Aku in Love! 2


“Mawar!!”
Hampir terjatuh aku dari dahan pokok. Nasib baik sempat kupegang cabang-cabang dahan yang lain. Ish, tu adalah yang tak kena tu. Aku nak makan mangga dengan aman damai pun tak senang!
“Mawar!!” Jerit Mak Dinah lagi. Tak sakit ke tekak dia terjerit-jerit macam tu? Dari atas aku nampak Mak Dinah terkedek-kedek berjalan. Dah macam itik pulang petang saja gayanya. Dia tertoleh-toleh memandang sekeliling. Mencari kelibat akulah tu!
“Entah ke manalah lesapnya budak ni. Nak disuruh buat kerja pun tak boleh diharap!” Mak Dinah mengomel betul-betul di bawah pokok mangga. Dia ingat aku tak dengarkah apa yang dia cakap tu?
“Mak! Kak Mawar kat atas pokoklah,” tiba-tiba muncul suara Alif. Dari mana datangnya? Oh, dari arah beranda rupanya. Ish, budak ni langsung tak boleh simpan rahsia! Mak Dinah mendongak.
“Oii!! Apa kau buat kat atas tu? Kenapa tak menyahut bila aku panggil?” Sergah Mak Dinah nyaring.
“Makan buah mangga,” jawab aku malas.



“Yang kau ni suka sangat makan buah mangga muda tu kenapa? Dah mengandung?” Tuduhnya bersahaja.
“Apa mak ni? Ingat Mawar ni apa? Suka sangat cakap yang bukan-bukan. Nanti orang termengandung betul-betul nanti, mak juga yang dapat malu,” jawabku geram.
“Ha, buatlah kalau berani!”
Aku mencebik. Memanglah aku ni boleh dikategorikan sebagai gadis yang berani. Tapi kalau bab mengandung luar nikah ni kecut perutlah juga. Tak pernah terlintas pun aku nak menconteng arang di muka orang tua aku.
“Turun sekarang! Macam budak jantan! Suka sangat memanjat pokok,” arah Mak Dinah sambil bercekak pinggang.
“Dah hobi, nak buat macam manaaa…,” jawabku panjang meleret.
“Menjawab! Itu kau memang pandai,” tengking Mak Dinah lagi. Ish, bingit betullah suara dia ni. Nak tak nak aku turunlah juga. Lagi lambat lagi bingit telinga aku dibuatnya.
Sebaik saja kaki aku mencecah tanah, Mak Dinah cuba hendak memulas telinga aku. Seperti selalu. Namun kali ini cepat-cepat aku tepis tangannya.
“Apa mak ni? Nak piat-piat telinga Mawar, ingat Mawar budak kecil ke?” Soalku geram. Mahunya tak geram, sikit-sikit nak pulas telinga, sudahnya nanti berpusing telinga aku macam mana? Nanti tak pasal-pasal cuping telinga di depan, lubang telinga ke belakang. Tak ke haru?
“Berani kau melawan aku ya?” Tengkingnya geram.
“Ala, mak tu ada hati nak piat telinga Mawar, padahal tangan tak sampai pun,” sindirku selamba. Tapi memang betul pun. Aku lagi tinggi dari dia apa?
“Kau ni kan…”


“Dahlah mak. Yang mak beriya terpekik-pekik nama Mawar tu kenapa?” Pantas aku memotong cakapnya. Bukan boleh dibiar, mahu berjela-jela omelannya nanti.
“Pergi beli gula dua kilo!” Arahnya tegas.
“Lagi?”
“Tu aje. Pakai duit kau,” katanya sambil berlenggang-lenggok masuk ke dalam rumah.
Aku hanya mampu mengetap bibir. Alif di beranda hanya tersengih saja melihat aku. Aku hadiahkan jelingan maut pada dia. Alif kan ada, bukannya nak suruh dia. Ish, Mawar tak akanlah kau tak faham-faham lagi. Alif tu anak kesayangan dia, kau tu anak tiri dia saja. Manakan sama. Lagipun kalau disuruhnya Alif yang pergi mesti nak kena keluar duit, kan? Kalau suruh kau, setakat suruh air liur sajalah. Pandai-pandailah kau. Bisik hati kecilku.


Setelah membayar harga dua kilo gula aku melangkah keluar dari kedai Ah Tong. Enjin skuter kesayangan kuhidupkan. Skuter ini berjaya menjadi milikku setelah dua tahun aku mengumpul duit untuk membelinya. Baru nak mula tunggang, aku dihalang oleh Mat spanar dan Yob kambing. Teman sepermainanku dari kecil. Sebenarnya nama dia orang ni sedap, aku yang saja-saja bagi gelaran begitu. Mat Spanar tu nama betulnya Ahmad. Gelaran Mat spanar tu sebab dia ada bengkel kereta. Kalau dah hari-hari bergelumang dengan spanar, skru dan sewaktu dengannya sepadanlah dengan nama yang aku bagi tu. Orangnya tak adalah kacak pun. Biasa-biasa saja. Ayob atau Yob kambing tu pula seorang penternak kambing yang berjaya. Bukan juga dalam kategori lelaki kacak tapi manisnya tetap ada kerana janggut sejemputnya. Janggutnya tu dah macam janggut kambing juga. Taukelah katakan. Kadang-kadang tu bau pun dah macam kambing! Sungguhpun mereka nakal, tapi mereka tidak jahat. Mereka ada kerjaya. Bukan jenis manusia yang suka berpeleseran dan menghabiskan duit mak bapak saja.


“Patutlah manis orangnya, banyak gula yang dia makan hari-hari,” kata Mat spanar sambil tersengih melirik ke arah Yob kambing. Lebar senyum si Yob kambing.
“Boleh ke tepi tak?” Aku menjeling tajam. Aku sebenarnya tak suka dia orang kacau aku begini. Tak manis dipandang orang. Orang kampung aku ni bukan boleh harap. Bab-bab gosip memang laju.
“Kejaplah Mawar. Kau ni bila nampak kami je nak naik angin,” kata Mat spanar lagi. Yob kambing hanya mengangguk tanda setuju sambil tersengih-sengih.
“Sebab korang ni suka buang masa aku! Dah tepi-tepi,” aku cuba meloloskan diri dari mereka.
“Mawar kejaplah, aku nak tanya sikit ni boleh tak?” Tanya Yob kambing.
“Tak boleh! Tepilah!” Bentakku geram. Sudahlah cuaca petang ni panas, mana geram dengan mak tiri aku tadi tak habis lagi, datang pula mamat dua orang ni buat kacau, makan panas hati aku dibuatnya.
“Sombong betullah kau ni Mawar. Tak rock langsung!” Gerutu Yob kambing.
“Apa rock-rock? Tepilah! Aku nak balik ni, karang mak aku marah!” Suaraku sudah meninggi.
“Ala, kau ni macam tak biasa kena marah dengan mak tiri kau tu,” tukas Yob kambing.
“Entahnya, selalu boleh aje kau melawan balik?” Tokok Mat spanar pula.
“Eh, yang kau orang berdua ni dah tak ada kerja ke? Nak menyibuk-nyibuk hal aku kenapa? Kau tu Mat hari ni tutup bengkel ke? Yob? Kambing-kambing kau dah bagi makan?” Soal aku bertubi-tubi dengan niat hendak menghalau mereka supaya beredar segera.


Mat spanar tersengih. Kemudian dia merenung Yob kambing. “Yob, ni yang buat aku makin sayang kat Mawar ni. Dia betul-betul ambil berat pasal kita, kan?”
Yob kambing tersengih sambil mengangguk laju. “Betul-betul. Aku sokong!” Tambahnya.
“Eh, helo? Tak ada maknanya aku nak ambil berat pasal korang. Dasar tak paham bahasa punya manusia. Tepilah!” Sanggahku geram.
“Sabarlah kejap. Aku nak tanya sikit ni. Selagi kau tak jawab selagi tu kau tak boleh balik,” kata Yob kambing.
“Ish! Apa dia? Cakap cepat!”
“Amboi, anak dara ni, marah sangat nampak?” Mat spanar tersengih.
“Panaslah weh, terbakarlah kulit aku.”
“Ala Mawar, kau dah comel dah, tak adanya kerana berjemur sekejap kulit kau yang melepak tu jadi hitam, risau sangat,” bebel Mat spanar.
Aku buat-buat tak dengar. Aku dah mula rasa tak selesa. Badan dah rasa berlengas semacam. Muka aku ni dah berminyak-minyak. Boleh goreng pisang rasanya ni. Aku tarik muka masam.
“Okey-okey, janganlah buat muka macam tu,” pujuk Mat spanar lalu menyiku Yob kambing.
Tiba-tiba aku rasa pipiku perit. Tak guna punya Yob kambing! Dia cubit pipi aku? “Hoi! Kau jangan kurang ajar sangat! Aku lempang nanti nak?” Aku dah mula naik angin. Berani betul dia sentuh aku?


“Siapa suruh kau buat muka comel macam tu? Aku geramlah,” jawab Yob kambing selamba. Dia mengangkat kening pada Mat spanar. Lelaki itu tersenyum lawa sambil menggeleng. Eh, handsome juga Mat spanar ni senyum macam tu ya?
“Nak cakap ke tak nak? Kalau tak nak aku nak blah ni,” gertakku.
“Okey-okey. Ni aku nak tanya pasal Ashikin. Erm, dia dah ada boyfriend ke?”
“Mana aku tau, tanyalah sendiri!”
“Ala, kau kan bestfriend dia, mesti kau tahu?” Serkap Yob kambing.
Aku buntangkan mata ke atas. Sekilas aku tengok Mat spanar senyum sambil memandang tepat ke wajahku.
“Please Mawar?”
Aku mengeluh berat. “Sungguh, memang aku dan Ashikin rapat, tapi bab-bab cinta ni dia perahsia. Sumpah! Aku tak tahu siapa boyfriend dia,” jawabku jujur.
“Tak akan langsung dia tak bercerita?” Tanya Yob kambing tidak berpuas hati.
“Tak.”
“Erm, tak apalah, senang-senang kau tolonglah risik-risik untuk aku ya?” Pinta Yob kambing penuh mengharap.
“Tengoklah,” jawabku malas.
“Janganlah macam tu Mawar. Pada siapa lagi aku nak harapkan, kaulah satu-satunya kawan aku yang boleh tolong,” rayu Yob kambing.
“Oh, bab ni… dan-dan aku jadi kawan kau eh?” Aku menempelak sambil merenung tepat ke matanya.


“Ala, memang pun, kan? Kita bukannya baru kenal. Boleh ya Mawar? Kau kan comel, kau baik, tolong orang dapat pahala tau,” pujuknya lagi.
Aku tengok senyum Mat spanar pudar sedikit. Dia menyiku Yob kambing.
“Apa?”
“Dahlah tu, kesian Mawar. Panas ni,” katanya perlahan. Tapi aku boleh dengar! Oh, thank you very much Mat Spanar! Akhirnya kau memahami juga penderitaan aku.
“Okeylah, tuan puteri boleh berangat sekarang. Dipersilakan,” tutur Yob kambing memberi ruang.
“Terima kasih,” ucapku dengan rasa lega bila ada ruang di hadapanku.
“Hati-hati Mawar!” Laung Mat spanar.
Aku hanya mengangkat tangan kepadanya dengan hati mendongkol geram. Betul-betul buang masa! Balik ni tentu kena sembur dengan Mak Dinah aku pula. Hai nasib badan….

“Patutlah lambat! Melayan jantan!” Sergah Mak Dinah tiba-tiba. Eh, bila masa pula dia ada di belakang aku? Siap bercekak pinggang lagi. Dengan malas aku sorong skuter dan masuk ke bawah rumah.
“Nah!” Aku hulur beg plastik yang berisi gula dengan muka masam. Sudahlah penat dan panas. Kena tengking lagi.
Mak Dinah mengambil huluran aku itu dengan kasar. Bukan nak ucap terima kasih!


“Tak tahu jaga maruah langsung. Nanti dah jadi benda tak elok barulah sibuk nak menangis tersedu-sedan, suka sangat bagi orang kampung mengata,” bebel Mak Dinah lagi.
Dia ingat aku hadap sangatkah dengan jantan-jantan di kampung ni? “Bukan salah Mawar, dia orang yang kacau Mawar,” kataku membela diri.
“Ah, kau memang suka orang kacau,” tukasnya pula.
“Mana ada! Mak ni tak baik tau tuduh Mawar macam tu,” rungutku lagi.
“Aku bukan menuduh, tapi ada orang beritahu aku. Tak akanlah saja-saja dia nak mereka cerita pulak?” Sanggah Mak Dinah keras.
“Siapa?” Tanyaku kembali.
Tapi langsung dia buat tak tahu. Dengan selamba dia buka selipar dan masuk ke rumah dengan lenggang-lenggoknya. Makin sakit hati aku dibuatnya. Agak-agak siapalah yang mulut murai tu ya? Hendak saja aku ramas-ramas mulut dia. Tapi aku rasa aku dah boleh agak siapa orangnya.
Aku naik ke atas menuju ke bilikku. Di ruang tamu aku lihat Alif tersengih-sengih membaca komik. Aku melangkah ke arahnya pula. Lantas buku komiknya itu aku rampas.
“Apa akak ni?” Bentaknya tak puas hati.
Heh, kira tak puas hati dia saja? Rasa tak puas hati aku ni macam mana pula?
“Kenapa? Tak puas hati?” Aku angkat kening. Buku komiknya aku sorok belakang punggungku.
“Bak sini balik! Menyibuk aje,” Alif berusaha keras untuk merampas buku komik itu. Berkerut-kerut keningnya.


“Akak menyibuk ke kau yang menyibuk?” Soalku lagi sambil menghempas komik itu ke lantai. Geram punya pasal. Tak pasal-pasal komik itu menjadi mangsa. Kesian kau komik.
“Apa akak cakap ni? Alif ada sibuk hal akak ke?” Soalnya bengang sambil tunduk mengutip komiknya itu.
“Memang!” Aku bercekak pinggang sambil mencerlung ke arahnya.
“Apa?” Tanya Alif tanpa memandang wajahku. Dia duduk lalu menyelak semula komiknya itu.
“Kau kan yang mengadu kat mak?” Penat bercekak pinggang, aku berpeluk tubuh. Cis, nak buat garang tapi tak jadi pula!
“Mengadu apa?” Alif terus menyelak komiknya tanpa memandang aku. Agaknya sedang mencari di muka surat mana dia berhenti tadi.
“Pasal Mat dengan Ayob yang kacau akak kat kedai tadi, kan?”
“Mana ada!”
“Kau janganlah tak mengaku, akak kenal sangat perangai kau yang suka mengadu domba tu,” Aku ambil komiknya itu dan kuselak ke bahagian dia berhenti buat kali terakhir.
Alif terpinga-pinga bila aku serahkan semula komik itu kepadanya.
“Eh? Macam mana akak tahu ni?” Wajah Alif ceria bila bola matanya menatap halaman itu.
“Erm, apa yang akak tak tahu pasal kau? Macam yang akak cakap tadi, kau tu kan suka mengadu domba?” Penat berdiri aku duduk pula. Betul-betul menghadap Alif. Walaupun dia tak tengok aku tak apa, janji aku menghadap dia. Senang sikit nak tunjuk ekspresi mukaku nanti.


“Tepat pulak tu!” Pujinya.
“Mestilah, baru tahu ke?” Kataku sedikit bangga.
“Boleh jadi ahli nujum ni,” ngomelnya perlahan.
“Ha?”
Alif ketawa terbahak-bahak. Aku mula kerut kening.
“Apa yang kelakar?”
“Part yang Alif baca nilah, kelakar habis!”
“Hoi! Baguslah sangat, kan? Sorang cakap ayam, sorang cakap itik,” aku rampas semula komiknya itu.
“Akak…,” rengek Alif.
“Jawab dulu soalan akak tadi,” kataku sambil meletakkan komik tu di belakangku lalu tubuh kusandarkan ke sofa.
“Akak! Habislah penyek komik Alif tu!” Jerit Alif tidak berpuas hati.
Aku buat-buat pandang ke lain sambil berpeluk tubuh. Kaki kusilangkan. Huh, sebiji macam mem besar lagaknya aku.
“Okey-okey! Apa soalan akak tadi?” Akhirnya Alif mengalah.
“Kau kan yang mengadu kat mak?” Soalku kembali. Mata kukecilkan tepat ke arahnya. Bibir pula saja ku muncungkan. Ish, entah gaya apalah aku ni. Macam tak jadi saja nak buat muka garang.


“Ye, kenapa? Salah ke Alif buat macam tu?” Akhirnya Alif mengaku. Bukan senang tau nak buat dia mengaku kesalahannya. Hmm, nampaknya aku sudah tahu kelemahan Alif.
“Salahlah! Kan mak dah bebel kat akak? Kan mak dah tuduh akak macam-macam?”
“Itu bukan tuduhan, tu peringatan buat akak,” ujarnya selamba.
“Peringatan apa macam tu? Menyakitkan hati adalah!”
“Akak ni kan, tak pernah nak hargai apa yang orang buat kat akak. Yang akak tahu Alif kaki mengadu dan mak pulak suka membebel, suka marah, suka tuduh-tuduh akak. Tapi cuba akak tengok dari sudut positifnya. Mak buat macam tu sebab mak sayang akak,” terangnya panjang lebar.
Aku terdiam sejenak. “Heh, sayang apa rupa macam tu? Tengking-tengking, marah-marah.”
“Itu cara mak tunjuk sayang dia pada akak,” jawab dia malas.
Aku terdiam lagi.
“Tu la akak, suka sangat tengok benda yang buruk-buruk. Yang baik-baiknya tak nampak pun. Tahu nak marah aje. Yang suka melenting tu sebenarnya ialah akak, bukan mak. Yang kurang kesabaran tu ialah akak juga, bukan mak.”
“Kau senanglah cakap, sebab kau tak kena dengan mak. Kau tu kan intan payung mak?”
“Ke situ pulak akak ni….”
“Betul apa? Kau bela mak, sebab dia mak kandung kau! Akak ni tak ada mak. Nak menumpang kasih pada mak tiri, tapi jauh panggang dari api!” Kataku penuh geram. Sebak dah menghentak-hentak dada aku ni. Aku bangun segera dan melangkah menuju ke bilikku.


“Mak tiri pun bagai mak kandung juga, syurga di bawah tapak kaki ibu kak,” sindiran Alif menusuk ke hati. Aku hempas pintu bilik. Lalu aku sembamkan wajahku di bantal. Dari sebak aku terus menangis. Sedih betul rasanya. Nak tumpang kasih sayang sikit pun tak dapat.
“Ibu, Mawar rindu ibu…”













Aku in Love! 1

Tik tik tik tik… lima, empat, tiga, dua, satu. Yes!! Akhirnya perintah berkurung aku tamat juga. Fuh, terseksa sungguh rasanya. Bayangkan dari pagi tadi aku tak boleh keluar bilik gara-gara aku basuh seluar jeans dan tercampur sekali dengan baju sutera Mak Dinah, ibu tiri aku. Habis rosak baju dia sebab seluar jeans yang aku beli kat pasar malam itu turun warnanya. Kan dah tak pasal-pasal kena denda. Gila betul! Dari pagi menahan lapar dan dahaga. Kalau bulan Ramadhan tak apalah juga. Kejam betul Mak Dinah aku tu. Nama bukan main lagi, Madinah. Suci lagi murni tapi kejam tak ingat dunia!

Tapi aku bersyukur juga. Dalam pada dia garang dan langsung tak boleh bertoleransi dengan aku, tetap juga dia membesarkan aku setelah ibuku pergi buat selama-lamanya sejak aku darjah enam lagi akibat barah payu dara. Walaupun tidak sepenuh kasih sayang, tanpa belaian manja, tanpa kata-kata pujukan dan pujian, aku tetap terima dengan reda. Sebenarnya aku memang anak yang degil dan suka melawan kata-katanya. Masakan tidak, mulut dia kalau dapat mengomel dan membebel memanglah tak boleh buat jiwa tenteram. Ala, aku bukan nak jadi anak derhaka pun Cuma nak menegakkan pendirian yang aku rasa betul. Aku tahulah aku pun bukan baik mana, kadang-kadang aku tersasar juga. Ha, kalau bab maki hamun tu memang dah jadi ulam bagi aku. Tak bolehkah cakap elok-elok? Kalau dia bercakap elok-elok, mesti aku pun akan bercakap elok-elok juga. Contoh melalui tauladan, kan?

Bagi aku kalau setakat melayan aku dengan buruk, aku masih boleh tahan lagi. Paling tidak pun aku boleh lawan balik. Tapi kalau sudah melibatkan ayah aku, memang aku tak boleh berkompromi. Ayah aku terlantar sakit akibat penyakit stroke. Lumpuh sebelah badan. Nasib baiklah mulutnya tak senget sekali. Kalau tidak mesti susah nak makan, minum dan bercakap. Aku tahu ayah tidak berdaya apa-apa.