Kerana Sebuah Janji 6

Dani menutup kasar pintu utama rumahnya itu. Hatinya sedikit terganggu dengan gurauan Mursyid petang tadi. Wajah Mursyid ketika itu sangat berkeyakinan dilihatnya. Seolah-olah gurauan itu benar. Seolah-olah Mursyid dan Dahlia memang mempunyai hubungan di luar pengetahuannya. Dia amat pasti, Dahlia itu gadis yang berpura-pura. Gadis yang ingin mengambil kesempatan terhadap orang di sekelilingnya. Dani tidak berpuas hati. Dia harus bersemuka dengan gadis itu. Langkah diatur laju menuju ke dapur bila mendengar bunyi pinggan-pinggan yang berlaga.

“Kak Miah!”

Hampir telepas pinggan di tangan Salmiah dengan jerkahan dari majikannya itu. Perlahan dia mengurut dada.

“Astagfirullahalazim, encik Dani ni, terkejut akak.”

Dani hanya mampu mempamerkan senyuman kelat kerana keterlanjuran perbuatannya itu. Matanya melilau seluruh dapur. Mana dia?

“Kenapa encik Dani? Cari puan ke?”

“Dahlia. Mana dia?”

“Oh, dia ada dalam bilik kot. Pergilah tengok.”

“Kenapa dia tak tolong akak kat dapur?”

“Dia kata sakit kepala tadi. Akak suruh aja dia baring, tak payah tolong akak.”

“Oh..”

“Mama mana?”

“Puan pun dalam bilik.”

“Hmm.. tak apalah.”

Dani memusing tubuhnya ingin segera berlalu. Hati yang panas tadi sedikit gusar bila mengetahui Dahlia sakit kepala. Langkah diaturnya menuju ke bilik gadis itu. Namun sebaik saja sampai di depan pintu bilik Dahlia, dia jadi kaku. Nak ketuk ke tak nak? Hatinya bersoal jawab sendiri. Entah kenapa dia rasa serba tidak kena. Separuh hati ingin meminta kepastian dari Dahlia. Separuh hati lagi memujuknya supaya bersabar. Gadis itu sedang sakit. Teragak-agak tangannya mahu mengetuk pintu kayu itu.


“Dani?”

Dani tersentak lalu menoleh.

“Err, mama. Terkejut Dani. Ingat siapa tadi.”

Zarina tersenyum meleret melihat kegugupan anak bujangnya itu.

“Dani buat apa kat bilik Dahlia ni? Nak jumpa dia ke?”

“Tak adalah mama, just curious, betul ke dia sakit kepala atau buat-buat sakit?”

“Oh gitu, caring juga ya anak mama ni?”

Zarina menyengih penuh makna.

“Ish, mama ni ke situ pulak. Dani just nak confirmkan aja. Mana tahu dia malas ke dapur. Buatlah kerja sikit jangan nak duduk free aja kat sini.”

“Dani, tak baik cakap macam tu, dia dah banyak tolong dah. Dani aja yang tak tahu.”

Dani mencebik geram. Mamanya ini selalu sangat menyebelahi Dahlia. Sebab itulah Dahlia semakin mengada-ngada.

“Dahlah, baik Dani masuk bilik, mandi dulu. Lepas tu kita boleh makan sama-sama ya?”

“Hmm, iyalah ma.”

Sekilas Dani merenung pintu bilik Dahlia yang masih bertutup rapat. Zarina hanya tersenyum nipis melihat perlakuan anak kesayangannya itu. Jauh di sudut hatinya, lega dengan keprihatinan Dani. Walaupun anaknya itu menafikan, namun dia tahu Dani mula boleh menerima kehadiran Dahlia di rumah ini atau hadir di hatinya barangkali. Zarina melangkah senang menuju dapur.

Dari dalam bilik Dahlia menyeka airmata yang bergenang. Kata-kata Dani yang didengarinya tadi mengguris hati. Tega sungguh Dani menyakiti hatinya terus-terusan begitu. Apakah salahnya pada lelaki itu? Kepala yang berdenyut membuat dia hilang daya untuk bangun. Perlahan tubuh direbah ke atas tilam semula.


***************


Sebaik selesai membersihkan diri, Dani mengatur langkah untuk turun. Sekilas dia memandang pintu kamar Dahlia yang masih tertutup. Sebaik menoleh semula Dani tersentak sedikit bila Salmiah sudah tersenyum manis meniti satu-persatu anak tangga.

“Nak ke mana kak Miah?”

“Puan suruh kejutkan Lia, ajak makan sekali.”

“Hmm, tak apalah, kak Miah pergilah siap makanan, biar saya yang kejutkan.”

“Eh, tak apa ke ni encik? Tak menyusahkan ke?”

“Tak. Kak Miah pergilah ke dapur. Beritahu mama nanti saya turun dengan Dahlia.”

Salmiah tersenyum mendengar ayat terakhir itu.

“Baiklah.”

Dani berpusing semula ke arah bilik Dahlia. Nafas ditarik dalam-dalam. Aneh, debaran di dada tiba-tiba hadir. Tiga kali pintu diketuk. Diam. Tidur mati agaknya budak ni. Gumam hatinya. Sekali lagi pintu kamar berukir cantik itu diketuk. Dani terus menunggu. Dia merengus perlahan. Kesabaranya mula menipis. Kali ini pintu itu diketuk agak kuat. Memang tidur mati! Dani yang ingin berpaling, mematikan langkah saat mendengar tombol pintu dipulas perlahan. Kepala Dahlia terjengul sedikit. Berkerut kening gadis itu melihat Dani berdiri tegak di depan pintu biliknya.

“Kenapa lambat sangat buka? Tidur mati ke? Naik roboh pintu ni aku ketuk.”

Dahlia membetulkan tudungnya. Mulut dikunci rapat. Tangannya berpaut pada pintu agar tidak jatuh. Kepalanya betul-betul sakit. Berpinar pandangannya membalas renungan tajam Dani. Lelaki itu pula agak simpati melihat keadaan Dahlia yang agak tidak bermaya itu. Namun perasaan marah dan geram mengatasi niatnya untuk bertanya tentang gadis itu.

“Mama panggil makan.”

“Tak apalah, saya tak ada selera.”

“Jangan mengada-ngada boleh tak? Karang perut kau tu masuk angin, sakit lain pula yang datang. Dah, jom!”

“Cakap dekat aunty, saya tak nak makan.”

Dani merenung tajam gadis itu. Bukan main degilnya lagi.

“Turun sekarang!”

Dahlia tersentap mendengar suara Dani yang agak keras itu. Kenapa mesti nak paksa-paksa? Dia benar-benar tak lalu makan. Kepalanya berdenyut, pandangannya berpinar, macam mana nak turun ke dapur?

Tanpa bercakap banyak Dahlia melangkah perlahan, setapak demi setapak. Lantai dirasakan lembut untuk dia berpijak. Dani hanya memerhati langkah tidak stabil Dahlia itu. Hati lelakinya bimbang jika gadis itu tumbang. Jadi dia perlu berhati-hati dan melangkah perlahan juga mengikut rentak Dahlia. Dalam keterpaksaan Dahlia gagahi diri. Menggigil tubuhnya menahan kepala yang berdenyut. Pandangnya yang berpinar itu semakin kabur dan gelap. Namun sempat Dani menyambar tubuh gadis itu. Dahlia terkulai dipangkuannya. Dani panik.

“Mama, kak Miah!”

Jeritnya bertalu-bertalu. Terkocoh-kocoh dua orang wanita itu memanjat tangga. Bulat mata Zarina melihat sekujur tubuh Dahlia terkulai di pangkuan anaknya.

“Kenapa Dani? Kenapa Dahlia ni?”

“Dia pengsan ma, jalan terhoyong-hayang lepas tu rebah.”

“Dia nak ke mana?”

“La, tadi bukan mama panggil dia makan ke?”

Zarina diam seketika.

“Dah, angkat dia masuk bilik. Miah, ambil air suam.”

“Baik puan.”

Dani turuti saja arahan ibunya itu. Dalam debar dia mengangkat tubuh kurus Dahlia. Kini gadis itu betul-betul rapat ke dada bidangnya. Walau dia tidak suka pada Dahlia, namun hebatnya rentak jantungnya ketika ini, membuat dia serba tidak kena. Zarina yang memerhati tingkah anak bujangnya itu, menyembunyikan senyum. Hebat sungguh pesona Dahlia, tika pengsan pun boleh membuat jiwa anaknya kacau seketika.
Perlahan tubuh Dahlia diletakkan di atas katil. Haruman tubuh gadis itu benar-benar menggugah perasaannya. Boleh saja tergugat kesetiaannya pada Juliana selama ini.

“Ini airnya puan.”

“Letak situ.”

Zarina mengelus lembut kepala Dahlia yang sentiasa bertutup itu. Tidak pernah lagi Dahlia mendedahkan auratnya di depan Dani, mahupun arwah suaminya dulu. Anak gadis ini sopan tingkahnya, luhur budi bahasanya malah manis sekali wajahnya. Memang tidak silap arwah suaminya memilih Dahlia sebagai menantu di rumah ini. Tapi, sikap Dani yang sedikit kasar ketika melayani gadis itu membimbangkan hati kecilnya.

“Mama, pergilah makan dulu. Kak Miah, ajak mama makan.”

“Jom puan, karang sejuk pulak makanan kat dapur tu.”

“Hmm, yelah. Dani temankan Lia dulu ya. Karang mama take over.”

Dani mengangguk perlahan.

“Ha, jangan tutup pintu ni.”

Zarina tersenyum mengusik.

“Mama ni! Ishh.. ke situ pulak.”

Salmiah dan Zarina tergelak kecil sambil berlalu. Dani mengeluh perlahan. Apa yang dikeluhnya dia sendiri tidak pasti. Dani melabuh punggungnya di meja tulis Dahlia. Ini pertama kali dia masuk ke bilik gadis itu. Matanya meliar memerhati sekeliling bilik itu. Simple dan kemas. Matanya beralih semula ke atas meja, terpaku pada bingkai gambar comel berbunga. Dahlia bersama teman baiknya, Balqis. Dia mengenali Balqis kerana gadis itu sering datang ke rumahnya untuk belajar bersama-sama Dahlia.

Dani merenung Dahlia sekilas. Masih tiada tanda-tanda untuk sedar. Perlahan dia bangun dan melabuhkan punggung di atas tilam. Pertama kali dalam hidup dia dapat melihat wajah Dahlia sejelas-jelasnya. Itu pun kerana gadis itu tidak sedarkan diri ketika ini. Wajah putih mulus itu ditenung. Mata cantik gadis itu tertutup rapat. Alis lentik semulajadi gadis itu adalah pelengkap kepada sepasang mata bundar miliknya. Mata Dani masih tekun menilik wajah tenang itu. Ingin sekali dia menyentuh pipi gebu itu. Namun perasaan takutnya lebih menguasai kehendak jemarinya itu. Mata nakalnya beralih pula ke susuk tubuh gadis itu.

Kurus! Desis hatinya.

Kini mata itu melekat di dada Dahlia yang berombak perlahan. Dani telan air liur. Tubuhnya rasa meruap. Ah sudah, apa hal aku ni? Bergetar hebat naluri lelakinya ketika ini. Cepat-cepat matanya dialih ke lain. Dani menarik nafas sedalam-dalamnya. Cuba menenangkan diri yang sedikit tidak keruan.

Dia pandang Dahlia semula. Kini matanya jatuh pada seulas bibir nipis milik gadis itu. Lama bibir itu dipandang. Gelora di jiwanya tidak mampu dikawal lagi. Perlahan Dani merapatkan wajahnya ke wajah Dahlia. Dia menelan air liur sekali lagi. Seulas bibir merah Dahlia menjadi tatapan mata. Kehendak naluri lelakinya cuba ditahan. Keinginannya itu mengucup bibir gadis itu cuba dikawal sedaya mampu.

Jangan Dani! Jangan. Dia bukan milik kau lagi. Berdosa!

Secepat kilat Dani bangun. Tersedar dari hasutan syaitan laknatullah. Dani meraup muka perlahan. Dadanya digosok perlahan agar jantung yang berdetak laju tadi dapat memperlahankan rentaknya. Dani mengatur nafas. Hebat sungguh penangan gadis ini sehingga tidak keruan dibuatnya sebentar tadi. Dani menarik kerusi dan duduk semula di meja tulis gadis itu. Lambatnya mama makan?

6 Suara Merdu Anda:

Anonymous said...

best cerita ni..sambung ya..

aqilah said...

hahaaaaaaa...dani...tak kenal, maka tak cinta.............

fezmia said...

best....!

Hafia Hana said...

sbnrnysa diorg dh kawen ke blom?

Anonymous said...

HEBAT CERITANYA

jue said...

Saya suka cerita ini....sambung ya jgn x sambung

Post a Comment