Akulah Cinderella 4

“Kak Syah! Kenapa ni?”

Alia bereaksi cemas bila membuka pintu untukku.

“Syyh! Cuba slow sikit suara tu. Kang bangun budak-budak tu tahu?”

Alia tidak memperdulikan kata-kataku, dia berlalu mengambil tuala dan air panas. Aku duduk tersandar di kerusi rotan yang sudah meminta nyawa ini. Tunggu masa nak rebah saja.

“Kak Syah bergaduh lagi ya? Kali ni sebab apa pulak?”

Alia memang memiliki sifat keibuan. Walaupun usianya masih muda tapi dia seperti sudah matang. Dia seorang yang penyabar, tidak seperti aku yang panas baran ini. Alia mengelap sisa darah pada bibirku.

“Auchh! Sakitlah! Slowlah sikit.”

Bentakku geram. Panas hati sebenarnya kerana dibelasah sehingga tidak mampu untuk melawan. Penyudahnya, Alia menjadi mangsa tempatku melampiaskan ketidakpuasan hatiku ini.

“Sorry kak, tak sengaja.”

“Hmm..”

Aku diam. Cuba mengawal emosi.

“Kenapa tak tidur lagi?”

“Lia study. Lagipun kalau Lia tidur, macam mana kak Syah nak masuk nanti?”

Aku diam lagi. Memejamkan mata, cuba melepaskan lelah.

“Kak Syah, ini.”

Alia menghulurkan sehelai kertas kepadaku. Aku berkerut kening memandang muka Alia.

“Ini Ain bagi, nak minta permission pergi rombongan sambil belajar.”

“Rombongan?”

Aku meneliti butiran yang tertera pada sehelai kertas itu. Rombongan ke Melaka. RM60.00? Mahalnya. Manalah aku nak cekau duit sebanyak itu? Duit di tangan hanya ada RM150.00 sahaja. Itu pun jenuh nak berjimat hingga ke hujung bulan ini. Aku memicit dahi. Kasihan pula pada Ain.

“Lia dah larang dia pergi, Lia kata kita tak ada duit.”

“Habis tu apa katanya?”

“Merajuklah apa lagi. Budak-budak kak, bukan dia faham. Dia tahu ada aja.”

Aku mengeluh berat. Tak habis-habis dengan masalah. Susah juga menjadi ketua keluarga rupanya. Aku meneliti kertas itu lagi. Tarikh tutup sehingga hujung bulan ini. Sempat lagi kot aku cari duit.

“Tak apalah, nanti Kak Syah usahakan.”

Alia hanya tersenyum lalu mengangkat punggung dan menuju ke dapur. Aku memerhatikan adik-adikku yang sudah nyenyak dibuai mimpi. Tidur bergelimpangan di atas tilam nipis beramai-ramai. Bilik hanya ada satu saja. Itu pun bilik arwah orang tuaku dulu. Bilik kecil itulah tempat kami bertukar pakaian dan menyimpan segala bantal dan tilam busuk. Jika mahu tidur, bentang saja tilam di ruang tamu yang hanya sekangkang kera itu.

Aku cuba melelapkan mata tetapi tidak boleh. Mulutku berdenyut-denyut. Aku cuba bertahan. Perlahan airmataku menitis. Sakitnya bukan kepalang. Dibelasah teruk oleh seorang lelaki yang sungguh tidak budiman lansung! Bayangkan saja, penumbuknya yang besar itu dan hayunan tangannya yang laju menghenyak pipi dan perutku. Masih terbayang-bayang senaknya sehingga kini. Nasib baik isi perut tak terkeluar sekali. Dan lebih malang lagi, tangan kasar lelaki itu telah menampar mukaku dengan kuat sekali hingga aku jatuh tersungkur. Gila! Memang lelaki itu gila. Mafia agaknya lelaki tu. Tapi betulkah salahku? Celupar sangatkah mulutku ini? Bukankah aku cuba mempertahankan diriku dari dihina dan dibuli? Ah, padan dengan muka aku! Dah tahu lelaki itu tengah angin satu badan, yang aku pergi simbah minyak lagi kenapa? Tapi aku pun tengah angin satu badan juga, mana boleh kira dia seorang saja. Tak boleh, tak boleh! Dia memang seorang lelaki yang tak tahu sopan-santun. Tak tahu nak hormat pada orang. Bukankah lelaki sepatutnya berlembut dengan perempuan? Perempuan itu bukan dicipta dari tapak kaki untuk dipijak, bukan juga dari kepala untuk disanjungi tetapi dari rusuk sebelah kiri dekat dengan tangan untuk dilindungi serta hampir dengan hati untuk disayangi. Tetapi, mungkin juga bukan salah diakan? Lelaki itu tidak tahu siapa aku yang sebenarnya. Huh, aku tidak akan memaafkan perbuatan lelaki itu kepadaku! Kalau aku jumpa lagi siap dia, aku akan buat serangan balas. Tetapi siapakah lelaki itu? Aku tak pernah tengok pun mukanya sebelum ini?

1 Suara Merdu Anda:

Post a Comment