Rajuk Sang Hati - Special Edition 6

Azura menampar kura tanganku. Aku tidak peduli dengannya sebab aku sedang mendodoi perlahan bayi yang baru beberapa hari dilahirkan. Bayi perempuan bernama Auni Aqilah permata hati Maisarah dan Azrai. Sekali lagi kura tanganku ditepuk oleh Azura.

“Dahlah Qai, turn akulah pulak. Asyik kau aja, aku pun nak jugak pegang baby girl tu.” Rungut Azura sambil memuncungkan bibirnya. Maisarah yang masih dalam pantang itu tersenyum.

“Janganlah berebut. Tak ke mana anak aku tu.”

“Habis tu dari tadi dia aja yang pegang, aku langsung tak ada chance tau. Asyik dia..dia..dia..” Azura masih tidak berpuas hati denganku.

“Dah habis memekak? Suara dahlah macam halilintar, baby nak tidur pun tak senang tau. Kalau nak sangat baby, beranaklah!”

“Amboi, sedap mulut kau? Kalau belum bernikah nak beranak macam mana? Kata dulang paku serpih…” Azura tidak jadi menyambung peribahasanya itu bila aku menjelingnya. Ha, nasib baik kau masih faham apa maksud jelingan aku ni.

“Yang kau ni Zura, bertunang dah lama tapi tak kahwin-kahwin jugak ni kenapa? Si Aris tu tak cukup duit ke? Atau dia dah ada orang lain?” Soalan berbisa Azrai itu membuat semua mata tertumpu padanya.

“Choiiii!!! Mulut kau memang tak pernah beli insuran eh Azrai? Aku cili karang baru tahu.” Marah Azura pada Azrai. Lelaki itu hanya tersengih tanpa rasa bersalah.

“Entah B ni, ada ke cakap macam tu kat Zura? Sepatutnya kita mendoakan yang baik-baik untuk kawan kita ni.” Maisarah menegur suaminya dalam lembut. Dia tahu niat suaminya itu hanya untuk bergurau saja. Namun dalam masa yang sama bimbang juga Azura berkecil hati.

“Ala, gurau sikit pun tak boleh? Cuba bagitau kami kenapa yang kau bertunang lama sangat ni? Dari kami kat oversea sampai dah keluar anak sorang tau.”

Terdengar keluhan berat dari bibir sahabatku itu. “Susah nak cakap, banyak masalah.”

“Apa masalahnya? Kalau boleh kami semua tolong, kami cuba Zura. Jangan simpan masalah kau lama-lama sangat, tak elok.” Aku mendekati Azura setelah Auni Aqilah kuletakkan semula di pangkuan Maisarah.

“Arislah yang banyak masalah. Bukan aku.”

“Yelah, apa masalahnya?” Azrai mula kurang sabar. Aku menjeling ke arah Hasnul Amin yang diam sejak tadi. Hanya tenang dan menjadi pendengar setia.

“Kawan-kawan, aku rasa aku belum bersedia nak cerita okey? Sampai masa nanti korang dapatlah kad undangan dari aku. Tak usah risau lebih-lebih eh. Tahulah aku nak handle macam mana nanti.”

“Mestilah risau, kau kan kawan kami semua. Sakit kau, sakitlah kami, susah kau kami pun turut merasakan kesusahannya.” Tutur kata lembut Maisarah itu membuat semua yang ada terangguk-angguk tanda setuju. Kulihat mata Azura berkaca. Terharu agaknya dengan semangat setiakawan kami semua.

“Thanks guys.”

“Sembang-sembang juga, jemputlah minum.” Pelawa Maisarah. Tabik hormat patut aku beri pada Maisarah kerana layanannya itu. Walaupun sakit dan sedang berpantang, masih lagi sempat melayan tetamu yang datang. Wajahnya sedikit pucat sejak melahirkan. Pasti Maisarah bahagia sekarang. Punya suami yang baik dan bertanggungjawab serta anak perempuan yang comel. Ah, bilakah kebahagiaan sebegini menjadi milik aku?

“Nissa?”

Aku tersentak dengan panggilan lembut dari Hasnul Amin itu. Dia mengangkat kening tanda bertanya. Aku hanya menggeleng perlahan dan mengukir senyuman manis untuknya.

“Eleh, main jeling-jeling senyum-senyum konon, dah minum cepat! Jangan nak buat drama kat sini pulak.” Usikan Azura itu membuat yang lain juga turut tertawa. Macam biasa aku menjelingnya tanda tidak berpuas hati.

“Sejak akhir-akhir, ni dia memang macam tu asyik termenung je Zura, cuba kau bagi nasihat sikit.” Hasnul Amin menokok.

“Hasnul, apa ni? Mana ada aku menung-menung. Dah, dah tak payah nak bagi syarahan percuma kat aku.” Sempat lagi aku membidas kononnya membela diri. Namun yang jelas hanyalah sengihan yang terpamer di setiap wajah sahabat-sahabatku itu.

“Ala, dia menung bersebab tu bro. Kau pun sama, tak cukup-cukup ke duit lagi? Agak-agak nak bertunang berapa lama pulak?” Azrai pula menggasak Hasnul Amin. Aku lihat tunangku itu mula gelabah tidak senang duduk.

“Agaknya dia orang ni nak bersaing dengan Zura kot B, kita tengok siapa dulu.”

“Eh, tak ada makna aku nak bersaing-saing dengan si Qai ni. Aku yang bertunang dulu tau.” Azura cuba menepis setiap kata-kata Maisarah itu. Tak kuasa aku hendak melayan karenah mereka ni. Ingat aku hadap sangat ke nak berlumba-lumba bagai? Siapa bertunang lama kiranya penyabar tahap maksimum, siapa kahwin cepat kira gatal, gitu? Heh!

“InsyaAllah, dalam masa terdekat korang doa-doakanlah.” Tenang saja Hasnul Amin menjawab untuk meredakan keadaan. Dalam masa yang sama sempat dia melirik ke arah aku. Lirikan matanya itu punya maksud. Aku faham sangat.

“Aku doakan kawan-kawan aku cepat bertemu jodoh dan hidup bahagia macam kami ni, kan B?” Azrai tersenyum sambil mengangguk merenung isterinya itu.

“Jangan risaulah Mai, kan aku dah cakap, sampai masa korang dapatlah kad jemputan aku.”

“Dah banyak kali dah kau cakap macam tu. Dari hari kami jejak kaki kat Malaysia ni sampai sekarang tak dapat-dapat pun?” Azrai meningkah. Azura pula hanya mampu tersengih.
Entah apalah masalah Azura agaknya ya? Asyik tertangguh saja. Apakah Azura juga sedang keliru seperti aku?

2 Suara Merdu Anda:

hani said...

betul ke...novel wasiat cinta dah ada dipasaran??? dibrunei...rasa2nya belum ada lah....memang hani ternanti2 sangat citer nie & kerana sebuah janji....!!!!!!!

Diahperi said...

ye dah ada smbungan..nak lagi..saya harap nissa akan ada jodoh ngan hasnul...kasihan hasnul kan klau nissa buat hal..lagi pun selama ini hasnullah yang byk membantu si nissa..lupakanlah si irfan tu..tahniah.. akhirnya siap juga novel wasiat cinta..terbitan mana ye

Post a Comment