Kerana Sebuah Janji 24

Sudah memberat matanya ini, sudah pedih dan letih rasanya. Menangis dan terus menangis. Namun airmatanya tetap juga tidak mahu kering. Tetap juga ingin meluncuri pipinya yang sememangnya sudah lencun. Peritnya sebuah kehilangan tidak terpikul rasanya. Betapa gembira dan bahagia saat diberitahu dia mengandung. Sungguh ajaib dia rasakan bila ada satu lagi nyawa duduk diam di rahimnya. Masih dia ingat lagi, terbitnya kasih ibu di sanubarinya. Ah, betapa indah saat itu untuk dikenang.

Namun kini semuanya adalah kenangan. Tiada lagi nyawa yang bersemadi aman di dalam perutnya. Tidak sempat dia merasa untuk membawa perut yang berat, tidak sempat dia merasa dan melihat perutnya yang membonjol indah. Semuanya tidak sempat. Dia hanya sempat menikmati betapa indahnya perasaan menjadi ibu untuk seketika cuma. Perasaan yang hanya beberapa jam saja dipinjam Allah untuk dirinya.

“Sudahlah Lia, sabar ya?”

Dahlia mengesat mata yang sentiasa berair itu dengan tuala kecil. Hidung yang tersumbat sekaligus mengundang sakit di kepalanya. Balqis dipandangnya sayu. Temannya itu setia dari semalam menemaninya.

“Mak mertua kau ada datang hari ni?”

Dahlia mengangguk perlahan. Betapa syahdunya bila ibu mertuanya dan kak Miah menjenguknya semalam. Memberi laluan pada sketsa airmata yang tercipta sendiri akibat kehilangan ahli keluarga baru yang tidak sempat untuk ditatap. Hari ini pagi-pagi lagi mereka sudah menjenguknya. Membawa sup ikan haruan hasil air tangan kak Miah. Baik untuk memulihkan kecederaan kata wanita itu. Dahlia tersenyum nipis.

“Kak Miah bawa sup ikan haruan. Kau nak?”

“Eh, tak naklah. Bukan aku yang sakit. Kau ajalah yang makan.”

“Ni bukan untuk sakit je, tapi sup ni baik untuk kesihatan.”

“Tak apa-tak apa, kau makan aja. Kau kan dalam pantang.”

Dahlia terdiam. Dalam pantang? Jika dia dalam pantang, di mana anaknya?

“Orang kalau dalam pantang, mesti ada anak kat sisi kan Qis? Tapi aku tak ada.”

Sayu hati Balqis mendengar rintihan Dahlia itu. Bagaimana agaknya hendak dia hiburkan hati yang walang itu?

“Assalamualaikum.”

“Walaikumsalam.”

Serentak suara dua orang rupawan yang menoleh ke arahnya. Mursyid melebarkan senyuman.

“Saya ganggu ke?”

“Taklah encik Mursyid, masuklah.”

Dahlia tersenyum hambar. Sejenak matanya beralih ke pintu. Mengintai-ngintai jika ada bayang Dani menjenguknya. Dahlia sedikit kecewa. Dia tahu Dani masih marah padanya. Sejak dia sedar semalam, Dani langsung tidak menjenguknya. Marah benarkah suaminya itu? Tidak kasihankah Dani pada dirinya? Dia sangat pasti Dani sudah maklum akan kehilangan anak mereka.

Dahlia tersentak bila mendengar hilai tawa suara Mursyid dan Balqis. Dia tersenyum. Secocok juga mereka ni.

“So, how are you Dahlia? Dah okey ke?”

“Hmm.. macam nilah.”

“Kuatkan semangat ya. Makan makanan yang berkhasiat tau, baru cepat sembuh.”

“Tu, encik Mursyid, sup ikan haruan. Suruh dia makan. Penat aja kak Miah masakkan. Dah sejuk pun.”

“Eh, ya ke? Kenapa tak makan?”

Dahlia hanya mampu tersengih. Dia memang tidak berapa gemar dengan sup ikan. Tidak kiralah apa jenis sup ikan pun dia tetap tidak suka. Tapi, kini dia terpaksa akur, kerana dirinya begini.

“Err.. Dahlia, Dani ada kat luar. Nak jumpa dia tak?”

Dahlia tersentak. Dani berada di luar? Kenapa dia tak masuk?

“Dari semalam lagi saya suruh dia masuk jumpa awak. Dia tak nak.”

Dahlia tersenyum kelat. Dia faham. Semua gara-gara amarah Dani yang masih membara padanya. Malah dia juga belum bersedia berjumpa suaminya itu setelah tuduhan demi tuduhan dilemparkan padanya.

“Saya panggil dia ya?”

“Jangan! Kalau dia tak nak masuk pasti bersebab, kan? Biarlah dia okey dulu. Bila dia rasa nak masuk nanti dia akan masuk.”

“Betul ni? Tak rindu?”

Dahlia tergelak kecil mendengar ungkapan itu. Siapalah dia ingin merindui Dani? Siapalah dia di hati suaminya itu? Malah benci Dani padanya pasti bertambah sejak kes salah faham semalam. Bagaimana dia ingin membetulkan keadaan itu?

************

Mursyid hanya menggeleng perlahan melihat Dani yang sudah seperti orang gila. Berserabai dan lesu. Jambang dan misai terbiar semak mencacatkan sedikit wajah tampan lelaki itu. Mursyid mengeluh, melabuhkan punggung di sebelah Dani. Bahu lelaki itu ditepuk lembut.

“Sampai bila kau nak duduk sini? Dah tiga hari dah macam ni. Datang hospital, tapi tak masuk pun.”

“Aku tak sanggup nak jumpa dia Syid. Aku takut.”

“Kau takut apa?”

“Dia benci aku kan?”

“Dia tak benci kau pun, pergilah jumpa dia. Kesian dia tau.”

“Aku tak boleh. Aku tak sanggup nak hadap muka dia. Aku bersalah Syid, aku rasa bersalah sangat.”

Terkelu seketika Mursyid bila melihat Dani mengesat airmatanya. Sungguh, belum pernah dia melihat Dani selemah ini. Ego lelakinya runtuh kerana seorang Dahlia.

“Cubalah dulu. Entah-entah dia tunggu kau tak?”

“Aku tahu dia tak nak jumpa aku. Aku yang mulakan. Aku yang buat dia jadi macam ni. Aku yang cederakan dia. Aku berkasar dengan dia Syid! Aku.. aku yang buat dia kehilangan anak kami…”

Rintihan demi rintihan yang terzahir dari bibir Dani cukup membuat Mursyid sebak. Betapa menyesalnya lelaki itu, betapa menggunungnya rasa bersalah dalam dirinya.

“Aku tak sanggup nak tengok muka dia yang bencikan aku ni. Aku.. aku sayang dia Syid, aku rasa aku tak boleh terima kalau dia benci aku.”


“Cuba kau jangan buat andaian macam tu. Masuk dulu, minta maaf sungguh-sungguh kat dia. Dahlia tu baik hati, aku rasa dia akan maafkan kau. Percayalah cakap aku ni.”

“Kalaulah aku tak marah dia, kalaulah aku dengar dulu penjelasan dia, pasti tak jadi macam ni kan? Pasti sekarang kami tengah happy, tengah bersembang pasal baby, kan Syid? Tapi…”

“Tak baik cakap macam tu Dani, semua tu qada’ dan qadar. Sabarlah, kuatkan hati kau tu. Pasti ada hikmah di sebalik kejadian ni.”

“Anak... Dahlia mengandungkan anak aku Syid. Tapi sekarang, anak tu dah tak ada. Anak aku dah tak Syid! Anak aku dah mati! Anak aku dah mati! Aku yang bunuh anak aku Syid, aku yang bunuh!”

“Astagfirullahalazim..”

Mursyid beristighfar sambil memeluk Dani. Menggigil tubuhnya menahan sebak saat melihat sahabat sendiri seperti orang hilang akal, hilang pedoman. Dani betul-betul tidak boleh menerima hakikat. Sebagai sahabat dia harus sentiasa bersama Dani. Dia mesti bagi kata-kata semangat.

“Okey, tak nak jumpa tak apa. Jom kita pergi minum nak? Kau dah makan?”

Dani menggeleng perlahan. Matanya masih merenung pintu bilik Dahlia. Apa khabar Dahlia sekarang? Ingin sekali dia berjumpa isterinya itu. Ingin sekali dia memeluk, membelai Dahlia yang sedang menanggung kesedihan dan kesakitan. Malah sakit di hati Dahlia ingin sekali dia ubati dengan kata-kata maaf. Memang itu yang patut dia lakukan. Meminta maaf seikhlas hati. Tapi kakinya berat untuk melangkah. Perasaan bersalah yang menguasai diri telah mengikat kakinya menemui sang isteri. Sungguh, dia amat merindui Dahlia. Rindu teramat sangat.

7 Suara Merdu Anda:

Anonymous said...

nant keluar novel x?

hana_aniz said...

masuklah jumpa hahlia. kesian dia. huhu

IVORYGINGER said...

aduh dani ni. msk la jumpa dahlia mintak maaf. dahlia dlm kesedihan n perlukan kekuatan suami dia. jgn nnti dahlia bsangka ln pula. huh...

aqilah said...

biasalah lelaki...........bila dah terjadi, baru nyesal...............nyampah!!!!!

Aien Afiffy said...

cepat2 lah hbiskan cerita ni..tak sabar nak baca...

Anor said...

dua-dua sekali kesiankan..apa nak buat
benda telah terjadi nak sesal pun
tak berguna...sambung lagi..

nursya said...

adoihai...
mcm ner la nk tau si dahlia tu da maapkan si dani klw dani sndri xnk jmpa dahlia...
ish..osh..osh..

Post a Comment