Melankolik Cinta Cassandra 13

"Jemput minum Cassandra." Soleha meletakkan dua cangkir kopi di atas meja. Perlahan dia melabuhkan punggungnya di atas sofa yang berhadapan dengan Cassandra. Senyuman manis dihadiahkan buat gadis itu.

"Terima kasih kak. Susah-susah saja menjemput saya sampai ke rumah. Berbual di padang permainan itu pun dah cukup."

"Ala, kat situ panas. Sambil bersembang boleh minum-minum. Ha, jemputlah makan goreng pisang tu."

"Buat sendiri ke kak?" Soal Cassandra sambil mencapai goreng pisang itu.

"Taklah. Beli kat simpang depan sana. Akak ni bukan rajin sangat Cassandra."

"Panggil Cass pun cukup kak."

Soleha mengangguk sambil tersenyum. Wajah Cassandra diperhati. Gadis ini cantik. Matanya sepet tetapi cantik. Budi pekertinya juga bagus. Soleha amat menyenanginya.

"Apa yang penting sangat Cass nak jumpa akak ni?"

"Oh, erm.. boleh saya tanya tentang topik hari tu?" Teragak-agak Cassandra menyuarakan rasa ingin tahunya. Tangannya perlahan meletakkan cangkir kopi di atas meja semula.

"Yang mana tu?"

"Tentang ketuhanan?" Terangkat sedikit keningnya sambil merenung tepat ke wajah Soleha. Bimbangnya juga dengan reaksi wanita itu.

"Okay, apa yang Cass nak tahu?"

"Kakak cakap dulu, err.. pasal iman. Boleh kakak ulang semula?"

"Maksud Cass, rukun iman yang pertama?"

"Err.. apa tu kak?"

Soleha tersenyum. Lalu cangkir kopi diletakkannya di atas meja semula. Dia bangun menuju ke rak buku yang tersusun rapi di satu sudut ruang tamu sebelah kanan berhampiran dengan ruang makan. Sebuah buku diambil dan dilihat tajuknya. Soleha memandang semula ke arah Cassandra. Sambil tersenyum, dia menapak perlahan ke arah gadis itu lalu menyerahkan buku tersebut.

Cassandra menyambutnya dengan wajah sedikit terpinga. Buku itu direnung dan dibaca. ‘Iman dan Kehidupan,’ hasil tulisan Dr. Yusuf Qardhawi. Dia merenung semula ke arah Soleha. Tanpa suara, matanya telah pun memberi isyarat tanda bertanya.

"Buku tu bagus untuk Cass belajar dan nak tahu pasal iman. Manusia ni mempunyai pilihan untuk mentaati apa yang diimaninya atau yang disembahnya," bagai mengerti isyarat mata gadis itu, Soleha menerangkan tujuannya memberikan buku itu.

"Maksud kakak, pilihan untuk beragama? Tapi saya sudah membuat pilihan saya sendiri kak."

"Tidak mempercayai mana-mana agama?" Soleha menduga sambil mengukir senyum.

Cassandra mengangguk.

"Cass sudah mengkaji setiap agama di dunia ni?"

"Semua sudah, kecuali.."

"Kecuali Islam?"

"Ya."

"Mengapa? Tak menarik?"

Cassandra diam. Patutkah dia meluahkan pendapatnya tentang agama nan satu ini? Mungkinkah Soleha akan naik berang atau berkecil hati?

"Erm, kakak jangan marah ya. Bagi saya Islam agama yang kolot dan rumit. Islam agama pengganas kak."

Soleha tersenyum manis. Dia tidak terkejut langsung dengan pernyataan Cassandra itu. Itu biasa baginya.

"Tak, akak tak marah Cass. Cass baca buku tu dulu, kalau tak faham tanya tau. Banyak lagi buku-buku tentang Islam yang bagus untuk Cass baca. Bila dah habis baca nanti baru Cass beritahu akak semula apa pendapat Cass tentang Islam ya?" Begitu lembut dan teratur kata-kata yang lahir dari bibir pucat wanita itu. Membuat Cassandra terkasima seketika. Tiada riak marah atau geram terpamer di wajah bersih itu. Yang terukir indah hanyalah senyuman yang tidak lekang di bibir.

"Buku ini tentang apa kak?"

"Beriman kepada Allah dan mengenal erti kebaikan dalam kehidupan.”

Cassandra berkerut kening. Dia masih kurang jelas.

Soleha tergelak kecil melihat wajah comel Cassandra yang berkerut itu. “Ilmu dan kehidupan itu saling berkait. Ilmu pengetahuan itu hanya menyediakan jalan bagi manusia menjadi moden dalam kehidupannya tetapi tidak memberi arah kepada petunjuk sebenar kehidupan yang lebih punyai nilai dan maksud yang lebih tinggi. Maka di sini, imanlah yang memainkan peranannya."

Cassandra menggaru kepala. "Err.. saya tak berapa faham kak."

"Tak mengapa Cass, baca buku tu dulu. Tak faham nanti boleh tanya ya. Akak sedia membantu Cass. No charge."

Mereka berdua ketawa.

"Baiklah saya pinjam dulu ya? Dah habis baca nanti saya pulangkan semula."

"Nak simpan terus pun boleh Cass."

Soleha menjemput Cassandra minum dan makan semula. Cassandra tersenyum lalu mencapai goreng pisang yang mula hendak sejuk itu.

"Err kak, sebenarnya saya ada tujuan lain ni."

"Apa dia? Cakaplah. Kalau boleh akak bantu, akak akan cuba."

"Kakak tahu apa-apa tak pasal mimpi?"

"Mimpi?" Wajah Soleha sedikit berkerut.

Cassandra mengangguk laju. "Ya, mimpi. Sejak akhir-akhir ni, mimpi saya sungguh pelik. Sehingga membuat saya tak senang duduk. Jiwa saya tak tenang kak. Rasa macam ada kehilangan sesuatu. Macam hidup saya ni tak complete," bersungguh-sungguh Cassandra menerangkan apa yang dia rasa selama ini. Dia sendiri tidak tahu bagaimana hendak menerangkan kepada Soleha tentang apa yang dia alaminya ketika ini. Dia berharap sangat Soleha dapat memahaminya dengan mudah.

"Mimpi apa tu Cass?"

Tanpa berlengah Cassandra bercerita tentang mimpi yang dialaminya sejak kebelakangan ini. Dia berharap sangat Soleha pandai bab-bab mimpi.

"Erm, sejak bila Cass dapat mimpi tu?"

"Sejak dua minggu lalu. Boleh dikatakan hampir setiap malam mimpi tu datang kak."

"Mimpi yang sama?"

Cassandra mengangguk laju. "Haah, mimpi yang sama. Kakak boleh tolong saya? Saya rasa takut pula. Apa yang tak kena dengan saya kak?"

"Entahlah Cass. Akak ni bukan pentafsir mimpi. Tak pandai akak nak terangkan pada Cass maksud mimpi tu. Tapi akak percaya mimpi tu merupakan satu petunjuk."

"Petunjuk? Petunjuk apa kak?" Cassandra sedikit teruja. Petunjuk apakah yang dimaksudkan oleh Soleha?

"Entah. Mungkin akan berlaku sesuatu? Atau mungkin sesuatu akan berubah? Wallahualam bissawab."

"Berubah? Maksud akak hint untuk saya berubah? Kenapa saya kena berubah? Apa yang tak kena dengan saya?" Bertubi-tubi pula soalan yang keluar dari bibir mungil Cassandra. Dia bagaikan tidak berpuas hati dengan jawapan dari Soleha itu.

"Maksud akak berubah dari baik kepada lebih baik," tutur Soleha lembut. Jelas di matanya reaksi kurang senang gadis itu.

"Saya tak fahamlah kak…"

"Tak apa Cass. Jangan pening-pening. Cass baca buku tu dulu. Mungkin ada kena-mengena? Siapa tahukan?" Soleha cuba memujuk bila suara Cassandra sedikit merengek. Bagai kecewa dengan kata-katanya sebentar tadi.

Cassandra merenung semula buku yang berada di atas ribanya itu. Dia akan membaca buku ini. Pasti ada kaitan seperti yang dikatakan oleh Soleha tadi. Wanita itu seolah-olah tahu sesuatu. Bagai bermain sembunyi-sembunyi dengannya. Mengapa tidak berterus-terang saja? Bukankah tidak memeningkan kepala? Namun segala rasa tidak puas hati itu hanya bergema di dalam hatinya saja.

"Terima kasih kak, nanti saya baca," Cassandra cuba mengukir sehabis manis senyuman agar apa yang bermain di minda dan hati tidak ketara di wajahnya.

Soleha mengangguk senang sambil membalas senyuman manis Cassandra itu. Dia tahu gadis itu tidak berpuas hati dengan kata-katanya. Biarlah dulu. Belum masanya lagi untuk dia huraikan persoalan-persoalan Cassandra itu. Baginya Cassandra harus mengenal siapa Penciptanya. Cassandra harus memilih satu agama untuk dia percaya. Jika Islam pilihan gadis itu, maka dia akan memainkan peranannya. Mungkin juga boleh minta pertolongan suaminya juga. Malah, Hanafi lebih tinggi ilmunya berbanding dirinya.

"Kalau macam tu saya balik dulu ya. Dah pukul enam pun. Maaflah menganggu akak petang-petang begini."

Suara Cassandra menyedarkan Soleha. "Eh tak ada apalah. Kalau rajin datanglah lagi ya."

"I will," Cassandra tersenyum sambil menapak menuju ke pintu utama rumah teres dua tingkat itu. Entah mengapa, tenang sungguh dia berada di rumah ini. Terasa aura rumah ini lain dari rumah dia sendiri.

Soleha menghantar Cassandra hingga ke pintu. Kebetulan kereta Hanafi masuk ke perkarangan rumah mereka. Soleha tersenyum lalu mendapatkan Hanafi. Dia melangkah agak besar untuk menyambut kepulangan suaminya itu lalu menyambut huluran tangan Hanafi dan tunduk menciumnya. Hanafi tersenyum senang dengan perbuatan Soleha. Itulah rutinnya setiap kali pulang dari bekerja. Disambut dengan senyuman manis Soleha dan kucupan salam tanda menghormatinya sebagai suami.

"Awal abang balik?"

"Hmm, kerja siap awal. Baliklah, tunggu apa lagi. Tak sabar nak jumpa sayang," Hanafi mengelus lembut pipi mulus isteri kesayangannya itu. Rindu sepanjang hari terlerai jua akhirnya. Dia merenung lembut ke mata Soleha sambil tersenyum nakal.

Soleha tergelak kecil. Memukul lembut lengan suaminya sambil tersipu. Segan diperlakukan sebegitu di luar rumah apatah lagi di hadapan tetamunya. Dia memandang Cassandra yang masih tercegat memerhati tingkah mereka.

"Mari bang ikut Leha," Soleha menuntun tangan Hanafi untuk mendapatkan Cassandra. Sambil tersenyum riang memandang gadis itu.

"Cass, kenalkan ni suami akak, Ustaz Hanafi. Abang, nilah Cassandra yang Leha beritahu malam tadi," Soleha saling memperkenalkan mereka.

"Apa khabar ustaz?" Cassandra menghulur tangan untuk berjabat disertai bunga-bunga senyuman. Dia ingat-ingat lupa, lelaki ini pernah dilihatnya tetapi di mana?

"Khabar baik. Saya Hanafi," Hanafi sekadar mengangguk dan tersenyum manis tanpa menyambut huluran salam Cassandra itu.

Perbuatan Hanafi itu memudarkan senyuman Cassandra yang mengelopak indah. Perlahan-lahan tangannya ditarik semula. Ada sebal yang bertandang di hati. Terasa dimalukan.

Soleha yang sedar akan riak perubahan wajah Cassandra lalu tersenyum manis. "Maaf Cass, dalam Islam lelaki dan perempuan yang bukan muhrim tidak boleh bersentuhan."

"Bukan muhrim? Apa tu?"

"Lelaki yang bukan suami atau yang tidak ada pertalian darah, seperti adik-beradik dan bapa saudara kepada perempuan itu, maka tidak boleh bersentuhan."

Cassandra mengangguk tanda memahaminya. Benarlah telahannya, Islam ini sangat rumit.

"Maaf, ustaz saya tak tahu."

"Tak mengapa. Err, nak balik ke baru sampai ni?"

"Oh, nak balik dah. Sudah lama saya di sini. Hari pun sudah lewat, saya patut pulang sekarang."

"Baiklah Cass, hati-hati memandu ya," Soleha menghulurkan salam. Cassandra menyambut mesra kemudian memeluk wanita itu.

"I will. Terima kasih sekali lagi kak."

Setelah berpamitan kereta Cassandra berlalu meninggalkan perkarangan rumah teres dua tingkat itu. Hanafi meraih lembut jemari Soleha lalu menuntunnya masuk ke dalam.

0 Suara Merdu Anda:

Post a Comment