Salju Cintaku

Cintaku yang indah ini ibarat sesuci salju, semanis cinta pertama dan sepasrah rindu. Berlabuh di pantai perkasihan yang tenang tanpa cagaran dan seribu curiga, tanpa syarat yang merintangi badai mungkir dan seluas langit yang memayungi. Begitulah aku ibaratkan kasihku padamu. Mengertikah kau Iman Ruhaisyah? Ah, menyebut namamu sahaja cukup menggetarkan jiwa lelakiku.

“Dia bukan perempuan sembarangan, Zack. Dia cucu ulama terkenal dari Indonesia. Dia anak pak imam di kampung kita ni. Kau siapa? Solat pun tak pernah cukup.”

Aku diam. Aku akui. Aku telan kata-kata berbisa dari teman karibku, Azman. Ya, benar. Aku siapa jika hendak dibandingkan dengan dirimu Iman Ruhaisyah. Aku tak qatam pun mengaji Quran. Sembahyang lagilah, seperti kata Azman tak pernah cukup kadang-kadang tak buat lansung. Aku mengeluh.

“Salah sendiri. Dulu mak suruh sekolah kamu ponteng saja. Sekarang nak cari kerja kan dah susah. Ada hati lagi nak anak dara orang.”

Kata-kata ibuku pula bergema di kepala. Betul kata ibu. Memang salah aku. Kata orang menyesal kemudian tidak berguna. Andainya aku belajar bersungguh-sungguh pasti aku tidak menganggur sekarang. Pasti aku punya status dan wang untuk menyunting dirimu Iman Ruhaisyah.

Tidak keterlaluan rasanya bila ku katakan kau bagai bidadari yang diutuskan dari syurga singgah di alam yang fana ini. Wajah mulus dan bersihmu penyejuk rasa. Senyuman manismu menggetar jiwa, lirikan matamu itu bisa menggugah perasaan! Sampai bila harus aku mengintaimu dari kejauhan? Adakah sehingga bumi berhenti berputar? Atau saat mentari tak sanggup lagi berjanji untuk menyinari dunia ini?

“Lupakan Iman Ruhaisyah, Zack. Kau tak sepadan lansung dengan dia. Ramai lagi awek kat kampung kita ni yang cun-cun., bukan dia sorang Zack.”

“Dia lain dari yang lain, Man. Dia wanita solehah. Dia dambaan setiap lelaki di kampung kita ni.”

“Betul, tapi macam yang aku cakap tadi, kau tak layak untuk dia.”

Aku mengeluh. Kata-kata Azman memang tajam menikam tapi semuanya benar belaka. Aku tak layak untuk dirimu Iman Ruhaisyah. Kau sentiasa menjaga auratmu, sedangkan aku selalu sangat berseluar pendek. Kau rajin ke surau sedangkan aku suka melepak sambil memetik gitar. Kau selalu merendahkan deria pandangmu saat bertembung dengan lelaki yang bukan muhrimmu, sedangkan aku sering saja memikat anak dara yang lalu-lalang di depanku. Namun, seorang pun tidak berjaya mencuri hatiku kecuali kau Iman Ruhaisyah. Pertama kali melihat senyumanmu saja membuat aku tak lena tidur. Kau benar-benar mempesonakan!

“Bolehlah mak, mak mesti sukakan dapat menantu solehah.”

“Mak tak nak!”

Tegas kata-kata ibuku saat aku memintanya melamarmu Iman Ruhaisyah. Aku tahu ibu keberatan. Bukan dia tak berkenankan dirimu, cuma ibu bimbang ditolak bulat-bulat kerana aku belum ada pekerjaan tetap. Di mana mahu letakkan muka jika pinanganku ditolak?

“Kerja dulu. Dah ada kerja nanti, sebut saja anak dara mana yang kamu nak, mak pinangkan.”

Anak dara mana? Siapa lagi kalau bukan dirimu Iman Ruhaisyah. Mana mungkin aku mencari yang lain. Takkan ada gadis lain yang mampu menandingimu di sanubariku ini. Tiada yang layak menerima kasih sayangku yang melimpah ruah ini selain dirimu Iman Ruhaisyah. Malahan aku sendiri yang tak mampu melupakan dirimu. Hatiku ini terlalu sempit. Tiada ruang lagi untuk diisi oleh gadis lain.


---------------


Malam ini, malam ini aku dihenyak kesedihan. Aku kaku, aku bisu. Saat ini ijab kabul sedang berlansung di rumahmu. Kau dijodohkan dengan lelaki yang sekufu. Khabarnya lelaki itu baru saja menamatkan ijazah keduanya di Mesir. Siapalah diriku berbanding dirinya? Namun aku tahu, kau masih mengharap aku yang menyunting dirimu. Takkan ku lupakan renungan sayumu minggu lalu. Aku cuba menafsirnya sendiri. Walau tanpa sepatah kata yang terzahir dari ulas bibirmu. Cukuplah dengan melihat matamu aku rasa getarnya, dengan melihat matamu saja aku memahaminya. Matamu ceritakan segalanya. Kau tahu Iman Ruhaisyah, mata itu berasal dari unsur air dan memiliki sifat adil. Dengan melihat mata seseorang, kita pasti dapat menebak hatinya.

Tapi semuanya sudah terlambat. Saat aku mendapat tawaran menyambung pelajaran kau disambar orang. Saat aku baru nak bertatih menongkah arus hidup, kau kini bahagia di dalam dakapannya. Impianku hancur, harapanku musnah. Aku tahu kau tidak mampu menolak takdir yang dicorak oleh orang tuamu. Sebagai anak yang taat, kau impikan keredhaan mereka. Kau memang istimewa. Dapatkah aku mencari gadis seindah dirimu nanti? Aku harap suamimu tidak akan mensia-siakan dirimu. Aku harap suamimu menyayangi dirimu sebagaimana aku menyayangimu Iman Ruhaisyah. Aku harap suamimu menghargai setiap pengorbanan yang kau lakukan untuknya nanti. Tahukah kau Iman Ruhaisyah, perempuan itu tidak dicipta dari tapak kaki untuk dijadikan alas, tidak juga dari kepala untuk disanjung tapi dari rusuk kiri dekat dengan tangan untuk dilindungi serta hampir dengan hati untuk selalu disayangi. Aku harap dia mengerti.

Aku? Jangan kau hiraukan tentang aku. Sampai masanya aku akan membina mahligai ku jua. Akan ku bina empayar keturunanku sendiri. Cuma aku sedikit terkilan kerana impianku dulu mahu keturunanku nanti lahir dari rahimmu. Apa boleh buat Iman Ruhaisyah, jodoh antara kita tiada. Kau dicipta bukan untukku. Kita tidak ditakdirkan bersama. Cuma aku mahu kau tahu, aku tak akan pernah melupakan dirimu. Aku hanya mahukan yang terbaik buat dirimu. Kerana cintamu menjadi salju di hatiku.

1 Suara Merdu Anda:

Anonymous said...

suka cara akak menulis , beralun indah je baca..

Post a Comment