Rajuk Sang Hati - Special Edition 3

Aku menutup pintu kereta. Sambil membetulkan baju kurung putih berbunga kecil warna pink. Feminin habis aku malam ni. Rasa macam akulah yang paling cantik di sini. Betul apa? Aku ambil cermin muka dan menelek wajahku seketika. Perfect!

“Dah?”

Aku berpaling lalu tersenyum manis pada Laila yang mula membuat muka bosan. Gaya macam tak puas hati saja pada aku.

“Udah.”

“Hii.. macam dia pulak yang nak jumpa bakal mertua. Beriya-iya!”

“Eh, kau jangan nak banyak bunyi. Aku teman kau ni kira baguslah tau?
Sepatutnya kau berterima kasih pada aku.”

“Yelah-yelah terima kasih daun keladi. Lain kali boleh temankan aku lagi.”

Laila tersengih.

“Ha, tak ada lain kali, lain kali. Aku tolong kau kali ni aja tau. Syukur ya Laila, syukur.”

“Yela-yela syukran ya Qairunissa. Erm..Qai..”

“Hmm?”

“Kenapa aku nervous tiba-tiba ni?”

“Pulak? Ala, releks la Laila. Bukan nak kahwin pun. Nak makan-makan aja. Err.. dah berapa lama kau tak datang sini?”

“Aku pernah datang sekali aja. Itu pun masa bakal mertua aku ni buat kenduri sebelum tunang aku berangkat ke oversea.”

“Laa..bertuah punya bakal menantu. Lepas tu kau tak adalah nak jenguk-jenguk dah?”

Laila mengangguk perlahan.

“Kenapa?”

“Segan.”

“Isy, segan tak bertempat!”

“Betullah Qai, aku tak tahu kenapa aku segan silu sangat.”

“Itulah akibatnya bila tak bercinta. Tak reti nak sesuaikan diri, tak tahu nak bual topik apa. Siapa yang susah? Mereka dan keluarga mereka jugak.”

“Akulah yang susah! Kau ni pun.. dahlah sampai bila kita nak tercegat depan pagar rumah ni? Jom masuk cepat!”

Aik? Tadi dia yang segan silu daun semalu. Sekarang dia pula yang menonong-nonong masuk ke dalam dan tinggalkan aku di belakang. Terkial-kial aku mengejar langkah Laila dengan kasut tumit tinggi empat inci. Huh, salah sendiri. Beriya-iya pakai kasut tinggi, janganlah terpelecok depan orang. Mahu saja aku sagat muka aku ni nanti.

****

Dah usai pun doa selamat dan bacaan yassin di rumah ini. Rupanya bukan sekadar kenduri doa selamat kerana kepulangan anak tuan rumah ini tapi berlangsung sekali majlis tahlil untuk keluarga mereka yang sudah meninggal. Aku hanya mengikut saja. Orang di depan amin, orang di dapur pun amin juga. Sejak kami masuk ke rumah ini, inilah destinasi paling menarik pilihan Laila. Berada di dapur. Katanya dapatlah menolong apa yang patut. Eleh, macam aku tak tahu kau Laila, nak tunjuk handal depan bakal mertualah tu. Tak apa, bagus juga. Dapat aku praktis sekali. Aku tergelak kecil.

Aku ni sebenarnya dah tak sabar sangat nak tengok tunang Laila yang duduk berperam kat luar negara tu lama-lama. Apa ke bestnya? Sampai tinggalkan tunang di sini menanti penuh harapan. Handsome ke? Berhabuk ke cakap English? Nak juga kenal. Tapi si Laila ni masih tersipu-sipu daun semalu. Sepatah orang tegur, sepatahlah dia jawab. Yang tak bestnya, dengan aku sekali kena tempias. Macam-macam soalan ditembak oleh makcik-makcik yang comel-comel belaka itu. Dah kahwin ke belum? Dah berpunya ke belum? Tinggal mana? Mak bapak kerja apa? Huh, jenuh aku menepis tiap-tiap soalan itu. Kadang-kadang hendak aja aku jawab, kenapa makcik? Ada anak teruna ke yang tanya lebih-lebih tu. Kalau ada pun sorrylah ya. Teman tak sior! Kata orang Perak. Berdekah-dekah aku gelak dalam hati. Dalam hati ajalah yang aku berani.

Hadirin makin beransur-ansur pulang. Nampaknya aku dan Laila pun patut balik juga. Dah dekat pukul sebelas malam. Aku berpaling ke belakang. Eh? Mana si Laila ni? Tak akan balik dah? Memang nak kenalah ni. Tiba-tiba saja lesap dari pandangan mata aku. Oh, aku tahu. Mesti pergi jumpa tunang dialah tu. Rindulah katakan. Aku tersenyum simpul. Lalu tanpa berlengah aku mencari-cari Laila di halaman rumah yang agak luas. Cantik landskap rumah ini. Sekonyong-konyong aku nampak dua kelibat manusia sedang berbual mesra di sudut tepi rumah. Ada kolam buatan. Terang benderang disimbah cahaya sportlight. Cantik!

Aku menyusun langkah teratur. Berhati-hati memijak batu-batu kecil yang sengaja dibuat untuk senaman kaki. Habislah rosak tumit kasutku ini. Tak apa, Laila punya pasal. Amboi, bukan main korang bercerekarama di bawah pohon bambu ya. Eh, ada ke pohon bambu kat sini? Yang aku nampak pokok palma adalah. Ah, tak kisahlah! Pokok palma pun pokok palmalah. Nanti kau Laila, aku usik kau sampai tak terangkat muka karang. Dari segan silu daun semalu, terus jadi bisu nanti! Berani sungguh kau meninggalkan aku keseorangan di dapur ya. Menjadi bibik tak bertauliah. Kau tunggu Laila, kau tunggu.

Akhirnya setelah aku bersusah-payah memijak batu-batu kecil itu berjaya juga aku sampai di belakang mereka. Tak sedar lagi tu? Aku memasang telinga ingin mencuri dengar perbualan asmaradana uda dan dara itu. Diam. Masing-masing bisu. Apa yang tak kena? Masih malu-malu?

“Laila tak kisahkan?”

Aku lihat Laila mengangguk perlahan. Apa yang tak kisah tu Laila oi? Suka-suka aja kau angguk-agguk ya.

“Tak apa, Laila ikut aja.”

“Terima kasih Laila.”

“Abang janji, bila dah settle semua, kita akan kahwin.”

Ooh, fahamlah aku sekarang. Mesti jantan ni minta tangguh lagi. Sudahlah lima tahun bertunang, nak tangguh lagi? Something wrong ni.

“Tak apa, Laila sanggup tunggu.”

“Sekurang-kurangnya abang dah ada kat Malaysiakan? Tak adalah nak menanggung rindu lagi.”

Laila mengangguk perlahan. Entah macam manalah rupa dia sekarang. Mesti merah macam biji saga! Inilah masanya aku nak mengusik Laila.

“Ehem-ehem, cik Laila tak rindu pada cik abang ke?”

Sebaik mendengar suara aku, kedua-duanya berpaling serentak. Wajah Laila ketika itu, merah campur terkejut. Aku tergelak besar. Malulah tu! Aku memandang sekilas pada lelaki idaman Laila itu. Lalu aku melihat ke arah Laila semula, sambil menghabiskan sisa tawaku.

“Qai! Tak baik tau..”

“Apa tak baik, tak baik? Ooh, kau tinggalkan aku sorang-sorang kat dapur tu kira baiklah? Duduk bercanda di tepi kolam ikan ni kira baiklah?”

“Aku..aku..”

“Qairunissa..”

Aku berpaling melihat tunang Laila. Bagaimana dia tahu nama aku? Muka dia..muka dia ni macam pernah tengok. Tapi di mana ya? Aku berkerut kening sementara berusaha memerah otakku yang bergeliga ini. Siapa lelaki ini? Renungannya, suaranya.. eh? Apakah…

2 Suara Merdu Anda:

Anonymous said...

sapekah tunang laila.........waaaaaaaa, tertanye2 ni....adakah irfan?? cik penulis, tlg la sambung cepat
-ieda ismail-

Anonymous said...

fuh... N3 yg suspens dah x sabar nak bace , tengok2 irfan... masa irfan tengok QAI terus x jadi nak kawen ngan laila... huhuhu buat cite lagi mencabar ... nanti karang si Hasnal bergadoh ngan irfan ... pastu dtg plak Hisham lagi haru biru hak hak hak lagi mencabar dr biasa.. chio..! chio..! LOVE IT !
~MISS BZbody~

Post a Comment