Cerpen - Cinta Eton & Meon

Zaiton menjeling geram melihat gelagat Sameon yang tersengih-sengih macam kerang busuk itu.

“Kau nak apa? Tersengih-sengih.”

“Ala, Eton.. pagi-pagi dah nak angin ni kenapa?”

“Pagi apa kebendanya? Dah tengah hari rembang ni. Baru bangunlah tu.”

“Eleh, tolong sikit. Aku subuh-subuh hari dah terpacak kat bendang tu tau. Kau tu yang baru buka kedai.”

“Woi, aku buka kedai pukul 10 tadi lah. Kau apa tau?”

Meon tersengih lagi.

“Kau ni Eton, kalau marah bukan main lawa lagi.”

“Kau tak kerja ke Meon, kacau aku kat sini buat apa? Traktor kau tu dah nazak ke?”

“Eleh, kutuk-kutuk aku punya traktor pulak, kau punya mesin jahit tu lagi dah tenat. Beli ajalah yang baru.”

“Bak duit! Kau ingat murah?”

“Boleh, dengan syarat.”

“Syarat apa?”

“Kahwin dengan aku.”

“Buweekk! Tak hingin!”

“Tak nak sudah.”

Sameon mencebik. Walaupun bergurau, dia terasa sedikit kecewa.

“Oit, Meon! Kau marah ke?”

“Taklah. Nak buat macam mana orang tak sudi.”

“Hiii… mengada! Cepatlah cakap kau nak apa datang kedai aku ni?”

“Sajalah nak jumpa kau. Tak boleh?”

“Ah, malaslah aku layan kau!”

“Eleh, kau ni cepat perasan ya, Ton?”

“Eh, kau blah dari sini. Jangan kacau aku. Blahlah cepat!”

Zaiton sudah mencerlung ke arah Sameon. Geram melihat lelaki itu masih tersengih.

“Aku nak ambil baju mak akulah!”


***********

“Kau nak order apa?”

“Milo aislah.”

“Makan?”

“Malaslah makan.”

“Makan pun malas? Apa punya orang daa..”

“Suka hati akulah, kau sibuk kenapa?”

“Aku ni susah hati bila kau tak makan, dahlah badan tu macam cicak kubing. Nak diet konon.”

“Bila masa pulak aku cakap nak diet? Suka suki je.”

“Eleh, orang perempuan kalau malas nak makan tu, kira nak dietlah. Nak jaga badan. Eh, Eton, tak payahlah nak diet-diet, kau dah kurus kering dah. Buruk tahu?”

Zaiton tak jadi membuat serangan balas, bila matanya terpandang Yusof, anak ketua kampung. Sameon juga menoleh ke arah yang sama.

“Dahlah Eton, dia tak pernah pandang kau pun.”

“Aku tahu.”

Zaiton bernada sayu. Mengerti siapa dirinya jika berbanding dengan Yusof.

“Kau pun tahu dia dah ada girlfriend kan?”

“Aku tahu.”

“Tahu, tahu tapi menaruh harapan jugak.”

Zaiton tersenyum hambar.

“Mengharapkan keajaiban barangkali?”

“Keajaiban? Kau jangan bermimpilah Ton. Dia tak tahu pun kau suka dia, kan? Kalau kau nak keajaiban berlaku pergilah bagitahu dia yang kau sukakan dia.”

“Gila!”

“Gila apa pulak?”

“Malulah aku ngok!”

“Tau pun malu, habis yang pandang-pandang anak teruna orang macam tu tak malu?”

“Eh, kau Meon, bukan main lagi ya ngutuk aku?”

“Tak betul ke?”

“Nyampahlah cakap dengan kau!”

“Yelah, dengan aku nyampah, dengan Usop tak nyampah lansung.”

“Mestilah, dah aku suka dia, kau jealous ke?”

Sameon terdiam. Cemburukah dia?


***************

Petang itu, berita yang baru didengari Zaiton cukup menyedihkan. Dia kecewa teramat sangat. Yusof akan berkahwin dengan gadis pilihannya, Marina. Zaiton tahu Marina itu gadis yang sangat cantik berbanding dirinya.

“Dahlah tu.”

“Kau tak faham Meon apa yang aku rasa.”

Tersedu-sedan Zaiton menahan tangisan. Hati Sameon bagai disiat-siat melihat gadis itu menangisi cintanya yang tidak kesampaian. Andai diberi peluang, ingin saja dia mengubati luka di hati Zaiton.

“Aku faham.”

“Tak. Kau tak faham. Kau tak akan faham.”

“Mana kau tahu aku tak faham?”

“Mencintai seseorang dalam diam, tanpa orang itu mengetahuinya, pedihnya tuhan saja yang tahu Meon. Kau tak pernah rasa semua tu.”

“Mana kau tahu aku tak pernah rasa?”

Zaiton diam. Lebih berminat melayan sendunya. Dia bakal kehilangan Yusof, lelaki idaman hati.

“Hai.. dahlah Ton. Lupakan dia. Teruskan hidup kau. Suatu hari nanti pasti kau akan berjumpa insan yang lebih baik dari dia.”

“Betul ke?”

“Betul. Percayalah.”

“Aku sayang dia Meon.”

“Aku tahu.”

“Tapi dia tak tahu pun.”

“Aku tahu.”

“Tahu, tahu. Macamlah kau pernah rasa apa yang aku rasa.”

“Aku pernah rasa, sampai sekarang sebenarnya.”

“Iya? Pada siapa?”

Zaiton sudah mengesat airmata yang membasahi pipinya. Sedikit berminat dengan cerita yang baru keluar dari bibir Sameon. Sebelum ini lelaki itu terlalu berahsia tentang perasaannya.

“Adalah. Sibuk aja nak tahu.”

“Ala Meon, cakaplah. Siapa? Aku kenal ke?”

“Kenal kot.”

“Iya? Siapa ya?”

Sameon menjeling. Sedikit terpegun melihat aksi comel Zaiton yang sedang berfikir.

“Tak payah sibuk-sibuk nak fikir. One day kau tahulah.”

“One day tu bila? Ala, kenalkanlah pada aku sekarang, ya?”

“Masalahnya, dia tak tahu pun aku suka dia.”

“Oh.. sama kes macam akulah ni?”

“Tau pun. Lagi cakap aku tak faham apa yang kau rasa?”

Zaiton tersengih.

“Sorry. Eh, bila kau nak cakap kat dia?”

“Tak tahu.”

“Jangan tunggu lama-lama Meon, nanti terlepas macam aku. Kau nak?”

“Eh, janganlah.”

“Tau takut.”

“Tapi aku tak tahu macam mana nak cakap kat dia. Seganlah.”

“Ala, apa susah kau kiss aja pipi dia, then cakaplah apa yang kau nak cakap.”

“Woi, gila!”

“Kau takut?”

“Tak manislah macam tu. Biadap namanya.”

“Eleh, tak beranilah tu.”

“Kau jangan cabar aku Ton.”

“Memang aku cabar kau, kalau kau betul-betul suka dia, buatlah macam aku suruh.”

“Gila!”

“Penakut!”

“Eton, sekali lagi kau cakap aku takut, aku..”

“Aku apa? Ha? Aku apa?”

“Aku bukan penakutlah!”

“Eleh. Dahlah Meon nasib kau akan jadi macam akulah nampaknya.”

“Kau betul-betul nak aku buat macam tu ke?”

“Ala Meon, kau ni malu tapi mahu, kan?”

“Kalau dia lempang aku macam mana?”

“Itu adalah risikonya.”

“Eh, tak naklah.”

“See, penakut! Malu aku ada kawan penakut macam kau ni.”

“Eton, kau ni betul-betul mencabar aku. Aku buat betul-betul karang.”

“Ha, pergilah. Aku nak sangat tengok.”

“Betul ni? Kau tak marah aku kan?”

“Apsal pulak aku nak marah, kan aku yang cabar kau ni. Hissyh!”

CUPP!!

Zaiton terkasima. Kaku di situ melihat Sameon. Hangat ciuman Sameon di pipinya mengundang bahang di wajah Zaiton.

“Jangan marah ya, Ton.”

Sameon tersengih menutup gabra.

“Aku suruh kau cium awek kaulah bodoh! Apsal aku pulak yang kau cium ha?”

“Sebab kaulah awek aku.”

“Ha?”

“Ya, Ton. Aku suka kau. Dah lama aku suka kau. Boleh kau bagi peluang kat aku untuk sayang kau?”

Zaiton kelu. Tidak menyangka langsung Sameon ada hati pada dirinya selama ini. Perlahan dia bangun menutup semua suis di kedai jahitnya. Menapak perlahan menuju ke pintu kedai. Dia berpaling.

“Kau kena minta izin kat mak dan ayah aku dulu.”

Sameon juga menapak keluar. Wajah malu Zaiton dipandang lama. Sameon tersenyum senang.

“Sekarang jugak aku jumpa!”

5 Suara Merdu Anda:

onewlove said...

hehehe..
menarik walupon simple...
nk lagi leh tak?

Anonymous said...

suka x de bnda ngarut2 cam kaya raya tahap dewa simple life lead to happy love heheheh x gitu

aqilah said...

simple tapi menarik.... kan eton dah kena............hheheeeeeeeee

khairunnisa said...

interesting ..bestttt nk lgi boleyyy

Norazam Mohd Pillus said...

Ringkas dan menarik
Kawin

Post a Comment