Rajuk Sang Hati 26

Aku cuba pejamkan mata tapi tak boleh. Selalunya waktu-waktu petang begini mudah saja mataku layu. Ini tidak semakin aku pejamkan mata, semakin kuat ingatan aku pada episod tambahan yang berlaku petang tadi. Irfan muncul bagaikan hero di saat aku meronta untuk melepaskan genggaman tangan Hasnul Amin yang sibuk nak hantar aku pulang ke rumah. Tapi watak Irfan tadi bukan sebagai hero aku tapi sebagai pengawas sekolah. Adegan itu jelas di mataku. Irfan dan Hasnul Amin bertentang mata. Seolah-olah saling bermusuhan.

“Aku cakap lepaskan dia!”

“Kau siapa? Bapak dia?”

“Aku pengawas SMAB.”

“Pengawas?”

Hasnul Amin tergelak. Aku tahu gelaknya itu saja dibuat-buat. Gelak seperti watak antagonis dalam drama-drama melayu.

“Buka mata kau luas-luas encik pengawas. Sekarang dah habis waktu sekolah. Kita pun bukan berada dalam kawasan sekolah wahai encik pengawas.”

“Tapi kita still pakai baju sekolah. Selagi uniform sekolah tak tukar, aku masih berkuasa menegur salah laku pelajar.”

Gelak Hasnul Amin makin besar. Kenapa dia ni? Tak pernah-pernah buat perangai macam ni? Terkebil-kebil aku melihat kedua-dua lelaki yang sedang bertikam lidah. Aku cuba meronta lagi. Kuat pula si Hasnul Amin genggam tangan aku. Aku perasan Irfan merenungku sekilas.

“Aku cakap lepaskan dia!”

Berbunga-bunga pulak rasa hati aku bila Irfan bersuara tegas. Sebiji macam dalam drama dan filem yang aku tengok. Lagaknya seperti seorang hero yang nak menyelamatkan heroinnya. Dan akulah heroin itu. Sang hero akan bermatian-matian merebut kembali heroinnya yang diganggu oleh watak antagonis seperti Hasnul Amin sekarang. Jika terpaksa sang hero seperti Irfan sanggup bertumbuk dengan watak antagonis demi menyelamatkan heroin kesayangannya iaitu aku.

“Tak nak!”

Suara Hasnul Amin juga tak kurang kerasnya. Imiginasiku tadi bersepai. Kini aku kembali ke alam realiti. Realiti di mana aku hanya bertepuk sebelah tangan saja. Realiti di mana aku baru saja menangis kerana dipandang sepi dan sinis oleh Irfan. Realiti di mana Hasnul Amin adalah temanku yang sering muncul di saat dukaku. Aku pandang Irfan yang merenung tepat ke mata Hasnul Amin. Begitu juga lelaki itu yang langsung tidak mahu beralah.

Aku berkalih. Mengiring ke kiri. Mata yang cuba ku pejam rapat aku buka perlahan. Airmata menitis. Bingung dengan renungan Irfan bila ku putuskan untuk mengikut Hasnul Amin. Terhiris pedih bila melihat renungan matanya yang seolah-olah membenciku. Apalagi mendengar sepatah katanya.

“Tak sangka..”

Irfan merenung tepat ke mataku sambil menggeleng perlahan dan berlalu meninggalkan aku bersama Hasnul Amin. Aku terkedu. Apa maksud Irfan? Hasnul Amin menarik ku lembut. Tidak sekeras tadi.

“Jom!”



*************


“Alongg..”

“Hmm?”

“Hmm, tak ada apalah.”

“Sure?”

Aku diam. Along terus memetik gitarnya. Malam-malam begini sekali-sekala mendengar petikan gitar along best juga. Along pula asyik mainkan lagu-lagu jiwang saja. Bertambah-tambahlah syahdunya hatiku ini.

“Kenapa ni? Macam ada problem aja?”

Aku tersengih. Along ni macam tahu saja apa yang aku rasa.

“Cakaplah. Adik along ni ada problem ke? Nak minta pertolongan along ya?”

“Nak tanya aja, boleh ke?”

“Tanyalah.”

“Kenapa along suka main lagu jiwang? Along pernah frust ke?”

Hissy, apa pulak soalan aku ni? Lain yang nak ditanya lain pula yang keluar ni. Along tergelak. Jemarinya berhenti.

“Kenapa Nissa tanya macam tu?”

“Saja.”

“Oh, along tahu, Nissa tengah frust sekarang ya?”

Alamak! Kan dah kantoi. Aku tidak bereaksi apa-apa. Tiba-tiba saja tubuhku kaku. Wajah pula mula membahang.

“Cakap kat along siapa yang dah sakiti hati adik kesayangan along ni? Biar along patah-patahkan tulang dia.”

“Mana ada siapa.”

“Dah tu?”

“Orang tanya along aja, yang along tak jawab soalan orang tu kenapa? Along malu ek?”

Along tergelak. Tak berjaya nampaknya aku nak mengubah topik.

“Along malu ke Nissa yang malu?”

“Along ni, jawab ajalah.”

“Hmm, pernah.”

“Pernah? Bila?”

“Masa form 6 dulu.”

“Along suka siapa?”

“Adalah, kenapa nak tahu?”

“Cakaplah along. Cantik ke?”

“Sweetlah. Hitam manis.”

“Dia tak suka along?”

“Suka, tapi…”

“Dia curang?”

“Tak, along yang curang.”

“Ha?”

Along tersenyum kelat. Seperti menyesali perbuatannya dulu. Tak sangka abang sendiri juga sama seperti lelaki lain. Tidak setia pada cinta. Lelaki tetap lelaki.

“Along menyesal. Along cuba pujuk dia, tapi dia tak percayakan along lagi. Dia tinggalkan along.”

“Padan muka along! Jahat!”

“Amboi, sampai hati kata along jahat.”

“Habis tu tak betul? Dah ada awek pergi curang buat apa? Menyesal kemudian tak bergunalah along.”

“Betul. Memang tak boleh buat apa dah. Agaknya along dan dia tak ditakdirkan bersama. Dah tak ada jodoh, nak buat macam manakan?”

Aku diam. Tidak ditakdirkan bersama? Seperti aku dan Irfan? Lelaki itu tidak dicipta untukku. Jadi aku harus terima takdir ini?

“Lupakan kisah along. Nissa macam mana? Siapa yang dah lukakan hati adik along ni?”

Aku tarik nafas. Nak cerita ke tak nak? Selama ni aku tak pernah berahsia dengan along. Segala-galanya aku nak share dengan satu-satunya abangku ini. Tapi bila sentuh bab perasaan ni patutkah aku berkongsi sama?

“Dia handsome ke? Baik?”

Aku tersenyum. Handsome sangat along. Dah namanya kacukan Melayu-Inggeris, tentulah handsome. Dan seingat aku, dia memang baik.

“Dia buat apa kat Nissa? Cakap kat along, dia buat benda tak senonoh ke?”

“Taklah! Mana ada. Dia baiklah. Tak pernah sentuh orang pun.”

Along tergelak.

“Jadi betullah Nissa ada boyfriend?”

Alamak, kantoi lagi. Aku menggetap bibir. Along menjerit kesakitan bila lengannya aku cubit.

“Bukan boyfriendlah along.”

“Habis tu apa? Peminat?”

“Hmm, orang yang minat kat dia sebenarnya. Dia langsung tak pandang kat orang pun.”

“Hisyy..hisyy, kesiannya along dengar. Jadi adik along ni perasanlah? Syok sendiri?”

“Along!”

Along tergelak. Tiba-tiba hatiku jadi sayu dengan ungkapan along itu. Perasan? Syok sendiri? Ya, Allah malunya! Itukah aku? Tanpa sedar airmataku jatuh.

“Alalala.. dah nangis pulak. Sorry ok. Along tak sengaja. Come.”

Along tarik bahu aku. Kenapa aku jadi sensitif sangat malam ni? Hatiku dipalu pilu. Aku melentokkan kepala di bahu along.

“Dahlah tu. Along silap, sorry ek?”

“Dia pandang rendah pada orang.”

Along diam.

“Dia selalu salah sangka pada orang. Dia kata orang nakal. Di mata dia, orang ni menyusahkan.”

Along terus gosok-gosok bahuku. Jemariku menguis tali gitar along. Nada sumbang terhasil.

“Nissa sayang dia?”

“Tak tahu.”

“Tak tahu? Kalau dah menangis macam ni masih kata tak tahu?”

Aku diam. Airmata aku biar kering di pipi.

“Kalau sorang perempuan menangis kerana sorang lelaki, bermakna dia sangat sayang lelaki itu. Handsome ke?”

“Handsome. Mix mat salleh.”

“Hmm, no wonder. Not bad juga taste Nissa ya?”

“Along ni!”

Along tergelak. Aku tegakkan semula badanku. Along meletakkan gitarnya di tepi.

“Listen to me Nissa, along tak halang kalau Nissa suka somebody. Tapi jangan sampai terganggu pelajaran. Ingat, exam dah dekat. Dahulukan apa yang Nissa dah mulakan, cinta-cinta tu tolak tepi. Benda tu datang dan pergi. Kalau memang dia milik Nissa, dia sendiri akan datang cari Nissa. Jangan terhegeh-hegeh menagih cinta seorang lelaki, letakkan harga diri Nissa setinggi yang boleh. Bagi orang lelaki, lagi susah seorang perempuan tu dia nak tackle, lagi dia suka. So, lupakan budak tu okey? Yang penting SPM. Got it?”

Terkebil-kebil aku melihat along. Aku angguk perlahan. Tiba-tiba rasa bersemangat semula mendengar kata-kata hikmat along.

“Thanks along. Along memang best!”

“Tengok oranglah.”

Aku mencebik. Pantang dipuji, mulalah buat aksi super berlagaknya tu. Kami sama-sama tergelak.

Akulah Cinderella 20

Hari ini aku bangun awal pagi. Aku nak pergi ke pejabat lamaku. Mereka belum tahu lagi tentang aku yang sudah berhijrah ke bandar. Aku melintasi kamar Shafiq. Masih bertutup rapat. Tidur lagi agaknya. Entah pukul berapalah dia melepak dengan kawan-kawannya malam tadi. Hanya Haziq saja yang pulang awal, itu pun kerana hendak menghantar Sarah pulang. Tiba di meja makan, aku terus saja menuang air milo ke dalam cawan. Alia muncul bersama beberapa biji pinggan di tangan. Rajin betul Alia membantu mak Som. Apalah agaknya yang mak Som fikir tentang aku? Anak dara pemalas!

“Adik-adik dah bangun?”

“Ain sudah, tengah mandi kot. Yang lain belum.”

“Aida pun belum? Kenapa tak kejutkan dia? Sakit perut lagi ke?”

“Takkanlah kot. Malam tadi elok aja melantak.”

Betul juga. Malam tadi elok saja si Aida itu. Biarlah mereka tidur sepuas-puasnya.

“Kak Syah nak pergi mana hari ni?”

“Ingat nak pergi office.”

“Buat apa lagi pergi office?”

Suara Datin Zulaikha membuatku tersentak. Dia sudah menarik kerusi untuk duduk. Aku menuangkan air milo ke dalam cawannya.

“Minum mummy.”

Datin Zulaikha tersenyum memandangku.

“Hah? Kenapa nak pergi office lagi?”

“Oh, saya nak bagi resign letter 24 hours pada bos. Tak bolehlah pergi macam tu saja mummy. Dahlah bos tu baik dengan saya.”

“Oh, mummy ingat Syah nak kerja lagi, buat suspend aja. Nak pergi dengan apa? Nanti mummy suruh pak Tam hantarkan ya.”

“Err, tak payahlah kot. Saya ingat nak naik teksi aja sebab nak singgah rumah lama nak ambil basikal. Nanti saya balik naik basikal.”

Aku tersengih. Aku tahu ideaku itu memang mengarut.

“What? Merepek apa ni, Syah? Jauh tahu? Bahaya. Tak boleh! Mummy tak benarkan!”

“Tapi…”

“Biar aku hantar kau.”

Tiba-tiba suara Shafiq muncul di belakangku. Sudah bangun rupanya dia.

“Ha, eloklah tu. Fiq hantarkan Syah pergi office lama dia, then singgah rumah lama dia juga sebab Syah nak ambil basikal.”

“No problem. Fiq bawa Estimalah, besar sikit.”

Datin Zulaikha mengangguk tanda setuju dengan cadangan anak bujangnya itu.

“Err, tak susahkan kau ke? Kau tak kerja ke hari ni?”

“Tak, cuti.”

“Kak Syah, hmm.. bolehlah ambil basikal kita orang sekali ya?”

“Ala, basikal korang tak payahlah. Dah buruk pun.”

Alia mencebik.

“Ya Alia, nanti mummy beli basikal baru ya? Syah pun sekalilah, tak perlu ambil
basikal lama tu. Biar mummy beli sebiji macam Syah punya sekarang nak?”

“Tak nak! Saya nak basikal tu jugak!”

Mana boleh, itu hadiah arwah ayah. Basikal itu walaupun sudah buruk, masih ada sentimental value.

“Kau ni, cuba jangan keras kepala!”

Shafiq sudah bernada keras dan tajam merenungku. Geram agaknya dengan tingkahku membantah usul ibunya itu.

“Tak apalah, suka hati Syahlah ya. Mummy ikut aja. Kalau nak yang baru, just tell me okey sayang?”

Aku mengangguk perlahan sambil tersenyum kelat.

“Mummy nak pergi kerja ke?”

“Tak. Mummy tengah tunggu Sarah ni, nak pergi JKM nak settlekan hal kamu adik-beradik. Lepas tu mummy nak pergi daftar sekolah you all semua. Syah ada bawa IC dan surat beranak adik-adik?”

Aku tersentak. Secepat kilat menoleh ke arah Alia. Mataku membulat memandangnya. Adikku itu tersenyum dan mengangguk. Fuh! Lega. Macam manalah aku boleh lupa? Kakak apalah aku ni? Nasib baik ada Alia.

“Dah. Ada dalam bilik Lia. Nanti Lia bagi pada mummy.”

“Kau ni, tak boleh diharap langsung!”

Shafiq seperti masih tidak puas hati denganku. Kata nak berdamai? Tapi macam nak cari gaduh saja. Geram betul aku. Aku hanya menghadiahkan jelingan yang paling tajam khas untuknya.


*************

Sepanjang berada di dalam kereta Shafiq hanya berdiam diri. Aku juga begitu. Sebal di hati dengan tingkahnya masih bersisa. Kalau nak isytiharkan perang sekali lagi, aku setuju saja. Pandangan ku lemparkan keluar. Rindu pada kampung halaman mencarik-carik hatiku. Masih utuh berdirikah pondok burukku itu? Atau sudah rebah menyembah bumi?

“Kat mana office kau?”

“Depan lagi, Jalan Bentara.”

“Lama ke kau kerja situ?”

“Dua tahun. Kenapa?”

“Tak ada apa, saja tanya.”

Kenapa dengan lelaki ini? Macam tak ada mood saja? Datang bulan kot. Aku tersenyum nipis dengan lawakku sendiri.

“Ha, sini.. sini, berhenti!”

“Aku tunggu kat sini. Pergi cepat!”

Aku memandangnya sekilas. Lalu keluar dari perut kereta. Memanjat tangga menuju ke atas.

“Syah! Kenapa lambat?”

Soal Najwa, kerani di situ.

“Bos ada?”

“Ada. Dia cari kau tadi. Pergilah masuk.”

Aku mengangguk. Perlahan pintu kamar ku ketuk. Setelah mendengar arahan menyuruhku masuk, perlahan pintu ku kuak.

“Yes Syah, what take you so long? I ingat you sakit?”

“Tak bos, I sihat. Err, I nak bagi ini.”

Aku mengeluarkan sepucuk surat dan meletakkannya di atas meja bosku itu.

“What? Resign? But why?”

Reaksi yang sudah ku tebak.

“You tak cukup gaji ka? You dapat kerja lain ka?”

Aku tersenyum, lalu ku ceritakan apa yang telah berlaku dari A sampai ke Z. Bosku itu mengeluh panjang.

“Susahlah I nak cari staff macam you lagi Syah.”

“Bos janganlah macam ni.”

“Okeylah, I wish you good luck and success for your future. Bila sudah kaya, jangan lupa sama I okey?”

Dia menghulurkan tangan dan aku menyambutnya dengan perasaan bercampur-baur. Setelah itu aku mengucapkan selamat tinggal pula kepada staff-staff yang lain. Sedih dan sebak. Sekian lama bergaul mesra dengan mereka akhirnya terpaksa berpisah jua.

“Kenapa lambat sangat?”

Rungut Shafiq sebaik aku menutup pintu kereta.

“Mana ada lambat, setengah jam aja.”

“Aku tunggu naik berasap punggung tahu?”

“Padan muka! Biar terbakar lagi bagus!”

Dia merenung tajam ke mataku.

“Kau ni, tak reti bahasa ya? Lembab!”

Apa? Lembab? Monyet betul si mangkuk ayun ni! Memang sengaja menjolok sarang tebuan nampaknya.

“Apa kau kata? Lembab? Kau kata aku lembab? Kau tahu tak aku panggil apa pulak pada kau?”

“Apa?”

“Mangkuk ayun!”

Dia sudah menyinga. Kecut pula hatiku tiba-tiba.

“Kau! Kau keluar sekarang. Keluar!”

Aku terpana. Dia halau aku? Dia halau aku ke?

“Kau pekak ke? Tak faham bahasa melayu? Keluar!”

Shafiq menolak bahuku. Dia memang betul-betul maksudkannya. Dia betul-betul halau aku keluar dari keretanya. Aku memandang kosong bila kereta yang dipandu Shafiq berlalu begitu saja. Ke mana aku nak pergi ni? Nasib baik aku bawa duit. Kalau tidak mati kutulah aku dibuatnya. Aku mencari teksi.

****************

Aku terkasima sebaik melihat rumah pusaka orang tuaku sudah rebah menyembah bumi. Cepatnya mereka bertindak! Baru dua hari aku meninggalkan rumah itu. Aku melangkah serpihan kayu yang terbongkang dan berceracak. Mencari kelibat basikal kesayanganku. Tiada! Habislah, pasti tertimbus di balik timbunan kayu-kayu ini. Aku memunggah satu persatu kayu-kayu yang sudah reput itu. Ya, terlonggok basikal-basikal kami semua yang sudah ranap dan patah riuk. Pasti digelek jentolak. Aku tidak dapat menahan sebak bila melihat bangkai basikalku. Hadiah dari ayah tercinta. Hadiah kerana cemerlangnya aku dalam PMR. Harta yang paling ku sayang. Yang paling bernilai di mataku berbanding emas dan permata. Aku meraung. Menangis semahu-mahunya.

Aku duduk bersila di atas tanah setelah tangisanku reda. Kepalaku sakit. Hidungku tersumbat. Guruh di langit bergema. Aku mendongak, memandang ke atas langit yang sudah gelap. Sebentar lagi pasti hujan akan turun. Tetapi aku tidak peduli. Aku masih berteleku merenung basikalku yang patah-riuk itu. Jika aku baiki pun tidak akan dapat rupa asalnya. Rim basikal saja sudah patah. Handlenya berselisih sesama sendiri. Tempat duduk pula sudah ghaib ke mana. Pengayuh juga begitu. Lampu kemek rapat. Pendek cerita memang jahanam basikal kesayanganku itu.

Hujan mula turun dengan lebatnya. Mencurah-curah membasahi bumi. Bagai mengerti saratnya kecewa di hatiku ini. Bagai turut menangisi sama basikal kesayanganku yang hancur berkecai. Jam di tangan sudah pukul dua petang. Patutlah aku kelaparan. Tubuhku kesejukan dan menggigil. Tetapi aku tetap tidak berganjak dari dudukku. Masih merenung basikal pemberian dari ayah. Tiba-tiba mataku silau dek cahaya yang amat terang. Macam ada yang menyuluh sportlight ke arahku. Aku lihat ayah datang bersama ibu. Mereka tersenyum kepadaku.

“Ibu, Syah sedih. Rumah kita dah roboh. Tapi bu, adik-adik sekarang sedang gembira di rumah baru. Ibu jangan risau ya. Kan Syah janji Syah akan jaga mereka.”

“Ayah, Syah minta maaf. Syah tak dapat jaga basikal yang ayah bagi dengan baik. Syah terlambat. Hari tu kereta Datin tak muat nak sumbat basikal sekali. Itu sebab Syah tinggalkan dulu kat sini. Mana tahu jentolak datang lenyek basikal Syah. Mereka memang jahatkan ayah? Sampai hati mereka buat anak ayah begini.”

Tetapi ayah dan ibu tidak bercakap denganku. Mereka hanya mengangguk sambil tersenyum. Lama-kelamaan bayangan mereka semakin jauh dan menghilang. Aku kelam-kabut. Menggelabah. Mencari-cari dan memanggil nama mereka. Akhirnya aku sedar mereka memang tiada. Sekali lagi aku meraung. Suaraku tenggelam bersama hujan lebat yang mencurah-curah membasahi bumi yang bulat ini. Seakan mengerti tentang hatiku yang telah hancur luluh dan sengsara ini. Kepalaku terasa berat sekali. Pandangan pun sudah berpinar-pinar. Akhirnya aku tidak sedar apa yang berlaku lagi.

Kerana Sebuah Janji 6

Dani menutup kasar pintu utama rumahnya itu. Hatinya sedikit terganggu dengan gurauan Mursyid petang tadi. Wajah Mursyid ketika itu sangat berkeyakinan dilihatnya. Seolah-olah gurauan itu benar. Seolah-olah Mursyid dan Dahlia memang mempunyai hubungan di luar pengetahuannya. Dia amat pasti, Dahlia itu gadis yang berpura-pura. Gadis yang ingin mengambil kesempatan terhadap orang di sekelilingnya. Dani tidak berpuas hati. Dia harus bersemuka dengan gadis itu. Langkah diatur laju menuju ke dapur bila mendengar bunyi pinggan-pinggan yang berlaga.

“Kak Miah!”

Hampir telepas pinggan di tangan Salmiah dengan jerkahan dari majikannya itu. Perlahan dia mengurut dada.

“Astagfirullahalazim, encik Dani ni, terkejut akak.”

Dani hanya mampu mempamerkan senyuman kelat kerana keterlanjuran perbuatannya itu. Matanya melilau seluruh dapur. Mana dia?

“Kenapa encik Dani? Cari puan ke?”

“Dahlia. Mana dia?”

“Oh, dia ada dalam bilik kot. Pergilah tengok.”

“Kenapa dia tak tolong akak kat dapur?”

“Dia kata sakit kepala tadi. Akak suruh aja dia baring, tak payah tolong akak.”

“Oh..”

“Mama mana?”

“Puan pun dalam bilik.”

“Hmm.. tak apalah.”

Dani memusing tubuhnya ingin segera berlalu. Hati yang panas tadi sedikit gusar bila mengetahui Dahlia sakit kepala. Langkah diaturnya menuju ke bilik gadis itu. Namun sebaik saja sampai di depan pintu bilik Dahlia, dia jadi kaku. Nak ketuk ke tak nak? Hatinya bersoal jawab sendiri. Entah kenapa dia rasa serba tidak kena. Separuh hati ingin meminta kepastian dari Dahlia. Separuh hati lagi memujuknya supaya bersabar. Gadis itu sedang sakit. Teragak-agak tangannya mahu mengetuk pintu kayu itu.


“Dani?”

Dani tersentak lalu menoleh.

“Err, mama. Terkejut Dani. Ingat siapa tadi.”

Zarina tersenyum meleret melihat kegugupan anak bujangnya itu.

“Dani buat apa kat bilik Dahlia ni? Nak jumpa dia ke?”

“Tak adalah mama, just curious, betul ke dia sakit kepala atau buat-buat sakit?”

“Oh gitu, caring juga ya anak mama ni?”

Zarina menyengih penuh makna.

“Ish, mama ni ke situ pulak. Dani just nak confirmkan aja. Mana tahu dia malas ke dapur. Buatlah kerja sikit jangan nak duduk free aja kat sini.”

“Dani, tak baik cakap macam tu, dia dah banyak tolong dah. Dani aja yang tak tahu.”

Dani mencebik geram. Mamanya ini selalu sangat menyebelahi Dahlia. Sebab itulah Dahlia semakin mengada-ngada.

“Dahlah, baik Dani masuk bilik, mandi dulu. Lepas tu kita boleh makan sama-sama ya?”

“Hmm, iyalah ma.”

Sekilas Dani merenung pintu bilik Dahlia yang masih bertutup rapat. Zarina hanya tersenyum nipis melihat perlakuan anak kesayangannya itu. Jauh di sudut hatinya, lega dengan keprihatinan Dani. Walaupun anaknya itu menafikan, namun dia tahu Dani mula boleh menerima kehadiran Dahlia di rumah ini atau hadir di hatinya barangkali. Zarina melangkah senang menuju dapur.

Dari dalam bilik Dahlia menyeka airmata yang bergenang. Kata-kata Dani yang didengarinya tadi mengguris hati. Tega sungguh Dani menyakiti hatinya terus-terusan begitu. Apakah salahnya pada lelaki itu? Kepala yang berdenyut membuat dia hilang daya untuk bangun. Perlahan tubuh direbah ke atas tilam semula.


***************


Sebaik selesai membersihkan diri, Dani mengatur langkah untuk turun. Sekilas dia memandang pintu kamar Dahlia yang masih tertutup. Sebaik menoleh semula Dani tersentak sedikit bila Salmiah sudah tersenyum manis meniti satu-persatu anak tangga.

“Nak ke mana kak Miah?”

“Puan suruh kejutkan Lia, ajak makan sekali.”

“Hmm, tak apalah, kak Miah pergilah siap makanan, biar saya yang kejutkan.”

“Eh, tak apa ke ni encik? Tak menyusahkan ke?”

“Tak. Kak Miah pergilah ke dapur. Beritahu mama nanti saya turun dengan Dahlia.”

Salmiah tersenyum mendengar ayat terakhir itu.

“Baiklah.”

Dani berpusing semula ke arah bilik Dahlia. Nafas ditarik dalam-dalam. Aneh, debaran di dada tiba-tiba hadir. Tiga kali pintu diketuk. Diam. Tidur mati agaknya budak ni. Gumam hatinya. Sekali lagi pintu kamar berukir cantik itu diketuk. Dani terus menunggu. Dia merengus perlahan. Kesabaranya mula menipis. Kali ini pintu itu diketuk agak kuat. Memang tidur mati! Dani yang ingin berpaling, mematikan langkah saat mendengar tombol pintu dipulas perlahan. Kepala Dahlia terjengul sedikit. Berkerut kening gadis itu melihat Dani berdiri tegak di depan pintu biliknya.

“Kenapa lambat sangat buka? Tidur mati ke? Naik roboh pintu ni aku ketuk.”

Dahlia membetulkan tudungnya. Mulut dikunci rapat. Tangannya berpaut pada pintu agar tidak jatuh. Kepalanya betul-betul sakit. Berpinar pandangannya membalas renungan tajam Dani. Lelaki itu pula agak simpati melihat keadaan Dahlia yang agak tidak bermaya itu. Namun perasaan marah dan geram mengatasi niatnya untuk bertanya tentang gadis itu.

“Mama panggil makan.”

“Tak apalah, saya tak ada selera.”

“Jangan mengada-ngada boleh tak? Karang perut kau tu masuk angin, sakit lain pula yang datang. Dah, jom!”

“Cakap dekat aunty, saya tak nak makan.”

Dani merenung tajam gadis itu. Bukan main degilnya lagi.

“Turun sekarang!”

Dahlia tersentap mendengar suara Dani yang agak keras itu. Kenapa mesti nak paksa-paksa? Dia benar-benar tak lalu makan. Kepalanya berdenyut, pandangannya berpinar, macam mana nak turun ke dapur?

Tanpa bercakap banyak Dahlia melangkah perlahan, setapak demi setapak. Lantai dirasakan lembut untuk dia berpijak. Dani hanya memerhati langkah tidak stabil Dahlia itu. Hati lelakinya bimbang jika gadis itu tumbang. Jadi dia perlu berhati-hati dan melangkah perlahan juga mengikut rentak Dahlia. Dalam keterpaksaan Dahlia gagahi diri. Menggigil tubuhnya menahan kepala yang berdenyut. Pandangnya yang berpinar itu semakin kabur dan gelap. Namun sempat Dani menyambar tubuh gadis itu. Dahlia terkulai dipangkuannya. Dani panik.

“Mama, kak Miah!”

Jeritnya bertalu-bertalu. Terkocoh-kocoh dua orang wanita itu memanjat tangga. Bulat mata Zarina melihat sekujur tubuh Dahlia terkulai di pangkuan anaknya.

“Kenapa Dani? Kenapa Dahlia ni?”

“Dia pengsan ma, jalan terhoyong-hayang lepas tu rebah.”

“Dia nak ke mana?”

“La, tadi bukan mama panggil dia makan ke?”

Zarina diam seketika.

“Dah, angkat dia masuk bilik. Miah, ambil air suam.”

“Baik puan.”

Dani turuti saja arahan ibunya itu. Dalam debar dia mengangkat tubuh kurus Dahlia. Kini gadis itu betul-betul rapat ke dada bidangnya. Walau dia tidak suka pada Dahlia, namun hebatnya rentak jantungnya ketika ini, membuat dia serba tidak kena. Zarina yang memerhati tingkah anak bujangnya itu, menyembunyikan senyum. Hebat sungguh pesona Dahlia, tika pengsan pun boleh membuat jiwa anaknya kacau seketika.
Perlahan tubuh Dahlia diletakkan di atas katil. Haruman tubuh gadis itu benar-benar menggugah perasaannya. Boleh saja tergugat kesetiaannya pada Juliana selama ini.

“Ini airnya puan.”

“Letak situ.”

Zarina mengelus lembut kepala Dahlia yang sentiasa bertutup itu. Tidak pernah lagi Dahlia mendedahkan auratnya di depan Dani, mahupun arwah suaminya dulu. Anak gadis ini sopan tingkahnya, luhur budi bahasanya malah manis sekali wajahnya. Memang tidak silap arwah suaminya memilih Dahlia sebagai menantu di rumah ini. Tapi, sikap Dani yang sedikit kasar ketika melayani gadis itu membimbangkan hati kecilnya.

“Mama, pergilah makan dulu. Kak Miah, ajak mama makan.”

“Jom puan, karang sejuk pulak makanan kat dapur tu.”

“Hmm, yelah. Dani temankan Lia dulu ya. Karang mama take over.”

Dani mengangguk perlahan.

“Ha, jangan tutup pintu ni.”

Zarina tersenyum mengusik.

“Mama ni! Ishh.. ke situ pulak.”

Salmiah dan Zarina tergelak kecil sambil berlalu. Dani mengeluh perlahan. Apa yang dikeluhnya dia sendiri tidak pasti. Dani melabuh punggungnya di meja tulis Dahlia. Ini pertama kali dia masuk ke bilik gadis itu. Matanya meliar memerhati sekeliling bilik itu. Simple dan kemas. Matanya beralih semula ke atas meja, terpaku pada bingkai gambar comel berbunga. Dahlia bersama teman baiknya, Balqis. Dia mengenali Balqis kerana gadis itu sering datang ke rumahnya untuk belajar bersama-sama Dahlia.

Dani merenung Dahlia sekilas. Masih tiada tanda-tanda untuk sedar. Perlahan dia bangun dan melabuhkan punggung di atas tilam. Pertama kali dalam hidup dia dapat melihat wajah Dahlia sejelas-jelasnya. Itu pun kerana gadis itu tidak sedarkan diri ketika ini. Wajah putih mulus itu ditenung. Mata cantik gadis itu tertutup rapat. Alis lentik semulajadi gadis itu adalah pelengkap kepada sepasang mata bundar miliknya. Mata Dani masih tekun menilik wajah tenang itu. Ingin sekali dia menyentuh pipi gebu itu. Namun perasaan takutnya lebih menguasai kehendak jemarinya itu. Mata nakalnya beralih pula ke susuk tubuh gadis itu.

Kurus! Desis hatinya.

Kini mata itu melekat di dada Dahlia yang berombak perlahan. Dani telan air liur. Tubuhnya rasa meruap. Ah sudah, apa hal aku ni? Bergetar hebat naluri lelakinya ketika ini. Cepat-cepat matanya dialih ke lain. Dani menarik nafas sedalam-dalamnya. Cuba menenangkan diri yang sedikit tidak keruan.

Dia pandang Dahlia semula. Kini matanya jatuh pada seulas bibir nipis milik gadis itu. Lama bibir itu dipandang. Gelora di jiwanya tidak mampu dikawal lagi. Perlahan Dani merapatkan wajahnya ke wajah Dahlia. Dia menelan air liur sekali lagi. Seulas bibir merah Dahlia menjadi tatapan mata. Kehendak naluri lelakinya cuba ditahan. Keinginannya itu mengucup bibir gadis itu cuba dikawal sedaya mampu.

Jangan Dani! Jangan. Dia bukan milik kau lagi. Berdosa!

Secepat kilat Dani bangun. Tersedar dari hasutan syaitan laknatullah. Dani meraup muka perlahan. Dadanya digosok perlahan agar jantung yang berdetak laju tadi dapat memperlahankan rentaknya. Dani mengatur nafas. Hebat sungguh penangan gadis ini sehingga tidak keruan dibuatnya sebentar tadi. Dani menarik kerusi dan duduk semula di meja tulis gadis itu. Lambatnya mama makan?

Cerpen - Kau Tetap Milikku

“Abang, sudahlah lupakan saja Dila bang.”

“Tapi abang sayangkan Dila, abang cintakan Dila. Macam mana abang nak lupakan Dila?”

“Dila tahu tak mudah bang, Dila pun rasa apa yang abang rasa, tapi Dila tetap berusaha bang.”

“Tak. Tak nak! Abang tak nak Dila, abang tak nak!”

“Abang, hubungan kita terlarang bang. Agama yang melarangnya. Abang tak takut hukuman Tuhan?”

“Tapi, abang tak nak kehilangan Dila.”

“Abang tak akan kehilangan Dila, Dila adik abang, kan?”

Adik? Perkataan itu cukup mengguris hati. Bagaimana dia hendak menghadapi situasi ini? Kekasih hati yang dipuja selama dua tahun rupa-rupanya adik kandungnya sendiri. Cukup memilukan. Hancur remuk hatinya. Igauan ngeri tiga hari lepas kembali terlintas di kotak fikirannya.


******


“Masuklah, apa khabar?”

“Khabar baik. Ini maknya Adila ya? Maaflah kalau kedatangan kami ni mengganggu pihak perempuan.”

“Oh, tak adalah mengganggu. Adila kata keluarga Rafael nak datang. Berdua saja ke? Mana ayahnya Rafael?”

“Oh, ayah cari parking makcik. Penuh pula kereta kat depan tu.”

“Itulah, jiran sebelah rumah ni anak-anaknya balik berkumpul. Tu yang penuh jadinya. Maklumlah hujung minggu.”

Rafael hanya mengangguk. Mamanya juga tersenyum manis. Dia menoleh saat Adila masuk ke ruang tamu menatang sedulang minuman. Rafael lihat, mamanya asyik sekali melihat wajah Adila.

“Jemput minum.”

Adila bersuara lunak. Sudah cukup membuat hati lelakinya tertawan. Tidak sabar rasanya memperisterikan gadis manis itu.

“Assalamualaikum.”

Mereka menjawab salam yang diucapkan ayahnya. Rafael melihat ayahnya berwajah kelat saat bertentang mata dengan ibu Adila. Rafael juga dapat melihat wajah kaget wanita sebaya ibunya itu. Apa yang berlaku?

“Murad?”

“Salimah?”

Rafael memandang Adila yang terpinga. Mamanya juga kehairanan. Dia semakin pelik.

“Abang, kenapa ni?”

Mamanya berjaya memecah keheningan suasana yang memonopoli rumah itu.

“Kita balik Maimun, Rafael!”

“Tapi bang..”

“Balik!”

“Tapi kenapa ayah? Bukankah kita datang nak merisik Adila?”

“Kamu berdua tak boleh kahwin!”


*******

Rafael memejam matanya rapat. Buat pertama kali airmata jantannya gugur. Pertama kali juga dia menangis kerana cinta. Cinta yang tak kesampaian.

“Sabarlah Fel.”

“Mama nak Fel sabar macam mana? Selama ni Fel bercinta dengan adik sendiri ma. Fel rasa malu, Fel rasa berdosa ma.”

“Fel tak salah, sebab Fel tak tahu kan?”

“Tapi perasaan Fel pada Dila masih kuat ma. Perasaan sayang tu masih ada. Fel nak buat macam mana ma? Fel rindu dia.”

Maimun menggosok perlahan belakang tubuh anak bujang kesayangannya itu. Dia sedih melihat kekecewaan anaknya itu.

“Mari masuk, dah jauh malam ni.”

“Tak apa, mama masuk dulu. Fel nak duduk di sini lagi.”


******

“Apa salah mereka bang? Kenapa abang buat macam ni?”

“Aku tahu apa yang aku buat Mun. Kau ikut aja.”

“Yelah, mesti ada sebab, kan? Tak akan abang nak saya ikut melulu macam tu aja. Kesian Rafael bang. Kecewa betul dia.”

“Dia akan okey nanti.”

“Okey tak okeylah bang. Dua tahun bercinta. Tup-tup abang cakap dia orang adik-beradik. Pelik juga saya. Bila masa pulak saya lahirkan budak Adila tu. Setahu saya, kita tak ada anak perempuan.”

Murad mengeluh perlahan. Sudah sampai masanya dia ceritakan semuanya pada Maimun.

“Cuba abang cerita kat saya, apa sebenarnya yang berlaku? Dah tiga hari saya tanya soalan yang sama pada abang, abang boleh buat dek aja.”

Maimun menjeling suaminya itu.

“Entah-entah abang ada affair tak dengan mak budak tu?”

Soalan Maimun yang berbaur cemburu itu berjaya membuat Murad tersentak. Pandai betul isterinya meneka. Murad mula berkira-kira, bagaimana hendak memulakan bicara yang agak sensitif ini.


*******

Salimah masih termenung di beranda rumahnya. Kasihan Adila. Menangis siang malam akibat putus cinta. Tidak dinafikan anak muda bernama Rafael itu sangat sopan dan berbudi bahasa. Pandai mengambil hati wanita tua sepertinya. Memang dia adalah calon yang terbaik untuk Adila. Tapi, apa yang berlaku tiga hari lepas adalah di luar jangkaannya. Rafael anak kepada Murad. Lelaki yang pernah singgah di hatinya pada zaman muda dulu. Lelaki itu pergi meninggalkannya bersama benih yang tertanam di rahimnya. Salimah pejam mata. Tidak sangka dosa zina yang terpalit di zaman mudanya dulu adalah punca keretakan hubungan murni Adila dan Rafael. Mereka tidak bersalah!

“Ibu.”

“Dila. Menangis lagi ya?”

“Taklah.”

“Tu mata bengkak tu? Suara sengau tu? Bukan baru lepas menangis?”

Adila menghela nafas berat. Seberat rindu yang sarat di hatinya kini. Dia rindukan kekasihnya. Tapi, Rafael kini bukan lagi kekasih dia. Rafael secara automatik menjadi abangnya. Sedarah sedaging. Pilu. Sayu. Terkilan.

“Dila?”

“Ha?”

“Tak dengarlah tu ibu tanya apa tadi ya?”

“Ibu tanya apa? Maaf bu, Dila tak dengar.”

“Mana nak dengar, dalam kepala tu asyik ingat buah hati aja.”

Adila tersenyum kelat.

“Ibu tanya apa?”

“Ibu tanya, kenapa Rafael minta putus?”

“Dia cakap.. kami tak boleh teruskan. Bercinta pun tak boleh.”

“Kenapa pula?”

“Dia cakap.. kami.. adik-beradik bu.”

“Ha?”


**********


“Mun, ingat tak kita pernah berpisah sekejap dulu?”

“Mestilah ingat bang. Mun tak akan lupa saat abang jatuhkan talak pada Mun dulu.”

“Maafkan abang. Abang memang jahat dulukan? Selalu abaikan Mun. Dah tu kaki perempuan pulak tu.”

Maimun tersenyum pahit. Peristiwa hitam yang pernah melanda rumahtangganya dulu masih segar di ingatan. Semasa itu Rafael baru saja berumur dua tahun. Bila berlaku perceraian antara dia dan Murad, impaknya terkesan pada Rafael. Rafael yang sangat manja dengan Murad jatuh sakit. Mujur juga Murad sempat tersedar dari hidupnya yang jauh tersasar. Dia tahu Allah telah memakbulkan doanya. Murad insaf. Murad bertaubat. Dia dan Murad rujuk kembali.

“Dahlah abang, perkara dah lepas. Apa yang penting abang dah berubah. Kita pun dah bahagia, kan?”

Murad tersenyum kelat.

“Sebenarnya, lepas kita berpisah tu abang ada kenal dengan seorang perempuan kampung. Baru datang KL, cari kerja. Kami berkawan dan terlanjur. Suatu hari perempuan tu datang, minta abang bertanggungjawab pada dia, sebab dia.. mengandung.”

Maimun terkejut bukan kepalang. Dia merenung tepat wajah kesal suaminya itu. Adakah?

“Ya, nama dia Salimah. Mak si budak Adila tu.”

Maimun tergamam.


********

Rafael berteleku di atas sejadah. Mohon kepada Allah agar hatinya kuat menghadapi segala dugaan. Cerita sebenar yang di sampaikan mamanya siang tadi, benar-benar membuat dia hilang daya. Kerana kesalahan seorang ayah di masa lampau, membuat dia terdampar kecewa.

“Rafael mari turun makan.”

“Baik mama.”

Rafael senyap di meja makan. Murad bermuka selamba. Walau di hati tuanya cukup rasa bersalah. Hanya mulut Maimun saja yang berceloteh menceriakan suasana.

“Assalamualaikum.”

Sayup suara pemberi salam di luar rumah. Rafael bangun membuka pintu.

“Walaikum..salam.”

Terkedu. Wajah yang sangat di rinduinya kini terhidang di depan mata. Adila tersenyum manis bersama ibunya.

“Rafael apa khabar?”

“Err.. baik makcik.”

“Mak ayah ada?”

“Err.. ada, ada. Jemputlah masuk.”

“Kau buat apa kat sini?”

Baru saja Salimah dan Adila melabuhkan punggungnya di sofa, sergahan Murad datang menyapa.

“Abang, tak baik layan tetamu macam tu. Apa khabar puan Salimah?”

“Baik puan Maimun. Maaflah kalau kedatangan saya ni mengganggu. Sebenarnya ada perkara yang saya nak beritahu.”

“Apa dia? Cakap cepat!”

Rafael menjeling ayahnya. Geram dengan sikap ayahnya yang tidak mesra itu.

“Apa dia makcik?”

“Rafael, Adila kata, kamu minta putus ya?”

Rafael merenung seraut wajah lembut yang dirinduinya itu. Perlahan dia mengangguk.

“Kenapa Rafael?”

“Dila tak cerita ke?”

Salimah tersenyum.

“Sebab kamu adik-beradik? Begitu?”

Sekali lagi Rafael mengangguk.

“Sebenarnya… kamu berdua bukan adik-beradik.”

Kini enam pasang mata membulat ke arah Salimah. Adila tertunduk namun seulas bibirnya mengukir senyum.

“Bukan ke awak..?”

“Saya mengandung?”

Murad mengangguk perlahan. Mukanya terasa tebal.

“Memang betul saya mengandungkan anak awak Murad. Tapi..”

“Tapi apa?”

“Saya accident dan kandungan saya tu gugur.”

Sekali lagi enam pasang mata membulat. Salimah tersenyum.

“Tak lama selepas tu saya berkahwin dengan orang yang melanggar saya tu dan lahirlah Adila.”

Maimun sudah mengupas senyum. Alhamdulillah. Syukur.

“Bermakna Adila bukan anak saya? Mereka bukan adik-beradik?”

“Yelah bang, semua ni salah faham saja rupanya.”

Salimah mengangguk bersama senyuman lebar.

“Jadi, kalau berhajat semula, jemputlah ke rumah ya.”

Tawa mereka terlepas menggamatkan segenap ruang di rumah itu. Rafael merenung Adila. Mata bertentang mata. Senyuman lebar sudah menghiasi bibir masing-masing. Bagaimana mahu dikhabarkan rasa syukur dan gembira yang tdak terhingga ini? Jika sudah tertulis Adila akan menjadi miliknya Rafael, tiada kuasa lagi yang mampu menghalang cinta mereka. Hanya maut sebagai nokhtahnya. Rafael menatap lembut wajah gadis yang sudah bertakhta sekian lama di hatinya.

‘Kau tetap milikku Adila.’

Rajuk Sang Hati 25

Aku menapak perlahan menuju ke stesen bas. Jauh juga dari sekolah. Cuaca pun agak terik. Tekak ku mula kering. Aku singgah di kedai runcit untuk membeli aiskrim. Aku terpempan saat terpandang Irfan di kaunter sedang membayar sesuatu. Kemudian dia berlalu begitu saja tanpa memandang ke arahku apa lagi untuk menegur. Aku tahu dia nampak aku. Sebab hanya kami saja pelanggan di kedai runcit itu ketika ini. Tapi Irfan buat-buat tak nampak. Dia buat-buat tak kenal aku. Kenapa? Kenapa aku jadi begitu sedih? Kenapa aku kisah sangat tentang perlakuan Irfan padaku? Irfan pasti bencikan aku. Dia pasti malu untuk menegurku. Aku tersinggung Irfan. Aku benar-benar tersinggung.

Aiskrim di tangan aku biarkan mencair. Keinginan untuk menikmati kelazatan aiskrim tadi hilang begitu saja. Tekak yang haus bertambah kering. Pelajar-pelajar SMAB lalu-lalang melewati kedai runcit itu tidak ku hiraukan. Aiskrim berwarna hijau itu menitis satu-persatu. Segala urat sendiku terasa lemah. Tidak sanggup rasanya menanggung kesakitan bila si jantung hatiku itu memandang rendah padaku. Semuanya gara-gara jam tangan Atikah. Semuanya gara-gara dia cuba melindungi aku dari didenda oleh cikgu Wahid. Irfan, aku tidak mencuri. Aku bukan pencuri! Suara hatiku menangis sendu. Airmata juga tidak dapat ku tahan lagi dari menitis.

“Nissa?”

Hasnul Amin? Mendengar panggilan manjaku itu saja sudah cukup untuk aku mengenali siapa empunya suara. Aku menoleh.

“Nissa? Hei, kenapa ni? Kenapa menangis?”

Aku mengetap bibir merenung Hasnul Amin. Kenapa dia sentiasa ada saat aku bersedih hati begini? Kenapa dia selalu muncul di saat-saat aku perlukan seseorang? Di saat-saat hatiku ingin merajuk? Seolah-olah Allah mengutuskan dia untuk memujukku.

“Kenapa ni? Kenapa tak makan aiskrim tu? Tak sedap ke? Aku belikan yang lain untuk kau ya?”

Aku menggeleng. Aku pandang aiskrim cair itu.

“Nak?”

Hasnul Amin menggeleng. Spontan aku buang aiskrim itu ke dalam longkang.

“La, kenapa buang? Sayang aja.”

Aku renung tepat ke mata Hasnul Amin. Tadi aku offer dia geleng kepala. Bila aku buang dia marah pula.

“Okey, okey, cerita kat aku apa yang tak kena ni?”

Aku tunduk semula. Airmata yang sudah kering kembali membasahi pipi. Sedih betul bila teringatkan sikap Irfan padaku. Hasnul Amin menyentuh daguku lalu mengesat perlahan airmata yang lencun di pipi. Mata kami bertembung. Tiba-tiba aku teringat saat didakap Hasnul Amin dulu. Jantung rasa berdegup tidak normal. Aku cuba berundur setapak kebelakang. Hasnul Amin merenung lembut. Kenapa aku berdebar-debar?

“Jangan nangis lagi. Kalau kau dah bersedia nak cerita nanti, aku setia mendengarnya Nissa. Take your time.”

Aku cuba mengukir senyum. Rasanya macam tak jadi. Dulu pun dia pernah cakap dia pendengar yang baik. Dia ikhlas ke?

“Aku balik dulu.”

“Aku hantarkan.”

“Tak apalah. Aku naik bas aja.”

“Nissa, aku tak boleh biarkan kau balik sorang-sorang dalam keadaan kau macam ni. So, please biar aku hantarkan kau. Aku ada helmet extra.”

“Tak naklah. Tak manis.”

“Oh, tak manis? Habis semalam kau naik motor dengan pakwe kau kira manislah?”

Terkebil-kebil aku merenung Hasnul Amin. Kenapa suara dia bertukar nada? Seolah-olah seperti cemburu. Aku berpaling dan mengatur langkah.

“Nissa tunggu! Aku hantar ya?”

“Tak apalah Hasnul.”

“Jom!”

Hasnul Amin menarik tanganku. Dalam keterpaksaan aku mengekori langkahnya yang laju.

“Hasnul, lepaskan tangan aku.”

“Tak nak!”

“Hasnul, lepaskan!”

Hasnul Amin buat tak tahu. Aku cuba meronta.

“Lepaskan dia!”

Langkah kami terhenti. Aku terkasima. Irfan?

Wasiat Cinta 15

Tihani mengaminkan doa. Ramai sungguh orang yang menghadiri kenduri arwah untuk Faizal. Maklumlah Faizal memang baik dengan semua orang. Sifatnya yang ceria dan menghiburkan hati, membuat orang sekeliling senang bergaul dengannya. Apatah lagi Faizal memang seorang yang ringan tulang. Kenduri arwah yang pertama ini diadakan selepas solat isya’ di rumah ibu mertuanya. Dari dapur, Tihani dapat melihat Fendi yang segak berbaju melayu. Memang tampan bekas abang iparnya ini. Sempat juga dia menjeling ke arah Mimi, tersipu-sipu gadis itu di tepi tangga. Tertanya-tanya pula hatinya, apa yang membuat Mimi tertarik dengan Fendi? Sedangkan dia tahu Fendi hanya menganggap Mimi sebagai adik saja. Itu pun Faizal jugalah yang beritahu.

Matanya beralih pula kepada ibu mertuanya di sudut dapur sedang rancak berbual dengan umminya. Mereka memang rapat sejak dia dibangku sekolah lagi. Semasa mereka sama-sama tinggal di Teluk Intan. Tihani ingat lagi, masa itu dia menolong umminya menjual nasi lemak. Itu sajalah pekerjaan yang mampu umminya lakukan setelah ayah pergi buat selama-lamanya. Dia hanya membantu sewaktu cuti sekolah saja. Dari situ jugalah dia mengenali Faizal dan Fendi. Si kembar seiras. Seorang agak nakal serta agresif dan seorang lagi pendiam dan agak pemalu. Mereka tinggal berdekatan dengan rumahnya. Sejak itu mereka menjadi kawan. Namun dia lebih rapat dengan Faizal memandangkan Fendi berat mulut. Hanya setia mendengar dan tersenyum bila Faizal mengusik dirinya. Dia akui hatinya telah terpaut kepada Faizal. Sikap Faizal yang bersahaja dan menghiburkan membuat jiwa perempuannya berbunga-bunga setiap kali diusik oleh lelaki itu. Membuat hatinya terpikat dengan setiap bicara yang keluar dari bibir lelaki itu. Faizal pandai memujuk tatkala dia merajuk. Faizal juga dengan senang hati menolong dia dan umminya bila mereka memerlukan bantuan. Faizal jugalah yang menjadi guru tuisyennya. Masa itu, dia baru berusia empat belas tahun dan Faizal pula tua empat tahun darinya. Memang Faizallah cinta pertamanya. Cinta pertama yang membawanya hingga ke jinjang pelamin.

Tihani tersentak bila mendengar suara Mikhail menangis. Sudah bangun anaknya itu. Bingkas dia mengangkat punggung untuk mendapat Mikhail. Sewaktu dia melewati ruang tamu untuk ke kamar, matanya bertembung dengan renungan Fendi. Dia berdebar-debar. Cepat-cepat mengatur langkah untuk masuk ke dalam kamar. Fendi yang dari satu sudut ruang tamu menghela nafas perlahan. Bergetar rasa hati melihat Tihani yang amat manis berbaju kurung dan berselendang panjang. Menyerlahkan lagi kecantikan semulajadi gadis itu. Menyemarakkan api asmaranya. Tanpa dia sedar aksinya itu diperhatikan oleh Mimi yang sudah berada di antara ruang tamu dan dapur. Wajahnya mencuka dan terguris.

Kerana Sebuah Janji 5

Dani memicit dahinya. Satu lagi keluhan berat terhambur keluar. Telefon bimbit di telinga kanan segera dialihnya ke telinga sebelah kiri bila lengannya mula lenguh memegang benda yang tidak bernyawa itu.

“I tahu. Tapi you pun kenalah faham I jugak Ju.”

“Please Dani, I beg you. Lain kali ya?”

“Dah banyak kali dah you cakap lain kali, tapi semua cancel.”

“Please sayang, jangan marah I ok? I kan kerja, ni semua arahan orang atas I, so, please jangan merungut ok?”

“I merungut? Memang patut pun I merungut kan? Dah sebulan kita tak jumpa sayang. I rindu kat you. So salah I ke?”

“I miss you too Dani, but what can I do? I just want you to understand me, please..”

“I told you before, berhenti aja jadi stewardess. Kerja dengan I. I bagi you special position.”

“No way Dani! It’s never happen! I suka kerja I sekarang. I tak suka kerja office hour. That’s not me!”

Dani mengeluh berat. Gagal lagi memujuk Juliana supaya berhenti menjadi pramugari. Sikap degil gadis kesayangannya itu benar-benar mencabar kesabarannya.

“Ok fine. Do whatever you want. If you need me you know how to find me. Take care.”

Cepat-cepat Dani mematikan perbualan mereka. Tidak mahu pertengkaran itu berpanjangan. Rindu di dada membuak-buak. Mengapa Juliana tidak mahu mengerti? Sebulan itu cukup banyak jika dihitung harinya. Setiap detik Julianalah yang dirindu. Walaupun dia belum pasti adakah gadisnya itu memiliki rasa yang sama. Dani tidak tahu dan dia tidak mahu tahu. Apa saja cacat-cela tentang hubungannya dengan Juliana cuba ditutupinya sebaik mungkin. Dengan itu barulah hatinya tenang. Tetapi, betul-betul tenangkah dia?

“Tak nak balik ke?”

Dani tersentak. Mursyid tersengih menayangkan susunan giginya yang teratur cantik. Tidak dinafikan, Mursyid mempunyai daya tarikan yang tersendiri. Tubuhnya yang tinggi lampai itu berjaya menutupi susuknya yang kurus.

“Dah 6.30 ni. Aku gerak dululah.”

“Eh, kejap-kejap. Awal lagi ni, lepak dulu jom?”

“Mana?”

“Mana-manalah. Ikut selera kau.”

“Tapi aku tak boleh lama, malam ni aku ada date.”

“Ah, banyaklah kau punya date. Takda-takda, jom lepak.”

“Wei, aku cakap betul ni.”

“Kau ni kan, perempuan mana pulak yang jadi mangsa kali ni?”

“Oit, cakaap… bagai tak ingat. Bila masa pulak aku jadi pemangsa?”

“Hari-hari.”

“Kau ni Dani, teruklah, bukan nak support kawan.”

“Aku tak akan support player macam kau ni. Suka sangat main feeling anak dara orang.”

“Habis tu tak akan nak main feeling anak lembu pulak?”

Dani merenung Mursyid dengan pandangan geram. Sahabat baiknya itu hanya tersengih.

“Kau ni kan, memanglah…”

“Memanglah apa?”

“Buaya tembaga.”

Mursyid tergelak besar. Dani hanya menjeling geram. Satu-satunya perangai Mursyid yang paling dia tidak suka. Kaki perempuan.

“Hai.. kau ni Dani, macam tak kenal aku pulak. Aku ni paling sayang makhluk Allah yang bernama perempuan tau. Dia orang tu, ciptaan Allah yang paling indah tau. Seteruk-teruk aku, aku tak pernah ambil kesempatan kat dia orang semua tu tau. Aku respect dia orang tau. Aku..”

“Tau, tau. Tak payahlah kau nak ulang perkataan tau-tau tu lagi. Menyampah aku dengar.”

“Ha tau takpee…”

“Dah jomlah, aku haus gila ni.”

“Nak lepak mana? Aku nak cepat ni?”

“Kau ni kan.. hiii.. cakap kat aku, kau date dengan siapa malam ni?”

Tiba-tiba terlintas idea nakal Mursyid untuk mengenakan Dani.

“Kau teka?”

“Malas nak tekalah.”

“Ala, teka ajalah, kot-kot betul?”

“Kalau betul kenapa? Apa yang aku dapat?”

“Kau nak apa? Makan? Perempuan?”

“Woi, watch your mouth ok?”

“Okey, okey sorry, aku tahulah kau setia dengan Juliana.”

“Tau pun. Kau jangan nak merepek macam tu lagi. Aku tak suka.”

Mursyid tersengih. Langsung tidak gentar dengan amaran Dani itu.

“Cepatlah teka.”

“Tak tahulah!”

“Okey, kalau aku cakap aku ada date dengaan…. Dahlia, macam mana?”

Dani tersentak. Berderau darahnya seketika. Entah kenapa degupan jantung berdetak laju. Tajam matanya menikam wajah Mursyid yang sedang tersengih.

“Apa kau cakap? Dahlia?”

“Yup. Why? Kau jealous ke?”

“Apa hal pulak aku nak jealous? Tak ada kena mengena dengan aku!”

“Ya ke? Habis tu kenapa muka kau merah? Tahan marah?”

“Mana ada! Syid, kau nak kena ke?”

“Ha, tengok? Marah pulak. Salah ke aku keluar dengan bakal bini kau tu?”

“Mursyid!!”

Tangannya sudah menggenggam erat kolar baju Mursyid. Lelaki itu terpempan. Kesat air liur yang cuba ditelannya.

“Whoa.. whoa.. rilekslah bro. Tak akan itu pun marah? Aku kidding aja.”

Dani melepas kasar genggaman kolar Mursyid. Entah mengapa hatinya panas tiba-tiba. Kenapa dengan dia?

“Sorry bro, aku melawak aja. Dahlia tetap kau punya, aku tak berani usiklah. Aku bukan jenis kawan makan kawan tau.”

Bahu Dani ditepuk beberapa kali. Cuak juga si Dani ni. Mursyid ketawa dalam hati. Sudah terang lagi bersuluh.

“Dani, kau suka dia eh?”

Mursyid direnung tajam. Seperti biasa lelaki itu tersengih selamba.

“Dah jom! Banyak cakap lagi, aku belasah kau.”

Mursyid tergelak mendengar ugutan Dani. Langsung tidak kisah dengan amarah lelaki itu. Dia tahu Dani pasti terusik dengan gurauannya sebentar tadi. Saat ini fikiran Mursyid ligat merangka idea demi idea untuk mengusik sahabat baiknya itu.