Selendang Merah Jambu

Muazam,

Aku masih ingat lagi kata-kata yang lahir dari ulas bibirmu. Katamu, cinta itu didasari empat K, iaitu kasih sayang, kejujuran, keikhlasan dan kepercayaan. Andai salah satu elemen ini tiada, nescaya sebuah cinta sejati tidak akan tercipta. Aku menyokong setiap bicaramu itu. Ya, aku akui kau sahabat yang baik. Sahabat yang selalu memberi kata-kata semangat bila hatiku dirempuh derita. Berkali-kali aku dikecewakan oleh Asyriq, namun entah mengapa aku tetap bertahan dan terus menunggunya. Dia bijak memujukku, Muazam. Sebagai perempuan yang memiliki kelemahan, aku termakan pujukannya. Dan begitulah seterusnya. Namun kau sedikit pun tidak pernah jemu menemani hari-hari dukaku akibat kebodohanku sendiri.

Muazam,

Kau masih ingat lagi tak pada petang yang mendamaikan minggu lalu? Waktu itu cuaca mendung dan angin bertiup agak kencang. Tidak dapat ku lupakan bicaramu waktu itu, cukup menusuk tangkai hati. Katamu, orang yang berjiwa besar memiliki dua hati. Satu hati untuk menangis, satu lagi untuk bersabar. Aku tidak berjiwa besar, Muazam. Malah aku tidak memiliki kedua-dua hati yang kau lafazkan itu. Aku tamak Muazam. Aku hanya mahu Asyriq untuk diriku seorang saja tanpa menghiraukan keluarganya yang sedia ada. Aku cuba merampas Asyriq. Aku mahu Asyriq hanya mutlak untukku. Aku tidak memiliki jiwa besar seperti yang kau katakan itu.

Muazam,

Bukankah dulu kau pernah berkata, jika cinta datang memanggilmu, maka dekatilah ia walau jalannya terjal berliku, jika cinta memelukmu maka dakaplah ia walau pedang disela-sela sayapnya melukaimu? Itulah kata-kata hikmat yang aku pegang untuk menyokong tindak-tandukku bercinta dengan suami orang. Mengikut kata hati yang hanyut dek kata-kata manis seorang Asyriq. Tapi kini aku takut Muazam, aku sedih bila isterinya menemui aku, merayu supaya tidak menganggu suaminya. Tidak menjalinkan hubungan yang tidak diredhai. Dia tidak merestuinya. Aku jahatkah Muazam? Jahatkah aku?

Muazam,

Dulu kau pernah bertanya padaku warna apa yang aku suka, kan? Kau menghadiahkan selendang berwarna merah jambu pada harijadiku. Aku suka warna merah jambu, Muazam. Tapi hadiahmu tidak teruja sangat jika dibandingkan dengan seutas rantai emas yang dihadiahkan oleh Asyriq. Hati perempuanku melonjak riang saat mendapat hadiah semahal itu. Namun, hadiahmu ku simpan kemas di dalam almari. Katamu, rasa cinta bukan terletak di mata, tapi di hati. Pesona mata akan cepat ghaib apabila keindahan itu luput. Itulah kata-kata terakhirmu bila ku putuskan untuk menjadi isteri kedua Asyriq. Dan itu juga kali terakhir aku melihat dirimu, Muazam.

Muazam,

Sepurnama aku kehilanganmu. Di mana kau sahabatku? Aku rindu. Benar-benar rindu. Terlalu sunyi ku rasakan sejak kau tiada lagi menemaniku menghadapi saat-saat sukarku. Namun kesunyian ini terlalu indah Muazam. Walaupun pahit untukku telan. Rajukkah kau padaku Muazam? Di ruang rindu ini, ingin sekali ku mendengar suaramu yang penuh kelembutan setiap kali kau melayaniku. Kau tahu Muazam, sejak kau pergi aku serba tidak kena. Aku rasakan hidupku ini tidak lengkap tanpamu. Hubunganku dengan Asyriq juga semakin hambar. Aku tidak tahu di mana silapnya. Yang pasti sejak isterinya hamil, aku bagai terdampar keseorangan berlagu sepi. Aku bagai tidak wujud lagi. Akukah yang buta Muazam? Akukah yang mencarik-carik hati sendiri menjadi jurai kesedihan? Bodohnya aku!

Muazam,

Aku tahu pasti satu dunia melonggok kemarahan dengan sikapku ini. Bila senang kau ku pinggir, bila susah kau ku cari. Biarlah, biar lidah yang tidak bertulang itu mengutuk aku, Muazam. Akan ku telan saja kata-kata nista yang berdusta itu. Asalkan kau tahu siapa aku. Asal kau tahu aku terlalu merinduimu, Muazam. Kau tahu, hari ini aku membulat tekad untuk memutuskan hubunganku dengan suami orang, dengan Asyriq. Namun aku tidak pernah menyesal. Bagiku orang yang bercinta itu normal. Memiliki perasaan cinta adalah normal. Mahu memberikannya dan mendapat balasan juga normal. Kerana cinta itu sesuatu untuk dinikmati bukan ditangisi. Tetapi bersama Asyriq aku selalu menangis, selalu berkecil hati. Mengimpikan kasih dan rindunya seperti layar yang tercarik, pawana membolos dan akhirnya perahu cintaku tenggelam di samudera yang mengganas tanpa peduli. Namun kenangan bersamanya adalah satu mekanisme untuk menjadikanku lebih kuat, teguh dan berpekerti mulia, yang selalu kau harapkan dariku, Muazam.

Muazam,

Selendang merah jambu hadiah darimu ku genggam erat. Di mana kau Muazam? Masih rajukkah hatimu itu? Kembalilah padaku Muazam, aku rindu. Aku lakar wajahmu di kanvas hati setiap kali aku merinduimu. Itu saja yang ku mampu. Ku nyanyikan lagu kebahagiaan setiap kali wajahmu datang bertandang. Aku yakin dengan pilihanku kali ini. Lelaki sebaikmu tidak ramai di dunia sekarang ini, Muazam. Selendang merah jambu yang kau hadiahkan ku cium penuh sendu. Sekali lagi aku teringat soalanmu tentang warna yang ku suka. Kau tahu Muazam, aku suka warna merah jambu. Aku suka selendang merah jambu yang kau hadiahkan. Aku sangat suka warna merah jambu. Dan aku tidak memerlukan warna lain dalam hidupku lagi. Pulanglah Muazam, aku menantimu.

2 Suara Merdu Anda:

Anonymous said...

huaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaa...cdey nyer..hu3....almk,dh trkluar er mte....

Admin said...

dah lama tak baca novel cinta...

Post a Comment