Rajuk Sang Hati 35

“Nissa, dah habis basuh pinggan?”

Along menghampiriku.

“Sikit lagi. Kenapa Long?”

“Mak panggil ke depan kejap.”

“Kejap lagi orang ke sana.”

Along diam. Bersandar di dinding tepi sinki sambil memerhati aku membasuh pinggan.

“Kenapa along tengok orang macam tu?”

Along senyum.

“Along tak sangka adik manja along ni dah besar. Dah jadi anak dara. Dah pandai buat kerja rumah. Patutlah ada yang berkenan.”

Eh? Tak pernah-pernah along cakap macam ni? Ada apa-apa ke ni? Aku memandang along pelik. Along pula seperti faham saja dengan pandanganku yang pelik itu, dia tersengih.

“Jomlah ke depan.”

Aku mengekori along ke ruang tamu sambil mengelap tanganku yang basah ke punggung. Ayah dan mak santai menonton tv. Along bagi isyarat supaya Haikal masuk ke biliknya. Sekali lagi aku pelik. Apa hal ni? Aku ada buat salah ke? Mak dengan ayah nak marah aku ke ni? Tapi selalunya kalau mak nak marah bukan kira depan siapa pun. Aku melabuhkan punggung.

“Ha, dah habis kemas dapur?”

“Dah. Kenapa mak?”

“Ni, ada hal sikit kami nak cakap.”

“Hal? Hal apa?”

Aku berdebar-debar. Macam besar benar kesalahan aku kali ni? Mak tengok ayah. Ayah merenungku lembut sambil tersenyum. Sekali lagi aku pelik. Aku menoleh ke arah along. Mengangkat kening sebagai isyarat bertanya pada dia. Along hanya menjungkit bahu.

“Tadi, ada orang datang bertanyakan kamu.”

Mataku membulat merenung mak.

“Siapa mak?”

“Bang, awaklah yang cakap.”

Aku tengok ayah pula.

“Nissa, sebelum arwah atuk kamu pergi, rupanya dia dah buat perjanjian dengan si Ali polis, untuk satukan kamu dengan anak dia.”

Ali polis? Macam pernah dengarlah nama tu.Ya Allah! Aku rasa nak pitam. Tiba-tiba rasa macam tak boleh bernafas. Aku tengok along. Along bangun, kemudian duduk di sebelahku. Merangkul bahuku erat. Sebak mula bertandang.

“Pagi tadi, si Ali suami isteri datang merisik kamu, Nissa.”

Mak menyambung pula. Merisik?

“Kamu tak nak tanya ke siapa yang dah berkenankan kamu tu?”

Aku diam. Tak mampu untuk bersuara. Segala sendiku lemah. Aku hanya rasa nak menangis. Along menggosok lembut bahuku.

“Si Ali tu kata, anak dia kenal kamu. Kamu pun kenal dia.”

Ha? Siapa?

“Mak suruh belajar, kamu bercinta. Ha, kan orang dah bertanya. Kamu tu, masak tak tahu, buat kerja rumah tak pandai, belajar tak habis lagi, dah sibuk nak berlaki.”

Mak mula membebel. Tanpa sedar airmata aku menitis. Kejamnya tuduhan mak. Orang bukan macam tulah mak. Orang tak bercinta dengan sesiapa pun. Tak ada siapa pun mak! Hatiku merintih hiba.

“Sekarang macam mana Nissa? Ayah tak bagi keputusan lagi ni. Sebab ayah kata nak tanya kamu dulu. Lagipun ini perjanjian arwah atuk kamu dengan mereka.”

Kenapa atuk buat aku macam ni?

“Sebelum tu atuk nak tanya, cucu atuk ni dah ada yang punya?”

Tiba-tiba terlintas soalan atuk sedikit masa dulu.

“Bukan apa, atuk berkenan sangat dengan anak kawan atuk tu. Anak bongsu si Ali.”

Nafasku turun naik. Aku tak pasti samada aku geram atau terlalu sedih. Siapa? Siapa anak bongsu si Ali polis tu?

“Nissa, dahlah tu. Janganlah sampai nangis.”

Along bersuara lembut. Aku pandang ayah, kemudian pandang mak.

“Mak, orang mana ada bercinta kat sekolah. Tak ada sesiapa pun nak kat anak mak ni.”

“Habis tu, ayahnya kata kamu berdua saling mengenali.”

“Kenal-kenal macam tu ajalah mak. Budak tu sekolah lain.”

Along menyampuk. Sekolah lain? Budak tu pun sekolah lagi? Aku tengok along. Bagai mengerti renungan aku itu, along melemparkan sekuntum senyuman.

“Along kenal? Siapa? Siapa along?”

“Hisham.”

Mulutku ternganga. Hisham?



******


Pintu bilikku diketuk. Aku tak peduli pun, sibuk melayan rasa sedihku ini. Aku peluk Angelina Jolie. Bulu di bahagian muka Angelina Jolie basah dek airmataku. Sekali lagi pintu kamarku diketuk.

“Nissa, along ni.”

Aku bangun dengan malas. Perlahan pintu ku kuak. Along tersengih.

“Alahai, monyok aja ni kenapa?”

“Kenapa, along tanya?”

Aku melangkah semula ke katil. Menghempaskan diri sambil meniarap memeluk Angelina Jolie. Along melabuhkan punggung dan bersandar di kepala katil.

“Dahlah tu jangan fikirkan sangat. Lebih baik concentrate pada study. SPM kan dah dekat.”

“Macam mana nak study, kalau ada masalah besar macam ni?”

“Anggap aja tak serius.”

“Tak serius along kata? Ni pasal masa depan orang tau. Along, orang tak nak kahwin awal. Orang muda lagi. Tolonglah along.”

“Dah, along dah tolong. Along dah cakap kat mak dah tadi. Mak ikut aja. Tapi ayah kata itu wasiat atuk.”

“Wasiat ke tu?”

“Entah, yalah kot. Dah buat perjanjian sebelum mati, mestilah kira wasiat. Ayah kata wasiat jangan buat main-main.”

“Alongg..”

Aku menangis semula.

“Dahlah tu, asyik menangis aja nanti, jadi Kassim Selamat baru tahu.”

Aku kesat air mata.

“Tengok tu Angelina Jolie pun dah basah kena airmata dia. Bak sini.”

Along tarik Angelina Jolie dari pelukanku. Jemarinya mengesat bulu-bulu gebu Angelina Jolie yang dah basah.

“Kenapa dengan budak tu ha along? Dah gatal sangat ke nak kahwin awal-awal? Kerja pun belum, sekolah pun tak lepas lagi, ada hati nak orang jadi bini dia.”

“Apa kata esok Nissa pergi jumpa Hisham, minta penjelasan dia.”

“Untuk apa?”

“Berbincanglah. Tangguhkan dulu ke, kan sama-sama nak exam. Nissa nak SPM, dia nak STPM.”

“Along tak tahu, kenapa orang sedih sangat.”

“Ha, kenapa?”

“Sebab.. Hisham tu sepupu…. Irfan.”

“Irfan? Siapa Irfan?”

Aku diam. Ya, siapa Irfan? Bukannya along kenal pun. Dan Irfan juga bukanlah siapa-siapa padaku. Aku sekadar meminatinya tidak lebih dari itu.

“Tak ada siapalah along.”

“Wait a minute, Irfan tu budak yang Nissa admire tu ya?”

Aku mengangguk perlahan.

“My God.”

“So, sekarang along tahu kenapakan? Macam mana ni along? Nissa tak nak kahwin dengan Hisham.”

“Hmm, susahlah macam ni. Dia orang boleh bergaduh kerana Nissa tahu?”

“Tak akan sampai macam tu kot?”

Along tergelak.

“Nissa, Nissa. Orang lelaki ni, sanggup bergaduh bertumbuk kerana seorang perempuan tau. Masing-masing nak tunjuk jaguh. Masing-masing nak memiliki.”

“Teruknya.”

Along tergelak lagi.

“Dah, pergi tidur. Esok pergi jumpa Hisham, minta penjelasan dia dan Nissa juga harus berterus-terang. Jangan main-mainkan perasaan orang. Jangan bagi orang harapan palsu. Bahaya!”

Along melangkah keluar dan aku hanya memandang kosong.

1 Suara Merdu Anda:

natasya said...

alah..susahnya kalau dh mcm nie...bri nissa tahu irfan pown minat kt dyer...isyh...nty kwn nissa yh minat ky hisham tuh mesti marah kt nissa sgt2!!

Post a Comment