Rajuk Sang Hati - Special Edition 9

Hari ini aku terima sejambak bunga dari Hasnul Amin. Kembang kuncup hati ini mendapat pujian dari kawan-kawan sekerja. Romantiklah, lovinglah, caringlah, eh macam-macamlah yang dia orang puji. Aku hanya mampu tersenyum.


‘Sentiasa merinduimu, adakah kau rasakan apa yang kurasa?’
~H.A~


Aku tersenyum sendirian bila membaca kad kecil yang disertakan sekali. Dan kad inilah menjadi rebutan teman-teman sekerjaku. Bukan main berebut-rebut nak baca. Naik segan aku dibuatnya bila ada membaca dengan kuat, ada yang bercuit-cuit sesama sendiri. Ish, Hasnul nilah, bikin malu aku saja. Eh, Hasnul Amin tak bersalahlah!

Telefon bimbitku berbunyi. Tiba-tiba segala hilai tawa dan usik-mengusik terhenti. Masing-masing memandang telefon bimbitku. Pelik pula aku tengok gelagat mereka ini. Aku melihat nama yang muncul di skrin. Segarit senyum terukir di bibiirku lalu cepat-cepat menjawabnya sebelum terputus.

“Walaikumsalam,” jawabku setelah Hasnul Amin menghulurkan salam.

“Dah dapat?”

“Dapat apa?” Terdengar sorakan mengejek dari staf-stafku. Sibuk ajalah dia orang ni. Aku nak bangun tetapi dihalang mereka. Nak tak nak terpaksalah duduk semula.

“Bunga?”

“Oh, sudah. Thanks ya,” ucapku. Sempat juga aku mengerling ke arah penyibuk-penyibuk yang berada di sekelilingku ini. Ada yang tersenyum simpul, ada yang berpeluk tubuh. Ish, tak ada kerja lain agaknya, nak menyakat saja.

“Dah baca?”

“Dah.”

“So?”

“So what?”

“Erm.. kau rasa tak apa yang aku rasa?”

“Erm, entah!” Aku tersipu. Tiba-tiba rasa malu hendak menjawab. Maklumlah ramai pendengar setia di sini.

“Entah?”

“Nantilah aku cakap ya? Line tak clear,” jawabku. Tak semena-mena mereka menyorak aku.

“Uish, siapa tu? Dengar macam ramai je?”

“Memang pun, dia orang buat mensyuarat tingkap kat sini,” aku menjeling mereka geram. Kemudian aku menjelir pula lidah ke arah mereka. Mereka menyambutnya dengan sorakan dan tawa yang kuat. Tepuk dahi aku.

“Erm, okeylah. Tak nak kacau kau. Cuma nak tanya ni, lunch dengan aku hari ni?”

“Okey, no problem. Di mana?”

“Aku datang office kaulah, nanti aku bawa satu tempat makan yang best punya.”

“Really? Wow, I can’t wait.”

“Booooo…” terdengar sorakan ‘boo’ yang panjang dari mereka pula. Aku mengetap bibir. Ish, dia orang ni bikin aku panas hati betullah.

“Okeylah Nissa, aku rasa temperature kau dah naik sebab aku terdengar kau kena ‘boo’, sebelum aku kena tempiasnya baik aku end up dulu eh?” Hasnul Amin ketawa mengekek di talian. Bertambah panas hati aku diketawakan oleh tunang sendiri. Siap kau lunch nanti!

“Okeylah! See you soon,” jawabku acuh tak acuh. Maklumlah dah panas hati. Tapi tiba-tiba saja mereka semua bersurai dengan cepat. Sudah terperasan suhu kepanasanku agaknya, itu yang masing-masing membuka langkah seribu. Tahu takut! Sebaik saja aku mengakhiri perbualan dengan Hasnul Amin, ruang kerjaku sudah pun lengang. Jadi kepada siapa hendak aku lepaskan kemarahan ini? Ah, tak kira!

“OOII..!! MANA KORANG SEMUA HAH?”


****

“Kenapa muncung aja ni, hmm?” Soal Hasnul lembut. Tak puas hati agaknya sebab aku tak jawab soalan yang sama sejak dalam kereta tadi.

“Tak ada apalah…,” perlahan suaraku cuba membuang rajuk di hati.

“I know you very well my dear, come on tell me,” pujuknya lagi.

“Kaulah!”

“Aku? Apa yang aku buat?”

“Yang hantar bunga tu kenapa? Bukannya ada apa-apa special day pun. Dah tu, siap gelakkan aku lagi. Bencilah! Nak merajuk!” Protesku geram.

Hasnul Amin tergelak kuat sehingga mengundang banyak mata di restoran ini memandang ke arahnya. Aku hadiahkan jelingan tajam.

“Bagi aku hari-hari special day tau,” ujarnya dengan senyuman. “Janganlah marah sayang,” sambungnya lagi. Matanya tepat merenungku membuat aku sedikit gelabah. Aku larikan panahan mataku yang dah tak berapa nak tajam ke arah lain. Alahai jantung… time nilah kau nak berdegup-degup pun. Haissh!

“Tak suka aku bagi bunga ya?”

Aku diam. Nak jawab apa eh? Suka ke tak suka? Nak kata tak suka, macam tipu. Aku suka sebenarnya dapat bunga dari dia. Jika tidak, tak akanlah aku tersenyum simpul semasa di pejabat tadi.

“Hmm, Nissa?”

“Ha? Oh.. suka,” jawabku perlahan. Malu pula rasanya. Hasnul Amin tersenyum lebar.
“Kalau suka kenapa nak marah-marah, hmm?”

“Kan dah cakap tadi?”

“Sebab aku gelak?”

Aku muncung semula. Semakin lebar senyuman Hasnul. Sukanya dia menyakat aku! Hendak saja aku koyak-koyakkan mulut dia tu, biar lebar selamanya. Macam Joker dalam cerita Batman tu.

“Sorry ya? Aku gelak sebab aku terbayang muka kau tengah tahan geram pada staf-staf kau. Mesti scary kan?” Terang Hasnul sambil mengulum senyum. Aku menjeling lagi. Teruk sangat ke muka aku kalau marah? Menakutkan sangat ke?

“Yelah, aku taulah aku buruk, tak lawa..” aku sambung rajuk semula.

“Amboi, mulut dia. Cubit karang! Awak tu dah kiut-miut dah sayang oii..”

“Sorry, percubaan nak mengambil hati tidak berjaya ya,” aku mencebik. Hasnul Amin tergelak.

“Aku dah berjaya dah pun.”

“Berjaya apa?”

“Ambil hati kau,” ujar Hasnul sambil mengangkat kening. Dia tersenyum nakal.

“Eleh, itu pun aku kesian nak bagi.”

“Ya ke kesian? Atau kau dah cair kat aku?”

“Ha..ha..ha.. perasannya encik doktor ni.”

Hasnul Amin tergelak lagi. Hai murah dengan gelak tawa saja dia hari ini. Mood baiklah tu. Mood aku saja yang tak berapa nak baik.

“Dahlah, close case. Kau tak kerja ke hari ni?”

“Shift petang.”

“Oh, patutlah ajak aku lunch.”

“Ala, aku rindu kat kau. Lagipun dah lama kita tak lunch bersama, kan?”

Aku mengangguk perlahan. Kami diam seketika sambil menikmati hidangan di depan mata.

“Mama dah bising-bising ni,” kata Hasnul Amin.

“Bising-bising kenapa?”

“Bila kita nak beli barang-barang kahwin. Nampak gaya macam kita nak bertangguh lagi katanya.”

Aku tergelak kecil.

“Macam tau-tau je kan mama kau?”

“Mama kau jugak…”

Aku tersenyum merenungnya. Belum biasa nak sebut lagi, macam nak terseliuh saja lidah aku ni. Kekok.

“So, bila kita nak start membeli ni?”

“Ikut kaulah. Aku hujung minggu free aja, kau tu yang sibuk.”

“Dah kerja aku begini, nak buat macam mana lagi?”

“Tak apalah nanti aku listkan dulu apa yang aku nak beli, kau pun buat jugak ya. Nanti kita set satu hari beli barang-barang tu sampai muntah hijau,” kataku selamba.

Hasnul Amin tergelak. “Yang sampai muntah hijau tu kenapa? Belum nikah lagi dah muntah-muntah? Pelik,” dia terus menyambung gelak.

“Maknanya kita beli barang-barang tu sampai penat, sampai pitam, sampai lebam!”
Semakin kuat dia ketawa. Langsung dia tidak peduli orang-orang di sekelilingnya selesa atau tidak dengan kelakunya itu. Aku pula yang terpaksa terangguk-angguk memberi isyarat maaf.

“Ish, kau ni! Over betul kalau gelak. Cuba sopan-santun sikit.”

“Hey, ni kira aku sopan-santunlah ni. Kalau tidak lagi teruk tau.”

“Alahai, malang betul bakal bini kau eh.”

“Kaulah bakal bini aku!”

Erk? Ya tak ya juga. Hasnul Amin terus ketawa sampai berair biji mata. Entah apa yang kelakar aku pun tak pasti. Merah padam mukanya yang putih itu. Dia benar-benar ceria bila bersama aku. Apa saja yang aku jawab, tak pernah dia nak ambil hati. Aku turut tersenyum melihatnya. Semoga Allah kuatkan hati aku untuk meneruskan niat suci kami ini.

Kamal Oh Kamalia 24

Aku terpegun. Malam ini Natrah cantik sekali. Memakai gaun labuh hingga ke kaki tetapi bertali halus di bahu. Seksi betul sepupu aku ni. Tak kusangka Natrah yang comot dulu telah menjadi dewasa dan secantik ini. Pasti mana-mana lelaki pun akan terpikat melihat penampilannya malam ini. Aku juga hampir goyah dibuatnya. Dia tersenyum menggoda.

“Err.. dah siap? Jomlah. Cepat pergi cepat kita balik.”

“Okey. Jom.”

Aku memandu kereta Natrah dengan perlahan. Masing-masing diam saja dari tadi. Aku pelik dengan diriku tika ini. Entah apa yang aku rasa sekarang. Lain macam. Haruman Natrah mengasyikkan, penampilannya malam ini mempersonakan. Apakah aku sudah tergoda? Tidak! Tak mungkin! Setiaku hanya pada Azlin. Namun jauh di sudut hatiku, aku mengakuinya. Natrah lain benar malam ini. Dia hanya diam dan kelihatan feminin.

“Err.. diam aja Nat?”

Natrah tersenyum manis. Cukup-cukup manis pada penglihatan aku. Ah, sudah kau Kamal. Tak tetap pendirian betul! Dengan sepupu sendiri pun jadi? Gila! Aku cuba berdehem perlahan. Cuba mengusir debar yang menggila tika ini. Sabarkan hati Kamal, sabar.

Kami sampai di sebuah villa yang dikatakan oleh Natrah. Sebanyak enam biji kereta berkonvoi ke villa itu dari pejabat Natrah tadi. Setelah aku keluar dari perut kereta, bola mataku meratah setiap inci panorama villa indah itu. Bagai langit dengan bumi ku rasakan hidupku dengan pemilik villa ini. Aku sedikit canggung. Kelihatan teman-teman Natrah agak sosial dan bebas bergaul. Pelajar seperti aku masih sangat baru dengan dunia sosial begini. Namun aku berlagak biasa dan cuba mengikut rentak Natrah dan mematuhi arahannya. Mungkin Natrah tahu aku kekok dengan suasana ini. Demi air mukanya aku ukirkan juga senyuman.

Natrah aku lihat sangat manja denganku malam ini. Tidak mahu berenggang langsung. Tangannya sentiasa melingkari lenganku. Aku tahulah aku telah menjadi pasangannya untuk malam ini, namun dalam masa yang sama aku tidak selesa. Mungkin juga perasaanku yang terganggu sejak awal tadi membuat aku bergetar hingga saat ini. Senyuman Natrah tidak lekang dari bibir bila menerima pujian demi pujian dari teman-temannya. Memang benar Natrah lain sekali malam ini. Lebih cantik dari biasa. Namun tidak keterlaluan andai aku tafsirkan dia di antara yang tercantik di pesta ini.

“Hello Nat, welcome.”

Natrah tersenyum sambil menyambut huluran seorang jejaka yang amat tampan di kornea mataku. Mungkin berdarah campuran.

“Thanks. This is Kamal. Mal, ini Ryan.”

Lelaki bernama Ryan itu tersenyum lebar sambil menghulur salam padaku. Tanpa berlengah aku menyambut salam perkenalannya sambil membalas senyumannya.

“Kamal Lutfi.”

“Ryan Imad. Come, join us at the ball?”

“Sure.” Jawap Natrah sepatah sambil tersenyum manis. Dia mengatur langkah sambil menarikku. Aku hanya menurut.

“Handsomekan dia Mal? Berdarah Melayu-Arab.”

Aku mengangguk perlahan mendengar Natrah seakan berbisik kepadaku. Bimbang agaknya didengar Ryan yang mendahului kami di depan. Entah kenapa bila Natrah memuji Ryan, menyelinap rasa tidak enak di benakku. Apa yang tidak kena? Terasa telingaku panas semacam. Aku tak suka apa yang aku rasa ni.

Sebaik kaki menjejak mini ballroom di villa ini, aku terpegun. Selama ini aku hanya melihat di televisyen saja, kini aku merasainya sendiri dunia sosial mereka yang penuh kemasyhuran agaknya. Pasti yang berada di sini bukan calang-calang orang. Tiba-tiba terasa diri sangat kekampungan. Aku hanya berseluar slack dan kemeja putih berjalur hitam dengan kasut yang agak lusuh. Semua ini pakaian kuliahku. Sebagai pelajar dan hidup dalam keluarga sederhana, aku memang tidak mampu untuk bermewah-mewah. Itu semua tidak penting bagiku. Apa yang aku tahu, aku kena habiskan pengajianku dengan sempurna dan mencari pekerjaan yang baik untuk memberi kesenangan kepada ibu dan adik-adikku.

Suasana di pesta ini sungguh meriah. Masing-masing menari dengan pasangan. Aku yang tak tahu menari ni hanya duduk di satu sudut. Bosan. Natrah sedang bersuka-ria bersama teman-teman pejabatnya. Aku rasa bagai terpinggir saja. Buat apa ajak aku jadi couple kalau tinggalkan aku terkontang-kanting begini? Tiba-tiba pandanganku menangkap sekujur tubuh yang amat aku kenali. Terkedip-kedip mataku untuk memastikan apa yang aku lihat itu adalah benar bukan ilusi semata-mata. Terasa mahu saja gugur jantung aku melihatnya. Azlin?

Dia tersenyum manis bersama teman-teman yang mengelilinginya. Bagaimana dia boleh berada di sini? Pakaiannya walaupun tidak seseksi Natrah, namun agak menggiurkan juga. Haruskah aku menegurnya? Haruskah aku memulakan langkah itu lebih awal?

“Mal, tengok siapa?” Suara manja Natrah menyapa telinga. Aku melemparkan senyuman padanya sambil menggeleng perlahan. Pasti Natrah perasan akan renungan tajamku pada Azlin tadi. Buktinya dia masih melihat ke arah yang sama aku lihat.

“Budak perempuan tu?”

“Nat kenal ke?”

“Rasanya dia sepupu Ryan.”

Membulat mataku. Azlin Nasihin sepupu Ryan Imad? Patutlah..

“Mal kenal dia ke?”

Aku mengangguk perlahan.

“Kat mana?”

“Kawan sekolej. Tapi tak pernah bertegur sapa pun. Eh, macam mana Nat kenal dia?”

“Ryan kan bos Nat. Dia selalu jugalah datang office jumpa Ryan. Dengar cerita, boyfriend dia dah meninggal. Arwah boyfriend dia tu kawan baik Ryan.”

Aku mengangguk faham. “Tapi apa tujuan dia selalu datang jumpa Ryan?”

“Entah, manalah Nat tahu. Hai, Mal ni macam berminat aja?”

“Erm, memang minat pun.”

Natrah terdiam. Aku tak tahu apa yang sedang dia fikirkan. Nampak macam terkejut. Ah, biarlah sekurang-kurangnya aku jujur padanya.

“Err, tak nak cuba nasib? Manalah tahu?”

“Dah, tapi bolayan.”

Dia tergelak kecil. Kemudian termenung seketika.

“Err, Nat nak pergi toilet sekejap ek.”

Belum sempat aku mengangguk, dia sudah berlalu dengan cepat. Bukan main besar langkahnya. Sakit perut sangatlah tu. Aku tergelak dalam hati. Mataku mencari semula kelibat Azlin. Tetapi hampa, dia sudah hilang dari pandangan. Tak mengapalah, esok aku akan tanya dengan terperinci.

****

Malam ini aku tidak dapat melelapkan mata. Sekejap terfikir tentang Natrah, sekejap tentang Azlin pula. Aku punya dua rasa yang berbeza. Di benakku masih tertanya-tanya tentang Azlin. Banyak yang aku tak tahu pasal dia. Bagaimana aku hendak bertanya padanya tentang kehadirannya di parti tadi? Aku sebagai Kamalia tidak wujud di parti itu. Jadi bagaimana? Haruskah aku meminta pertolongan Natrah untuk merisik-risik tentang Azlin dan Ryan Imad itu? Nanti apa kata Natrah pula? Sedangkan diriku ini adalah lelaki pujaannya sejak kecil. Pasti dia berkecil hati pula. Aku tidak mahu dia berasa hati denganku.

Natrah… lain benar dia malam ini. Tidak seperti biasa. Hubungan rapatnya dengan Ryan Imad membuat aku tertanya-tanya sendiri. Istimewakah hubungan mereka? Tapi kenapa aku yang tidak keruan? Biarlah hubungan mereka macam mana pun, tiada hubung kait dengan aku. Tapi aku rasa tak puas hati! Ryan Imad.. bukan calang-calang lelaki. Kemunculan dia dalam hidupku malam ini membuat aku sedikit tercabar. Apakah hubungan dia dengan kedua-dua orang gadis yang istimewa dalam hidupku ini? Azlin Nasihin dan Natrah, sukar untuk aku tafsirkan kedudukan kedua-duanya dalam hatiku ini.

Aku bangun menuju ke dapur. Suis kupetik menjadikan dapur itu terang- benderang. Aku mengambil gelas yang elok bersih terlangkup di sinki lalu menuangkan air suam ke dalamnya. Sambil bersandar di sinki aku meneguk air sedikit. Panas benar malam ini. Seakan mengerti hatiku juga hangat dengan benda yang aku sendiri tak pasti. Cemburukah aku? Pada siapa? Azlin atau Natrah? Yang pastinya aku tidak suka kedua-dua gadis itu mendekati Ryan. Entah kenapa aku rasa kehadiran Ryan Imad itu mencabar aku.

“Hoi!”

Tersedak aku dengan sergahan Iqbal yang tiba-tiba. Dia apa lagi, mengekeklah ketawa. Seronok agaknya dapat membuat aku terkejut. Aku menjelingnya geram. Sambil berdehem beberapa kali dek peritnya tekak.

“Kau tak ada kerja ke Bal?” Aku menjerkahnya semula. Iqbal tersengih.

“Tak ada,” jawabnya selamba. Aku meletakkan semula gelas air di sinki. Membilas sedikit lalu menelangkupnya semula.

“Kenapa tak tidur lagi?” Soal Iqbal kembali.

“Kau?”

“Aku siapkan assignment, ni baru rasa mengantuk.”

“Dah siap ke?”

“Ada sikit aja lagi. Ha, kau balik pukul berapa tadi? Seronok?”

Aku mengeluh. Seronok apanya?

“Oit, aku tanya ni, pukul berapa kau balik tadi? Seronok ke pergi parti orang kaya?” Soal Iqbal tidak berpuas hati dengan kebisuan aku.

“Entahlah..,” aku menjawab lemah sambil mengatur langkah ke ruang tamu. Perlahan aku duduk sambil mencapai alat kawalan jauh. Televisyen lama bersaiz dua puluh sembilan inci itu aku pandang kosong. Entah apa rancangan yang ada tengah-tengah malam begini.

“Entahlah?” Iqbal yang mengekoriku dan turut sama duduk itu memandangku kehairanan. Aku hanya menjungkit bahu.

“Apa yang tak kena? Cuba cerita kat aku?”

“Aku tak tahu nak cerita dari mana?”

“Isk, cerita dari mulalah.”

Aku diam. Dari mula? Dari mana ya? Dari perasaanku yang tiba-tiba berasa lain macam bila melihat pesona Natrah? Ah, pasti Iqbal akan ketawa hebat. Aku menelan liur.

“Err..Natrah.”

“Natrah? Kenapa dengan dia? Dia flirt kau ke?” Soal Iqbal yang kelihatan kurang sabar.

Aku menggeleng perlahan. “Nope, she looks so feminine today and polite.”

“Oh, control ayu eh?”

“Lebih kuranglah. Tapi Bal, dia cantik sangat malam ni tau. Lain dari biasa. Dengan perwatakan dia yang berubah tiba-tiba, buat aku tertanya-tanya tau.”

“Apa nak dihairankan, dia pergi parti exclusive macam tu mestilah kena jaga perangai.”

“Tapi..,”

“Tapi apa Mal?”

“Hati aku ni rasa lain macam.”

“Lain macam? Lain macam, macam mana?”

“Entah. Macam nervous tau. Nak pulak bila dia asyik-asyik puji bos dia si Ryan tu. Sentiasa dengan mamat tu, aku ditinggal sorang-sorang. Kata couple?”

Tiba-tiba meledak tawa Iqbal dengan kuat membuat bahuku sedikit terangkat dek kerana terkejut. Ish, apa hal pulak gelak kuat-kuat tengah-tengah malam ni?

“Habis! Mal, Mal. Sah!”

“Apa yang habis? Apa yang sah?” Ingat aku tengah akad nikah ke? Main sah-sah?

“Kau jealous!”

Membulat mataku mendengar kata-kata tanpa lapik dari Iqbal itu. Biar betul?

“Gila!”

“Memang kau gila! Wei, dia sepupu kaulah, wakes up!”

“Mana ada aku jealous?”

“Habis kalau bukan jealous, apa namanya?”

“Entah, tak puas hati kot?”

“Jealouslah tu ngok!”

Seakan putus nafas aku rasakan saat ini. Aku? Cemburu? Tak mungkin.. tak mungkin. Cemburu dengan sepupu sendiri? Mengarut!

“Erm.. di mulut lain, di hati lain. Benci konon, menyampah konon. Rupa-rupanya, sayang jugak eh kau kat dia?”

“Shut up!”

Iqbal tergelak lagi. Kemudian bahuku ditepuk perlahan. “Relekslah kawan. Bukan salah pun.”

Aku mengeluh lagi. “Ada lagi satu,” aku merenung Iqbal. Lelaki itu hanya mengangkat kening.

“Aku nampak Azlin. Rupanya dia sepupu si Ryan tu. Bukan main rapat lagi.”

“Eh really? Wah, ini berita yang tidak sedap didengar ni.”

“Itulah,” jawabku pendek.

“Ryan ni siapa? Handsome ke?”

“Bos Natrah, sepupu Azlin. Mix Melayu-Arab mestilah handsome. Kaya pulak tu.”

“Whoaa.. ini lagi berita yang tak sedap didengar. Betul-betul pesaing hebat. Awal-awal lagi kau dah kalah.”

“Tahu tak apa.”

Sekali lagi Iqbal menepuk bahuku. “Sabar, releks. Tak akan lari gunung dikejar.”

Aku hanya tersenyum kelat memandang Iqbal lalu mengangguk perlahan. Menahan jiwa yang sedikit gundah.

Rajuk Sang Hati - Special Edition 8

“Awak semakin cantik,” tutur Irfan lembut. Matanya redup memandangku. Hmm, agak memikat senyuman yang dia hadiahkan. Kalaulah dari dulu dia senyum begitu padaku, mungkin kami sudah lama menjadi pasangan kekasih kerana aku pasti akan membalas senyuman itu. Tapi sayang, senyuman yang dia hadiahkan itu sudah terlambat. Setelah hatiku ini kuserahkan kepada Hasnul Amin barulah senyuman yang kuharapkan suatu masa dulu muncul.

Aku hanya tertunduk. Tidak tahu hendak pamerkan reaksi yang bagaimana. Sukakah aku dipuji begitu? Kalau suka kenapa tiada segarit senyum pun mampu aku ukir? Jika tidak suka, kenapa wajahku membahang?

“Dengar cerita dah jadi pegawai kerajaan sekarang ni ya?” Soalnya pula. Aku hanya mengangguk perlahan. Entah kenapa aku rasa soalannya itu begitu sinis. Kenapa tak percaya ke seorang budak nakal suatu masa dulu, sudah berjaya menjadi manusia yang berguna? Aku bukanlah teruk mana pun.

“Lamakan kita tak jumpa, kan? Rasanya hampir sepuluh tahun. Keluarga macam mana? Sihat? Berapa orang anak dah?” Membulat mataku mendengar soalannya yang bertubi-tubi itu. Dia tidak tahu statusku atau sengaja ingin memasang perangkap?

“Ya dah lama tak jumpa. Keluarga saya baik-baik aja. Saya belum ada anak,” aku menjawab setiap satu soalannya. Aku tak tipu apa, semuanya benar. Dia tanya tentang keluarga aku, aku jawab dengan elok. Dia tanya tentang anak, aku jawab dengan jujur. Tiada apa yang aku ingin sorokkan. Aku lihat dia mengangguk-angguk.

“Suami kerja apa? Dia tak ikut sama malam ni?” soalannya kali ini benar-benar membuat aku tersentak. Apakah dia benar-benar tidak tahu tentang statusku? Baru aku ingin menjawab dengan jujur, Laila dan Hisyam sudah mendekat. Sengaja aku dan Irfan memberi ruang kepada mereka berdua memandangkan mereka memang jarang ketemu tambahan pula jodoh mereka diatur oleh keluarga. Jadi pastinya mereka ingin mengenali dengan lebih dekat tentang hati budi masing-masing. Walaupun Hisyam masih mahu menangguhkan walimah mereka.

Aku melebarkan senyuman bila Laila memaut lenganku. Kepada Hisyam aku sekadar mengangguk perlahan. Sebenarnya aku masih terasa kekok tentang kenangan silam. Ternyata aku yang jelas rasa bersalah kerana menolaknya bulat-bulat sehingga menimbulkan ketegangan antara aku dan Irfan, sehingga kedua-dua mereka sepi tanpa khabar berita sehinggalah muncul kembali tanpa kuduga kini.

“Kau dah habis ke bersembang dengan Irfan? Kalau dah jomlah kita balik,” soal Laila setelah keempat-empatnya berjeda seketika. Aku rasa, aku yang jelas tak keruan bila kedua-dua lelaki itu merenungku dengan redup penuh makna. Ah, kacau!

“Dah, jomlah.”

Kami berpamitan sebelum beredar. Jenuh juga aku bagi alasan bila kedua-dua lelaki itu ingin menghantar kami pulang. Kalau ikutkan si Laila pastilah dengan senang hati menerima pelawaan Hisyam tapi bagi aku pastinya tidak senang duduk kerana aku jamin seratus peratus bahawa Irfan akan ikut. Parahlah jika Hasnul Amin tahu.

*****

Aku mengangkat kening pada Laila yang merenungku sejak tadi. Jari-jemarinya mengetuk fail hijau yang berada di atas mejaku. Entah apa yang difikirkannya aku sendiri tak pasti.

“Boleh aku tanya sikit?” Soalnya tepat memandang ke mataku. Aku hanya mengangguk perlahan.

“Kau dah lama ke kenal Hisyam dan Irfan tu?” Soal Laila serius. Sebenarnya soalan inilah yang ingin aku elakkan. Ternyata aku tak akan terlepas kali ini.

“Dululah. Zaman-zaman sekolah. Kenapa?”

“Kau rapat dengan dia orang?”

“Tak juga. Gitu-gitu aja. Kalau terserempak bertegur-sapalah.”

“Kau tak terpikat ke dengan dia orang tu?”

“Hah? Soalan apa ni?”

“Bukan apa, dia orang tu kan hensem? Mustahil hati kau tak terjebak pada dia orang, kan?” Laila meneka dalam kesamaran. Biarkan Laila bermain dengan teka-teki. Kalaulah Laila tahu kisah cinta tiga empat segi aku dulu, mahu pitam sepuluh kali agaknya.

Aku tergelak kecil menutup gabra. “Merepek aja..,” rungutku perlahan.

“Tapi aku ada musykil sikitlah,” Laila menggigit bibit bawahnya sambil matanya merenung jauh ke luar tingkap. Ah sudah, perkataan musykil itulah yang buat aku alergi ni. Apakah Laila sudah dapat menjawab teka-teki itu?

“Musykil apa pulak? Ada-ada aja kau ni kan?” Aku berlagak selamba seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku sebelum ini. Hakikatnya hatiku berdebar kuat. Hanya Allah saja yang tahu betapa aku tak mahu perkara ini berbangkit lalu mengundang syak wasangka Laila. Aku sayangkan persahabatan ini.

“Aku macam terperasanlah, Irfan dan Hisyam tengok kau semacam. Macam ada sesuatu yang disembunyikan. Macam ada cerita disebalik renungan tu. Kau tau apa-apa tak?”

“Manalah aku tau apa yang dia orang fikirkan. Dahlah, buat apa nak semakkan kepala otak kau tu. Baik kau siapkan kerja aku bagi tu. Ada juga faedahnya.”

“Yelah, harapnya perasaan aku aja, kan?” Laila bangkit dan memeluk kejap fail hijau itu. Berkira-kira hendak beredar dari mejaku.

“Memang perasaan kau aja,” aku tersenyum nipis merenungnya. Mataku menyorot lengguk Laila ke ruang penyimpanan fail. Aku menghela nafas panjang. Syukurlah, aku masih terselamat kali ni. Tapi aku tak pasti berapa lama lagi cerita ini berjaya aku simpan sendiri. Aku berdoa semoga perasaan Hisyam padaku sudah lama padam. Laila berhak mendapat tempat di hati Hisyam.

Halangan terbesar aku kini adalah Irfan. Kenapalah dia muncul kembali? Membolak-balikkan hatiku semula. Menjadikan aku seperti zaman remajaku dulu dan berteka-teki tentang dirinya? Sedangkan Hasnul yang setia menantiku dari dulu masih tidak berubah. Aku sayang Hasnul Amin. Tapi kasihku pada Irfan masih bersisa. Aku harus bagaimana?

Melankolik Cinta Cassandra 11

Sekejap dia mengiring ke kiri, sekejap ke kanan, kemudian dia baring telentang pula, semuanya tidak kena. Cassandra resah. Dari tadi dia cuba melelapkan matanya tetapi sukar. Terasa tubuhnya berbahang. Dia mengerling ke arah penghawa dingin di biliknya. Nak kata rosak, elok saja. Tapi kenapa dia sukar untuk tidur? Biliknya terasa meruap-ruap.

Cassandra termenung. Di fikirannya asyik terlintas mimpi-mimpi yang sering menganggu lenanya. Adakah kerana mimpi itu dia tidak boleh lelap? Sejak dia mengalami mimpi yang sama setiap malam, jiwanya semakin tidak tenang. Cassandra mengeluh. Dia melihat jam di dinding. Baru jam sebelas malam. Memang dia cuba masuk tidur lebih awal hari ini kerana terasa sakit kepala. Malangnya, dia tidak boleh tidur pula.

Cassandra mencapai telefon bimbitnya. Jemarinya ligat menaip mesej kepada Soleha tanpa menghiraukan malam yang semakin larut. Dia tahu Soleha pasti boleh menolongnya. Tidak perlu menunggu lama, mesejnya dibalas oleh Soleha. Walaupun dia tidak tahu mengapa Soleha yang dicari, namun dia pasti wanita itu ada jawapan yang dia mahukan. Malah bukan itu saja, melihat wajah lembut dan tenang wanita itu saja sudah cukup mendamaikan hatinya. Apa lagi mendengar tutur bicara Soleha yang lembut dan tertib. Memang selayaknya wanita itu bergelar ustazah.

Mengimbas kembali perbualannya dengan Soleha di taman permainan kanak-kanak dahulu mengundang senyuman halus di bibir mungilnya.

“Mengapa tidak mengikut agama ayah atau ibu Cassandra?” Soleha bertanya pelik.

“Entahlah kak. Mungkin sebab saya tidak percaya adanya Tuhan?” Jawab Cassandra selamba.

“Mengapa Cassandra tidak mempercayainya?” Kali ini soalan Soleha lebih kepada rasa ingin tahu. Dia bagaikan tertarik dengan jawapan selamba Cassandra itu tadi.

“Sebab tidak nampak. Mengapa kita hendak percaya pada sesuatu yang kita tidak nampak kak? Kak Soleha nampak Tuhan akak?” Tanya Cassandra sinis.

“Tak nampak… tapi akak tahu Dia wujud,” jawab Soleha sambil tersenyum.

“Macam mana akak tahu?” Cassandra pula bertanya pelik. Hairan juga dia, sekejap kata tak nampak, sekejap kata wujud pula.

Soleha menunjuk ke dadanya. Pada mulanya dia memang tidak memahami apa yang cuba Soleha sampaikan. Sangkanya Soleha ingin menyatakan Tuhannya ada di dalam hati. Tetapi ternyata telahannya meleset.

“Iman,” kata Soleha penuh yakin.

“Iman?” Wajah Cassandra berkerut.

“Percaya kepada Tuhan itu adalah rukun iman yang pertama,” tutur Soleha dengan jelas. Wanita itu ketawa bila melihat wajahnya berkerut tanda tidak memahami.

“Tidak mengapa Cassandra, tidak perlu berkerut-kerut kening begitu. Nanti senang-senang akak akan ceritakan ya?”

Dan perbualan mereka terputus begitu saja bila Soleha mohon mengundur diri. Jika terjadi sekali lagi pertemuan antara dia dan Soleha nanti, akan dipintanya supaya Soleha menyambung persoalan mengenai Tuhan yang dipercayai oleh wanita itu. Selama ini dia sudah mengkaji sejarah dan menganalisa tentang agama yang dianuti ibu dan ayahnya. Namun masih tiada yang bisa menjentik perasaannya untuk menganuti setiap agama itu.

Pernah dia terlintas tentang Islam. Namun ada pendapat yang mengatakan Islam itu agama pengganas. Islam itu kolot dan tidak maju. Malah dia sendiri tidak berminat untuk mengetahui lebih lanjut dan tidak mahu ambil pusing. Biarkanlah. Selagi tidak ada kena mengena dengan kehidupannya, dia menganggap penganut agama Islam adalah rakyat biasa yang tiada kelebihan. Sama seperti penganut agama-agama lain. Apa yang dia tahu, dia tidak mempercayai satu apa pun agama dan dia senang dengan cara begini.


***


“Siapa tu Leha?” Soal Hanafi. Siapa pula yang bersms dengan isterinya malam-malam begini? Hanafi pelik.

“Oh, Cassandra bang,” Soleha tersenyum manis sambil melabuhkan punggungnya di sisi Hanafi. Dia meletakkan semula telefon bimbitnya di meja kecil bersebelahan katil. Wajah tenang suaminya itu direnung penuh kasih.

“Cassandra mana pulak ni? Abang tak pernah dengar pun?” Tanya Hanafi sambil berkerut kening.

“Ala abang ni, lupalah tu. Ingat tak dulu Leha ada cerita pasal seorang gadis free thinker yang Leha jumpa masa kat taman depan rumah tu? Ala, amoi yang fasih cakap Melayu tu?” Soal Soleha kembali sambil tersenyum manja.

“Yang mana? Tak ingatlah sayang….”

“Ala, yang dia tanya Leha pasal ketuhanan tu? Kan Leha ada cerita pada abang?” Soleha cuba berusaha mengingatkan Hanafi.

“Oh, yang tu ke? Ingat-ingat. Kenapa dia sms Leha malam-malam ni? Ada apa-apa ke?” Hanafi bertanya sambil menyangkut tasbih di kepala katil.

“Entahlah, dia nak jumpa. Ada hal katanya,” jawab Soleha jujur.

“Bila tu?”

“Esok. Kat taman depan rumah ni.”

“Leha larat ke? Ajak dia ke rumah ajalah. Lebih selesa dan tak panas,” Hanafi memberi cadangan.

“Boleh ke bang? Abang izinkan?” Soleha bertanya ceria. Lagi bagus!

“Ya sayang, abang izinkan. Daripada abang risaukan Leha, lebih baik berjumpa di rumah saja. Demi kebaikan Leha jugak, kan?” Kata Hanafi sambil mencubit lembut pipi Soleha.

Soleha tergelak manja. Kemudian mengangguk tanda setuju.

“Pukul berapa?” Soal Hanafi lagi.

“Pukul empat katanya. Tapi, abang belum balik lagi. Kalau tak, boleh Leha kenalkan dia pada abang.”

“Eh, kenapa nak kenalkan dia pada abang pulak?” Hanafi bertanya polos. Rasanya tidak perlulah untuk dia berkenalan dengan gadis itu.

Soleha tersenyum meleret lalu tangannya menepuk-nepuk bantal. Tanpa berlengah dia merebahkan tubuhnya yang lesu itu. Pandangan mereka bertemu.

“Tidurlah bang, esok nak kerja. Tutupkan lampu please?” Pinta Soleha tanpa menjawab soalan Hanafi.

Hanafi tersenyum penuh makna. Satu kucupan singgah di dahi Soleha. Kemudian dia mengelus lembut pipi mulus isterinya itu. “Abang sayang Leha tau,” ucapnya penuh romantis.

“Leha tahu,” Soleha tergelak kecil. Renungan cinta suaminya itu dibalas lembut.

“Tiada siapa yang boleh gantikan Leha di hati abang tau,” ucap Hanafi lagi. Kali ini lebih lembut dari tadi.

“Leha tahu.”

“Walau bidadari syurga turun sekalipun, cinta abang pada Leha tetap utuh dan tak akan goyah.”

“Terima kasih bang, Leha pun sayangkan abang juga,” ucap Soleha pula. Ada sedikit getar pada suaranya.

“Sama-sama kasih sayang,” mereka tergelak bahagia.

Tanpa berlengah Hanafi menutup suis lampu.


Kamal Oh Kamalia 23

“Azlin, boleh tanya tak?”

“Apa dia?”

“Hmm.. Lin dah ada boyfriend ke?”

Azlin tersentak lalu menoleh padaku.

“Kenapa Mal tanya macam tu?”

“Eh, tak ada apa-apa, saja tanya. Kalau tak nak bagitau pun tak apa. Mal tak marah.”

“Hmm.. pernah dulu.”

Kali ini aku pula merenungnya. Malah tepat ke anak matanya. Pernah?

“Tapi.. cinta Lin tak kesampaian.”

“Kenapa? Dia tinggalkan Lin?”

“Ya. Dia tinggalkan Lin untuk selama-lamanya.”

Aku terkasima. Merenung wajahnya yang sudah bertukar mendung dan sayu. Pasti sukar untuk dia menerima kehilangan itu. Tidak semena-mena hatiku dipagut pilu. Kasihan kau Azlin.

“Maaf, Mal tak patut tanya.”

“Tak apa. Benda dah berlalu. Sudah tiga tahun pun.”

“Erm, tak mahu cari pengganti?”

Azlin merenungku sayu lalu tersenyum hambar sambil menggeleng perlahan. “Tiada yang sebaik dia setakat ini.”

“Pasti ada, cuma Lin kena bagi peluang.” Ya, bagi peluang padaku untuk melindungi dan membahagiakanmu Azlin. Kau hanya perlu lakukan itu. Bukakan pintu hatimu untuk bercinta lagi.

“Masih belum mampu Mal. Dia tetap di hati Lin, tak boleh lupa sampai bila-bila.”

“Boleh Mal tahu dia meninggal sebab apa?”

“Accident.”

Aku mengangguk perlahan. Wajah Azlin yang mendung dan sayu itu kurenung lama. Aku janji Azlin, aku akan berusaha membahagiakan kau.


******


Berpeluh-peluh aku menunggu di tengah panas ni. Semua gara-gara si Natrah yang nak sangat-sangat jumpa aku di sini. Apa halnya entah? Batang hidung dia pun tak muncul-muncul. Aku lihat jam di pergelangan tangan. Sudah empat puluh minit aku jadi orang bodoh di sini. Natrah ni nak main-mainkan aku ke? Okay tak apa, aku bagi peluang lima minit saja lagi. Kalau tak ada juga aku terpaksa angkat kaki.

“Hai Mal!”

Terangkat sedikit tubuhku dek sergahan Natrah itu. Serta-merta aku menoleh ke belakang. Kelihatan wajah manisnya sudah tersengih-sengih. Aku pamer muka tidak puas hati.

“Apa hai-hai? Tak reti nak bagi salam?”

“Eh, assalamualaikum Mal.” Dia tersenyum manja. Nakal saja rupanya tika ini.

“Erm, walaikumusalam.”

Natrah tergelak kecil lalu memaut lenganku. Dia mula dah! Aku memang tak berapa suka dengan sikap terbuka Natrah yang satu ini. Tanpa segan-silu menyentuh aku di khalayak. Dilihat orang apa pula mereka kata nanti?

“Jom!” Dia menarikku. Aku terdorong ke depan sedikit sebelum memaku kakiku dengan kemas supaya dia tidak berjaya menarikku lagi.

“Nak ke mana ni? Tadi kata ada hal?”

“Alah, jomlah! Nanti Nat kasi tau ek?”

Nak tak nak aku mengekorinya juga. Kami masuk ke kedai mamak. Itu pun di atas permintaan aku juga. Aku beralasan dah lama tidak menikmati mee goreng mamak. Nasib baik Natrah setuju. Kerana dia juga sudah lama tidak menikmati menu yang sama. Maka terselamatlah aku dari cadangan awalnya untuk menjamu selera di coffee house berhampiran. Jika tidak nayalah aku untuk memenuhi seleranya itu. Natrah ni bab makan boleh tahan juga. Terbanglah duit poketku nanti.

“Ada apa Nat nak jumpa Mal sangat-sangat ni?” Soalku sebaik memesan makanan.

“Saja. Nat rindu Mal.”

“Ha? Itu aja? Nat tau tak Mal ni tak ada masa?”

“Ala Mal tu memang tau, kalau dengan Nat asyik tak ada masa aja.” Dia sudah mula cemberut. Aku hanya buat-buat tak nampak. Malas nak layan. Aku merengus kasar dan membuang pandang ke arah jalan raya. Bengkak di hati cuba ditahan.

“Mal, janganlah marah. Nat gurau aja. Nat memang ada benda nak cakap ni. Nak minta tolong Mal boleh?”

“Erm, tolong apa?”

“Erm.. jadi teman Nat untuk malam esok?”

“Ha? Maksud Nat apa?”

“Gini, malam esok boss Nat ada buat birthday party. Tapi setiap tetamu yang datang kena bawa couple. So, Nat nak Mal jadi couple Nat malam esok. Boleh?”

“Ish, tak naklah.”

“Ala Mal, please..”

Bab ni yang aku malas ni. Natrah kalau bab merayu-rayu ni bagi kat dia. Boleh cair hatiku ini.

“Bolehlah Mal. Nat tak ada kawan kat sini. Tak akan Mal nak Nat couple dengan lelaki yang bukan-bukan? Entah datang dari mana, main tangkap muat aja? Sampai hati ke Mal nak buat Nat macam tu? Dibuatnya lelaki tu ambil kesempatan pada Nat macam mana? Mal nak tolong jawab pada papa dan mama?”

Terkedu sekejap aku dengan hujah-hujah Natrah itu. Memang benar apa yang dikatakannya. Walaupun dia amat menjengkelkan, aku tetap sayang dia. Dia tetap sepupu aku, darah daging aku.
“Tengoklah macam mana. Mal banyak kerja.”

“Ala, tangguhkanlah sekejap. Bukannya lama. Dua tiga jam aja.”

“Mal tak janji.”

Ku lihat Natrah mengorak senyuman manis. Pasti amat berpuas hati dengan jawapan aku itu. Ah, aku terlupa. Natrah memang hadam benar dengan perangai aku. Sudah kenal di mana kelemahan dan kekuranganku. Semestinya dia menggunakan peluang itu sebaik mungkin.

“Party tu buat kat mana?”

“Kat villa keluarga dia.”

“Di mana?”

“Erm, malam esok Nat ambil Mal pukul lapan. Kita berkumpul di office dan berkonvoi dengan officemate yang lain. Boleh ek?”

“Tengoklah macam mana. Mal tak janji. Baik Nat buat plan B.”

“Ala, Nat tak nak plan B–plan B ni. Apa yang Nat tau, Nat mesti ambil Mal malam esok. Ya?”

Ish, apa main paksa-paksa pula ni? Suka-suka saja dia nak mengarah itu ini. Aku tak nak pergi nanti baru tau. Tapi, sampai hati ke nak hampakan Natrah? Sudahlah kau tolak cinta dia Kamal. Tak baik buat dia macam tu. Sekurang-kurangnya temanilah dia sekejap demi keselamatan dia juga. Jika jadi apa-apa nanti kau akan menyesal Kamal. Aku mengeluh berat.

“Okeylah. Tapi jangan lama-lama. Mal banyak kerja nak buat.”

“Ok I promise you. Thanks Mal.” Natrah tersenyum manis dan merenung tepat ke mataku. Aku membalas tipis lalu melarikan anak mataku ke arah lain. Bimbang dengan aksi manja Natrah itu bisa membuat hati lelakiku goyah. Aku hanya ingin setia pada Azlin. Setakat godaan Natrah itu aku masih mampu bertahan.

Rajuk Sang Hati - Special Edition 7

“Cepatlah Laila, terhegeh-hegeh betul kau ni!” Aku mengerut kening menahan terik mentari. Menahan geram pada Laila juga. Sudah sepuluh minit aku terpacak di tepi pintu keretanya untuk keluar makan tengahari.

Hari ini giliran Laila pula yang memandu. Setiap hari beginilah kami. Berselang-seli menggunakan kereta demi menjimatkan kos. Tetapi sekarang ini bukan saja aku menahan panas terik mentari malah panas hatiku ini juga terpaksa aku menahan. Entah apa yang dia bualkan di telefon agaknya. Apa-apa pun bukalah pintu kereta ni dulu. Ish, tak sukalah aku panas-panas begini. Boleh migrain dibuatnya.

“Sorry, sorry. Jom!”

Aku menarik muncung sambil menghenyakkan punggung ke dalam perut keretanya. Nak proteslah konon tapi tidak jadi kerana melihat Laila menyeka airmatanya.

“Kau kenapa?” Takkan terasa hati dengan aku kot? Ish, sentimentalnya! Tapi bukan rasanya. Aku hanya memerhati dia menarik nafas sambil menghidupkan enjin kereta.

“Kau okey ke ni? Kalau tak, biar aku drive?”

“Tak, aku okey.” Sempat dia menoleh padaku sambil tersenyum. Walaupun senyuman itu kelihatan hambar, namun manisnya tetap ada. Aku membalas senyumannya itu. Perlahan aku menggosok tangannya.

“Apa pun masalah kau, aku nak kau sabar eh? I’m right here with you. Anytime.” Aku cuba memujuknya. Jika dia tidak bersedia untuk bercerita aku tidak akan memaksa. Biarkan dia tenang dulu.

“Thanks Qai.”

“Small matter.”

Akhirnya kami sampai di medan selera. Sambil menjenguk-jenguk perlbagai hidangan di gerai-gerai di situ, mataku liar memandang sekeliling. Waktu-waktu begini memang penuh medan selera ini. Maklumlah waktu makan tengahari untuk orang bekerja. Kedudukan medan selera ini yang berdekatan dengan pejabat-pejabat juga merupakan faktor kenapa medan selera ini menjadi pilihan. Pasti peniaga-peniaga di sini mengaut keuntungan yang besar.

“Jom Qai, sana ada meja kosong.” Laila mencuit lenganku. Di tangannya sudah menatang sepinggan nasi dan perlbagai jenis lauk. Aku terpinga-pinga.

“Eh, aku tak ambil lagi makanan aku. Kau pergi duduk dulu. Karang meja tu orang ambil pulak. Pergilah.”

“Okey. Aku makan dulu eh.” Aku mengangguk sambil tersenyum.

Laila makan dengan perlahan. Seperti hilang selera saja gayanya. Pasti masalah sebentar tadi yang membuat dia jadi begini. Hendak bertanya takut pula. Nanti dikatanya aku ini suka menjaga tepi kain orang pula. Sedang hati aku ingin sekali tahu sebab-musabab dia hilang mood begini. Amboi, bukan main lagi kau Nissa, masalah hati kau juga belum selesai. Ada hati pula nak menyibuk-nyibuk hal orang! Hati nuraniku seolah-olah mengejek aku. Penyudahnya aku mengeluh saja.

“Kenapa?” Laila berwajah pelik.

“Hah?”

“Kaulah. Tiba-tiba mengeluh, kenapa? Ada problem ke?”

“Aku tak ada problem. Kau tu yang ada problem.”

“Aku?” Laila menuding jari ke mukanya sendiri. Aku mengangkat kening. Pura-pura tidak tahu pula.

“Ready nak cerita?” Aku cuba menjerat.

Laila hanya tersenyum sumbing. Kemudian menyambung suapan ke mulutnya. Cuba menyembunyi apa yag bersarang di hatinya. Namun dengan mudah saja aku dapat membaca raut wajah muram itu.

“Ayah sakit.”

Bulat bola mataku. Ayah Laila sakit? Sakit apa? Patutlah Laila tidak dapat menahan sendu. Jika aku berada di tempatnya, pasti aku juga bereaksi yang sama. Tapi, bukankah ayah dan ibu Laila sedang mengerjakan umrah?

“Err, bukan orang tua kau pergi Mekah ke?”

Laila mengangguk. “Tu yang buat aku sedih tu. Nak tengok tak dapat. Risau betul dibuatnya.”

“Sakit apa?”

“Ayah memang ada darah tinggi. Agaknya cuaca terlampau panas kat sana, ayah pitam. Sekarang ada kat hospital.” Perlahan suara Laila menahan getar. Aku menggosok tangan kiri Laila untuk menenangkannya.

“Siapa yang called?”

“Pakcik aku yang pergi sama-sama dengan orang tua aku.”

Aku mengangguk perlahan. “Mak kau macam mana? Dia sihat ke?”

“Pakcik kata, mak sihat. Aku nak cakap dengan mak tapi pakcik kata mak teman ayah.”

Setitis air jernih sudah menuruni lekuk pipinya. Aku turut simpati mendengarnya. Harap-harap ayah Laila cepat sembuh.

“Kau sabarlah eh. Doa banyak-banyak kat sini. InsyaAllah tak ada apa-apa.” Aku cuba memujuknya lagi.

“Thanks Qai. Aku harap parents aku dapat balik dengan selamat.”

“InsyaAllah. Usahlah kau risau sangat.” Aku cuba meyakinkan gundah di hati Laila. Jika aku berada di tempatnya pasti aku juga runsing dan risau begini.

“Hisyam tahu?”

“Belum. Aku ingat lepas ni…,” belum sempat Laila meneruskan kata-katanya terdengar seseorang memberi salam. Aku menoleh. Hisyam? Panjang betul umur dia. Lelaki itu tersenyum manis. Aku memandang Laila semula. Gadis itu seakan terkejut dan tidak menyangka akan bertemu tunangnya di sini. Hai, memanglah jodoh kau orang kuat Laila..

“Abang? Buat apa kat sini?” Laila bertanya soalan bodoh. Apalah kau ni Laila, dah ini medan selera tentulah datang nak makan. Hisyam tergelak kecil.

“Datang nak makanlah cik adik.” Ha, kan dah aku cakap. Laila tersenyum malu. Malulah konon..

“Qairunissa apa khabar?” Hisyam memandang aku sambil menarik kerusi duduk di sebelah Laila.

“Baik Alhamdulillah.” Jawabku berbasa-basi. Namun senyuman tetap kuukir indah.

“Abang, Laila nak beritahu abang something.”

“Apa dia?”

“Ayah sakit.” Ujar Laila perlahan dan bergetar. Hisyam yang mendengar sedikit terkejut. Wajah Laila direnung dalam-dalam. Aku lihat ada air jernih yang mula bertakung.

“Bukan ayah kat Mekah ke? Macam mana boleh sakit?”

“Pakcik kata ayah pitam. Laila risaulah.”

“Sabar banyak-banyak ya. Kita doakan ayah sihat.” Wah, romantisnya cara Hisyam memujuk Laila. Dengan suara yang lembut sambil merenung mata Laila dalam-dalam. Mahu cair hati si Laila tu. Aku tersenyum sendiri.

“Sorry, lambat.”

Aku menoleh ke kiri. Membulat mataku bila lelaki itu menarik kerusi dan melabuhkan punggungnya di sebelahku. Irfan? Aku bergetar..

Melankolik Cinta Cassandra 10

“Aduh!” Jerit Cassandra.

“Maaf,” Hanafi segera memohon maaf kepada seorang gadis berbangsa Cina itu. Wajah gadis itu sudah kelat menahan geram atau sakit barangkali.

“Maaf cik. Saya tak sengaja,” ucap Hanafi lagi. Dia benar-benar menyesali dengan kejadian itu. Kerana hendak cepat sangat, dengan tidak sengaja dia telah melanggar seseorang. Barangkali rempuhannya tadi agak kuat sehingga membuat gadis itu menggosok-gosok perlahan lengan dan bahunya. Pasti sakit.

“Maafkan saya cik, saya betul-betul nak cepat tadi. Tak sengaja,” pohon Hanafi sekali lagi.

“Lain kali jalan gunakan mata ya encik?” Sindir Cassandra sedikit keras.

Hanafi terdiam. Kemudian dia mengangguk perlahan. Gadis Cina itu sangat fasih berbahasa Melayu. Ah, apa yang nak dihairankan? Rakyat Malaysia. Jika tidak tahu berbahasa Melayu, lebih baik jangan tinggal di Malaysia.

Hanafi melihat gadis itu berlalu dan duduk di meja bersama temannya. Seorang lelaki yang boleh tahan kacaknya. Lelaki itu hanya merenungnya dari jauh. Dia mengangguk tanda menyapa. Kemudian berlalu mencari meja kosong sementara menunggu makanan yang dipesan.

Hanafi hanya duduk diam dan membelek-belek telefon bimbitnya. Setiap gambar Soleha yang tersimpan di dalam telefonnya itu, ditatap penuh asyik. Rindu pula pada Soleha. Walaupun Soleha sentiasa ada di depan matanya, dia tetap merindui isterinya itu. Dia rindu belaian manja Soleha. Sudah lama dia tidak dibelai oleh isterinya itu. Jujurnya sebagai lelaki dia mahukan haknya. Baginya itu normal. Namun sebagai suami pula dia tidak sanggup. Tidak sanggup melihat penderitaan Soleha setiap kali isterinya itu menunaikan tanggungjawabnya. Hatinya pedih. Memang Soleha tidak penah menolak permintaannya namun dia bukanlah suami yang kejam. Tidak mungkin dia menyakiti Soleha demi kepentingan dan kepuasan dirinya sendiri. Dia tidak sekejam itu.

Hanafi tersentak bila bungkusan makan malamnya diletakkan di atas meja oleh seorang pelayan restoran. Tanpa berlengah dia menghulurkan sejumlah wang kepada seorang anak muda yang setia berdiri menunggunya.

“Terima kasih bang,” ucap pelayan itu sambil tersenyum.

“Sama-sama,” jawabnya sambil mengangguk.

Hanafi mencapai telefon bimbit dan kunci keretanya lalu menapak keluar. Tiba-tiba langkah kakinya terhenti serta-merta. Dia menepuk dahi. Macam mana pula boleh lupa nak ambil makanan tadi? Soalnya sendiri. Segera dia berpaling dan tanpa disangka sekali lagi dia telah melanggar batang tubuh seseorang.

“Aduuh!”

Membulat mata Hanafi melihat gadis yang sama telah menunduk sedikit sambil memegang hidung. Nampaknya dagu dia sudah bertembung dengan hidung gadis itu.

“Err… maafkan saya!” Ucap Hanafi serta-merta.

“Aduuh!! Encik ni kenapa? Asyik langgar orang saja dari tadi?” Marah Cassandra. Geramnya bukan sedikit. Sudahlah geram dengan Jimmy Yap, dilanggar pula oleh lelaki tinggi ini. Dua kali pula tu! Bertambah-tambahlah geram yang dia simpan dari tadi. Maka tanpa sedar dia telah memarahi Hanafi di hadapan orang ramai.

“Maafkan saya sekali lagi. Saya benar-benar tak sengaja,” kata Hanafi lembut dan teratur. Dia cuba bersabar dan menahan malu. Salahnya juga.

“Tak sengaja-tak sengaja! Tadi dah kena langgar, ni kena langgar lagi? Apa masalah encik sebenarnya? Butakah?” Bentak Cassandra sambil menjeling geram.

“Err… kenapa cik berdiri di belakang saya? Saya tak nampak, maaf,” Hanafi cuba bersabar dengan suara gadis itu yang meninggi dan membentak-bentak. Semakin ramai yang memandang mereka ketika ini.

Cassandra memicit-micit batang hidungnya yang tidak berapa tinggi itu. Rasa macam nak patah saja. Matanya mula berair menahan sakit. Terbantut terus niatnya hendak ke tandas. Sakit di hati lebih mengatasi segala-galanya.

“Maafkan saya sekali lagi. Saya betul-betul tak nampak,” ucap Hanafi lembut. Dia benar-benar kesal dengan kecuaiannya itu. Tak pasal-pasal gadis Cina itu menjadi mangsa.

“Ish, sudahlah! Buta!” Herdik Cassandra sambil berlalu. Geram sangat! Hidung sakit, hati sakit, malu pun dapat!

Sedikit panas hatinya diherdik di hadapan orang ramai. Hanafi menarik nafas dalam. Tidak mahu melayan perasaan geram yang telah dijentik iblis. Dia kena bersabar banyak-banyak. Sudah memang kesalahannya. Segera dia mengambil bungkusan makanan yang tertinggal di atas meja tadi bila menyedari masih banyak lagi mata yang memerhatinya. Tanpa berlengah dia mengangkat kaki keluar dari restoran itu.

Hanafi mendongak. Warna jingga sudah menyimbah dada langit yang berbalam-balam. Nampaknya waktu Maghrib sudah masuk dan dia pasti tidak akan sempat hendak sampai ke rumah. Terpaksalah dia mencari masjid yang berdekatan. Tidak elok melengah-lengahkan solat. Maafkan abang sayang, abang tak dapat nak berjemaah dengan sayang malam ni. Bisik hatinya.


***


Cassandra menelek hidungnya yang sakit di cermin. Nasib baik tidak bengkak atau patah. Kuat betul dia dilanggar oleh lelaki yang bertubuh sasa itu. Berair seketikalah mata dan hidungnya menahan perit. Nasib baik juga tidak berdarah atau lebam. Jika tidak pasti cacat seketika wajah mulusnya itu. Meskipun tidak nampak apa-apa kesan pada hidung comelnya itu, namun jika disentuh terasa sakit benar. Pasti bengkak di bahagian dalam. Semuanya gara-gara lelaki itu tadi. Mujur juga lelaki itu segera minta maaf. Jika tidak pasti angin dalam badannya bertukar menjadi ribut.

Cassandra termenung seketika. Siapakah gerangan lelaki Melayu itu? Segak dan tinggi lampai orangnya. Tubuh yang sasa boleh membuat mana-mana gadis pun tertarik. Sebenarnya dia tidak dapat melupakan wajah tenang dan tutur kata yang lembut dari lelaki itu. Meskipun dia sedikit membentak dan marah-marah, itu adalah untuk menutup malunya saja. Apa lagi hendak meminta maaf kepada lelaki itu.

Pertama kali dirempuh, bahunya cukup terasa sengal. Ketika itu dia baru sampai dan sedang mencari di mana duduknya Jimmy Yap. Sengaja dia memandu sendiri kerana tidak mahu Jimmy Yap menjemputnya. Apa yang dia suka adalah kerana dapat mengenakan Jimmy Yap malam ini. Dia tahu Jimmy Yap tidak suka makan di restoran Melayu. Tapi dia tetap mengenakan syarat itu sebagai tanda kesudian dia untuk keluar makan malam bersama lelaki itu. Tanpa disangka, Jimmy Yap bersetuju pula. Lalu tanpa memandang kiri dan kanan laju saja dia menuju ke arah Jimmy Yap setelah ternampak lelaki itu melambai ke arahnya. Tapi tak disangka pula kena rempuh dengan kuat. Sampai sengal bahu dibuatnya.

Kali kedua pula kerana kelalaiannya juga. Tapi sengaja dia meletakkan kesalahan itu kepada lelaki Melayu tadi. Kerana bertekak dan geram dengan Jimmy Yap, dia mengambil keputusan hendak ke tandas saja. Untuk melepaskan amarah yang terbuku di hati. Sama ada sudah suratan atau kebetulan, lelaki Melayu itu melanggarnya sekali lagi. Malunya tak usah diceritalah. Geramnya berganda-ganda. Lalu segala kemarahan yang terpendam dihamburkan kepada lelaki itu saja. Namun yang peliknya, lelaki itu kelihatan begitu tenang dan sabar. Suka benar dia melihat wajah bersih dan segar yang menghiasi wajah lelaki itu. Tampan. Siapa dia agaknya? Sudah berpunyakah? Di mana rumahnya? Siapa namanya?

Cassandra berjeda. Semuanya menjadi persoalan sejenak di mindanya. Perasaan ingin tahunya membuak-buak. Andainya bertemu lagi dengan lelaki itu pasti dia akan menggunakan peluang itu sebaik mungkin.

Telefon bimbitnya menjerit kuat sehingga terangkat sedikit bahunya dek kerana terkejut. Nama pemanggil terpapar di skrin. Cassandra tersenyum ceria.

“Hello mummy!” Sapa Cassandra penuh ceria.

“Hello sayang. Lu apa khabar? Ada baikkah?” Soal Nyonya Mei Hua bertubi-tubi.

“Saya okey saja di sini. Mummy sihat?”

“Sihat. Tapi hati mummy sangat sakit tau.”

Terdiam sejenak Cassandra dibuatnya. Siapakah yang tega menyakiti hati ibunya itu? Ini mesti daddy punya angkara. Tak habis-habis!

“Sakit hati kenapa mummy? Siapa yang buat mummy kesayangan saya ni sakit hati? Tell me now.”

“Lu lah!”

Cassandra terpana. Dia? Mana mungkin! Seingat akalnya yang waras ini belum lagi dia menyakiti hati tua ibunya itu. Apakah yang telah dia lakukannya sehingga membuat ibunya sakit hati begitu?

“Saya? Apa yang saya sudah buat? Mummy, I’m really-really sorry if I’m hurting you. Mungkin saya tak sengaja.”

“Hmm….”

“Mummy, janganlah marah saya, janganlah merajuk. Saya betul-betul minta maaf ya. Now tell me what I’ve done?”

“Lu janji sama mummy mahu balik jumpa mummy every weekend? Sudah lupa? Mana janji-janji lu?”

Serta-merta Cassandra menepuk dahinya. Ingatkan apalah kesalahannya tadi. Betul-betul buat jantungnya berdegup pantas. Namun sekurang-kurangnya dia berasa lega ibunya hanya merajuk bukannya marah kepadanya.

“Mummy rindu ya?”

“Lu saja yang tak rindu sama mummy! Mummy rindu lu setengah mati taukah? Sayang, baliklah sini. Boleh kita berbual-bual.”

“Maaf mummy, minggu ni memang saya sibuk dengan pameran. Nanti bila dah selesai, saya pulang cari mummy ya. Promise!”

“Eh lu jangan nak promise-promise sama mummy lagi. Janji yang lama pun lu tak tunaikan, ini mahu bikin janji baru? Mummy tak percaya!”

“Ala mummy, please….”

“Lu ni kan, serupa bapak lu punya perangai. Asyik-asyik berjanji. Lu orang fikir mummy ni siapa? Tukang keluar sijil janjikah?”

Mendengarkan bebelan ibunya itu, meledak keluar tawa Cassandra yang ditahannya sejak tadi. Dalam rajuk sempat lagi ibunya berlawak jenaka.

“Eh, ketawa pula dia? Mummy cakap yang betul ni. Lu ingat mummy buat lawakkah?”

“Memang pun,” Cassandra menyambung tawanya yang masih bersisa. Benar-benar tidak dapat menahan gelihati. Setiap kali berbicara dengan Nyonya Mei Hua, Cassandra tidak boleh tidak, pasti akan tertawa riang.

“Sudahlah, lu ketawalah sampai pagi. Mummy nak merajuk ni, mahu letak telefon ni….”

Cassandra berusaha menahan dan mengusir tawanya pergi. Bimbang rajuk ibunya itu akan melarat-larat pula. Namun dia tidak dapat bertahan lama, lalu tawanya meletus lagi. Masakan tidak, merajuk dan mahu memutuskan talian pun sempat diberitahu oleh ibunya itu.

“Okeylah mummy, I’m so sorry. Mummy janganlah marah ya. Saya cakap betul ni. Bila dah free nanti saya akan pulang dan makan sama mummy okey?”

“Hmm… apa boleh buat, mummy bukan boleh paksa lu. Suka hatilah lu mahu bikin apa. Ingat ni, jangan lupa makan. Badan lu tu sudah tinggal tulang saja.”

“Yes mem!”

“Tau main-main saja dia! Sudahlah, mummy mahu tidur. Jaga diri lu baik-baik tau.”

“Okey mummy, thanks for calling. I love you and miss you so much!”

Sebaik panggilan diletakkan, Cassandra mengeluh perlahan. Ada sayu yang singgah di hati. Kasihan ibunya yang kesunyian. Dulu dialah yang menjadi penghibur. Akan ada saja gelak tawa dan usikan demi usikan yang membahagiakan. Namun sejak peristiwa pertengkaran hebat di antara dia ayahnya dulu, kemesraan dan kehangatan itu hilang sekelip mata.

Bukannya dia tidak rindu pada ibunya, malah kerinduan itu kadangkala mencengkam ke sanubari. Kerinduan itu seakan-akan menggamitnya pulang semula. Namun dia tidak boleh melakukannya. Dia mahu ayahnya tahu tanpa mewarisi empayar perniagaan itu dia juga boleh berjaya dengan cemerlang dan gah. Malah kemasyhuran yang ayahnya agung-agungkan itu dia telah perolehi dengan mudah. Dia berazam akan membina empayar seninya sendiri suatu masa nanti.

Rajuk Sang Hati - Special Edition 6

Azura menampar kura tanganku. Aku tidak peduli dengannya sebab aku sedang mendodoi perlahan bayi yang baru beberapa hari dilahirkan. Bayi perempuan bernama Auni Aqilah permata hati Maisarah dan Azrai. Sekali lagi kura tanganku ditepuk oleh Azura.

“Dahlah Qai, turn akulah pulak. Asyik kau aja, aku pun nak jugak pegang baby girl tu.” Rungut Azura sambil memuncungkan bibirnya. Maisarah yang masih dalam pantang itu tersenyum.

“Janganlah berebut. Tak ke mana anak aku tu.”

“Habis tu dari tadi dia aja yang pegang, aku langsung tak ada chance tau. Asyik dia..dia..dia..” Azura masih tidak berpuas hati denganku.

“Dah habis memekak? Suara dahlah macam halilintar, baby nak tidur pun tak senang tau. Kalau nak sangat baby, beranaklah!”

“Amboi, sedap mulut kau? Kalau belum bernikah nak beranak macam mana? Kata dulang paku serpih…” Azura tidak jadi menyambung peribahasanya itu bila aku menjelingnya. Ha, nasib baik kau masih faham apa maksud jelingan aku ni.

“Yang kau ni Zura, bertunang dah lama tapi tak kahwin-kahwin jugak ni kenapa? Si Aris tu tak cukup duit ke? Atau dia dah ada orang lain?” Soalan berbisa Azrai itu membuat semua mata tertumpu padanya.

“Choiiii!!! Mulut kau memang tak pernah beli insuran eh Azrai? Aku cili karang baru tahu.” Marah Azura pada Azrai. Lelaki itu hanya tersengih tanpa rasa bersalah.

“Entah B ni, ada ke cakap macam tu kat Zura? Sepatutnya kita mendoakan yang baik-baik untuk kawan kita ni.” Maisarah menegur suaminya dalam lembut. Dia tahu niat suaminya itu hanya untuk bergurau saja. Namun dalam masa yang sama bimbang juga Azura berkecil hati.

“Ala, gurau sikit pun tak boleh? Cuba bagitau kami kenapa yang kau bertunang lama sangat ni? Dari kami kat oversea sampai dah keluar anak sorang tau.”

Terdengar keluhan berat dari bibir sahabatku itu. “Susah nak cakap, banyak masalah.”

“Apa masalahnya? Kalau boleh kami semua tolong, kami cuba Zura. Jangan simpan masalah kau lama-lama sangat, tak elok.” Aku mendekati Azura setelah Auni Aqilah kuletakkan semula di pangkuan Maisarah.

“Arislah yang banyak masalah. Bukan aku.”

“Yelah, apa masalahnya?” Azrai mula kurang sabar. Aku menjeling ke arah Hasnul Amin yang diam sejak tadi. Hanya tenang dan menjadi pendengar setia.

“Kawan-kawan, aku rasa aku belum bersedia nak cerita okey? Sampai masa nanti korang dapatlah kad undangan dari aku. Tak usah risau lebih-lebih eh. Tahulah aku nak handle macam mana nanti.”

“Mestilah risau, kau kan kawan kami semua. Sakit kau, sakitlah kami, susah kau kami pun turut merasakan kesusahannya.” Tutur kata lembut Maisarah itu membuat semua yang ada terangguk-angguk tanda setuju. Kulihat mata Azura berkaca. Terharu agaknya dengan semangat setiakawan kami semua.

“Thanks guys.”

“Sembang-sembang juga, jemputlah minum.” Pelawa Maisarah. Tabik hormat patut aku beri pada Maisarah kerana layanannya itu. Walaupun sakit dan sedang berpantang, masih lagi sempat melayan tetamu yang datang. Wajahnya sedikit pucat sejak melahirkan. Pasti Maisarah bahagia sekarang. Punya suami yang baik dan bertanggungjawab serta anak perempuan yang comel. Ah, bilakah kebahagiaan sebegini menjadi milik aku?

“Nissa?”

Aku tersentak dengan panggilan lembut dari Hasnul Amin itu. Dia mengangkat kening tanda bertanya. Aku hanya menggeleng perlahan dan mengukir senyuman manis untuknya.

“Eleh, main jeling-jeling senyum-senyum konon, dah minum cepat! Jangan nak buat drama kat sini pulak.” Usikan Azura itu membuat yang lain juga turut tertawa. Macam biasa aku menjelingnya tanda tidak berpuas hati.

“Sejak akhir-akhir, ni dia memang macam tu asyik termenung je Zura, cuba kau bagi nasihat sikit.” Hasnul Amin menokok.

“Hasnul, apa ni? Mana ada aku menung-menung. Dah, dah tak payah nak bagi syarahan percuma kat aku.” Sempat lagi aku membidas kononnya membela diri. Namun yang jelas hanyalah sengihan yang terpamer di setiap wajah sahabat-sahabatku itu.

“Ala, dia menung bersebab tu bro. Kau pun sama, tak cukup-cukup ke duit lagi? Agak-agak nak bertunang berapa lama pulak?” Azrai pula menggasak Hasnul Amin. Aku lihat tunangku itu mula gelabah tidak senang duduk.

“Agaknya dia orang ni nak bersaing dengan Zura kot B, kita tengok siapa dulu.”

“Eh, tak ada makna aku nak bersaing-saing dengan si Qai ni. Aku yang bertunang dulu tau.” Azura cuba menepis setiap kata-kata Maisarah itu. Tak kuasa aku hendak melayan karenah mereka ni. Ingat aku hadap sangat ke nak berlumba-lumba bagai? Siapa bertunang lama kiranya penyabar tahap maksimum, siapa kahwin cepat kira gatal, gitu? Heh!

“InsyaAllah, dalam masa terdekat korang doa-doakanlah.” Tenang saja Hasnul Amin menjawab untuk meredakan keadaan. Dalam masa yang sama sempat dia melirik ke arah aku. Lirikan matanya itu punya maksud. Aku faham sangat.

“Aku doakan kawan-kawan aku cepat bertemu jodoh dan hidup bahagia macam kami ni, kan B?” Azrai tersenyum sambil mengangguk merenung isterinya itu.

“Jangan risaulah Mai, kan aku dah cakap, sampai masa korang dapatlah kad jemputan aku.”

“Dah banyak kali dah kau cakap macam tu. Dari hari kami jejak kaki kat Malaysia ni sampai sekarang tak dapat-dapat pun?” Azrai meningkah. Azura pula hanya mampu tersengih.
Entah apalah masalah Azura agaknya ya? Asyik tertangguh saja. Apakah Azura juga sedang keliru seperti aku?

Kamal Oh Kamalia 22

Diam tak diam sudah tiga bulan aku tinggal sebumbung bersama Azlin. Memang boleh dikategorikan sebagai bersekudukan tapi bezanya, aku tidak pernah mengambil kesempatan pada Azlin apa lagi mahu buat benda yang tidah senonoh pada dirinya. Dalam diam aku bersyukur Allah masih menguatkan imanku. Sehingga hari ini aku masih bertahan. Mujur Azlin masih belum mengesyaki apa-apa.

Setakat ini aku sudah boleh menyesuaikan diri dengan lenggok dan caraku bercakap. Perlahan-lahan tingkah Azlin aku hadam. Sedikit sebanyak aku meniru gaya dia. Apa saja tentang dirinya. Cara minum, cara pegang cawan, cara duduk, macam-macamlah yang aku tiru. Sehinggakan cara merajuk pun aku terikut-ikut sekali. Aku tergelak kecil. Demi kau Azlin aku sanggup lakukan apa saja sehingga meletak ke tepi sifat maskulinku.

Kadang-kadang tingkahku itu terbawa-bawa ke rumah sendiri. Hingga terlanjur bersikap ala perempuan tatkala bersama Iqbal. Bohonglah jika aku katakan Iqbal tidak mengutuk aku habis-habisan. Setiap kali aku tersasul, akan jadi modal Iqballah untuk mentertawakan aku. Peliknya aku tidak pula marah. Tiba-tiba terlintas kata-kata Iqbal beberapa hari lepas.

“Risau aku ni.”

Wajah gusar Iqbal aku pandang dengan rasa hairan. Tiba-tiba saja cakap pasal risau. Ada masalah ke sahabatku itu?

“Kau kenapa? Ada problem ke?”

“Nak kata problem macam bukan, tapi kalau dibiarkan pasti jadi problem besar.”

“Berkias-kias pulak, terus-terang ajalah. Aku tak faham ni.” Aku mencebik sambil menjeling ke arah Iqbal yang mengusap-usap janggut halusnya. Dari gayanya itu, aku bagai dapat menebak apa yang ingin diperkatakan Iqbal itu adalah berkisar tentang diriku.

“Oii, cakaplah. Problem apa? Kalau boleh aku tolong, aku akan tolong. Cakap aja.”

“Hmm.. kau tu.”

“Aku? Kenapa dengan aku?”

“Aku tengok dah sebiji macam perempuan dah. Risau aku.”

“Kau risau apa? Aku steady lagilah.”

“Manalah tahu kot-kot kau berubah angin jadi perempuan betul. Macam cerita Waris Jari Hantu tu. Siapa pelakonnya? Ha, Rusdy Ramli.”

“Ek eleh, itu cerita aja ngok! Lagipun dalam cerita tu si Rusdy Ramly tu memang lembut sejak azali. Tu sebab dia tukar perwatakan. Sebab memang jiwa dia lembut.”

“Habis kau tak tukar perwatakan? Dah dua alam aku tengok.”

“Aku lain. Aku tetap jantan okey? Aku buat macam ni demi Azlin.”

“Eh, aku tak fahamlah, kau ni nak pikat dia, tapi menyamar jadi perempuan. Cuba kau cerita kat aku, macam mana gayanya kau nak ngurat dia? Tak akan perempuan ngurat perempuan kot?”

“Tulah kau tak tahu. Aku akan cuba jadi rapat dengan dia, cuba jadi sahabat dia, supaya senang aku nak tahu segalanya tentang dia. Apa yang dia suka, apa yang dia tak suka. Barulah senang aku nak pikat dia.”

“Entah apa-apa!”

“Apa pulak? Kau bukan tak tahu, sampai sekarang Azlin tak pernah bagi peluang pada Kamal untuk mendekati dia. So, nak tak nak aku terpaksalah jadi Kamalia.” Aku lihat Iqbal mencebik. Aku tahu aku buat kerja gila. Memang aku gila pun. Aku gilakan seorang gadis yang bernama Azlin Nasihin. Seorang gadis yang telah mencuri hatiku. Tidak pernah aku merasa perasaan sebegini sebelum ini. Hanya dia, hanya dia yang berjaya membuat tidurku tidak lena.

Lamunanku berkecai tatkala telefon bimbitku berdering. Melihat pemanggilnya saja cukup membuat aku menyampah. Dalam satu hari jika tidak mengganggu aku tak sah agaknya? Deringan itu mati bila aku tidak tercuit langsung untuk menjawabnya. Lantak kaulah Natrah! Sejak gadis itu berada di Malaysia, sejak itulah telefon bimbitku ini tidak diam. Jika telefonku ini boleh bercakap pasti sudah membebel dengan panggilan yang tidak diundang itu.

Natrah, tidak pernah jemu mengejarku. Apa yang dia pandang pada diriku ini entahlah. Sebagai lelaki, aku tertanya-tanya juga. Tiada perasaan malukah gadis itu? Orang tidak sudi lagi mahu menyorong-nyorong kasih? Maaf Natrah, tidakkah kau faham bahawa cinta itu tidak boleh dipaksa-paksa? Terbitnya rasa cinta itu biarlah dari hati bukan kerana terpaksa atau simpati. Tolonglah mengerti.

Aku mengeluh lagi. Mood untuk aku buat assignment, lesap. Penyudahnya aku tutup komputer ribaku dan berbaring di katil. Ingin cuba lelapkan mata. Ingin cuba buang jauh-jauh bayangan Natrah. Aku hanya inginkan dia, kekasih hatiku itu.

“Azlin..” Aku mengorak senyum lebar bila nama itu meniti di bibirku perlahan. Kalaulah aku boleh meluahkan apa yang aku rasa pada Azlin sekarang, bukankah bagus? Kalaulah Azlin membalas rasa hatiku ini, bukankah indah? Akan aku canang satu dunia betapa bahagianya kami berdua. Aku tidak akan membiarkan sesiapa pun yang menganggu hubungan murni kami. Aku senyum.

“Lin kena bagi peluang pada diri Lin. Tak akanlah Lin nak membujang sampai ke tua?” Soalan itu pernah ku ajukan padanya saat kami bercakap soal hati dan perasaan. Dia kulihat hanya mengeluh berat. Sukar benar hendak aku tafsirkan tentang hatinya kini. Tiada ruangkah untuk aku?

“Bukan Lin tak mahu Mal, hati Lin ni masih ada dia. Dia pergi membawa cinta Lin bersama. Susah untuk Lin berpaling.”

“Mengapa Lin tak mahu mencuba?”

“Lin takut.”

“Mengapa perlu takut Lin? Hidup ini mesti diteruskan. Cuma Lin perlu memberi ruang pada hati Lin dan peluang pada orang lain.” Aku memancing reaksinya.

“Memang mudah berkata-kata Mal, tapi susah nak buat.”

Seraut wajahnya bergayut hiba. Keruh yang bertandang membuat aku sedikit menyesal memulakan perbualan ini. Seboleh mungkin aku tidak mahu dia terluka lagi. Ingin sekali aku mendakapnya waktu itu agar terlerai segala lara jiwanya. Namun bila kufikirkan semula, aku tidak berani. Dia mungkin saja tidak tahu getaran hatiku ini, tetapi aku tidak boleh mengambil kesempatan. Semoga Allah melindungi aku dari godaan syaitan.

Aku menghela nafas berat. Sukar benar memainkan dua perwatakan. Jika aku tak kuat iman, aku pasti hanyut. Astaghfirullahalazim. Apakah tindakan aku betul selama ini?

Melankolik Cinta Cassandra 9

“Cassandra wait!”

Terdorong tubuh Cassandra yang kecil molek itu ke belakang akibat ditarik kasar oleh Jimmy Yap. Anak mata Cassandra memanah tajam ke arah Jimmy. Lebih menyakitkan hatinya, Jimmy Yap berwajah selamba.

“Hey, what’s wrong with you?” Bentak Cassandra marah sambil cuba ingin melepaskan lengannya dari cengkaman kuat Jimmy Yap.

“Sorry dear. The only way to stop you and I’m sorry for that. You seems running away from me?” Tebak Jimmy Yap.

“Could you please stop bothering me? I got lot of things to be done!” Marah Cassandra lagi.

“Surely can but conditional,” kata Jimmy Yap sambil tersenyum sumbing.

“Condition? You have no right,” Cassandra pula berkata sinis.

“Seriously, I have to,” sanggah Jimmy Yap tidak mahu mengalah.

Cassandra menjeling tajam. Bagaimana harus dia pergi jauh dari lelaki ini? Sungguh merimaskan! Dia cuba melepaskan genggaman Jimmy Yap yang agak kejap di lengan kanannya. Sakit mula terasa.

“Let me go!” Cassandra sedikit meronta.
Perlakuan Jimmy Yap itu sangat menjengkelkan. Jika dia terus melawan begini, tiada untungnya. Hanya sakit hati saja yang dapat. Cassandra berubah fikiran, cuba memberi laluan kepada syarat yang dikemukakan oleh Jimmy Yap itu.

“Okay, just shoot. What is that?” Soal Cassandra kasar.

“Good girl,” Jimmy Yap tersenyum kemenangan ambil menepuk lembut pipi Cassandra. Walaupun kelihatan amat jelas amarah di wajah itu. “We need to talk,” sambungnya lagi.

Cassandra merengus. “Okay make it here, now!”

Jimmy Yap tergelak. Cassandra kesayangannya itu masih belum berubah sepenuhnya. Suka membentak dalam keadaan tertekan. Dia suka itu. Salah satu sikap manja Cassandra yang amat disenanginya.

“Not here baby. Tonight at 8.00 pm. I’ll fetch you, okay?” Jimmy Yap mengangkat kening. Lama wajah manis itu direnungnya.

“Make it here, will you?” Cadang Cassandra pula. Jika boleh dia tidak mahu keluar bersama Jimmy Yap. Tiada faedah!

“I’ll treat you a dinner and dress up nicely okay?” Jimmy Yap tersenyum sumbing.

Tanpa mempedulikan permintaan Cassandra, tanpa menunggu persetujuan dari gadis itu, Jimmy Yap terus melepaskan genggamannya dan berlalu dengan siulan. Senang hati kerana rancangannya untuk berdua-duaan dengan Cassandra bakal terlaksana. Akan dia bawa Cassandra meniti pelangi cintanya semula. Akan dia petik kejora rindu lalu dihadiahkan kepada gadis itu. Biar Cassandra tahu dia tidak pernah sesaat pun melupakan kenangan mereka. Kasihnya pada Cassandra masih utuh. Dia mahu Cassandra tahu itu. Hanya dia yang bisa membahagiakan Cassandra.


***


“Ustaz? Kenapa termenung?”

Terangkat sedikit bahu Hanafi ditegur oleh Malik yang kelihatan tersenyum dan berdiri segak di muka pintu pejabat Hanafi.

“Maaf, saya tidak sengaja ustaz. Tidak berniat langsung nak membuat ustaz terkejut,” kata Malik lagi. Dia rasa bersalah pula membuat Hanafi terkejut.

“Oh, tidak mengapa ustaz. Silakan,” pelawa Hanafi sambil tersenyum.

Malik melangkah perlahan lalu menarik kerusi dan duduk berhadapan dengan Hanafi. Senyuman masih tidak lekang dari wajah bersih lelaki yang berjambang kemas itu.

“Fikir tentang apa ustaz? Dah pukul enam lebih ni, masih tak nak balik lagi?” Tanya Malik.

Hanafi tersenyum hambar. Sungguh dia terlalai dan asyik melayan perasaan bimbangnya tentang Soleha sehingga melewati angka enam. Malah kehadiran Ustaz Malik juga tidak disedarinya.

“Tak ada apa-apalah ustaz,” tukasnya perlahan.

Malik mengangguk perlahan. Faham benar jika Hanafi berkata demikian. Pastinya dia belum bersedia untuk meluahkan apa-apa. Bukan sehari dua dia kenal dengan Hanafi. Lazimnya, pada dirinyalah Hanafi melepaskan apa yang terbuku di hati selama ini.

“Ustaz, apa jua masalahnya, bersabarlah banyak-banyak. Allah menghendakinya begitu. Reda dengan setiap dugaannya. Sesungguhnya, Allah tidak pernah menzalimi makhluknya.”

“Ya ustaz, saya tahu. Terima kasih atas nasihat itu,” Hanafi mengangguk lemah.

“Sama-sama. Jadi, belum mahu pulang?”

“Sekejap lagi saya menyusul.”

“Kalau begitu, saya beransur dululah.”

“Silakan ustaz.”

Setelah berbalas salam dan berjabat tangan tanda pamitan, Hanafi duduk semula di kerusinya. Dia sebenarnya membilang detik hari demi hari. Bagaimana hidupnya nanti tanpa Soleha? Bagaimana harus diredah segala kenangan manis ketika bersama isteri kesayangannya itu nanti?

Hanafi meraup wajah. Gusarnya tidak terungkap dengan kata-kata. Kondisi Soleha amat meruncing kebelakangan ini. Kansernya sudah berada di tahap empat. Satu tahap yang kritikal dan membimbangkan. Bermakna dia hanya memiliki sedikit waktu sahaja untuk bersama Soleha. Namun isterinya itu begitu tabah menghabiskan sisa-sisa hidupnya yang berbaki. Sentiasa tersenyum dan menyembunyikan kesakitannya. Bukannya dia tidak nampak kerutan di wajah Soleha setiap kali virus kanser itu menyerang. Mungkin dia tidak dapat merasakan kesakitan itu tetapi bila melihat wajah ayu itu menahan derita seolah-olah dia turut berkongsi kesengsaraannya.

Telefon bimbitnya bergetar menandakan ada satu panggilan masuk. Dia tersenyum bila melihat nama yang tertera di skrin telefon bimbitnya itu.

“Assalamualaikum?”

“Walaikumusalam abang,” jawab Soleha.

Lebar senyuman Hanafi mendengar alunan lembut suara Soleha itu. “Ada apa sayang? Sakit ke?” Tanyanya lembut.

“Eh, taklah. Leha nak tanya aja, abang ni nak balik pukul berapa? Dah nak Maghrib ni?”

“Oh, nak baliklah ni. Leha nak pesan apa-apa ke sayang?”

“Boleh juga, abang tolong beli makan malam ya? Leha tak sempat masak tadi.”

“Okey sayang, nanti abang belikan. Leha nak makan apa?”

“Apa yang abang makan Leha makanlah, tak kisah.”

Hanafi tersenyum. Memang Soleha tidak cerewet makan. Tidak pernah bersungut sekalipun dengan rezeki yang terhidang di depan mata.

“Okeylah kalau macam tu. Leha solat dululah ya tak perlu tunggu abang.”

“Baik bang. Hati-hati ya.”

Setelah berpamitan dengan Soleha cepat-cepat Hanafi mengemas mejanya. Waktu Maghrib sedang beransur-ansur menjengah. Langkah kaki dihayun segera. Ingin singgah di kedai makan pula. Jika lambat akan terlepaslah Maghribnya nanti.



Rajuk Sang Hati - Special Edition 5

Dulang yang berisi sizzling mee itu diletak perlahan di depanku. Kemudian dia menghilang semula. Aku hanya diam memerhati orang yang lalu-lalang di hadapanku. Tidak sampai seminit dia kembali lagi bersama dulang yang berisi dua gelas air pula lalu meletakkan gelas yang berisi milo ais kegemaranku di sebelah sizzling mee yang masih lagi berasap.

“Thanks.”

Aku menghadiahkan senyuman manis kepadanya yang sanggup bersusah-payah melayanku. Hasnul Amin membalas senyumanku dengan mesra.

“Most welcome dear.”

“Aku ni mengada-ngada, kan?”

Hasnul Amin tergelak.

“Untuk puteri kesayangan aku ni, aku tak kisah. Kau mintalah aku buat apa saja. Selagi aku boleh tunaikan, aku akan buat dengan ikhlas.”

Aku tersenyum. Hati perempuan manalah tidak berbunga-bunga jika diberi kata-kata indah seperti itu. Hati perempuan manalah yang tidak terusik bila dilayan begini.

“Makanlah. Tunggu apa lagi?”

“Tunggu kaulah. Kenapa lambat sangat? Tak siap lagi ke?”

“Ramai orang tu. Tak Nampak?”

Aku menoleh. Memang ramai. Pada hujung minggu begini food court memang penuh. Tambahan pula kebanyakan mereka baru selesai menonton wayang. Tidak terkecuali kami berdua.

“Nissa,”

“Hmm?”

“Kenapa lately aku tengok kau macam tak ada mood aja?”

“Eh, mana ada. Aku okey.”

“Betul ke ni? Aku tengok macam tak ceria. Blur. Lepas tu asyik mengeluh je?”

“Perasaan kau je tak? Aku okeylah. Betul.”

Hasnul Amin menjongket bahu sambil bangun.

“Makanan aku dah siap. Kejap eh.”

Aku hanya mengangguk. Milo ais aku sedut perlahan-lahan. Benarkah? Aku tak ceria? Asyik mengeluh? Entahlah. Yang pasti jiwa aku tak keruan. Aku tak tahu di mana puncanya dan sejak bila. Benar juga kata Hasnul Amin, aku memang tak ada mood. Entah kenapa apa saja yang aku lakukan serba tidak kena. Ada saja silap di mana-mana.

“Kenapa termenung depan makanan ni? Dah sejuk dah pun mi tu. Sure tak sedap.”

Tersentak sedikit aku dengan teguran Hasnul Amin. Berkerut kening melihat dia sedang enak mengunyah nasi goreng kampung. Sejak bila dia duduk situ?

“Err..bila kau duduk? Tak sedar pun?”

“Mana nak sedar. Panjang menungnya. Ingatkan siapa?”

Sedikit bergetar jantungku dengan soalan yang terpacul keluar dari bibirnya itu. Ingatkan siapa? Mana ada aku ingat siapa-siapa! Hati aku kuat menafikan. Tapi mengapa bila soalan itu yang diajukannya aku jadi gemuruh? Sepintas lalu nama Irfan tiba-tiba timbul di kepala. Cepat-cepat aku menggelengkan kepala untuk mengusirnya jauh-jauh.

“Ha sudah, kenapa main geleng-geleng kepala tak tentu pasal ni? Parkinson ke pulak? Atau kau menyanyi dalam hati?”

Aku berkerut kening memandangnya. Menyanyi dalam hati?

“Apa kau ingat aku tengah nyanyi lagu angguk-angguk geleng-geleng?”

Pecah tawa tunangku ini. Sampai terkeluar sebutir dua nasi yang berada dalam mulutnya itu. Ish, tak senonoh betul!

“Sorry, sorry.”

Dia menutup mulut sambil menyambung tawanya. Gelihati pula aku tengok. Penyudahnya, aku turut sama tertawa kecil.

“Kenapa ni sayang? Kau sakit ke?”

Hasnul Amin bertanya lembut setelah tawanya reda. Aku menghela nafas perlahan. Sizzling mee aku suap perlahan-lahan. Bagaimana aku hendak menjawab soalannya itu sedang aku tidak punya jawapan?

“Taklah aku sihat. Kau jangan risaulah.”

“Mestilah risau. Kau kan tunang aku. Aku sayang kau.”

Aku mengukir senyum untuknya.

“Aku pun sayang kau jugak.”

“Kalau sayang, sharelah dengan aku. Kau ada problem ke?”

“Tak ada.”

“Tipulah.”

“Betullah Hasnul.”

“Kalau betul, kenapa lain macam aja? Tak pernah-pernah kau macam ni?”

“Tak ada apa-apalah.”

Aku cuba berlagak selamba. Sedang dalam hatiku ini berperang dengan perasaanku sendiri. Apa yang sedang berlaku pada aku ni? Konflik perasaan? Apa yang aku mahu sebenarnya? Apa yang aku harapkan?

“Mama dah bising-bising kat aku ni.”

“Hmm? Kenapa?”

“Suruh survey baju pengantin.”

Aku menelan air liur. Alamak, bagaimana aku boleh lupa? Hari perkahwinanku semakin dekat. Sedang aku langsung tak bersedia lagi. Langsung tidak terlintas untuk memikirkannya. Hai Nissa, macam tak nak kahwin saja gaya kau ni?

“Dah tu kau jawap apa?”

“Aku cakaplah aku mana ada masa. Tapi Nissa, aku cakap betul. Bukan aku saja nak mengelak eh. Memang aku sibuk sikit lately. Kau sendiri nampak, kan? Kita nak jumpa pun bukan senang, kan?”

“Ya, aku faham. Kerja macam kau ni tak tentu masa. Aku tak salahkan kau. Aku pun sibuk. Frankly, aku langsung tak fikir pasal perkahwinan kita. Aku rasa macam lambat lagi kita nak kahwin. Tak sangka beberapa bulan aja lagi, kan?”

“Hmm, waktu berjalan begitu pantas.”

“Hasnul, err.. apa kata kita postpone?”

Hasnul Amin mengangkat kening.

“Lagi? Nissa, dah dua kali kita postpone tau. Aku tak lalu nak dengar mama potpet-potpet.”

Aku tersenyum kelat. Memang sudah dua kali kami menangguhkan perkahwinan ini. Alasan, masing-masing sibuk. Mengikut perjanjian, kami hanya mengikat pertunangan selama tiga bulan saja. Tetapi terpaksa ditangguhkan gara-gara Hasnul Amin kena bertugas di Gaza mengikut Mercy Malaysia. Kali kedua, aku pula yang terpaksa menangguh kerana berkursus di utara tanah air serta jadualku yang sangat padat. Mujur, kedua belah keluarga memahami dan bersetuju. Itupun terdengar juga rungutan dari mak yang tidak berpuas hati. Apa lagi yang mampu ku lakukan? Tapi jika kali ini juga bertangguh lagi, aku tidak tahu atas alasan apa yang sepatutnya kami beri.

“Nissa?”

“Hah?”

“Tengok tu, menung lagi.”

Hasnul Amin sedikit bersungut. Aku menghadiahkan senyuman padanya.

“Kenapa ni sayang?”

“Entahlah Nul, terus-terang aku belum bersedia lagi.”

Hasnul Amin merenung tepat ke mataku. Menimbulkan rasa serba-salah di benakku. Aku tahu pasti dia berkecil hati. Seolah-olah aku tidak boleh menerima dia.

“Kau sayang aku kan?”

Aku mengangguk perlahan.

“Kalau sayang, kita teruskan eh? Jangan bertangguh lagi? Please dear..”

Aku menarik nafas dalam. Ah, jiwa kacau!

“Nissa, jangan buat aku tunggu lagi please? Serius aku tak sanggup. We love each other, right?”

“InsyaAllah. Tapi aku tak janji.”

“Janganlah macam tu. Jangan ubah fikiran ya?”

Aku hanya tersenyum hambar. Seperti dia, aku juga mahu meneruskan perkahwinan ini. Namun hati aku saat ini susah untuk ditafsirkan. Apakah keputusan aku mengahwini Hasnul Amin adalah tepat? Apakah masih ada ruang dan harapan untuk Irfan? Eh, kenapa nama Irfan muncul lagi ni? Ya Allah, bantu aku. Aku keliru.

Kamal Oh Kamalia 21

Sebaik pintu utama rumah Azlin di buka, terus saja aku meluru ke kamarnya. Seperti yang ku jangka, Azlin terbaring lesu. Aku menapak perlahan menghampiri katilnya. Berbalut kemas tubuhnya dengan comforter. Aku mendongak ke syiling, kipas terpasang laju lalu aku berpaling semula menuju ke dinding di tepi pintu. Memulas tombol kipas syiling ke angka dua. Azlin ni, dah tahu tidak sihat, yang pasang kipas laju-laju tu kenapa?

“Mal?”

“Eh, Lin dah bangun? Sorry kalau Mal buat Lin terjaga.”

Tersentak sedikit aku. Dalam pada itu sempat juga aku mengawal suaraku menjadi halus. Nasib baik aku tak melatah. Kalau tidak memang kes naya kalau suara jantan aku yang keluar. Aku menghampirinya semula. Teragak-agak aku hendak melabuhkan punggung di sebelahnya. Sudahnya aku hanya melutut di sisi katil. Kura tangan aku letak di dahinya. Masih panas.

“Lin demam lagi ni. Langsung tak kurang ya dari semalam?”

Azlin tersenyum hambar. Sayu aku melihat senyumannya itu. Rasa bersalah meninggalkan dia semalaman serta-merta datang merusuh jiwa. Kasihan kau Azlin.

“Jom, pergi klinik?”

“Mal tak ada kelas ke pagi ni?”

Azlin merenungku layu. Pasti virus demam itu telah menyerang segala urat sendinya sehingga dia kelihatan begitu lemah sekali. Aku cuba mengorak senyum padanya sambil menggeleng.

“Tak. Petang karang. Kita pergi klinik ya?”

“Tak apalah Mal. Sikit aja ni. Lin okey.”

“Sikit apanya? Dari semalam tak kebah-kebah? Kita pergi ya?”

Aku masih belum jemu memujuknya. Boleh tahan degil juga dia ni. Salah satu sifatnya yang baru ku ketahui. Dia tersenyum hambar.

“Mal kan baru balik dari kerja? Mal mesti penat, kan? Mal restlah dulu. Lin okey, jangan risau.”

Ya Allah, terharunya aku rasa. Dalam keadaan dia sakit begini masih terfikir tentang diriku? Masih fikir betapa lelahnya aku bekerja semalaman? Aku betul-betul rasa bersalah membohongi dia. Andainya kau tahu Azlin.

“Tak apa. Bukan jauh sangat klinik tu. Jom?”

“Hmm.. betul ni?”

Aku mengangguk ceria.

“Okey. Lin mandi dulu ya?”

“Okey. Mal tunggu kat luar. Err.. Lin belum makan ya? Mal buat nestum eh?”

Perlahan gadis itu mengukir senyum. Walau dalam keadaan apa sekali pun senyumannya tetap menawan kalbuku. Tetap indah di mataku dan melekat di minda. Aku membalas mesra senyuman gadis kesayanganku itu.

***

Perlahan aku memapahnya semula ke katil. Membantu dia merebahkan diri. Walau jiwaku ini bergetar hebat terpaksa ku tahan demi menjadi seorang Kamalia di mata Azlin. Tubuhnya masih panas. Luluh hatiku ini melihat Azlin yang ku sayang jatuh sakit begini. Namun walau masih dalam keadaan sakit begini senyuman manis tetap terukir indah di wajahnya.

Setelah ku pastikan Azlin sudah berada di dalam keadaan selesa, aku menuju ke dapur. Mengambil sebesen air dan mencari tuala kecil di dapur lalu menapak semula ke kamarnya. Azlin memejam rapat matanya. Aku mencelup tuala kecil itu ke dalam air dan memerahnya kuat. Lantas tuala kecil itu ku letak di dahi Azlin yang mulus itu. Dia membuka matanya perlahan. Sempat lagi melemparkan senyum padaku. Sudah pasti senyumannya itu ku balas mesra.

“Lin rehatlah. Mal tak pergi mana.”

“Terima kasih Mal, susahkan Mal aja.”

“Tak apa. Ini hari Lin, esok lusa mungkin hari Mal, kan? Dah Lin rest aja. Jangan banyak cakap.”

Azlin mengukir senyum tipis lalu memejam matanya semula. Aku masih terpekur di sisi katilnya. Masih melutut menemaninya. Tidak berani aku duduk berhampiran dengannya. Bimbang pada rasa yang hadir. Gentar pada getaran yang menyelinap di jiwa. Tiba-tiba telefon bimbitku berbunyi. Cepat-cepat aku berlari ke luar agar bunyi deringan itu tidak mengganggu lenanya Azlin. Aku merenung skrin telefon bimbitku. Iqbal?

“Assalamualaikum, Mal.”

“Walaikumsalam. Oit, Kau apa hal call aku ni? Kantoi karang macam mana?”

“Ala, relekslah cik Kamalia. Tu pun nak kecoh.”

“Ha, kau nak apa ni?”

“Saja.”

“Saja?”

Iqbal tergelak di talian. Tak guna punya kawan, aku hampir-hampir nak luruh jantung dengan panggilannya ini, dia boleh cakap saja?

“Rilekslah Mal, aku nak tanya khabar awek kau aja. Demam lagi ke dia?”

“Demam lagi. Makin panas.”

“Dah bawa ke klinik?”

“Baru baliklah ni. Tu tengah tidur. Kesian aku tengok.”

“Wah, syok kau eh? Boleh masuk sesuka hati ke bilik dia. Hati-hati Mal. Kuatkan Iman.”

“Ya, aku tahu. Terima kasih ingatkan aku.”

“Aku akan sentiasa ingatkan sahabat aku supaya tak hanyut.”

Aku mencebik mendengar usikan berbaur amaran dari Iqbal itu. Ingat aku ni teruk sangatkah? Tapi aku tidak kisah, sekurang-kurangnya Iqbal sentiasa menyedarkan siapa diriku ini.

“Okeylah, aku nak tanya tu aja. Kau jaga dia baik-baik. Jangan lupa kawal diri kau tu.”

“Tahulah!”

Seusai memberi salam, talian dimatikan. Aku menjengahkan kepala ke bilik Azlin. Nampaknya dia benar-benar sudah lena. Mujur dia tidak mendengar perbualan aku dan iqbal sebentar tadi. Aku menapak ke dapur. Memandang keliling. Serba ringkas dapur Azlin. Kemas dan bersih. Aku bercadang hendak memasak untuknya. Aku garu kepala yang elok berbalut tudung. Nak masak apa? Selalunya orang sakit tiada selera makan. Jadi nak masak apa untuk dia?

Ish, beriya-iyanya kau Kamal nak masak-masak segala. Macamlah kau handal memasak. Diri sendiri pun tidak terurus dan asyik makan mi segera sahaja, ada hati nak masakkan untuk anak orang yang sedang sakit. Mahu mati keracunan dia nanti. Hatiku bermonolog sendiri. Ah, aku tidak kira! Aku ingin menjadi sahabat yang baik untuk Azlin. Aku ingin menunjukkan yang aku juga boleh memasak seperti perempuan lain. Barulah semakin rapat hubungan aku dan dia. Tapi nak masak apa ni? Jemariku masih menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Aku buntu. Nak masak tapi tak tahu. Baik aku telefon mak.

Sepantas kilat tanganku mencapai telefon bimbit yang ku letak di atas peti sejuk. Mencari nama mak di dalam senarai buku telefon bimbitku. Lantas, jemariku menari-nari memetik nombor ibu kesayanganku itu. Aku menanti dengan sabar sambil mengerling jam di tangan. Baru pukul sepuluh setengah pagi. Waktu-waktu begini mak sedikit sibuk di dapur.

“Assalamualaikum mak.”

Salam ku hulur sebaik talian dapat disambungkan. Mendengar suara ceria mak menjawab salamku sahaja sudah cukup membahagiakan.

“Mak sihat? Adik-adik mana?”

“Alhamdulillah, mak sihat aja. Adik-adik kamu biasalah, waktu begini kat sekolahlah.”

“Oh ya, Mal lupa pulak. Ni mak, Mal nak tanya sikit ni.”

“Ha, apa dia?”

“Kawan Mal sakit. Mal ingat nak masak untuk dia. Selalunya orang sakit makan apa?”

“Sakit apa kawan kamu tu?”

“Ala, demam biasa aja mak. Nak masak apa ya mak? Mal tak tahulah.”

“Amboi, rajin benar anak mak ni nak masak? Tak pernah-pernah macam ni? Selalunya main beli aja. Tak kiralah sakit ke, sihat ke, ni mesti kawan istimewa ya?”

“Ish, ke situ pulak mak ni. Tak ada maknanya. Mal sajalah nak jimat duit. Cepatlah mak, beritahu Mal nak masak apa ni?”

Cepat-cepat aku potong cakap mak. Huh, pandai betul mak aku meneka. Menggelabah sekejap aku.

Terpaksalah aku berbohong sunat dengan demi menutup kesalahan. Maaf mak, lain kali Mal tak buat lagi.

“Kawan kamu tu nak makan apa?”

“Tak adalah dia cakap nak makan apa. Tapi Mal kesianlah, dari tadi dia tak makan. Tak lalu agaknya.”

“Hmm, biasalah tu. Orang demam ni tekak dia akan rasa payau, tawar. Tu yang tak ada selera tu. Tapi macam mana pun kamu mesti suruh dia makan juga. Nanti perut masuk angin, sakit lain pulak yang datang.”

“Ya Mak. Mal tahu. Tapi nak masak apa?”

“Nak senang masak aja bubur nasi.”

“Bubur nasi? Macam mana masaknya?”

Aku dengar mak tergelak di talian. Mentang-mentanglah aku tak pandai masak, sampai hati mak gelakkan aku.

“Itulah, dulu kalau selalu tolong mak kat dapur kan senang?”

Mak menyambung gelaknya. Terpaksalah aku menahan dan bersabar. Dalam diam aku turut tersenyum mendengar kecerian mak di talian. Kesabaran aku berbaloi bila akhirnya mak mengajar cara-cara untuk menanak bubur nasi. Aku tersenyum puas.

Melankolik Cinta Cassandra 8

Cassandra meraup wajah. Mimpi itu datang lagi. Mimpi yang sama dan di waktu yang sama. Apakah maksudnya? Dia benar-benar ingin tahu. Kepada siapa dia harus mengadu?

Cassandra turun dari katil dan menapak perlahan ke jendela kamar. Tabir nipis berwarna putih itu disuak santun. Semilir dingin menerobos lembut ke kulit wajahnya yang mulus. Menggamit remang romanya. Entah mengapa hatinya begitu merindui ibunya. Walhal baru kelmarin dia bersua muka. Terasa ingin bermanja-manja pula. Dulu jika dia terbangun dari tidur begini atau tidak boleh lena, pasti ibunya menemani dia sehingga dia terlentok pulas di riba wanita itu. Kini tidak lagi. Dia bukan lagi sang puteri manja yang perlu dibelai dan dipujuk tatkala hati dilanda gundah. Dia kini adalah gadis cekal, dia sangat tabah. Kerana dia telah pun memilih jalan ini.

Cassandra mengeluh. Jika begitu apakah masalah dirinya sekarang? Mengapa hatinya berasa tidak enak? Sejak mimpi yang tidak diundang itu kerap hadir dalam lenanya, dia sering mengeluh. Dia seolah-olah tercari-cari sesuatu. Dia bagaikan terkapai-kapai. Jika ditanya pada hatinya, apakah dia merindui ibu, itu bukanlah jawapan yang tepat. Ayahnya? Mana mungkin! Jimmy Yap? Jauh sekali! Entahlah, dia sendiri tidak mengerti. Jam di dinding dikerling sekilas. Tiada tanda-tanda matanya ingin layu semula. Nak buat apa ya? Waktu-waktu begini semua teman-teman sedang diulit mimpi yang indah. Tiada guna jika dia menghantar sms pun.

Sedang dia terkebil-kebil melayan matanya yang segar bugar itu, Cassandra terpandang kotak empat segi yang elok diam di atas almarinya. Dia mengambilnya lalu dibawa ke katil. Penutup kotak itu dibuka perlahan. Segala isi perut kotak itu dikeluarkan satu-persatu. Kebanyakannya barang-barang pemberian dari Jimmy Yap. Tanda kasih lelaki itu padanya suatu masa dahulu. Saat itu dia benar-benar bahagia menyulam cinta bersama Jimmy Yap. Namun itu semua adalah kisah silam. Dia telah meletak kenangan manis itu ke tepi. Namun masih belum berani untuk membuangnya. Cassandra sedar di satu sudut dalam hatinya masih terpahat nama lelaki itu. Masih belum ingin dicampak jauh. Walaupun hubungan itu sudah lama berkubur.
Cassandra menyentuh bingkai gambar yang berwarna merah. Semerah hatinya saat berkasihan dengan Jimmy Yap. Hangat dan membara. Jemari halusnya menyapu sedikit habuk yang terlekat di permukaan bingkai gambar itu. Barulah jelas, wajah Jimmy Yap yang tertawa riang sedang memeluknya yang juga mengukir senyuman bahagia. Ah, betapa indah saat itu bila dikenang. Semuanya manis belaka. Sehinggalah Jimmy Yap tega menghunus bilah-bilah tajam yang melumatkan sekeping hatinya. Luka dan berdarah. Jika sembuh pun parutnya tetap ada dan kekal. Sejak itu cintanya pada Jimmy Yap terus mati. Berkubur ditimbus kebencian.


***


Ralit bola matanya melihat kanak-kanak yang tertawa riang di taman permainan itu. Sayu jiwanya menyoroti keletah anak-anak comel yang lincah di hadapannya. Dia dambakan seorang cahaya mata. Alangkah indahnya jika dia menjadi ibu. Betapa sempurnanya diri sebagai seorang wanita jika dapat memberi zuriat kepada suami tercinta. Soleha sebak.

“Sudahlah tu jangan sedih-sedih. Dah tak ada rezeki kita nak buat macam mana lagi, kan? Sabar banyak-banyak,” pujuk Hanafi lembut.

“Maafkan Leha bang, Leha tak dapat jadi isteri yang sempurna untuk abang,” kata Soleha sambil menyeka airmata yang mula bergenang.

“Siapa cakap Leha bukan isteri yang sempurna? Sayang, walau apa pun yang terjadi, abang tetap sayangkan Leha, sama macam dulu juga. Leha tetap sempurna di mata abang,” pujuk Hanafi lagi. Hati lelakinya tidak dapat menahan bila melihat isteri kesayangan sedih begini.

Soleha tergelak kecil.

“Pandai betul abang pujuk Leha ya? Sampai dah cair hati Leha ni,” dia menjeling manja sambil menepuk perlahan bahu Hanafi.

Hanafi turut tergelak.

“Ha, itu tandanya abang ni seorang yang romantik, kan?” Usik Hanafi pula sambil mencubit lembut pipi Soleha.

Soleha tersipu. “Abang bukan saja romantik, abang ni baik dan sabar. Leha rasa bertuah tau,” puji Soleha. Dia benar-benar ikhlas dengan kata-katanya itu.

Pujian Soleha itu membuat Hanafi tersenyum lebar. Kembang setaman hatinya bila dihargai oleh isteri tercinta.

“Kadang-kadang Leha terfikir, kenapa abang jatuh hati pada Leha dulu ya? Leha ni tak lawa pun, Leha tak bijak macam abang, Leha bukan wanita sempurna untuk abang. Banyak sangat kurangnya Leha ni,” tutur Soleha sayu.

“Eh, siapa cakap Leha tak lawa? Memanglah ramai perempuan cantik, tapi bagi abang perempuan tu tak secantik Leha. Kalau ada perempuan yang pandai pun, pasti tidak sebijak Soleha abang yang seorang ni,” ujar Hanafi sambil mencubit pipi Soleha sekali lagi.

“Macam abang cakap tadi, Leha tetap sempurna di mata abang. Kalau ada kurangnya Leha, abang tolong lengkapkan dan kalau abang yang kurang Lehalah yang lengkapkan hidup abang,” sambungnya lagi.

Soleha tersenyum. Perasaan sayu yang menjengah tadi hilang bila dipujuk Hanafi.

“Pandailah abang nak pujuk Leha eh?” Kata Soleha sambil menjeling manja.

“Abang bukan memujuklah. Abang cakap tentang kenyataan yang berada di depan mata abang ni. Apa yang abang katakan lahir dari hati abang yang tulus, sayang.”

Soleha tersenyum bahagia. Hanafi sentiasa berlembut dan terlalu menjaga perasaannya. Perlahan dia merebahkan kepala ke bahu suaminya itu.

“Eh, ni kenapa ni? Nak manja-manja dengan abanglah tu ya?” Hanafi mencuit hidung Soleha. Tangannya mula melingkar di bahu Soleha.

Soleha tersipu manja. “Salah ke? Bukannya lama lagi Leha nak bermanja dengan abang,” tutur Soleha sambil jemarinya bermain-main di telapak tangan Hanafi.

“Leha, kenapa cakap macam ni? Abang tak suka dengarlah,” protes Hanafi untuk sekian kalinya. Memang dia tidak sanggup untuk mendengar. Tapi ayat yang sama jugalah yang sering Soleha sebut-sebut.

“Suka atau tidak, itu hakikatnya bang. Abang harus bersedia dari sekarang,” Soleha cuba memberi peringatan.

Jeritan kecil seorang perempuan membuat lamunannya berkecai. Soleha memandang ke arah suara yang mengaduh kesakitan itu. Kelihatan seorang gadis Cina sedang menunduk menekan perutnya. Soleha tidak berlengah lalu mendapatkan gadis itu segera.

“Adik tak apa-apa?” Tanya Soleha sedikit cemas.

Berkerut wajah gadis itu. Sepertinya sedang menahan senak. Soleha terpandang sebiji bola sepak berdekatan gadis yang sedang menahan sakit itu. Pastinya sebiji bola keras itu telah menjadikan perut gadis itu sebagai sasaran. Kasihan.

“Sorry kak, tak sengaja,” tiba-tiba datang kanak-kanak lelaki lebih kurang berumur sembilan tahun.

Tersengih-sengih dengan muka yang berminyak dan berpeluh-peluh. Wajahnya kelihatan serba salah dan mungkin juga rasa bersalah. Gadis Cina yang sedang menahan sakit itu cuba mengukir senyum.

“It’s okay.”

“Err… saya nak ambil balik bola tu ya?” Teragak-agak budak lelaki itu ingin melangkah. Dia merenung Soleha sambil tersengih.

“Boleh ya makcik?” Sekali lagi budak itu meminta kebenaran.

Soleha tersenyum manis. Sambil mengangguk. “Boleh sayang, tapi lain kali berhati-hati ya, tengok-tengok keadaan sekeliling,” sempat dia memberi pesanan kepada budak lelaki itu.

“Jom duduk sana,” ajak Soleha setelah budak lelaki itu berlalu meninggalkan mereka. Dia mengagahkan diri memapah gadis itu yang masih membongok menahan senak di perutnya.

“Adik tak apa-apa?” Soleha bertanya sekali lagi.

“Yes, I’m okay. Kakak jangan risaulah.”

Soleha tersenyum manis lalu meghulurkan tangan untuk berjabat.

“Nama akak Soleha. Guru agama di Sekolah Rendah Sri Melati,” ujarnya memperkenalkan diri.

“Oh, maknanya kakak ni ustazahlah ya?”

Soleha tersenyum.

“Panggil kak Leha saja ya? Adik tinggal di mana? Tak pernah nampak pun sebelum ni?” Soal Soleha lagi.

“Oh, kebetulan lalu di sini. Saja nak cuci mata tengok budak-budak bermain di sini.”

Soleha mengangguk perlahan. Dia amati gadis itu. Cantik dan fasih berbahasa Melayu.

“Kak Leha tinggal dekat-dekat sini juga?”

“Iya. Rumah akak kat sana tu. Yang ada buaian di depan tu,” Soleha menunjuk ke arah rumahnya.

“Oh yang itu ya. Hmm, cantik rumah kak Leha. Selalu ke kak Leha datang ke sini?”

“Tak juga selalu, bila ada kelapangan, di sinilah akak habiskan masa. Seronok tengok budak-budak bermain. Terhibur rasanya.”

“Yang mana satu anak kak Leha?”

Entah mengapa soalan mulus gadis Cina itu mengundang sayu di hatinya. “Erm, akak tak ada anak,” jawab Soleha perlahan.

“Oh, maafkan saya. Saya tak tahu. Betul-betul minta maaf ya kak.”

“Eh, tak apalah. Adik tak salah,” Soleha cuba memaniskan muka agar gadis itu tidak rasa bersalah pada soalannya tadi. Dia terpaksa berpura-pura begitu. Baginya tiada guna hendak menyalahkan takdir atau sesiapa pun.

“Oh ya, sembang-sembang juga, nama adik ni siapa?” Tanya Soleha cuba mengubah topik perbualan.

“Oh ya! Sorry, forgot to introduce myself. Saya Cassandra. Cassandra Lau Mei Lin,” jawab Cassandra tersenyum manis.

“Cassandra. Sedap nama tu,” puji Soleha.

Cassandra tergelak manja. “Sedap macam boleh dimakan ye kak?”

Giliran Soleha pula tertawa. “Fasih berbahasa Melayu ya? Mesti dulu sekolah Melayu, kan?” Tanya Soleha.

Bukan dia berniat untuk mencungkil rahsia kehidupan gadis itu tetapi hanya sekadar untuk berkenalan dengan ikhlas.

“Iya betul tu. Dulu saya sekolah Melayu. Jadi ramai kawan-kawan saya Melayu. Lagipun mummy saya keturunan Baba Nyonya. Mummy tak pandai cakap Mandarin atau English kak. Jadi mummy sentiasa berbahasa Melayu di rumah,” terang Cassandra panjang lebar.

“Oh begitu, patutlah… ayah Cassandra pula?”

“Daddy berbangsa Tiong Hua dan beragama Katolik. Mummy pula beragama Budhha,” Cassandra tersenyum melihat wajah Solehah yang sedikit tercengang bila kisah peribadinya terbongkar.

“Jadi Cassandra ikut agama siapa? Mak atau ayah?” Tanya Soleha lagi. Dia agak tertarik dengan latar belakang Cassandra.

Cassandra tergelak kecil. “Tak ada agama kak Leha. Saya free thinker,” jawabnya jujur.

Soleha mengangguk perlahan. Kasihannya. Ingin saja dia perkenalkan dunia Islam pada gadis itu. Tetapi entah mengapa lidahnya tiba-tiba kelu. Mungkin belum sampai masanya lagi. Biarlah dia berkenal-kenalan dengan gadis ini dahulu. Dia akan mencuba perlahan-lahan. Tidak sabar rasanya ingin menceritakan betapa indahnya Islam itu. Satu-satunya agama yang benar, yang lurus.