Cintaku 100% 21 (Last N3)

Cassandra memandu dengan tenang. CD ceramah agama dari Ustaz Kazim di dengar dengan teliti. Sesekali dia ketawa dengan jenaka yang diselitkan di dalam ceramah itu. Sejak kebelakangan ini dia amat gemar mendengar ceramah agama dari CD-CD yang memang sengaja dia beli. Pada awalnya dia ingin mencari muzik instrumental yang terkini, entah kenapa dia tertarik hati untuk membeli CD-CD dari tokoh-tokoh penceramah tersohor negara. Itupun dia terdengar perbualan di antara dua orang gadis yang berada di sebelahnya berbual sesama mereka. Dia menangkap setiap butir percakapan mereka dengan cekap bila perbualan itu berkisar tentang agama Islam. Tercuit hatinya ingin membeli bila salah seorang gadis itu memuji tentang ceramah Ustaz Kazim.

Cassandra tersenyum bila mengingati saat pertama kali dia membeli CD-CD agama itu. Gadis penjaga kaunter bayaran berwajah pelik dan merenungnya lama. Mungkin tidak percaya agaknya. Dia hanya menghadiahkan senyuman manis sahaja untuk gadis itu. Jika gadis itu tidak bertanya apa-apa, maka tidak perlulah dia sibuk menjelaskan tujuannya membeli CD-CD itu. Leretan senyum Cassandra tiba-tiba pudar secara perlahan-lahan saat lirikan matanya tertancap pada sebuah masjid yang berada di tepi jalan. Hatinya tiba-tiba tergerak untuk singgah.

Dia masuk ke halaman masjid nan indah itu. Setelah memakirkan keretanya, dia hanya duduk diam di dalam kereta. Cermin tingkap dibukanya untuk mendengar suara azan yang berkumandang. Entah kenapa hatinya berasa sebak secara tiba-tba. Dia berasa sangat sayu dan ingin menitiskan airmata. Cassandra menahan. Pandangan mata ditebarkan melihat suasana sekelilingnya.

Beberapa orang lelaki dan wanita memasuki kawasan masjid. Si lelaki segak berbaju Melayu. Ada yang berseluar, ada yang bersarung sahaja. Si wanita pula sudah memakai jubah sembahyang berwarna putih. Ada yang hanya menyangkutnya di tangan sahaja sambil bergegas-gegas memasuki masjid itu. Entah kenapa perasaan ingin tahunya sangat kuat. Dia ingin melihat secara dekat apa yang ada di dalam masjid itu, apa yang mereka lakukan sehinggakan kelihatan semuanya berjalan dengan pantas tanpa menoleh ke kiri dan ke kanan lagi. Bagaikan mengejar sesuatu.

Cassandra membuka pintu keretanya dan menapak perlahan sambil tengkuknya dipanjangkan untuk melihat dari luar apa yang ada di dalam masjid itu. Hendak masuk tidak berani pula. Perasaannya lebih kepada ingin mengetahui bagaimana mereka bersembahyang sebenarnya.

“Adik cari siapa?” Tegur satu suara.

Bahu Cassandra sedikit terangkat kerana ditegur dari belakang. Dia menoleh lalu mengukir senyum manis kepada dua orang wanita separuh umur. Lebih kurang sebaya ibunya sahaja. Kedua-duanya memakai kaca mata. Bezanya seorang berbingkai emas dan seorang lagi berbingkai hitam.

Cassandra menghulurkan salam. Mereka menyambutnya bersama senyuman namun mata mereka memandangnya dari atas ke bawah.

“Nak sembahyang ke?” Tanya wanita yang kaca matanya berbingkai hitam itu.

Laju Cassandra menggeleng.

“Bukan, saya bukan orang Islam,” sanggah Cassandra.

Seperti diduga kedua-dua wanita itu terkejut. Mereka saling berpandangan. Kemudian pandangan mereka beralih semula ke arahnya. Mereka memandangnya dengan pelik.

“Habis tu buat apa di sini?” Tanya wanita itu lagi.

“Err, saja nak tengok,” jawab Cassandra gugup.

“Nak tengok?” Soal wanita itu hairan.

Cassandra mengangguk laju.

“Nak tengok apa?” Berkerut wajah wanita itu tidak memahami tujuan Cassandra. Apakah yang ingin dilihat oleh gadis Cina ini sebenarnya?

“Orang sembahyang?” Jawab Cassandra polos.

Kedua-dua wanita itu berkerut kening dan saling berpandangan lagi. Mereka mula curiga pada Cassandra. Sekali lagi batang tubuh Cassandra diperhati dari atas ke bawah oleh kedua-dua wanita itu.

“Nab, jomlah. Kita dah lambat ni,” sungut wanita yang kaca matanya berbingkai emas itu setelah lama berdiam diri.

Wanita yang bernama Nab itu pula mengangguk pantas.

“Jom Ton. Layan budak Cina ni, terlepas Maghrib kita nanti,” gumamnya bersahaja.

Cassandra sedikit tergamam. Dia bergerak ketepi untuk memberi laluan kepada kedua-dua wanita separuh umur yang bernama Nab dan Ton itu. Baginya mereka tidak mesra.

Cassandra menghela nafas perlahan. Bukan salah mereka pun. Dia yang salah tempat. Pastilah orang curiga dengan perbuatannya yang terhendap-hendap itu.

“Amoi!”

Cassandra berpaling bila wanita yang bernama Nab itu memanggilnya. Dia membibit senyum.
“Pergi dari masjid ini sekarang. Kamu tidak boleh berada di sini dengan mendedahkan aurat. Nak masuk masjid kena tutup aurat. Faham?” Arah Nab dengan nada yang agak keras.

Cassandra hanya berkerut tidak memahami maksud wanita yang bernama Nab itu.

“Makcik cakap apa? Aurat?” Tanyanya polos.

“Ya, aurat. Ni pakaian kamu ni tak sesuai berada di masjid. Pergi cepat!” Wanita yang bernama Nab itu berlari-lari anak memasuki masjid semula.

Cassandra merenung pakaiannya. Apa yang tidak kena? Dia hanya memakai blouse berlengan pendek dan berskirt paras lutut. Masih sopan bukan? Apa maksud perempuan itu dengan aurat?

Cassandra merenung ke dalam masjid semula. Suara seorang lelaki yang menggunakan mikrofon kuat bergema dengan bacaan yang dia tidak fahami. Pasti lelaki itu sedang membaca Quran, kitab suci orang Islam.

Cassandra tidak segera pulang. Dia masuk ke dalam keretanya semula dengan tingkap yang terbuka. Dia menghayati alunan merdu suara seorang lelaki yang membaca ayat-ayat yang dia tidak fahami. Sama seperti ceramah agama yang terdapat dalam CD yang dia beli. Ayatnya lebih kurang. Sebutannya, merdunya. Tapi satu pun dia tidak faham.

Perbualan dan pandangan kedua-dua wanita itu tadi menimbulkan rasa tidak enak di benaknya. Tiba-tiba dia berkecil hati. Ditambah pula mendengar alunan suara lelaki itu, semakin sayu hatinya. Akhirnya dia terlelap.





***


Setelah bersalam dengan para jemaah muslim, Hanafi menutup pintu masjid. Sang bayu berhembus deras menyapa kulit wajah. Terasa sedikit dingin menerjah lalu dia menyeluk tangannya ke dalam poket baju melayu. Hanafi mendongak ke langit yang gelap pekat. Tiada berbintang. Mungkinkah hujan akan menyimbah bumi malam ini? Dia tidak tahu. Kadang-kadang angin saja yang kuat tetapi hujan tidak jadi. Dia berdoa semoga Allah turunkan rahmatnya malam ini dan membuat seisi alam bergembira dengan kurniaanNya.

Hanafi melirik jam di tangan. Dia tidak boleh pulang lewat kerana Soleha keseorangan di rumah dan masih kurang sihat. Dia menjadi imam malam ini pun kerana menggantikan imam tetap yang sedang demam. Walaupun berjemaah di masjid lebih afdal dari bersolat sendirian di rumah namun dia lebih rela berada di sisi isterinya. Bimbang benar dengan kesihatan Soleha yang semakin merosot sejak akhir-akhir ini.

Dia menapak ke ruangan parkir di kawasan masjid itu. Sedikit berkerut dahinya bila terpandang sebuah kereta BMW tersadai selang beberapa langkah dari keretanya. Setahunya, dia adalah orang terakhir yang berada di sini.

Hanafi berasa tidak sedap hati lalu merapati kereta yang terbuka tingkapnya itu. Dia tersentak sedikit bila menatap wajah seorang gadis yang pulas lena. Dia kenal gadis itu. Cassandra. Apa yang dia buat di sini?

“Cik Cassandra? Cik Cassandra?” Hanafi mengetuk perlahan pintu kereta agar Cassandra tersedar dari lenanya.

Cassandra terpisat-pisat sambil menenyeh matanya beberapa kali. Dia mengecilkan matanya sambil merenung Hanafi. Terkebil-kebil sambil keningnya berkedut. Ternyata Cassandra masih mamai.

Hanafi tersenyum manis.

“Cik Cassandra, mengapa tidur di sini?” Soalnya lembut.

Bila mendengar suara lembut Hanafi itu barulah Cassandra tersedar dari mamainya. Dia tersipu.

“Kereta rosak ke?” Tanya Hanafi lagi.

Bimbang juga dia malam-malam begini hanya berduaan dengan Cassandra. Jika kereta Cassandra rosak, dia ingin segera memanggil mekanik agar dapat membaikinya secepat mungkin. Tidak mahu dia menemani gadis itu di sini, di kawasan masjid pula tu. Tanggungjawabnya yang menanti di rumah itu sepatutnya dia dahulukan.

“Eh, tak ustaz. Saya keletihan dan tertidur di sini. Maaflah,” nafi Cassandra.

“Oh ye ke, kalau begitu cik Cassandra segeralah pulang. Bimbang nanti orang tua cik Cassandra risau pula,” arah Hanafi.

Ada sayu mula menusuk di hati Cassandra mendengar arahan Hanafi itu. Ayahnya, pernahkah risau akan dirinya? Langsung tidak. Cassandra hanya mengangguk perlahan sambil tersenyum hambar.

Setelah membalas ala kadar senyuman Cassandra itu, Hanafi mula mengatur tapak menuju ke keretanya.

“Tunggu dulu ustaz!” Laung Cassandra.

Langkah Hanafi terhenti. Dia berpaling ke belakang. Nampaknya Cassandra sudah keluar dari keretanya. Hanafi mula tidak sedap hati. Dia memandang sekeliling. Debarannya bukan kepalang. Dia takutkan fitnah. Dia takutkan kemurkaan Allah. Hanafi melihat Cassandra mula mengatur langkah menuju ke arahnya.

“Stop! Berhenti di situ cik Cassandra,” arah Hanafi tegas.

Langkah Cassandra terhenti serta-merta. Dia berasa pelik. Apa yang tidak kena?

“Kenapa ustaz?” Tanyanya.

“Cukup di situ saja. Bimbang timbul fitnah nanti,” terang Hanafi.

“Fitnah? Siapa yang mahu membuat fitnah sedangkan tiada sesiapa pun di sini?” Soal Cassandra lagi. Hairan sungguh dia.

“Iblis laknatullah ada. Dialah kejahatan yang nyata,” terang Hanafi lalu beristighfar beberapa kali di dalam hati.

Gementar sungguh dia. Semoga Allah teguhkan imannya. Dia merenung Cassandra semula. Gadis itu masih berkerut kening tidak memahami.

“Ada apa cik Cassandra memanggil saya?” Tanya Hanafi tegas. Dia tidak mahu berbasa-basi lagi. Dia harus segera pergi dari situ.

“Saya cuma nak tanya sikit…,” suara Cassandra melirih.

“Apa dia?” Hanafi memandang serius.

“Aurat tu apa?”

Hanafi mengangkat keningnya. Terdiam seketika. Kemudian dia tersenyum mesra.

“Kenapa?”

“Tadi ada seorang makcik menyuruh saya segera pergi dari masjid ini kerana saya tidak tutup aurat. Dia tidak benarkan saya berada di kawasan masjid ini,” niat Cassandra bukanlah untuk mengadu-domba, tetapi dia perlu tahu apakah maksud kata-kata wanita itu tadi.

Hanafi tersenyum. Fahamlah dia kini mengapa Cassandra bertanya soalan itu memandangkan gadis itu hanya memakai blouse berlengan pendek dan berskirt paras lutut. Hanafi segera mengalihkan pandangannya ke arah lain.

“Aurat tu apa ustaz? Kalau urat saya tahulah,” Cassandra tersenyum manis membuat Hanafi tergelak kecil.

Lalu tanpa berlengah Hanafi menerangkan tentang aurat secara ringkas tetapi jelas dan padat. Kelihatan Cassandra terangguk-angguk menandakan dia memahami apa yang diterangkan oleh Hanafi itu. Barulah dia faham kini apa yang dimaksudkan oleh wanita yang bernama Nab itu tadi.

“Err, ustaz ada satu lagi soalan. Boleh ke?”

“Boleh apa salahnya.”

“Tadi saya mendengar suara seorang lelaki yang sangat sedap membaca ayat-ayat yang saya tidak faham. Adakah itu ayat Quran, ustaz?” Tanya Cassandra tanpa berselindung. Dia perlu tahu.
“Subhanallah… ya, itu ayat-ayat suci al-Quran,” jawab Hanafi dengan lembut.

“Siapakah lelaki yang membaca ayat-ayat itu? Ustaz kenal?” Tanya Cassandra bersungguh.

Hanafi sedikit tersentak.
“Kenapa?”

“Suaranya sungguh merdu dan sedap didengar. Bila dia membaca ayat-ayat itu, saya rasa seperti hendak menangis. So touching,” tutur Cassandra tanpa segan silu.

“Subhanallah... hanya Dia yang Maha Mengetahui. Erm, sudah lewat ni cik Cassandra, pulanglah. Tak manis kita berbual di sini,” tegur Hanafi tanpa memberitahu perkara sebenar bahawalah dia si qari itu.

Cassandra mengerti. Orang yang kuat beragama seperti Ustaz Hanafi ini pastilah ingin menjaga imej baiknya. Dia akur, walaupun ada sedikit ralat di hatinya kerana soalan terakhirnya tadi tidak dijawab secara tepat. Setelah berpamitan, perlahan dia mengatur langkah menuju ke keretanya.




0 Suara Merdu Anda:

Post a Comment