Akulah Cinderella 7

Aku terkebil-kebil di dalam gelap. Lebih kurang seminggu lagi genaplah tempoh yang diberi oleh anak menantu Pak Haji Yahya. Apalah yang harusku lakukan? Di manalah hendakku heret adik-adikku ini? Aku tidak mahu membebankan otak mereka. Alia dan Ain masing-masing akan menduduki peperiksaan tahun ini. Seorang PMR dan seorang lagi UPSR. Aku ingin melihat mereka berjaya. Jika tidak sia-sialah pengorbananku berhenti sekolah demi menyara mereka. Ibu, ayah kenapa secepat ini tinggalkan kami? Syah tak boleh nak pikul tugas ayah. Berat sangat ayah tahu tak? Tak tertanggung dek badan Syah ni ayah. Syah teringin nak belajar lagi. Syah nak ambil SPM. Nak masuk universiti macam ibu harapkan. Tapi kenapa tinggalkan Syah secepat ini?

Ayah tahu, anak menantu Pak Haji Yahya dah halau kami. Mana kami nak pergi ayah? Syah tak mampu nak sewa rumah. Nak makan pun kadang-kadang tak cukup. Syah sayang pondok buruk kita ini ayah. Ini hasil kerja ayah bukan? Walaupun kecil dan sempit, walaupun buruk dan hodoh ia tetap syurga bagi kami ayah. Ayah tahu, atap dapur dah bocor. Kalau hujan lebat, Alia akan tadah dengan besin. Dinding tepi pintu pun sudah reput ayah, makan dek anai-anai. Syah tak ada duit nak ganti itu semua. Duit gaji Syah hanya cukup untuk tanggung persekolahan adik-adik. Baju mereka pun Syah tak mampu nak ganti. Apa kata oranglah. Ada orang bagi dapatlah mereka merasa.

Ibu, ibu tahu tak, Syah ada simpan duit sikit. Adalah dalam RM50.00 sebulan. Itu untuk kecemasan. Tapi sebenarnya, Syah simpan duit itu untuk menampung perbelanjaan Alia nanti. Mana tahu dia dapat masuk universiti seperti ibu mahukan. Dapat juga duit itu Syah guna beli keperluan dia. Kalau ikut perkiraan Syah, duit itu tidaklah sebanyak mana kalau disimpan sampai Alia habis SPM nanti. Tapi dari tiada, lebih baik ada sikitkan ibu?

Aduhai, kenapalah nasibku begini. Sedih dan malang. Perlahan airmataku menitis di dalam gelap pekat. Hanya ini sajalah yang mampu lakukan, menangis berseorangan. Melepaskan apa yang terbuku di dada. Aku mengeluh perlahan. Cuba memejamkan mata.


*******************


Petang sabtu, aku lebih suka melepak di rumah saja. Hendak ke mana pun? Duit bukannya ada. Lebih baik tolong Alia bersihkan halaman rumah. Biar dia berehat pula. Biar dia menghabiskan masa dengan menelaah buku pelajarannya. Sedang aku asyik menyapu daun-daun kering, datang sebuah kereta berhenti di halaman rumahku. Hatiku berdebar-debar. Adakah ini anak menantu Pak Haji Yahya? Tidak mungkin. Tempoh yang diberi masih ada bersisa. Lagipun kereta yang dinaiki juga lain.

“Assalamualaikum.”

Tok Mat si ketua kampung keluar dari perut kereta bersama tiga orang manusia yang tidakku kenali. Seorang lelaki dan dua orang wanita.

“Walaikumsalam.”

“Aisyah apa khabar?”

“Baik Tok. Apa hal?”

“Oh, ada hal sikit ni Aisyah, boleh kami masuk?”

“Ya, ya silakan. Masuklah.”

Aku dengan ramah-tamahnya menjemput mereka. Penyapu lidi aku letakkan di tepi tangga kayu. Melangkah naik, diikuti keempat-empat manusia tadi.

“Duduklah.”

Mereka akur sambil mata meliar memandang sekeliling rumahku.

“Begini Aisyah, mereka ni dari Jabatan Kebajikan Masyarakat.”

Aku melongo. Otakku cuba mencerna apa yang dimaksudkan oleh Tok Mat tadi. Mereka dari JKM? Adakah mereka ingin mengambil adik-adikku?

“Saya Borhan, ini puan Jamilah dan itu pula puan Hamidah,” terang lelaki separuh umur itu.

“Apa khabar? Saya Aisyah.”

Aku tersenyum manis tapi jantungku berdegup kencang. Adik-adikku yang lain juga sudah duduk di sebelahku.

“Begini ya Aisyah, kami difahamkan kamu semua ni tiada penjaga yang sah, bukan?”

Puan Hamidah bertanya lembut. Terserlah sifat keibuan wanita itu. Aku hanya mengangguk lemah. Telahanku benar belaka.

“Dan kamu semua juga masih di bawah umur, bukan?”

Aku mengangguk lagi.

“Siapa yang paling tua di sini? Aisyah ya?”

Encik Borhan pula bersuara. Aku hanya tersenyum hambar.

“Berapa umur Aisyah?”

“Tahun ini 17 tahun encik.”

Dia menganggukkan kepala lalu memandang rakan sekerjanya yang lain. Aku mengerling ke arah Tok Mat. Ketua kampung itu hanya tertunduk. Merenung tikar getah yang sudah dimamah usia.

“Jadi Aisyah juga masih di bawah umurlah?”

Soal puan Jamilah pula. Aku hanya mengangguk.

“Masih bersekolah?”

“Semua masih bersekolah kecuali saya.”

“Kamu berhenti sekolah?”

“Ya puan. Saya bekerja untuk menyara mereka.”

Mereka semua merenungku dengan pandangan sayu. Simpati barangkali.

“Begini ya Aisyah, kami terpaksa membawa kamu semua ke rumah anak-anak yatim. Ini semua untuk keselamatan dan masa depan kamu juga. Biar kami uruskan semuanya. Lagipun, Aisyah perlu bersekolah semula.”

Aku tahu, memang aku ingin belajar kembali. Tetapi keadaan telah memaksa aku melupakan hasratku itu.

“Mengikut akta kanak-kanak, wanita dan keluarga, kami tidak boleh membiarkan remaja yang masih di bawah umur seperti kamu keluar bekerja. Ini salah di sisi undang-undang.”

Terang encik Borhan pula. Apa yang harusku katakan? Bukannya aku arif sangat pasal undang-undang negara Malaysia ini.

“Tak ada alternatif lain ke encik?”

“Ada. Jika kamu boleh mencari penjaga yang sah dan mereka itu berkelayakan menjaga dan melindungi kamu semua, kamu tidak perlu mengikut kami.”

“Aisyah ada saudara-mara sebelah ibu atau ayah?”

Soal Tok Mat setelah lama berdiam diri. Aku berkira-kira. Sebelah ayah sudah tiada siapa, ayah hidup sebatang-kara. Ibu pula hanya ada maklong Salimah. Itu pun dia berada di Jakarta mengikut suaminya ke sana. Aku hanya mampu tertunduk. Airmata mula bergenang di tubir mata. Aku harus bertahan. Aku tidak boleh menunjuk kelemahanku. Biar mereka lihat aku seorang yang tabah. Aku sendiri boleh menjaga adik-adikku.

“Beginilah Aisyah, kami beri masa seminggu untuk kamu berfikir. Jika ada orang yang sanggup menjaga kamu, kami akan pertimbangkan.”

Aku hanya mengangguk tanda faham. Senyuman di bibir juga sudah tidak semanis mana. Seminggu bukannya lama. Mereka meminta diri untuk pulang. Aku menghantar mereka dengan wajah sayu dan fikiran berkecamuk. Perlahan-lahan kereta mereka itu merangkak keluar dari halaman rumah. Aku mengeluh berat. Berpaling dan memandang Alia serta adik-adiku yang lain. Jelas sekali di wajah mereka keruh dan mendung.

“Macam mana ni Kak Syah?” Soal Alia cemas.

“Kak Syah, Aida tak mahu duduk rumah anak-anak yatim. Aida nak duduk sini.”

“Best apa rumah anak yatim, ada ramai kawan,” sampuk Azah.

Aku hanya tersenyum kecil. Dia masih belum mengerti apa-apa. Aku melabuhkan punggung di atas bendul. Kalau arwah ibu nampak, pasti bising mulutnya. Anak dara tidak elok duduk atas bendul katanya. Nanti lambat ketemu jodoh. Benarkah? Tapi siapalah yang mahu padaku? Bukannya ada kelebihan pun, kekurangan banyaklah.

“Kak Syah kat mana rumah anak-anak yatim tu?”

Soalan Ain membuat lamunanku terhenti. Sempat pula aku bermenung di saat-saat genting begini.

“Entah, Kak Syah pun tak tahu.”

“Habis tu macam mana? Kak Syah setuju ke kita tinggal kat sana? Aida tak mahulah.”

“Haah Kak Syah. Buatnya ada keluarga angkat yang nak ambil Azah dan Aiman macam mana? Kita terpaksa berpisah ke?”

Soalan Alia membuatku tersentak. Tak terfikir pula aku. Ya, macam mana kalau itu yang berlaku? Sanggupkah aku berpisah dengan mereka semua? Tegakah aku membiarkan adik-adikku hidup di dalam keluarga yang asing? Jika mereka didera macam mana? Dan macam mana pula jika kami semua tidak akan bertemu lagi? Tak mahulah aku! Aimanlah yang paling kecil di sini. Dia tidak mengerti apa-apa. Percaturan hidupnya menjadi tanggungjawab aku.

“Nantilah Kak Syah fikir. Korang jangan risau. Tahulah Kak Syah nanti okey?”

Aku cuba mententeramkan hati adik-adikku yang sudah gundah-gulana. Biarlah masalah ini aku yang tanggung sendiri. Semoga nasib yang baik akan menyebelahi kami berenam. Aku akan berusaha mempertahankan nasib mereka. Itu memang tugasku.

1 Suara Merdu Anda:

Post a Comment