Cintaku 100% 20

“Mei Hua! Mei Hua!” Laung Patrick Lau memanggil nama isterinya. Melilau matanya mencari kelibat Nyonya Mei Hua.

“Oii, wa di sinilah!” Sayup-sayup suara itu kedengaran dari arah belakang rumah.

Patrick Lau menapak laju. Tidak lain tidak bukan isterinya itu sedang membelek bunga-bunga tanamannya.

“Lu apa bikin panas-panas begini? Masuk!” Arah Patrick Lau kasar.

“Haiyaa… mana ada panas, sekarang sudah petang. Bukan lu tak tau wa memang ada di sini setiap petang,” tukas Nyonya Mei Hua.

“Masuk! Bikin air sama wa,” arah Patrick Lau tegas.

“Suruh bibiklah, wa sibuk,” jawab Nyonya Mei Hua sambil lewa.

“Eh, lu isteri wa tau, tugas lu layan wa!” Marah Patrick Lau.

Sudahlah hatinya panas dibuat Cassandra, bila balik rumah tidak dilayan oleh isterinya pula. Hati yang membara bertambah marak jadinya.

“Oh, isterikah?” Nyonya Mei Hua tergelak sinis.

“Masih ingat wa isteri lu kah? Ingatkan sudah lupa siapa wa,” sindir Nyonya Mei Hua bersahaja.

“Lu jangan bikin wa punya darah panas tau!” Patrick Lau memberi amaran.

Nyonya Mei Hua tidak mahu meneruskan perbalahan antara dia dan suaminya lalu segera masuk menyediakan minuman untuk Patrick Lau. Dia tahu tiada gunanya bertikam lidah dengan lelaki yang panas baran seperti Patrick Lau itu.

“Wa mahu tanya lu sesuatu. Lu mesti jujur sama wa tau?” Kata Patrick Lau sebaik melabuhkan punggungnya.

Nyonya Mei Hua tidak menyahut atau memberi sebarang reaksi. Dia hanya meletakkan jus oren di atas meja.

“Lu dengar tak apa wa cakap?!” Patrick Lau menyergah Nyonya Mei Hua saat melihat isterinya itu tidak memberi sebarang reaksi malah berkira-kira hendak melangkah meninggalkannya termangu sendirian.

“Haiyaa… boleh tak lu jangan tengking-tengking wa? Mahu wa mati cepatkah?” Nyonya Mei Hua mengurut perlahan dadanya kerana disergah tiba-tiba.

Patrick Lau tidak mengendahkan kata-kata isterinya itu. Dia merengus kasar.

“Lu tau anak lu bersama siapa sekarang?” Soal Patrick Lau keras.

Matanya tunak ke wajah Nyonya Mei Hua.

“Hah?” Nyonya Mei Hua terpinga.

“Lu tahukah Cassandra anak kesayangan lu itu berkawan sama siapa sekarang?” Patrick Lau menekan sedikit suaranya dan mengulangi soalannya semula.

“Sama siapa?” Tanya Nyonya Mei Hua kembali. Pelik pula soalan suaminya ini.

“Lelaki Melayu. Dia bercinta sama lelaki Melayu!” Bentak Patrick Lau geram. Terasa darahnya menyirap ke muka.

“Apa salahnya?”

“Tidak salah lu bilang? Eh, wa tidak suka tau! Lelaki itu sudah tentu beragama Islam.”

Nyonya Mei Hua terdiam seketika. Sedikit terkejut dengan berita itu. Namun sebagai ibu dia yakin dan percaya dengan pilihan hati Cassandra.

“Wa sudah suruh budak wa pergi siasat siapa lelaki itu,” sambung Patrick Lau bila melihat isterinya terdiam. Suaranya juga mula mengendur.

“Haiyaa… biarlah sama dia. Asalkan dia pandai jaga diri sudahlah. Kita tak perlu masuk campurlah,” tukas Nyonya Mei Hua.

“He’s married…,” ujar Patrick Lau perlahan seolah-olah bercakap dengan dirinya saja. Namun kata-katanya itu dapat didengar oleh Nyonya Mei Hua.

“Lu bilang apa?” Soal Nyonya Mei Hua tidak berpuas hati.

Patrick Lau merenung Nyonya Mei Hua. Pasti isterinya kecewa bila mendapat tahu akan hal ini. Dia juga turut merasakannya bila mula-mula Jimmy Yap menghantarkan laporan siasatannya pagi tadi.

“Lu bilang apa tadi?” Nyonya Mei Hua mengulang soalan yang sama dengan nada sedikit keras.

“Lelaki itu sudah berkahwin!”

Membulat mata Nyonya Mei Hua mendengarnya. Cassandra bercinta dengan suami orang? Tidak mungkin! Dia kenal sangat siapa Cassandra. Dia hadam benar dengan prinsip hidup anaknya itu. Cassandra tidak akan sekali-kali menganggu rumahtangga orang.

“Anak kesayangan lu itu sudah menjadi seorang perampas! Kacau rumahtangga orang lain!” Bentak Patrik Lau geram.

Geram dengan sikap degil anaknya itu. Sudahlah menolak untuk mewarisi perniagaannya, bercinta pula dengan lelaki Melayu yang terang-terang beragama Islam. Dia tidak suka!

“Tipulah! Cassandra tidak begitu. Lu jangan fikir bukan-bukanlah,” nafi Nyonya Mei Hua. Dia tidak percaya Cassandra bercinta dengan suami orang.

Patrick Lau tersenyum sinis.

“Suatu hari dia pasti mengikuti agama lelaki itu kerana mahu berkahwin. Lu tengoklah nanti. Itu jam, lu jangan menangis-nangis depan wa tau!”

“Lu tak baik tuduh anak kita begitu. Lu ada buktikah?” Marah Nyonya Mei Hua.

“Wa sedang kumpul bukti. Nanti wa kasi tahu sama lu.”

“Haiyaa… wa tidak percayalah,” Nyonya Mei Hua mengurut-ngurut dadanya. Perkhabaran ini benar-benar menyesakkan nafasnya.

“Lu dengar sini, wa mahu lu awasi anak kesayangan lu itu, faham?” Arah Patrick Lau dengan tegas.

“Haiyaa… bukan senanglah. Dia sudah tidak tinggal sama kita. Ini semua lu punya pasal!” Marah Nyonya Mei Hua lagi.

“Salah wa? Lu punya anak yang degil dan kurang ajar tau?” Sanggah Patrick Lau pula.

“Lu sudah pukul sama dia. Lu sangat kejam taukah? Anak kita cuma satu orang saja tau. Apa salahnya lu ikut saja kemahuan dia? Lagi lu keras, lagilah dia degil. Semua ikut lu punya perangai. Sekarang apa sudah jadi? Dia sudah tinggalkan rumah ini, tinggalkan wa. Wa sangat sunyi. Lu apa tau? Lu buat rumah ini macam hotel saja. Langsung lu tak peduli sama wa. Wa sangat sakit hati lu tau kah?” Nyonya Mei Hua menangis sambil melepaskan apa yang terbuku di hatinya selama ini. Baginya Patrick Lau perlu disedarkan dari kesilapannya.

Patrick Lau terdiam mendengar curahan perasaan isterinya itu. Apa benar selama ini terlalu banyak kesalahannya? Dia berniaga, bukannya keluar berfoya-foya dengan perempuan lain. Dia mengumpul harta demi kesenangan anak dan isterinya.

“Eh, wa cari duit tau? Kasi lu anak-beranak senang. Ada harta,” kata Patrick Lau cuba mempertahankan kebenaran.

“Apa guna harta kalau kita semua kurang kasih sayang hah? Apa guna duit banyak tapi hari-hari hidup sunyi? Wa tidak salahkan Cassandra memilih seni dalam hidup dia. Sekurang-kurangnya wa tau dia sangat gembira dengan apa yang dia pilih.”

“Sampai bila?”

“Lu jangan pandang rendah dengan bakat anak kita tau!” Bentak Nyonya Mei Hua lalu bangun dan melangkah kasar.

Geram dengan sikap bangga diri suaminya itu. Dia tidak mahu bertikam lidah lagi. Baginya tiada guna bercakap dengan manusia yang suka mementingkan diri seperti Patrick Lau itu.

“Oii, wa belum habis lagi!” Patrick Lau bercekak pinggang sambil membentak geram.
Geram dengan sikap isterinya yang tidak menghormati dirinya sebagai suami. Dia merengus kasar. Telefon bimbitnya dikeluarkan dari poket seluar. Mendail nombor Jimmy Yap.

“Hello, uncle?”

“Watch them!” Talian itu dimatikan segera. Dia tersenyum sinis.

0 Suara Merdu Anda:

Post a Comment