Kerana Sebuah Janji 25 - N3 terakhir di blog

“Macam mana Lia hari ni? Dah okey ke?”

“Okey mama. Cuma demam aja.”

“Kepala tu macam mana?”

“Sikit aja ni. Mama tak payah risaulah.”

“Lia nak makan apa-apa ke? Nanti mama suruh kak Miah masak.”

“Lia tak nak apa-apa. Tak payahlah susahkan kak Miah.”

Dahlia tersenyum manis. Dia memang hilang selera untuk makan. Makanan di hospital ini pun hanya sekadar melapik perut. Selebihnya selera dia mati. Sudah empat hari dia di sini, bayangan Dani langsung tidak muncul. Begitu marahkah Dani pada dirinya?

“Arrghhhh! Jadi betullah kau ada affair dengan jantan tu?”

Tiba-tiba jeritan Dani bergema di kotak fikirannya. Masih jelas di ruang mata, muka bengis Dani, amarahnya dan lantang suaranya. Belum pernah Dani marah padanya sebegitu. Walau dia sudah maklum sebelum ini Dani tidak suka padanya, tetapi itulah pertama kali Dani betul-betul marah.

“Kau memang tak sedar diuntung! Aku ambil kau jadi bini aku, jadi menantu rumah ni. Tapi apa yang aku dapat? Pengkhianatan! Kau khianat aku Dahlia, kau pengkhianat! Kau licik!”

Dahlia sebak. Demi Allah, dia tidak pernah mengkhianati suaminya. Sungguhpun perkahwinan mereka bukan atas dasar cinta. Dia masih tahu batasnya di mana. Masih tahu hukum-hakam.

“Hei perempuan! Kau berpakat dengan jantan tu nak kikis harta aku ke ha? Jawablah!”

Dahlia pejam mata rapat. Perlahan air hangat mengalir membasahi pipi. Pedih sekali tuduhan Dani itu. Sungguh, hatinya terhiris luka. Nyeri dan ngilu mencucuk-cucuk ke tangkai hati.

“Lia?”

Dahlia tersentak. Cepat-cepat mengesat airmatanya. Dia menoleh. Menanggapi wajah Zarina yang kehairanan. Sekuntum senyum hambar dihadiahkan buat ibu mertuanya itu.

“Lia kenapa?”

“Tak ada apa-apa mama.”

“Sudahlah tu, yang pergi tetap pergi. Mungkin belum rezeki Lia agaknya. Korang masih muda, adalah nanti tu. Sabar ya.”

Dahlia hanya mampu tersenyum kelat. Cuba memaniskan wajahnya.

“Lia, Dani ada kat luar tu, nak jumpa dia?”

“Dia yang tak nak jumpa Lia ma, dia masih marah kat Lia.”

Zarina mengeluh berat. Masing-masing sudah salah faham. Masing-masing tidak mahu beralah.

“Ma, Lia nak mama tahu Lia tak salah ma. Lia tak salah! Lia tak pernah mengkhianati Dani ma. Lia tak pernah curang pun!”

“Ya, mama tahu. Mama percayakan Lia, mama tahu Dani salah faham. Maafkanlah dia.”

Dahlia menggeleng perlahan. Airmatanya masih tidak segan untuk meluncur laju di pipi.

“Tuduhan dia sangat berat ma. Lia tak boleh terima.”

“Jangan macam tu, dia tetap suami Lia kan?”

Dahlia diam. Memang Dani adalah syurganya. Tapi adakah Dani menganggap dia sebagai isteri? Dani menuduhnya tanpa usul periksa. Dani mengasarinya. Sememangnya hati perempuannya amat terluka dan dia masih belum bersedia bersemuka dengan Dani. Walaupun saban hari dia ternanti-nanti kedatangan Dani untuk menjenguknya, membelainya dan memujuk hatinya yang rawan. Namun dia tahu dia hanya bermimpi disiang hari. Apa yang dia mahukan mustahil akan jadi nyata. Dalam diam dia terpaksa menelan kenyataan itu.

********

“Sorry aku lambat.”

Balqis tersengih sambil meletak sebakul buah-buahan di atas meja kecil.

“Kau dari mana ni?”

“Kelaslah.”

“Oh, kau ada jumpa Adam?”

“Tak. Kami kan lain-lain course. Mana nak terserempak pun. Kenapa?”

“Tak adalah, aku rasa dia mesti dah tahu apa jadi kat aku, kan?”

“Haah ya. Entahlah. Dua tiga hari ni aku memang tak nampak dia. Entah-entah dia pun tak sihat kot. Kalau dia tahu, mesti dia dah datang sini jumpa kau.”

“Kalau boleh jangan bagitahu dialah atau sesiapa pun.”

“Ha, kenapa pulak?”

“Yelah, macam kau cakap tadi, kalau dia tahu dia mesti datang sini. Aku bukan apa, aku takut Dani salah faham lagi. Aku takut jadi kecoh nanti.”

“Betul juga eh. Dani tu dahlah tengah emosi. Lunyai si Adam tu dikerjakan nanti.”

“Ha tau pun. Aku tak nak cipta skandal kat sini. Lagipun imej aku dah cukup tercemar dah ni.”

Balqis merenung Dahlia dengan pandangan sayu.

“Dia masih belum jumpa kau?”

Dahlia menggeleng perlahan. Antara nampak dengan tidak sahaja gelengan itu. Seolah-olah ingin dikhabarkan dia sudah letih menunggu. Dia tidak mahu mengharap lagi.

“Dia marahkan aku Qis. Besar marahnya tu, sampai tak nak jenguk aku pun.”

“Marah ke? Tapi hari-hari dia datang sini? Untuk apa ya?”

Dahlia menjungkit bahu. Dia sendiri tidak tahu. Dia sendiri tiada jawapan untuk itu. Apa tujuan Dani datang ke sini setiap hari tanpa menjenguknya, dia memang tiada jawapan untuk itu.

“Kejap lagi, sibuklah dia tanya aku, keadaan kau macam mana? Okey ke, tak ke? Nangis lagi ke? Ish, Tak faham betul aku.”

“Ya ke?”

“Yelah.”

Dahlia diam.

“Entah-entah dia memang nak masuk jumpa kau, tapi tak berani kot?”

“Tak berani?”

“Yelah, takut kau marah dia ke, benci dia ke?”

“Ish, pandailah kau…”

Balqis mencebik. Namun dia pasti itulah yang berlaku pada Dani. Takut untuk berjumpa dengan Dahlia. Mungkin rasa bersalahnya menguasai diri lelaki itu.

“Qis…”

“Hmm..”

“Bawa aku pergi dari sini. Pergi jauh dari sini.”

“Hah?”

“Aku nak tenangkan fikiran.”

“Kau merepek apa ni? Kau nak lari dari rumah ke?”

“Tak. Lari dari hospital.”

Dahlia tersengih. Cuba menutup resah di hatinya. Namun dibenaknya amat mengharap Balqis setuju dengan permintaannya itu.

“Gila!”

“Please Qis..”

“No! Berdosa pergi tanpa izin suami tau.”

“Qis, please… kau kawan aku kan? Tolonglah aku. Kali ni aja, ya? Lagipun seminggu lagi cuti semester. Tak ada masalah kan?”

“Kau jangan buat kerja gilalah Lia.”

“Apa pilihan yang aku ada Qis? Aku kecewa dengan apa yang berlaku. Aku kehilangan anak aku tau tak? Kau tak akan faham perasaan aku. Aku hanya sempat merasa 3 jam aja Qis, 3 jam aja. Tolonglah aku Qis, aku nak bersendirian buat masa ni. Aku tak nak balik rumah. Aku tak nak jumpa dia lagi.”

Balqis mengeluh berat. Permintaan Dahlia kali ini betul-betul mencabar akalnya yang waras. Menuruti kehendak Dahlia menjadikannya rakan subahat. Tidak ditolong, kasihan pula. Melihat keadaan sahabatnya yang menangis tidak berhenti, Balqis tahu, luka di hati Dahlia pasti sangat dalam.

“Okeylah. Kita pergi Langkawi ya? Kebetulan kakak sepupu aku nak kahwin.”

Dahlia tersenyum lebar. Dia tahu Balqis memang boleh diharap. Balqis memang sahabat yang baik. Dia benar-benar lega. Namun jauh di sudut hatinya terasa sayu. Sayu kerana terpaksa membuat keputusan begini. Dia tahu keputusannya ini akan mengeruhkan lagi keadaan. Bukan dia cuba untuk lari dari masalah, tapi dia terpaksa. Dani sudah mula meraguinya, sudah mula membencinya kembali.

‘Maafkan Lia bang, Lia terpaksa. Selamat tinggal!’

Wasiat Cinta 22

Tihani sedang menyiram bunga di halaman rumahnya. Rumah teres tiga bilik yang dibeli Faizal sebagai hadiah perkahwinannya. Lambang cinta Faizal.

“Sayang, inilah Taj Mahal abang untuk sayang.”

“Wah, cantiknya!”

Tihani menjerit sebaik turun dari kereta.

“Jangan jerit dulu, jom kita masuk tengok kat dalam pulak.”

Faizal menarik tangan isteri kesayangannya itu.

“Wah, cantikk!”

Jeritan Tihani semakin kuat. Bergema di segenap ruang kosong rumah yang baru dibeli itu.

“Sayang suka?”

“Suka sangat! Bila kita boleh masuk?”

“Abang ingat nak tambah grill, lampu hiasan dan letak wallpaper dulu. Mungkin dalam hujung bulan ni, kita boleh pindah masuk sini.”

“Terima kasih ya bang, sayangg.. abang.”

Tihani mengucup pipi suaminya. Faizal hanya tersenyum lebar. Terhibur dengan telatah isterinya itu. Sungguh dia bahagia hidup bersama Tihani. Alam pengantin baru masih dinikmatinya.

“Ini saja yang abang mampu.”

“Inilah namanya rezeki anak bang.”

Lamunannya terhenti bila terdengar bunyi enjin motor yang kuat dan bingit. Meluncur laju sebuah motorsikal mat rempit melintasi rumahnya. Bukan main laju lagi. Sengaja dipulas-pulasnya handle motor itu. Untuk menarik perhatian barangkali.

Sebaik terpandang Tihani yang sedang menyiram bunga, Azwan memperlahankan motornya dan berpusing balik menghala ke rumah gadis itu.
Tihani terkejut melihat Azwan singgah di rumahnya dan mematikan enjin motor. Apa hal pula mamat ni? Tak pernah-pernah Azwan singgah ke rumahnya. Ini mesti kes nak serang dirinya lagi.

“Hai,”

Azwan memulakan bicara.

“Awak nak apa?”

Jawab Tihani acuh tak acuh.

“Err, aku nak cakap sikit.”

“Awak, baik awak pergi dari sini. Karang mak awak nampak teruk saya kena serang lagi.”

Peristiwa di pasaraya tempoh hari masih segar bermain di kotak fikirannya. Mana mungkin dia lupa. Mak Jah telah memberi amaran kepadanya supaya jangan menganggu mereka. Dan dia juga tidak mahu dituduh pengganggu keluarga orang kaya itu. Kata-kata kesat mak Jah tempoh hari masih berbekas di hatinya.

“Ha, pasal tulah aku nak cakap.”

“Tak ada apa yang nak dicakapkan, semua dah berlaku. Baik awak pergi. Saya tak mahu dituduh mengganggu keluarga awak.”

“Aku datang ni, nak minta maaf bagi pihak orang tua aku.”

“Hah?”

Sejak bila pula Azwan ini menjadi anak yang baik? Setahunya Azwan ini kerjanya menghabiskan beras, pemalas, penganggur, kaki merempit. Suka mengganggu anak dara orang yang lalu lalang. Dirinya juga tidak terlepas diganggu oleh Azwan and the gang.

“Aku nak minta maaf bagi pihak keluarga aku. Aku pun tak tahu kenapalah ayah aku tu gatal sangat. Sampai mak aku geram kat kau, maki hamun kau. Sorry ya.”

Wajah Azwan kelihatan sedikit kesal.

“Tak apalah, dah berlaku pun.”

“Mana boleh tak apa. Aku betul-betul minta maaf ni.”

“Okey, saya maafkan. Sekarang awak boleh pergi.”

“Amboi, menghalau nampak? Yelah aku pergi ni.”

Azwan tersengih. Enjin motorsikalnya dihidupkan semula.

“Tihani! Kau sekarang makin lawa ya?”

Azwan tersengih lagi. Tihani pula mencebik. Mahu saja dia memancutkan air pili ke muka lelaki itu.

“Pergilah cepat dan jangan datang lagi.”

Azwan yang masih tersengih macam kerang busuk itu berlalu pergi dan meninggalkan kesan bunyi yang amat bingit.

“Apa hal tu?”

Kepala puan Mariam terjengah-jengah di muka pintu.

“Si Azwan rempit ummi, datang minta maaf.”

“Minta maaf? Kenapa? Apa yang dia buat kat kamu?”

Puan Mariam mula cuak. Tak habis-habis keluarga itu mengganggu anaknya. Mula-mula pak Hassan, kemudian mak Jah kini Azwan pula.

“Tak ada apalah, ummi ni cepat betul buruk sangka. Dia minta maaf bagi pihak orang tuanya.”

“Aik? Sejak bila budak tu jadi baik?”

“Sejak hari ini kot mi.”

Tihani tergelak. Puan Mariam mencebik lalu masuk semula ke dalam rumah semula.


*****


Selesai makan malam Tihani mengambil angin di buaian besi. Merenung jauh ke langit yang tinggi. Bintang yang berkelipan sungguh indah laksana permata yang bertaburan. Matanya beralih ke arah telefon bimbitnya. Bunyi sms masuk. Tihani memerhati nombor si pengirim. Encik Saiful?

‘I missed you.’

Ringkas saja mesej itu. Cukup membuat hatinya bergetar halus. Dia tidak membalas. Tidak tahu nak balas apa. Nada pesanan ringkas telefonnya berbunyi lagi.

‘Saya sedang memikirkan awak saat ini.’

Tihani tersenyum. Baru saja dia ingin membalas, telefon bimbitnya menerima panggilan masuk. Dia tersentak.

“Hello.”

“Hai, tak tidur lagi?”

Saiful gugup.

“Belum, awal lagi.”

“Dapat sms saya?”

“Dapat. Apa yang encik fikirkan?”

“Hmm.. rindu kat awak. Fikir awak tengah buat apa sekarang, dah makan ke belum, pakai baju apa, pakai bedak sejuk ke?”

Tihani tergelak.

“Encik ni, ada ke pakai bedak sejuk? Kelakarlah.”

Saiful turut tersenyum. Rasa bahagia mendengar suara ceria Tihani.

“Please sayang, jangan panggil saya encik. Kita bukan dekat office. Panggil Saiful aja.”

Tihani terkedu. Sayang? Dia panggil sayang? Beraninya dia!

“Sayang? Are you still there?”

“Ya, encik janganlah panggil saya begitu. Panggil Hani pun cukup.”

“Okey, sorry my dear Hani and you too. Don’t call me encik. Formal sangatlah.”

“Tapi saya tak biasa. Kalau tak boleh panggil encik, saya panggil Mr.? Atau Bos ke?”

Tihani tersengih.

“Nope! Encik tak boleh, Mr. pun tak boleh, bos lagilah tak boleh.”

Suara Saiful tegas. Ada ke patut nak panggil Mr.? Bos? Ini tak boleh jadi. Kalau begitu sampai bila-bila pun hubungannya dengan Tihani tidak akan mesra.

“Okey macam ni, kat office awak boleh panggil saya encik Saiful macam staff lain. Tapi bila di luar office panggil saya Saiful aja. Deal?”

“Okey.”

Mereka terdiam seketika. Melayan perasaan masing-masing.

“Hani, saya betul-betul sukakan awak.”

Tihani menggelabah. Saiful sudah masuk topik yang dia tidak suka nak dengar.

“Encik… err, Saiful please..”

“Tak akan saya tak ada peluang langsung?”

“Awak, saya.. saya..”

“Awak dah ada orang lain?”

“Bukan macam tu. Hati saya ni masih pada arwah.”

“Sampai bila Hani? Sampai bila? Dah setahun lebih ni.”

“Awak tak boleh suruh saya lupakan dia macam tu aja.”

Memang dia tak boleh pun. Sampai bila-bila pun dia tak boleh. Terlalu banyak kenangannya bersama Faizal.

“Saya bukan suruh awak lupakan dia, sayang. Saya minta awak beri peluang pada diri awak, supaya mencintai dan dicintai.”

“Saya rasa saya tak layak dicintai.”

“What? Siapa cakap begitu?”

“Saya sendiri.”

Tihani tersengih. Walaupun dia tahu Saiful tidak boleh nampak. Saiful mengeluh berat. Buntu memikirkan cara untuk memujuk gadis itu.

“Hani, awak terlalu istimewa di mata saya. Mungkin di mata orang lain jugak. Cuba jangan merendah diri begitu. Kalau awak nak tahu, awaklah yang paling layak menerima cinta saya. Nama awak dah lama terukir dalam hati saya ni.”

“Tapi saya ni janda anak satulah, awak.”

“Ada saya kisah? Saya tak peduli langsung!”

Saiful geram. Memang dia tidak pernah peduli status gadis itu. Cintanya pada Tihani telah membutakannya.

“Memanglah awak tak peduli, keluarga awak macam mana pulak? Kalau big bos tahu, kena pecat saya nanti.”

Saiful diam. Cuba memproses kata-kata Tihani sebentar tadi. Ada benarnya juga. Bagaimana penerimaan keluarganya jika mereka dapat tahu gadis idamannya itu adalah janda anak satu?

“Kenapa diam? Betulkan cakap saya?”

“Hani sayang, I don’t care! I love you so much. Saya sanggup buat apa saja.”

“Sanggup? Sanggup tinggalkan keluarga demi saya? Sanggup tinggalkan harta demi saya?”

Tihani ingin menduga Saiful. Lelaki itu diam. Sanggupkah dia meninggalkan segala kesenangan yang dikecapi selama ini demi cinta Tihani? Tihani tersenyum sinis. Sudah dapat jawapan Saiful. Mungkin benar lelaki itu mencintainya. Tetapi lelaki itu juga tidak sanggup mengambil risiko. Memang dasar lelaki bermulut manis!

“Err, Saiful saya kena letak ni, anak saya menangislah.”

“Okey sayang, jumpa esok okey.”

“Ok bye.”

Saiful termangu di biliknya. Memandang ke siling. Mencerna perbualannya bersama Tihani sebentar tadi. Andaian Tihani benar belaka. Bagaimana kalau keluarganya tidak merestui hubungan mereka? Saiful masak benar dengan sikap mummynya yang terlalu menjaga air muka. Terlalu menjaga nama baik. Abang dan kakaknya juga menjadi mangsa ego mummynya itu. Mereka berkahwin atas pilihan keluarga. Kononnya mahu mengembangkan bisnes, lalu dijodohkan anak masing-masing. Dia juga tahu dirinya pun tidak akan terlepas menjadi mangsa. Dia tidak mahu itu berlaku. Dia mahu berkahwin dengan Tihani. Mahu hidup dan menghabis hari tuanya bersama gadis itu.

Kerana Sebuah Janji 24

Sudah memberat matanya ini, sudah pedih dan letih rasanya. Menangis dan terus menangis. Namun airmatanya tetap juga tidak mahu kering. Tetap juga ingin meluncuri pipinya yang sememangnya sudah lencun. Peritnya sebuah kehilangan tidak terpikul rasanya. Betapa gembira dan bahagia saat diberitahu dia mengandung. Sungguh ajaib dia rasakan bila ada satu lagi nyawa duduk diam di rahimnya. Masih dia ingat lagi, terbitnya kasih ibu di sanubarinya. Ah, betapa indah saat itu untuk dikenang.

Namun kini semuanya adalah kenangan. Tiada lagi nyawa yang bersemadi aman di dalam perutnya. Tidak sempat dia merasa untuk membawa perut yang berat, tidak sempat dia merasa dan melihat perutnya yang membonjol indah. Semuanya tidak sempat. Dia hanya sempat menikmati betapa indahnya perasaan menjadi ibu untuk seketika cuma. Perasaan yang hanya beberapa jam saja dipinjam Allah untuk dirinya.

“Sudahlah Lia, sabar ya?”

Dahlia mengesat mata yang sentiasa berair itu dengan tuala kecil. Hidung yang tersumbat sekaligus mengundang sakit di kepalanya. Balqis dipandangnya sayu. Temannya itu setia dari semalam menemaninya.

“Mak mertua kau ada datang hari ni?”

Dahlia mengangguk perlahan. Betapa syahdunya bila ibu mertuanya dan kak Miah menjenguknya semalam. Memberi laluan pada sketsa airmata yang tercipta sendiri akibat kehilangan ahli keluarga baru yang tidak sempat untuk ditatap. Hari ini pagi-pagi lagi mereka sudah menjenguknya. Membawa sup ikan haruan hasil air tangan kak Miah. Baik untuk memulihkan kecederaan kata wanita itu. Dahlia tersenyum nipis.

“Kak Miah bawa sup ikan haruan. Kau nak?”

“Eh, tak naklah. Bukan aku yang sakit. Kau ajalah yang makan.”

“Ni bukan untuk sakit je, tapi sup ni baik untuk kesihatan.”

“Tak apa-tak apa, kau makan aja. Kau kan dalam pantang.”

Dahlia terdiam. Dalam pantang? Jika dia dalam pantang, di mana anaknya?

“Orang kalau dalam pantang, mesti ada anak kat sisi kan Qis? Tapi aku tak ada.”

Sayu hati Balqis mendengar rintihan Dahlia itu. Bagaimana agaknya hendak dia hiburkan hati yang walang itu?

“Assalamualaikum.”

“Walaikumsalam.”

Serentak suara dua orang rupawan yang menoleh ke arahnya. Mursyid melebarkan senyuman.

“Saya ganggu ke?”

“Taklah encik Mursyid, masuklah.”

Dahlia tersenyum hambar. Sejenak matanya beralih ke pintu. Mengintai-ngintai jika ada bayang Dani menjenguknya. Dahlia sedikit kecewa. Dia tahu Dani masih marah padanya. Sejak dia sedar semalam, Dani langsung tidak menjenguknya. Marah benarkah suaminya itu? Tidak kasihankah Dani pada dirinya? Dia sangat pasti Dani sudah maklum akan kehilangan anak mereka.

Dahlia tersentak bila mendengar hilai tawa suara Mursyid dan Balqis. Dia tersenyum. Secocok juga mereka ni.

“So, how are you Dahlia? Dah okey ke?”

“Hmm.. macam nilah.”

“Kuatkan semangat ya. Makan makanan yang berkhasiat tau, baru cepat sembuh.”

“Tu, encik Mursyid, sup ikan haruan. Suruh dia makan. Penat aja kak Miah masakkan. Dah sejuk pun.”

“Eh, ya ke? Kenapa tak makan?”

Dahlia hanya mampu tersengih. Dia memang tidak berapa gemar dengan sup ikan. Tidak kiralah apa jenis sup ikan pun dia tetap tidak suka. Tapi, kini dia terpaksa akur, kerana dirinya begini.

“Err.. Dahlia, Dani ada kat luar. Nak jumpa dia tak?”

Dahlia tersentak. Dani berada di luar? Kenapa dia tak masuk?

“Dari semalam lagi saya suruh dia masuk jumpa awak. Dia tak nak.”

Dahlia tersenyum kelat. Dia faham. Semua gara-gara amarah Dani yang masih membara padanya. Malah dia juga belum bersedia berjumpa suaminya itu setelah tuduhan demi tuduhan dilemparkan padanya.

“Saya panggil dia ya?”

“Jangan! Kalau dia tak nak masuk pasti bersebab, kan? Biarlah dia okey dulu. Bila dia rasa nak masuk nanti dia akan masuk.”

“Betul ni? Tak rindu?”

Dahlia tergelak kecil mendengar ungkapan itu. Siapalah dia ingin merindui Dani? Siapalah dia di hati suaminya itu? Malah benci Dani padanya pasti bertambah sejak kes salah faham semalam. Bagaimana dia ingin membetulkan keadaan itu?

************

Mursyid hanya menggeleng perlahan melihat Dani yang sudah seperti orang gila. Berserabai dan lesu. Jambang dan misai terbiar semak mencacatkan sedikit wajah tampan lelaki itu. Mursyid mengeluh, melabuhkan punggung di sebelah Dani. Bahu lelaki itu ditepuk lembut.

“Sampai bila kau nak duduk sini? Dah tiga hari dah macam ni. Datang hospital, tapi tak masuk pun.”

“Aku tak sanggup nak jumpa dia Syid. Aku takut.”

“Kau takut apa?”

“Dia benci aku kan?”

“Dia tak benci kau pun, pergilah jumpa dia. Kesian dia tau.”

“Aku tak boleh. Aku tak sanggup nak hadap muka dia. Aku bersalah Syid, aku rasa bersalah sangat.”

Terkelu seketika Mursyid bila melihat Dani mengesat airmatanya. Sungguh, belum pernah dia melihat Dani selemah ini. Ego lelakinya runtuh kerana seorang Dahlia.

“Cubalah dulu. Entah-entah dia tunggu kau tak?”

“Aku tahu dia tak nak jumpa aku. Aku yang mulakan. Aku yang buat dia jadi macam ni. Aku yang cederakan dia. Aku berkasar dengan dia Syid! Aku.. aku yang buat dia kehilangan anak kami…”

Rintihan demi rintihan yang terzahir dari bibir Dani cukup membuat Mursyid sebak. Betapa menyesalnya lelaki itu, betapa menggunungnya rasa bersalah dalam dirinya.

“Aku tak sanggup nak tengok muka dia yang bencikan aku ni. Aku.. aku sayang dia Syid, aku rasa aku tak boleh terima kalau dia benci aku.”


“Cuba kau jangan buat andaian macam tu. Masuk dulu, minta maaf sungguh-sungguh kat dia. Dahlia tu baik hati, aku rasa dia akan maafkan kau. Percayalah cakap aku ni.”

“Kalaulah aku tak marah dia, kalaulah aku dengar dulu penjelasan dia, pasti tak jadi macam ni kan? Pasti sekarang kami tengah happy, tengah bersembang pasal baby, kan Syid? Tapi…”

“Tak baik cakap macam tu Dani, semua tu qada’ dan qadar. Sabarlah, kuatkan hati kau tu. Pasti ada hikmah di sebalik kejadian ni.”

“Anak... Dahlia mengandungkan anak aku Syid. Tapi sekarang, anak tu dah tak ada. Anak aku dah tak Syid! Anak aku dah mati! Anak aku dah mati! Aku yang bunuh anak aku Syid, aku yang bunuh!”

“Astagfirullahalazim..”

Mursyid beristighfar sambil memeluk Dani. Menggigil tubuhnya menahan sebak saat melihat sahabat sendiri seperti orang hilang akal, hilang pedoman. Dani betul-betul tidak boleh menerima hakikat. Sebagai sahabat dia harus sentiasa bersama Dani. Dia mesti bagi kata-kata semangat.

“Okey, tak nak jumpa tak apa. Jom kita pergi minum nak? Kau dah makan?”

Dani menggeleng perlahan. Matanya masih merenung pintu bilik Dahlia. Apa khabar Dahlia sekarang? Ingin sekali dia berjumpa isterinya itu. Ingin sekali dia memeluk, membelai Dahlia yang sedang menanggung kesedihan dan kesakitan. Malah sakit di hati Dahlia ingin sekali dia ubati dengan kata-kata maaf. Memang itu yang patut dia lakukan. Meminta maaf seikhlas hati. Tapi kakinya berat untuk melangkah. Perasaan bersalah yang menguasai diri telah mengikat kakinya menemui sang isteri. Sungguh, dia amat merindui Dahlia. Rindu teramat sangat.

Kerana Sebuah Janji 23

Salmiah merenung satu-persatu wajah duka di hadapannya. Walaupun kesedihan di dalam dirinya berlagu hiba namun dikuatkan hatinya demi insan-insan yang jelas lebih berarak mendung wajah mereka. Salmiah sedang berusaha memujuk Zarina. Dia menggosok-gosok perlahan bahu majikannya itu. Cuba mententeramkan keresahan wanita itu.

Balqis juga sudah membengkak matanya. Asyik menangis saja sejak sampai ke hospital ini. Sejak dia ceritakan apa yang berlaku di rumah. Pertengkaran di antara Dani dan Dahlia. Walaupun dia tidak mendengar biji butir yang sebenar namun dia amat pasti sesuatu yang telah menyakitkan hati Dani sehingga lelaki itu sanggup berkasar dengan Dahlia. Salmiah merenung pula ke arah dua orang lelaki di hadapannya itu.

Mursyid setia berdiri di pintu wad kecemasan. Mundar-mandir bagi menghilangkan keresahan barangkali. Matanya beralih pula ke arah Dani. Majikannya itulah yang paling terpukul sekali. Wajah lelaki itu penuh kerisauan, kesedihan dan penyesalan. Airmata lelakinya gugur satu-persatu. Tidak lagi dia peduli. Duduk di lantai hospital sambil menunduk dan meramas rambutnya. Kemeja yang tersarung di badan masih belum dibuka. Tompok-tompok darah yang sudah kering melekat di baju lelaki itu. Hiba sungguh hati Salmiah melihat keadaan serabut dan tidak terurus Dani.

“Macam mana boleh jadi macam ni Dani? Kenapa berkasar dengan Lia?”

Zarina tidak dapat menahan esak tangisnya. Suara wanita itu bergema di ruang yang tengik berbau ubat itu.

“Maafkan Dani ma..”

“Kan aku dah pesan, cakap elok-elok dengan dia. Sekarang tengok?”

Dani tidak mampu bersuara. Memang dia yang bersalah. Itu tidak dapat disangkal lagi. Doanya cuma satu kini, agar Dahlia selamat. Agar dia boleh memohon kemaafan isterinya itu.

Balqis hanya merenung Dani dengan perasaan sedikit geram. Apa yang berlegar di kepalanya kini adalah kandungan Dahlia. Ingin saja dia membuka mulut untuk bertanya. Tapi dia terpaksa mengunci mulutnya dan ingin mengetahui keadaan sebenar tentang sahabatnya dulu.

Mereka semua tersentak bila pintu wad kecemasan terbuka. Seorang doktor lelaki melayu berdiri segak di hadapan mereka. Bingkas Dani menerkam doktor muda itu.

“Doktor, macam mana isteri saya?”

“Isteri encik stabil walaupun kehilangnan banyak darah. Cuma..”

“Cuma apa doktor?”

“Cuma, kandungannya tidak dapat diselamatkan. Dia keguguran.”

Masing-masing terpana. Terkejut dengan berita yang baru disampaikan itu. Masing-masing saling berpandangan. Hanya Balqis saja yang tunduk merenung lantai. Apa yang dia khuatiri sudah pun berlaku. Kandungan itu masih baru umurnya. Jika tidak dijaga, inilah akibatnya. Airmatanya tumpah saat terfikir betapa gembiranya Dahlia tengahari tadi. Betapa cerianya bila mengetahui dia sudah berbadan dua. Tapi tidak sampai beberapa jam saja dia sudah merasai kehilangan. Kehilangan anak pertama. Kasihannya kau Dahlia.

Zarina sudah terjelepok. Lemah dan tiada daya untuk terus berdiri. Tiada kata-kata yang mampu dia luahkan. Hanya tangisan saja yang mampu menceritakan segala-galanya. Dia menangis hiba. Menangis bersama-sama Salmiah. Dani pula terduduk di lantai. Fikirannya diasak dengan pelbagai soalan. Dia cuba mencernakan kata-kata doktor muda itu sebentar tadi. Kandungan? Keguguran? Dahlia mengandung? Dahlia mengandungkan anak mereka?

“Err, bila kami boleh jumpa dia?”

Mursyid gagahkan diri untuk bertanya. Saat ini hanya dia saja yang boleh berfikir dengan waras. Hanya dia yang masih mampu bertahan.Yang lain sudah tenggelam dalam emosi dan kesedihan.

“Lagi setengah jam dia akan dipindahkan ke wad biasa. Anda semua boleh melawat dia nanti.”

“Terima kasih doktor.”

Mursyid bersalaman dengan doktor muda itu. Dia memandang Dani. Geramnya pada Dani bertukar kasihan. Kasihan melihat keadaan sahabatnya itu. Sungguh jelas ketara wajah Dani disimbah riak penyesalan yang tak sudah. Mursyid bertinggung dan menepuk bahu Dani.

“Sabarlah Dani.”

“Kenapa dia tak beritahu kat aku Syid? Kenapa nak rahsiakan?”

Esakan Dani sayu berlagu. Mengundang panas di tubir mata Mursyid.

“Entah-entah bukan anak you! Tu sebab dia rahsiakan.”

Mereka semua berpaling serentak. Juliana tersenyum sinis. Hatinya puas kini. Padan dengan muka kau Dahlia! Inilah akibatnya kalau kau cuba merampas hak aku!

“You buat apa kat sini Ju?”

“Kenapa? Tak boleh?”

“Mana you tahu kami ada kat sini?”

“Adalaah… you sibuk nak tahu buat apa?”

“Mestilah I nak tahu. Sebab I tak nak you jadi batu api kat sini.”

“Mursyid! You ni kan, tak habis-habis tuduh I jadi batu api.”

“Habis tu tak betul? Apa tujuan you datang ke hospital ni? Jangan cakap you nak melawat Dahlia.”

“Salah ke?”

“Yup. Sebab you yang mulakan semua ni. You yang racun Dani, sampai Dani hilang akal dan berkasar dengan wife dia!”

“Padan muka! She deserved that!”

PAANGG!!

Semua terdiam. Wajah Zarina sudah merah padam menahan marah. Geram bukan kepalang dengan sikap Juliana. Kini barulah dia tahu siapa Juliana sebenarnya. Nasib baik gadis itu tidak menjadi menantunya.

“Aunty! What are you doing? Sakitlah!”

“Pergi Juliana. Aku tak nak tengok muka kau kat sini, pergi!”

“Aunty, sampai hati aunty buat Ju macam ni. Ju tak salah.”

“Pergi aku kata, pergi cepat!”

Juliana geram. Pipinya terasa perit dek tamparan Zarina tadi. Malu! Dia benar-benar malu diperlakukan sebegitu. Ah, anak dan mak sama saja! Menyakitkan hati! Juliana berlalu sambil menghentak kaki. Mengundang senyum kecil di bibir Mursyid. Padan muka!

Dani pula hanya tunduk lesu. Tidak peduli langsung dengan adegan riuh-rendah pertengkaran Mursyid dengan bekas buah hatinya itu sehingga mengundang campur tangan ibunya sendiri. Apa yang dia tahu, melayan rasa sedih dan sesalan yang tak sudah-sudah. Sungguh dia menyesal dengan apa yang berlaku. Dahlia keguguran kerananya!

Balqis hanya memandang Dani yang sedang menyeka air matanya. Kasihkah lelaki itu pada Dahlia? Sehingga air mata lelakinya gugur satu-persatu dari tadi? Hari ini Balqis melihat Dani dari sudut yang berbeza. Hari ini lelaki itu kelihatan sangat lemah. Seolah-olah semangatnya lari terbang. Balqis merasakan dia harus ceritakan hal yang sebenar. Tuduhan gadis bernama Juliana tadi boleh mencemar imej Dahlia.

“Tengahari tadi saya teman Dahlia pergi klinik.”

Semua kepala mendongak mencari wajah Balqis. Gadis itu tersenyum hambar. Matanya yang sembab dan suaranya yang sedikit sengau itu tidak dapat diserikan dengan sedikit senyuman hambar itu.

“Doktor sahkan dia pregnant. Baru 6 minggu.”

“Ya Allaaah…”

Rintihan Zarina mengundang sebak di hati Balqis. Dia tewas dengan kasih sayang wanita itu pada sahabatnya.

“Dia cakap, nak surprisedkan awak, Dani. Dia nak masak something special untuk awak.”

“Oh, patutlaah…”

Kini enam pasang mata beralih pula pada Salmiah. Giliran wanita itu pula tersenyum kelat.

“Sampai aja Dahlia di rumah petang tadi, kami masak sama-sama. Dia buat masakan barat untuk kita, puan. Katanya, ada berita gembira yang dia nak beritahu. Bila saya risik-risik, dia berkeras tak nak beritahu. Dia suruh kita semua tunggu time makan. Saya tak sangka pula ini berita yang dia nak sampaikan, puan.”

“Dia nak beritahu, dia sudah mengandung. Dahliaaa…”

Rintihan Zarina bergema lagi. Mengundang sebak di hati insan-insan yang dilanda kesedihan di situ.

“Semua salah aku Syid, semua salah aku!”

“Sabar Dani, ini ujian buat kau. Sabar banyak-banyak. Apa kata kau balik dulu mandi, rest lepas tu kau datang balik, jumpa Dahlia, minta maaf kat dia, ya?”

“Tak. Aku nak tunggu sini. Aku nak jumpa dia dulu. Kau tolong bawa mama dan kak Miah balik. Dah malam ni.”

“Tak nak! Mama nak tengok Lia dulu.”

“Tapi puan, puan belum makan lagi. Makanan yang Lia masak tadi dah terhidang atas meja. Dah sejuk pun.”

“Jom aunty? Ikut saya ya?”

Zarina menggeleng perlahan. Macam mana mahu makan jika seleranya sudah mati? Makanan yang terhidang itu dimasak khas oleh menantunya demi sebuah berita gembira. Sekarang, menantunya itu sudah terlantar lesu di hospital, demi berita itu juga. Dahlia sedang kesakitan, sedang bersedih. Kehilangan anak adalah satu tamparan hebat buat seorang wanita. Malah dia juga turut merasa sakitnya sebuah kehilangan itu. Dia sudah kehilangan cucu!

Kamal Oh Kamalia 9

“Tapi nampak mereka sepadan benar.”

Langkah kakiku mati serta-merta. Cuba membuka telinga seluas-luasnya. Mak dengan mak andak bersembang tentang siapa? Aku menyelit di belakang pintu menghala ke dapur. Entah kenapa dada aku berdebar-debar semacam.

“Tapi mereka berdua masing-masing tengah belajar. Tak ganggu ke pelajaran nanti?”

“Ala, kak Diah, kita ikat dulu bukan nak suruh kahwin cepat-cepat.”

Goyang lutut aku. Aku dapat rasakan perbualan itu lebih menjurus tentang aku dan Natrah. Aku pasti sangat. Kenapa begini?

“Hendak ke dia orang tu?”

“Itu kak Diah kena pujuk Kamallah. Rasanya Natrah tak ada masalah.”

Confirm! Mak andak Bibah dan emak sedang berbincang nak satukan aku dan Natrah. Tak boleh jadi ni. Tak mahulah aku kahwin dengan perempuan yang tak ada tulang belakang tu. Lentok sana lentok sini.

“Hmm.. janganlah kau berharap sangat Bibah. Aku rasa Kamal tu sukakan orang lain.”

Yes! I love you mak. Mak memang best! Macam tahu-tahu saja hati dan perasaan ini.

“Eh, ya ke kak Diah? Tapi Natrah kata mereka saling suka sama suka.”

Ha? Apa? Suka sama suka? Kuntilanak punya Natrah! Pandai-pandai saja mereka-reka cerita. Suka-suki dia saja buat fitnah. Jaga kau!

“Entahlah Bibah nantilah aku tanya si Kamal. Tapi janganlah kau berharap tinggi sangat. Bukan aku tak nak kita berbesan. Dalam hal jodoh ni biarlah anak-anak sendiri yang tentukan pilihan mereka. Apa-apa jadi kemudian hari tak adalah mereka salahkan kita pulak.”

“Itu saya setujulah kak. Saya pun tak berharap sangat. Cuma kesiankan Natrah tu ha, dari kecil sukakan Kamal. Nak cakap malu. Jadi dia suruh saya wakilkan.”

“Ini dah kira merisik ni Bibah oi, adat manalah kamu ikut ni?”

Aku tergelak halus. Adat songsang mak. Janji kehendak hati tercapai. Aku tolong jawabkan dalam hati.

“Kalau ikut zaman Rasulullah, Khadijah yang merisik baginda dulu, tak gitu kak Diah?”

“Yelah, itu zaman Nabi. Sekarang ni zaman Datuk Najib.”

Hampir-hampir nak meledak tawa aku bila dengar mak jawab macam tu. Terhenjut-henjut bahuku menahan gelak.

“Itulah masalahnya masyarakat kita ni kak Diah. Apa yang kita buat semua nak ikut adat. Kadang-kadang sampai menyusahkan. Kat Singapore sana tak ada nak ikut adat-adat sangat kak.”

“Itu di Singapore. Kamu sekarang kat Malaysia. Kat negeri Perak pulak tu. Adat istiadat masih dijunjung. Kalau ikut adat orang Perak, mesti ada merisik. Masa merisik kena bawa sebentuk cincin. Lepas tu meminang pula, bawa lagi satu cincin untuk bertunang. Dah capai kata sepakat barulah disatukan..”

“Kena bawa cincin lagi?”

Aku tersenyum simpul mendengar mak andak mencelah. Seronok pula dengar perdebatan dua orang wanita ini. Gaya mak bercakap macam tak berapa setuju dengan cara mak andak yang semberono itu. Mak andak pula cuba meyakinkan emak yang sangat kuat dengan adat istiadat melayunya itu.

“Bukan ke dah menyusahkan pihak lelaki? Nanti nak kena duit hantaran lagi, barang-barang hantaran juga, duit mas kahwin lagi. Kalau boleh kita ringkaskan kita buatlah, ambil yang wajib-wajib aja kak Diah. Kan senang.”

“Memanglah susah sikit Bibah. Dah kita nak ambil anak dara orang, mestilah sanggup bersusah payah. Nak pakai tu bukan sekejap, seumur hidup tahu.”

Bidas emak pula. Semakin seronok aku mematungkan diri. Terasa macam ingin menyampuk dan menyokong saja cakap-cakap emak tu, tapi bila difikirkan semula kata-kata mak andak Bibah pun ada benarnya juga.

“Itu sebab ramai anak muda kita sekarang takut nak kahwin. Banyak sangat syarat-syaratnya. Macam jual anak pula. Kadang-kadang tu mak bapak yang lebih-lebih. Bak kata pepatah lebih sudu dari kuah.”

“Kalau benda remeh-temeh ni pun pihak lelaki tak boleh nak sediakan, bagaimana nak pikul tanggungjawab yang lebih besar bila dah jadi ketua keluarga nanti? Adat tetap adat Bibah, kita hidup dalam masyarakat.”

Lembut tutur kata emak membidas setiap hujahan yang meniti di bibir mak andak. Entah apalah reaksi yang mak andak pamerkan agaknya. Mak andak dengan cara modennya, mak pula masih dengan cara kampungnya. Tidak mahu debat di antara mereka merobek hati masing-masing sehingga terjadinya perbalahan, aku keluar dari persembunyian. Melangkah perlahan menuruni tiga anak tangga menuju ke dapur.

“Ha Mal, dah bangun?”

Tegur mak andak sebaik ternampak kelibat aku. Aku suakan senyuman mesra untuknya.

“Baru lagi. Sedap bau ni, masak apa?”

“Tu mak ada buat nasi lemak. Pergilah makan. Adif mana, tidur lagi?”

“Haah.”

Jawabku pendek sambil tangan ligat mengambil pinggan untuk bersarapan.

“Mak andak tak makan ke? Pak andak mana?”

“Dah, baru lepas. Pak andak kamu ke Penang pagi tadi.”

Aku diam. Menikmati nasi lemak emak yang harum itu membuat aku tidak berminat untuk menyambung perbualan.

“Manalah si Natrah ni, tak akan tak bangun lagi? Anak dara apalah. Kak, saya jenguk Natrah kejap ya. Kesian Kamal ni ha, makan sorang-sorang.”

“Yelah.”

Mak mengangguk sambil tersenyum kelat. Aku tahu sangat maksud senyuman mak itu. Pantang dia, jika mana-mana anak gadis bangun bila matahari sudah meninggi. Habislah kau Natrah kena reject dengan mak aku bulat-bulat. Aku gelak dalam hati.


****


Satu persatu pakaianku yang sudah emak lipat aku masukkan ke dalam beg. Sudah sampai masanya untuk aku pulang semula. Gerak tanganku terhenti bila terdengar bunyi ketukan pintu kamarku. Aku menoleh. Tersengih lebar Natrah di muka pintu yang sudah tersedia terkuak.

“Boleh Nat masuk?”

Natrah bersuara manja. Sedikit sebanyak menyelinap rasa getar dalam diri bila melihat wajah cantiknya itu dan alunan lunak suaranya. Aku lelaki normal okey. Bisik suara hatiku sambil menarik nafas sedalam mungkin.

“Hmm..”

“Mal nak gerak pukul berapa?”

“Tengahari karang.”

Selamba saja aku menjawab soalannya sambil membelakangi dia. Sebenarnya pakaianku sudah selesai aku masukkan ke dalam beg. Tapi aku buat-buat sibuk mengemas buku-buku di atas meja pula. Tak tahulah kenapa aku jadi tak keruan begini. Sejak dengar usul mak andak pagi tadi, aku rasa macam tak seronok pula. Walaupun aku tahu Natrah memang sukakan aku dari kecil, tapi bila orang tua sudah mula masuk campur, aku jadi tidak enak. Malah, Natrah sekarang semakin berani menggoda aku. Silap gaya terjebak juga aku nanti.

“Nat balik bila?”

“Papa pergi Penangkan, esok baru balik. Hmm.. mungkin lusa baru balik Singapore kot.”

“Hmm.. tak nak tinggal lama lagi ke?”

“Memanglah nak. Tapi bila fikirkan balik, Mal bukan ada pun, bosanlah Nat nanti.”

“Hmm.. Mal terpaksa balik. Assignment banyak sangat.”

Aku tidak berbohong atau mereka alasan. Memang aku sangat sibuk dengan tugasan yang diberi pensyarah. Aku pulang ke sini pun sebab tak nak kecilkan hati mak. Memang dah lama pun aku tak jengah mereka.

“Iya? Hmm.. Mal..”

Suara Natrah sudah berlagu lunak. Aku yang masih tekun mengemas buku-buku di meja hanya mampu memandang Natrah sekilas. Bukan apa aku takut dengan apa yang ada dalam kepala otak Natrah tu. Macam-macam boleh berlaku kalau aku tak hati-hati.

“I’m going to miss you, Mal.”

Kan aku dah cakap. Natrah sekarang sudah semakin berani. Tidak peduli lagi tentang keayuannya tercalar. Tidak berkias-kias lagi. Aku berpaling ke arahnya bila terasa jemarinya lembut menyentuh lenganku. Aku hanya mampu tersenyum hambar.

“Bila kita akan berjumpa lagi ya?”

“Entahlah Nat, Mal pun tak tahu.”

“Mal rajin-rajinlah turun ke Singapore. Nat janji akan memberi layanan istimewa pada Mal. First class tau.”

Natrah tergelak riang. Aku masih statik dengan senyum hambarku. Tak kuasa aku nak pergi ke Singapore sana. Nak-nak pulak kau ada Natrah. Terus terbantut keinginan aku itu.

“Tengoklah macam mana.”

“Hmm.. kalau tengok-tengok tu kira tak adalah ya? Dulu pun Mal cakap macam tu juga. Tapi sampai sekarang tak pernah pun Mal jejakkan kaki ke rumah kami lagi.”

Eh, bersungut pulak dia? Suka hati akulah!

“Mal..”

“Hmm..”

“Kalau Nat tanya sikit boleh tak?”

“Apa dia?”

“Hmm, Mal dah ada special girlfriend ke?”

Mak! Selamba badak saja minah ni tanya. Tak malu ke? Aku yang dengar ni pun naik segan rasanya. Memang Natrah sekarang semakin berani. Berani menzahirkan perasaannya. Mungkin dia memang tak nak selindungkan lagi apa yang dia rasa agaknya.

“Ada.”

Aku lihat wajah dia berubah. Maaflah Natrah. Aku tak tipu kau. Memang sudah terpahat nama Azlin Nasihin di hatiku ini. Natrah tersenyum kelat.

“Ada? Betul ke?”

“Betullah. Tak akan Mal tipu pulak.”

“Ooh..”

Berlagu panjang nada suara Natrah. Bukannya aku tak kesian melihat wajah hampanya itu tapi aku tak sanggup nak menipu dia. Aku rasa lebih baik begini dari dia terus mengharap.

“Mal..”

Ish, apa lagi ni? Lunak suaranya yang lembut itu cukup menggusarkan aku. Aku pandang dia sekilas. Dah mula dah buat aksi tak ada tulang belakang dia tu. Lentok sana lentok sini. Kalau ya pun nak goda aku, janganlah sampai menggeletis macam ni, boleh goyang iman aku tau. Ish, apalah nasib dapat sepupu macam ni.

“Kenapa Mal tak pernah reply mesej Nat? Call lagilah, langsung tak nak angkat. Email pun tak balas.”

Sedikit merintih suara Natrah. Tiba-tiba aku jatuh simpati pula. Kejam ke aku ni? Apa saja yang bersangkut-paut dengan Natrah pasti aku tak akan layan. Padahal jatuh cinta itu tidak salah. Dan bukanlah salah Natrah kerana terjatuh cinta pada aku cuma aku memang tak boleh nak terima dia. Aku hanya menganggap dia sebagai adikku saja. Pernah aku mencuba, bukannya tak pernah langsung okey, bukannya aku tak bagi sedikit ruang antara aku dan dia, tapi aku memang tak boleh. Ada saja yang tidak kena. Memang aku tidak serasi menjalinkan hubungan dengan Natrah lebih dari hubungan sepupu.

“Sorry, Mal sibuk.”

“Tak akanlah tak sempat langsung? Hari-hari Nat buka email, hari-hari Nat tunggu Mal reply mesej. Mal, Nat langsung tak penting ke dalam hidup Mal?”

Ah sudah, dia mula dah! Alahai Natrah, kenapalah kau tidak langsung mahu mengerti? Kenapa langsung tidak mahu menerima erti mengalah?

“Nat, maafkan Mal. Bertepuk sebelah tangan tak akan berbunyikan?”

“Jadi Mal bertepuklah sekali dengan Nat.”

Wajah sayu itu aku renung lembut. Bukannya tak kesian tengok dia macam tu. Natrah sabar menanti jawapanku.

“Maaf Nat. Mal dah cuba tapi tetap tak boleh. Maaf sangat-sangat. Mal harap Nat faham.”

“Mal minta Nat faham? Macam mana perasaan Nat? Mal faham tak?”

Aku terkedu. Pipi Natrah sudah dibasahi airmatanya. Sungguh, aku terus hilang kata-kata. Sungguh, aku memang tak boleh tengok perempuan menangis. Apalagi menangis kerana aku.

“Sampai hati Mal. Nat ikhlas Mal. Nat buang malu demi cinta Nat. Mal..”

Natrah gapai tangan aku. Sedikit sebanyak membuat naluriku bergetar.

“Nat sayang Mal.”

Pengakuannya itu membuat aku terpaku. Tuhan, akukah yang buta? Dalam getar aku cuba bersuara.

“Nat.. jangan begini. Cinta tak boleh dipaksakan. Mal pasti ada lelaki yang lebih baik untuk Nat di luar sana. Mal akan doakan yang terbaik.”

“Tapi Nat sayang Mal..”

Rintihnya lagi.

“Nat terimalah kenyataan. Kita hanya sepupu. Mal tak boleh bagi apa yang Nat mahukan. Maaf.”

Aku leraikan pegangan tangannya. Melangkah meninggalkannya bersama seribu satu rasa. Rasa bersalah, rasa kasihan, rasa geram. Aku tahu aku sedikit kejam. Tapi itulah yang terbaik untuk Natrah dari dia terus berharap pada aku. Maafkan aku sekali lagi Natrah. Ruang hatiku ini terlalu sempit untuk diisi oleh orang lain selain Azlin Nasihin.

Kerana Sebuah Janji 22

“Dah siap pun. Ni last touch up.”

“Ala, tak payahlah beriya sangat. Nak masuk ke perut juga sudahnya nanti.”

“Kak Miah, presentation tu penting, sekali tengok pun boleh bangkitkan selera tau.”

“Ish, akak tak retilah nak masak-masak makanan orang putih ni Lia. Ha, kalau suruh masak makanan kampung akak terrorlah.”

Mereka tergelak.

“Memang pun, kalau kak Miah masak, memang sedap. Tapi sekali-sekala kita ubah angin apa salahnya, kan?”

“Ada apa-apa ke ni?”

Dahlia tergelak manja.

“Kak Miah rasa hari ni bukan harijadi siapa-siapa pun dalam rumah ni, kan?”

“Haah.”

“Habis tu? Kenapa masak sampai penuh satu meja makan ni? Yang nak makan tu kita aja. Ada tetamu nak datang ke?”

“Tak adalah. Tak ada apa-apa, saja.”

“Baik beritahu akak, Lia. Kalau tak..”

Salmiah sudah bersiap sedia hendak menggeletek pinggang Dahlia. Dia tahu kelemahan Dahlia yang satu itu.

“Okey-okey, hari ni hari yang paling gembira Lia rasa. So, Lia nak share dengan semua orang tentang berita gembira ni.”

“Apa dia? Lia dapat anugerah dekan ke macam yang selalu Lia nak tu?”

“Haa… itu kak Miah kena tunggu. Time makan nanti Lia akan beritahu. Okey?”

“Tak boleh bagi klu ke?”

“Tak! Just tunggu aja, ya kak Miah?”

“Hmm.. yelah, yelah. Nak buat macam mana orang nak buat surprise.”

Dahlia tergelak senang dengan rajuk yang dibuat-buat oleh Salmiah itu. Dia mencubit manja pipi Salmiah yang agak kusam dan sedikit berminyak. Pasti lelah wanita itu membantunya tadi.

“Ala kak janganlah merajuk. Lia pasti akak mesti gembira bila tahu berita yang Lia nak sampaikan nanti.”

“Sikit pun tak boleh ke? Akak janji akak zip mulut ni.”

Dahlia tergelak bila melihat memek muka Salmiah yang melucukan itu. Dia tersenyum meleret sambil menggeleng. Terdengar keluhan kecil dari Salmiah bersama cebikan bibirnya.

“Sabar ya kak ya?”

“Hmm, yelah. Kalau macam tu, Lia pergi mandi, pakai lawa-lawa. Kejap lagi encik Dani baliklah.”

“Tapi Lia nak hidangkan dulu atas meja ni.”

“Tak payah, itu kerja akak.”

“Betul ni?”

“Ya, betul. Dah, dah pergi mandi, masam berpeluh-peluh!”

Dahlia tersengih.

“Okey, kak Miah boleh buat sorang ya? Betul ni?”

“Betullah.”

“Mama bila balik?”

“Tadi puan kata dia balik lepas maghrib, tapi dia akan makan kat rumah.”

“Ok good!”

********

Dani menutup pintu kereta dengan kuat. Telefon bimbitnya yang mengandungi gambar Dahlia dan Adam ditatap untuk yang ke berapa kali, dia sendiri tidak pasti. Panas meruap mula menular dalam diri. Perasaannya ketika ini bercampur-baur. Geram, marah, sakit hati, cemburu semuanya ada. Terngiang-ngiang lagi suara Juliana tadi, Dahlia curang! Isteri yang baru dinikahinya itu mencurangi dirinya! Dia tak dapat menerimanya. Sebagai seorang suami maruahnya tercalar. Dia mesti membuat perhitungan dengan Dahlia!

Laju derap langkahnya masuk ke dalam rumah. Mencari-cari kelibat Dahlia di ruang tamu, tiada! Dani menjengah ke dapur, yang terhidang adalah wajah Salmiah. Hati yang membengkak dituruti. Meniti anak tangga dengan laju sehinga bertembung dengan Dahlia di situ. Tajam renungannya memandang isteri yang berdandan cantik dan berbau harum.

“Abang dah balik?”

Senyuman madu yang dihadiahkan ikhlas buat suami yang keletihan itu, tiada mendapat balasan.

“Kau nak ke mana?”

Dahlia tersentak. Kau? Sudah lama Dani tidak berbahasa seperti itu. Pasti ada yang tidak kena. Jantung Dahlia berdegup laju.

“Kenapa ni bang?”

“Aku tanya kau nak ke mana? Melawa macam ni? Nak keluar jumpa jantan tu?”

Dahlia berkerut kening mendengar tuduhan tidak berasas Dani. Jantan? Jantan mana? Jantan siapa? Perlahan Dahlia mengorak senyum.

“Abang ni, kalau Lia nak keluar mesti Lia pakai tudungkan? Ni Lia pakai dress lagi, cantik tak? Pandai abang pilih.”

Dani terdiam. Benar juga kata-kata Dahlia itu. Isterinya itu sentiasa menutup auratnya. Cuma, setelah mereka sah sebagai suami isteri saja baru Dahlia membiarkan rambutnya bebas di dalam rumah ini. Cantiknya sang isteri memang Dani tidak dapat menafikannya lagi, malah dress separas betis yang dibeli ketika berbulan madu dulu amat sesuai sekali dengan bentuk tubuh isterinya itu.

“Entah-entah kau memang sengaja pakai macam ni, sebab nak jumpa dia kan?”

“Abang, abang cakap apa ni?”

Dani tidak mahu menunggu lama. Telefon bimbitnya dikeluarkan. Lantas menunjukkan gambar-gambar yang dirakam sendiri oleh Juliana. Membulat mata Dahlia. Jantungnya seakan berhenti berfungsi. Gemuruh di jiwa tiba-tiba merempuh hebat. Apa yang ditakutinya sudah pun terjadi. Dani mencurigainya. Dani salah sangka!

“Abang, ni..”

“Betulkan gambar tu?”

“Mana abang dapat ni?”

“Itu kau tak perlu tahu. Aku tanya betulkan apa yang aku lihat?”

“Abang salah sangka.”

“Salah sangka? Jadi kau nak cakap aku yang silap?”

“Bukan macam tuu..”

“Betulkan kau ada jumpa dia?”

Dahlia diam seketika. Jantungnya berdetak laju. Seakan-akan mahu pecah dilanda gemuruh yang tidak bertepi. Terasa sukar sekali untuk bernafas. Dia menarik nafas dalam bagi meredakan debaran di hati. Ingin sekali dia jelaskan duduk perkara yang sebenarnya. Agar Dani tidak bersalah sangka dan menuduhnya yang bukan-bukan. Namun dia tidak tahu hendak dimulakan dari mana. Haruskah dia khabarkan berita gembira itu lebih awal dari rancangannya?

“Betulkan?”

“Lia..”

“Betul atau tidak?”

“Betul. Tapi..”

“Arrghhhh! Jadi betullah kau ada affair dengan jantan tu?”

Dahlia terkedu, bila Dani menjerit tiba-tiba. Kecut hatinya ketika ini. Nampaknya, dia harus terangkan dari mula.

“Tadi Lia…”

“Kau tahu tak kau tu isteri orang? Isteri aku? Kenapa kau curang ha? Kenapa kau main kayu tiga? Kenapa dari dulu kau tak cakap kat aku, kau suka dia? Kenapa paksa diri kau kahwin dengan aku ha?”

Dahlia hilang kata-kata. Airmatanya mula meluncur laju. Sebak dan sedih dengan tuduhan Dani itu. Tuduhan yang tidak disangka sama sekali. Tuduhan yang menerbitkan bunga-bunga pergaduhan. Pergaduhan yang pertama setelah mereka disatukan.

“Kau memang tak sedar diuntung! Aku ambil kau jadi bini aku, jadi menantu rumah ni. Tapi apa yang aku dapat? Pengkhianatan! Kau khianat aku Dahlia, kau pengkhianat! Kau licik!”

Ya Allah, apa semua tuduhan itu? DemiMu Allah, aku tidak mengkhianati suami sendiri. Dahlia terjelepuk di tangga.

“Hei perempuan! Kau berpakat dengan jantan tu nak kikis harta aku ke ha? Jawablah!”

“Abaang…Lia… tak macam tu bang. Lia tak salah bang…”

“Tak salah kata kau? Berpegang-pegang depan public tu tak salah? Tu yang aku tahu. Yang aku tak tahu? Entah-entah dah berpeluk cium dengan jantan keparat tu kan?”

“Ya Allah, apa ni bang? Kenapa.. tuduh Lia… macam ni?”

Tersekat-sekat suaranya menahan sendu. Berat sungguh tuduhan Dani hingga tiada daya untuk dia mempertahan diri sendiri. Tidak mampu menepis tuduhan demi tuduhan dari suami sendiri.

“Dah lama kau buat kerja ni? Ha? Dah lama kau menduakan aku? Dah lama ke?”

“Abang… ampunkan Lia… kalau Lia salah. Ampunkan Lia bang.”

Dahlia memaut kaki Dani demi sebuah keampunan. Dosa yang terpalit harus dibersihkan dengan kemaafan seorang suami.

“Pergi jahanam dengan kau punya ampun!”

Hati yang panas sudah menguasai logik akalnya. Sambil menarik kakinya, tanpa disedari Dani tertolak Dahlia dengan tumitnya. Dahlia yang sedang melutut itu tergelincir dan tidak dapat mengimbangi tubuhnya, lalu tergolek lapan biji anak tangga.

“Aaahhh…!!”

Jeritan Dahlia itu menarik perhatian Dani. Dia menoleh. Matanya membulat, mulut juga sudah ternganga. Dani terkasima saat melihat Dahlia tersungkur di kaki tangga, tidak sedarkan diri.

“Ya Allah! Dahlia! Dahlia!”

Laju langkahnya menuruni anak tangga lalu terjelepuk di sisi Dahlia. Dani cemas dan panik. Segera tubuh isterinya dipangku. Dahlia kini terkulai di ribanya. Jantung Dani seakan mahu pecah saat melihat kepala Dahlia berdarah.

“Dahlia! Bangun sayang! Dahlia! Kak Miah! Tolong!”

Salmiah yang sejak dari tadi mendengar pertengkaran majikannya dari dapur itu terkocoh-kocoh berlari.

“Ada apa encik Dani? Ya Allah, Lia! Kenapa dengan Dahlia ni?”

“Dia jatuh. Cepat kak Miah call ambulance!”

Salmiah mengangguk. Sebaik saja wanita itu hendak berpaling, dia terpandang cecair pekat berwarna merah kehitaman di betis Dahlia. Jantungnya berdegup laju. Apakah?

“Encik Dani, darah!

Wasiat Cinta 21

Saiful diam. Renungannya masih dijatuhkan ke wajah Tihani. Sejuk mata sesiapa saja yang memandang wajah yang lembut dan manis itu.

Nasi di pinggan tidak berusik. Tihani pula sudah tunduk merenung nasi. Cuba mengira butiran nasi yang ada di dalam pinggan. Tidak terhitung sebenarnya. Sesekali mengangkat muka sambil menentang renungan Saiful, namun akhirnya dia tertunduk semula. Tidak sanggup rasanya bertentang mata dengan bosnya yang tampan itu. Boleh membuat hatinya goyah. Boleh saja mengetuk pintu hatinya yang telah lama terkunci rapat.

“Encik, boleh kenyang ke tengok saya macam tu?”

Tihani memberanikan diri memulakan bicara. Tidak betah rasanya terus diam membisu. Salah seorang mesti mulakan.

Saiful tersenyum hambar. Cemburunya masih bersisa. Rasanya dia belum bersedia untuk menerima hakikat yang Tihani sudah punya kekasih hati.

“Kalau encik terus tengok saya macam tu, saya tak boleh nak makanlah.”

“Sorry, makanlah.”

Saiful mengalah. Jemarinya mencapai sudu dan garfu.

“So, boleh saya tahu siapa yang bagi bunga tu?”

Tihani tersenyum. Dia sudah dapat menebak topik perbualan mereka pasti akan menjurus ke arah itu.

“Boyfriend ke?”

“Belum jadi boyfriend lagi, hmm.. lebih tepat kawan.”

“Bila akan diiktiraf jadi boyfriend pulak?”

“Entah la encik, hati saya ni dah tertutup rapat.”

“Jangan begitu. Awakkan masih muda, perjalanan hidup masih panjang.”

“Cakap memanglah senang encik.”

Wajah Tihani bertukar mendung. Bayangan Faizal masih bersamanya. Mana mungkin dia selingkuh.

“InsyaAllah, awak pasti boleh terima hakikat hidup ini. Yang pergi tu, biarlah pergi. Kita yang hidup ini mesti teruskan hidup. Sampai bila awak nak hidup dalam bayangan arwah suami awak? Tak kesian ke pada anak awak? Dia perlukan kasih seorang ayah. Awak juga perlukan seorang lelaki di samping awak.”

Tujuan Saiful cuma satu, untuk menyedarkan Tihani agar membuka pintu hatinya kembali. Agar menerima kehadiran cinta semula. Cintanya pada gadis itu.

“Saya bukannya desperated sangat nak kahwinlah encik.”

“Ya, saya tahu tu. Tapi sekurang-kurangnya beri peluang pada diri awak untuk bercinta semula.”

“Tak semudah itulah encik.”

“Sesuatu perkara itu akan jadi mudah, bila awak fikir ianya mudah untuk dilaksanakan. Dan jika awak fikirkan ia susah, sudah pastilah apa yang ingin awak lakukan itu tidak akan menjadi mudah.”

Tihani menjeling geram. Banyak pula perkataan mudah yang disebut encik Saiful ni. Dah macam dalam kelas pula, belajar kosa kata baru, berbelit-belit.

Saiful tersenyum melihat Tihani yang sudah berkerut kening.

“Saya rasa tak mungkinlah.”

“Jadi, saya memang tak ada peluanglah?”

“Hah?”

Tihani berkerut kening lagi. Tidak faham dengan maksud Saiful itu.

“Come on Tihani, don’t pretend that you don’t know about my feeling.”

Tihani terkebil-kebil. Adakah bosnya itu sedang meluahkan rasa hati?

“Err.. what do you mean actually?”

Saiful membuang pandang. Cuba menarik nafas sedalam mungkin. Mengumpulkan seluruh kekuatannya. Mungkin masanya sudah tiba.

“Frankly, I like you. I mean.. I love you.”

Saiful merenung tepat ke mata Tihani. Tihani terkedu. Seorang lagi? Tidak, tidak! Harapan Fendi juga masih belum dijawabnya. Inikan pula bosnya sendiri? Di mana dia nak letakkan muka? Habislah kerjayanya selepas ini.

“Tihani, please say something.”

“I don’t know what to say, sorry.”

“ Just answer me, I need your answer.”

“Encik, please. Don’t push me. I need more time.”

“Ok, I’ll give you what you want and I can still wait for you. But please, don’t take so long. Don’t make me suffer. I’m afraid that I’ll lose my patient. Because I’ve been waiting for you for so long.”

“Sorry, what did you said?”

Tihani seperti tidak percaya apa yang dia dengar sebentar tadi. Encik Saiful sudah lama menunggunya?

“Yup, as you heard. I’ve been waiting for you for so long. Since first time I’ve saw you, your first day in my office.”

“That was five years ago.”

Tihani mencongak-congak.

“Dan selama itulah saya memendam rasa. Melihat kebahagiaan awak, membuat saya sakit. Saya cemburu Tihani. Sebab itu dulu, saya selalu marah awak, sengaja mencari silap awak. Supaya awak berhenti kerja. Supaya saya tidak melihat awak lagi. Supaya saya tidak terlalu sakit di sini.”

Tangannya diletakkan di dada, bersama sinar mata yang menagih pengertian.

“Kalau dah tak suka kenapa tak pecat saya aja?”

Geram pula bila memikirkan baran Saiful terhadapnya dulu. Setiap hari memarahinya. Tetapi tidak pula dia ingin meletak jawatan. Dia anggap itu satu pelajaran dan pengalaman berharga untuk dirinya.

“Saya tak boleh. Saya pernah membenci nama Tihani Annur. Tetapi memang saya tak boleh. Semakin saya cuba lupakan, semakin kuat cinta saya pada awak, Tihani.”

Tihani diam. Tidak tahu apa lagi yang harus dikatakannya. Hatinya dalam delima. Fendi atau Saiful? Mereka berdua sudah menunggunya begitu lama.