Melankolik Cinta Cassandra 8

Cassandra meraup wajah. Mimpi itu datang lagi. Mimpi yang sama dan di waktu yang sama. Apakah maksudnya? Dia benar-benar ingin tahu. Kepada siapa dia harus mengadu?

Cassandra turun dari katil dan menapak perlahan ke jendela kamar. Tabir nipis berwarna putih itu disuak santun. Semilir dingin menerobos lembut ke kulit wajahnya yang mulus. Menggamit remang romanya. Entah mengapa hatinya begitu merindui ibunya. Walhal baru kelmarin dia bersua muka. Terasa ingin bermanja-manja pula. Dulu jika dia terbangun dari tidur begini atau tidak boleh lena, pasti ibunya menemani dia sehingga dia terlentok pulas di riba wanita itu. Kini tidak lagi. Dia bukan lagi sang puteri manja yang perlu dibelai dan dipujuk tatkala hati dilanda gundah. Dia kini adalah gadis cekal, dia sangat tabah. Kerana dia telah pun memilih jalan ini.

Cassandra mengeluh. Jika begitu apakah masalah dirinya sekarang? Mengapa hatinya berasa tidak enak? Sejak mimpi yang tidak diundang itu kerap hadir dalam lenanya, dia sering mengeluh. Dia seolah-olah tercari-cari sesuatu. Dia bagaikan terkapai-kapai. Jika ditanya pada hatinya, apakah dia merindui ibu, itu bukanlah jawapan yang tepat. Ayahnya? Mana mungkin! Jimmy Yap? Jauh sekali! Entahlah, dia sendiri tidak mengerti. Jam di dinding dikerling sekilas. Tiada tanda-tanda matanya ingin layu semula. Nak buat apa ya? Waktu-waktu begini semua teman-teman sedang diulit mimpi yang indah. Tiada guna jika dia menghantar sms pun.

Sedang dia terkebil-kebil melayan matanya yang segar bugar itu, Cassandra terpandang kotak empat segi yang elok diam di atas almarinya. Dia mengambilnya lalu dibawa ke katil. Penutup kotak itu dibuka perlahan. Segala isi perut kotak itu dikeluarkan satu-persatu. Kebanyakannya barang-barang pemberian dari Jimmy Yap. Tanda kasih lelaki itu padanya suatu masa dahulu. Saat itu dia benar-benar bahagia menyulam cinta bersama Jimmy Yap. Namun itu semua adalah kisah silam. Dia telah meletak kenangan manis itu ke tepi. Namun masih belum berani untuk membuangnya. Cassandra sedar di satu sudut dalam hatinya masih terpahat nama lelaki itu. Masih belum ingin dicampak jauh. Walaupun hubungan itu sudah lama berkubur.
Cassandra menyentuh bingkai gambar yang berwarna merah. Semerah hatinya saat berkasihan dengan Jimmy Yap. Hangat dan membara. Jemari halusnya menyapu sedikit habuk yang terlekat di permukaan bingkai gambar itu. Barulah jelas, wajah Jimmy Yap yang tertawa riang sedang memeluknya yang juga mengukir senyuman bahagia. Ah, betapa indah saat itu bila dikenang. Semuanya manis belaka. Sehinggalah Jimmy Yap tega menghunus bilah-bilah tajam yang melumatkan sekeping hatinya. Luka dan berdarah. Jika sembuh pun parutnya tetap ada dan kekal. Sejak itu cintanya pada Jimmy Yap terus mati. Berkubur ditimbus kebencian.


***


Ralit bola matanya melihat kanak-kanak yang tertawa riang di taman permainan itu. Sayu jiwanya menyoroti keletah anak-anak comel yang lincah di hadapannya. Dia dambakan seorang cahaya mata. Alangkah indahnya jika dia menjadi ibu. Betapa sempurnanya diri sebagai seorang wanita jika dapat memberi zuriat kepada suami tercinta. Soleha sebak.

“Sudahlah tu jangan sedih-sedih. Dah tak ada rezeki kita nak buat macam mana lagi, kan? Sabar banyak-banyak,” pujuk Hanafi lembut.

“Maafkan Leha bang, Leha tak dapat jadi isteri yang sempurna untuk abang,” kata Soleha sambil menyeka airmata yang mula bergenang.

“Siapa cakap Leha bukan isteri yang sempurna? Sayang, walau apa pun yang terjadi, abang tetap sayangkan Leha, sama macam dulu juga. Leha tetap sempurna di mata abang,” pujuk Hanafi lagi. Hati lelakinya tidak dapat menahan bila melihat isteri kesayangan sedih begini.

Soleha tergelak kecil.

“Pandai betul abang pujuk Leha ya? Sampai dah cair hati Leha ni,” dia menjeling manja sambil menepuk perlahan bahu Hanafi.

Hanafi turut tergelak.

“Ha, itu tandanya abang ni seorang yang romantik, kan?” Usik Hanafi pula sambil mencubit lembut pipi Soleha.

Soleha tersipu. “Abang bukan saja romantik, abang ni baik dan sabar. Leha rasa bertuah tau,” puji Soleha. Dia benar-benar ikhlas dengan kata-katanya itu.

Pujian Soleha itu membuat Hanafi tersenyum lebar. Kembang setaman hatinya bila dihargai oleh isteri tercinta.

“Kadang-kadang Leha terfikir, kenapa abang jatuh hati pada Leha dulu ya? Leha ni tak lawa pun, Leha tak bijak macam abang, Leha bukan wanita sempurna untuk abang. Banyak sangat kurangnya Leha ni,” tutur Soleha sayu.

“Eh, siapa cakap Leha tak lawa? Memanglah ramai perempuan cantik, tapi bagi abang perempuan tu tak secantik Leha. Kalau ada perempuan yang pandai pun, pasti tidak sebijak Soleha abang yang seorang ni,” ujar Hanafi sambil mencubit pipi Soleha sekali lagi.

“Macam abang cakap tadi, Leha tetap sempurna di mata abang. Kalau ada kurangnya Leha, abang tolong lengkapkan dan kalau abang yang kurang Lehalah yang lengkapkan hidup abang,” sambungnya lagi.

Soleha tersenyum. Perasaan sayu yang menjengah tadi hilang bila dipujuk Hanafi.

“Pandailah abang nak pujuk Leha eh?” Kata Soleha sambil menjeling manja.

“Abang bukan memujuklah. Abang cakap tentang kenyataan yang berada di depan mata abang ni. Apa yang abang katakan lahir dari hati abang yang tulus, sayang.”

Soleha tersenyum bahagia. Hanafi sentiasa berlembut dan terlalu menjaga perasaannya. Perlahan dia merebahkan kepala ke bahu suaminya itu.

“Eh, ni kenapa ni? Nak manja-manja dengan abanglah tu ya?” Hanafi mencuit hidung Soleha. Tangannya mula melingkar di bahu Soleha.

Soleha tersipu manja. “Salah ke? Bukannya lama lagi Leha nak bermanja dengan abang,” tutur Soleha sambil jemarinya bermain-main di telapak tangan Hanafi.

“Leha, kenapa cakap macam ni? Abang tak suka dengarlah,” protes Hanafi untuk sekian kalinya. Memang dia tidak sanggup untuk mendengar. Tapi ayat yang sama jugalah yang sering Soleha sebut-sebut.

“Suka atau tidak, itu hakikatnya bang. Abang harus bersedia dari sekarang,” Soleha cuba memberi peringatan.

Jeritan kecil seorang perempuan membuat lamunannya berkecai. Soleha memandang ke arah suara yang mengaduh kesakitan itu. Kelihatan seorang gadis Cina sedang menunduk menekan perutnya. Soleha tidak berlengah lalu mendapatkan gadis itu segera.

“Adik tak apa-apa?” Tanya Soleha sedikit cemas.

Berkerut wajah gadis itu. Sepertinya sedang menahan senak. Soleha terpandang sebiji bola sepak berdekatan gadis yang sedang menahan sakit itu. Pastinya sebiji bola keras itu telah menjadikan perut gadis itu sebagai sasaran. Kasihan.

“Sorry kak, tak sengaja,” tiba-tiba datang kanak-kanak lelaki lebih kurang berumur sembilan tahun.

Tersengih-sengih dengan muka yang berminyak dan berpeluh-peluh. Wajahnya kelihatan serba salah dan mungkin juga rasa bersalah. Gadis Cina yang sedang menahan sakit itu cuba mengukir senyum.

“It’s okay.”

“Err… saya nak ambil balik bola tu ya?” Teragak-agak budak lelaki itu ingin melangkah. Dia merenung Soleha sambil tersengih.

“Boleh ya makcik?” Sekali lagi budak itu meminta kebenaran.

Soleha tersenyum manis. Sambil mengangguk. “Boleh sayang, tapi lain kali berhati-hati ya, tengok-tengok keadaan sekeliling,” sempat dia memberi pesanan kepada budak lelaki itu.

“Jom duduk sana,” ajak Soleha setelah budak lelaki itu berlalu meninggalkan mereka. Dia mengagahkan diri memapah gadis itu yang masih membongok menahan senak di perutnya.

“Adik tak apa-apa?” Soleha bertanya sekali lagi.

“Yes, I’m okay. Kakak jangan risaulah.”

Soleha tersenyum manis lalu meghulurkan tangan untuk berjabat.

“Nama akak Soleha. Guru agama di Sekolah Rendah Sri Melati,” ujarnya memperkenalkan diri.

“Oh, maknanya kakak ni ustazahlah ya?”

Soleha tersenyum.

“Panggil kak Leha saja ya? Adik tinggal di mana? Tak pernah nampak pun sebelum ni?” Soal Soleha lagi.

“Oh, kebetulan lalu di sini. Saja nak cuci mata tengok budak-budak bermain di sini.”

Soleha mengangguk perlahan. Dia amati gadis itu. Cantik dan fasih berbahasa Melayu.

“Kak Leha tinggal dekat-dekat sini juga?”

“Iya. Rumah akak kat sana tu. Yang ada buaian di depan tu,” Soleha menunjuk ke arah rumahnya.

“Oh yang itu ya. Hmm, cantik rumah kak Leha. Selalu ke kak Leha datang ke sini?”

“Tak juga selalu, bila ada kelapangan, di sinilah akak habiskan masa. Seronok tengok budak-budak bermain. Terhibur rasanya.”

“Yang mana satu anak kak Leha?”

Entah mengapa soalan mulus gadis Cina itu mengundang sayu di hatinya. “Erm, akak tak ada anak,” jawab Soleha perlahan.

“Oh, maafkan saya. Saya tak tahu. Betul-betul minta maaf ya kak.”

“Eh, tak apalah. Adik tak salah,” Soleha cuba memaniskan muka agar gadis itu tidak rasa bersalah pada soalannya tadi. Dia terpaksa berpura-pura begitu. Baginya tiada guna hendak menyalahkan takdir atau sesiapa pun.

“Oh ya, sembang-sembang juga, nama adik ni siapa?” Tanya Soleha cuba mengubah topik perbualan.

“Oh ya! Sorry, forgot to introduce myself. Saya Cassandra. Cassandra Lau Mei Lin,” jawab Cassandra tersenyum manis.

“Cassandra. Sedap nama tu,” puji Soleha.

Cassandra tergelak manja. “Sedap macam boleh dimakan ye kak?”

Giliran Soleha pula tertawa. “Fasih berbahasa Melayu ya? Mesti dulu sekolah Melayu, kan?” Tanya Soleha.

Bukan dia berniat untuk mencungkil rahsia kehidupan gadis itu tetapi hanya sekadar untuk berkenalan dengan ikhlas.

“Iya betul tu. Dulu saya sekolah Melayu. Jadi ramai kawan-kawan saya Melayu. Lagipun mummy saya keturunan Baba Nyonya. Mummy tak pandai cakap Mandarin atau English kak. Jadi mummy sentiasa berbahasa Melayu di rumah,” terang Cassandra panjang lebar.

“Oh begitu, patutlah… ayah Cassandra pula?”

“Daddy berbangsa Tiong Hua dan beragama Katolik. Mummy pula beragama Budhha,” Cassandra tersenyum melihat wajah Solehah yang sedikit tercengang bila kisah peribadinya terbongkar.

“Jadi Cassandra ikut agama siapa? Mak atau ayah?” Tanya Soleha lagi. Dia agak tertarik dengan latar belakang Cassandra.

Cassandra tergelak kecil. “Tak ada agama kak Leha. Saya free thinker,” jawabnya jujur.

Soleha mengangguk perlahan. Kasihannya. Ingin saja dia perkenalkan dunia Islam pada gadis itu. Tetapi entah mengapa lidahnya tiba-tiba kelu. Mungkin belum sampai masanya lagi. Biarlah dia berkenal-kenalan dengan gadis ini dahulu. Dia akan mencuba perlahan-lahan. Tidak sabar rasanya ingin menceritakan betapa indahnya Islam itu. Satu-satunya agama yang benar, yang lurus.

Kamal Oh Kamalia 20

Aku kegelisahan. Mengiring ke kiri tak kena, pusing ke kanan pun tak kena. Kepala aku asyik teringatkan Azlin. Aku meninggalkan dia dalam keadaan dirinya yang tidak mengizinkan. Ikutkan hati memang aku tak mahu pergi. Ikutkan hati, ingin saja aku berada di sisinya sentiasa. Aku sanggup bersengkang mata untuk menjaga dia.

Aku pandang telefon bimbitku. Melihat jam di skrin itu yang telah pun menunjukkan pukul dua belas setengah malam. Teragak-agak jemariku ingin menekan nombor Azlin untuk bertanya khabar. Bimbang pula mengganggu tidurnya. Sudahnya aku meletakkan semula telefonku itu di atas meja kecil di sebelah katil.

Aku bangun menuju ke dapur. Terasa haus pula tekakku ini. Peti sejuk aku buka dengan malas. Serta-merta lampu peti sejuk itu menerangi ruang dapur yang gelap gelita. Aku mencapai jus oren dan menapak ke sinki untuk mengambil gelas yang sudah elok tertiarap di situ. Aku melabuhkan punggung di kerusi sambil menuangkan jus oren itu dengan tidak berhati-hati. Ah, cemerkap pula aku tengah-tengah malam begini. Jus oren itu sudah tertumpah sedikit di atas meja. Aku mengeluh berat. Inilah akibatnya mata ke lain, fikiran ke lain. Asyik fikir tentang Azlin saja sehingga tidak keruan aku dibuatnya. Aku benar-benar bimbang. Aku berharap Azlin dapat bertahanlah malam ini. Jika esok tidak kebah juga demamnya, aku sendiri akan membawa dia ke klinik. Samada dia rela atau tidak, aku tidak peduli.

Tidak semena-mena perut aku berbunyi. Laparlah pula. Nak makan apa agaknya? Aku bingkas dan membuka semula peti sejuk bersaiz sederhana itu. Meninjau-ninjau jika ada makanan untuk mengalas perut. Langsung tiada! Inilah nasib orang bujang. Selalu kekurangan makanan. Aku mengeluh lagi. Nampaknya hanya jus oren sajalah yang mengalas perutku sepanjang malam ni.

Aku kembali ke kamarku semula. Merebahkan badan dan cuba memejam mata. Berharap sangat aku dapat tidur. Namun bayangan Azlin muncul semula. Ah, parah aku ni! Tak dapat ku lupakan sayu renungan Azlin saat menghantar aku ke muka pintu. Wajah yang lesu dan sedikit pucat itu langsung tidak mencacatkan keayuan wajahnya. Ingin saja aku mendakap tubuhnya tika itu. Namun aku tahu di mana batasku. Walaupun di mata Azlin aku adalah Kamalia, aku tetap tidak boleh melakukan sesuatu di luar batas. Aku tidak mahu mengheret gadis kesayanganku ke lembah dosa. Biarlah aku menanggungnya sendiri. Cuma aku berharap rahsia ini tidak terbongkar sebelum waktunya.

Aku bangun sekali lagi. Duduk bersandar di kepala katil. Sudah berputus asa sedikit dengan mataku yang tetap segar dan tidak mahu lelap walaupun seculin. Aku mencapai komputer ribaku lalu meletakkannya di atas riba yang dilapik bantal. Mahu membaca e-mail. Cahaya dari komputer ribaku sedikit menyilau mata. Terpaksa aku mengecilkan mataku ini untuk membaca tulisan yang agak halus terpapar di skrin. Satu-persatu e-mail yang berbaris di peti masuk aku buka dan yang mana aku rasa tidak perlu terus aku buang. Seketika mataku tertancap pada sebuah e-mail yang baru masuk. Kiriman dari Natrah lagi. Apa mahunya kali ini? Segera aku klik untuk membukanya.

Salam rindu Mal.

Sihat? Nat sihat saja. Nat cuma nak kasi tahu, Nat akan tiba di KL lusa. Mal boleh ambil Nat di airport? Nat datang bersama seorang kawan. Kami sama-sama mahu tinggal di Malaysia sepanjang cuti semester ini. Segalanya telah Nat uruskan. Mal jangan risau ya? Cuma Nat perlukan Mal di airport itu saja. Sekejap pun jadilah ya? Nat tunggu. Bila dah sampai nanti Nat sms Mal okey?

Bye. Salam sayang.

Natrah.


Aku mengeluh. Jadi satu kerja pula aku nanti. Dia ingat aku ni drebar dia ke apa? Silap haribulan aku akan jadi pemandu pelancong dia pula. Itu tidak mustahil berlaku. Pasti Natrah akan menggunakan alasan ingin membawa temannya melihat sekitar Kuala Lumpur. Ah, bosan sungguh! Namun aku pasti tidak boleh mengelak.

***

“Oit, awalnya kau bangun?”

Iqbal menegurku sebaik terlihat kelibatku yang agak kelam-kabut sedikit pagi ini. Untuk seketika aku tidak mengendahkan tegurannya itu. Aku lebih berminat melayan resahku sejak dari semalam. Fikiranku kini hanya ada Azlin dan kerana dialah aku bangun awal pagi ini. Aku ingin menjenguknya. Kebetulan kuliahku pada sebelah petang, jadi aku menggunakan kesempatan ini untuk berjumpa dengannya dahulu. Bukan sahaja bimbang tapi lebih kepada rindu. Jiwaku ini sarat dengan rinduku padanya.

“Buat tak tahu aja kau eh bila aku tanya? Memang melampau. Ingat aku tiang ke kat sini?”

Iqbal menyekeh kepalaku lalu melabuhkan punggungnya di atas katilku. Sambil aku menguap tanganku menggosok baju kurung berwarna kuning air itu. Iqbal tergelak.

“Kau gelak apa?”

Aku mengangkat kening kerana pelik dengan tingkahnya itu. Tiba-tiba saja? Bila masa pula aku buat lawak hingga mencuit hati sahabatku itu?

“Gelakkan kaulah.”

“Apa hal gelakkan aku? Aku rasa aku tak buat lawak jenaka pun?”

Iqbal tergelak lagi.

“Memanglah. Kau tak payah buat lawak pun tak apa, sebab kau memang sedia lawak dah.”

Aku berkerut kening. Tak faham aku dengan maksud Iqbal itu. Aku garu kepala pula. Aku tak buat lawak dia cakap aku lawak. Aku tak cakap apa-apa dia gelak. Misteri betul Iqbal ni. Dia ingat aku raja lawak ke apa?

“Ni, yang kau kelam kabut pagi-pagi buta ni apa hal? Siap gosok baju kurung lagi. Tak sabar nak jumpa Azlin eh? Ala, karang kat kampus kau tengoklah dia. Apa susahnya?”

“Kalau dia datang. Kalau dia tak datang macam mana? Baik aku jenguk dia dulu sebelum kelas aku petang karang.”

“Ala, Azlin tu demam biasa aja. Tu pun kau nak risau. Relekslah.”

“Mana boleh rileks. Aku susah hati tahu? Sepanjang malam ni aku hanya tidur-tidur ayam aja.”

“Amboi, sampai macam tu kerisauan kau ya? Nampaknya kau betul-betul jatuh sayang sama dia?”

“Habis, kau ingat aku main-main ke dengan dia? Aku serius bro. Kalau tak, tak akanlah aku sanggup buat kerja gila macam ni?”

Iqbal tergelak sambil menggelengkan kepala perlahan.

“Mal, Mal. Aku respectlah dengan kesungguhan kau memikat dia. Cuma cara kau ni tak betul. Salah. Memalukan kaum sejenis.”

“Diamlah kau. Aku dahlah mengantuk ni. Karang aku gosok kau nak?”

“Eh, apa pasal nak gosok aku pulak? Ingat aku ni baju kurung?”

Aku merengus bila mendengar Iqbal mentertawakan aku.

“Mal, serius aku cakap, tak lama lagi penyamaran kau ni akan terbongkar.”

“Aku tahu.”

“Apa yang kau tahu? Eh Mal, kita ni hidup berjiran tau. Masyarakat sekeliling perhati aja apa yang kau buat ni. Jangan dia orang salah anggap sudah.”

“Salah anggap? Salah anggap apa pulak?”

“Ish, lembab! Setiap hari kau keluar dari rumah ni dengan pakai baju kurung, kau ingat orang tak pandang? Tu makcik Bedah mancung tu, asyiklah usya-usya. Dia tu dahlah macam CNN.”

“Pedulikan dia oranglah. Bukan kita buat benda salah pun.”

“Tak buat benda salah kau cakap? Habis yang kau tengah gosok tu apa?”

“Apa? Ni? Baju kurung. Kenapa?”

Iqbal tepuk dahi sambil pamer muka bengangnya.

“Cik Kamalia, apa pasallah otak kau lembab sangat macam kambing gurun ha? Pakai pakaian perempuan itu haram. Ada faham?”

“Ya.”

Aku seolah-olah tidak dapat focus dengan apa yang Iqbal bebelkan. Bukannya aku tidak dengar rungutan demi rungutannya itu cuma fikiranku lebih tertumpu kepada Azlin sekarang.

“Jangan sampai aku kena tuduh bawa balik perempuan ke rumah. Jangan sampai orang-orang pejabat agama datang menyerbu ke sini. Baik kau hati-hati Mal.”

“Okey.”

“Aku tak dapat bayangkan kalau apa yang aku cakap tu berlaku Mal. Manalah nak sorok muka aku yang handsome lagi menawan hati ni?”

Aku menjungkit bibir sebelah kiri. Handsome lagi menawan hati? Perasan betullah kawan aku seorang ni.

“Dahlah Bal. Pot-pet pot-pet dari tadi. Tak penat ke? Keluarlah aku nak tukar baju ni. Karang lambat pula aku nak bawa buah hati aku pergi klinik.”

Iqbal mencebik.

“Buah hati konon. Dia bukan tahu pun.”

“Pelan-pelanlah. Nanti aku beritahu dialah. Dah keluar!”

Iqbal bangun dengan malas.

“Cepat sikit. Aku dah lapar ni. Tu, aku dah beli nasi lemak.”

“Okey-okey. Kau pergi buat air dulu. Err.. aku nak kopi O.”

“Banyak kacak muka kau? Buat sendiri!”

Aku tergelak kecil. Iqbal Iqbal, dah macam perempuan mulutnya tu. Tapi sedikit sebanyak aku bersyukur kerana dikurniakan sahabat yang begitu baik dan prihatin seperti dia. Bukan setahun dua aku mengenalinya, tapi cukup lama. Sehingga antara kami tiada lagi rahsia.

Rajuk Sang Hati - Special Edition 4

Aku hanya menunduk merenung jari-jemariku sendiri. Dalam dada ada debar yang bergendang hebat. Tak mampu aku merenung empat pasang mata di hadapanku ini. Laila dengan wajah berkerutnya. Pasti dia pelik dengan suasana yang tiba-tiba saja menjadi dingin dan bisu. Matanya beralih ke mata tunangannya. Lelaki itu bagai terpukau melihat aku. Bola matanya menari-nari dan bercahaya. Aku tahu. Aku boleh nampak semuanya. Masih ada seculin rasa yang tersembunyi di binar mata itu.

“Qai? Kenapa ni? Both of you kenal ke?”

Aku hanya tersenyum hambar.

“Abang?”

Soalannya beralih pula kepada tunangannya. Lelaki itu ku lihat bagai baru tersedar dari mimpi yang panjang. Terpinga-pinga sambil tersenyum kelat. Wajah Laila direnung lembut.

“Err.. ya. Kami dah kenal lama.”

Aku hanya mampu menelan air liur. Habislah aku! Janganlah kerana kenangan lama Laila bermusuhan denganku. Tak sanggup rasanya. Tidak berbaloi. Namun aku cuba memujuk diri sendiri. Laila bukan jenis perempuan yang cemburu buta. Dia seorang yang konservatif, naïf dan lembut. Mencari musuh bukan sifatnya Laila.

“Apa khabar Qairunissa?”

“Baik.”

“Lama kita tak jumpakan? Tak sangka awak kawan tunang saya.”

“Ya, memang tak sangka. Kawan saya adalah tunang awak.”

Aku cuba berbasa-basi. Jika tak dilayan karang dikatakan sombong pula. Sekadar bertanya khabar tak salah rasanya. Lagipun tiada apa yang perlu dikhuatiri. Demi mengelak prasangka Laila lebih baik aku mengikut rentak lelaki ini.

“Lama tak dengar cerita. Dah kahwin?”

Aduh, mengapa soalan ini yang ditanya? Aku merenungnya yang sedang tersenyum. Senyum ada makna tu. Aku sangat pasti.

“InsyaAllah, ada jodoh nanti kahwinlah saya.”

“Qai ni pun dah bertunang bang.”

Terpancar riak terkejut di wajahnya mendengar kata-kata Laila itu. Gadis itu tersenyum manis sambil mengangguk perlahan bila renungan tunangnya bagai tidak mempercayai kata-katanya sebentar tadi.

“Betul Qairunissa?”

Aku hanya mengangguk perlahan sambil tersenyum.

“Dengan siapa?”

“Kalau saya cakap pun bukannya awak kenal.”

Mendengar itu Laila tertawa kecil dan lelaki itu hanya tersenyum sumbing.

“Err.. Laila, jom balik? Dah lewat ni.”

“Haah jomlah.”

Serentak itu kami bertiga bangun. Kami masuk semula ke dalam untuk berpamitan dengan tuan rumah dan seisi keluarganya. Aku hanya menahan tawa melihat Laila yang masih malu-malu tambahan pula giat diusik bakal ahli keluarga barunya itu.

Kami melangkah perlahan menuju ke pintu pagar. Aku serasa bagai tidak enak saja. Bagai ada sepasang mata yang sedang memerhati. Laila sedang berbual dengan tunangannya dan lelaki itu sedang membelakangi aku. Mana mungkin! Aku memandang sekeliling. Itu dia! Sesusuk tubuh berdiri sambil menyandar di tiang batu. Aku tidak nampak siapa. Yang pastinya dia seorang lelaki kerana susuk tubuhnya kelihatan tegap dalam kesamaran. Mengapa berdiri di dalam gelap begitu? Tak ada nyamuk ke?

"Kenapa Qai? Kau tengok siapa?"

"Ha? Oh, tak ada sesiapa."

Aku menutup gabra sambil pura-pura tertawa kecil. Hisyam cuba melihat ke arah yang sama. Dia mengangkat kening lalu tersenyum kecil. Aku berpaling semula. Mana tahu orang itu munculkan diri. Namun aku hampa. Lelaki misteri yang berdiri di dalam gelap itu hanya kaku di situ. Ah, pedulikan! Bukan sesiapa pun.

“Okeylah Qairunissa, semoga bertemu kembali. Apa yang berlaku kita biarkan saja berlalu ya. Jangan lupa jemput saya makan nasi minyak awak.”

Aku tergelak kecil. Ya, baguslah dia berfikiran begitu. Apa yang berlaku biarkan saja ianya berlalu.

“InsyaAllah. Semoga kita berjumpa lagi dan selamat kembali ke tanah air Hisyam.”

“Terima kasih. Home sweet home.”

Setelah berpamitan dengannya, sempat lagi aku menoleh melihat ke arah susuk tubuh yang berdiri dalam gelap itu. Dia masih merenung ke arah aku? Siapakah dia?
"Kau kenapa? Diam aja tiba-tiba?"

Aku hanya menggeleng perlahan. Entah mengapa hatiku ini rasa lain macam. Kemunculan susuk tubuh yang bersandar di tiang batu itu tadi bermain-main di ruang fikiran.

"Kau okay tak ni?"

"Aku okaylah. Mengantuk je."

Laila mengangguk perlahan sambil membuang pandang ke arah luar. Aku mengeluh lembut. Apa yang aku harapkan? Kemunculan Irfan? Jika Hisyam baru pulang ke tanah air pasti lelaki itu juga ada bersama. Bukankah mereka sungguh rapat? Bagai isi dan kuku? Macam adik-beradik? Pasti Irfan akan datang untuk melepaskan rindunya pada Hisyam. Entah kenapa aku sangat pasti insan yang berdiri dalam gelap itu tadi adalah Irfan. Mungkin dia sedang memerhatiku dari jauh? Jika benar dia, mengapa tidak datang saja kepadaku tadi? Ah, Nissa! Apa yang kau fikirkan? Aku cuma ingin melihat dia setelah bertahun sepi tanpa khabar berita. Benarkah kau hanya ingin melihat dia? Untuk apa kau melihat dia? Melepaskan rindu? Tidak! Aku tidak rindu pada Irfan lagi. Tidak! Aku ini tunangan orang. Tiada lagi sebaris nama Irfan di dalam diari hidupku.

Perlahan aku pejamkan mata. Debar yang melanda jiwa aku biarkan saja. Sesungguhnya, aku sedang bingung.

Melankolik Cinta Cassandra 7

Patrick Lau memanah tajam ke arah anak gadisnya yang berwajah selamba. Bilakah Cassandra sampai ke sini? Sedar-sedar saja sudah mahu pulang. Tidak mahu tidur di sinikah? Merajuk lagikah? Mujur dia pulang ke rumah awal petang ini. Dapat juga dia menatap wajah kesayangannya itu. Walau hanya sekejap, walau hanya bertembung di halaman rumah, rindu yang membusung di jiwa berderai juga. Namun, Patrick Lau tetap dingin terhadap Cassandra demi egonya yang melangit tinggi.

Cassandra hanya berwajah selamba. Tiada riak marah atau benci bila bertembung dengan ayahnya di halaman rumah. Dia ingin segera pulang. Dia sudah berjanji dengan Christina untuk menemani sahabatnya itu mencari hadiah untuk kekasihnya yang bernama Richard. Kata Christina, esok adalah harijadi Richard. Jadi memang dia terpaksa menolak tawaran ibunya untuk makan malam serta tidur di rumah. Selain tidak mahu mencipta pergolakan baru di antara dia dan ayahnya yang sememangnya sudah tegang. Umpama retak menanti belah.

“Mummy, saya pulang dulu ya. Take care,” Cassandra memeluk ibunya kemudian mencium kedua-dua belah pipi Nyonya Mei Hua.

Sayu rasa hati ingin meninggalkan ibunya sendirian. Walaupun jarak di antara mereka tidaklah sejauh mana, namun oleh kerana persengketaan di antara dia dan ayahnya membuat Cassandra membulat tekad memilih haluannya sendiri.

“Lu jaga diri baik-baik ya. Mesti makan tahu? Jangan asyik kerja saja, lu punya kesihatan mesti mau jaga juga ya?” Pesan Nyonya Mei Hua.

Cassandra tersenyum manis sambil menyeka titisan jernih yang sudah pun hampir menitis ke pipi ibunya.

“Okey mummy, jumpa lagi,” Cassandra melambai ke arah ibunya.
Tanpa pamitan untuk Patrick Lau, Cassandra memecut laju BMW 3 Seriesnya. Sengaja dia ingin menunjuk sikap protes dalam diam terhadap ayahnya. Biar ayahnya sedar, rajuknya bukan main-main. Biar ayahnya sedar, lain kali jangan sewenang-wenangnya mengeluarkan kata-kata yang bisa menghiris kalbu. Bukankah hanya dia seorang saja anak ayahnya? Mengapa langsung tiada tolak-ansur dan sokongan yang diberi?

Mengimbas semula cetusan yang mengakibatkan pertengkaran hebat di antara dia dan ayahnya, membuat dadanya diserbu sebak. Dia mengeluh berat. Sungguh, dia tidak mahu ini yang berlaku. Dia cuba berlembut dengan ayahnya namun keegoan seorang lelaki yang bergelar ayah telah mencabar dirinya sehingga hilang kesabaran yang dipupuk dari kecil. Cassandra berdebat hebat tanpa gentar.

“Nonsense!” Tengking Patrick Lau menyinga.

“What do you mean? You think I’m joking?” Soal Cassandra.

“Ridiculous! All you dream about is such a waste and not convincing! You’re not gonna make it!” Bentak Patrick Lau lagi.

“Is that all? Come on, you don’t even know what you’re talking about. So please, never make your own assumption. It’s my world,” jawab Cassandra bersahaja.

“Your world? Will your so called “world,” might turns you wealth and fame as me?” Soal Patrick Lau. Terasa meruap seluruh tubuhnya kerana menahan amarah. Matanya memanah tajam ke arah Cassandra.

“That’s for sure! Okay, I’ll maybe not wealth as you but to be fame that will be easy. Don’t worry,” kata Cassandra sambil membalas renungan tajam ayahnya itu. Dia langsung tidak takut.

“Heh, stop dreaming!” Patrick Lau tergelak sinis.

Sebagai orang seni, Cassandra benar-benar rasa tercabar. Terasa bagai diperlekehkan bila mendengar ketawa sinis ayahnya itu.

“No, I’m not! I’ll show to you someday daddy and when the time has come, you must be proud of me,” jawabnya tegas.

“Enough! Stop talking about your crap dream! Forget it and just do as per instruct,” tukas Patrick Lau sambil bercekak pinggang.

“Never!” Bentak Cassandra.

“Don’t you dare Cassandra!” Tengking Patrick Lau pula.

“It’s not gonna happened. Just open vacant for my position and I believe, there’s so much eager for it. Just give them a chance,”cadang Cassandra. Dia rasa itu yang terbaik.

“The post is yours only! I don’t care, show up your face in the meeting room by tomorrow morning!” Arah Patrick Lau tegas.

“What?” Cassandra terpinga.

Jika sudah diminta berada di bilik mesyuarat, pastilah ayahnya sudah merancang sesuatu. Pasti dia bakal dicanang untuk mengendalikan sesuatu projek yang dia langsung tidak tahu-menahu. Dia tidak suka. Dia tak nak!

“Yes, proudly announce your great post among directors as planned,” Patrick Lau mula bernada kendur. Dia berharap Cassandra tertarik dengan jawatan yang diberi.

Tepat jangkaannya! Kini giliran Cassandra pula ketawa besar. Sungguh lucu di kupingnya dengan cadangan yang langsung tidak bernas itu. Panahan tajam mata Patrick Lau diabaikan begitu saja.

“Now, it’s your turn daddy,” kata Cassandra sambil menggeleng.

Berkerut dahi lelaki separuh abad itu dengan kata-kata sinis Cassandra.

“You’re actually daydream,” jelas Cassandra sambil memeluk tubuhnya. Dia melawan pandangan tajam ayahnya itu.

“I’m damn serious Cassandra! Show up your face in office by tomorrow morning!” Marah Patrcik Lau. Nada suaranya meninggi semula. Dia berasa geram dan tercabar bila Cassandra mentertawakan dirinya.

“Stop dreaming…,” kata Cassandra perlahan sambil menjulingkan matanya ke atas.

“What did you said?” Tanya Patrick Lau.

“Stop dreaming!” Tengking Cassandra.

Serentak itu pijar menjalar ke seluruh pipinya. Jemarinya bergerak pantas menggosok pipinya yang perit ditampar oleh Patrick Lau. Dia melawan panahan tajam mata Patrick Lau yang sedang menikamnya. Belum pernah ayahnya menampar dia. Malah seingatnya belum pernah ayahnya berkasar dengannya sejak dari kecil. Tetapi malam ini telah berlaku sesuatu di luar jangkaannya. Airmatanya menitis laju. Cassandra berlari menuju ke biliknya dan menghempas pintu dengan kuat sebagai tanda protes.

Dada Patrick Lau berombak kencang menahan amarah dan geram dengan sikap degil dan kelancangan mulut anak gadisnya itu. Menyelinap sedikit kesal. Sejak Cassandra dilahirkan belum pernah lagi dia menjentiknya. Entah apa yang merasuknya kali ini sehingga tega mengangkat tangan. Patrick Lau mengeluh lemah. Kenapalah Cassandra terlalu keras kepala? Kenapalah Cassandra tidak berminat meneruskan perniagaannya? Siapakah yang akan mewarisinya nanti jika tidak dari sekarang Cassandra belajar selok-belok perniagaannya yang sudahpun melangkau ke segenap Asia Tenggara?

Di dalam bilik, Cassandra kelam-kabut mengemas pakaiannya. Dia ingin pergi dari rumah ini. Dia tidak mahu tinggal di sini lagi. Ayahnya sudah tidak menyayangi dirinya lagi. Ayahnya marah dia, ayahnya tengking dia dan ayahnya memukulnya! Dia sedih dan dia tidak mahu berada di sini lagi. Cassandra menangis teresak-esak. Dia ingin membawa haluan sendiri. Dia ingin buktikan kepada ayahnya, dunia seni bukan sampah! Dunia seni juga boleh hidup. Dia tidak akan sekali-kali menjerumuskan dirinya ke dunia perniagaan yang langsung tidak diminatinya itu.

Cassandra menyeka air jernih yang mula terbit. Bibir mungilnya mengukir senyum tipis. Dia kini sudah berjaya. Sudah berjaya mencipta nama di bidang seni. Dunia yang menjanjikan kebahagiaan dan ketenangan untuknya. Dunia yang kononnya dianggap sampah tetapi hakikatnya, dunia seni inilah yang bermakna dan dihormati. Cassandra tersenyum puas. Segala jerih yang dilaluinya terbayar dengan pembukaan galeri seninya setahun yang lalu. Sejak itu rezekinya tidak pernah putus. Malah namanya sering disebut-sebut dan terpampang di dada akhbar dan majalah.

‘Daddy, my world is not a crap!’Perlahan dia bergumam.