Rajuk Sang Hati 32

“Adik makan apa tu? Nak sikit.”

“Pergilah ambil sendiri, pemalas betul.”

“Ala, akak nak sikit aja, kedekutnya!”

“Sikit aja tau.”

Haikal menyorong semangkuk bubur kacang kepadaku. Aku tersengih. Tanpa berlengah aku duduk berhadapan dengan Haikal. Terkebil-kebil Haikal tengok aku menghirup bubur kacangnya.

“Dah, dah pergi ambil sendiri, menyibuk aja.”

“Tak baik tau cakap macam tu kat akak. Nak merajuklah macam ni.”

“Merajuklah tak hairan pun.”

Aku buat tak tau saja dengan kata-kata Haikal itu, sebaliknya bubur kacangnya makin surut aku kerjakan.

“Dahlah akak, kata nak sikit aja. Ni dah lima enam sudu dah ni. Habislah adiknya punya.”

“Ala, adik ambil yang lain ajalah.”

“Tak nak, penat aja adik sejukkan bubur tu. Kang ambil lain kena tunggu sejuk balik. Dah, dah bak sini.”

Haikal menarik semula mangkuk bubur kepunyaannya. Aku mencebik.

“Kedekut!”

Aku bangun meninggalkannya. Haikal bermuka selamba terus menghabiskan sisa-sisa bubur kacangnya itu. Aku ke ruang tamu. Ayah menonton tv, mak pula melipat kain. Aku mengeluh panjang. Bosan pula petang-petang begini. Aku menghampiri mak.

“Mak along mana?”

“Entah, keluar agaknya.”

“Pergi mana?”

“Mak tak tahulah Nissa, melepak dengan kawan-kawan dialah tu.”

“Ala, kenapa mak tak cakap kat orang tadi? Orang nak ikut juga.”

“Kamu ni, along tu keluar dengan kawan-kawan lelaki, bukan perempuan, takkan kamu nak melepak dengan dia orang?”

“Apa salahnya.”

“Tentulah salah Nissa oii… tak manis dipandang orang.”

“Ala, along kan ada.”

“Hisyy, budak ni, tak faham bahasa gamaknya.”

Aku tersengih. Agenda untuk menyakat mak menjadi lagi.

“Bahasa apa mak?”

“Aii, mak ni bercakap dengan kamu bahasa apa? Bukan Bahasa Melayu ke?”

“Bahasa Melayu mak tak jelas.”

“Tak jelas ke kamu yang benak sangat?”

“Mak, tak baik tau cakap orang benak. Nanti orang benak betul-betul baru mak tahu.”

“Kamu ni dari mengarut merepek yang bukan-bukan, cuba tolong mak lipat kain ni, ada juga faedahnya.”

“Err, tak apalah mak tangan orang ni lenguh-lenguhlah.”

“Tengok tu, kalau disuruh buat kerja ada aja alasannya.”

Aku tersengih.

“Bukan alasanlah mak, memang betul tangan orang lenguh-lenguh ni.”

“Lenguh buat apa?”

“Err, entahlah salah tidur kot.”

Laju lidahku mereka alasan. Aku tahu mak tak percaya. Jelingan maut mak dah cukup memberitahu segalanya.

“Tengok bang, anak dara awak ni, malasnya menjadi-jadi. Hai, tak tahulah apa sudahnya kamu nanti. Kerja rumah bukan main liat nak buat.”

Aku tengok ayah. Ayahku yang sememangnya tak banyak cakap itu hanya menggeleng kepala.

“Nissa, cuba buat apa yang mak suruh tu.”

“Ala, kakak tu memang pemalas ayah.”

Belum sempat aku nak bagi alasan pada ayah, Haikal sudah muncul di belakangku.

“Amboi, sedap mulut kau mengata akak?”

“Memang betul pun.”

“Ada bukti?”

“Tadi tu apa?”

“Apa?”

“Tadi adik suruh akak ambil bubur sendiri tak nak, hentam adik punya sampai tinggal sikit.”

“Itu aja? Akak rasa sikit ajalah. Bukan luak pun.”

“Tak luak akak kata?”

“Yalah, kau sendiri yang makan banyak nak tuduh akak pulak. Kalau kedekut tu katalah kedekut.”

“Mana ada! Mak tengok akak ni.”

“Sudah! Korang berdua ni, kalau mak lagakan kepala tu baru tahu. Mak masak seperiuk, banyak lagi kat dapur tu, pergi makan puas-puas.”

“Sudah Nissa, Haikal. Macam anjing dengan kucing ya. Nissa cuba beralah dengan adik.”

“Bueekk!! Padan muka!”

Haikal menjelirkan lidahnya padaku, mengundang geram bukan kepalang.

“Ayah tengok, dia jelir lidah.”

“Haikal! Siapa yang ajar macam tu? Cepat minta maaf kat kakak.”

Aku mengangkat kening sambil tersenyum sinis. Kemenangan berpihak padaku lagi. Dengan muncung yang panjang, Haikal menghulurkan tangan.

“Maaf kak.”

“Hmm, buat lagi siap kau!”

“Sudah Nissa, pergi dapur buat kopi ayah, bawa bubur kacang sikit.”

Kali ini aku pula yang menarik muncung. Mak ni sengaja nak menangkan Haikal tau. Haikal tergelak. Aku sekeh kepala Haikal membuat dia terduduk di sofa.

“Mak, tengok kakak!”

Aku angkat kaki masuk ke bilik.


***

Selesai solat, aku termenung seketika di sejadah. Terbayang-bayang wajah arwah atuk yang tersenyum bahagia. Aku harap atuk benar-benar bahagia di sana. Di tempat yang terhijab dari pandangan manusia. Seusai melipat telekung, aku bergerak ke meja. Meneliti buku-buku latihan satu-persatu. Tiada tugasan yang cikgu titipkan untuk hari ini. Maklum sajalah, hari ini semua guru-guru sibuk dengan tugasan masing-masing mengendalikan acara debat di antara sekolahku dengan sekolah SMPS. Agaknya sekolah manalah yang menang?

Aku merebahkan diri di atas katil. Tekebil-kebil aku merenung siling rumah. Bagai tidak percaya saja apa yang berlaku hari ini. Aku tersengih sendirian. Aku golek ke kiri, tersengih. Aku golek ke kanan, tersengih lagi. Aku terlentang semula tengok siling pun, masih tersengih.

“Dia sukakan kau!”

Kata-kata Hasnul Amin di sekolah tadi betul-betul buat aku tak tentu hala sekarang. Betul ke apa yang Hasnul Amin cakapkan tu? Irfan sukakan aku juga? Aku macam tak percaya pulak.

“Tak percaya?”

“Kau jangan nak buat cerita Hasnul, peminat dia dengar kang naya aku.”

“Kau kan peminat dia juga.”

“Mana ada!”

“Jangan tipulah Nissa, aku tahu.”

“Eleh, kau tu semuanya tahu, poyo aahh..”

“Suka hati kaulah nak cakap apa, yang aku tahu aku tak silap menilai.”

“Menilai?”

“Nissa, aku tahu kau suka Irfan. Dari cara kau tengok dia pun aku dah tahu, dua kali kau menangis kerana dia kan? Itu yang aku tahu, yang aku nampaklah.”

“Dua kali? Mana ada?”

“Yang belakang bilik stor sukan tu apa? Bukan sebab dia ke? Yang kat kedai runcit, sampai campak aiskrim dalam longkang tu, bukan sebab dia juga ke?”

Dan saat itu aku hanya mampu mendiamkan diri. Hasnul Amin nampak semuanya? Tak sangka. Dia tahu aku suka Irfan dan kini aku baru tahu yang Irfan juga sukakan aku. Betul-betul diluar jangkaan. Aku tersengih lagi. Alangkah bahagianya aku rasa. Bagai diawangan rasanya. Itu baru aku dengar dari mulut Hasnul Amin. Macam manalah agaknya jika Irfan sendiri yang meluahkannya di hadapanku? Silap haribulan mahu pengsan aku di situ juga.

Akan ku nantikan hari itu tiba jua. Akan ku balas cintanya. Cuma tunggu masa dan ketika saja untuk aku ungkapkan kasih, luahkan rindu dan ucapkan sayang. Tapi macam mana kalau Irfan terus membisu? Bagaimana kalau ini adalah andaian dari Hasnul Amin saja? Bukankah segunung malu yang akan ku pikul nanti? Tak boleh jadi ni. Aku capai telefonku ingin mendail nombor Hasnul Amin, tetapi jemariku terhenti. Rasanya tidak wajar untuk aku berbuat demikian. Apa pula Hasnul Amin fikirkan nanti agaknya. Perlahan telefon itu aku letakkan di atas meja.

Aku menarik nafas sedalamnya lalu ku pejamkan mataku ini. Saat ini terimbas segalanya. Dari mula aku bercakap dengan Irfan semasa nak ke perpustakaan akibat berlaga di tangga, dan saat-saat mencemaskan semasa dia memeriksa beg sekolahku kerana jam tangan Atikah yang hilang, hingga terbit kata-kata sinis dan sikap dingin darinya, yang menjadikan aku terluka teramat sangat. Hingga yang terkini adalah hari ini. Kami berbual di balik tiang dewan utama sekolah. Seolah-olah kami sudah kenal lama. Aku tersengih lagi. Menonton bayangan wajahnya di minda saat ini benar-benar membahagiakan aku. Membuat aku tersengih-sengih sejak balik dari sekolah tadi. Aku pasti ini adalah sengih bahagia seperti yang dikatakan oleh Maisarah.

0 Suara Merdu Anda:

Post a Comment