Melankolik Cinta Cassandra 11

Sekejap dia mengiring ke kiri, sekejap ke kanan, kemudian dia baring telentang pula, semuanya tidak kena. Cassandra resah. Dari tadi dia cuba melelapkan matanya tetapi sukar. Terasa tubuhnya berbahang. Dia mengerling ke arah penghawa dingin di biliknya. Nak kata rosak, elok saja. Tapi kenapa dia sukar untuk tidur? Biliknya terasa meruap-ruap.

Cassandra termenung. Di fikirannya asyik terlintas mimpi-mimpi yang sering menganggu lenanya. Adakah kerana mimpi itu dia tidak boleh lelap? Sejak dia mengalami mimpi yang sama setiap malam, jiwanya semakin tidak tenang. Cassandra mengeluh. Dia melihat jam di dinding. Baru jam sebelas malam. Memang dia cuba masuk tidur lebih awal hari ini kerana terasa sakit kepala. Malangnya, dia tidak boleh tidur pula.

Cassandra mencapai telefon bimbitnya. Jemarinya ligat menaip mesej kepada Soleha tanpa menghiraukan malam yang semakin larut. Dia tahu Soleha pasti boleh menolongnya. Tidak perlu menunggu lama, mesejnya dibalas oleh Soleha. Walaupun dia tidak tahu mengapa Soleha yang dicari, namun dia pasti wanita itu ada jawapan yang dia mahukan. Malah bukan itu saja, melihat wajah lembut dan tenang wanita itu saja sudah cukup mendamaikan hatinya. Apa lagi mendengar tutur bicara Soleha yang lembut dan tertib. Memang selayaknya wanita itu bergelar ustazah.

Mengimbas kembali perbualannya dengan Soleha di taman permainan kanak-kanak dahulu mengundang senyuman halus di bibir mungilnya.

“Mengapa tidak mengikut agama ayah atau ibu Cassandra?” Soleha bertanya pelik.

“Entahlah kak. Mungkin sebab saya tidak percaya adanya Tuhan?” Jawab Cassandra selamba.

“Mengapa Cassandra tidak mempercayainya?” Kali ini soalan Soleha lebih kepada rasa ingin tahu. Dia bagaikan tertarik dengan jawapan selamba Cassandra itu tadi.

“Sebab tidak nampak. Mengapa kita hendak percaya pada sesuatu yang kita tidak nampak kak? Kak Soleha nampak Tuhan akak?” Tanya Cassandra sinis.

“Tak nampak… tapi akak tahu Dia wujud,” jawab Soleha sambil tersenyum.

“Macam mana akak tahu?” Cassandra pula bertanya pelik. Hairan juga dia, sekejap kata tak nampak, sekejap kata wujud pula.

Soleha menunjuk ke dadanya. Pada mulanya dia memang tidak memahami apa yang cuba Soleha sampaikan. Sangkanya Soleha ingin menyatakan Tuhannya ada di dalam hati. Tetapi ternyata telahannya meleset.

“Iman,” kata Soleha penuh yakin.

“Iman?” Wajah Cassandra berkerut.

“Percaya kepada Tuhan itu adalah rukun iman yang pertama,” tutur Soleha dengan jelas. Wanita itu ketawa bila melihat wajahnya berkerut tanda tidak memahami.

“Tidak mengapa Cassandra, tidak perlu berkerut-kerut kening begitu. Nanti senang-senang akak akan ceritakan ya?”

Dan perbualan mereka terputus begitu saja bila Soleha mohon mengundur diri. Jika terjadi sekali lagi pertemuan antara dia dan Soleha nanti, akan dipintanya supaya Soleha menyambung persoalan mengenai Tuhan yang dipercayai oleh wanita itu. Selama ini dia sudah mengkaji sejarah dan menganalisa tentang agama yang dianuti ibu dan ayahnya. Namun masih tiada yang bisa menjentik perasaannya untuk menganuti setiap agama itu.

Pernah dia terlintas tentang Islam. Namun ada pendapat yang mengatakan Islam itu agama pengganas. Islam itu kolot dan tidak maju. Malah dia sendiri tidak berminat untuk mengetahui lebih lanjut dan tidak mahu ambil pusing. Biarkanlah. Selagi tidak ada kena mengena dengan kehidupannya, dia menganggap penganut agama Islam adalah rakyat biasa yang tiada kelebihan. Sama seperti penganut agama-agama lain. Apa yang dia tahu, dia tidak mempercayai satu apa pun agama dan dia senang dengan cara begini.


***


“Siapa tu Leha?” Soal Hanafi. Siapa pula yang bersms dengan isterinya malam-malam begini? Hanafi pelik.

“Oh, Cassandra bang,” Soleha tersenyum manis sambil melabuhkan punggungnya di sisi Hanafi. Dia meletakkan semula telefon bimbitnya di meja kecil bersebelahan katil. Wajah tenang suaminya itu direnung penuh kasih.

“Cassandra mana pulak ni? Abang tak pernah dengar pun?” Tanya Hanafi sambil berkerut kening.

“Ala abang ni, lupalah tu. Ingat tak dulu Leha ada cerita pasal seorang gadis free thinker yang Leha jumpa masa kat taman depan rumah tu? Ala, amoi yang fasih cakap Melayu tu?” Soal Soleha kembali sambil tersenyum manja.

“Yang mana? Tak ingatlah sayang….”

“Ala, yang dia tanya Leha pasal ketuhanan tu? Kan Leha ada cerita pada abang?” Soleha cuba berusaha mengingatkan Hanafi.

“Oh, yang tu ke? Ingat-ingat. Kenapa dia sms Leha malam-malam ni? Ada apa-apa ke?” Hanafi bertanya sambil menyangkut tasbih di kepala katil.

“Entahlah, dia nak jumpa. Ada hal katanya,” jawab Soleha jujur.

“Bila tu?”

“Esok. Kat taman depan rumah ni.”

“Leha larat ke? Ajak dia ke rumah ajalah. Lebih selesa dan tak panas,” Hanafi memberi cadangan.

“Boleh ke bang? Abang izinkan?” Soleha bertanya ceria. Lagi bagus!

“Ya sayang, abang izinkan. Daripada abang risaukan Leha, lebih baik berjumpa di rumah saja. Demi kebaikan Leha jugak, kan?” Kata Hanafi sambil mencubit lembut pipi Soleha.

Soleha tergelak manja. Kemudian mengangguk tanda setuju.

“Pukul berapa?” Soal Hanafi lagi.

“Pukul empat katanya. Tapi, abang belum balik lagi. Kalau tak, boleh Leha kenalkan dia pada abang.”

“Eh, kenapa nak kenalkan dia pada abang pulak?” Hanafi bertanya polos. Rasanya tidak perlulah untuk dia berkenalan dengan gadis itu.

Soleha tersenyum meleret lalu tangannya menepuk-nepuk bantal. Tanpa berlengah dia merebahkan tubuhnya yang lesu itu. Pandangan mereka bertemu.

“Tidurlah bang, esok nak kerja. Tutupkan lampu please?” Pinta Soleha tanpa menjawab soalan Hanafi.

Hanafi tersenyum penuh makna. Satu kucupan singgah di dahi Soleha. Kemudian dia mengelus lembut pipi mulus isterinya itu. “Abang sayang Leha tau,” ucapnya penuh romantis.

“Leha tahu,” Soleha tergelak kecil. Renungan cinta suaminya itu dibalas lembut.

“Tiada siapa yang boleh gantikan Leha di hati abang tau,” ucap Hanafi lagi. Kali ini lebih lembut dari tadi.

“Leha tahu.”

“Walau bidadari syurga turun sekalipun, cinta abang pada Leha tetap utuh dan tak akan goyah.”

“Terima kasih bang, Leha pun sayangkan abang juga,” ucap Soleha pula. Ada sedikit getar pada suaranya.

“Sama-sama kasih sayang,” mereka tergelak bahagia.

Tanpa berlengah Hanafi menutup suis lampu.


2 Suara Merdu Anda:

Farah & Najwa said...

next plezz.....xsbr2 nk tau slnjutnye....=)

Anonymous said...

ermmm...menarik...x sabar nk tau entry setrusnya...smbung cpat ye...hehe

Post a Comment