Melankolik Cinta Cassandra 14

"Abang…," seru Soleha perlahan.

Hanafi berpaling serta-merta. Alat kawalan jauh dicapai lalu memperlahankan suara televisyen. Soleha melabuhkan punggungnya di sebelah Hanafi.

"Ada apa sayang?" Tanya Hanafi lembut.

"Abang penat ya? Nak Leha picitkan?" Tanya Soleha pula.

"Ada apa-apa ke ni? Tiba-tiba je rajin nak picit abang?" Tanya Hanafi sambil tersenyum nakal.

Soleha tidak mempedulikan senyuman suaminya itu. Kepalanya direbahkan di dada Hanafi. Tanpa disuruh Hanafi memaut bahu Soleha dan meramas lembut. Senang dengan sikap manja isterinya itu.

"Mana ada apa-apa. Leha cuma nak buat yang terbaik untuk abang sebelum Leha pejamkan mata untuk selama-lamanya," ujar Soleha perlahan.

Hanafi terdiam. Bagai ada jarum-jarum halus yang sedang mencucuk hatinya tika ini. Sakit. "Kenapa cakap macam ni Leha, abang tak sukalah…."

"Suka atau tidak, itulah hakikatnya bang. Bukan lama lagi Leha akan bernafas di muka bumi ni," tukas Soleha lembut.

"Leha, abang ajak Leha buat operation Leha tak nak. Sanggup ya menderita sakit macam ni? At least, lepas operate bolehlah buat kimoterapi."

"Bukan sengaja tak nak bang. Kosnya mahal. Doktor pun cakap harapannya tipis, kan? Cuma dua puluh peratus peluang untuk hidup. Kalau dari awal kita tahu, bolehlah kita buat pembedahan tu, ni dah kritikal. Dah stage empat dah pun. Risiko bang."

"Sekurang-kurangnya kita mencuba. Dua puluh peratus harapan untuk hidup tu pun satu peluang juga, kan? Selebihnya biarlah Allah yang tentukan. Kita berdoa dan tawakal saja. Leha buat operation ya?" Pujuk Hanafi. Untuk yang ke berapa kali dia pun tidak pasti. Dia tidak suka Soleha berputus asa begini.

"Kalau pembedahan tu gagal?" Soal Soleha kembali. Jemarinya bermain-main dengan jemari Hanafi.

Hanafi memejam mata. Dia tahu peluang untuk Soleha sembuh memang tipis. Kegagalan untuk pembedahan itu lebih berisiko tinggi dari berjaya. "InsyaAllah, operation itu akan berjaya. Kita doa sama-sama," jawabnya dengan yakin. Sebenarnya lebih menyedapkan hatinya sendiri.

"Sama saja kan bang?"

"Apa yang sama?"

"Buat pembedahan atau tidak, sama saja. Jika buat, Leha akan mati dengan cepat tanpa sempat berbuat apa-apa. Jika Leha tak lakukan pembedahan tu, sekurang-kurangnya Leha masih boleh menikmati udara ni, masih boleh berbakti di sekolah, masih boleh menjaga abang."

"Tapi Leha…."

"Sekurang-kurangnya Leha tak ralat bang. Sekurang-kurangnya Leha puas."

Hanafi menghela nafas panjang. Sekali lagi dia gagal memujuk isterinya untuk menjalani pembedahan. "Suka hati Lehalah. Apa yang Leha perlu tahu, setiap tindakan dan apa jua yang Leha nak buat, abang akan sokong," ujarnya mengalah.

"Betul bang?" Soleha mendongak. Wajahnya jelas ceria.

"Betul sayang," Hanafi mengangguk sambil tersenyum. Tidak mengapalah kalau beralah sikit, jika itu boleh menceriakan isterinya.

“Terima kasih bang kerana faham kehendak Leha,” Soleha meraih jemari Hanafi lalu dikucup lembut tangan kasar suaminya itu. Tidak semena-mena tubir matanya hangat.

Hanafi melihat mata Soleha sudah berkaca-kaca lalu dia menyeka lembut. “Sama-sama sayang. Kalau ini yang Leha mahukan, abang ikutkan aja. Kalau ini yang boleh gembirakan hati Leha, abang akan turutkan,” tutur Hanafi lantas merangkul tubuh Soleha dalam dakapannya. Dia menahan sebak di hati.

"Abang…,” seru Soleha perlahan.

“Hmm? Ada apa sayang?” Hanafi meleraikan pelukannya.

Soleha menegakkan semula tubuhnya dan memandang sayu ke wajah Hanafi. “Andainya Leha tak boleh jadi isteri yang sempurna untuk abang, maafkanlah Leha ya bang. Leha tak minta jadi begini bang. Kalau boleh Leha nak hidup lama dengan abang. Leha nak tua bersama-sama dengan abang. Leha teringin nak melahirkan zuriat abang. Tapi Leha tak dapat nak buat semua tu. Leha tak berdaya bang. Leha tak mampu. Leha tak dapat jadi isteri yang baik, yang sempurna untuk abang," Soleha menangis.

Hanafi kelu. Sungguh, dia tidak boleh melihat airmata Soleha itu. Lalu tubuh isterinya itu didakap lagi. Kali ini lebih erat. Dia ingin menyalurkan semangat buat Soleha. Dia ingin mententeramkan jiwa Soleha. Dia tahu Soleha seorang yang tabah. Belakang Soleha digosok lembut.

"Leha, sudahlah jangan cakap begitu. Jangan sedih-sedih macam ni. Tak elok untuk kesihatan Leha, kan? Dah sayang, kita tidur ya?" Ajak Hanafi bersama suara yang bergetar. Susah juga mahu menyembunyikan rasa sebaknya.

Soleha masih dalam esakannya. Dada Hanafi basah dek airmatanya. Dia tidak tahu mengapa dia sangat beremosi malam ini. Mungkin kerana hormonnya tidak stabil ketika ini. Soleha menarik nafas dalam, cuba bertenang seboleh mungkin.

"Maafkan Leha buat abang risau."

"Leha dah penat ni, jom kita tidur ya?"

Soleha mengangguk perlahan. Lalu tubuhnya dicampung Hanafi. Sedikit senyuman terukir di bibir pucat itu. Kepalanya direbahkan semula ke dada Hanafi sambil tangannya memaut leler suaminya itu.

Hanafi tersenyum senang. Sambil berjalan menuju ke katil dia dapat menghidu haruman rambut Soleha dan menjentik satu perasaan di jiwanya. Hanafi cuba mengawal gelora. Sabarlah wahai hati, ini bukan masanya. Soleha tidak stabil malam ini. Dia perlu rehat yang cukup. Hanafi memujuk dirinya sendiri.

"Abang, Leha tak nak tinggalkan abang sorang-sorang. Kesian abang tak ada siapa yang jaga nanti," kata Soleha sebaik tubuhnya mencecah tilam.

"Leha tak akan tinggalkan abang. Tempat Leha di sisi abang," kata Hanafi sambil menarik selimut untuk Soleha.

Soleha tersenyum kecil. "Abang tahukan Leha akan pergi? Sakit Leha ni dah tak ada harapan lagi bang. Sampai masa, Leha akan tinggalkan abang juga. Cuma lambat atau cepat, itu saja. Nanti abang pasti akan berasa sunyi, kan?" Teka Soleha sambil mencari mata Hanafi.

"Taklah. Keluarga abang ada, kawan-kawan pun ada. Lagipun, abang percaya Leha tak akan tinggalkan abang," nafi Hanafi lagi. Dia berpura-pura membetulkan selimut Soleha agar matanya tidak bertembung dengan mata Soleha.

Senyuman tipis mekar lagi di ulas bibir Soleha yang kering itu. Senyuman itu pun hanya sekadar menyedapkan hati Hanafi saja namun jiwanya meronta-ronta kesedihan. Sedih kerana Hanafi tidak mahu menerima hakikat permergiannya suatu hari nanti.

"Dahlah jangan merepek-repek lagi. Leha tidur ya? Leha penat ni," pujuk Hanafi lagi. Kucupan kasih singgah di dahi isterinya itu. Dia juga turut merebahkan tubuhnya bersama keluhan kecil. Terkebil-kebil matanya di dalam samar-samar lampu bilik. Setiap patah yang keluar dari bibir Soleha sebentar tadi cukup menjerut hatinya. Jujur, dia masih belum bersedia.

"Cassandra tu cantikkan bang?" Tanya Soleha tiba-tiba setelah lama berdiam diri.

Hanafi berkerut kening. Serta-merta mengalih kepalanya ke arah Soleha. Menatap wajah isterinya yang bersahaja merenung siling.

"Laa.. tak tidur lagi? Dah-dah, esok-esok aja kita sambung ya?"

"Kulit dia cantik, putih bersih. Mata dia sepet tapi lawa." Soleha tertawa kecil.

Hanafi hanya membatu diri. Lebih baik mendengar saja dari menyampuk. Nanti panjang pula omelan isterinya itu.

"Dari pandangan mata Leha ni, Cassandra tu bijak orangnya. Cuma, kurang sabar sikit. Bahasa Melayunya pun bukan main fasih lagi."

Hanafi mengakui itu. Gadis Cina itu sangat fasih berbahasa Melayu. Sama seperti gadis Cina yang…. Ah, itu gadis yang sama! Gadis Cina yang dia langgar di restoran tempoh hari adalah Cassandra! Patutlah dia macam pernah jumpa. Tapi, santun pulak kali ini? Tak adalah garang macam dulu. Tak sangka, dia berjumpa lagi dengan gadis itu. Dalam diam Hanafi mengukir senyum nipis.

"Abang tahu, mak dia baba nyonya dan beragama Buddha, ayahnya pula Cina Katolik. Tapi dia tak ikut mana-mana agama pun bang. Dia tu freethinker. Dia kata, dia tak percaya mana-mana agama pun. Dia kata, dia dah study semua agama kat dunia ni kecuali Islam. Leha tanyalah kenapa dia tak berminat nak study pasal Islam? Ada ke dia cakap Islam ni kolot, rumit dan pengganas? Hmm… kalaulah dia tahu betapa indahnya Islam. Betapa mudahnya Islam ni. Mesti dia jatuh cinta dengan Islam, kan bang?" Soleha berpaling merenung Hanafi dalam kesamaran. Suaminya itu memejamkan mata. Dia pasti Hanafi masih belum tidur. Hanafi hanya berpura-pura sahaja. Soleha menggoyangkan bahu Hanafi.

"Abang… abang dengar tak apa Leha cakap ni?" Rengek Soleha.

"Hmm?" Hanafi menyahut malas.

Soleha tersenyum manis. Seperti jangkaannya Hanafi masih belum tidur. "Abang tahu, Leha bagi dia pinjam buku kegemaran Leha. Ala, yang tajuknya Iman Dan Kehidupan tu. Biar dia baca tentang iman dulu. Nanti baru senang nak cerita kat dia apa itu Islam, kan bang?" Soleha diam seketika. Kemudian berpaling merenung suaminya lagi.

"Abang! Dengar tak apa Leha cakap ni?" Soleha menolak bahu Hanafi. Bibirnya muncung.

Hanafi membatu diri, sementara Soleha pura-pura merajuk. "Tak apalah bang, abang tak nak dengar suara Leha sekarang pun tak apa. Leha tak kisah. Nanti, bila Leha dah tak ada baru abang rindu pada suara buluh perindu Leha ni tau."

Kata-kata soleha itu berjaya membuka mata Hanafi seluasnya lalu dia berpaling merenung Soleha.

"Kenapa Leha cakap macam tu? Siapa kata abang tak nak dengar? Abang dengarlah isteri abang ni potpet-potpet macam bertih jagung. Tak penat ke? Tidurlah ya? Dah lewat ni. Esok kita sambung lagi."

"Yelah…." jawab Soleha berlagu. Berpura-pura merajuk.

"Tengok tu? Amboi, panjangnya muncung. Boleh sangkut baju tau. Mari sini abang nak cium sikit."

Serta-merta Soleha kemamkan bibirnya. Membuat Hanafi tergelak besar.

"Sayang takut eh?" Hanafi tersenyum nakal. Terhibur dengan keletah isterinya itu.

"Eh, apa pasal mata Leha ni tiba-tiba aja berat ni? Leha tidur dulu ya bang, ngantuklah," kata Soleha memberi alasan.

"Aik? Baru nak cium dah mengantuk? Mana perginya muncung yang panjang tu?" Tanya Hanafi sambil mencuit bibir nipis Soleha.

"Selamat malam abang," ucap Soleha tanpa menghiraukan usikan Hanafi itu. Sempat juga dia menjelirkan lidahnya tanda mengejek.

Hanafi tergelak lagi sambil menggelengkan. "Selamat malam sayang. Tidur tau. Jangan lupa baca doa."

Soleha tersenyum. Setelah membaca doa, dia menutup matanya perlahan. Sebuah kucupan hangat terasa singgah di dahinya. Tangan Hanafi yang melingkari pinggangnya digenggam erat.

0 Suara Merdu Anda:

Post a Comment