Aku in Love! 1

Tik tik tik tik… lima, empat, tiga, dua, satu. Yes!! Akhirnya perintah berkurung aku tamat juga. Fuh, terseksa sungguh rasanya. Bayangkan dari pagi tadi aku tak boleh keluar bilik gara-gara aku basuh seluar jeans dan tercampur sekali dengan baju sutera Mak Dinah, ibu tiri aku. Habis rosak baju dia sebab seluar jeans yang aku beli kat pasar malam itu turun warnanya. Kan dah tak pasal-pasal kena denda. Gila betul! Dari pagi menahan lapar dan dahaga. Kalau bulan Ramadhan tak apalah juga. Kejam betul Mak Dinah aku tu. Nama bukan main lagi, Madinah. Suci lagi murni tapi kejam tak ingat dunia!

Tapi aku bersyukur juga. Dalam pada dia garang dan langsung tak boleh bertoleransi dengan aku, tetap juga dia membesarkan aku setelah ibuku pergi buat selama-lamanya sejak aku darjah enam lagi akibat barah payu dara. Walaupun tidak sepenuh kasih sayang, tanpa belaian manja, tanpa kata-kata pujukan dan pujian, aku tetap terima dengan reda. Sebenarnya aku memang anak yang degil dan suka melawan kata-katanya. Masakan tidak, mulut dia kalau dapat mengomel dan membebel memanglah tak boleh buat jiwa tenteram. Ala, aku bukan nak jadi anak derhaka pun Cuma nak menegakkan pendirian yang aku rasa betul. Aku tahulah aku pun bukan baik mana, kadang-kadang aku tersasar juga. Ha, kalau bab maki hamun tu memang dah jadi ulam bagi aku. Tak bolehkah cakap elok-elok? Kalau dia bercakap elok-elok, mesti aku pun akan bercakap elok-elok juga. Contoh melalui tauladan, kan?

Bagi aku kalau setakat melayan aku dengan buruk, aku masih boleh tahan lagi. Paling tidak pun aku boleh lawan balik. Tapi kalau sudah melibatkan ayah aku, memang aku tak boleh berkompromi. Ayah aku terlantar sakit akibat penyakit stroke. Lumpuh sebelah badan. Nasib baiklah mulutnya tak senget sekali. Kalau tidak mesti susah nak makan, minum dan bercakap. Aku tahu ayah tidak berdaya apa-apa.