Kerana Sebuah Janji 19

“Abang, dah tengah malam ni. Kenapa duduk luar lagi?”

Dani berpaling bila suara sang isteri menyapa lembut. Sekuntum senyuman dihadiahkan buat Dahlia.

“Abang nak ambil angin kejap.”

“Ada problem ke?”

“Tak.”

“Betul ni?”

Dani menggapai lembut jemari Dahlia. Menarik isterinya itu duduk di sebelahnya. Tanpa banyak soal, Dahlia menurut.

“Abang nak minum?”

Dani menggeleng.

“Dah habis study?”

Dahlia hanya tersenyum.

“Duit belanja ada lagi?”

Dahlia mengangguk perlahan.

“Esok kelas pukul berapa?”

“Pagi, pukul 8.30.”

“Abang hantar ya?”

“Tak payahlah. Lia tumpang Balqis. Macam biasa.”

Dani diam. Dahlia hanya memerhati seraut wajah suaminya yang murung itu. Jelas terpamer kesedihan di wajah duka Dani. Apa masalah sebenar agaknya? Dani kelihatan sedikit serabut. Pulang dari kerja tadi begitulah keadaannya. Asyik termenung dan mengeluh tak sudah-sudah. Berat sangatkah masalah yang dihadapi sehingga mengundang mendung yang tidak bertepi di wajah tampan itu?

“Ceritalah bang.”

“Apa dia?”

“Ceritalah kat Lia.”

“Lia nak tahu apa?”

“Abang macam ada masalah aja? Fasal apa ya?”

“Haii… entahlah.”

Mengeluh lagi. Entah ke berapa kali dia sendiri tidak pasti. Dahlia tersenyum hambar. Bagaimana harus dia hiburkan hati suami yang sedang rawan? Sekali imbas terlintas sikap baran Dani yang tidak menentu sebelum ini membuat dia kecut perut. Dahlia cuba bersikap tenang.

“Macam berat aja bunyinya?”

Dani menoleh. Lama dia merenung Dahlia. Merenung ke dalam dasar mata isterinya itu. Mengharap sebuah pengertian dan secebis simpati. Jika dia berterus-terang bagaimanakah penerimaan Dahlia agaknya? Marahkah? Rajukkah? Jika dia berdiam diri pun pasti tidak boleh. Dia akui, dia tidak pandai hendak menyembunyikan perasaannya. Dani menarik nafas dalam. Mencari bicara yang sesuai agar Dahlia tidak terluka.

“Abang… abang frust.”

“Frust?”

Dani mengangguk perlahan. Sepasang mata redupnya merenung ke dalam anak mata Dahlia. Benar-benar mengharap pengertian dari seorang isteri sebaiknya.

“Abang dan Juliana dah putus.”

Tersentap dengan kata-kata Dani itu, dadanya sebak tiba-tiba. Suaminya sedang kecewa? Kecewa dengan cinta Juliana. Dahlia hilang kata-kata. Kerana dirinya cinta itu tidak kesampaian. Kerana dia cinta itu terputus di tengah jalan. Dia amat pasti kini dua jiwa sedang sengsara. Dua jiwa sedang terluka. Luka yang belum pasti dapat disembuhkan. Dia rasa sangat bersalah pada suaminya itu. Perlahan jemarinya mengusap lembut jemari Dani.

“Kesian dia. Abang yang buat dia jadi macam ni. Abang khianati dia. Abang menduakannya. Abang tahu walau dia sibuk, dia tetap setia dengan abang.”

“Sabarlah. Kuatkan semangat ya.”

“Abang tak dapat jumpa dia lagi, abang akan merindui dia, dia dah pergi. Abang dah kehilangan dia.”

Dani tunduk meramas rambut. Sebak di dada cuba ditahan semampu mungkin. Tubir mata berasa panas. Dia menahan dengan kuat. Tidak mahu Dahlia melihat betapa sengsaranya jiwa, betapa pilunya hati. Tidak mahu Dahlia melihat airmatanya dan menganggap dirinya lelaki lemah. Betapa bersusah-payah dia bersabar dan menahan segala dugaan untuk memiliki seorang Juliana, akhirnya kesudahan ini yang dia dapat. Peritnya putus cinta. Sakitnya menyucuk-nyucuk. Bagaikan sembilu mencalar hati. Siapakah yang kejam? Dia? Juliana? Papa atau takdir?

Dahlia menyeka airmata yang bergenang. Kerana dia, Dani kehilangan Juliana. Kerana dia, suaminya kehilangan kekasih hati.

“Lia try pujuk dia ya?”

“Nak buat apa?”

“Jadi second wife abanglah.”

Walaupun berat Dahlia masih terdaya memberi cadangan. Memberi keizinan untuk suaminya berpoligami. Demi untuk gembirakan hati sang suami. Tapi, Dani hanya menggeleng.

“Tak payahlah Lia, abang dah cuba. Dia tak nak.”

“Alasan?”

“Tak nak jadi pengacau, tak sanggup bermadu.”

“Biar Lia pula yang cuba nak?”

“Lia tak kenal siapa Juliana. Kalau hitam yang dipilihnya maka hitamlah keputusannya. Tak boleh diubah lagi. Dia sangat degil.”

Sekali lagi Dahlia hilang kata-kata. Hebat sungguh kasih Dani pada gadis itu. Siapa dia jika hendak dibandingkan dengan Juliana? Sebagai isteri, sedikit sebanyak hatinya terguris. Suaminya sedang meratapi kehilangan kekasih hati.

Kamal Oh Kamalia 5

Aku melangkah keluar dari surau. Seluruh Fakulti Perdagangan sudah semakin lengang. Aku menapak perlahan. Sejak salam perkenalan yang aku hulurkan pada Azlin di tolak, aku lebih banyak menghabiskan masa di surau. Malas nak balik cepat. Bimbang jika bertembung dengan Azlin. Segan pula rasanya. Tiba-tiba aku ternampak Azlin berdiri menghadap papan kenyataan. Cepat-cepat aku menyorok di balik tiang. Azlin membelakangi aku dan pasti dia tidak perasankan aku. Aku lihat dia tunduk mencari sesuatu dalam beg sandangnya lalu mengeluarkan sekeping kertas dan menampal di papan itu. Gadis itu berlalu sebaik menyelesaikan tugasnya.

Setelah aku pasti dia sudah jauh dari penglihatan aku, derap kaki ku atur perlahan. Ingin melihat apa benda yang dilekat oleh Azlin di situ.

Mencari housemate seberapa segera.
Contact : Azlin 019- 5188518

Yes! Aku sudah dapat nombor telefonnya. Alangkah gembiranya aku! Aku meleret senyum. Kertas yang di tampal Azlin sebentar tadi aku ambil. Karang tak pasal-pasal mamat lain yang dapat nombor telefon buah hati aku ni. Tak boleh, tak boleh. Cepat-cepat aku melangkah, ingin mencari Iqbal segera. Aku sudah mendapat idea bagaimana hendak memikat Azlin!

*********


“Gila!!”

Terkebil-kebil aku merenung Iqbal. Aku buat muka sekupang. Ingin meraih simpati agar Iqbal bersetuju dengan idea gila aku itu. Marah benar mamat ni?

“Kau hilang akal ke Mal?”

“Ala, apa salahnya?”

“Apa salahnya? Memanglah salah encik Kamal Lutfi oii. Aku tak setuju!”

“Bolehlah Bal, kau supportlah aku. Kau kawan aku kan?”

“Sebab aku kawan kaulah aku tak nak kau buat kerja gila ni Mal.”

“Ala, bukan siapa tahu pun. Pandai makan pandailah simpan.”

“Tengkorak kau! Dah tak kenal halal haram?”

“Aku tak ada pilihan Bal, aku terpaksa.”

“Pilihan tu sentiasa ada. Kau jangan nak menempah maut, jangan nak cari bala. Faham?”

“Kau ni Bal, aku minta kau sokong aku, bukan larang aku.”

“Hii… aku tak boleh terima idea mengarut kau tu, kau faham tak ni? Berdosa tau tak? Haram!”

“Aku rasa idea aku ni okey apa?”

“Okey kepala hotak kau!”

“Bolehlah Bal. Aku desperate nak kenal dia ni. Aku suka dia Bal. Kau faham tak perasaan aku ni?”

“Mal, sekali lagi aku tegaskan idea kau ni mengarut, gila! Faham? Kalau pihak U dapat tahu, kau kena buang beb! Masa depan kau macam mana? Mak kau kat kampung macam mana? Nak malukan dia? Ha?”

Aku terdiam. Kata-kata Iqbal benar belaka. Aku tak boleh pentingkan diri sendiri. Aku harus fikirkan tentang mak di kampung. Tapi aku rasa sangat terdesak. Hati aku mendesak supaya aku mendekati Azlin dengan cara ini. Cara yang tak boleh di terima pakai oleh agamaku. Tapi aku nekad. Ini saja caranya. Aku renung Iqbal.

“Bawa aku jumpa Dina, Bal.”

“Ha? Nak buat apa jumpa awek aku?”

“Kau ni, nak jealous tak tentu hala pulak. Aku nak minta pendapat dia.”

“Ah, tak payah! Aku tahu dia tak akan setuju punya.”

“Bal, kau jangan memandai nak wakilkan dia pulak. Aku kata, bawa aku jumpa Dina tu, kau bawalah.”

“Kau jangan nak babitkan dia pulak Mal.”

“Kau tak nak bawa, aku jumpa dia sendiri!”

“Oit Mal!, tunggu!”


*******


“Apa hal? Dah nak maghrib ni. Urgent sangat ke?”

Pandangan pelik Dina silih berganti memanah aku dan Iqbal. Aku berkalih memandang Iqbal. Muka macam tak puas hati saja dia ni? Aku tahulah idea aku ni mengarut.

“Cepatlah, karang jiran nampak, tak manis pulak.”

“Bal,”

Aku menyiku Iqbal. Berharap lelaki itu menerangkan idea aku itu pada Dina. Iqbal buat tak tahu. Dia peluk tubuh. Aku tersengih tengok Dina. Nak tak nak aku jugalah yang kena cakap nampaknya.

“Err… gini, aku perlukan pertolongan kaulah Dina.”

“Okey, teruskan.”

“Aku.. aku nak tackle Azlin.”

Aku diam seketika. Macam mana nak cakap ni ya? Aku garu pipi. Mata mula mencari mata Iqbal. Jelas sekali wajah bengang dipamerkan lelaki itu. Kau ni Bal, buat muka cencorot tu kenapa? Tolonglah aku ni.

“So, kau nak aku tolong apa?”

“Err.. err.. aku..aku..”

“Aku apa ni Mal, cakaplah cepat. Aku nak masuk ni. Ha dengar tu, azan pun dah bunyi. Cepatlah!”

“Bal, cakaplah Bal.”

“Tak kuasa aku, kau cakap sendiri.”

“Bal..”

“Macam nilah, Kamal, apa kata lepas Isya’ karang kita jumpa kat medan selera depan tu ya?”

“Oh.. okeylah kalau macam tu. Kita orang tunggu kau pukul 9.00 ya?”

“9.30!”

Aku sengih. Apa-apalah Dina, asalkan kau boleh tolong aku.

Rajuk Sang Hati 38

TUJUH TAHUN BERLALU..


‘Tak sabar rasanya nak balik Malaysia. InsyaAllah aku akan bersalin kat sana. Kau jemput aku kat airport ya?’

Aku tersenyum membaca email dari Maisarah. Kalau tak silap aku kandungannya sudah berusia enam bulan. Sahabat baikku itu sedang bahagia menyambut orang baru. Hasil perkongsian hidupnya dengan Azrai. Sungguh aku tak sangka, mereka sama-sama belajar dan menetap di Australia dan bertemu jodoh di sana. Syukur, walau aku tidak boleh bagi apa yang Azrai mahu, tapi sekurang-kurangnya Maisarah adalah pilihan tepat untuk dirinya. Maisarah gadis yang baik.

Aku menghela nafas panjang. Komputer riba aku tutup perlahan. Cepatnya masa berlalu. Pejam celik, pejam celik sudah tujuh tahun aku meninggalkan zaman persekolahan. Sekolah Menengah Anggerik Biru kini dalam kenangan. Segala-galanya ada di situ. Suka dukaku di sekolah itu telah mencorakkan siapa aku sekarang ini. Aku tidaklah belajar sampai ke luar negara seperti Maisarah, Azrai dan Hasnul Amin. Aku dan Azura hanya berkesempatan belajar di IPTA di Malaysia saja. Namun aku bersyukur, aku kini seorang penjawat awam yang agak sibuk hingga tiada masa untuk memikirkan jodohku. Sedangkan Azura kini sudah pun menjadi tunangan orang. Aku tersentak bila telefon bimbitku menjerit. Aku tersenyum lebar melihat nama di skrin.

“Hello, assalamualaikum.”

“Walaikumsalam. Ceria aja suara kau?”

“Mana taknya aku baru terfikir pasal kau, tup-tup kau telefon. Bila kau jadi ahli nujum ni?”

Azura tergelak besar di talian.

“Kau fikir apa pasal aku? Kau rindukan aku ek?”

“Yalah, kau ni pun bila nak turun KL ni? Boleh kita lepak sekali.”

“Ha, sebab tulah aku call kau ni. Kau dapat email Mai?”

“Dapat. Kenapa dia suruh kau jemput dia kat airport ke?’

“Haah. Dia pun suruh kau ya?”

“Haah. Macam mana? Kau nak jemput dia ke? Jomlah wei, kau lepak kat rumah aku ya?”

“Mungkin tak kot. Aku datang dengan tunang aku.”

“Ala, yang kau heret tunang kau sekali tu kenapa?”

“Dah dia teringin nak jumpa kawan-kawan aku, kesian pulak.”

“Aik? Apa yang kau story kat dia?”

“Ala, macam-macamlah. So, aku ingat aku tumpang tidur rumah kakak dialah.”

“Hii.. tak malu. Belum apa-apa lagi dah tumpang rumah orang.”

“Kau ni! Bukan orang lain pun kan? Bakal kakak ipar aku jugak.”

“Yalah tu, gatal!”

“Oit, jaga kau.”

Aku tergelak besar.

“Qai, okeylah ek. Nanti aku confirm balik kita jumpa kat mana.”

“Ala, releks la. Kau ni, dahlah jarang call aku.”

“Oh, aku aja yang call kau, kau tu tak reti-reti nak call aku ke?”

Aku tersengih. Tak berani nak komen.

“Dahlah, kang tunang aku nak call pulak, bye Qai.”

“Yalah, yalah. Mentang-mentang dia ada tunang, kita tak ada. Pergilah berasmaradana dengan tunang kau tu.”

“Agak-agak kalau tak ada tunang, cepat-cepatlah cari.”

“Nak cari kat mana? Siapa yang nak kat aku ni?”

“Eleh, tak ada orang nak konon.”

“Betul apa?”

“Memang betul pun. Kau tu hodoh, ketiak tengik, banyak spare tyre, muka penuh jerawat batu.”

Azura tergelak besar.

“Oit! Melampaunya kau. Siap kau!”

Azura menyambung gelaknya. Mengilai-ngilai macam pontianak lapar. Sehingga aku sendiri turut sama tergelak.

“Aduih, dahlah Qai, aku letak ni ya. Nanti kita jumpa ya.”

“Okey. Bye Zura. Take care.”

“Bye darling. See you soon.”

Aku tersengih merenung telefon bimbit yang telah diam itu. Mendengar suara Azura saja sudah cukup menceritakan betapa sahabatku yang satu itu sedang meniti hari-hari bahagianya. Aku? Aku hanya mampu mengeluh panjang.

Masing-masing sudah berpasangan. Mak aku pun dah bising. Sudah dua tiga orang yang datang merisik, semuanya ku tolak. Siapa yang aku tunggu, aku sendiri pun tidak pasti. Irfan langsung hilang khabar berita. STPM dia dapat berapa aku pun tak tahu. Terus-terang aku merinduinya. Begitu juga dengan Hisham, lepas saja STPM, dia ghaib. Dengar cerita belajar di Mesir. Aku doakan semoga dia bertemu jodoh yang baik di sana. Jiwa aku kosong. Aku tiada lagi kawan baik yang tinggal berdekatan. Maisarah dan Azrai tinggal di Australia. Azura pula jauh di utara. Hasnul Amin? Entah. Ghaib. Sebaik saja habis SPM, aku tak dapat hubungi dia. Di mana dia?

Kerana Sebuah Janji 18

“You memang kejam!”

"I’m so sorry Ju. I’m really really sorry.”

Bagai dirobek-robek hatinya melihat Juliana menangis. Kelam-kabut juga dibuatnya bila gadis itu tersedu-sedan di taman rekreasi itu. Apa pula yang orang akan fikir nanti?

“Sudahlah Ju, benda dah jadi. Tak boleh patah balik dah.”

“Senang ya you cakap? Habis I macam mana?”

“Ju, I tetap sayangkan you.”

“Bohong! Kalau you sayang I kenapa you kahwin dengan dia?”

“Kan I dah ceritakan tadi?”

“Tu semua alasan! You sebenarnya dah tak sayangkan I.”

“That’s not true! I still love you dear.”

“Habis dia? You cinta juga tak?”

Dani terdiam. Dalam keadaan Juliana kini, tidak keruan begini, tidak mungkin dia bercakap soal rasanya terhadap Dahlia.

“Kenapa you diam? Betulkan you cintakan dia?”

“She’s my wife, Ju.”

“And I?”

“You’re my love.”

“Bukan dah jadi kekasih gelap you ke?”

“I tak akan buat you begitu, sayang.”

Juliana diam. Hati yang sakit bertambah parah bila mendengar ungkapan sayang dari lelaki yang dicintainya itu. Tiga tahun menyulam cinta, tiga tahun menyemai kasih, namun ini kesudahan yang dia dapat.

“I hate you Dani, I hate you!”

“Please don’t.. I minta maaf sangat-sangat sayang, I terpaksa buat begini, demi masa depan I dan mama.”

“Apa motif dia ha? Apa yang dia dapat? Separuh harta you?”

“Tak. Tak dapat apa.”

“Yelah tu…”

Juliana tersenyum sinis. Mana ada perkara dalam dunia ini percuma. Semuanya berbayar, semuanya bersyarat. Mana ada orang yang benar-benar bodoh seperti Dahlia. Mengahwini lelaki yang berharta tanpa mendapat satu sen pun!

“So, sekarang dah kahwin, kan? Dah dapat harta, kan? Ceraikan dia!”

“Juliana!”

“What? You tak nak? Kenapa you tak nak? You suka dia? Ha? Cakaplah! You suka dia ke?”

“I tak dapat harta tu lagi so, kami tak boleh bercerai.”

“What do you mean?”

“Harta arwah papa akan rasmi jadi milik I, bila I ada anak dengan Dahlia.”

“You what? Anak?”

Dani mengangguk perlahan menanggapi kemarahan luar biasa Juliana itu. Belum pernah Juliana hilang akal seperti ini. Hari ini dialah yang menjadi puncanya.

“Perempuan tu benar-benar licik!”

“Juliana! Jangan cakap sembarangan!”

“Oh, you marah I? You marah sebab dia? Siapa dia di hati you Dani? Siapa dia?”

“She’s my wife!”

Juliana terdiam mendengar Dani menengkingnya. Belum pernah lelaki itu bersikap demikian terhadapnya. Kini dia amat pasti cinta Dani sudah beralih arah. Airmatanya makin laju menyusuri pipinya.

“I’m sorry.”

“Sampai hati you Dani. Cukup-cukup sampai hati you buat I macam ni.”

“You tak boleh salahkan I sorang Ju, dah empat kali I ajak you kahwin, tapi you tolak. You pentingkan kerjaya you dari I. Kadang-kadang I tertanya-tanya di mana I dalam hati you? I cuba faham diri you Ju, tapi pernah tak sekali you memahami kehendak hati I?”

“Jadi you salahkan I pulak?”

“Kita sama-sama salah Ju.”

Mereka diam seketika. Juliana hanyut dengan perasaan kesalnya yang tiada berpenghujung. Dani pula melayani rasa bersalahnya kerana mengkhianati cinta Juliana.

“Ju, kita kahwin?”

“Ha?”

“Kahwin dengan I. Be my second wife.”

“What? No way! Never!”

“But why Ju? We do love each other, don’t we?”

“I tak nak jadi pengganggu rumahtangga orang.”

“Dahlia tak kisah.”

“Ha? Mana you tahu dia tak kisah?”

“Dia sendiri cakap.”

“Dani, mana ada isteri yang tak kisah suaminya berkahwin lain? You jangan pandai-pandai buat cerita ya.”

“Betul. I tak tipu. Kita kahwin ya?”

“No.”

“Why?”

“I tak sanggup bermadu dan I tak nak share apa pun dengan orang lain.”

Dani mengeluh berat. Sebal dengan sikap degil Juliana.

“So, sekarang macam mana?”

“Kita putus!”

Dani tercengang. Begitu saja? Berakhir begitu saja? Cintanya pada Juliana berakhir di sini? Sekali lagi Dani mengeluh. Betapa pedih, betapa kecewa rasanya. Ingin saja dia menjerit. Ingin dikhabarkan pada dunia betapa pilunya hati. Cukuplah, baginya inilah kali terakhir dia melamar Juliana. Dan gadis itu tetap menolak. Maafkan aku Juliana, peluang buatmu sudah tertutup. Untuk sekian kalinya Dani kecewa.

Kamal Oh Kamalia 4

“Hai!”

Ku lihat Azlin tersentak. Dia menoleh ke arahku. Aku menghadiahkan senyuman termahal buat dia. Azlin tunduk dan berlalu. Aku? Ya Allah, malunya! Dia tak layan pun sapaan aku, apa lagi nak membalas senyuman yang aku lemparkan padanya. Kulit muka aku terasa tebal. Tanpa sedar rupanya aku mengekori dia. Dia berhenti melangkah dan berpaling melihatku. Aku senyum lagi.

“Hai, awak. Nama saya Kamal Lutfi. Boleh berkenalan?”

Aku memberanikan diri. Jantung aku berdegup laju, selaju-lajunya. Gigil satu badan. Azlin pula hanya merenung tidak bereaksi. Sedikit senyuman tergaris di bibir merah jambunya itu. Tiba-tiba aku rasa bersemangat.

“Saya ikhlas nak berkawan dengan awak. Boleh ke?”

“Maaf, saya tak berminat.”

DUSSHH!! TOINKK! TOINNK!

Aku tergamam. Ditolak bulat-bulat? Apa kes kau Kamal? Benda senang macam ni pun tak lepas? Aku hanya mampu memandang Azlin yang berlalu begitu saja. Teganya kau Azlin. Aku benar-benar ikhlas ingin mengenali kau. Aku tidak punya niat yang terselindung. Kenapa kau menolak aku tanpa memberi sedikit ruang sekalipun?

Aku melangkah menuju ke Fakulti Kejuruteraan. Longlai kaki menapak ke arah Iqbal dan Dina yang setia menunggu aku di pondok bersebelahan bangunan Kejuruteraan Elektrik. Dari jauh aku lihat Iqbal mengangkat tangan.

“Lambatnya?”

Sapa Iqbal saat aku meletakkan fail hijau milikku di atas meja. Aku melabuhkan punggung berhadapan dengan pasangan dua sejoli itu. Sedikit cemburu melihat keakraban mereka. Kalaulah aku dan Azlin begitu, kan best!

“Hmm, sorry.”

“Aik, macam tak ada mood aja. Apa kes?”

Aku mengeluh. Kecewa merebak di seluruh ruang rasa. Aku pandang Iqbal.

“Dia tolak aku Bal. Dia tolak bulat-bulat.”

“Siapa?”

“Azlin.”

Bola mata Iqbal membulat. Dina tersenyum manis.

“Kau biar betul?”

“Betul.”

“Macam mana boleh tiba-tiba jadi berani ni?”

“Aku redah aja.”

“Ha, macam nilah kawan aku. Barulah jantan namanya!”

“Banyaklah kau punya jantan. Habis tu kenapa dia tolak aku?”

“Kau cakap macam mana?”

“Aku cakaplah, nak kawan dengan dia. Ikhlas.”

“Then?”

“Dia cakap, maaf saya tak berminat.”

Aku mengajuk suara Azlin, meledak tawa Iqbal dan Dina. Entah apa yang lucu sangat aku pun pelik.

“Alahai, kesiannya kau Kamal. Tak apa jangan putus asa. Cuba lagi ya.”

Dina cuba memberi kata semangat buat aku. Aku senyum tawar.

“Betul-betul, cuba lagi jangan give up.”

“Malu aku Bal.”

“Ala, relekslah. Kau sabar aja. Kalau kau betul-betul suka, kau cuba lagi.”

“Nanti dia tolak lagi, malulah aku Bal.”

“Kalau kau terus mencuba, aku pasti suatu hari dia sedar yang kau memang bersungguh-sungguh pada dia, masa tu mesti dia tangkap cintan sama kau.”

“Ya ke? Boleh pakai ke cakap kau ni?”

“Trust me, bro.”

Aku menarik nafas dalam. Sepertinya semangatku sudah kembali berkobar-kobar. Azlin Nasihin, kau pasti akan ku miliki suatu hari nanti.


**************


“Woi! Kau boleh diam tak? Aku nak study ni.”

Aku melaung sekuat hati. Bengang dengan perangai Iqbal yang memekak dan melalak di ruang tamu.

“Bal? Kalau nak karaoke pun, slow la sikit. Hormatlah kat jiran.”

Iqbal merengus.

“Kau apa hal Mal? Nak angin tak tentu pasal ni?

“Kaulah.”

Aku menapak perlahan ke arah Iqbal. Lalu melabuhkan punggung di sebelahnya. Aku capai gitar dan menguis perlahan tali halus itu. Mood aku nak menelaah buku ekonomi tadi lebur.

“Apa lagi masalah kau?”

“Aku tension ni. Asyik ingat kat dia aja. Padahal dia dah reject aku terang-terang.”

Iqbal tergelak halus.

“Bunyi macam orang frust aja? Wei, dah tiga hari dah benda ni berlalu.”

“Aku tak layak untuk dia ke Bal?”

Iqbal tergelak sambil menggeleng perlahan. Bahu aku di tepuk perlahan.

“Cari ajalah yang lain.”

Aku diam. Mana mungkin. Hati aku ni terlalu sempit untuk diisi oleh orang lain. Nama Azlin Nasihin saja sudah cukup memenuhi ruang di hatiku ini. Tiada yang lain. Hanya dia.

“Bal, dia dah ada orang lain ke?”

“Aku dah suruh Dina risik-risik kat orang yang rapat dengan dia.”

Sepantasnya aku berpaling merenung Iqbal. Membuat lelaki itu tergelak.

“Dina cakap setakat ni, memang dia single and available.”

Aku panah renungan tidak percaya pada Iqbal. Dia menepuk-nepuk bahu aku sambil tersenyum.

“Kau masih ada peluang. Dan peluang itu agak tinggi. So, cuba lagi.”

Perlahan aku meraup muka dan meramas rambut. Dalam diam aku menaruh harapan. Harapan yang menggunung tinggi. Sungguh aku semakin tidak boleh melupakan Azlin Nasihin. Setiap hari aku merindu dia.

Wasiat Cinta 19

“Happy birthday to you..,”

Bergema lagu harijadi yang dinyanyikan oleh mereka sekeluarga. Walaupun anak kecil itu masih belum mengerti dengan apa yang berlaku, tetapi mereka sekeluarga tetap berpadu suara mendendangkan lagu tersebut. Untuk menghibur Mikhail, supaya Mikahil tidak berasa tersisih. Tidak berasa dirinya seperti anak yatim. Tihani meniup lilin bersama Mikhail. Mikhail juga berusaha meniup lilin itu apabila disuruh mamanya untuk berbuat demikian. Pecah ketawa mereka berempat bila melihat lilin yang ditiup tidak juga padam-padam, tetapi air liurnya yang tersembur-sembur mengenai kek dan membasahi bibirnya yang mungil itu.

“Itu penambah perisa tu. Mesti sedap kek ni nanti, confirm punya.”

Fendi cuba berlawak. Membuat mereka semakin galak ketawa. Tihani juga ketawa sambil matanya merenung Fendi. Dia perasan sejak akhir-akhir ini Fendi pandai berjenaka. Sejak bila dia sendiri tak tahu. Dah macam Faizal pula. Bila mengenangkan Faizal wajah Tihani bertukar mendung. Kalaulah dia ada.

‘Abang anak kita sudah setahun umurnya.’

Fendi perasan akan perubahan Tihani. Baru sebentar tadi dia berjaya buat Tihani ketawa. Sudah lama benar dia tidak melihat Tihani ketawa begitu. Sejak Faizal meninggalkannya. Tetapi kini wajah itu mendung semula.

“Hani, kenapa?”

Soalan Fendi membuat puan Rosnah dan puan Mariam berpaling. Ketawa mereka perlahan-lahan hilang.

“Haah sayang, kenapa ni?”

Puan Rosnah merangkul Mikhail. Tangan cucunya itu sudah mahu mencapai garfu di meja. Tihani tunduk. Bibir matanya mula memberat.

“Hani teringatkan Faizal, bu. Kalaulah dia ada bersama kita sekarang. Kalaulah dia sempat sambut harijadi pertama Mikhail ni. Tapi dia tak sempat ibu, ummi, dia tak sempat.”

Airmata lencun di pipinya. Teresak-esak menangis. Suasana yang ceria tadi sudah bertukar sedih.

“Sabarlah sayang, tak baik cakap macam tu.”

Puan Mariam menggosok-gosok belakang Tihani. Cuba mententeramkan anaknya itu. Hati tuanya juga menjadi sebak.

“Ya Hani, sabar ya. Jangan fikirkan sangat. Yang sudah tu sudahlah.”

Puan Rosnah pula cuba memujuk. Hati tuanya juga dipalu pilu. Matanya memberi isyarat kepada Fendi untuk memujuk Tihani. Fendi yang sedari tadi kaku faham akan isyarat ibunya itu.

“Hani, jangan menangis. Along percaya, angah sedang melihat Mikhail sekarang. Along percaya pasti dia sedang tersenyum melihat Mikhail. Dan along juga percaya yang angah tak mahu Hani terus-menerus sedih begini. Percayalah cakap along.”

“Betul ke?”

Tihani mengesat airmata. Dia tersenyum kelat. Kata-kata Fendi tadi membuat dia tersedar tentang Qada’ dan QadarNya. Fendi mengangguk sambil tersenyum lawa menyerlahkan lesung pipitnya. Senyuman itulah membuat jiwa Tihani bergetar halus sejak akhir-akhir ini.

“Okey! Sekarang kita potong kek ya.”

Tiba-tiba wajahnya yang mendung tadi sudah bertukar ceria semula. Mendakap Mikhail dan memegang tangannya untuk acara memotong kek yang berbentuk Doraemon itu. Puan Rosnah dan puan Mariam berpandangan lalu tersenyum dan menggelengkan kepala. Fendi hanya tersenyum nipis melihat gelagat Tihani yang tiba-tiba saja sudah bertukar mood.


****************


Mikhail sudah tidur. Tihani mengemas ruang tamu yang berselerakan dek pembalut hadiah. Hadiah dari Fendi. Fendi membelikan set permainan keretapi. Tihani tersenyum. Membelek permainan keretapi itu. Cantik, pasti mahal.

“Ehem!”

Tihani tersentak lalu menoleh ke belakang.

“Eh, along. Tak tidur lagi?”

“Belum mengantuk.”

Fendi melabuhkan punggung duduk di sebelah Tihani. Tangannya mencapai kepala keretapi mainan itu.

“Terima kasih ya along. Susahkan along aja bagi hadiah segala.”

“Tak apalah bukan untuk siapa pun, anak buah along jugak. Ibu dengan ummi mana?”

Fendi melihat keliling. Hanya ada Tihani seorang saja. Lehernya dipanjangkan ke arah dapur. Gelap.

“Dah tidur kot, letih sangatlah tu. Badan masing-masing pun bukan kuat lagi.”

Tihani memasukkan set keretapi yang berselerakan ke dalam kotaknya semula. Fendi juga mengutip eksesori permainan itu. Merangkak-rangkak mereka mengutip serpihan permainan yang bertaburan. Sehingga kepala mereka terhantuk sesama sendiri.

“Aduh!”

Tihani menggosok dahinya. Fendi juga berkedut kening menahan sakit. Melihat Tihani menggosok dahi, sepantas kilat tangannya menyentuh dahi Tihani. Sedikit merah. Kuat juga terhantuk tadi.

“Are you ok?”

Fendi meniup dahi Tihani yang sudah kemerahan.Tihani kaku. Jantungnya kini berdegup kencang. Muka Fendi terlalu dekat dengan mukanya. Lebih kurang empat inci saja. Melihat Tihani kaku dan diam, barulah Fendi tersedar yang dia terlalu hampir dengan gadis itu. Tubuhnya menahan getar.

Tihani mendongak dan Fendi membalas redup renungan gadis itu. Tangan Fendi pula, dari dahi Tihani, perlahan-lahan turun mengusap pipinya. Menyentuh bibir gadis itu bersama getaran di jiwa yang maha hebat. Matanya tepat merenung ke mata Tihani. Perlahan merapatkan wajahnya ke arah Tihani lalu mengucup lembut bibir gadis itu.

Tihani terpana. Fikirannya kosong. Bulat matanya merenung Fendi. Perlahan Tihani menolak dada bidang lelaki itu. Fendi dapat merasakan nafasnya tak keruan. Cuba sedaya-upaya menahan gelora yang menghempas hebat naluri lelakinya. Mata mereka masih bertaut.

“Hani, I love you.”

Kencang degupan di dalam dadanya masih belum surut, ingin saja dia mendakap tubuh gadis itu.

“Along, apa ni?”

Airmata Tihani menitis. Sedih. Dia telah mengkhianati Faizal. Curangkah dia? Rasanya dia tidak membalas kucupan Fendi itu tadi.

“I’m so sorry, along salah. Along pun tak sedar.”

“Tak sedar? Along sengajakan?”

“Tak sayang, tak! Along sendiri tak tahu apa yang along dah buat. Along minta maaf.”

“Along kata tak akan desak Hani bukan?”

“Along tahu. Tapi, tadi along tak boleh kawal diri. Along tak sedar. Ianya spontan. Along betul-betul minta maaf. Along sayang Hani. Sayang sangat! Hani tahu tak?”

Tihani tunduk. Tidak mampu untuk berkata-kata lagi. Tidak mampu membalas renungan tajam lelaki itu. Dia bukan marah. Dia bukan benci. Tapi dia rasa bersalah. Bersalah pada Faizal.

“Hani, I’m really really sorry. Tolong maafkan along. Tolong jangan benci along.”

Fendi mencapai jemari gadis itu lalu menggenggamnya erat. Tihani masih diam. Perlahan tangannya ditarik semula. Pantas dia bangun dan berlalu meninggalkan lelaki itu.

“Hani, please.. Hani! Hani!”

Jerit Fendi bila melihat Tihani berlari ke kamarnya.

“Arghh!!”

Satu tumbukan dilepaskan pada sebuah kusyen kecil di sisinya. Dia geram. Dia kesal. Kenapalah dia bertindak bodoh seperti itu? Ini adalah kesalahan pertamanya kepada Tihani. Kesalahan yang besar. Pasti Tihani amat kecewa dengannya. Dia sudah membuat Tihani marah. Dia sudah membuat gadis itu membencinya.

Rajuk Sang Hati 37

Perlahan aku melangkah keluar dari bilik cikgu Wahid. Badan terasa lemah. Aku rasa macam nak demam pula. Hanya terlewat lima minit saja, cikgu Wahid langsung tak bagi aku peluang membela diri. Nasib baik hari ini aku hanya diberi amaran saja. Mood cikgu Wahid hari ini baik agaknya. Entah kenapa aku rasa tak sedap badan. Ini gara-gara tak boleh tidur sepanjang malam tadi agaknya.

“Qairunissa!”

Aku menoleh. Irfan?

“Saya nak cakap dengan awak sikit.”

“Apa hal?”

Ini mesti fasal kes pinangan sepupu dia. Mesti punyalah!

“Ikut saya.”

“Cakap kat sini tak boleh ke? Saya dah lambat masuk kelas ni.”

Dia tersenyum sinis.

“Kan awak dah biasa masuk lewat atau ponteng? So, tiada beza untuk kali ni juga bukan?”

Aku terdiam. Suara Irfan. Suara Irfan bernada marah. Irfan sinis terhadapku.

“Jom, kita cakap kat tempat lain.”

Entah kenapa aku hanya jadi pak turut bila Irfan menarikku. Aku bagai dipukau! Sedar-sedar aku berada di kantin. Irfan merenung tepat ke mataku. Membuat aku sedikit gemuruh. Wajahnya itu menakutkan aku.

“Boleh saya tahu kenapa?”

“Ha?”

“Boleh saya tahu kenapa?”

“Kenapa apa?”

“Kenapa awak reject dia?”

“Siapa?”

Dia tersenyum sinis lalu tunduk sambil menggeleng perlahan.

“Kenapa awak tolak pinangan Hisyam?”

Ha kan betul aku cakap. Pasti berkisar tentang kes semalam. Kenapa Irfan? Antara kita tiada apa nak dibualkan ke? Kenapa bila kau bersuara hanya Hisyam saja subjek utama? Kenapa? Kau tak nampak ke Irfan? Renunganku, tingkahku, senyumanku hanya khas buat kau seorang? Kau tak nampak ke kenapa aku reject lelaki lain termasuk sepupu kau itu? Kau tak nampak ke semua itu? Apa kau mahu aku yang mulakan dulu? Kau memang lelaki yang telah hilang akal!

“Kenapa diam?”

Aku tersentak. Suara-suara makcik kantin yang memasak seolah-olah tenggelam dek suara keras Irfan. Marahnya lelaki ini? Kenapa marah sangat? Apa salah aku pada dia?

“Awak dengar tak ni?”

Aku membalas renungan Irfan. Aku angguk perlahan.

“Habis tu kenapa diam? Kenapa tak jawab?”

“Awak nak tahu apa?”

“Kenapa tolak dia?”

“Saya masih belajar, saya nak exam.”

Irfan merenung tepat ke mataku. Macam tak percaya saja apa yang aku cakap? Tapi betul apa?

“Awak ada orang lain?”

“Kenapa awak nak tahu?”

“Hisyam.”

“Kenapa dengan dia?”

“Hisyam frust sangat. Awak tolak dia bulat-bulat. Langsung tak bagi chance kat dia, dia frust giler awak tahu tak?”

Aku terdiam. Maafkan aku Hisyam. Aku memang tak boleh. Walaupun pahit, kau terpaksa telan hakikat ini.

“Saya risaukan dia. Dia berkurung aja dalam bilik. Saya bimbang kesihatan dia, mana nak exam lagi. Dia langsung tak pegang buku.”

Teruknya? Kejam ke aku? Tapi, lagi kejam kalau aku memberi dia harapan palsu. Lagi kejam kalau aku menipu dia dan diri aku sendiri.

“Saya nak masuk kelas.”

Aku membuka langkah tapi tak jadi kerana Irfan menarik lenganku kasar. Aku terdorong ke belakang.

“Sakitlah! Awak ni kenapa ha?”

“Sorry.”

Aku sentap lenganku dari genggamannya semula. Merenung tajam lelaki itu. Timbul sedikit geram terhadap dia. Irfan berkasar denganku!

“Saya tak sengaja, maaf.”

“Marah betul awak pada saya? Sampai main kasar nampak?”

Irfan tunduk. Riak kesal muncul jelas di wajahnya. Dia mengeluh berat.

“Saya dah janji dengan dia.”

“Janji?”

Irfan mengangguk lemah.

“Tak akan berebut dengan dia.”

“Ha?”

“Dari kecil kami sangat rapat. Dia dah macam adik saya. Kami berkongsi apa saja dan hampir kesemuanya kami kongsi. Tak pernah kedekut, tak pernah berkira antara satu sama lain. Suatu hari, sambil bergurau dia cakap, dia boleh kongsi macam-macam dengan saya, kecuali..”

“Kecuali?”

“Awek. Dan tentulah saya pun tak nak. Takkan girlfriend pun nak kongsi jugakan?”

Aku tersenyum. Betul jugak. Kalau jadi isteri macam mana pulak? Takkan nak berkongsi juga. Baru haru-biru dibuatnya.

“So, kami berjanji, takkan menyimpan rasa pada perempuan yang sama. Tak akan merampas walau sayang macam mana pun.”

“So, apa kena-mengena dengan saya?”

Aku buat-buat tanya soalan bodoh. Dia tersenyum nipis sambil mata melekat di wajahku. Kami bertentang mata buat seketika.

“Bila saya dapat tahu dia sukakan awak, saya beralah.”

“Beralah? Maksudnya?”

Irfan tersenyum lagi. Sabarlah wahai hati. Senyuman lelaki itu benar-benar menggugah perasaan.

“Saya… sebenarnya, rasa apa yang Hisham rasa. Awak fahamkan maksud saya?”

Dia merenung tepat ke mataku. Aku pula terkebil-kebil merenungnya sambil otak aku ligat mencerna apa yang baru dia katakan tadi. Irfan rasa apa yang Hisyam rasa? Rasa apa? Aku garu dahi. Reaksiku itu membuat Irfan tergelak. Sungguh, pertama kali aku mendengar ketawa lelaki ini, cukup membuai indah perasaanku yang hanya subur di hati.

“Susah ke nak faham apa yang saya cakap?”

“Err, bukan. Cuma kurang jelas aja.”

Aku tersengih.

“Terus-terang, saya tak nak bersaing dengan Hisham. Saya serahkan awak pada dia. Dengan harapan dia happy. Tapi bila awak tolak pinangan dia, dia lost.”

“Wait a minute. What do you mean by saya serahkan awak pada dia?”

Irfan tersentak dengan soalan mautku itu. Senang-senang aja dia main serah-serah aku. Habis hati aku ni macam mana? Tiba-tiba darah meruap ke muka. Aku mula rasa membahang.

“Itu.. err..”

“Awak ingat saya ni anak patung ke?”

“Qairunissa.. saya..”

“Awak ingat, awak tu bapak saya ke ha? Senang-senang nak serah-serah.”

“Bukan itu maksud saya. Awak dah salah faham.”

“Dah, dah. Stop it. Saya tak ada kena-mengena dengan perjanjian bodoh awak tu.”

“Perjanjian bodoh? Perjanjian bodoh awak kata?”

Irfan meninggikan suara. Lenganku digenggam sekali lagi. Kali ini aku menepis. Aku melangkah laju meninggalkannya. Geram! Aku bagai nak rak sayang kat dia, dia boleh main serah-serah aku kat sepupu dia yang tak reti bahasa tu. Susah sangat ke nak cakap dia sukakan aku? Siap berkias segala. Aku sengaja tak nak faham bahasa tersirat dia tadi. Memang aku sengaja! Aku nak dengar dari mulut dia sendiri yang dia sukakan aku! Tapi dia boleh cakap dia beralah? Dia serahkan aku? Macam tu saja? Geram!

“Qairunissa, tunggu!”

Aku tertarik ke belakang.

“Awak ni kenapa, main tarik-tarik?”

“Habis tu saya panggil, awak buat dek aja.”

Bila dia panggil aku? Tak dengar pun? Aku pandang keliling. Eh, ini belakang makmal? Dah sampai sini aku melangkah? Aku tersentak bila loceng berbunyi. Alamak, dah masuk subjek kedua dah ni.

“Saya nak masuk kelas.”

“Saya tak habis cakap lagi.”

“Saya tak nak dengar apa-apa. Saya dah buat keputusan. Jangan paksa saya terima dia. Saya tak boleh.”

“Kenapa tak boleh?”

“Awak tak perlu tahu!”

“Sebab saya, kan?”

Dup! Jantung aku terhenti seketika. Irfan tahu atau main tembak aja ni? Kami saling merenung tajam.

“Sebab awak suka saya, kan?”

“Awak jangan perasanlah!”

Aku berpaling ingin berlalu segera. Jantung aku seakan mahu pecah. Aku betul-betul gemuruh.

“Saya pun sukakan awak!”

Aku baru buka dua tiga langkah terus berhenti. Aku kaku di situ. Aku tak tahu apa yang aku rasa. Terkejut? Ya, memang aku terkejut sangat. Gabra? Lebih dari gabra dah ni. Bukan ke ini yang aku tunggu selama ni? Aku rasa lutut aku goyang. Perasaanku bercampur-baur. Rasa macam gembira tapi nak menangis pun ada. Rasa macam bahagia sangat tapi takut pun ada. Aku tersentak bila Irfan menggapai jemariku.

“Dah lama saya sukakan awak.”

Mulut aku terkunci.

“Tapi maaf, saya tak boleh nak buat apa-apa. Sebab sepupu saya juga sangat mencintai awak. Setiap hari nama awak saja yang disebutnya. Dalam diam saya cemburu. Saya berazam lupakan awak. Saya pura-pura tak nampak awak, saya sinis pada awak. Maafkan saya. Saya terpaksa.”

Tanpa sedar airmata aku menitis. Hubungan darahnya dengan Hisham memaksa dia mengabaikan perasaannya sendiri.

“Qairunissa, jangan nangis. Saya minta maaf.”

“Awak sanggup korbankan hati dan perasaan awak?”

Akhirnya aku bersuara.

“Ya.”

“Kenapa tak bersaing dengan dia?”

“Saya tak perlu bersaing. Sebab saya tahu cinta saya berbalas, kan?”

Airmata aku makin laju.

“Kenapa? Kenapa buat saya macam ni? Kenapa awak langsung tak nak mencuba?”

“Macam yang saya cakap tadi, saya dah berjanji.”

“Dia tahu?”

Irfan menggeleng.

“Awak patut beritahu dia.”

“Untuk apa? Awak nak kami bergaduh bertumbuk kerana seorang perempuan?”

“Tak salahkan? Kalau dia gentlemen, dia boleh terima.”

“Awak tak faham, saya dah terlalu banyak makan budi dia. Tak mungkin saya balas racun.”

“Awak pengecut Irfan!”

Dia merenungku tajam.

“Katalah apa yang awak nak kata. Yang jelas, saya tak akan mungkir janji. Saya takkan mengkhianati dia.”

“Awak silap, kalau awak fikir saya akan terima dia.”

“Saya juga tak boleh terima awak Qairunissa, maafkan saya.”

Aku diam. Airmataku bagaikan hujan. Sekarang sudah jelas dan nyata. Irfan tak boleh terima aku kerana perjanjian bodoh dia tu. Irfan tak boleh memberi hatinya kerana sepupunya yang tak reti bahasa tu. Walaupun kami memiliki rasa yang sama, Irfan tak nak teruskan. Apa yang boleh ku katakan? Irfan tidak memberi peluang kepada kami berdua untuk bercinta. Irfan nekad tinggal aku tanpa sempat kami rasa erti kasih, rindu dan sayang. Kini aku tak ubah seperti Hisham, kecewa di saat menjelangnya peperiksaan. Biarlah, bila cintanya tak lagi untukku dan bila hatinya tak lagi padaku, akan ku bawa senyumku pergi tapi sungguh, hatiku ini tidak rela…

Kamal Oh Kamalia 3

Hari ni aku ternampak Azlin kat Kafeteria. Tengok dia gelak dari jauh dah cukup buat aku bahagia. Dia gelak cantik. Bibir dia nipis tapi lebar. Kalau dia gelak boleh nampak gigi taring dia yang tumbuhnya senget sedikit. Itulah yang buat dia cantik bila gelak. Suka betul aku tengok. Ah, sudah aku ni, kalau dah suka tu sampai gigi taring dia pun aku puji. Haru biru betul. Kalau dia makan sorang-sorang hendak saja aku pergi dekat dia, tapi dia bawa geng. Empat orang pulak tu. Bilalah aku dapat tegur dia. Dah lama rasanya nak buat macam tu. Asyik tak menjadi saja. Tiba-tiba bahu aku ditepuk. Aku menoleh. Iqbal dan Dina rupanya.

“Tak habis-habis lagi?”

Aku menyiku Iqbal. Segan pulak dengan Dina. Gadis itu tersenyum manis.

“Dina dah tahulah. Tak payah nak sorok-sorok lagi.”

“Oh ya ke? Err.. Dina, kau kenal tak girl tu?”

“Azlin Nasihin?”

Aku mengangguk.

“Tak pernah bersembang pun dengan dia. Cuma kalau terserempak tu, adalah aku senyum-senyum dengan dia.”

“Iya? Hmm, rasa-rasanya kalau aku senyum kat dia, dia balas tak?”

“Eh, tak tahulah aku. Dengan aku okey aja. Dengan kau, aku tak tahulah dia layan ke tak.”

Ini yang aku malas ni. Rasa tak yakin saja. Nak senyum takut tak dibalas. Buat malu kaum saja. Nak tegur lagilah tak berani. Aku pamer muka kelat.

“Macam nilah Mal, kau try dulu senyum kat dia. Kalau respon dia baik, barulah kau tegur.”

“Masalahnya aku nak senyum macam mana? Dia pandang muka aku pun tak.”

Iqbal tergelak. Ni yang aku malas ni. Iqbal ni bukan saja murah sengih, malah ramah gelak. Sikit-sikit nak gelak, sikit-sikit nak gelak. Macam aku buat lawak Mr. Bean pulak.

“Woi, agak-agaklah. Kot ya pun nak gelak pandang-pandanglah keliling.”

Aku tegur sambil pamer muka kelat lagi. Dina menampar bahu Iqbal.

“Awak, sudahlah. Tak baik gelakkan Kamal tau.”

“Okey sorry-sorry, tapi gelihatilah, tak tahan tengok muka Kamal ni wak..”

Aku jeling geram. Si Iqbal ni, siap kau balik rumah karang!



***********


Sambil bersiul-siul, aku basuh motor. Dah dua minggu tak basuh motor kesayangan aku ni. Motor aku ni, arwah abah yang beli. SPM aku agak cermerlang juga dan motor ini adalah ganjaran yang aku dapat dari abah. Abah kata dia bangga dengan kejayaan aku. Harapan abah supaya aku jadi contoh buat dua orang adik kembar aku, Amni dan Amna. Sekarang abah dah tak ada. Dah pergi tinggalkan kami sekeluarga. Tugas abah aku kena pikul sepenuhnya termasuklah menjadi wali kepada kedua-dua orang adik perempuan aku tu suatu hari nanti. Nasib baik juga ada pencen abah untuk mak teruskan hidup. Kalau tak, mahu aku berhenti belajar nak tanggung keluarga.

Aku ni datang dari keluarga sederhana saja begitu juga Azlin. Dia anak askar pencen, aku anak polis pencen. Aku sungging senyum. Macam dah jodoh saja aku dengan dia ni. Kisah hidup pun lebih kurang. Bezanya orang tua dia masih hidup. Aku mengeluh. Bila agaknya aku dapat pikat Azlin. Dalam hati aku ni cuak juga. Mana tahu dia sudah ada kekasih hati, terkulat-kulatlah aku memandang dia dari jauh.

“Basuh motor ke Kamal?”

Aku tersentak mendengar suara nyaring itu. Aku menoleh ke belakang. Oh, makcik Bedah Mancung rupanya. Terkejut aku. Kenapa aku gelarkan dia makcik Bedah Mancung? Sebab gigi dia jongang habis. Sampai nak tutup mulut pun tak boleh. Aku lempar senyuman buat makcik Bedah Mancung.

“Haah makcik. Kotor sangat motor ni. Sekarang baru ada masa nak basuh.”

Saja aku beramah-tamah dengan makcik Bedah Mancung ni. Wanita ni agak busy body sikit orangnya. Selalu buat mesyuarat tingkap di kawasan kejiranan ni. Ada pulak tu pengikut-pengikut dia.

“Eloklah. Dari kamu melepak tak tentu hala, cuci motor tu ada juga faedahnya, Boleh exercise, kan?”

“Ya makcik. Betul tu.”

Aku senyum tak ikhlas. Makcik Bedah Mancung ni bukan boleh dilayan sangat. Jenuh nak stop.

“Tak balik kampung ke hujung minggu ni Kamal?”

“InsyaAllah balik kot makcik. Mak pun dah suruh balik.”

“Ha, eloklah. Balik jenguk orang tua kamu tu. Sementara mereka hidup nilah kita kena jenguk selalu. Esok ni bila dah tak ada, baru terhegeh-hegeh nak rindukan mereka. Betul tak Kamal?”

“Ya, ya. Betullah tu makcik.”

Entah kenapa kata-kata makcik Bedah Mancung itu menyucuk ke ulu hati. Seolah-olah memerli aku. Abah dah tak ada. Masa ada hayatnya dulu aku jarang balik. Bila abah dah tak ada barulah aku rasa rindu sangat pada arwah abah. Kata-kata makcik Bedah Mancung itu tadi tepat terkena batang hidung aku. Aku tarik nafas dalam dan kedipkan mata beberapa kali. Mata aku terasa berkaca-kaca. Sayu.

Aku menoleh kebelakang semula. Makcik Bedah Mancung terbongkok-bongkok membetulkan pasu bunga dia. Cepat-cepat aku habiskan kerja dan menyimpan semua peralatan mencuci tadi ke tempatnya semula. Tiba-tiba saja aku hilang mood. Ni semua makcik Bedah Mancung punya pasal!