Rajuk Sang Hati 36

Jam di tangan aku kerling, dah pukul enam setengah petang. Bermakna sudah dua jam aku termenung di sini, di taman permainan ini. Aku mendongak ke langit. Cuaca agak mendung. Malam ni mungkin hujan lebat. Suasana di padang permainan itu meriah dengan suara tawa dan jerit pekik kanak-kanak yang sedang bermain. Dengan angin yang kuat, menjadikan suasana petang ini sedikit nyaman. Aku mengikat rambut yang sudah mengerbang ditiup angin. Nafas ku hela panjang.

“Tapi atuk kenan betul dengan budak tu. Baik, pandai hormat orang tua, rajin tolong mak dia, berbudi bahasa budaknya. Rajin ke masjid pulak tu.”

Kata-kata arwah atuk sedikit masa dulu menerpa kembali. Aku tidak mengenali Hisyam secara peribadi, betulkah perwatakan lelaki itu seperti yang atuk ceritakan? Aku hanya mengenali dia sebagai sepupu Irfan dan lelaki yang diminati Azura. Azura! Ya Allah, macam mana kalau Azura tahu perkara ini? Aku akan dituduh perampas kekasih orang ke? Azura akan membenci aku ke? Tidak! Aku tak mahu itu yang berlaku. Bagaimana dengan Irfan?

“Dia sukakan kau!”

Kata-kata Hasnul Amin pula yang timbul. Kalau betul Irfan sukakan aku, dia pasti terluka bila mendapat tahu sepupunya sendiri telah melamar aku.

“Hmm, susahlah macam ni. Dia orang boleh bergaduh kerana Nissa tahu?”

Aku kecut perut. Bimbang dengan kemungkinan yang along cakapkan semalam. Harap-harap itu tak akan berlaku langsung.

“Hisham tu sukakan awak.”

Terlintas pula kata-kata Irfan dulu. Lelaki itu memang sudah tahu sepupunya sukakan aku, jadi tidak timbullah soal Irfan terluka atau bersedih kerana lamaran ini. Entah-entah lelaki itu langsung tak ada hati pada aku. Entah-entah Hasnul Amin tu saja nak buat cerita. Aku binggung. Aku tak tahu nak buat macam mana. Hatiku hanya ada Irfan. Tetapi ada dua lelaki yang sukakan aku, Hisyam dan Azrai. Kedua-duanya memiliki rupa yang tampan. Kedua-duanya terkenal dengan kehebatan masing-masing. Seorang handal berdebat, seorang lagi ketua pasukan bola sepak sekolah. Tapi aku tak boleh bagi apa yang mereka mahu. Aku tak boleh bagi hati aku.

“Assalamualaikum.”

Aku tersentak lalu menoleh. Mataku membulat. Dia? Macam mana dia ada dekat sini? Macam mana dia tahu aku di sini? Hisyam tersenyum. Aku pula yang terkedu. Lelaki itu melabuhkan punggungnya di sebelahku. Aku berginjak sedikit.

“Maaf, kalau awak tak selesa.”

Memang aku tak selesa langsung! Semalam merisik aku, hari ini kami sudah berdua-duaan di bangku kayu taman permainan ini.

“Maafkan saya juga pasal semalam.”

Wajahnya ku pandang dengan rasa hairan.

“Seperti awak, saya juga terkejut. Malam tadi saya ada call awak, tapi abang awak yang angkat. Dia cakap awak dah tidur.”

“Kenapa awak cakap, awak pun terkejut?”

Dia tersenyum nipis.

“Malam tadi, ibu cakap dia pergi merisik awak untuk saya. Ibu cakap, abah saya dan arwah atuk awak dah berjanji untuk jodohkan kita.”

“Apa reaksi awak?”

“I’m speechless.”

“Oh..”

“Lepas tu saya terus call awak. Tapi awak dah tidur. Abang awak cakap, awak menangis teruk. Maafkan saya.”

“Bukan salah awak. Ini kerja orang tua kita.”

Dia tersenyum memandang tepat ke mataku. Aku gelisah.

“Ibu saya berkenankan awak.”

“Ha?”

Dia tergelak. Aduhai, romantisnya gelak dia. Lelaki itu memandang ku lagi. Kali ini agak lama. Membuat aku tidak senang duduk. Aku cuba untuk mengangkat punggung, tapi tak berdaya. Renungannya memaku aku di kerusi kayu itu.

“Awak… kenapa awak tengok saya macam tu?”

“Sebab awak cantik.”

Dia berwajah serius.

“Terus-terang saya cakap, saya sukakan awak.”

Mak! Dia dah buat pengakuan. Aku rasa sesak nafas.

“Saya pun dah cakap kat ibu, yang saya suka awak.”

Ha? Oh no..!

“Saya tahu, family saya tak patut buat macam ni kat awak kan? Saya dan awak, masing-masing nak exam kan? So, saya dah cakap supaya tangguhkan aja dulu. Tengok result macam mana, kita dapat pergi mana lepas tu, sambung belajar ke, kerja ke. Kita masing-masing terlalu muda untuk itu, betul tak?”

Aku senyum. Syukur, Hisyam masih boleh berfikir dengan waras lagi rupanya. Barulah aku boleh bernafas dengan lega.

“Tapi,”

“Tapi?”

“Tapi, ibu cakap nak tanda dulu, supaya awak tak dikebas orang.”

Ha? Aku rasa tak boleh nak bernafas semula. Kenapa macam ni? Hisyam memandangku serius.

“Saya tak setuju. Tapi bukan bermakna saya tak suka idea ibu tu, cuma saya rasa tak sesuai sekarang.”

“Saya pun tak setuju.”

Aku bersuara perlahan.

“Awak pun tak setuju kan, kalau macam tu..”

“Awak..”

“Apa kata, lepas exam baru..”

“Awak...”

“Kita set balik..”

“Awak!”

Hisyam terdiam. Berpaling merenungku.

“Kenapa? Awak tak setuju dengan idea saya tadi?”

“Ya! Bukan idea awak saja, tapi semuanya!”

“Semuanya? Maksud awak?”

“Ini. Situasi ini. Sekarang ini.”

“Saya tak faham.”

“Awak, saya tak boleh terima awak. Maaf.”

Hisyam terdiam lama. Maafkan aku Hisyam. Aku terpaksa menolak secara kasar begini. Sebab itulah aku. Aku tak boleh hipokrit.

“Boleh saya tahu kenapa?”

Aku hanya menggeleng perlahan. Perlukah kau tahu Hisyam, aku sukakan Irfan, sepupu kau.

“Awak ada orang lain?”

“Anggaplah begitu.”

Wajah Hisyam berubah kelat.

“Siapa?”

Aku tunduk.

“Qairunissa, siapa dia? Saya kenal ke?”

Aku geleng lagi. Aku tak boleh bagi tahu. Kau bukan saja kenal dia, malah rapat sangat dengan dia. Kau dan dia bersaudara. Aku terdengar keluhan panjang darinya.

“Tolonglah Hisyam. Saya rayu awak. Saya tak boleh teruskan semua ni. Saya harap awak faham.”

“Saya cuba untuk faham. Tapi orang tua kita macam mana?”

“Tolonglah batalkan. Ya? Please..”

Hisyam merenung tepat ke mataku. Segarit senyuman pun tiada di wajah itu. Di wajah itu cuma terpamer riak kecewa dan sedih.

“Saya sanggup tunggu, kalau awak tak bersedia Qairunissa.”

“Jangan! Jangan tunggu saya.”

“Kenapa?”

“Nissa juga harus berterus-terang. Jangan main-mainkan perasaan orang. Jangan bagi orang harapan palsu. Bahaya!”

Kata-kata dari along semalam menerpa semula.

“Kenapa Qairunissa? Kenapa saya tak boleh tunggu? The best man wins, right? Just give me a chance.”

“Hisyam, saya tak boleh bagi apa yang awak mahu. Maaf. Tolong lupakan saya.”

Cepat-cepat aku bangun. Berlari ke arah basikalku dan mengayuh laju menuju ke rumah.

5 Suara Merdu Anda:

Anonymous said...

nk nisa ngan irfan hehehe

Anonymous said...

hasnul amin...where rrr uuuu?

Hana Norisa said...

alamk...

npe nisa tak cakap je yg dia suka irfan...
berterus-terang itu kan baik...
tak delah nisa tak keruan, hisyam tak terluka..

=)

Hana Norisa said...

salah2 eja..hsyam terluka..bukan tak terluka..hehe..

Hanna Iha said...

sye lebih suke kalu nisa dgn irfan
hehe~

Post a Comment