Kamal Oh Kamalia 12

Sebaik habis saja kelas statistik, aku bergegas ke butik kak Effa. Hari ni hari pertama aku mengikuti kelas groomingnya. Berdebar juga rasanya. Malu pun ada. Aku ajak Dina dan Iqbal temankan, tapi mereka sibuk dengan tugasan masing-masing. Terpaksalah aku harunginya sendirian. Butik kak Effa ni besar juga. Di bahagian hadapan penuh dengan pakaian dan aksesori dan di bahagaian belakang terletak studio untuk kelas grooming. Untuk hari pertama kak Effa ajar teorinya saja. Bagaimana itu bagaimana ini. Susah juga rupanya nak jadi perempuan ni. Silap haribulan jadi bapok aku nanti.

“Faham ke ni Kamal?”

“Ha, err.. faham kak.”

Aku tersengih. Sempat pula aku melamun dalam kelas kak Effa ni.

“Ada apa-apa nak tanya?”

Aku menggaru kepala. Apa yang aku nak tanya? Rasanya tak ada kot. Aku geleng perlahan.

“Okey kalau macam tu kita start sekarang. Kamu bangun sekarang dan berdiri. Akak nak tengok.”

Tanpa berlengah aku pun berdiri dengan bergayanya. Kak Effa menyorot tepat ke muka aku. Kenapa? Apa yang tak kena?

“Kaki tu Kamal. Kaki tu kepit sikit. Jangan nak terkangkang macam tu. Orang perempuan tak berdiri macam tu. Macam orang nak berkawad aja.”

Ha? Kepit kaki? Alamak.. macam senak saja rasanya. Ish, kak Effa ni biar betul. Nak tak nak aku buat apa yang kak Effa suruh.

“Rapat lagi. Kalau boleh jangan ada ruang langsung!”

Ish, garangnya? Aduh, nak rapat macam mana lagi ni kak Effa oii..

“Err.. tak bolehlah kak.. susah.”

“Kenapa tak boleh? Cuba sampai berjaya!”

Makin tegas suara kak Effa ni. Dah rasa macam kena dera saja. Baru hari pertama dah terasa seksa.

“Macam ni ke orang perempuan kak?”

“Kamu ingat senang ke nak jadi perempuan? Perempuan yang semulajadi tak perlu bersusah payah macam kamu ni. Sebab orang prempuan ni pinggul dia dah cukup untuk support the whole body. Faham?”

“Oh.. tu sebab perempuan jalan lengang lenggok ye kak?”

“Tau pun. Dah cuba lagi!”

Aku cuba merapatkan jarak antara peha aku. Jadi memanglah jadi. Tapi tuhan saja yang tahu betapa tak selesanya aku.

“Kamu ni kenapa? Berpeluh-peluh aja?”

Aku geleng perlahan. Muka kak Effa tu aku tengok macam kulum senyum saja. Nak gelakkan akulah tu.

“Okey, cuba duduk pulak.”

Aku menghela nafas lega. Terlepas seksaan sementara. Aku duduk seperti yang kak Effa arahkan.

“Kamal!”

Aku tersentak mendengar suaranya yang keras itu.

“Apa kak?”

“Yang duduk terkangkang tu siapa suruh? Macam tu ke orang perempuan duduk?”

Alamak, tak lepas lagi seksaan aku rupanya. Aku sengih. Cuba merapatkan peha aku sedikit.

“Macam ni ya kak?”

“Rapat lagi, sambil bertemu lutut tu, sengetkan sikit betis tu.”

Aku tersenyum kelat. Rapat lagi? Sampai bertemu lutut? Sengetkan betis? Apa ke susah sangat ni? Aku cuba juga walaupun aku dah tahu apa yang bakal aku rasa. Aku pasti dudukku tidak akan bertahan lama.

“Ha, boleh pun. Okey cuba bertahan selama 15 minit.”

Aku telan air liur. Lima belas minit? Meroyan apa perempuan ni? Saja nak dera aku ke ni?

“Apa saya nak buat dalam masa lima belas minit kak?”

“Duduk aja diam-diam kat situ. Menanti dengan sabar.”

Menanti dengan sabar? Boleh ke? Nak tak nak terpaksalah aku menanti dengan sabar. Aku ketuk-ketuk meja dengan jari sambil mata aku tak lepas dari melihat jam dinding. Tik tok tik tok.. terhegeh-hegeh pulak jarum jam ni. Jari jemari aku terus mengetuk-ngetuk meja mengundang sedikit irama. Aku tersengih bila bertembung dengan mata kak Effa. Dia merenung aku dengan pandangan geram. Apa lagi yang tak kena ni?

“Tangan tu Kamal.”

Aku tengok tangan aku. Terbalik telangkup berkali-kali. Okey saja. Apa yang tak kena? Kak Effa bangun dari duduknya dan melangkah ke arah aku. Aku hanya mampu menelan air liur melihat wajah dia yang serius itu. Kak Effa berdiri betul-betul di depan aku. Tiba-tiba dia jentik jari aku. Walalupun tak sakit tapi terasa jugalah pedihnya.

“Jangan biasakan mengetuk jari begini. Perempuan yang sopan tidak akan berperangai begini. Letak tangan kamu tu atas riba dan cuba genggam.”

Cepat-cepat aku buat seperti apa yang disuruhnya.

“Kamu tahu tak Kamal, kalau kamu mengetuk jari kamu tu atas meja, dengan mudahnya kamu kena detect tahu? Jari kamu tu kasar, tak halus macam perempuan. Jadi, cuba sorokkan selagi boleh. Faham?”

Aku mengangguk faham. Itu rupanya alasan dia. Alah, ikut ajalah bukan susah pun.

“Okey duduk dengan sabar. Mata jangan nak meliar ke sana sini. Itu perangai orang perempuan yang tak sopan. Tahu?”

“Tahu kak.”

“Tu badan tu kenapa yang macam si bongkok tiga? Tegakkan badan lentikkan pinggang dan naikkkan dada. Tegakkan bahu kamu tu sekali.”

Aku pun buatlah apa yang disuruh kak Effa tu. Terkial-kial jugak aku nak melentikan pinggang dan naikkan dada. Selalu aku duduk santai aja. Macam ni ke orang perempuan duduk? Macam tak selesa aja.

“Bagus.”

Kak Effa berlalu dengan lenggang lenggoknya. Jadi, seperti yang disuruh aku pun duduklah dengan gaya menegak macam patung dan lentikkan pinggang. Mak aii, rasa nak patah pinggang aku ni. Tangan aku genggam dan letakkan di atas riba. Payah betul! Oleh kerana kak Effa tak bagi aku tengok sana tengok sini, maka aku pun hanya mampu tegakkan kepala dan mengerling jam di dinding. Lagi sepuluh minit untuk aku bertahan. Peluh sudah mula merenik walaupun ada penghawa dingin di studio ini. Sabarlah wahai hati.

0 Suara Merdu Anda:

Post a Comment