Cintaku 100% 19

“Abang, Leha tak tahanlah, sakit…,” rintih Soleha sayu bila Hanafi mengingatkannya tentang rawatan radioterapi yang harus dia hadiri hari ini.

“Leha, rawatan ni kan penting. Ada dua sesi saja lagi yang tinggal. Sabar ya?” Pujuk Hanafi lembut.

“Tak sanggup bang, sakit sangat.”

“Abang tahu, tapi Leha nak sembuhkan?” Hanafi terus memujuk dengan lembut.

“Abang tahu Leha tak akan sembuhkan? Jadi biarkanlah saja Leha habiskan sisa-sisa hidup Leha ni,” tukas Soleha.

“Janganlah cakap macam tu sayang. Sekurang-kurangnya kita berusaha, kan? Jangan mudah putus asa. Setiap penyakit ada penawarnya. Selebihnya kita berserah pada Allah. Dia yang memberi penyakit ni dan Dia juga yang akan menyembuhkannya.”

Hanafi mengatur nafas. Perbualannya dengan Soleha pagi tadi mengundang sebak. Dia tahu penderitaan Soleha saban hari. Sakitnya, peritnya, semua dia saksikan sendiri. Andainya boleh beralih sakit itu kepadanya sudah lama dia menerimanya. Dia tidak pernah menyalahkan takdir, apa yang tertulis untuk isteri dan dirinya dia terima dengan reda.

Hanafi merenung lembut wajah kesayangannya itu yang sedang diulit lena. Terlalu lemah dan lesu wajah itu. Hanafi membelai lembut ubun-ubun Soleha. Perlahan bibirnya diturunkan ke dahi isterinya itu lalu mengucup lembut penuh kasih. Benar, kasihnya pada Soleha tidak boleh disukat. Tidak boleh dijual beli. Dia tahu wanita sebaik Soleha hanya datang sekali sahaja dalam hidupnya. Tiada dua, tiada tiga. Hanya Soleha saja ratu di hatinya. Dia memejamkan matanya.

‘Ya Allah, ya Rahman ya Rahim, berilah kekuatan kepada isteriku untuk menghadapi kesukaran ini. Berilah ketabahan dan kesabaran yang tinggi untuknya demi meniti hari-hari dukanya. Aku mohon ya Rabb, berilah kesembuhan serta penawar padanya, kerana aku tahu hanya Engkau yang mengetahui atas segala-galanya dan Engkaulah penyembuh segala kedukaan,’ Hanafi merintih di dalam hati. Dia tahu masanya akan tiba tidak lama lagi namun secara jujurnya dia belum bersedia. Langsung tidak!

“Abang….”

Hanafi membuka kelopak matanya perlahan. Suara lemah itu tidak disahutnya. Hanya senyuman manis sebagai menyapa. Biar tenang hati Soleha melihat kuntum senyumnya. Ternyata senyuman ikhlas dari lubuk hati itu dibalas mesra isteri tercinta. Jemari Soleha digapai lalu dibawa ke bibirnya. Kucupan lembut dan hangat itu mampu membuat senyuman Soleha semakin manis.

“Dah lama ke Leha tidur bang?” Tanya Soleha perlahan.

“Ya, abang risau.”

“Abang ni, macam tak biasa pulak. Bukan ke selalunya setiap kali Leha habis treatment Leha akan tidur lama?” Soal Soleha sambil tergelak kecil.

“Abang tahu, cuma abang takut sikit.”

“Abang takut Leha tak bangun-bangun?” Soal Soleha menduga. Tepat merenung bola mata suaminya.

Hanafi mengangguk lemah.

“Abang belum bersedia Leha,” rintihnya perlahan.

Ada getar pada alunan suaranya. Terasa jemari Soleha menggenggam lemah jemarinya.

“Abang harus bersedia mulai sekarang. Leha akan pergi bila-bila masa aja bang,” serentak itu telunjuk Hanafi menyentuh bibir kering Soleha. Dia menggeleng perlahan. Terasa sebak dengan kata-kata Soleha itu. Sungguh, tika ini dia tidak mampu untuk bersuara.

“Abang tahukan, Leha tak mungkin sembuh lagi? Penyakit ni sudah berakar, sudah menjalar dalam badan Leha ni. Leha tak mampu lagi bang. Leha tak tahan. Sudah tak tertanggung dek badan Leha ni. Leha tahu waktu itu akan tiba. Jadi Leha nak abang bersedia dari sekarang. Jangan kerap sangat mendampingi Leha bang. Nanti abang akan terluka teruk.”

Akhirnya gugur jua airmata lelakinya. Dia terpaksa menelan kata-kata pilu Soleha itu.

“Kalau abang tak temankan Leha, siapa lagi sayang? Biarlah abang berada di sisi Leha selagi boleh ya?” Serak suaranya disertai sebak yang mengapung di dada.

“Abang, Leha tak apa-apa. Selagi Leha maintain makan ubat, Leha akan okey. Cuma Leha tak nak abang tertekan kerana nak jaga Leha ni. Abang ada kehidupan abang juga, kan?”

“Kehidupan abang adalah Leha. Abang tak pernah rasa tertekan, tak pernah rasa susah jaga Leha, sayang. Abang rasa bertuah dapat menemani dan melayan Leha,” ujar Hanafi. Nada suaranya bergetar.

“Yang bertuah tu Leha bang, dapat suami sebaik abang yang sanggup melayan kerenah orang sakit macam Leha ni, dapat temankan Leha di saat-saat begini. Leha yang patut bersyukur dengan rahmat Allah ni. Cuma…”

“Cuma apa sayang?” Hanafi segera memotong kata-kata Soleha itu.

“Leha tak sanggup nak susahkan abang. Leha tak sanggup nak tengok abang sedih,” tutur Soleha. Dia sebak.

“Bukan ke abang dah cakap tadi, Leha tak pernah susahkan abang?”

“Tapi, sepatutnya Leha yang menjaga abang, uruskan rumahtangga kita, ni kira dah terbalik pulak.”

“Abang faham keadaan Leha. Hal rumahtangga kita Leha tak payah nak pening-pening memikirkannya. Abang tak pernah bersungut pun, kan? Lagipun, dah memang tanggungjawab abang, kan sayang?”

Soleha menghapus lembut sisa-sisa jernih yang berada di tubir mata suaminya. Remuknya hati melihat tangisan itu hanya Allah saja yang tahu. Dia ingin mengucup pipi suaminya namun kudratnya menghalang untuk dia bergerak. Keadaannya tidak ubah seperti orang yang lumpuh. Walaupun tubuhnya dapat bergerak sedikit, tetapi terlalu lemah sehingga hendak mengangkat tangan untuk mengelap sisa airmata suaminya pun dia menggigil tiada daya.

“Abang kahwin lain ya? Leha izinkan,” bibirnya mengelopak senyum. Cuba memancing reaksi Hanafi.

Ternyata suaminya itu terkejut. Senyumannya dibalas renungan yang agak tajam.

“Apa Leha cakap ni?” Dahi Hanafi berkerut.

“Leha nak ada orang yang jaga abang. Leha tak mampu bang,” jelas Soleha.

“Abang boleh jaga diri sendiri!” Bentak Hanafi sedikit keras.

Dia tidak suka persoalan itu dibangkitkan. Di hatinya tiada ruang lagi untuk diisi dengan nama perempuan lain. Hanya Soleha yang bertakhta di hatinya.

“Abang, maafkan Leha. Janganlah marah. Leha cuma nak yang terbaik untuk abang itu aja,” pujuk Soleha semula setelah melihat muka masam Hanafi. Rasa bersalah pula kerana menjentik emosi suaminya itu.

“Lehalah yang terbaik sayang,” suara Hanafi kembali mengendur.

Kesal dengan sikapnya tidak dapat dikawal sebentar tadi. Dia sepatutnya membahagiakan Soleha bukannya melukakan hati isterinya itu. Jemari Soleha diusap lembut sambil menghadiahkan sekuntum senyuman madu.

Soleha menghela nafas perlahan. Walaupun sedikit ralat dengan tingkah Hanafi sebentar tadi namun jauh di sudut hati, dia terharu. Dia kembali memejamkan matanya dengan harapan Hanafi berfikir sejenak dengan cadangannya tadi.




0 Suara Merdu Anda:

Post a Comment