Kamal Oh Kamalia 19

Seperti biasa aku tunggu Azlin di tangga depan kelasnya. Mengharap sangat dia keluar seorang diri tanpa ditemani teman-temannya. Aku ingin menegurnya lagi. Aku tak akan berputus asa. Satu-persatu teman-teman sekelasnya sudah meloloskan diri dari pintu utama. Aku panjangkan leher mencari kelibatnya. Di mana dia? Suasana keliling makin lengang. Makin sunyi. Aku terlepas pandangkah? Rasanya Azlin belum melintasi aku lagi.

“Excuse me.”

Aku cuba menahan pelajar berbangsa Punjabi yang melintasi aku. Aku pasti dia rakan sekelas Azlin Nasihin.

“Yes?”

“Where is Azlin?”

“Oh.. she absent today.”

Tak datang? Huh, buat penat saja aku melangut di sini menunggu dia. Aku mengukir senyum untuk gadis Punjabi itu.

“Oh.. thank you.”

“You are welcome.”

Kenapa dia tak datang ya? Sakit ke? Semalam okey saja? Aku tak mahu berlengah lagi, aku kena balik untuk salin baju dan pergi tengok buah hati aku tu. Ish, risaunya. Apa dah jadi pada dia agaknya? Sabarlah wahai hati. Aku berjalan agak cepat menuju ke tempat parkir motor. Ingin segera bersiap-siap menjadi Kamalia. Dalam kelam kabut begitu sempat lagi aku tersenyum sendirian. Macam manalah nama Kamalia tu boleh terpacul keluar dari bibir aku ni?

Dari jauh aku terlihat Iqbal dan Dina jalan beriringan sambil ketawa mesra. Alangkah bahagianya mereka. Aku doakan yang terbaik untuk kau Iqbal. Semoga jodoh kau dan Dina berpanjangan. Sedang diriku sendiri belum pasti lagi apakah aku berjaya memikat Azlin dengan cara begini?

***

“Azlin?”

Aku terus menerkam dia yang terlantar di katil. Sedikit bergetar diriku kerana terpaksa masuk ke bilik dia. Tak pernah aku buat masuk ke bilik anak dara orang, hari ini pecah tradisi pula. Azlin merenggangkan matanya sedikit.

“Hmm…”

Sebak tiba-tiba hadir di jiwa lelakiku saat mendengar rintihannya. Aku ingin menyentuh dia. Tapi aku tak berani. Aku takut dia salah erti. Tapi, kenapa aku harus takut? Bukankah aku sekarang adalah Kamalia? Ah, aku hampir terlupa siapa aku di rumah ini. Perlahan aku meletakkan kura tanganku di dahinya. Panas! Azlinku demam.

“Lin? Lin demam ni. Kita pergi klinik ya?”

“Hmm..”

“Jom.”

Azlin menggeleng lemah. Aduhai, dahlah sakit degil pula. Nanti demamnya melarat aku juga yang susah.

“Lin, jangan macam ni. Kita pergi klinik ya?”

“Tak apalah Mal. Lin okey. Sikit aja ni.”

“Sampai tak datang kelas tu sikit ke?”

Azlin bangun dan cuba duduk bersandar di kepala katil. Aku membantunya. Rasa kasihan membuak-buak dalam diri. Azlin kelihatan lemah sekali. Pucat dan layu. Namun masih sempat mengukir senyuman sambil menatap wajahku. Walaupun senyuman itu kelihatan hambar namun aku tetap membalas mesra.

“Err… macam mana Mal tahu Lin tak masuk kelas hari ni?”

Alamaaakk… kantoi dah! Apa nak jawab ni? Dalam pandai bodoh juga kau ya Kamal? Lupakah kau dan dia bukan sekolej? Habislah! Iqbal, tolong aku Bal..

“Err.. Mal agak-agak aja. Dah Lin terbaring macam ni, mesti tak pergi ke kelas kan?”

Azlin tersenyum tawar dan mengangguk lemah. Nasib baiklah aku dapat menjawab dengan jayanya. Kalau tidak, pasti terbongkar. Bijak kau Kamal, bijak sungguh! Syabas!

Aku menghela nafas perlahan sambil merenung ke wajah manisnya itu. Walaupun wajahnya itu sedikit pucat. Aku sangat simpati. Rasa nak peluk dia saja. Tapi aku tahu aku tak boleh buat begitu. Walaupun sekarang aku adalah Kamalia tapi aku tak akan ambil kesempatan padanya. Sebab aku sayang dia sangat-sangat.

“Betul tak nak pergi klinik ni?”

Azlin mengangguk sekali lagi sambil terbatuk-batuk kecil. Bibir mungilnya yang dulu mekar indah kini menjadi kering dan sangat pucat.

“Lin dah makan panadol tadi. Sekejap lagi okeylah kot. Mal tak payah risaulah.”

“Lin dah makan?”

“Dah, makan roti cicah milo aja.”

Aku mengangguk. Baguslah sekurang-kurangnya dia makan sikit. Tak perlulah aku nak masak untuk dia. Buatnya dia suruh aku masak bubur nasi macam mana? Tak ke naya? Aku mana reti nak masak semua tu? Makan aku pandailah.

“Kalau macam tu Lin rehatlah. Nanti Mal ambil tuala basah bubuh atas dahi ya?”

Azlin tersenyum lemah lalu menggelongsor semula merebahkan tubuhnya. Aku bingkas ke dapur mencari bekas dan tuala kecil. Aku harap dia cepat sembuh.


***

Hari sudah semakin petang. Aku mula berkira-kira hendak pulang ke rumah semula atau tidak. Sebenarnya aku sudah rimas bertudung ni. Gatal pula kulit kepala aku. Duduk pun penuh dengan sopan santun membuat aku sudah tidak boleh bertahan lama. Alangkah bagus kalau balik dan boleh duduk terkangkang sambil tengok tv. Boleh buka baju dan berseluar pendek saja. Ah, nikmatnya berada di rumah sendiri.

Aku kerling jam dinding. Sudah pukul enam. Sebentar lagi aku akan pulang ke rumah. Sebentar lagi aku akan meninggalkan Azlin keseorangan. Hati ini bagai tidak sanggup membiarkan dia keseorangan dalam keadaan dia yang terlantar sakit begini. Jika apa-apa yang terjadi padanya bagaimana? Aku rasa bersalah untuk meninggalkan dia. Aku serba salah, aku berbelah bagi. Apakah aku sanggup membiarkan dia di saat-saat dia perlukan aku begini? Sungguh aku dalam delima.

Aku tersedar dari menungan bila terasa ada susuk tubuh duduk di sebelahku. Azlin menoleh ke arahku sambil tersenyum hambar.

“Lin? Dah sihat ke ni?”

Serentak itu aku merasa dahinya. Sudah berpeluh sedikit tapi panasnya masih ada. Tiba-tiba dia melentokkan kepalanya pada bahuku. Bukan sedikit aku terkejut, rasa nak tercabut jantungku ini. Wajahku membahang. Badan terasa meruap. Ah, gila aku! Sabar Kamal sabar. Cuba kawal diri. Haruman rambutnya benar-benar membangkit gelora di jiwa. Harum tubuhnya membuat naluriku bergetar.

“Mal, malam ni Mal kerja eh?”

“Hmm..”

Hampir tidak terkeluar suara aku. Huh, berdebar sungguh rasanya. Yang selalu aku impikan kini sudah jadi nyata. Azlin terlentok manja di sisiku. Mana mungkin aku menghindarkan diri? Jika aku pergi, jika aku mengelak, aku tak akan dapat peluang ini lagi. Ya Allah, kuatkan iman aku.

“Oh.. Lin cadang nak suruh Mal ambil cuti. Temankan Lin malam ni boleh?”

Ah, sudah! Naya aku. Boleh ke tak ni ha? Kalau ikutkan hati aku ni nak saja temankan dia. Tapi bila fikir rasa takut memang aku tak boleh nak teruskan. Tapi, bukankah aku sekarang adalah Kamalia? Tapi aku rasa macam nak balik rumah saja. Aku dah rimas bertudung ni. Aku tiada alasan untuk pakai tudung sampai ke malam.

“Err.. maaf Lin. Mal memang nak temankan Lin sangat. Kesian Mal tengok Lin sakit macam ni. Tapi Mal betul-betul tak boleh.”

“Ala, kenapa?”

Alahai, hati aku sudah cair mendengar rengekan manja Azlin. Kuatkan Iman kau Kamal. Tabahkan hati. Ini semua dugaan saja. Kau tak boleh tidur di sini. Jangan sekali-kali mencuba Kamal!

“Kat kilang tu Mal yan handle mesin utama. Jadi memang Mal kena datang. Kalau tidak alamatnya kena berjawablah dengan bos.”

“Habis tu kalau Mal cuti macam mana? Cuti sakit ke? Emergency ke? Jangan kata Mal tak pernah ambil cuti langsung?”

Dalam sakit-sakit pun sempat lagi membebel? Memang dasar perempuan.

“Kalau Mal nak cuti Mal kena beritahu awal. Selalunya dia orang akan carikan pengganti Mal.”

“Habis tu samalah, kalau Mal emergency malam ni, pasti dia orang ada pengganti Mal kan?”
“Maaf Lin, Mal memang tak boleh.”

Aku lihat dia cemberut. Kasihan dia. Waktu sakit begini memang perlukan perhatian. Tapi aku tak boleh. Maafkan aku Azlin, aku terpaksa mereka alasan demi alasan untuk melindungi identitiku. Aku terpaksa berbohong demi keselamatan kau Azlin. Aku harap suatu hari nanti kau akan mengerti.

Rajuk Sang Hati - Special Edition 3

Aku menutup pintu kereta. Sambil membetulkan baju kurung putih berbunga kecil warna pink. Feminin habis aku malam ni. Rasa macam akulah yang paling cantik di sini. Betul apa? Aku ambil cermin muka dan menelek wajahku seketika. Perfect!

“Dah?”

Aku berpaling lalu tersenyum manis pada Laila yang mula membuat muka bosan. Gaya macam tak puas hati saja pada aku.

“Udah.”

“Hii.. macam dia pulak yang nak jumpa bakal mertua. Beriya-iya!”

“Eh, kau jangan nak banyak bunyi. Aku teman kau ni kira baguslah tau?
Sepatutnya kau berterima kasih pada aku.”

“Yelah-yelah terima kasih daun keladi. Lain kali boleh temankan aku lagi.”

Laila tersengih.

“Ha, tak ada lain kali, lain kali. Aku tolong kau kali ni aja tau. Syukur ya Laila, syukur.”

“Yela-yela syukran ya Qairunissa. Erm..Qai..”

“Hmm?”

“Kenapa aku nervous tiba-tiba ni?”

“Pulak? Ala, releks la Laila. Bukan nak kahwin pun. Nak makan-makan aja. Err.. dah berapa lama kau tak datang sini?”

“Aku pernah datang sekali aja. Itu pun masa bakal mertua aku ni buat kenduri sebelum tunang aku berangkat ke oversea.”

“Laa..bertuah punya bakal menantu. Lepas tu kau tak adalah nak jenguk-jenguk dah?”

Laila mengangguk perlahan.

“Kenapa?”

“Segan.”

“Isy, segan tak bertempat!”

“Betullah Qai, aku tak tahu kenapa aku segan silu sangat.”

“Itulah akibatnya bila tak bercinta. Tak reti nak sesuaikan diri, tak tahu nak bual topik apa. Siapa yang susah? Mereka dan keluarga mereka jugak.”

“Akulah yang susah! Kau ni pun.. dahlah sampai bila kita nak tercegat depan pagar rumah ni? Jom masuk cepat!”

Aik? Tadi dia yang segan silu daun semalu. Sekarang dia pula yang menonong-nonong masuk ke dalam dan tinggalkan aku di belakang. Terkial-kial aku mengejar langkah Laila dengan kasut tumit tinggi empat inci. Huh, salah sendiri. Beriya-iya pakai kasut tinggi, janganlah terpelecok depan orang. Mahu saja aku sagat muka aku ni nanti.

****

Dah usai pun doa selamat dan bacaan yassin di rumah ini. Rupanya bukan sekadar kenduri doa selamat kerana kepulangan anak tuan rumah ini tapi berlangsung sekali majlis tahlil untuk keluarga mereka yang sudah meninggal. Aku hanya mengikut saja. Orang di depan amin, orang di dapur pun amin juga. Sejak kami masuk ke rumah ini, inilah destinasi paling menarik pilihan Laila. Berada di dapur. Katanya dapatlah menolong apa yang patut. Eleh, macam aku tak tahu kau Laila, nak tunjuk handal depan bakal mertualah tu. Tak apa, bagus juga. Dapat aku praktis sekali. Aku tergelak kecil.

Aku ni sebenarnya dah tak sabar sangat nak tengok tunang Laila yang duduk berperam kat luar negara tu lama-lama. Apa ke bestnya? Sampai tinggalkan tunang di sini menanti penuh harapan. Handsome ke? Berhabuk ke cakap English? Nak juga kenal. Tapi si Laila ni masih tersipu-sipu daun semalu. Sepatah orang tegur, sepatahlah dia jawab. Yang tak bestnya, dengan aku sekali kena tempias. Macam-macam soalan ditembak oleh makcik-makcik yang comel-comel belaka itu. Dah kahwin ke belum? Dah berpunya ke belum? Tinggal mana? Mak bapak kerja apa? Huh, jenuh aku menepis tiap-tiap soalan itu. Kadang-kadang hendak aja aku jawab, kenapa makcik? Ada anak teruna ke yang tanya lebih-lebih tu. Kalau ada pun sorrylah ya. Teman tak sior! Kata orang Perak. Berdekah-dekah aku gelak dalam hati. Dalam hati ajalah yang aku berani.

Hadirin makin beransur-ansur pulang. Nampaknya aku dan Laila pun patut balik juga. Dah dekat pukul sebelas malam. Aku berpaling ke belakang. Eh? Mana si Laila ni? Tak akan balik dah? Memang nak kenalah ni. Tiba-tiba saja lesap dari pandangan mata aku. Oh, aku tahu. Mesti pergi jumpa tunang dialah tu. Rindulah katakan. Aku tersenyum simpul. Lalu tanpa berlengah aku mencari-cari Laila di halaman rumah yang agak luas. Cantik landskap rumah ini. Sekonyong-konyong aku nampak dua kelibat manusia sedang berbual mesra di sudut tepi rumah. Ada kolam buatan. Terang benderang disimbah cahaya sportlight. Cantik!

Aku menyusun langkah teratur. Berhati-hati memijak batu-batu kecil yang sengaja dibuat untuk senaman kaki. Habislah rosak tumit kasutku ini. Tak apa, Laila punya pasal. Amboi, bukan main korang bercerekarama di bawah pohon bambu ya. Eh, ada ke pohon bambu kat sini? Yang aku nampak pokok palma adalah. Ah, tak kisahlah! Pokok palma pun pokok palmalah. Nanti kau Laila, aku usik kau sampai tak terangkat muka karang. Dari segan silu daun semalu, terus jadi bisu nanti! Berani sungguh kau meninggalkan aku keseorangan di dapur ya. Menjadi bibik tak bertauliah. Kau tunggu Laila, kau tunggu.

Akhirnya setelah aku bersusah-payah memijak batu-batu kecil itu berjaya juga aku sampai di belakang mereka. Tak sedar lagi tu? Aku memasang telinga ingin mencuri dengar perbualan asmaradana uda dan dara itu. Diam. Masing-masing bisu. Apa yang tak kena? Masih malu-malu?

“Laila tak kisahkan?”

Aku lihat Laila mengangguk perlahan. Apa yang tak kisah tu Laila oi? Suka-suka aja kau angguk-agguk ya.

“Tak apa, Laila ikut aja.”

“Terima kasih Laila.”

“Abang janji, bila dah settle semua, kita akan kahwin.”

Ooh, fahamlah aku sekarang. Mesti jantan ni minta tangguh lagi. Sudahlah lima tahun bertunang, nak tangguh lagi? Something wrong ni.

“Tak apa, Laila sanggup tunggu.”

“Sekurang-kurangnya abang dah ada kat Malaysiakan? Tak adalah nak menanggung rindu lagi.”

Laila mengangguk perlahan. Entah macam manalah rupa dia sekarang. Mesti merah macam biji saga! Inilah masanya aku nak mengusik Laila.

“Ehem-ehem, cik Laila tak rindu pada cik abang ke?”

Sebaik mendengar suara aku, kedua-duanya berpaling serentak. Wajah Laila ketika itu, merah campur terkejut. Aku tergelak besar. Malulah tu! Aku memandang sekilas pada lelaki idaman Laila itu. Lalu aku melihat ke arah Laila semula, sambil menghabiskan sisa tawaku.

“Qai! Tak baik tau..”

“Apa tak baik, tak baik? Ooh, kau tinggalkan aku sorang-sorang kat dapur tu kira baiklah? Duduk bercanda di tepi kolam ikan ni kira baiklah?”

“Aku..aku..”

“Qairunissa..”

Aku berpaling melihat tunang Laila. Bagaimana dia tahu nama aku? Muka dia..muka dia ni macam pernah tengok. Tapi di mana ya? Aku berkerut kening sementara berusaha memerah otakku yang bergeliga ini. Siapa lelaki ini? Renungannya, suaranya.. eh? Apakah…

Melankolik Cinta Cassandra 6

Berkerut dahi Hanafi bila mendengar dentingan pinggan mangkuk yang berlaga di dapur. Pasti isterinya sedang sibuk menyediakan sarapan. Tanpa disedari Soleha, Hanafi berdiri sambil bersandar di dinding. Dia diam di situ sambil memerhati susuk tubuh isterinya yang semakin kurus itu. Tingkah Soleha tidak sekencang dahulu. Tubuhnya kini semakin lemah. Hanafi merengus kecil. Jika dilarang Soleha membuat kerja-kerja itu, pasti bagai angin lalu, sering sahaja tidak diendahkannya.

Dia pernah mencadangkan kepada Soleha supaya mengambil pembantu rumah sahaja agar dapat membantunya meringankan kerja-kerja harian, namun seperti biasa usulnya itu ditolak bulat-bulat oleh Soleha. Katanya, dia masih mampu untuk melakukan kerja-kerja rumahtangga dan tidak perlu membazirkan wang. Tidak molek kiranya ada wanita yang bukan ajnabi tinggal serumah bersama mereka.

Hanafi menarik nafas dalam sambil memejam rapat matanya. Dia tahu dirinya sedang diuji dengan dugaan yang maha hebat. Allah SWT telah mengurniakan isteri yang cukup sempurna di matanya. Dia bersyukur. Dia bangga memiliki isteri semulia Soleha. Mulus wajahnya, telus jiwanya, lembut tutur dan tingkahnya. Segala impian seorang lelaki pada setiap wanita ada pada Soleha.

Dia cukup bahagia dari saat mata bertentangan sehingga kini. Namun kebahagiaannya teruji dengan keguguran zuriat sulungnya beberapa tahun yang lalu. Kini dia diuji lagi dengan penderitaan Soleha pula. Cukup menyiat-nyiat sekeping hati lelakinya. Dia tidak betah melihat kesakitan yang ditanggung Soleha hari demi hari. Jika boleh dipindahkan sakit itu kepadanya, dia rela menanggung.

Tubir matanya hangat. Soleha seorang yang lembut dan tabah namun dalam diam terselit sedikit degil. Sudah acapkali dia menyuruh Soleha berehat saja di rumah. Dia bimbang tentang kesihatan isterinya itu. Dia tidak mahu Soleha terlalu banyak bergerak. Itu amat bahaya buat dirinya. Namun dia hampir terlupa Soleha seorang yang tabah dan degil. Akhirnya dia akur, dia mengalah. Dia hanya mengikut saja rentak Soleha. Demi menjaga hati isterinya itu. Demi tidak mahu melihat senyuman manis Soleha pudar dari wajahnya.

“Abang? Dah lama ada di situ?” Tanya Soleha.

Hanafi tersentak. Cepat-cepat menyeka air jernih yang sudah bergenang di tubir matanya sambil mengukir senyuman manis serta-merta.

“Baru saja lagi. Leha buat apa tu? Bukan ke abang dah pesan jangan buat kerja-kerja ni semua?” Soal Hanafi pula.

“Ala, sikit aja. Bukan teruk pun,” jawab Soleha bersama senyuman manis di bibir.

“Memanglah tak teruk. Tapi bukankah doktor suruh Leha jangan banyak bergerak?” Hanafi tidak berpuas hati dengan alasan yang diberi oleh Soleha itu.

“Sikit aja. Abang jangan risaulah ya. Duduklah, nanti Leha hidangkan sarapan,” Soleha cepat-cepat mengalih topik perbualan.

“Hmm, Leha masak apa? Sedap bau ni?”

Soleha hanya tersenyum manis lalu melangkah perlahan menuju ke ruang dapur basah. Sudah lama dia tidak memasak makanan kegemaran suaminya ini. Kueytiow goreng yang masih panas itu dikaup berhati-hati ke dalam mangkuk besar. Jemarinya mencapai bawang goreng lalu ditabur mesra penuh kasih ke atas kueytiow goreng itu. Pelahan dia menatang mangkuk besar itu ke ruang makan.

“Wau, kueytiow goreng! Patutlah bau sedap sampai ke atas,” Hanafi menyambut mangkuk besar itu dan meletakkannya di atas meja. Senyuman lebar Soleha dibalas mesra.

“Your favourite food. Dah lama abang tak makan, kan?” Soleha menjeling manja.

“Terima kasih sayang. Susahkan Leha aja buat semua ni untuk abang,” ucap Hanafi sambil mencuit hidung Soleha membuat isterinya itu tergelak kecil.

“Tak susah pun bang, dah lama Leha tak masak untuk abang, kan? Apa salahnya hari ini Leha masakkan? Lagipun, bukan lama lagi Leha boleh masak untuk abang. Tengah ada peluang ni, Leha gunalah sebaik mungkin,” kata Soleha sedikit sayu.

“Kenapa Leha cakap macam tu? Abang tak suka dengarlah,” kata Hanafi. Memang dia tidak suka mendengarnya. Kerana kata-kata itu telah mengundang sebak yang bukan sedikit.

Soleha mengorak senyum menutup rasa bersalah dalam diri. Bukannya dia tidak nampak perubahan air muka suaminya itu tadi. Berdosa pula rasanya menukar mood suaminya yang elok ceria dari tadi.

“Maafkan Leha,” ujarnya perlahan.

“Hmm, Leha tak salah apa-apa. Sudahlah, jom kita makan,” ajak Hanafi.

Dia hanya membiarkan Soleha melayannya dengan mesra. Sudah lama dia tidak dimanjai sebegini. Sudah terlalu lama. Dia sangat merindui detik-detik ini. Sebolehnya Hanafi ingin merakam segala keceriaan dan kemesraan ini. Dia amat pasti detik ini tidak akan kekal. Bila mengingatkan itu, hatinya tersayat pilu. Namun, dia cuba tanamkan sedalam-dalamnya kesedihan itu agar Soleha tidak perasan akan rawan hatinya.



***


Setelah memakir keretanya, Hanafi mengatur langkah menuju ke perut lif untuk sampai ke tingkat empat bangunan PERKIM. Sebagai kakitangan PERKIM, Hanafi sangat dihormati orang-orang di sekelilingnya. Bukan saja kerana pekertinya malah kerana senyuman manisnya yang tidak pernah lekang dari bibir berkumis nipis itu. Wajah tampannya yang bersih dan tenang bisa menyejukkan mata sesiapa saja yang memandangnya.

“Assalamualaikum ustaz,” tegur salah seorang rakan sekerjanya yang bernama Zakri.

Kebetulan mereka bertembung semasa dia hendak melangkah keluar dari perut lif. Dengan senyuman manis Hanafi menjawab lembut salam yang dihulurkan oleh Zakri.

“Sudah sarapan? Jika belum, marilah makan bersama saya ustaz,” pelawa Zakri.

“Oh, terima kasih saja Ustaz Zakri. Saya sudah bersarapan di rumah tadi,” Hanafi menolak lembut.

Zakri tersenyum lebar sambil mengangguk perlahan lalu berpamitan dengan Hanafi untuk pergi bersarapan.

Hanafi meneruskan langkah ke pejabatnya. Dia meneliti jadual tugasnya hari ini. Kelas Aqidah yang diajarnya bermula pada pukul sepuluh pagi. Jadi dia harus bersiap sedia. Bukan senang hendak membetulkan akhlak saudara baru dan membentuk aqidahnya. Perlukan kesabaran yang sangat tinggi. Namun dia berbangga dengan sikap saudara-saudara baru yang mengikuti kelasnya itu. Sangat tekun dan komited tentang agama baru yang mereka anuti iaitu agama Islam, agama paling suci dan indah.

Hanafi meneliti senarai nama pelajar yang mengikuti kelasnya. Masih sama dan tiada penambahan. Fail yang menimbun di atas meja dibelek satu-persatu. Dia melambai ke arah teman sekerjanya Ustaz Malik, yang kebetulan lalu di situ.

“Assalmualaikum ustaz,” tegur Malik dengan wajah yang ceria.

“Walaikumusalam Ustaz Malik,” jawab Hanafi lembut sebaik saja Malik melabuhkan punggung di hadapannya. Wajah bersih sahabatnya itu ditatap.

“Sudah makan ustaz?” Tanya Malik.

“Alhamdulillah, sudah makan di rumah tadi,” jawab Hanafi sambil mengangguk.

“Oh, isteri masakkan? Bertuahnya badan…,” usik Malik.

Hanafi tergelak kecil. Sedikit tersipu dengan pujian dari Malik itu.

“Apa khabar dia sekarang? Ada perubahan?” Tanya Malik lagi.

“Masih begitu. Malah makin teruk rasanya,” jawab Hanafi tenang.

“Bersabarlah ustaz. Allah menghendaki begitu. Terima dengan reda. Tapi kita sebagai hambaNya tetap juga kena berusaha ya. Jangan menyerah kalah,” nasihat Malik memberi semangat kepada Hanafi.

“InsyaAllah ustaz, setakat ini kesabaran saya masih utuh. Memang ini adalah ujian Allah buat saya ustaz. Saya reda,” Hanafi tersenyum nipis.

“Alhamdulillah. Bertuah isteri ustaz memiliki suami begini,” Malik juga turut tersenyum nipis.

Sekali lagi Hanafi tersipu. Dia tidak betah bila dipuji secara berdepan begini. Hanya tawa kecil yang bermain di bibirnya. “InsyaAllah, selagi saya masih suami dia, selagi itulah saya tidak akan abaikan tangunggjawab saya pada dia ustaz,” kata Hanafi penuh yakin.

“Alhamdulillah. Baguslah jika begitu ustaz. Sokonglah dia. Saat-saat begini isteri ustaz sangat memerlukan sokongan. Terutama dari suaminya sendiri,” Malik mengangguk. Dia sangat bersetuju dengan kata-kata sahabatnya itu.

“InsyaAllah. Terima kasih ustaz kerana nasihat itu.”

“Sama-sama. Kita ni mesti saling ingat-mengingati. Banyak-banyakkan bersabar ya ustaz.”
“InsyaAllah.”

“Hmm, okeylah, saya nak bersarapan dulu. Betul ustaz tak nak ikut ni?” Tanya Malik lagi.

“Tidak, terima kasih,” Hanafi menolak lembut sambil tersenyum.

Dia bersandar di kerusinya sambil menyoroti langkah perkasa Ustaz Malik. Masih segak walaupun sudah berumur empat puluhan. Wajah yang bersih itu tidak jemu bagi sesiapa saja yang memandang.