Melankolik Cinta Cassandra 8

Cassandra meraup wajah. Mimpi itu datang lagi. Mimpi yang sama dan di waktu yang sama. Apakah maksudnya? Dia benar-benar ingin tahu. Kepada siapa dia harus mengadu?

Cassandra turun dari katil dan menapak perlahan ke jendela kamar. Tabir nipis berwarna putih itu disuak santun. Semilir dingin menerobos lembut ke kulit wajahnya yang mulus. Menggamit remang romanya. Entah mengapa hatinya begitu merindui ibunya. Walhal baru kelmarin dia bersua muka. Terasa ingin bermanja-manja pula. Dulu jika dia terbangun dari tidur begini atau tidak boleh lena, pasti ibunya menemani dia sehingga dia terlentok pulas di riba wanita itu. Kini tidak lagi. Dia bukan lagi sang puteri manja yang perlu dibelai dan dipujuk tatkala hati dilanda gundah. Dia kini adalah gadis cekal, dia sangat tabah. Kerana dia telah pun memilih jalan ini.

Cassandra mengeluh. Jika begitu apakah masalah dirinya sekarang? Mengapa hatinya berasa tidak enak? Sejak mimpi yang tidak diundang itu kerap hadir dalam lenanya, dia sering mengeluh. Dia seolah-olah tercari-cari sesuatu. Dia bagaikan terkapai-kapai. Jika ditanya pada hatinya, apakah dia merindui ibu, itu bukanlah jawapan yang tepat. Ayahnya? Mana mungkin! Jimmy Yap? Jauh sekali! Entahlah, dia sendiri tidak mengerti. Jam di dinding dikerling sekilas. Tiada tanda-tanda matanya ingin layu semula. Nak buat apa ya? Waktu-waktu begini semua teman-teman sedang diulit mimpi yang indah. Tiada guna jika dia menghantar sms pun.

Sedang dia terkebil-kebil melayan matanya yang segar bugar itu, Cassandra terpandang kotak empat segi yang elok diam di atas almarinya. Dia mengambilnya lalu dibawa ke katil. Penutup kotak itu dibuka perlahan. Segala isi perut kotak itu dikeluarkan satu-persatu. Kebanyakannya barang-barang pemberian dari Jimmy Yap. Tanda kasih lelaki itu padanya suatu masa dahulu. Saat itu dia benar-benar bahagia menyulam cinta bersama Jimmy Yap. Namun itu semua adalah kisah silam. Dia telah meletak kenangan manis itu ke tepi. Namun masih belum berani untuk membuangnya. Cassandra sedar di satu sudut dalam hatinya masih terpahat nama lelaki itu. Masih belum ingin dicampak jauh. Walaupun hubungan itu sudah lama berkubur.
Cassandra menyentuh bingkai gambar yang berwarna merah. Semerah hatinya saat berkasihan dengan Jimmy Yap. Hangat dan membara. Jemari halusnya menyapu sedikit habuk yang terlekat di permukaan bingkai gambar itu. Barulah jelas, wajah Jimmy Yap yang tertawa riang sedang memeluknya yang juga mengukir senyuman bahagia. Ah, betapa indah saat itu bila dikenang. Semuanya manis belaka. Sehinggalah Jimmy Yap tega menghunus bilah-bilah tajam yang melumatkan sekeping hatinya. Luka dan berdarah. Jika sembuh pun parutnya tetap ada dan kekal. Sejak itu cintanya pada Jimmy Yap terus mati. Berkubur ditimbus kebencian.


***


Ralit bola matanya melihat kanak-kanak yang tertawa riang di taman permainan itu. Sayu jiwanya menyoroti keletah anak-anak comel yang lincah di hadapannya. Dia dambakan seorang cahaya mata. Alangkah indahnya jika dia menjadi ibu. Betapa sempurnanya diri sebagai seorang wanita jika dapat memberi zuriat kepada suami tercinta. Soleha sebak.

“Sudahlah tu jangan sedih-sedih. Dah tak ada rezeki kita nak buat macam mana lagi, kan? Sabar banyak-banyak,” pujuk Hanafi lembut.

“Maafkan Leha bang, Leha tak dapat jadi isteri yang sempurna untuk abang,” kata Soleha sambil menyeka airmata yang mula bergenang.

“Siapa cakap Leha bukan isteri yang sempurna? Sayang, walau apa pun yang terjadi, abang tetap sayangkan Leha, sama macam dulu juga. Leha tetap sempurna di mata abang,” pujuk Hanafi lagi. Hati lelakinya tidak dapat menahan bila melihat isteri kesayangan sedih begini.

Soleha tergelak kecil.

“Pandai betul abang pujuk Leha ya? Sampai dah cair hati Leha ni,” dia menjeling manja sambil menepuk perlahan bahu Hanafi.

Hanafi turut tergelak.

“Ha, itu tandanya abang ni seorang yang romantik, kan?” Usik Hanafi pula sambil mencubit lembut pipi Soleha.

Soleha tersipu. “Abang bukan saja romantik, abang ni baik dan sabar. Leha rasa bertuah tau,” puji Soleha. Dia benar-benar ikhlas dengan kata-katanya itu.

Pujian Soleha itu membuat Hanafi tersenyum lebar. Kembang setaman hatinya bila dihargai oleh isteri tercinta.

“Kadang-kadang Leha terfikir, kenapa abang jatuh hati pada Leha dulu ya? Leha ni tak lawa pun, Leha tak bijak macam abang, Leha bukan wanita sempurna untuk abang. Banyak sangat kurangnya Leha ni,” tutur Soleha sayu.

“Eh, siapa cakap Leha tak lawa? Memanglah ramai perempuan cantik, tapi bagi abang perempuan tu tak secantik Leha. Kalau ada perempuan yang pandai pun, pasti tidak sebijak Soleha abang yang seorang ni,” ujar Hanafi sambil mencubit pipi Soleha sekali lagi.

“Macam abang cakap tadi, Leha tetap sempurna di mata abang. Kalau ada kurangnya Leha, abang tolong lengkapkan dan kalau abang yang kurang Lehalah yang lengkapkan hidup abang,” sambungnya lagi.

Soleha tersenyum. Perasaan sayu yang menjengah tadi hilang bila dipujuk Hanafi.

“Pandailah abang nak pujuk Leha eh?” Kata Soleha sambil menjeling manja.

“Abang bukan memujuklah. Abang cakap tentang kenyataan yang berada di depan mata abang ni. Apa yang abang katakan lahir dari hati abang yang tulus, sayang.”

Soleha tersenyum bahagia. Hanafi sentiasa berlembut dan terlalu menjaga perasaannya. Perlahan dia merebahkan kepala ke bahu suaminya itu.

“Eh, ni kenapa ni? Nak manja-manja dengan abanglah tu ya?” Hanafi mencuit hidung Soleha. Tangannya mula melingkar di bahu Soleha.

Soleha tersipu manja. “Salah ke? Bukannya lama lagi Leha nak bermanja dengan abang,” tutur Soleha sambil jemarinya bermain-main di telapak tangan Hanafi.

“Leha, kenapa cakap macam ni? Abang tak suka dengarlah,” protes Hanafi untuk sekian kalinya. Memang dia tidak sanggup untuk mendengar. Tapi ayat yang sama jugalah yang sering Soleha sebut-sebut.

“Suka atau tidak, itu hakikatnya bang. Abang harus bersedia dari sekarang,” Soleha cuba memberi peringatan.

Jeritan kecil seorang perempuan membuat lamunannya berkecai. Soleha memandang ke arah suara yang mengaduh kesakitan itu. Kelihatan seorang gadis Cina sedang menunduk menekan perutnya. Soleha tidak berlengah lalu mendapatkan gadis itu segera.

“Adik tak apa-apa?” Tanya Soleha sedikit cemas.

Berkerut wajah gadis itu. Sepertinya sedang menahan senak. Soleha terpandang sebiji bola sepak berdekatan gadis yang sedang menahan sakit itu. Pastinya sebiji bola keras itu telah menjadikan perut gadis itu sebagai sasaran. Kasihan.

“Sorry kak, tak sengaja,” tiba-tiba datang kanak-kanak lelaki lebih kurang berumur sembilan tahun.

Tersengih-sengih dengan muka yang berminyak dan berpeluh-peluh. Wajahnya kelihatan serba salah dan mungkin juga rasa bersalah. Gadis Cina yang sedang menahan sakit itu cuba mengukir senyum.

“It’s okay.”

“Err… saya nak ambil balik bola tu ya?” Teragak-agak budak lelaki itu ingin melangkah. Dia merenung Soleha sambil tersengih.

“Boleh ya makcik?” Sekali lagi budak itu meminta kebenaran.

Soleha tersenyum manis. Sambil mengangguk. “Boleh sayang, tapi lain kali berhati-hati ya, tengok-tengok keadaan sekeliling,” sempat dia memberi pesanan kepada budak lelaki itu.

“Jom duduk sana,” ajak Soleha setelah budak lelaki itu berlalu meninggalkan mereka. Dia mengagahkan diri memapah gadis itu yang masih membongok menahan senak di perutnya.

“Adik tak apa-apa?” Soleha bertanya sekali lagi.

“Yes, I’m okay. Kakak jangan risaulah.”

Soleha tersenyum manis lalu meghulurkan tangan untuk berjabat.

“Nama akak Soleha. Guru agama di Sekolah Rendah Sri Melati,” ujarnya memperkenalkan diri.

“Oh, maknanya kakak ni ustazahlah ya?”

Soleha tersenyum.

“Panggil kak Leha saja ya? Adik tinggal di mana? Tak pernah nampak pun sebelum ni?” Soal Soleha lagi.

“Oh, kebetulan lalu di sini. Saja nak cuci mata tengok budak-budak bermain di sini.”

Soleha mengangguk perlahan. Dia amati gadis itu. Cantik dan fasih berbahasa Melayu.

“Kak Leha tinggal dekat-dekat sini juga?”

“Iya. Rumah akak kat sana tu. Yang ada buaian di depan tu,” Soleha menunjuk ke arah rumahnya.

“Oh yang itu ya. Hmm, cantik rumah kak Leha. Selalu ke kak Leha datang ke sini?”

“Tak juga selalu, bila ada kelapangan, di sinilah akak habiskan masa. Seronok tengok budak-budak bermain. Terhibur rasanya.”

“Yang mana satu anak kak Leha?”

Entah mengapa soalan mulus gadis Cina itu mengundang sayu di hatinya. “Erm, akak tak ada anak,” jawab Soleha perlahan.

“Oh, maafkan saya. Saya tak tahu. Betul-betul minta maaf ya kak.”

“Eh, tak apalah. Adik tak salah,” Soleha cuba memaniskan muka agar gadis itu tidak rasa bersalah pada soalannya tadi. Dia terpaksa berpura-pura begitu. Baginya tiada guna hendak menyalahkan takdir atau sesiapa pun.

“Oh ya, sembang-sembang juga, nama adik ni siapa?” Tanya Soleha cuba mengubah topik perbualan.

“Oh ya! Sorry, forgot to introduce myself. Saya Cassandra. Cassandra Lau Mei Lin,” jawab Cassandra tersenyum manis.

“Cassandra. Sedap nama tu,” puji Soleha.

Cassandra tergelak manja. “Sedap macam boleh dimakan ye kak?”

Giliran Soleha pula tertawa. “Fasih berbahasa Melayu ya? Mesti dulu sekolah Melayu, kan?” Tanya Soleha.

Bukan dia berniat untuk mencungkil rahsia kehidupan gadis itu tetapi hanya sekadar untuk berkenalan dengan ikhlas.

“Iya betul tu. Dulu saya sekolah Melayu. Jadi ramai kawan-kawan saya Melayu. Lagipun mummy saya keturunan Baba Nyonya. Mummy tak pandai cakap Mandarin atau English kak. Jadi mummy sentiasa berbahasa Melayu di rumah,” terang Cassandra panjang lebar.

“Oh begitu, patutlah… ayah Cassandra pula?”

“Daddy berbangsa Tiong Hua dan beragama Katolik. Mummy pula beragama Budhha,” Cassandra tersenyum melihat wajah Solehah yang sedikit tercengang bila kisah peribadinya terbongkar.

“Jadi Cassandra ikut agama siapa? Mak atau ayah?” Tanya Soleha lagi. Dia agak tertarik dengan latar belakang Cassandra.

Cassandra tergelak kecil. “Tak ada agama kak Leha. Saya free thinker,” jawabnya jujur.

Soleha mengangguk perlahan. Kasihannya. Ingin saja dia perkenalkan dunia Islam pada gadis itu. Tetapi entah mengapa lidahnya tiba-tiba kelu. Mungkin belum sampai masanya lagi. Biarlah dia berkenal-kenalan dengan gadis ini dahulu. Dia akan mencuba perlahan-lahan. Tidak sabar rasanya ingin menceritakan betapa indahnya Islam itu. Satu-satunya agama yang benar, yang lurus.

0 Suara Merdu Anda:

Post a Comment