Akulah Cinderella 11

“Macam mana? Setuju?”

Aku memandang Alia dan Aida.

“Aida ikut aja, mana yang kak Syah fikir baik, baik jugalah bagi Aida.”

“Alia?”

“Lia rasa, macam tak berapa eloklah kak Syah. Tak menyusahkan Datin tu ke?”

“Kita ada pilihan tak?”

“Kalau kita minta makcik Senah jadi penjaga yang sah macam mana?”

Alia masih berkira-kira mencari alasan.

“Itu akan menyusahkan makcik Senah. Dia sendiri pun janda. Nanti lansung tak ada orang nak kat dia kerana kita.”

Mereka berdua tergelak.

“Okey, mari kita senaraikan buruk dan baiknya nak tak?”

Aida mengambil sehelai kertas dan sebatang pen.

“Okey kak Syah senaraikan kebaikan, kak Lia senaraikan keburukan, Aida tukang tulis.”

Aku dan Alia saling berpandangan dan tersenyum melihat gelagat Aida.

“Okey, keburukan yang pertama. Dia orang kaya, kita ni miskin. Datin tu akan mendapat malu jika membela kita yang sangat daif dan naïf ni.”

Ya, ada benar juga kata-kata Alia itu. Pasti reputasi Datin Zulaikha terjejas kerana kami.

“Okey, kebaikannya pulak, kita akan mendapat tempat tinggal yang selesa, makanan berkhasiat, persekitaran yang bersih. Sihat untuk badan dan otak. Baru senang nak belajar.”

Aku mencedok idea dari kata-kata Sarah semalam.


“Okey 1-1,” Aida tersenyum.

“Keburukan yang kedua, kita tak kenal sangat siapa dia. Kalau barang berharga dia hilang ke, lepas tu dia marah kita atau dia pukul kita macam mana? Pada siapa kita nak mengadu?”

Betul juga kata Alia itu. Tapi aku tidak akan membenarkan ianya berlaku. Selagi aku hidup, tiada siapa pun boleh menjentik adik-adikku. Nak dera, deralah diriku seorang saja.

“Okey, lagi satu kebaikan, kita dapat merasai kasih sayang seorang ibu. Percayalah cakap Kak Syah, setakat ini dia memang baik dan lembut. Macam ibu.”

Mereka berdua merenungku. Aku hanya tersenyum hambar. Aku tahu mereka amat merindui ibu. Terutama sekali Alia. Dialah yang paling rapat sekali dengan ibu.

“Kak Syah sure? Confirm ni?”

Alia inginkan kepastian. Sinar matanya ceria. Betullah memang dia sangat merindui ibu. Aku hanya mengangguk.

“Okey 2-2,”

“Keburukan yang ketiga ialah, macam mana kalau dia dah tak sayang kita? Dia halau kita? Mana kita nak pergi? Nak balik sini, rumah dah tak ada.”

Sekali lagi aku menelan kata-kata Alia itu. Bagaimana kalau ianya benar-benar berlaku? Mereka merenungku semula.

“Kak Syah janji itu tak akan berlaku. Kalau betul-betul berlaku pun, kita pergi mengadu kat JKM. Pasti dia kena punya.”

Jaminan itu sekadar menutup gelisah di hatiku sebenarnya. Alia dan Aida tersengih.

“Betul ni kak Syah?”

Alia sekali lagi inginkan kepastian. Aku mengangguk perlahan.

“Kebaikan lagi satu, kita ada bilik sendiri. Bukan ke itu yang kita mahu dari dulu? Kita boleh decorate bilik kita sendiri. Kita ada privacy. Rumah dia ada sepuluh bilik tau.”

“Sepuluh bilik? Banyaknya!”

Mereka bersuara serentak. Reaksi mereka sama sepertiku malam tadi.

“Okey 3-3, ada lagi?”

“Rasanya tak ada kot.”

Alia berkerut kening sedang memikir keburukan-keburukan yang lain.

“Okey, kalau macam tu keputusannya seri.”

Aida tersengih sambil menayangkan kertas yang tercatit kemas.

“Ada lagi satu kebaikan.”

Mereka menoleh dan terkebil-kebil merenungku.

“Ada lagi? Apa dia?”

“Kak Syah dapat bersekolah semula.”

“Betul ke Kak Syah? Betul ke ni? Alhamdulillah, termakbul juga doa Lia.”

“Kau doakan kak Syah ke?”

“Yalah. Akak dah banyak berkorban demi kami semua. Doa Lia, supaya kak Syah dapat belajar lagi walaupun kak Syah dah tua sikit.”

Tiba-tiba aku rasa sungguh terharu. Aku peluk Alia.

“Ehem! Bukan kak Lia seorang saja yang doakan untuk kak Syah, Aida pun ada tau.”

“Ya ke? Aida doa apa?”

“Banyak.”

“Banyak? Hmm.. apa dia tu?”

Hatiku digaru rasa ingin tahu. Apa pulak doa si Aida untukku agaknya?

“Aida doa supaya akak murah rezeki, akak dapat belajar semula, akak dapat hidup senang, akak akan tukar imej semula dan bertemu jodoh dengan orang kaya.”

Tawa kami terburai. Lucu sangat dengan gelagat Aida itu, siap dengan memek mukanya sekali. Sayang juga mereka kepadaku.

“Okey, kak Syah janji ini hanya temporary aja. Bila umur kak Syah dah 18 tahun nanti, kak Syah sendiri akan mengambil alih menjaga korang semula. Cuma kak Syah minta korang semua bersabar dan bertahan selagi boleh ya? Hanya setahun aja. Bolehkan?”

“Promise?”

Aida sudah menegakkan jari kelingkingnya.

“Promise!”

Kami mengait jari kelingking sesama sendiri. Ya, cuma setahun saja yang ku perlukan untuk menjadi penjaga yang sah. Dan cuma setahun saja aku akan tinggal bersama Datin Zulaikha. Menjadi anak angkatnya. Harap-harap semuanya berjalan dengan lancar.

0 Suara Merdu Anda:

Post a Comment