Rajuk Sang Hati 10

Dalam bilik makmal, aku cuba berlagak biasa. Tapi, kata-kata Maisarah pagi tadi masih terngiang-ngiang. Azura cuba menyembunyikan sesuatu dariku. Aku rasa tak sedap hati. Ya Allah, janganlah kerana perkara kecil persahabatanku dengan Azura menjadi renggang. Tak naklah aku kerana seorang lelaki kami bermasam muka.

“Qai!”

Maisarah mencuit lenganku. Aku terpinga-pinga melihatnya. Baru ku sedar, aku melayan perasaan tak kena waktu. Cikgu Rohani, guru yang mengajar subjek sains merenungku tajam. Aku dapat rasakan satu kelas sedang merenungku. Tak berani aku nak pandang mereka semua. Mukaku terasa pijar menahan malu.

“Dah sampai mana Qairunissa? Amerika? London?”

Satu kelas ketawakan aku. Aku diam mematung. Padan muka aku!

“Lain kali jangan bercinta masa belajar, bila cinta tak kesampaian mulalah termenung sana, termenung sini. Mengganggu pelajaran. Bukan pelajaran kamu sorang saja Qairunissa, tapi satu kelas terpaksa buang masa kerana kamu!”

Apa cikgu ni? Bila masa pulak aku bercinta? Geramnya aku! Cikgu Rohani ni mulutnya memang tak ada insurans lansung! Aku menarik nafas dalam. Aku rasa macam nak bela diri akulah.

“Mana ada saya bercinta cikgu. Tak baik cikgu serkap jarang macam tu.”

“Habis tu kenapa bermimpi di dalam kelas saya?”

“Saya… saya susah hati cikgu.”

“Sudah saya tak nak dengar kisah cinta Hindustan kamu tu. Terangkan pada saya apa yang berlaku selepas ujikaji yang kita buat sebentar tadi.”

Cinta Hindustan? Kurang asam punya cikgu. Aku menjeling beberapa pelajar yang duduk sebaris denganku. Ada yang mengulum senyum, ada yang tersengih. Sukalah tu!

“Qairunissa!”

“Hah? Ya, ya cikgu apa tadi ya? Err..”

Kali ini satu kelas sudah riuh-rendah gelakkan aku. Aku hanya mampu tersengih menutup malu. Apa kenalah aku hari ni?

“Kamu buat atau tidak ujikaji tadi?”

Aku tunduk merenung semula mejaku. Penunu Bunsen dan kertas suling masih tidak berusik. Berkerut-kerut keningku memikirkan ujikaji apa yang sepatutnya aku buat tadi?

“Sudah! Qairunissa kamu berdiri di situ sampai kelas saya habis. Jangan duduk!”

Ha? Kena denda ke ni? Berdiri dalam makmal ni sepanjang mata pelajaran sains? Aduh, apa boleh buat, dah salah aku. Terima sajalah.

“Class, inilah orang kata, beauty no brain. Muka saja cantik, tapi otak kosong. Jangan contohi dia. Kamu semua boleh teruskan, kita dah banyak buang masa.”

Cikgu Rohani merenung tepat ke arahku. Tak kurang juga aku. Aku bertentang mata dengan cikgu Rohani. Tak guna punya cikgu! Sesedap rasa saja dia kutuk aku beauty no brain. Seenak rasa saja dia kata aku otak kosong. Apa yang cikgu ni tak puas hati dengan aku agaknya? Aku calarkan kereta dia karang baru tahu!

0 Suara Merdu Anda:

Post a Comment