Kerana Sebuah Janji 3

Balqis merenung sayu wajah temannya itu. Murung dan agak pucat kebelakangan ini. Lepas satu, satu masalah yang bertamu.

“Dahlia, makanlah. Dari tadi nasi kau tu tak berusik.”

Dahlia mengalih pandangannya ke wajah Balqis, teman sekampusnya. Senyum hambar terukir.

“Kan aku cakap tadi tak nak makan, kau paksa juga.”

“Makanlah sikit Lia, aku risaulah tengok kau macam ni. Kang sakit lain yang datang pulak. Makan ya?”

“Aku okeylah. Tak payah risau-risau.”

“Okey apanya? Pucat aja muka kau. Nasib baiklah dah semulajadi cantik. Kalau tak, mahu rupa zombie kot.”

Mereka sama-sama tergelak.

“Teruklah kau ni. Tak ada maknanya cantik. Kau lagi cantik dari aku.”

“Well, tu aku memang dah lama tahu dah.”

Dahlia mencebik.

“Hii.. perasannya.!!”

Balqis tergelak besar. Akhirnya berjaya juga dia membuat Dahlia tertawa. Tak sanggup rasanya melihat wajah yang lembut itu bemurung.

“Eh Qis, kau dah siapkan assignment yang cik Mariani suruh buat tu?”

“Baru separuh. Kau?”

“Aku belum buatlah. Kalau kau dah siap, aku ingat nak pinjam kejap.”

“Eh, tak ada, tak ada. Buat sendiri. Jangan nak tiru aku.”

“Aku bukan nak tiru. Nak tengok formatnya aja. Kedekutlah kau ni.”

“Bukan kedekut Lia, cik Mariani andalusia tu dia mesti tahu punya.”

Dahlia mengetuk-ngetuk jemarinya di meja kafeteria itu.

“Makanlah cepat Lia, kang ada kelas lagi.”

“Aku tak lalulah.”

“Nak saya suapkan ke?”

Dahlia dan Balqis tersentak. Serentak mereka berpaling ke arah empunya suara. Adam tersenyum manis. Dahlia diam. Seperti biasa dia cuba merendahkan pandangan.

“Adam, buat apa kat sini? Tak ada kelas ke?”

“Baru habis. Boleh join?”

“Err..”

Balqis merenung Dahlia. Gadis itu memberi isyarat mata supaya menolak. Namun baru sahaja Balqis ingin membuka mulut, Adam sudah melabuhkan punggungnya di sebelah Dahlia.

“Kenapa awak tak lalu makan?”

Adam merenung wajah tenang itu. Sedikit terganggu dengan kehadirannya mungkin.

“Sakit ke?”

Dahlia hanya menggeleng perlahan.

“Balqis, kawan kau ni bisu ke?”

Balqis tergelak. Dah tahu sangat dengan perangai Dahlia. Gadis itu tidak akan sewenang-wenangnya berbual dengan lelaki. Malah dia belum pernah melihat Dahlia berbual mesra dengan mana-mana lelaki. Sedangkan dia tahu. Dahlia cukup ramai peminat di kolej ini. Saban hari ada saja yang berkirim salam kepada gadis itu.

“Hai Qis, kau pun bisu juga?”

Balqis tersentak. Terpinga-pinga bila Adam memetik jari di depan matanya. Bibir mungil Dahlia mengelopak senyuman tipis. Adam terpesona.

“Cantik senyuman awak Dahlia. Kalau senyum begitu hari-hari kan bagus.”

“Apa yang bagusnya?”

Balqis menduga. Sudah dapat menebak apa yang ada di dalam hati lelaki itu. Adam Firdaus, salah seorang pelajar lelaki yang tidak pernah jemu berkirim salam kepada Dahlia. Lelaki yang tidak mudah putus asa. Memiliki gaya dan ketampanan yang sering di angan-angan oleh gadis-gadis remaja. Senyuman yang dihiasi lesung pipit sebelah kiri menambah faktor kenapa lelaki ini digilai pelajar-pelajar perempuan di kolej ini. Kecuali Dahlia. Dahlia seorang saja yang tidak nampak kelebihan lelaki itu. Dahlia saja yang tidak berminat dengan kata-kata romantis Adam Firdaus. Dahlia saja yang begitu. Dahlia saja yang tidak sama dengan gadis lain. Mungkin kerana itu juga, Adam Firdaus tidak mahu mengalah. Adam Firdaus tetap akan mengejar Dahlia walau jauh mana gadis itu berlari.

“Oi makcik! Kau dengar ke?”

Balqis tersentak. Sekali lagi dia terpinga-pinga.

“Ha? Eh? Kau cakap apa tadi?”

“Sah! Mimpi di siang hari. Aku tahulah aku handsome Qis, janganlah kau tengok aku macam tu, aku takut kau tak tidur malam nanti.”

Serta-merta wajah Balqis terasa panas. Malunya! Malu sungguh dia! Kenapalah dia tengok anak teruna orang sampai macam tu sekali? Adam tersengih lebar. Seronok dapat melihat wajah Balqis yang sudah merona merah. Balqis mengerling Dahlia. Temannya itu memberi isyarat mata supaya segera beredar dari situ.

“Tak apalah kita orang blah dulu. Jom Lia.”

“Eh, la.. soalan aku tak jawab lagi? Ni, nasi ni siapa nak habiskan?”

“Kau ajalah yang makan. Don’t worry Lia tak usik langsung makanan tu. Nasi tu belum bersisa lagi ya. Makanlah.”

“Awak makanlah. Saya dah bayar.”

Dahlia tersenyum manis. Adam terkedu. Sungguh, inilah pertama kali Dahlia senyum padanya. Inilah pertama kali Dahlia bercakap dengannya. Suara gadis itu gemersik indah berlagu. Lembut dan mendamaikan. Sungguh, dia terpesona.

0 Suara Merdu Anda:

Post a Comment