Melankolik Cinta Cassandra 5

Sudah lama dia tidak menjejaki rumah agam ini. Hari ini dia buang semua amarahnya demi sebuah kerinduan. Rindunya pada ibu tercinta telah menggamit langkahnya ke sini sekali lagi. Dalam hati ada juga terselit kerisauan untuk menanggapi wajah bengis ayahnya.

Patrick Lau sangat tegas orangnya. Tidak pernah berkompromi dengan minatnya nan satu itu. Katanya, kesenian itu tiada masa depan. Katanya lagi, kesenian itu tidak menjamin kekayaan. Ah, apa gunanya kekayaan jika tandus kasih sayang? Apa guna kekayaan jika hati tidak pernah tenteram? Bimbang dirompak, bimbang diculik malah ancaman bunuh juga acapkali didengarnya. Dia tidak mahu kehidupan sebegitu. Dia mahukan ketenangan. Namun di rumah agam ini tiada seculin pun ketenangan yang dia harapkan. Belum pernah dia ketemu lagi ketenangan itu sejak dia membesar di sini. Ibu dan ayahnya tidak pernah sunyi dari bertengkar. Ada saja yang tidak kena, namun yang peliknya mereka masih boleh hidup bersama hingga ke saat ini. Jika dia punya adik-beradik juga alangkah bagus? Namun dia akur, menjadi anak tunggal kepada keluarga kaya adalah impian setiap orang.

Cassandra menguak pintu utama rumah agam ayahnya itu. Seperti biasa kesunyian yang menjemputnya. Di mana mummy? Dia tertanya-tanya sendiri sambil matanya meliar di segenap rumah. Pasti mummy ada di biliknya. Sebaik ingin mengorak langkah di kaki tangga, matanya tertancap pada satu susuk tubuh melalui pintu gelongsor bercermin gelap yang berdekatan dengan tangga. Dia kenal susuk tubuh itu. Tubuh yang terbongkok-bongkok di halaman belakang rumahnya itu menghapuskan segala kerinduan yang bersarang di jiwanya. Senyuman lebar mula terukir di bibir. Mummy!

Cassandra mula menapak ke arah ibunya yang sedang asyik bercakap sendirian. Riang di hati bila mendengar omelan halus dari bibir tua ibunya itu. Dia sangat rindukan suara itu. Suara bebelan ibunya itu. Entah apa yang sedang dirungutnya, dia sendiri tidak pasti.

Cassandra berdiri tegak di belakang tubuh Nyonya Mei Hua. Gelihati bila rungutan itu masih berdengung bagai sekawan lebah yang mengurung madu. Dia tergelak kecil. Ibunya masih seperti dulu. Kelihatan sihat dan bergaya. Pakaian tradisional kebaya nyonya masih menjadi pakaian rasmi ibunya. Masih kuat berpegang pada identiti peranakan baba nyonyanya.

“Mummy!” Sergah Cassandra sambil mencucuk pinggang ibunya.

“Opocot! Mak kau telangkup!”

Cassandra tergelak besar sambil menekan perutnya. Ibunya masih tidak berubah. Latah ibunya itulah yang membuat dia semakin rindu.

“Cassandra?”

“Mummy! Missed you so much!” Cassandra dan Nyonya Mei Hua saling berpelukan erat.

Melepaskan rindu yang terbuku di dada masing-masing. Titisan hangat mula bergenang di tubir mata saat mendengar esakan ibu tercinta.

“Cassandra mana lu pergi? Mummy tunggu lu balik hari-hari tau. Telefon pun tak mahu. Kasi susah mummy punya hati saja,” sungut Nyonya Mei Hua yang bersulam sedikit rajuk.

“Maaflah mummy. Saya sibuk sikit,” Cassandra tersengih sambil menggaru belakang kepalanya.

“Lu jangan bikin banyak alasanlah sayang. Telefon sekejap pun tak akanlah tak sempat? Mummy rindu sama lu, tahukah?”

Cassandra mencium pipi ibunya yang masih mencin dan putih itu. Memeluk bahu serta menggosok-gosok perlahan demi memujuk rajuk ibunya. Bersama Nyonya Mei Hua Cassandra sentiasa ceria dan sangat manja. Tidak seperti ayahnya yang agak tegas dalam segala hal.
“Daddy mana mummy?” Cassandra memandang ke garaj kereta. Kereta Mercerdes Benz milik ayahnya tiada di situ.

“Jangan tanya lu punya bapak. Rumah ini dia buat macam hotel saja. Balik tukar baju, lepas itu keluar semula,” sungut Nyonya Mei Hua.

“Daddy sibuklah tu mummy,” kata Cassandra sekadar menyedapkan hati ibunya.

“Orang lain pun kerja juga tapi tidaklah sibuk macam lu punya bapak!” Sanggah Nyonya Mei Hua.

Cassandra tergelak kecil. Dalam diam dia akur dengan kata-kata ibunya itu. Memang ayahnya jarang berada di rumah. Dari dia kecil sampailah besar, ayahnya memang sentiasa sibuk. Kadang-kadang kasihan juga dia pada ibunya ini. Sentiasa sunyi. Dulu dia ada menemani, kini sejak dia tinggalkan rumah agam itu, kehidupan ibunya pasti lebih sunyi.

“Ini malam lu jangan pulang ya? Tidur sama mummy,” pinta Nyonya Mei Hua. Bercahaya matanya mengharap persetujuan dari Cassandra.

“Eh, tak boleh! Saya sekejap saja di sini mummy. Datang ke sini cuma nak jumpa mummy saja,” tolak Cassandra serta-merta.

“Lu memang tau! Selalu bikin darah mummy naik. Mahu mummy cepat mati ya?”

“Eh, kenapa pula mummy cakap begitu? Saya tak suka dengarlah.”

“Hmm… apa-apalah. Lu sudah makan? Kalau belum, mummy masakkan. Lu mahu makan apa? Cakap saja ditanggung beres!”

Cassandra tergelak besar.

“Boleh juga. Saya sudah lama rindu nak makan masakan mummy,” kata Cassandra penuh ceria.

“Kalau rindu selalulah pulang ke sini. Lu tak ada rugi apa-apa pun. Untung lagi adalah.”

“Untung?”

“Iyalah, dapat makan masakan mummy yang sedap-sedap. Betul tak?”

“Betul-betul!”

Tertawa riang kedua beranak itu. Cassandra mengekori punggung ibunya menuju ke dapur. Sebaik terpandang dua orang pembantu rumahnya, dia melemparkan senyum. Kedua-dua mereka adalah warga Indonesia. Sudah lama mereka setia berkhidmat di rumah ini. Kepada merekalah dia harapkan untuk menjaga Nyonya Mei Hua.

“Kamu berdua apa khabar? Buat kerja dengan baikkah?” Tanya Cassandra lembut.

“Iya neng,” angguk salah seorang pembantu rumah yang bernama Erni.

Gadis itu berasal dari Acheh, Indonesia. Merantau ke sini mengikut neneknya mencari rezeki. Erni anak gadis yatim piatu. Kedua orang tuanya telah pun meninggal dunia kerana peristiwa tsunami pada tahun 2004 yang menggegarkan dunia. Gadis itu kehilangan mereka dalam sekelip mata. Erni nekad datang ke Malaysia bersama neneknya Imah untuk mencari sesuap nasi.

Cassandra sayu. Betapa bertuahnya dia sebagai rakyat Malaysia. Hidup dalam penuh muhibbah dan harmoni. Tidak seperti negara jiran yang kedudukan geografinya cukup memberi penderitaan kepada penduduknya. Kenapa semua itu berlaku? Semua ini kerja Tuhankah? Kenapa Tuhan mahu memberi penderitaan kepada manusia? Tidak sayangkah Tuhan kepada manusia? Apakah semua agama mempunyai Tuhan begini?
Cassandra mengeluh lemah. Dia tidak percaya pada mana-mana agama sekalipun. Dia tidak percaya adanya Tuhan. Dia tidak percaya ada syurga atau neraka. Apa yang dia tahu siapa yang berbuat baik akan mendapat balasan yang baik dan begitulah sebaliknya.

Sehingga kini dia langsung tidak nampak kelebihan pada agama yang dianuti oleh kedua orang tuanya. Ayahnya beragama Katolik dan hanya mengunjungi gereja pada hujung minggu saja. Dia tidak nampak apa-apa lambang salib pun di rumah ini. Mungkin ayahnya bukan penganut Katolik yang setia. Ibunya pula cukup taat dengan ajaran Buddha. Setiap pagi ibunya akan bersembahyang dan meminta kepada nenek moyangnya supaya melindungi keluarganya. Sedangkan dia? Tiada pegangan. Dia tidak percaya itu semua. Baginya berjayanya seseorang itu dalam hidup kerana usaha keras masing-masing. Bukan kerana pertolongan magis dari Tuhan.

“Neng mahu minum?” Soalan bibik Imah itu menyentakkan menungannya. Cassandra berpaling lalu melemparkan senyuman madu kepada wanita tua itu.

“Tak mahu bik,” sambil menggeleng dia menongkat dagu. Ingin menyambung menungannya semula. Namun kehadiran ibunya, membantutkan niatnya itu.

“Lu tidurlah sini, mummy rindu tau?” Pujuk Nyonya Mei Hua lagi.

“Lain kali ya mummy? Saya banyak kerja,” Cassandra menolak lembut.

“Lu sengajakan? Lu tau tak, sejak lu pergi mummy sangat sunyi. Tiada siapa mahu berborak dengan mummy lagi. Tiada siapa yang mahu mengusik mummy macam dulu. Lu tak kasihankah sama mummy lu ini? Sudahlah tua, sunyi pula. Suatu hari nanti, mummy pasti akan mati kesunyian tahu?”

Cassandra tergelak besar. Sangat lucu melihat wajah cemberut ibunya yang cuba memancing simpati darinya.

“Mummy ni, mana ada orang mati kerana kesunyianlah! Pandai-pandai saja,” sanggahnya bersama sisa-sisa ketawa.

“Tengok? Cakap mummy ni, lu mesti tak mahu percaya. Betul-betul jadi nanti baru lu menyesal, masa itu jangan menangis-nangis mahu mummy hidup semula,” Nyonya Mei Hua bermuka serius. Seolah-olah telah memberi amaran keras kepada anaknya.

Mendengarkan kata-kata ibunya itu bertambah galak Cassandra ketawa. Memanglah ibunya penawar segala duka di hati. Baru beberapa minit bersama sudah cukup menceriakan dirinya.

Nyonya Mei Hua tersenyum melihat kegirangan anak gadisnya. Dia mengerling ke arah dua pembantu rumahnya yang turut sama menumpang tawa. Nyonya Mei Hua menghela nafas lega. Sudah lama rumah ini sepi. Sama ada siang atau malam tiada bezanya. Kehadiran Cassandra hari ini sedikit sebanyak mewarnai hati tuanya ini. Menceriakan moodnya yang hilang sejak semalam. Pergi bersama geram dan ralat pada suaminya yang hanya sempat dilihat pada pagi semalam.

Patrick Lau memang sudah melampau! Dibuatnya rumah ini seperti hotel saja. Hanya singgah untuk menukar baju. Ke mana perginya dia sendiri tidak tahu. Di mana tidur suaminya itu juga dia tidak tahu. Rasa seperti mahu mati saja kerana terlalu sering diperlakukan sebegini. Jika pasangan lain, jika sudah mencecah usia emas begini pastilah mahu sentiasa bersama menghabiskan masa-masa berkualiti sambil melihat keletah cucu. Ah, cucu! Serta-merta dia berpaling semula pada Cassandra.

“Sayang, mummy mahu tanya satu soalan, bolehkah?” Nyonya Mei Hua menepuk perlahan kura tangan Cassandra.

“Mummy ni, sejak bila nak tanya soalan kena minta izin?” Soal Cassandra semula. Ketawanya sudah berlalu namun diganti pula dengan kerutan di wajah.

“Mana tahu, lu tak suka sama mummy punya soalan?” Nyonya Mei Hua menjeling. Cuba memancing reaksi Cassandra.

“Ha, ni mesti mummy nak tanya soalan yang bukan-bukan. Betul tak?” Jari telunjuknya digoyang di depan wajah Nyonya Mei Hua. Matanya dikecilkan.

“Tak betullah! Mummy cuma mahu tanya soalan kehidupan.”

“Soalan kehidupan?” Cassandra berkerut kening. Apakah soalan kehidupan itu? Mengenai ketuhanan? Atau prinsip hidupnya? Bukankah ibunya sudah sedia maklum tentang hal itu? Apa lagi yang belum jelas?

“Iya, soalan kehidupan. Kehidupan lu,” jawab Nyonya Mei Hua bersahaja.

“Kenapa dengan kehidupan saya mummy? Bukankah saya hidup dengan baik-baik saja selama ini?”

Nyonya Mei Hua mengeluh lemah. Dalam bijak, lembab juga fikiran anak gadisnya ini. Masakan tidak dapat menangkap tentang persoalan kehidupan? Bagaimana harus dia bertanya soalan yang agak peribadi tanpa menyinggung hati Cassandra kesayangannya itu?

“Just straight to the point sajalah mummy. Bukankah senang?”

“Betul? Lu mesti jawab soalan mummy ini tahu? Jangan cuba-cuba mahu lari,” Nyonya Mei Hua memberi amaran sambil menggoyang-goyangkan jari telunjuknya ke kiri dan ke kanan.

Cassandra tergelak kecil. Ada-ada sajalah ibunya ini. Namun dalam pada itu sedikit debar sudah menyelinap di hati. Apakah soalan yang bakal ibunya tanya nanti berkisar tentang kisah peribadinya?

“Lu bila mahu kahwin?” Meluncur laju soalan itu dari bibir Nyonya Mei Hua.

Hampir tergelincir tangannya yang menopang dagu. Seperti yang dijangka! Soalan ibunya itu berkisar tentang kisah peribadinya. Apa yang harus dia jawab? Cassandra mengeluh.

“Mahu kahwin dengan siapa mummy? Siapalah yang mahu anak mummy yang buruk ini?” Jawab Cassandra perlahan. Dia mengerdipkan matanya beberapa kali bersama cemikan di bibir.

“Buruk? Siapa bilang anak mummy buruk? Memang dasar mulut orang itu tidak pergi ke sekolah! Sayang, lu sangat cantik. Lagi cantik dari bidadari tahu? Masakan tidak ada lelaki yang jatuh hati pada lu? Si Jimmy itu apa cerita? Lu masih perempuan dia bukan?”

‘Perempuan dia?’ Soalnya sendiri. Cassandra mencebik.

“Pergi mati sama dia mummy!” Bentaknya geram. Entah kenapa bila nama Jimmy Yap muncul saja, dia mula panas hati.

“Hei, kenapa lu sumpah-sumpah orang begitu? Tidak elok tahu? Mummy tidak pernah mengajar lu cakap-cakap serupa itu. Kasi cili lu punya mulut, mau?” Marah Nyonya Mei Hua yang langsung tidak tahu hujung pangkal itu.

Cassandra tersengih kemudian cepat-cepat menekup mulutnya sambil menggeleng laju. Sebagai isyarat yang dia tidak mahu ibunya berbuat begitu.

Nyonya Mei Hua pura-pura mengerling marah sambil mengulum senyum. Begitulah Cassandra dari kecil. Tingkahnya itu sangat comel di mata Nyonya Mei Hua. Walaupun Cassandra sudah besar panjang, walau Cassandra sudah menjadi seorang gadis, dia tetap menganggap anak kesayangannya itu masih kecil.

“Tahu takut ya? Dengar ya Cassandra. Apa pun yang berlaku pada diri lu, jangan sekali-kali menyumpah atau memaki orang ya? Lu mesti mahu fikir baik-baik saja pada orang tau? Kita ini orang Malaysia. Orang Malaysia sangat berbudi bahasa, betul?”

“Betul mummy. I’m sorry.”

“Bagus. Lu memang anak mummy yang baik sekali. Ha, sekarang lu cerita sama mummy kenapa lu sangat marah pada Jimmy?”

Cassandra mengeluh berat. Ingin membuka aib si Jimmy? Atau diamkan saja? Jika diam, bermakna dia akan dipersalahkan di atas keretakan hubungannya dengan Jimmy Yap. Bukankah Jimmy Yap itu adalah orang kesayangan ayahnya?

“Cerita saja. Mummy ada sama lu, jangan takut sayang,” pujuk Nyonya Mei Hua lembut. Tangannya mengusap perlahan kura tangan Cassandra.

Cassandra masih ragu-ragu dengan keputusannya. Jika Jimmy Yap adalah kesayangan ayahnya, dia pula adalah kesayangan ibunya. Jadi apa yang perlu ditakuti? Kesalahan Jimmy Yap padanya harus dikhabarkan kepada ibunya. Sekurang-kurangnya ibunya itu boleh membela dia jika suatu hari nanti ayahnya mengamuk jika mengetahui terlerainya hubungan ini.

“Dia ada perempuan lain mummy,” Cassandra akhirnya berterus-terang.

“Ha? Betulkah? Mana lu tahu? Jangan pandai-pandai buat cerita Cassandra. Mummy tak suka,” Nyonya Mei Hua memberi amaran.

“Betul mummy! Saya tengok dengan mata saya sendiri,” kata Cassandra bersungguh-sungguh. Jika tidak, susah juga mahu buat ibunya itu percaya.

“Mungkin kawan diakah?”

“Bukan. Perempuan itu adalah… Kelly.”

“Kelly? Kelly mana ni?”

“Receptionist di office daddylah mummy. Tak akan tak kenal?”

“Office daddy yang mana satu?” Nyonya Mei Hua sudah berkerut kening. Dia bukan tahu sangat hal-hal pejabat suaminya itu.

“Yang Jimmy handle tu.”

Nyonya Mei Hua berkerut kening sambil jari telunjuknya mengetuk-ngetuk lembut bibirnya yang sengaja dimuncungkan. Fikirannya bekerja keras sekali untuk mengingati siapakah gadis yang bernama Kelly itu. Nyonya Mei Hua sedikit merengus lantas menggeleng perlahan.

“Haiyaa... tak tahulah! Mummy tak ingat. Tak kenal. Receptionist barukah?”

“Tak juga. Tak apalah mummy… lupakan saja,” ujar Cassandra perlahan. Apa gunanya bercerita tentang perempuan yang tidak dikenali oleh ibunya itu? Bukankah satu perbuatan yang sia-sia?

“Eh, tak boleh - tak boleh. Lu kena cerita sama mummy. Apa sudah jadi?” Soal Nyonya Mei Hua. Dia sudah berasa kurang sabar.

“Tapi mummykan tak kenal siapa Kelly? Nanti mummy tuduh saya mereka-reka cerita pula?” Tanya Cassandra semula. Dia cuma inginkan kepastian.

“Ah, tak peduli lagi siapa itu budak Kelly. Mummy mahu tahu ceritanya dulu. Nanti senang-senang mummy pergi intai itu budak. Eh, dia buat apa sama lu? Dia tak apa-apakan lu sayang?” Soal Nyonya Mei Hua sedikit cuak.

“Secara fizikal, tidaklah mummy. Tapi dia telah lukakan hati saya ni. Mummy tahu tak rasanya macam mana?” Cassandra merenung tepat ke wajah Nyonya Mei Hua. Matanya mula berkaca-kaca.

“Lu tak kasi tahu, mana mummy tahu?”

“Macam kena pisau mummy, sangat sakit,” suara Cassandra melirih.

Nyonya Mei Hua memandang sayu wajah manis Cassandra itu. Ada pilu pada bicara akhir anak gadisnya itu. Ada sendu yang cuba disembunyikan oleh Cassandra. “Sudah lamakah?”

“Baru sebulan mummy.”

“Apa sudah jadi?”

Lalu Cassandra menelanjang segala rahsia yang disimpan tentang hubungannya dengan Jimmy Yap. Kecurangan Jimmy Yap harus dibongkar demi serelung hatinya. Dia tidak akan sekali-kali membiarkan Jimmy Yap terlepas begitu saja seusai merobek parah hatinya. Bukannya dia tak tahu tujuan asal Jimmy Yap mendekati dirinya hanya kerana harta bukan cinta. Tidak seperti dia yang terlalu memuja lelaki itu sehingga segala cacat-cela tentang Jimmy Yap dibiarkan bagai angin lalu. Nah, bahananya sudah terhampar. Kesetiaannya dibalas kecurangan. Memang Jimmy Yap lelaki durjana!








0 Suara Merdu Anda:

Post a Comment