Rajuk Sang Hati 8

Aku buka perlahan pintu bilik atuk. Kepalaku masuk terlebih dahulu. Atuk duduk bersandar di kepala katil. Di tangannya senaskah surah yasin. Atuk menguntum senyum bila terpandang aku. Aku membalas senyuman atuk dan melangkah perlahan lalu melabuhkan punggung di hujung katil.

“Atuk, lapar tak? Orang ambilkan nasi untuk atuk ya?”

Atuk menggeleng. Dadanya berombak perlahan. Seperti sukar untuk bernafas. Mungkin penyakit asma atuk menyerang lagi.

“Atuk sakit lagi ya? Nak orang sapu minyak?”

Atuk senyum dan mengangguk perlahan. Aku mencapai minyak angin di atas meja kecil di tepi katil. Perlahan aku usap ke dada atuk. Kasihan atuk. Tubuh setua ini pasti derita menanggung kesakitan itu.

“Okey? Lega?”

“Terima kasih Nissa. Kalau kamu tak ada entah la…”

“Ala atuk ni, orang sayang atuk. Orang tak nak atuk sakit. Tak payah terima kasih segalalah atuk.”

Atuk tergelak perlahan. Dadanya berombak agak kuat dari tadi. Tercungap-cungap atuk nak menghabiskan satu-satu ayat.

“Atuk kalau penat, tak payah cakaplah ya. Atuk rest aja.”

Atuk mengangguk perlahan. Matanya bergenang merenungku. Aku mula tidak tahan melihat mata atuk yang berkaca itu. Pasti atuk derita.

“Betul atuk tak nak makan? Kalau atuk tak larat bangun, orang ambilkan nasi.”

Atuk masih cuba bernafas dengan elok. Aku terdengar ada bunyi halus yang hadir setiap kali atuk turun naik nafas. Hatiku seperti ditoreh-toreh melihat penderitaan atuk.

“Atuk makanlah sikit ya? Nanti perut masuk angin, lagi susah. Err, orang suapkan atuk ya? Nak tak?”

Susah payah atuk cuba mengukir senyum. Perlahan atuk mengangguk.

“Ha, macam tulah. Atuk tunggu kejap, nanti orang ambil nasi ya. Kejap ya tuk.”

Aku bingkas dan laju menuju ke dapur. Aku tidak mahu berlengah lagi. Tengah atuk setuju nak makan baik aku cepat. Kalau tak sia-sia saja aku memujuknya tadi.



*********


Telefon rumah berbunyi nyaring minta di angkat. Lama telefon itu berbunyi. Aku hanya memasang telinga dari dapur. Tak ada siapa ke nak angkat? Deringan telefon berhenti. Aku meneruskan acara membasuh pinggan selepas makan malam. Dah jadi rutinku sebenarnya. Maklumlah mak aku tak ada anak dara yang lain. Jadi aku tak ada pilihan, melainkan menolong mak yang dah menjadi tanggungjawabku sejak di sekolah rendah lagi. Telefon berbunyi lagi. Kali ini aku melangkah laju ke ruang tamu. Sempat aku jenguk ke bilik mak. Patutlah, mak dan ayah tengah berjemaah. Segera ganggang telefon ku capai.

“Hello, assalamualaikum.”

“Walaikumsalam.”

“Along!”

Aku terjerit sedikit bila terdengar suara abang sulungku yang berada di hujung talian.

“Nissa, sihat ke? Semua sihat?”

“Orang sihat. Semua sihat kecuali atuk.”

“Kenapa dengan atuk? Semput lagi?”

“Biasalah along. Dah itu penyakit dia.”

“Hmm, Nissa tengok-tengokkan dia ya. Kesian atuk.”

“Along jangan risaulah, selagi orang ada, orang akan jaga atuk.”

“Yalah tu. Boleh harap ke ni?”

“Eh, along jangan pandang orang sebelah mata tau. Dalam rumah ni kalau orang takda banyak kerja tak jadi tau.”

Along tergelak besar. Macam perli aku saja?

“Oh gelakkan orang ya? Tak percayalah tu?”

“Eh percaya, percaya sangat.”

Aku tersengih. Macamlah along nampak.

“Err, along sihat?”

“Sihat. Mak dan ayah mana? Haikal?”

“Haikal pergi mengaji tak balik-balik lagi. Mak dengan ayah tengah sembahyang. Along nak cakap dengan mak ke?”

“Tak apalah kot. Kirim salam aja kat dia orang ya. Cakap kat mak minggu depan along balik.”

“Ya ke? Cuti semester dah start ke?”

“Bukan dah start, along dah habis dah pun. Minggu depan last class.”

“Oh, along nak buat praktikal ya?”

“Haah, along dapat dua tiga tempat ni, tak tau nak buat kat mana. Eh, tak apalah along letak dulu. Credit pun nak habis ni.”

“Okey along, take care.”

“Nissa pun sama. Ingat jangan merayau sorang-sorang tahu, bahaya. Kirim salam aja kat dia orang. Assalamualaikum.”

“Walaikumsalam.”

Ganggang ku letak perlahan. Along ni, walau aku dah besar panjang masih anggap aku macam budak-budak lagi. Pesan-pesan segala. Perlahan aku menuju ke bilik mak.

0 Suara Merdu Anda:

Post a Comment