Akulah Cinderella 3

Aku mengayuh basikal sambil menyanyi. Walaupun suaraku tidak sesedap mana tetapi itu hanyalah untuk menghilangkan rasa takutku saja mengayuh basikal malam-malam begini. Makcik Senah, tauke restoran tempatku bekerja memang baik hati. Pukul sepuluh malam saja dia suruh aku pulang. Bahaya katanya anak dara mengayuh basikal dalam gelap berseorangan. Katanya walaupun aku tomboy, kudratku tetap kudrat seorang perempuan. Tidak sekuat mana pun untuk melawan tenaga seorang lelaki. Katanya lagi, walaupun aku ni tomboy, kalau kena rogol tetap juga boleh mengandung. Bila difikirkan benar belaka omongan makcik Senah tu. Naik takut pula ku rasakan. Tiba-tiba…

“PONN!!!”

Bunyi hon sebuah kereta membuat aku terkejut teramat sangat sehingga membuatku hilang keseimbangan, lalu terjatuh di atas rumput di tepi selekoh. Nasib baiklah atas rumput kalau tidak pasti cedera.

“Woii!! Gila ke? Nak mampus?”

Seorang lelaki menjengahkan kepalanya dari tingkap kereta. Aku dapat melihat dengan jelas mukanya itu. Aku mendongak ke atas. Patutlah jelas, rupanya aku betul-betul jatuh di bawah lampu jalan. Aku menoleh semula ke arah lelaki itu.

“Kau tu yang gila! Bawa kereta macam pelesit!”

“Apa kau cakap?”

Lelaki itu sudah keluar dari keretanya. Tangannya terus saja menggenggam bajuku. Penumbuk juga sudah dikepalnya.

“Aku cakap kau yang gila! Bawa kereta macam pelesit. Pekak!”

Aku mengulang semula ayatku tadi dengan kuat. Serentak itu dia melepaskan satu tumbukan padu tepat ke pipiku.

Aucchh!! Perit!

Darah tersembur keluar. Pipi bahagian dalam sudah luka. Lelaki ini memang gila agaknya. Dia tidak nampakkah perbezaan tubuhku dan tubuhnya itu? Ketinggianku hanya separas dagunya saja.

“Hahaha… padan muka! Apa rasa? Sedap?”


“Sedap kepala hotak kau! Sakitlah mangkuk!”

“Apa kau cakap? Kau nak kena lagi ke? Kurang ajar betul!”

“Kau tu yang kurang ajar! Dahlah nak langgar orang, tak nak minta maaf pulak. Lepas tu, sesedap rasa aja nak belasah orang.”

Aku mengesat darah yang mengalir di bibirku. Teruk juga luka ni. Mahu senget mukaku selepas ini.

“Siapa yang salah? Kau tu yang nak masuk tak tengok kiri kanan tahu? Main redah aja.”

“Kalau aku yang salah pun, kau tak boleh cakap elok-elok ke? Biadap!”

“Heiii.. budak ni, aku bagi sebijik lagi kang. Mulut kau ni celupar betul.”

“Aku celupar pada orang yang celuparlah, bodoh!”

BUKK!

Satu lagi tumbukan padu mengenai perutku. Aku terduduk senak. Sakitnya! Betul kata makcik Senah, kudratku tetap tidak boleh melawan tenaga seorang lelaki. Aku mendongak. Cuba mencari kekuatan untuk bangun, namun aku terduduk semula. Rasa seperti hendak menangis saja. Tidak! Aku tak boleh menangis depan lelaki poyo ini.

“Lain kali, kalau dah tahu diri tu lembik jangan nak kurang ajar!”

“Oii mangkuk ayun! Kau ni apa hal? Nak cari gaduh ke?”

“Oii pendek! Kalau aku gaduh dengan kau pun tak seronok tahu? Lembik!”

Ini sudah lebih. Aku mula rasa tercabar. Aku bangun walaupun sakit masih bersisa, aku gagahkan jua. Demi tidak dibuli lagi.

“Kau ni mabuk ya? Kau tahu tak arak tu haram, hah? Kau pernah dengar tak slogan, don’t drink and drive? Hah? Dahlah mabuk, menyusahkan orang!”

PANGG!!

Kena lagi sedas penampar di pipiku. Aku jatuh tersungkur. Cap yang aku pakai terpelanting sehingga rambut panjang yang ku sanggul terurai. Mata lelaki itu membulat. Dia terkedu.

“Kau.. kau perempuan?”

Monyet punya jantan! Dia baru sedarkah aku ni bukan lawannya? Memang kurang ajar betul. Aku hanya menjeling geram. Darah yang meleleh di bibir, aku kesat. Pedih sekali. Sabar, sabar, aku tidak mahu tenggelam dalam emosi.

“Tepilah!!”

Aku menolaknya untuk mengambil basikalku yang sudah terbaring di atas rumput. Menyorong basikal dan berhenti untuk mengutip cap aku yang agak jauh terpelanting dari tempat kejadian. Aku berpaling melihat lelaki yang super berlagak itu. Dia masih merenungku. Wajahnya sedikit kesal dan serba-salah. Baru tersedar agaknya yang dia belasah tadi adalah seorang budak tak cukup umur. Aku berlalu meninggalkan lelaki itu yang terkebil-kebil dalam kegelapan malam. Habis pecah bibirku ini dikerjakan si mangkuk ayun itu. Siap kau kalau aku jumpa lagi. Aku dengan ini mengisytiharkan perang kepada lelaki yang tidakku kenali itu.

6 Suara Merdu Anda:

Anonymous said...

cam menarik jer novel ni...

Anonymous said...

menarik2

Anonymous said...

novel ni sy bru abis bce..tp byk sgt ulangan ayat la..cbe kurg2kn...tp cmne pun cite die mmg best...xbusan bce..gudluck ;)

shyafiqa said...

best...novel nie...mcm2 part de..sdey de...bleh x smbung agi smpai shah ngan shafiq 2 kawin....

khairunnisa said...

sayer suke sayer suker.....

Harayumi Saruwatari said...

sambung sampai bab akhir lh..ni baru bab berapa yg plg last..dh syok dh nk baca ni

Post a Comment