlahan melepasi pagar sekolah. Irfan juga melangkah perlahan. Dia melihat aku, tanpa sebarang ekpresi di mukanya. Aku hanya mampu merenungnya, juga tanpa ekpresi apa-apa. Sebenarnya aku teringin melemparkan senyum padanya tapi terasa malu pula. Takkanlah aku nak mulakan dulu? Malulah aku. Sudahnya aku pendamkan saja keinginanku itu.

“Rumah kau kat mana?”

Aku tersentak. Alamak, macam manalah aku boleh lupa Hasnul Amin ada kat sebelah aku! Dia nampak ke tingkahku yang serba tak kena tadi? Pasti dia nampak dengan jelas. Sebab itulah sikapku setiap kali bertembung dengan Irfan. Tiba-tiba mukaku terasa panas.

“Nissa?”

“Ha? Kau tanya apa tadi?”

“Aku tanya rumah kau kat mana?”

“Oh.. itu, err.. kat Taman Bintang.”

“Kau?”

“Kat Taman Golf.”

“Taman Golf? Bukan situ tempat orang kaya ke? Bas masuk situ ke?”

Hasnul Amin tersengih.

“Tak, bas tak masuk situ. Aku yang saja nak naik bas. Sepatutnya driver aku hantar pagi tadi. Tapi aku tak nak.”

“Kenapa tak nak?”

“Sebab aku tak nak gempak nanti. Biarlah aku naik bas, jauh sikit aku menapak pun tak apa. Lagipun sementara tunggu bike aku sampai dari Jakarta. Tapi, aku tak sangka pula terlewat pagi tadi.”

Oh, begitu ceritanya. Ramah pula si Hasnul Amin ni. Tapi dalam kelas tadi diam saja dia?

“Tapikan, untung juga aku naik bas hari ni, dapatlah aku kenal kau. Dapatlah aku tengok muka kelat kau tu masa cikgu Wahid denda kau.”

Dia tergelak besar. Cukup-cukup besar membuat hatiku membengkak.

“Oh, sukalah tu ya?”

“Mahunya tak. Dari dalam bilik cikgu Wahid tadi aku tahan gelak tau.”

Dia menyambung gelaknya sambil menekan-nekan perut. Sukanya dia! Aku yang tadinya cemberut juga tak dapat menahan tawa melihat keadaannya yang mentertawakan aku.

“By the way Nissa, nice to meet you. Aku harap, aku boleh jadi kawan kau.”

Dia merenung tepat ke mataku. Menghadiahkan senyuman manis. Dan aku amat pasti senyuman itu ikhlas untukku. Ya, apa salahnya, jika dia ikhlas aku juga ikhlas menerima persahabatan baru ini.

Wasiat Cinta 3

“Jadi ke kamu nak ke rumah mertua kamu hujung minggu ni?”

Soal puan Mariam sebaik saja Tihani menarik kerusi untuk duduk bersarapan.

“Jadi ummi, kenapa?”

Soalnya semula sambil matanya memerhati nasi lemak dan kuih lapis yang terhidang di atas meja makan.

‘Sedap ni.’ Tihani tersenyum.

“Tak adalah saja ummi tanya, ummi ingat nak kirim ole-ole sikit.”

Fikiran puan Mariam berkira-kira nak masak apa untuk besannya di Sg. Besar itu. Seperti dirinya juga, besannya itu pun telah kehilangan suami. Kini tinggal berseorangan di kampung. Sekurang-kurangnya dia tinggal bersama Tihani di rumah teres ini. Rumah yang arwah menantunya Faizal belikan untuk Tihani. Ah, anaknya itu juga ditinggalkan suami.

“Tak susahkan ummi ke? Hani ingat nak beli aja.”

“Taklah.”

“Terpulanglah pada ummi, Hani ikut aja. Okeylah ummi, Hani dah lambat ni. Karang jalan jem pulak.”

Tihani mula mengangkat punggung.

“La, kenapa tak habiskan ni? Sayang aja membazir. Ni ha, minum.”

Sambil tangannya menghulurkan cawan berisi milo. Tihani meneguknya dengan pantas. Dia harus cepat takut terperangkap dalam trafik jem. Jenuh pula nak bagi alasan pada encik Saiful, bosnya yang tampan itu.

“Pergi dulu ummi. Tengok-tengokkan Mikhail ya, ada apa-apa call Hani ya mi.”

“Yelah, tak usah risau pasal anak kamu tu. Tahulah ummi. Kamu tu mesti hati-hati bawa kereta.”

“Hissy, tak larat Hani nak bawa kereta tu, berat!”

Tihani tersengih. Seronok mengusik umminya pagi-pagi hari.

“Mulalah nak loyar buruk tu.”

Puan Mariam menarik muka. Geram dipermainkan anak kesayangannya. Sehari tak menyakat, tak sah budak ni.

“Maksud ummi, drive elok-elok.”

Puan Mariam mencubit lembut pipi Tihani.

“Auchh! Yes bos!”

Tihani tersengih lagi. Tangan kanannya membuat tabik hormat. Puan Mariam tergelak. Senang dengan telatah anak tunggalnya itu. Malah hati tuanya berasa lega Tihani sudah mula ceria. Sudah boleh menerima hakikat permergian Faizal.

Akulah Cinderella 3

Aku mengayuh basikal sambil menyanyi. Walaupun suaraku tidak sesedap mana tetapi itu hanyalah untuk menghilangkan rasa takutku saja mengayuh basikal malam-malam begini. Makcik Senah, tauke restoran tempatku bekerja memang baik hati. Pukul sepuluh malam saja dia suruh aku pulang. Bahaya katanya anak dara mengayuh basikal dalam gelap berseorangan. Katanya walaupun aku tomboy, kudratku tetap kudrat seorang perempuan. Tidak sekuat mana pun untuk melawan tenaga seorang lelaki. Katanya lagi, walaupun aku ni tomboy, kalau kena rogol tetap juga boleh mengandung. Bila difikirkan benar belaka omongan makcik Senah tu. Naik takut pula ku rasakan. Tiba-tiba…

“PONN!!!”

Bunyi hon sebuah kereta membuat aku terkejut teramat sangat sehingga membuatku hilang keseimbangan, lalu terjatuh di atas rumput di tepi selekoh. Nasib baiklah atas rumput kalau tidak pasti cedera.

“Woii!! Gila ke? Nak mampus?”

Seorang lelaki menjengahkan kepalanya dari tingkap kereta. Aku dapat melihat dengan jelas mukanya itu. Aku mendongak ke atas. Patutlah jelas, rupanya aku betul-betul jatuh di bawah lampu jalan. Aku menoleh semula ke arah lelaki itu.

“Kau tu yang gila! Bawa kereta macam pelesit!”

“Apa kau cakap?”

Lelaki itu sudah keluar dari keretanya. Tangannya terus saja menggenggam bajuku. Penumbuk juga sudah dikepalnya.

“Aku cakap kau yang gila! Bawa kereta macam pelesit. Pekak!”

Aku mengulang semula ayatku tadi dengan kuat. Serentak itu dia melepaskan satu tumbukan padu tepat ke pipiku.

Aucchh!! Perit!

Darah tersembur keluar. Pipi bahagian dalam sudah luka. Lelaki ini memang gila agaknya. Dia tidak nampakkah perbezaan tubuhku dan tubuhnya itu? Ketinggianku hanya separas dagunya saja.

“Hahaha… padan muka! Apa rasa? Sedap?”


“Sedap kepala hotak kau! Sakitlah mangkuk!”

“Apa kau cakap? Kau nak kena lagi ke? Kurang ajar betul!”

“Kau tu yang kurang ajar! Dahlah nak langgar orang, tak nak minta maaf pulak. Lepas tu, sesedap rasa aja nak belasah orang.”

Aku mengesat darah yang mengalir di bibirku. Teruk juga luka ni. Mahu senget mukaku selepas ini.

“Siapa yang salah? Kau tu yang nak masuk tak tengok kiri kanan tahu? Main redah aja.”

“Kalau aku yang salah pun, kau tak boleh cakap elok-elok ke? Biadap!”

“Heiii.. budak ni, aku bagi sebijik lagi kang. Mulut kau ni celupar betul.”

“Aku celupar pada orang yang celuparlah, bodoh!”

BUKK!

Satu lagi tumbukan padu mengenai perutku. Aku terduduk senak. Sakitnya! Betul kata makcik Senah, kudratku tetap tidak boleh melawan tenaga seorang lelaki. Aku mendongak. Cuba mencari kekuatan untuk bangun, namun aku terduduk semula. Rasa seperti hendak menangis saja. Tidak! Aku tak boleh menangis depan lelaki poyo ini.

“Lain kali, kalau dah tahu diri tu lembik jangan nak kurang ajar!”

“Oii mangkuk ayun! Kau ni apa hal? Nak cari gaduh ke?”

“Oii pendek! Kalau aku gaduh dengan kau pun tak seronok tahu? Lembik!”

Ini sudah lebih. Aku mula rasa tercabar. Aku bangun walaupun sakit masih bersisa, aku gagahkan jua. Demi tidak dibuli lagi.

“Kau ni mabuk ya? Kau tahu tak arak tu haram, hah? Kau pernah dengar tak slogan, don’t drink and drive? Hah? Dahlah mabuk, menyusahkan orang!”

PANGG!!

Kena lagi sedas penampar di pipiku. Aku jatuh tersungkur. Cap yang aku pakai terpelanting sehingga rambut panjang yang ku sanggul terurai. Mata lelaki itu membulat. Dia terkedu.

“Kau.. kau perempuan?”

Monyet punya jantan! Dia baru sedarkah aku ni bukan lawannya? Memang kurang ajar betul. Aku hanya menjeling geram. Darah yang meleleh di bibir, aku kesat. Pedih sekali. Sabar, sabar, aku tidak mahu tenggelam dalam emosi.

“Tepilah!!”

Aku menolaknya untuk mengambil basikalku yang sudah terbaring di atas rumput. Menyorong basikal dan berhenti untuk mengutip cap aku yang agak jauh terpelanting dari tempat kejadian. Aku berpaling melihat lelaki yang super berlagak itu. Dia masih merenungku. Wajahnya sedikit kesal dan serba-salah. Baru tersedar agaknya yang dia belasah tadi adalah seorang budak tak cukup umur. Aku berlalu meninggalkan lelaki itu yang terkebil-kebil dalam kegelapan malam. Habis pecah bibirku ini dikerjakan si mangkuk ayun itu. Siap kau kalau aku jumpa lagi. Aku dengan ini mengisytiharkan perang kepada lelaki yang tidakku kenali itu.

Rajuk Sang Hati 5

Loceng terakhir berbunyi. Aku mengeluh berat. Sudah sampai masanya aku kena jalani hukuman yang dijatuhkan cikgu Wahid pagi tadi. Perlahan aku masukkan buku teks Bahasa Inggeris dan alat tulis ke dalam beg. Ku lihat Maisarah dan Azura juga sedang sibuk berkemas.

“Qai, tunggu!”

Aku berpaling, Azrai terkocoh-kocoh mendapatkan aku. Dia tersengih.

“Kau nak apa?”

“Amboi, macam marah aja. Kenapa ni?”

“Cakaplah cepat kau nak apa?”

“Kita balik sekali?”

“Kau baliklah dulu, aku ada kerja nak buat.”

“Kerja? Kerja apa?”

“Buah hati kau ni Azrai nak jalani hukuman.”

Tiba-tiba Azura mencelah di sebelah Azrai. Maisarah juga sudah tersengih-sengih macam kerang yang dah busuk dua tiga hari.

“Hukuman? Hukuman apa pulak?”

“Kena cuci toilet cikgu.”

“Hah? Betul ke? Alahai, kesiannya kau Qai”

“Oh, kesian ya? Sebab kaulah aku kena denda.”

“Aku? Apa kena mengena dengan aku pulak?”

“Yalah, kalau kau tak call aku malam tadi, takdalah aku tidur lewat, sampai aku terbabas.”

“Oh, salah aku ya? Jadi salah aku soranglah? Kau tak salah?”

“Apa pulak? Aku nak letak kau tak bagi. Ha, sekarang aku yang kena.”

“Wah, jadi selama ni tiap-tiap malamlah kau call si Qai ni, ya Azrai?”

Alamak, kantoi! Aduh…

“Salah ke aku call dia tiap-tiap malam? Korang jealous ke? Hah? Jealous?”

“Eh, tak kuasa aku nak jealous tau. Tak ada faedah! Kan Zura?”

“Haah Qai, kata takkan ada cinta, takkan ada sayang untuk si Azrai ni, tapi dia call, kau layan juga ya?”

Azrai memandang tepat ke mataku. Aku juga merenungnya tanpa perasaan apa-apa. Tanpa ekpresi.

“Korang jangan nak bergosip boleh?”

Mereka berdua tersengih.

“Dahlah malas aku layan korang, karang aku lambat kena denda extra pulak.”

Maisarah dan Azura tergelak besar. Menambah sakit di hati aku. Aku berlalu meninggalkan mereka. Namun deria pendengaranku masih sempat menangkap suara-suara sumbang mereka.

“Hat-hati Qai, lantai licin karang kau jatuh. Takda siapa nak tolong tau.”

“Selamat menjalankan tugas Qai!”

Dan suara-suara sumbang mereka berlalu bersama tawa yang dibawa angin.

Akulah Cinderella 2


Sebaik sampai di rumah pukul enam petang, aku dikejutkan dengan kehadiran sebuah kereta Toyota Camry. Jenis yang mana tidaklah aku arif sangat. Dari perut kereta keluar seorang lelaki dan seorang wanita yang dalam lingkungan lewat tiga puluhan agaknya. Si lelaki menghadiahkan senyuman manis dan si wanita pula hanya berdiam diri saja tanpa sebarang reaksi. Aku dengan sopan membalas senyuman lelaki itu.

“Assalamualaikum.”

“Walaikumsalam, cari siapa?”

“Kamu ni, anak pakcik Leman ke?”

“Ya, tapi.. ayah dah ada...”

“Ya, ya, saya tahu tu. Begini, saya ada hal sikit nak cakap.”

“Oh, kalau begitu jemputlah masuk.”

“Err.. tak apalah, kat sini aja ya dik.”

Tiba-tiba si wanita itu bersuara bersama memek muka yang amat ku mengerti. Dia tidak betah untuk masuk ke pondok burukku itu. Geli barangkali.

“Tak apalah kalau begitu, apa halnya?”

“Begini dik, err.. adik ni siapa nama?”

Soal lelaki itu yang kelihatan serba-salah. Seperti ada yang tidak kena saja. Hatiku mula panasaran.

“Saya Syah.”

Salam ku hulur tanda hormat. Si lelaki menyambutnya dengan baik tetapi si wanita itu hanya menyambutnya dengan hujung jari saja. Eh, macam bagus saja perempuan ni? Tanganku ini bersihlah!

“Nama saya Khairil, ini isteri saya Junaidah.”

Aku mengangguk tanda faham sambil tersenyum manis. Ku kira ini adalah senyuman termanis sekali pernah ku berikan.

“Begini, saya ni anak arwah Pak Haji Yahya. So, saya datang ni nak bagitahulah yang tanah Syah duduk ni sekarang dah jadi milik saya.”

Aku terkedu. Terkebil-kebil aku melihatnya. Apakah dia ingin tanah ini kembali? Apa yang akan terjadi pada kami adik-beradik? Di mana kami nak tinggal kelak?

“Begini ya dik, tanah ni kami nak jual. Pembelinya pun dah ada. So, adik boleh keluarlah dari tanah kami ni.”

Dengan selamba puan Junaidah itu memberi arahan. Cukup berterus-terang tanpa memikirkan impak yang bakal kami terima.

“Tapi bang… kak, mana kami nak pergi? Tak kasihan pada kami ke? Kami ni anak yatim piatu.”

“Itu bukan masalah saya. Apa yang saya tahu kamu semua mesti pindah keluar.”

Sombong! Kesabaranku makin menipis. Untuk sekian kalinya kami dibuli.

“Tapi, tolonglah bang, kak, jangan buat macam ni.”

Aku mencuba sekali lagi.

“Beginilah ya Syah, kami bagi masa sebulan untuk kamu semua.”

Encik Khairil bersuara tenang. Ku lihat wajahnya keruh. Mungkin simpati barangkali. Tetapi tidak pada puan Junaidah, makin mencuka lagi adalah. Hendak saja aku tampar mukanya seratus kali, biar dia rasakan. Aku tersenyum kelat.

“Err.. kalau begitu kami pergi dulu.”

Aku hanya memandang kosong melihat punggung kereta itu keluar dari kawasan rumahku. Perlahan aku menghela nafas. Di manalah aku hendak mencari tempat berlindung? Kalau kami semua ini lelaki mungkin tiada masalah tetapi yang ada hanyalah lima orang anak dara. Termasuklah aku sekali.

Akulah Cinderella 2

Sebaik sampai di rumah pukul enam petang, aku dikejutkan dengan kehadiran sebuah kereta Toyota Camry. Jenis yang mana tidaklah aku arif sangat. Dari perut kereta keluar seorang lelaki dan seorang wanita yang dalam lingkungan lewat tiga puluhan agaknya. Si lelaki menghadiahkan senyuman manis dan si wanita pula hanya berdiam diri saja tanpa sebarang reaksi. Aku dengan sopan membalas senyuman lelaki itu.

“Assalamualaikum.”

“Walaikumsalam, cari siapa?”

“Kamu ni, anak pakcik Leman ke?”

“Ya, tapi.. ayah dah ada...”

“Ya, ya, saya tahu tu. Begini, saya ada hal sikit nak cakap.”

“Oh, kalau begitu jemputlah masuk.”

“Err.. tak apalah, kat sini aja ya dik.”

Tiba-tiba si wanita itu bersuara bersama memek muka yang amat ku mengerti. Dia tidak betah untuk masuk ke pondok burukku itu. Geli barangkali.

“Tak apalah kalau begitu, apa halnya?”

“Begini dik, err.. adik ni siapa nama?”

Soal lelaki itu yang kelihatan serba-salah. Seperti ada yang tidak kena saja. Hatiku mula panasaran.

“Saya Syah.”

Salam ku hulur tanda hormat. Si lelaki menyambutnya dengan baik tetapi si wanita itu hanya menyambutnya dengan hujung jari saja. Eh, macam bagus saja perempuan ni? Tanganku ini bersihlah!

“Nama saya Khairil, ini isteri saya Junaidah.”

Aku mengangguk tanda faham sambil tersenyum manis. Ku kira ini adalah senyuman termanis sekali pernah ku berikan.




“Begini, saya ni anak arwah Pak Haji Yahya. So, saya datang ni nak bagitahulah yang tanah Syah duduk ni sekarang dah jadi milik saya.”

Aku terkedu. Terkebil-kebil aku melihatnya. Apakah dia ingin tanah ini kembali? Apa yang akan terjadi pada kami adik-beradik? Di mana kami nak tinggal kelak?

“Begini ya dik, tanah ni kami nak jual. Pembelinya pun dah ada. So, adik boleh keluarlah dari tanah kami ni.”

Dengan selamba puan Junaidah itu memberi arahan. Cukup berterus-terang tanpa memikirkan impak yang bakal kami terima.

“Tapi bang… kak, mana kami nak pergi? Tak kasihan pada kami ke? Kami ni anak yatim piatu.”

“Itu bukan masalah saya. Apa yang saya tahu kamu semua mesti pindah keluar.”

Sombong! Kesabaranku makin menipis. Untuk sekian kalinya kami dibuli.

“Tapi, tolonglah bang, kak, jangan buat macam ni.”

Aku mencuba sekali lagi.

“Beginilah ya Syah, kami bagi masa sebulan untuk kamu semua.”

Encik Khairil bersuara tenang. Ku lihat wajahnya keruh. Mungkin simpati barangkali. Tetapi tidak pada puan Junaidah, makin mencuka lagi adalah. Hendak saja aku tampar mukanya seratus kali, biar dia rasakan. Aku tersenyum kelat.

“Err.. kalau begitu kami pergi dulu.”

Aku hanya memandang kosong melihat punggung kereta itu keluar dari kawasan rumahku. Perlahan aku menghela nafas. Di manalah aku hendak mencari tempat berlindung? Kalau kami semua ini lelaki mungkin tiada masalah tetapi yang ada hanyalah lima orang anak dara. Termasuklah aku sekali.

Wasiat Cinta 2


Fendi menghempaskan tubuhnya di atas katil. Penat sungguh dirasakan hari ini. Menghadap pesakit yang banyak kerenah. Matanya dipejam rapat sambil tangan memicit-micit dahi yang mula rasa berdenyut. Memikirkan laporan yang masih belum disiapkan, esok pagi pula ada mesyuarat yang harus dihadiri dan ditambah lagi dengan kehadiran doktor-doktor pelatih yang menjadi tanggungjawabnya. Otaknya mula membuat perhitungan samada untuk bangun mandi atau terus saja lena. Dalam berkira-kira begitu deringan telefon bimbit membuatkannya tersentak. Dengan malas dia mengeluarkannya dari poket seluar.

“Hello.”

Fendi bersuara malas sambil mata terpejam.

“Assalamualaikum along.”

“Walaikumsalam, ibu.”

Matanya masih lagi pejam.

“Hai, malas aja suara kamu ni, tidur ke?”

“Along penat bu. Baru balik ni, baju pun tak buka lagi. Ibu sihat?”

“Ibu sihat aja, tak usah risaulah pasal ibu. Kamu tu yang kena jaga diri, jaga kesihatan, jaga makan. Kamu dah makan?”

“Dah, ibu tak payah risaulah pasal along. Along bukan budak-budak lagi, tahulah along jaga diri ya.”

Tidak mahu mendengar omelan ibunya itu. Kalau dibiarkan sampai subuh pun tak habis.

“Ibu dah makan? Ibu masak apa hari ni?”

Sambungnya. Risau juga ibu yang sudah tua itu tinggal berseorangan setelah ayah pergi buat selama-lamanya.

“Dah, baru aja lepas. Ibu tak masak, si Mimi yang masak.”

“Mimi? Dia ada? Bila dia balik?”

Terbayang sepupunya si hitam manis.

“Haah, cuti semester katanya. Dia ada tanya kamu.”

“Tanya along? Tanya apa bu?”

Fendi membuka matanya. Tangannya masih memicit-micit dahi.

“Entahlah, asyik bertanya bila kamu nak balik? Agaknya dia rindukan kamu kot.”

“Hissy, ke situ pulak ibu ni. Tak ada maknanya rindu.”

Fendi rimas. Tidak suka dengan usikan ibunya itu.

“Oh, bukan ya? Ibu ingat dia rindu.”

Puan Rosnah tergelak.

“Ibu nak tanya ni, kamu tak nak balik ke? Hani telefon ibu tadi, katanya nak datang hujung minggu ni nak bawa Mikhail sekali.”

“Hani?”

Mendengar ibunya menyebut nama Tihani bingkas dia duduk. Denyutan di kepala seakan lenyap sebaik mendengar nama itu.

“Nak balik hujung minggu ni? Betul ke bu? Kalau macam tu along pun nak balik jugaklah, rindu pulak kat Mikhail.”

Tanpa berfikir panjang terus saja menyatakan persetujuannya untuk pulang. Senyum terukir lebar di bibirnya.

“Rindu Mikhail ke, rindu kat mama Mikhail ni?”

“Erkk..,”

Fendi tersentak. Aduh, kantoi! Sukar benar dia hendak merahsiakan sesuatu dari ibunya itu. Ibunya pula bagai tahu saja menebak hati lelakinya. Terasa air liurnya tersekat di kerongkong.

“Betullah tu, rindu Mikhail.”

“Amboi, sebut aja nama Hani bersemangat ya? Kalau tak tadi, suara macam orang tak makan sepuluh hari.”

Puan Rosnah tergelak lagi.

“Kiranya jadilah balik ni ya? Boleh ibu masak sedap-sedap hujung minggu ni. Dah lama kita tak makan bersama.”

“InsyaAllah bu, tak ada aral muncullah muka anak kesayangan ibu ni nanti.”

“Hmm, baguslah kalau macam tu. Okeylah ibu nak solat ni, kamu pun jangan tinggalkan solat tahu?”

“Ya bu, along tahulah. Okey ya bu, jaga diri baik-baik.”

“Yelah, tak usah risau pasal ibu ni. Assalamualaikum.”

“Walaikumsalam.”

Talian dimatikan. Dia mengeluh perlahan. Terbayang wajah lembut dan comel Tihani. Bekas adik iparnya, isteri kepada arwah kembarnya, Faizal. Dan satu-satunya gadis kesayangannya. Ah, rindunya…

Rajuk Sang Hati 4


Aku menatang semangkuk laksa bersama milo ais. Maisarah dan Azura terlebih dahulu mendapatkan tempat di meja kantin. Hingar-bingar di kantin ini sudah menjadi halwa telinga. Kadang-kadang aku pelik juga kenapa mesti nak berebut-rebut? Kalau beratur dengan elok, kan bagus. Ini tidak dah macam kambing terlepas dari kandang.

“Cepatnya korang makan?”

“Kau tu yang lambat.”

“Entah, kenapa lambat sangat? Kau order apa?”

Maisarah memanjangkan leher melihat makananku. Aku hanya menjungkit bahu. Malas mahu melayan bebelan mereka, aku terus menikmati keenakan laksa makcik kantin.

“Qai, budak baru tu ke yang kau cerita pagi tadi?”

Aku diam dan terus menyuapkan laksa ke dalam mulutku. Aku dah agak dah pasti topik ini yang akan jadi bualan mereka berdua.

“Itulah kan Mai, bukan boleh tahan handsome tapi memang handsome. Ada lesung pipit, kulit putih, tinggi lampai, rambut dia pun stylist la. Hisyy, memang taste aku tu.”

“Jangan lupa Zura, spek mata dia yang mahal tu. Ala-ala artis Korea gitu.”

“I wonderkan Mai, pasti ramai cewek Indon jatuh cintak sama dia.”

“Itu dah tentulah, muka handsome macam si Hasnul Amin tu pastilah jadi tumpuan dan kegilaan ramai perempuan.”

Mereka berdua tergelak besar. Terkekek-kekek macam nenek kebayan. Menyampah pulak aku tengok. Kenapalah aku boleh berkawan dengan dia orang ni? Sifat gatal dan gedik yang sungguh ketara.

“Qai, kau tak berkenan ke?”

Soalan Zura itu membuat aku yang sedang menghirup kuah laksa hampir tersedak. Nasib baik sempat ku telan. Peritnya tekak aku. Milo ais ku capai.

“Ala, kau ni Zura, si Qai ni spisis tak ada perasaan punya manusia. Kat sekolah ni siapa yang dia minat? Cuba kau story kat aku.”

“Itulah, aku tengok ramai aja yang syok kat dia, tapi bulat-bulat kena reject. Tu si Azrai tu dari form 1 suka kat dia, dia buat boleh bodoh aja, tu Syahril budak lower six pun suka kat dia juga, si Fikri budak 5 science pun ditolaknya. Aku pun tak fahamlah, entah orang macam mana yang dia nak. Hampeh betullah.”

“Qai, kau suka siapa ha? Cuba story sikit kat kita orang.”

Setelah menyedut milo ais yang terakhir, aku berpaling merenung mereka dengan renungan yang paling tajam. Aku geram. Geram dengan mulut becok mereka. Geram sebab aku dijadikan topik perbualan.

“Korang ni, dah tak ada kerja ke?”

Mereka tersengih.

“Ala, kau janganlah sensitif sangat. Kita orang tanya aja itu pun nak marah ke?”

“Entah, setiap kali kami tanya pasal ni, mesti kau melenting.”

“Dahlah jom blah. Malas aku nak jawab soalan basi korang ni.”

“Soalan basi kau kata? Ini soalan cepu emas tau.”

Itu bukan soalan cepu emas, tapi soalan maut. Gila! Mana boleh aku ceritakan siapa yang aku suka. Mulut mereka berdua jenis tak ada penapis.

“Jomlah, nak blah ke tak nak ni?”

Maisarah memandang Azura, gadis itu pula hanya menjungkit bahu. Lambat-lambat mereka bangun mengekori aku. Aku hanya tersenyum sumbing. Gelihati melihat muka mereka yang sudah kelat. Tak puas hatilah tu.

Salju Cintaku

Cintaku yang indah ini ibarat sesuci salju, semanis cinta pertama dan sepasrah rindu. Berlabuh di pantai perkasihan yang tenang tanpa cagaran dan seribu curiga, tanpa syarat yang merintangi badai mungkir dan seluas langit yang memayungi. Begitulah aku ibaratkan kasihku padamu. Mengertikah kau Iman Ruhaisyah? Ah, menyebut namamu sahaja cukup menggetarkan jiwa lelakiku.

“Dia bukan perempuan sembarangan, Zack. Dia cucu ulama terkenal dari Indonesia. Dia anak pak imam di kampung kita ni. Kau siapa? Solat pun tak pernah cukup.”

Aku diam. Aku akui. Aku telan kata-kata berbisa dari teman karibku, Azman. Ya, benar. Aku siapa jika hendak dibandingkan dengan dirimu Iman Ruhaisyah. Aku tak qatam pun mengaji Quran. Sembahyang lagilah, seperti kata Azman tak pernah cukup kadang-kadang tak buat lansung. Aku mengeluh.

“Salah sendiri. Dulu mak suruh sekolah kamu ponteng saja. Sekarang nak cari kerja kan dah susah. Ada hati lagi nak anak dara orang.”

Kata-kata ibuku pula bergema di kepala. Betul kata ibu. Memang salah aku. Kata orang menyesal kemudian tidak berguna. Andainya aku belajar bersungguh-sungguh pasti aku tidak menganggur sekarang. Pasti aku punya status dan wang untuk menyunting dirimu Iman Ruhaisyah.

Tidak keterlaluan rasanya bila ku katakan kau bagai bidadari yang diutuskan dari syurga singgah di alam yang fana ini. Wajah mulus dan bersihmu penyejuk rasa. Senyuman manismu menggetar jiwa, lirikan matamu itu bisa menggugah perasaan! Sampai bila harus aku mengintaimu dari kejauhan? Adakah sehingga bumi berhenti berputar? Atau saat mentari tak sanggup lagi berjanji untuk menyinari dunia ini?

“Lupakan Iman Ruhaisyah, Zack. Kau tak sepadan lansung dengan dia. Ramai lagi awek kat kampung kita ni yang cun-cun., bukan dia sorang Zack.”

“Dia lain dari yang lain, Man. Dia wanita solehah. Dia dambaan setiap lelaki di kampung kita ni.”

“Betul, tapi macam yang aku cakap tadi, kau tak layak untuk dia.”

Aku mengeluh. Kata-kata Azman memang tajam menikam tapi semuanya benar belaka. Aku tak layak untuk dirimu Iman Ruhaisyah. Kau sentiasa menjaga auratmu, sedangkan aku selalu sangat berseluar pendek. Kau rajin ke surau sedangkan aku suka melepak sambil memetik gitar. Kau selalu merendahkan deria pandangmu saat bertembung dengan lelaki yang bukan muhrimmu, sedangkan aku sering saja memikat anak dara yang lalu-lalang di depanku. Namun, seorang pun tidak berjaya mencuri hatiku kecuali kau Iman Ruhaisyah. Pertama kali melihat senyumanmu saja membuat aku tak lena tidur. Kau benar-benar mempesonakan!

“Bolehlah mak, mak mesti sukakan dapat menantu solehah.”

“Mak tak nak!”

Tegas kata-kata ibuku saat aku memintanya melamarmu Iman Ruhaisyah. Aku tahu ibu keberatan. Bukan dia tak berkenankan dirimu, cuma ibu bimbang ditolak bulat-bulat kerana aku belum ada pekerjaan tetap. Di mana mahu letakkan muka jika pinanganku ditolak?

“Kerja dulu. Dah ada kerja nanti, sebut saja anak dara mana yang kamu nak, mak pinangkan.”

Anak dara mana? Siapa lagi kalau bukan dirimu Iman Ruhaisyah. Mana mungkin aku mencari yang lain. Takkan ada gadis lain yang mampu menandingimu di sanubariku ini. Tiada yang layak menerima kasih sayangku yang melimpah ruah ini selain dirimu Iman Ruhaisyah. Malahan aku sendiri yang tak mampu melupakan dirimu. Hatiku ini terlalu sempit. Tiada ruang lagi untuk diisi oleh gadis lain.


---------------


Malam ini, malam ini aku dihenyak kesedihan. Aku kaku, aku bisu. Saat ini ijab kabul sedang berlansung di rumahmu. Kau dijodohkan dengan lelaki yang sekufu. Khabarnya lelaki itu baru saja menamatkan ijazah keduanya di Mesir. Siapalah diriku berbanding dirinya? Namun aku tahu, kau masih mengharap aku yang menyunting dirimu. Takkan ku lupakan renungan sayumu minggu lalu. Aku cuba menafsirnya sendiri. Walau tanpa sepatah kata yang terzahir dari ulas bibirmu. Cukuplah dengan melihat matamu aku rasa getarnya, dengan melihat matamu saja aku memahaminya. Matamu ceritakan segalanya. Kau tahu Iman Ruhaisyah, mata itu berasal dari unsur air dan memiliki sifat adil. Dengan melihat mata seseorang, kita pasti dapat menebak hatinya.

Tapi semuanya sudah terlambat. Saat aku mendapat tawaran menyambung pelajaran kau disambar orang. Saat aku baru nak bertatih menongkah arus hidup, kau kini bahagia di dalam dakapannya. Impianku hancur, harapanku musnah. Aku tahu kau tidak mampu menolak takdir yang dicorak oleh orang tuamu. Sebagai anak yang taat, kau impikan keredhaan mereka. Kau memang istimewa. Dapatkah aku mencari gadis seindah dirimu nanti? Aku harap suamimu tidak akan mensia-siakan dirimu. Aku harap suamimu menyayangi dirimu sebagaimana aku menyayangimu Iman Ruhaisyah. Aku harap suamimu menghargai setiap pengorbanan yang kau lakukan untuknya nanti. Tahukah kau Iman Ruhaisyah, perempuan itu tidak dicipta dari tapak kaki untuk dijadikan alas, tidak juga dari kepala untuk disanjung tapi dari rusuk kiri dekat dengan tangan untuk dilindungi serta hampir dengan hati untuk selalu disayangi. Aku harap dia mengerti.

Aku? Jangan kau hiraukan tentang aku. Sampai masanya aku akan membina mahligai ku jua. Akan ku bina empayar keturunanku sendiri. Cuma aku sedikit terkilan kerana impianku dulu mahu keturunanku nanti lahir dari rahimmu. Apa boleh buat Iman Ruhaisyah, jodoh antara kita tiada. Kau dicipta bukan untukku. Kita tidak ditakdirkan bersama. Cuma aku mahu kau tahu, aku tak akan pernah melupakan dirimu. Aku hanya mahukan yang terbaik buat dirimu. Kerana cintamu menjadi salju di hatiku.

Ungu Rindu

Kata orang, cinta itu bagaikan kaca, indah andai kita dapat menggapai sinarnya, parah andai ia pecah dan kita bakal terluka digurisnya. Ada benar kata-kata pujangga itu. Aku kini terguris luka akibat terkena serpihan kaca cinta itu. Mengenali seorang Alwan cukup membahagiakan hari-hariku. Bagai namanya yang bermaksud warna-warni begitu jugalah yang terlukis di kanvas hatiku. Penuh warna-warni kebahagiaan. Mencorak percintaan mengikut selera kami. Sehingga terjalin ikatan pertunangan. Namun warna-warni pelangi cinta musnah dengan kehadiran taufan yang dicipta Alwan. Lelaki itu tega memutuskan ukhuwah yang sudah terjalin, menyentap rantai silaturrahim kedua belah pihak. Cukup memilukan. Menghenyak aku ke sudut penyesalan. Alwanku ditangkap khalwat dan telah selamat bernikah dengan pasangannya.

“Hey!”

Aku tersentak. Menoleh ke kiri. Sebal menjulang di hati melihat sengihan Naufal yang sudah pun melabuhkan punggungnya di sisiku. Dialah satu-satunya teman sepermainanku dari kecil.

“Kau termenung ke berangan?”

“Apa bezanya?”

“Tentulah berbeza. Berangan ialah memasang impian yang belum tercapai. Termenung pula mengingati kisah-kisah lampau yang penuh penyesalan.”

Aku mencebik. Bersama Naufal aku sering kehilangan kata-kata. Kepetahan yang keluar dari bibir berkumis nipis itu cukup membuat aku geram dan terhibur. Ya, Naufal memang baik. Sering menghiburkan di saat laraku. Namun sering juga aku bertikam lidah dengannya.

“Kau teka?”

“Hmm.. melihat muka kau yang keruh ni, tentulah kau sedang termenung bukan?”

Aku jeda.

“Apa lagi yang kau menungkan? Pasal Alwan?”

Tidak mahu mengiakan. Kadang-kadang mendiamkan diri lebih pintar dari mengeluarkan kata-kata yang lahir dari emosi.




“Wafa, kau tahu tak? Dalam dunia ini, tidak ada kesilapan atau ketidaksengajaan, semua yang mendatangi kita adalah untuk kita mempelajarinya. Jadi jangan kau menyesal dengan takdir yang menimpa kau.”

“Naufal, kau juga tahu bukan? Hati yang terluka umpama besi yang bengkok. Walau diketuk, sukar sekali kembali ke bentuk asalnya.”

Naufal ketawa. Wajahnya ku renung tepat. Aku geram diketawakan oleh teman baikku sendiri.

“Apa yang lucu sangat?”

“Wafa, andai hati hanya retak, masih boleh dicantum biar pun parut menguntum.”

“Maksud kau?”

“Masih ada yang sayang padamu Wafa. Percayalah, suatu hari nanti kau akan ketemu cinta sejati, cinta yang memandu kau ke destinasi kebahagaian yang kau idamkan, Wafa.”

Ah, Naufal. Berterus-terang sajalah. Suka sangat menzahirkan kata-kata yang samar. Kadang-kadang teramat sukar untuk aku memahaminya. Walau bait bicaranya mudah tetapi, bila ianya keluar dari bibir Naufal bagaikan ada maksud yang tersirat.

“Kenapa kau diam?”

Matanya yang redup itu menikam tepat ke mataku. Aneh, entah mengapa debaran mula melanda sanubariku. Mata kami bertaut.

“Naufal, kadang-kadang manis kata-kata untuk tidak menyinggung sebuah perasaan adalah satu pembohongan yang terlalu pedih.”

Aku bingkas meninggalkan Naufal bersama kata-kataku yang terakhir. Aku tidak betah lagi terus-terusan di situ. Bertikam lidah dengan Naufal sampai ke subuh pasti tidak akan habisnya.

--------------------

Hampir setahun aku kehilangan Alwan. Mengapa begitu payah sekali ingin aku melupakannya? Adakah Alwan sudah melupakanku?

“Dia sudah lama bahagia. Wafa juga harus mencipta kebahagianmu sendiri sayang.”

Aduhai ibu. Lembut tutur katamu terkesan di hati. Aku telah mencuba ibu. Tapi aku tak berdaya. Melupakan seorang Alwan begitu rumit. Kenangan demi kenangan datang bertamu. Mengetuk kamar hati yang mendung ungu menanggung rindu.

“Sesekali belajarlah melarutkan diri dalam dunia ciptaanmu sendiri, Wafa. Kerana ada waktu, ungu rindu terhadap seseorang menjadikan kita terlalu naïf dan sangat bergantung kepada orang lain untuk hidup.”

Itu kata-kata Naufal sebelum dia pergi berkursus selama tiga bulan di Sabah. Malah sejak ketiadaannya aku begitu sunyi sekali. Tiada lagi usikan dan debat yang keluar dari mulutnya. Aku jadi rindu pula. Seungu rindu yang beransur-ansur menjalar di kalbu. Poskad di tangan ku baca lagi. Kiriman Naufal dari Sabah.

‘Jangan bersedih. Lantaran kesedihan itu akan menakutkanmu untuk menghadapi masa depan. Dan kesedihan itu tidak akan kembalikan yang hilang dan yang pergi. Dan tidak juga menghidupkan yang mati. Dan kesedihan itu juga dari syaitan.’

Naufal! Kau memang pakar memujukku dari kecil sehingga kini. Pintar bermain-kata-kata. Namun sedikit lucu bila mengenangkan Naufal mengirimkan poskad untukku. Bukankah SMS lebih senang?

--------------------

Pulang dari kerja lewat petang itu aku terkasima. Menerima khabar dari ibu bahawa aku dilamar orang lagi. Begitu cepat? Puas ku risik-risik dari ibu. Siapakah gerangannya yang ingin memiliki diri ini?

“Wafa, jangan risaulah sayang, mereka dari keluarga baik-baik. Kita pun dah kenal lama.”

Dah kenal lama? Siapa? Tidakkah mereka tahu hatiku ini masih berparut? Menyingkirkan Alwan dari hatiku saja begitu payah, masakan ingin menambah cinta baru? Tidakkah mereka tahu cinta itu tunasnya pesona jiwa? Jika tunas itu tidak tercipta dalam sesaat, ia tidak akan tercipta bertahun-tahun malah berabad sekalipun. Aku menitipkan berita itu ke Naufal. Ingin ku minta pendapat teman karibku itu.

“Alangkah mulianya hati yang sedang bersedih, tetapi dapat menyanyikan lagu kebahagiaan bersama hati-hati yang gembira.”

Aduhai Naufal. Mengapa mesti berbicara tentang maksud yang aku tidak fahami? Alangkah bagus jika Alwan ada. Lelaki itu tidak pandai bermadah kata seperti Naufal. Kata-katanya jelas dan padat. Mungkin sedikit tegas. Tapi itu hanyalah tinggal kenangan. Jika kau ada di sisiku Alwan, mana mungkin lelaki lain berani merisikku hari ini. Semuanya gara-gara kau Alwan. Kau bahagia tapi aku yang sengasara!

“Wafa, bersiap-siaplah. Lepas maghrib nanti bakal mertua nak datang.”

Aku melongo. Bakal mertua nak datang?

“Untuk apa ibu?”

“Nak tahu keputusan Wafalah sayang. Kalau setuju, malam ni juga kita akan berbincang pasal tarikh.”

Hah? Naufal di mana kau? Tolong aku Naufal. Pulanglah. Tolong aku!

-----------------------

Aku menarik tangan Naufal ke satu sudut halaman rumahku.

“Bila kau balik?”

“Semalam.”

“Semalam? Baru hari ni kau datang jenguk aku?”

“Surprise!”

Aku cemberut. Tetapi tidak lama. Aku perlukan pertolongannya.

“Kau tahu tak bakal mertua aku tu nak datang sekejap lagi.”

“Kenapa?”

“Entah. Ibu kata kalau aku setuju nak terus tetapkan tarikh.”

“Jadi kau setuju?”

Aku mendongak melihat wajahnya yang tampan itu dalam kesamaran lampu jalan.

“Entah!”

“Wafa, hidup sebenarnya mudah. Jangan fikirkan kesusahan, itu akan mematikan semangat dan membunuh kejayaan.”

“Naufal, tidak semudah itu tahu?”

“Tahu.”

Dia tertawa. Entah mengapa tawanya itu bagai senandung nan indah, yang berlagu riang di hati ini, bagai salju cair yang mengalir dan meresapi sedikit demi sedikit hatiku yang gementar tika ini. Pastilah ungu rindu yang menggangu jiwa, itu pun kerana sudah lama tidak berjumpa.

“Err, kenapa kau datang malam ni? Nak ketawakan aku depan diorang nanti ya?”

Naufal tersenyum penuh makna. Aku tidak mengerti maksud senyumannya itu.
Apakah? Aku bagai dapat menebak apa yang sedang berlaku. Adakah Naufal yang datang melamar aku? Jadi di dalam rumah sekarang orang tua Naufal sedang berbincang dengan ibuku?

“Naufal.. kau..”

“Aku mencintai kau Wafa. Aku tak mahu kau terlepas lagi. Biar aku yang baluti luka di hatimu itu.”

Mutiara jernih mulai menitis di pipi. Tidak ku sangka, selama ini Naufal memendam rasa. Menyimpan perasaan untukku buat sekian lama.

“Naufal.. aku benci kau!”

“Tapi, kau juga sayang pada aku bukan?”

Aku gesit tersipu bersama sendu yang bersisa. Bagaimana harus ku jawab soalan semahal itu?

“Kau umpama paku-pakis Naufal. Nampak biasa tapi unik.”

Ku lihat senyumannya makin melebar. Dan ku kira itu adalah jawapan yang sebaik-baiknya. Ya benarlah, kebahagian itu tidak datang bergolek, yang manis hadirnya tidak melayang. Ada harga yang perlu dibayar. Ada duri yang sakit, yang perlu dipijak sebelum keindahan didakap dan dinikmati selamanya. Jemari kami bertaut lalu beriringan masuk ke dalam rumah bersama harapan dan impian.

Selendang Merah Jambu

Muazam,

Aku masih ingat lagi kata-kata yang lahir dari ulas bibirmu. Katamu, cinta itu didasari empat K, iaitu kasih sayang, kejujuran, keikhlasan dan kepercayaan. Andai salah satu elemen ini tiada, nescaya sebuah cinta sejati tidak akan tercipta. Aku menyokong setiap bicaramu itu. Ya, aku akui kau sahabat yang baik. Sahabat yang selalu memberi kata-kata semangat bila hatiku dirempuh derita. Berkali-kali aku dikecewakan oleh Asyriq, namun entah mengapa aku tetap bertahan dan terus menunggunya. Dia bijak memujukku, Muazam. Sebagai perempuan yang memiliki kelemahan, aku termakan pujukannya. Dan begitulah seterusnya. Namun kau sedikit pun tidak pernah jemu menemani hari-hari dukaku akibat kebodohanku sendiri.

Muazam,

Kau masih ingat lagi tak pada petang yang mendamaikan minggu lalu? Waktu itu cuaca mendung dan angin bertiup agak kencang. Tidak dapat ku lupakan bicaramu waktu itu, cukup menusuk tangkai hati. Katamu, orang yang berjiwa besar memiliki dua hati. Satu hati untuk menangis, satu lagi untuk bersabar. Aku tidak berjiwa besar, Muazam. Malah aku tidak memiliki kedua-dua hati yang kau lafazkan itu. Aku tamak Muazam. Aku hanya mahu Asyriq untuk diriku seorang saja tanpa menghiraukan keluarganya yang sedia ada. Aku cuba merampas Asyriq. Aku mahu Asyriq hanya mutlak untukku. Aku tidak memiliki jiwa besar seperti yang kau katakan itu.

Muazam,

Bukankah dulu kau pernah berkata, jika cinta datang memanggilmu, maka dekatilah ia walau jalannya terjal berliku, jika cinta memelukmu maka dakaplah ia walau pedang disela-sela sayapnya melukaimu? Itulah kata-kata hikmat yang aku pegang untuk menyokong tindak-tandukku bercinta dengan suami orang. Mengikut kata hati yang hanyut dek kata-kata manis seorang Asyriq. Tapi kini aku takut Muazam, aku sedih bila isterinya menemui aku, merayu supaya tidak menganggu suaminya. Tidak menjalinkan hubungan yang tidak diredhai. Dia tidak merestuinya. Aku jahatkah Muazam? Jahatkah aku?

Muazam,

Dulu kau pernah bertanya padaku warna apa yang aku suka, kan? Kau menghadiahkan selendang berwarna merah jambu pada harijadiku. Aku suka warna merah jambu, Muazam. Tapi hadiahmu tidak teruja sangat jika dibandingkan dengan seutas rantai emas yang dihadiahkan oleh Asyriq. Hati perempuanku melonjak riang saat mendapat hadiah semahal itu. Namun, hadiahmu ku simpan kemas di dalam almari. Katamu, rasa cinta bukan terletak di mata, tapi di hati. Pesona mata akan cepat ghaib apabila keindahan itu luput. Itulah kata-kata terakhirmu bila ku putuskan untuk menjadi isteri kedua Asyriq. Dan itu juga kali terakhir aku melihat dirimu, Muazam.

Muazam,

Sepurnama aku kehilanganmu. Di mana kau sahabatku? Aku rindu. Benar-benar rindu. Terlalu sunyi ku rasakan sejak kau tiada lagi menemaniku menghadapi saat-saat sukarku. Namun kesunyian ini terlalu indah Muazam. Walaupun pahit untukku telan. Rajukkah kau padaku Muazam? Di ruang rindu ini, ingin sekali ku mendengar suaramu yang penuh kelembutan setiap kali kau melayaniku. Kau tahu Muazam, sejak kau pergi aku serba tidak kena. Aku rasakan hidupku ini tidak lengkap tanpamu. Hubunganku dengan Asyriq juga semakin hambar. Aku tidak tahu di mana silapnya. Yang pasti sejak isterinya hamil, aku bagai terdampar keseorangan berlagu sepi. Aku bagai tidak wujud lagi. Akukah yang buta Muazam? Akukah yang mencarik-carik hati sendiri menjadi jurai kesedihan? Bodohnya aku!

Muazam,

Aku tahu pasti satu dunia melonggok kemarahan dengan sikapku ini. Bila senang kau ku pinggir, bila susah kau ku cari. Biarlah, biar lidah yang tidak bertulang itu mengutuk aku, Muazam. Akan ku telan saja kata-kata nista yang berdusta itu. Asalkan kau tahu siapa aku. Asal kau tahu aku terlalu merinduimu, Muazam. Kau tahu, hari ini aku membulat tekad untuk memutuskan hubunganku dengan suami orang, dengan Asyriq. Namun aku tidak pernah menyesal. Bagiku orang yang bercinta itu normal. Memiliki perasaan cinta adalah normal. Mahu memberikannya dan mendapat balasan juga normal. Kerana cinta itu sesuatu untuk dinikmati bukan ditangisi. Tetapi bersama Asyriq aku selalu menangis, selalu berkecil hati. Mengimpikan kasih dan rindunya seperti layar yang tercarik, pawana membolos dan akhirnya perahu cintaku tenggelam di samudera yang mengganas tanpa peduli. Namun kenangan bersamanya adalah satu mekanisme untuk menjadikanku lebih kuat, teguh dan berpekerti mulia, yang selalu kau harapkan dariku, Muazam.

Muazam,

Selendang merah jambu hadiah darimu ku genggam erat. Di mana kau Muazam? Masih rajukkah hatimu itu? Kembalilah padaku Muazam, aku rindu. Aku lakar wajahmu di kanvas hati setiap kali aku merinduimu. Itu saja yang ku mampu. Ku nyanyikan lagu kebahagiaan setiap kali wajahmu datang bertandang. Aku yakin dengan pilihanku kali ini. Lelaki sebaikmu tidak ramai di dunia sekarang ini, Muazam. Selendang merah jambu yang kau hadiahkan ku cium penuh sendu. Sekali lagi aku teringat soalanmu tentang warna yang ku suka. Kau tahu Muazam, aku suka warna merah jambu. Aku suka selendang merah jambu yang kau hadiahkan. Aku sangat suka warna merah jambu. Dan aku tidak memerlukan warna lain dalam hidupku lagi. Pulanglah Muazam, aku menantimu.

Akulah Cinderella 1


Tomboy. Itulah gelaran yang ku sandang sejak akhir-akhir ini. Walaupun aku kasar dan berpakaian seperti lelaki, aku tetap mempunyai naluri seorang gadis. Jiwaku tetap lembut dan sensitif, seperti perempuan biasa. Bilaku bersedih, aku akan menangis. Bezanya aku tidak mempamerkan kesedihanku itu untuk tatapan orang lain. Aku lebih suka bersendirian. Biar tiada siapa yang menyaksikan kelemahanku itu. Dahulu aku tidak begini. Aku gadis biasa dan berpakaian seperti gadis lain juga. Penghijrahanku bermula sejak kehilangan ibu dan ayah, yang pergi untuk selamanya akibat satu kemalangan ngeri yang tragis. Ketika ayah dan ibu baru balik dari menoreh getah. Mereka dirempuh sebuah lori hingga terpelosok di bawah kenderaan itu. Mayat mereka tidak usah dicakaplah. Jikaku bercerita, mahu saja kembang tekak orang yang mendengarnya. Sejak peristiwa itu, bermulalah episod duka dan lara kehidupanku sebagai anak sulung.

Aku hidup dalam keadaan serba daif. Semasa arwah kedua orang tuaku masih hidup pun, kami sekeluarga memang sentiasa dihimpit kemiskinan. Melalui hari-hari yang berputar silih berganti, penuh bahagia dan warna-warni menghiasi kehidupan yang serba daif itu. Di pinggir kampung ini, terpencil dari masyarakat desa yang lain, megahnya pondok buruk kami, hasil dari binayah dan mawaddah seorang ayah. Selautan terima kasih dan segunung syukur untuk insan yang berhati mulia Pak Haji Yahya, yang bermurah hati memberi sepetak tanah untuk kami berlindung dan meneruskan kehidupan ini. Kini, Pak Haji Yahya pun sudah tiada lagi. Kami terus tinggal di tanahnya ini selagi tiada siapa yang menghalau.

Umurku baru saja mencecah tujuh belas tahun. Nampaknya tahun ini, aku tidak dapat menduduki peperiksaan besar SPM. Sebab aku sudah berhenti sekolah tahun lepas. Sejak orang tuaku pergi buat selama-lamanya. PMR aku agak bagus juga. Dengan kelulusan itu sajalah aku layarkan untuk mendapatkan kerja. Untuk menyara lima orang lagi adik-adikku. Cantik dan lembut. Pujian itu juga selalu meniti di bibir orang-orang yang mengenaliku. Tapi itu dululah. Sekarang, aku sembunyikan rupa parasku dengan cara pemakaian dan sikapku yang agak kasar. Sengaja buat-buat kasar sebenarnya. Sejak kematian kedua orang tuaku, aku dan adik-adik sering dibuli oleh budak-budak kampung. Aku juga hampir diperkosa. Mereka memang jahat! Suka mengambil kesempatan terhadap kaum yang lemah sepertiku. Kaum yang sepatutnya dilindungi dan disayangi. Tidakkah mereka kasihan kepada kami enam beradik yang sudah menjadi anak yatim piatu ini? Saat itu juga aku nekad untuk berubah. Dengan duit tabunganku, aku mula membeli pakaian lelaki. Aku ingin merubah penampilanku. Tetapi bukan merubah jantina dan naluriku. Itu tidak mungkin ku lakukan. Aku tetap perempuan biasa, punya hati dan perasaan. Niatku cuma tidak mahu dibuli lagi, itu saja. Aku juga tidak mahu adik-adikku menjadi mangsa kebiadapan mereka. Aku harus kuat, aku harus tabah. Aku harus jadi seperti lelaki. Kerana akulah sandaran buat adik-adikku. Di pundakku ini tergalas satu tanggungjawab yang maha hebat, yang ayah dan ibu wariskan. Yang tidak boleh tidak, aku harus memikulnya walau seberat mana pun. Bagai menggalas sebuah bongkah, sarat dengan kepayahan dan kesedihan.

“Kak Syah, termenung apa? Mari makan.”

Alia, adik keduaku sudah menghidangkan sarapan pagi. Pagi ini menunya hanya lempeng dan kopi O saja. Ringkas dan mengenyangkan. Alia memang pandai memasak. Jadi, kami berdua putuskan hanya dia saja yang memasak, sedangkan aku pula keluar bekerja. Masakannya pun sedap. Adik-adik yang lain tidak pernah bersungut. Semasa arwah ibu hidup lagi, Alia memang rajin ke dapur menolong ibu. Alia masih di tingkatan tiga dan Aida adikku yang ketiga, kini di tingkatan satu. Mereka bersekolah petang. Jadi, sebelum ke sekolah Alia sudah menyediakan hidangan tengah hari. Sementara tugas Aida membasuh kain dan menggosok baju.

“Alia bagi tak duit belanja sekolah pada Ain pagi tadi?”

Soalku ingin kepastian. Duit belanja sekolah adik-adik yang lain telah ku serahkan kepada Alia. Ain pula baru darjah enam. Selepas pulang dari sekolah, dia akan mengambil alih tugas menjaga Azah yang baru darjah tiga dan Aiman satu-satunya adik lelaki yang ku ada. Tugas-tugas itu telah aku bahagikan demi tidak membeban diriku seorang saja. Biar mereka tahu erti berkerjasama dan tanggungjawab.

“Dah. Tapi hari ini Lia bagi lebih sikit, sebab Ain kata ada kelas tambahan.”

“Kelas tambahan? Sampai pukul berapa?”

“Sampai pukul tiga saja katanya.”

“Habis tu nanti, korang berdua pergi sekolah siapa nak jaga Azah dan Aiman?”

Aduh! Masalah, masalah, macam mana ni?

“Lia dah minta Nek Odah tolong tengok-tengokkan.”

Fuh! Lega. Nasib baik ada Nek Odah. Jiran yang paling hampir dengan pondok burukku. Aku mengerling jam di tangan. Jam ini aku beli di pasar malam tahun lepas. Sudah pukul lapan pagi. Aku harus cepat.

“Alia tengok adik-adik tau. Kak Syah nak pergi dah ni.”

Aku menitip pesan. Alia hanya mengangguk. Aku mengayuh basikal mountain bike yang dibeli arwah ayah dulu. Basikal ini basikal kesayanganku. Hadiah dari ayah sempena aku mendapat keputusan yang cemerlang dalam PMR lalu. Itu pun kerana harga getah sedang melambung tinggi ketika itu. Dan dengan basikal ini jugalah aku ke hulu ke hilir. Jauh juga aku mengayuh basikal untuk ke tempat kerja. Aku bekerja sebagai office girl atau lebih tepat office boy saja di pejabat peguam di bandar. Hanya itu sajalah yang mampuku dapat sesuai dengan kelulusan yang ada. Gaji pun bukannya banyak. Cuma lima ratus saja. Kalau nak diikutkan bukannya cukup pun. Itu sebablah aku bekerja sambilan pada waktu malam di sebuah restoran. Cukuplah aku nak sara adik-adikku yang semuanya tengah kuat makan itu.

Wasiat Cinta 1


Untuk sekian kalinya Tihani termenung dan mengeluh di jendela kamarnya. Mengenangkan nasib diri dan masa depan yang masih panjang. Sesekali mengerling ke arah bayinya yang baru nak mengenali dunia ini. Satu–satunya anak lelaki tunggal yang dititip oleh arwah suaminya untuk dijaga dan dibesarkan dengan sempurna. Menjadi insan yang berguna pada bangsa dan negara. Ah, mampukah dia menggalas tugas seberat itu? Wajah mulus dan suci Mikhail yang baru berusia enam bulan itu direnung lembut. Selembut kasihnya yang melimpah ruah untuk anak kesayangannya itu. Lambang cinta agung Faizal, arwah suaminya. Bukti cinta yang tidak sempat langsung ditatapnya.

“Kesian,”

Hanya itu yang mampu diluahkannya. Tidak tahu ungkapan kasihan itu ditujukan untuk siapa. Pada arwah suaminyakah kerana tidak sempat untuk melihat zuriatnya? Padahal Faizallah yang paling gembira dan sangat prihatin sepanjang dia hamil. Atau pada si kecil yang tidak mengerti apa-apa itu? Mungkin ya. Kasihannya pada anak itu melangit tinggi kerana tidak sempat menatap wajah ayah kandungnya sendiri dan tidak dapat merasai kasih sayangnya. Atau kasihan itu untuk dirinya sendiri? Bibir mata mula terasa berat. Dalam usianya yang baru mencecah dua puluh lima tahun, dia sudah bergelar ibu tunggal atau lebih tepat dia sudah bergelar janda. Gelaran yang paling ditakuti setiap perempuan sepertinya. Dan dia amat pasti gelaran itu akan mengundang pelbagai masalah kemudian hari. Airmata mula mengalir laju. Nafas terasa sesak.

“Sampai hati abang,”

Dalam esak suaranya hampir tidak kedengaran. Sedih amat dirasakan. Suaminya pergi buat selama-lamanya di saat dia betul-betul memerlukan sokongan suaminya itu, di saat dia sarat mengandung sembilan bulan. Namun dirinya bernasib baik kerana dia masih ada ummi. Ibunya yang sudah uzur dan tidak kuat lagi. Tanpa umminya itu mungkin dia juga turut tersungkur. Tangisan Mikhail buat dia tersentak. Cepat-cepat dia mendapatkan si kecil yang sudah bangun itu. Mungkin lapar agaknya.

Rajuk Sang Hati 3


“Eh, Qai!”

“Qai, kenapa lambat? Aku ingat kau tak datang tadi.”

Aku hanya tersenyum kelat pada dua orang sahabat baikku, Maisarah dan Azura.

“Kau dah terlepas 3 subjek tau. Rugi. Tapi takpa aku boleh bagi kau copy aku punya nota.”

Azura mengeluarkan nota sains, bahasa melayu, dan agama.

“Thanks Zura. Kalau sempat aku copy hari ni juga.”

Aku tersenyum hambar. Mood aku hilang. Geram pada cikgu Wahid masih bersisa.

“Kau kenapa? Tak sihat ke? Pasal apa lambat?”

Aku menjeling pada Maisarah. Bertubi-tubi pula soalan yang keluar dari bibir comel dia tu. Geram pun ada.

“Aku okey. Cuma hilang mood sebab kena denda dengan cikgu Wahid.”

“Denda apa?”

“Cuci tandas guru wanita lepas sekolah nanti.”

Maisarah dan Azura saling berpandangan. Kemudian terhambur gelak besar dari mereka. Menambah sakit di hatiku ini. Aku muncung.

“Apa pulak kesalahan kau kali ni?”

Maisarah masih bersama sisa tawanya.

“Aku tertinggal bas. Bila sampai, gate dah tutup. So, aku dengan sorang mamat panjat pagar kat hujung sana.”

Laju saja tanganku menunjuk arah pagar yang berada di hujung sekolah.

“Mamat? Mamat mana?”

“Mamat Indon.”

“Ha?”

Maisarah dan Azura ternganga. Mereka saling berpandangan lagi. Dan sekali lagi tawa mereka terburai.

“Sejak bila kau kawan dengan mamat Indon?”

“Dia budak sekolah ni, budak baru. Dari Jakarta.”

“Handsome ke hah?”

Aku jeling Azura. Kalau pasal menggedik memang dialah juaranya.

“Entah. Bolehlah tahan.”

“Habis tu, kau kuch kuch hota hai tak?”

“Kuch-kuch hotak engkau!”

Mereka tergelak lagi. Kali ni aku juga tak dapat menahan tawa.

“Kelas mana? Tingkatan berapa?”

“Aku tak tahulah. Masa aku blah dari bilik cikgu Wahid tadi, dia still stay kat situ. Dan yang paling aku geram, tau apa dia?”

“Apa dia?”

“Dia tak kena denda. Aku sorang-sorang je kena. Geram betul aku! Mana aci. Cikgu Wahid tu sengaja nak malukan aku.”

“Eh, kau tak boleh salahkan cikgu Wahid tu, mamat tu budak baru, dia tak tahu apa-apa.”

Maisarah mengangguk tanda menyokong kata-kata Azura itu. Membuat geramku membuak-buak.

“Korang ni kan, yang menyokong mamat yang tak tahu asal-usul tu kenapa? Sepatutnya korang simpati dengan aku, bukan dia!”

“Ala Qai, kau ni pun. Dah tentulah kita orang ni simpati kat kau. Tapikan kau bukan tak tahu kita orang ni tak boleh kalau tengok budak-budak baru kena buli, kesian.”

“Haah, aku sokong cakap Mai tu, ni hati aku ni, mudah sangat kesian bila ada budak baru kena buli. Tak sampai hati. Kita orang ni penyayang orangnya, Qai. Betul kan Mai?”

Maisarah mengangguk laju.

“Ala, cakaplah korang tu gedik, gatal. Dengar aja budak baru tu lelaki, dan dan tulah jadi penyayang. Menyampah aku!”

Mereka tergelak besar.

“Wei, Qai. Siapa nama dia?”

Sebaik aku ingin membuka mulut, guru kelasku cikgu Ashikin yang mengajar mata pelajaran matematik masuk bersama seorang budak lelaki. Mataku membulat. Dia? Hasnul Amin bermuka serius. Seculin pun tidak memandang aku. Huh, belagaknya!

“Bangun!”

Suara Haziq sebagai ketua tingkatan cukup lantang.

“Assalamualaikum cikgu.”

“Assalamualaikum cikgu.”

“Walaikumsalam. Semua duduk.”

Bunyi bising bangku-bangku yang berlaga dengan lantai simen kelas dan suara bisikan yang tak ubah seperti bunyi lebah berdengung berlagu sumbang dalam kelasku.

“Perhatian kelas.”

Cikgu Ashikin mengetuk mejanya dengan sebatang pen di tangan. Serta-merta bunyi-bunyian macam lebah tadi senyap. Aku mengulum senyum. Mataku masih tertancap pada Hasnul Amin. Kau masuk kelas aku rupanya.

“Ini pelajar baru. Harap kamu semua dapat beri kerjasama dan belajar bersama-sama dia. Hasnul, perkenalkan diri kamu.”

“Assalamualaikum. Nama saya Hasnul Amin. Dulu belajar di Jakarta. Bertukar sekolah kerana mengikut ayah yang bertugas semula di Malaysia. Harap dapat beri tunjuk ajar.”

Skemanya ayat dia. Dah macam ayat dalam cerita komik pulak. Aku mengulum senyum lagi.

“Baiklah, ada tempat kosong tak?”

“Ada cikgu!”

Semua berpaling merenung Azrai di belakang sekali. Memang meja di sebelah Azrai sudah lama tiada penghuni.

“Baiklah Hasnul, kamu duduk di sana, sebelah Azrai.”

“Terima kasih cikgu.”

Hasnul Amin lalu di tepi mejaku. Aku buat bodoh. Buat selamba. Jika dia tak mahu pandang aku, buat apa aku beriya-iya nak tengok dia. Pura-pura tak kenal sudahlah. Tiba-tiba dia berhenti di mejaku.

“Hai, kita jumpa lagi Qairunissa.”



Aku terpaku. Dia berlalu dan duduk di sebelah Azrai. Mejanya juga tak jauh dari mejaku. Aku perasan banyak mata yang memandang aku ketika ini. Maisarah dan Azura juga membulatkan mata memandangku. Sah! Lepas ni banyaklah soalan yang keluar dari mulut mereka. Habislah aku! Aku pura-pura sibuk mengeluarkan buku latihan matematik.

Rajuk Sang Hati 2

Aku tunduk. Wajah cikgu Wahid, guru disiplin sekolah itu tak berani aku pandang. Macam nak telan orang saja. Jantung aku berdebar-debar.

“Qairunissa, bulan ni berapa kali awak datang lewat ke sekolah?”

“Err.. baru 4 kali cikgu.”

“Baru 4 kali? Berapa kali lagi awak nak buat?”

“Err.. tak surelah cikgu.”

Aku tersengih. Cikgu Wahid memandangku serius.

“Menjawab!”

La, kan dia yang tanya tadi, aku jawablah. Itu pun salah ke? Entah apa-apalah cikgu ni.

“Ha, kamu! Siapa nama kamu?”

“Hasnul Amin, cikgu.”

Oh, nama dia Hasnul Amin. Macam mana aku boleh lupa tanya nama dia tadi?

“Kenapa lewat?”

“Saya tak tahu sekolah ni tutup awal. Saya ingat pukul 8.30 pagi baru tutup.”

“8.30 pagi? Awak ingat ini sekolah bapak awak punya? 8.30 pagi dah nak masuk subjek ke tiga, faham? Semua sesi persekolahan kat Malaysia ni bermula seawal 7.30 pagi. Jadi, seboleh-bolehnya awak kena datang sebelum pintu pagar utama ditutup, iaitu pukul 7.30 pagi. Faham?”

“Oh, barulah saya faham.”

Aku cuba menyembunyikan senyum. Kelakar juga si Hasnul Amin ni.

“Qairunissa! Apa pula alasan awak kali ni? Jangan nak kata, awak hantar atuk awak pergi klinik, jangan nak kata kucing awak nak beranak. Itu semua bukan alasan.”

Eh, betullah! Memang dulu aku lewat sebab hantar atuk aku pergi klinik. Dia cirit-birit. Takkan aku nak biarkan atuk kesayangan aku tercirit-birit kat rumah pulak. Kucing aku si Eton tu pun memang nak beranak. Itu bukan alasan palsu. Aku tak boleh tinggalkan dia mengiau-ngiau menahan sakit . Eton dah biasa setiap kali nak beranak aku yang jadi bidan terjunnya. Apalah cikgu ni!

“Qairunissa, awak dengar tak apa yang saya tanya ni?”

“Err, dengar cikgu. Sebenarnya saya terlambat bangun, then terus tertinggal bas. Tu yang lambat tu cikgu.”

Aku buat muka sekupang. Cikgu Wahid pula sudah merah padam mukanya menahan marah. Janganlah marah cikgu, saya tak tipu pun. Saya jujur. Saya bercakap benar. Aku mengerling Hasnul Amin. Dia tersenyum nipis. Gelihati kot.

“Kamu berdua harus didenda.”

“Didenda?”

Serentak suaraku dan Hasnul Amin. Kami saling berpandangan.

“Ya, didenda. Qairunissa, lepas tamat sesi persekolahan, awak didenda cuci tandas guru wanita.”

Aku ternganga. Cuci tandas? Aku pandang Hasnul Amin. Dia mengulum senyum. Oh, kau gelakkan aku ya? Tak apa, tak apa.

“Hasnul Amin, awak..”

“Chup, chup cikgu. Saya tak bersalah cikgu, saya tak tahu. Saya budak baru. Baru hari ni start belajar kat sini. Ini surat pertukaran sekolah.”

Hasnul Amin menghulurkan sehelai kertas yang berlipat dua kepada cikgu Wahid. Guru disiplin itu tekun meneliti kertas di tangannya.

“Hmm, dari Jakarta?”

“Ya, cikgu.”

Jakarta? Oh, mamat Indon rupanya. Tapi tak macam Indon pun? Cakap pun elok aja macam orang sini?

“Baik, oleh kerana awak budak baru, dan masih tak tahu peraturan sekolah di Malaysia, saya maafkan awak. Tapi itu tak bermakna perkara ini boleh berulang kembali. Faham?”

“Faham cikgu, terima kasih.”

Eh? Mana aci macam ni. Aku sorang saja yang kena denda. Dia terlepas. Tak adil! Cikgu Wahid saja tau nak buli aku.

“Qairunissa, awak boleh pergi sekarang. Jangan lupa nanti. Saya akan suruh sorang pengawas monitor awak.”

“Tapi cikgu…”

“Tak ada tapi-tapi, awak masuk kelas sekarang. Hasnul Amin awak tunggu sini.”


Rajuk Sang Hati 1


Aku mula tak senang duduk. Jam tangan rasanya dah berpuluh kali aku tengok. Berpuluh kali juga aku mengeluh. Manalah bas ni? Dahlah aku sorang-sorang saja duduk kat bus stop ni. Sekali-sekala aku panjangkan leher, melihat ke jalan raya yang jadi laluan bas. Menyesal pula tidur lewat malam tadi. Kalau aku tak bergayut dengan Azrai pasti aku tak terlewat bangun. Pasti aku tak tertinggal bas yang biasa aku ambil. Jam tangan aku tengok lagi. Untuk yang ke berapa kali aku pun tak tahu. Dah pukul tujuh dua puluh pagi. Sah! Aku terlewat ke sekolah lagi. Ini semua gara-gara si Azrai. Siap kau! Aku panjangkan leher lagi. Bas dah datang!

Aku terpaksa berdiri memandangkan semua tempat duduk sudah penuh. Leceh betul! Tak ada ke manusia yang simpati dengan aku ni? Aku toleh kiri dan kanan. Semuanya macam tiada berperasaan! Aku ni budak sekolah, pakai uniform sekolah lagi, tak kesian ke? Tapi kenapa pula mereka nak kasihan pada aku? Bukannya aku mengandung pun, bukannya aku warga emas, aku cuma budak perempuan yang tak cukup umur, itu saja. Loceng bas berbunyi. Ada orang nak turun! Cepat-cepat aku menoleh siapakah gerangan yang nak turun itu. Seorang perempuan berbangsa India dan anaknya nak turun. Aku tak nak buang masa lagi, terus saja aku duduk di bangkunya tadi. Fuh! Lega. Rasa kejang kakiku ini. Tingkap bas aku buka luas-luas. Panas di pagi yang dingin membuatku tak selesa lansung. Bas berjalan semula.

Aku terasa ada seseorang duduk di sebelahku. Aku menoleh seketika. Mamat mana pulak ni? Pakai uniform sekolah juga. Aku jeling lencana di dadanya. Eh? Sama sekolah dengan aku? Kenapa aku tak pernah tengok dia sebelum ni? Tingkatan berapa agaknya dia? Dia menoleh kepadaku. Mata kami bertembung. Mukanya sangat serius. Lansung tiada segarit senyuman pun terukir. Aku? Lagilah serius. Tak kuasa aku nak senyum-senyum pada lelaki tu. Karang tak pasal-pasal dituduh nak mengurat dia pulak.


*********

Terkebil-kebil aku tengok pintu pagar sekolah yang dah bertutup rapat. Jam di tangan aku tengok lagi. Pukul lapan sepuluh minit. Aku mengeluh. Semua orang sudah masuk kelas. Aku berpaling tiba-tiba dan nyaris-nyaris aku berlaga dengan budak lelaki di sebelah aku semasa dalam bas tadi. Aku mengurut dada. Apa dia buat di belakang aku? Tercegat macam tiang lampu!

“Oi, kau apa hal hah? Tercegat belakang aku, nyaris tak berlanggar.”

Aku merenung dia dengan tajam. Dia pula bermuka selamba. Tangannya menggaru kepala.

“Ini Sekolah Menengah Anggerik Biru ke?”

Aku berkerut kening. Lain yang aku tanya lain yang dia jawab. Tak nampak ke pada pagar batu sekolah tu terang-terang tulis SEKOLAH MENENGAH ANGGERIK BIRU. Rabun agaknya dia. Matanya masih memerhati sekolahku.

“Kenapa tak buka lagi? Sepatutnya dah buka sekarangkan? Student pun tak nampak? Cuti ke hari ni?”

“Kau ni merepek apa? Tak pernah sekolah ke sebelum ni? Hari ni hari rabu. Gate ni tutup sebab dah lepas pukul 7.30 pagi, student dah masuk kelas, dah start belajar.”

“Dah tutup? Cepatnya? Bukan kelas start pukul 8.30 pagi ke?”

“Hah?”

Dia ni makhluk asing ke? Beriya pakai uniform sekolah aku tapi waktu masuk sekolah pun tak tahu. Dia berlalu. Aku pula yang terpinga-pinga.

“Oi, tunggu! Kau nak ke mana tu?”

“Jomlah!”

Sekali lagi aku pelik. Jom ke mana? Tanpa berlengah aku mengekorinya. Kami berjalan sehingga ke hujung pagar sekolah. Di situ agak lengang. Aku mula cuak. Aku lihat dia meninjau-ninjau pagar batu itu.

“Kau nak buat apa?”

Dia senyum padaku. Mak ai, cutenya senyuman. Patutlah mukanya serius saja, rupa-rupanya senyumannya sangat mahal. Kalau dia sentiasa senyum macam tu, aku percaya ramailah budak-budak perempuan yang jatuh cinta pada dia.

“Cepatlah!”

Aku tersentak. Sempat pula aku melamun. Mukaku terasa pijar. Aku lihat dia sudah menadahkan tangannya untuk aku panjat. Gila ke apa mamat ni? Aku ni pakai baju kurunglah!

“Buat apa tercegat kat situ? Cepatlah!”

Cepat-cepat aku berpijak pada tangannya dan memaut pagar batu yang agak tinggi itu. Aku duduk di atas pagar batu itu, menghulurkan tangan untuk dia berpaut pula. Dia hanya tersenyum padaku. Dengan berlagaknya dia memanjat pagar itu sendiri tanpa bantuanku. Senangnya dia panjat?

“Aku berat. Aku takut kau jatuh kalau kau tolong aku tadi.”

“Ala, cakap ajalah kau nak berlagak depan aku.”

Dia tergelak. Menghulurkan tanganya pula untuk membantuku turun. Nak tak nak aku terpaksa capai jemarinya itu. Pagar yang tinggi itu buat aku gayat.

“Qairunissa!!”
Dah lama aku tinggalkan dunia blogku. Blog lama dah bersawang. Blog ini pula masih dalam pembikinan. Tapi yang specialnya, blog ni khas untuk karya-karya aku yang tak seberapa la.. harap korang enjoy ek...