Rajuk Sang Hati - Special Edition 5

Dulang yang berisi sizzling mee itu diletak perlahan di depanku. Kemudian dia menghilang semula. Aku hanya diam memerhati orang yang lalu-lalang di hadapanku. Tidak sampai seminit dia kembali lagi bersama dulang yang berisi dua gelas air pula lalu meletakkan gelas yang berisi milo ais kegemaranku di sebelah sizzling mee yang masih lagi berasap.

“Thanks.”

Aku menghadiahkan senyuman manis kepadanya yang sanggup bersusah-payah melayanku. Hasnul Amin membalas senyumanku dengan mesra.

“Most welcome dear.”

“Aku ni mengada-ngada, kan?”

Hasnul Amin tergelak.

“Untuk puteri kesayangan aku ni, aku tak kisah. Kau mintalah aku buat apa saja. Selagi aku boleh tunaikan, aku akan buat dengan ikhlas.”

Aku tersenyum. Hati perempuan manalah tidak berbunga-bunga jika diberi kata-kata indah seperti itu. Hati perempuan manalah yang tidak terusik bila dilayan begini.

“Makanlah. Tunggu apa lagi?”

“Tunggu kaulah. Kenapa lambat sangat? Tak siap lagi ke?”

“Ramai orang tu. Tak Nampak?”

Aku menoleh. Memang ramai. Pada hujung minggu begini food court memang penuh. Tambahan pula kebanyakan mereka baru selesai menonton wayang. Tidak terkecuali kami berdua.

“Nissa,”

“Hmm?”

“Kenapa lately aku tengok kau macam tak ada mood aja?”

“Eh, mana ada. Aku okey.”

“Betul ke ni? Aku tengok macam tak ceria. Blur. Lepas tu asyik mengeluh je?”

“Perasaan kau je tak? Aku okeylah. Betul.”

Hasnul Amin menjongket bahu sambil bangun.

“Makanan aku dah siap. Kejap eh.”

Aku hanya mengangguk. Milo ais aku sedut perlahan-lahan. Benarkah? Aku tak ceria? Asyik mengeluh? Entahlah. Yang pasti jiwa aku tak keruan. Aku tak tahu di mana puncanya dan sejak bila. Benar juga kata Hasnul Amin, aku memang tak ada mood. Entah kenapa apa saja yang aku lakukan serba tidak kena. Ada saja silap di mana-mana.

“Kenapa termenung depan makanan ni? Dah sejuk dah pun mi tu. Sure tak sedap.”

Tersentak sedikit aku dengan teguran Hasnul Amin. Berkerut kening melihat dia sedang enak mengunyah nasi goreng kampung. Sejak bila dia duduk situ?

“Err..bila kau duduk? Tak sedar pun?”

“Mana nak sedar. Panjang menungnya. Ingatkan siapa?”

Sedikit bergetar jantungku dengan soalan yang terpacul keluar dari bibirnya itu. Ingatkan siapa? Mana ada aku ingat siapa-siapa! Hati aku kuat menafikan. Tapi mengapa bila soalan itu yang diajukannya aku jadi gemuruh? Sepintas lalu nama Irfan tiba-tiba timbul di kepala. Cepat-cepat aku menggelengkan kepala untuk mengusirnya jauh-jauh.

“Ha sudah, kenapa main geleng-geleng kepala tak tentu pasal ni? Parkinson ke pulak? Atau kau menyanyi dalam hati?”

Aku berkerut kening memandangnya. Menyanyi dalam hati?

“Apa kau ingat aku tengah nyanyi lagu angguk-angguk geleng-geleng?”

Pecah tawa tunangku ini. Sampai terkeluar sebutir dua nasi yang berada dalam mulutnya itu. Ish, tak senonoh betul!

“Sorry, sorry.”

Dia menutup mulut sambil menyambung tawanya. Gelihati pula aku tengok. Penyudahnya, aku turut sama tertawa kecil.

“Kenapa ni sayang? Kau sakit ke?”

Hasnul Amin bertanya lembut setelah tawanya reda. Aku menghela nafas perlahan. Sizzling mee aku suap perlahan-lahan. Bagaimana aku hendak menjawab soalannya itu sedang aku tidak punya jawapan?

“Taklah aku sihat. Kau jangan risaulah.”

“Mestilah risau. Kau kan tunang aku. Aku sayang kau.”

Aku mengukir senyum untuknya.

“Aku pun sayang kau jugak.”

“Kalau sayang, sharelah dengan aku. Kau ada problem ke?”

“Tak ada.”

“Tipulah.”

“Betullah Hasnul.”

“Kalau betul, kenapa lain macam aja? Tak pernah-pernah kau macam ni?”

“Tak ada apa-apalah.”

Aku cuba berlagak selamba. Sedang dalam hatiku ini berperang dengan perasaanku sendiri. Apa yang sedang berlaku pada aku ni? Konflik perasaan? Apa yang aku mahu sebenarnya? Apa yang aku harapkan?

“Mama dah bising-bising kat aku ni.”

“Hmm? Kenapa?”

“Suruh survey baju pengantin.”

Aku menelan air liur. Alamak, bagaimana aku boleh lupa? Hari perkahwinanku semakin dekat. Sedang aku langsung tak bersedia lagi. Langsung tidak terlintas untuk memikirkannya. Hai Nissa, macam tak nak kahwin saja gaya kau ni?

“Dah tu kau jawap apa?”

“Aku cakaplah aku mana ada masa. Tapi Nissa, aku cakap betul. Bukan aku saja nak mengelak eh. Memang aku sibuk sikit lately. Kau sendiri nampak, kan? Kita nak jumpa pun bukan senang, kan?”

“Ya, aku faham. Kerja macam kau ni tak tentu masa. Aku tak salahkan kau. Aku pun sibuk. Frankly, aku langsung tak fikir pasal perkahwinan kita. Aku rasa macam lambat lagi kita nak kahwin. Tak sangka beberapa bulan aja lagi, kan?”

“Hmm, waktu berjalan begitu pantas.”

“Hasnul, err.. apa kata kita postpone?”

Hasnul Amin mengangkat kening.

“Lagi? Nissa, dah dua kali kita postpone tau. Aku tak lalu nak dengar mama potpet-potpet.”

Aku tersenyum kelat. Memang sudah dua kali kami menangguhkan perkahwinan ini. Alasan, masing-masing sibuk. Mengikut perjanjian, kami hanya mengikat pertunangan selama tiga bulan saja. Tetapi terpaksa ditangguhkan gara-gara Hasnul Amin kena bertugas di Gaza mengikut Mercy Malaysia. Kali kedua, aku pula yang terpaksa menangguh kerana berkursus di utara tanah air serta jadualku yang sangat padat. Mujur, kedua belah keluarga memahami dan bersetuju. Itupun terdengar juga rungutan dari mak yang tidak berpuas hati. Apa lagi yang mampu ku lakukan? Tapi jika kali ini juga bertangguh lagi, aku tidak tahu atas alasan apa yang sepatutnya kami beri.

“Nissa?”

“Hah?”

“Tengok tu, menung lagi.”

Hasnul Amin sedikit bersungut. Aku menghadiahkan senyuman padanya.

“Kenapa ni sayang?”

“Entahlah Nul, terus-terang aku belum bersedia lagi.”

Hasnul Amin merenung tepat ke mataku. Menimbulkan rasa serba-salah di benakku. Aku tahu pasti dia berkecil hati. Seolah-olah aku tidak boleh menerima dia.

“Kau sayang aku kan?”

Aku mengangguk perlahan.

“Kalau sayang, kita teruskan eh? Jangan bertangguh lagi? Please dear..”

Aku menarik nafas dalam. Ah, jiwa kacau!

“Nissa, jangan buat aku tunggu lagi please? Serius aku tak sanggup. We love each other, right?”

“InsyaAllah. Tapi aku tak janji.”

“Janganlah macam tu. Jangan ubah fikiran ya?”

Aku hanya tersenyum hambar. Seperti dia, aku juga mahu meneruskan perkahwinan ini. Namun hati aku saat ini susah untuk ditafsirkan. Apakah keputusan aku mengahwini Hasnul Amin adalah tepat? Apakah masih ada ruang dan harapan untuk Irfan? Eh, kenapa nama Irfan muncul lagi ni? Ya Allah, bantu aku. Aku keliru.

Kamal Oh Kamalia 21

Sebaik pintu utama rumah Azlin di buka, terus saja aku meluru ke kamarnya. Seperti yang ku jangka, Azlin terbaring lesu. Aku menapak perlahan menghampiri katilnya. Berbalut kemas tubuhnya dengan comforter. Aku mendongak ke syiling, kipas terpasang laju lalu aku berpaling semula menuju ke dinding di tepi pintu. Memulas tombol kipas syiling ke angka dua. Azlin ni, dah tahu tidak sihat, yang pasang kipas laju-laju tu kenapa?

“Mal?”

“Eh, Lin dah bangun? Sorry kalau Mal buat Lin terjaga.”

Tersentak sedikit aku. Dalam pada itu sempat juga aku mengawal suaraku menjadi halus. Nasib baik aku tak melatah. Kalau tidak memang kes naya kalau suara jantan aku yang keluar. Aku menghampirinya semula. Teragak-agak aku hendak melabuhkan punggung di sebelahnya. Sudahnya aku hanya melutut di sisi katil. Kura tangan aku letak di dahinya. Masih panas.

“Lin demam lagi ni. Langsung tak kurang ya dari semalam?”

Azlin tersenyum hambar. Sayu aku melihat senyumannya itu. Rasa bersalah meninggalkan dia semalaman serta-merta datang merusuh jiwa. Kasihan kau Azlin.

“Jom, pergi klinik?”

“Mal tak ada kelas ke pagi ni?”

Azlin merenungku layu. Pasti virus demam itu telah menyerang segala urat sendinya sehingga dia kelihatan begitu lemah sekali. Aku cuba mengorak senyum padanya sambil menggeleng.

“Tak. Petang karang. Kita pergi klinik ya?”

“Tak apalah Mal. Sikit aja ni. Lin okey.”

“Sikit apanya? Dari semalam tak kebah-kebah? Kita pergi ya?”

Aku masih belum jemu memujuknya. Boleh tahan degil juga dia ni. Salah satu sifatnya yang baru ku ketahui. Dia tersenyum hambar.

“Mal kan baru balik dari kerja? Mal mesti penat, kan? Mal restlah dulu. Lin okey, jangan risau.”

Ya Allah, terharunya aku rasa. Dalam keadaan dia sakit begini masih terfikir tentang diriku? Masih fikir betapa lelahnya aku bekerja semalaman? Aku betul-betul rasa bersalah membohongi dia. Andainya kau tahu Azlin.

“Tak apa. Bukan jauh sangat klinik tu. Jom?”

“Hmm.. betul ni?”

Aku mengangguk ceria.

“Okey. Lin mandi dulu ya?”

“Okey. Mal tunggu kat luar. Err.. Lin belum makan ya? Mal buat nestum eh?”

Perlahan gadis itu mengukir senyum. Walau dalam keadaan apa sekali pun senyumannya tetap menawan kalbuku. Tetap indah di mataku dan melekat di minda. Aku membalas mesra senyuman gadis kesayanganku itu.

***

Perlahan aku memapahnya semula ke katil. Membantu dia merebahkan diri. Walau jiwaku ini bergetar hebat terpaksa ku tahan demi menjadi seorang Kamalia di mata Azlin. Tubuhnya masih panas. Luluh hatiku ini melihat Azlin yang ku sayang jatuh sakit begini. Namun walau masih dalam keadaan sakit begini senyuman manis tetap terukir indah di wajahnya.

Setelah ku pastikan Azlin sudah berada di dalam keadaan selesa, aku menuju ke dapur. Mengambil sebesen air dan mencari tuala kecil di dapur lalu menapak semula ke kamarnya. Azlin memejam rapat matanya. Aku mencelup tuala kecil itu ke dalam air dan memerahnya kuat. Lantas tuala kecil itu ku letak di dahi Azlin yang mulus itu. Dia membuka matanya perlahan. Sempat lagi melemparkan senyum padaku. Sudah pasti senyumannya itu ku balas mesra.

“Lin rehatlah. Mal tak pergi mana.”

“Terima kasih Mal, susahkan Mal aja.”

“Tak apa. Ini hari Lin, esok lusa mungkin hari Mal, kan? Dah Lin rest aja. Jangan banyak cakap.”

Azlin mengukir senyum tipis lalu memejam matanya semula. Aku masih terpekur di sisi katilnya. Masih melutut menemaninya. Tidak berani aku duduk berhampiran dengannya. Bimbang pada rasa yang hadir. Gentar pada getaran yang menyelinap di jiwa. Tiba-tiba telefon bimbitku berbunyi. Cepat-cepat aku berlari ke luar agar bunyi deringan itu tidak mengganggu lenanya Azlin. Aku merenung skrin telefon bimbitku. Iqbal?

“Assalamualaikum, Mal.”

“Walaikumsalam. Oit, Kau apa hal call aku ni? Kantoi karang macam mana?”

“Ala, relekslah cik Kamalia. Tu pun nak kecoh.”

“Ha, kau nak apa ni?”

“Saja.”

“Saja?”

Iqbal tergelak di talian. Tak guna punya kawan, aku hampir-hampir nak luruh jantung dengan panggilannya ini, dia boleh cakap saja?

“Rilekslah Mal, aku nak tanya khabar awek kau aja. Demam lagi ke dia?”

“Demam lagi. Makin panas.”

“Dah bawa ke klinik?”

“Baru baliklah ni. Tu tengah tidur. Kesian aku tengok.”

“Wah, syok kau eh? Boleh masuk sesuka hati ke bilik dia. Hati-hati Mal. Kuatkan Iman.”

“Ya, aku tahu. Terima kasih ingatkan aku.”

“Aku akan sentiasa ingatkan sahabat aku supaya tak hanyut.”

Aku mencebik mendengar usikan berbaur amaran dari Iqbal itu. Ingat aku ni teruk sangatkah? Tapi aku tidak kisah, sekurang-kurangnya Iqbal sentiasa menyedarkan siapa diriku ini.

“Okeylah, aku nak tanya tu aja. Kau jaga dia baik-baik. Jangan lupa kawal diri kau tu.”

“Tahulah!”

Seusai memberi salam, talian dimatikan. Aku menjengahkan kepala ke bilik Azlin. Nampaknya dia benar-benar sudah lena. Mujur dia tidak mendengar perbualan aku dan iqbal sebentar tadi. Aku menapak ke dapur. Memandang keliling. Serba ringkas dapur Azlin. Kemas dan bersih. Aku bercadang hendak memasak untuknya. Aku garu kepala yang elok berbalut tudung. Nak masak apa? Selalunya orang sakit tiada selera makan. Jadi nak masak apa untuk dia?

Ish, beriya-iyanya kau Kamal nak masak-masak segala. Macamlah kau handal memasak. Diri sendiri pun tidak terurus dan asyik makan mi segera sahaja, ada hati nak masakkan untuk anak orang yang sedang sakit. Mahu mati keracunan dia nanti. Hatiku bermonolog sendiri. Ah, aku tidak kira! Aku ingin menjadi sahabat yang baik untuk Azlin. Aku ingin menunjukkan yang aku juga boleh memasak seperti perempuan lain. Barulah semakin rapat hubungan aku dan dia. Tapi nak masak apa ni? Jemariku masih menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Aku buntu. Nak masak tapi tak tahu. Baik aku telefon mak.

Sepantas kilat tanganku mencapai telefon bimbit yang ku letak di atas peti sejuk. Mencari nama mak di dalam senarai buku telefon bimbitku. Lantas, jemariku menari-nari memetik nombor ibu kesayanganku itu. Aku menanti dengan sabar sambil mengerling jam di tangan. Baru pukul sepuluh setengah pagi. Waktu-waktu begini mak sedikit sibuk di dapur.

“Assalamualaikum mak.”

Salam ku hulur sebaik talian dapat disambungkan. Mendengar suara ceria mak menjawab salamku sahaja sudah cukup membahagiakan.

“Mak sihat? Adik-adik mana?”

“Alhamdulillah, mak sihat aja. Adik-adik kamu biasalah, waktu begini kat sekolahlah.”

“Oh ya, Mal lupa pulak. Ni mak, Mal nak tanya sikit ni.”

“Ha, apa dia?”

“Kawan Mal sakit. Mal ingat nak masak untuk dia. Selalunya orang sakit makan apa?”

“Sakit apa kawan kamu tu?”

“Ala, demam biasa aja mak. Nak masak apa ya mak? Mal tak tahulah.”

“Amboi, rajin benar anak mak ni nak masak? Tak pernah-pernah macam ni? Selalunya main beli aja. Tak kiralah sakit ke, sihat ke, ni mesti kawan istimewa ya?”

“Ish, ke situ pulak mak ni. Tak ada maknanya. Mal sajalah nak jimat duit. Cepatlah mak, beritahu Mal nak masak apa ni?”

Cepat-cepat aku potong cakap mak. Huh, pandai betul mak aku meneka. Menggelabah sekejap aku.

Terpaksalah aku berbohong sunat dengan demi menutup kesalahan. Maaf mak, lain kali Mal tak buat lagi.

“Kawan kamu tu nak makan apa?”

“Tak adalah dia cakap nak makan apa. Tapi Mal kesianlah, dari tadi dia tak makan. Tak lalu agaknya.”

“Hmm, biasalah tu. Orang demam ni tekak dia akan rasa payau, tawar. Tu yang tak ada selera tu. Tapi macam mana pun kamu mesti suruh dia makan juga. Nanti perut masuk angin, sakit lain pulak yang datang.”

“Ya Mak. Mal tahu. Tapi nak masak apa?”

“Nak senang masak aja bubur nasi.”

“Bubur nasi? Macam mana masaknya?”

Aku dengar mak tergelak di talian. Mentang-mentanglah aku tak pandai masak, sampai hati mak gelakkan aku.

“Itulah, dulu kalau selalu tolong mak kat dapur kan senang?”

Mak menyambung gelaknya. Terpaksalah aku menahan dan bersabar. Dalam diam aku turut tersenyum mendengar kecerian mak di talian. Kesabaran aku berbaloi bila akhirnya mak mengajar cara-cara untuk menanak bubur nasi. Aku tersenyum puas.