Kamal Oh Kamalia 12

Sebaik habis saja kelas statistik, aku bergegas ke butik kak Effa. Hari ni hari pertama aku mengikuti kelas groomingnya. Berdebar juga rasanya. Malu pun ada. Aku ajak Dina dan Iqbal temankan, tapi mereka sibuk dengan tugasan masing-masing. Terpaksalah aku harunginya sendirian. Butik kak Effa ni besar juga. Di bahagian hadapan penuh dengan pakaian dan aksesori dan di bahagaian belakang terletak studio untuk kelas grooming. Untuk hari pertama kak Effa ajar teorinya saja. Bagaimana itu bagaimana ini. Susah juga rupanya nak jadi perempuan ni. Silap haribulan jadi bapok aku nanti.

“Faham ke ni Kamal?”

“Ha, err.. faham kak.”

Aku tersengih. Sempat pula aku melamun dalam kelas kak Effa ni.

“Ada apa-apa nak tanya?”

Aku menggaru kepala. Apa yang aku nak tanya? Rasanya tak ada kot. Aku geleng perlahan.

“Okey kalau macam tu kita start sekarang. Kamu bangun sekarang dan berdiri. Akak nak tengok.”

Tanpa berlengah aku pun berdiri dengan bergayanya. Kak Effa menyorot tepat ke muka aku. Kenapa? Apa yang tak kena?

“Kaki tu Kamal. Kaki tu kepit sikit. Jangan nak terkangkang macam tu. Orang perempuan tak berdiri macam tu. Macam orang nak berkawad aja.”

Ha? Kepit kaki? Alamak.. macam senak saja rasanya. Ish, kak Effa ni biar betul. Nak tak nak aku buat apa yang kak Effa suruh.

“Rapat lagi. Kalau boleh jangan ada ruang langsung!”

Ish, garangnya? Aduh, nak rapat macam mana lagi ni kak Effa oii..

“Err.. tak bolehlah kak.. susah.”

“Kenapa tak boleh? Cuba sampai berjaya!”

Makin tegas suara kak Effa ni. Dah rasa macam kena dera saja. Baru hari pertama dah terasa seksa.

“Macam ni ke orang perempuan kak?”

“Kamu ingat senang ke nak jadi perempuan? Perempuan yang semulajadi tak perlu bersusah payah macam kamu ni. Sebab orang prempuan ni pinggul dia dah cukup untuk support the whole body. Faham?”

“Oh.. tu sebab perempuan jalan lengang lenggok ye kak?”

“Tau pun. Dah cuba lagi!”

Aku cuba merapatkan jarak antara peha aku. Jadi memanglah jadi. Tapi tuhan saja yang tahu betapa tak selesanya aku.

“Kamu ni kenapa? Berpeluh-peluh aja?”

Aku geleng perlahan. Muka kak Effa tu aku tengok macam kulum senyum saja. Nak gelakkan akulah tu.

“Okey, cuba duduk pulak.”

Aku menghela nafas lega. Terlepas seksaan sementara. Aku duduk seperti yang kak Effa arahkan.

“Kamal!”

Aku tersentak mendengar suaranya yang keras itu.

“Apa kak?”

“Yang duduk terkangkang tu siapa suruh? Macam tu ke orang perempuan duduk?”

Alamak, tak lepas lagi seksaan aku rupanya. Aku sengih. Cuba merapatkan peha aku sedikit.

“Macam ni ya kak?”

“Rapat lagi, sambil bertemu lutut tu, sengetkan sikit betis tu.”

Aku tersenyum kelat. Rapat lagi? Sampai bertemu lutut? Sengetkan betis? Apa ke susah sangat ni? Aku cuba juga walaupun aku dah tahu apa yang bakal aku rasa. Aku pasti dudukku tidak akan bertahan lama.

“Ha, boleh pun. Okey cuba bertahan selama 15 minit.”

Aku telan air liur. Lima belas minit? Meroyan apa perempuan ni? Saja nak dera aku ke ni?

“Apa saya nak buat dalam masa lima belas minit kak?”

“Duduk aja diam-diam kat situ. Menanti dengan sabar.”

Menanti dengan sabar? Boleh ke? Nak tak nak terpaksalah aku menanti dengan sabar. Aku ketuk-ketuk meja dengan jari sambil mata aku tak lepas dari melihat jam dinding. Tik tok tik tok.. terhegeh-hegeh pulak jarum jam ni. Jari jemari aku terus mengetuk-ngetuk meja mengundang sedikit irama. Aku tersengih bila bertembung dengan mata kak Effa. Dia merenung aku dengan pandangan geram. Apa lagi yang tak kena ni?

“Tangan tu Kamal.”

Aku tengok tangan aku. Terbalik telangkup berkali-kali. Okey saja. Apa yang tak kena? Kak Effa bangun dari duduknya dan melangkah ke arah aku. Aku hanya mampu menelan air liur melihat wajah dia yang serius itu. Kak Effa berdiri betul-betul di depan aku. Tiba-tiba dia jentik jari aku. Walalupun tak sakit tapi terasa jugalah pedihnya.

“Jangan biasakan mengetuk jari begini. Perempuan yang sopan tidak akan berperangai begini. Letak tangan kamu tu atas riba dan cuba genggam.”

Cepat-cepat aku buat seperti apa yang disuruhnya.

“Kamu tahu tak Kamal, kalau kamu mengetuk jari kamu tu atas meja, dengan mudahnya kamu kena detect tahu? Jari kamu tu kasar, tak halus macam perempuan. Jadi, cuba sorokkan selagi boleh. Faham?”

Aku mengangguk faham. Itu rupanya alasan dia. Alah, ikut ajalah bukan susah pun.

“Okey duduk dengan sabar. Mata jangan nak meliar ke sana sini. Itu perangai orang perempuan yang tak sopan. Tahu?”

“Tahu kak.”

“Tu badan tu kenapa yang macam si bongkok tiga? Tegakkan badan lentikkan pinggang dan naikkkan dada. Tegakkan bahu kamu tu sekali.”

Aku pun buatlah apa yang disuruh kak Effa tu. Terkial-kial jugak aku nak melentikan pinggang dan naikkan dada. Selalu aku duduk santai aja. Macam ni ke orang perempuan duduk? Macam tak selesa aja.

“Bagus.”

Kak Effa berlalu dengan lenggang lenggoknya. Jadi, seperti yang disuruh aku pun duduklah dengan gaya menegak macam patung dan lentikkan pinggang. Mak aii, rasa nak patah pinggang aku ni. Tangan aku genggam dan letakkan di atas riba. Payah betul! Oleh kerana kak Effa tak bagi aku tengok sana tengok sini, maka aku pun hanya mampu tegakkan kepala dan mengerling jam di dinding. Lagi sepuluh minit untuk aku bertahan. Peluh sudah mula merenik walaupun ada penghawa dingin di studio ini. Sabarlah wahai hati.

Wasiat Cinta 25 - Last n3 di blog

Di banglo besar dan mewah itu, keluarga Datuk Mansur sedang menikmati sarapan pagi. Datin Laila menuangkan air kopi di setiap cawan yang tersedia. Pandangannya beralih bila melihat kelibat anak bongsunya menuruni tangga.

“Saiful, mari breakfast.”

Saiful tersenyum dan melangkah menghampiri meja makan. Duduk berhadapan mummynya.

“Nak kopi ke jus oren? Makan? Roti? Bihun?”

“Jus dan bihun.”

Datin Laila tersenyum senang.

“Malam ni kamu ada appointment mana-mana tak?”

“Rasanya tak ada kot mummy, kenapa?”

“Good, kalau macam itu ikut mummy dan daddy ya?”

“Ke mana? Nak belanja saya makan ke? Hari ni anivessary mummy dan daddy ke?”

Saiful tersengih. Datuk Mansur tersenyum sumbing dan menggelengkan kepala. Matanya beralih kepada isterinya pula. Datin Laila hanya ketawa kecil melihat gelagat Saiful.

“Bukan, mummy nak ajak pergi rumah Datuk Jamal. Dia buat kenduri kesyukuran. Anaknya Salina tu baru habis belajar, baru saja balik dari Mesir. Takkan kamu tak kenal?”

“Oh, budak yang bertudung labuh tu ya?”

Saiful terbayang wajah manis Salina. Bertudung labuh. Memang menepati ciri-ciri wanita solehah. Dia tersenyum nipis.

“Ha, yang itulah. Ikut ya nanti. Bolehlah kamu berkenalan dengan dia.”

Saiful berkerut kening.

“Mummy kamu ni dah berkenan dengan budak Salina tu.”

Dengan selamba Datuk Mansur bersuara membuat Saiful yang sedang menghirup jus oren tersedak-sedak. Lantas Datuk Mansur menepuk-nepuk belakang anak bongsunya.

“Cuba minum elok-elok, kan dah tersedak.”

“Abang tu yang straight to the point, tak sabar-sabar. Saya susun muqadimah punyalah baik.”

Datin Laila membebel geram. Berair mata dan hidung Saiful akibat tersedak sebentar tadi. Tekaknya juga terasa perit. Gawat! Memang sah orang tuanya hendak jodohkan dia dengan budak Salina itu.

“Apa ni mummy? Apa semua ni? Saya tak nak ikutlah.”

“Itulah bang, kan dia dah tak nak ikut!”

Datin Laila geram. Datuk Mansur pula hanya tertunduk, mengakui kesalahan sendiri.

“Begini Saiful, mummy ingat nak jodohkan kamu dengan Salina.”

“Hah!? What!?”

Mata Saiful membulat mendengar bicara mummynya itu. Ini yang dia tidak mahu. Menjadi mangsa seperti abang dan kakaknya.

“Saya tak mahu! Tak nak!!”

“Kenapa pulak? Budak Salina tu baik, cantik, manis, putih melepak, berpelajaran tinggi, ilmu agama pun tinggi, pakaiannya pun sopan. Sejuk mata mummy ni memandangnya tahu tak? Sesuai sangat dengan kamu Saiful.”

Saiful tarik muka. Dia tidak mahu berkahwin dengan perempuan yang dia tidak kenal, yang dia tidak cinta. Dia beralih pandang merenung Datuk Mansur. Mengharap daddynya itu mengerti.

“Ikut sajalah, lagipun umur kamu dah 35 tahun. Dah selayaknya kahwin. Tak akan nak jadi bujang telajak pulak.”

Habis! Daddynya pun sama. Macam dah berpakat saja?

“Tak nak! Saya dah ada orang lain.”

“Ya ke? Siapa?”

Datuk Mansur bagai sudah mengagak siapa buah hati anaknya itu. Akhir-akhir ini dia terdengar gosip di pejabatnya tentang hubungan Saiful dan Tihani, salah seorang staffnya.

“Tihani.”

“Tihani? Abang, bukan Tihani tu staff kat company kita ke?”

Datuk Mansur mengangguk, benarlah telahannya tadi.

“Bukan Tihani tu dah kahwin ke bang?”

“Sekarang dah jadi ibu tunggal, suami dia dah meninggal dunia. Kena heart attack, masa dia sarat mengandung pulak tu. Kesian.”

“Jadi kamu berkenankan janda anak satulah ya?”

Tinggi suara Datin Laila menerjah telinga Saiful. Dia sudah mula tidak senang duduk. Serius pula topik pagi ni.

“Ya mummy, saya nak minta mummy dan daddy restu hubungan kami.”

“You what? Berani betul kamu ya Saiful. Mummy tak setuju. Never!”

“Mummy please, saya sayang dia. Saya nak kahwin dengan dia.”

“Listen carefully Saiful, mummy tak akan setuju hubungan kamu dengan janda anak satu tu. Apa dah tak ada perempuan lain yang masih bujang ke hah? Bekas orang juga yang kamu mahu? Sisa orang juga yang kamu nak kutip?”

“Mummy!”

Spontan Saiful menjerit. Tidak pernah-pernah Saiful meninggikan suara begitu kepada mummynya. Datin Laila terpana. Airmatanya sudah tumpah. Hatinya terhiris luka dengan sikap anak bongsunya itu. Saiful menggelabah.

“Mummy, I’m so sorry. I didn’t mean to hurt you. I didn’t do it in purposed.”

Saiful cuba memujuk.

“Abang, tengoklah anak abang ni. Sejak dia kenal dengan janda tu terus saja jadi kurang ajar begini.”

Teresak-esak meminta simpati suaminya. Datuk Mansur yang sedari tadi menyaksikan sketsa dua beranak itu menggelengkan kepala. Buntu dengan sikap degil isterinya yang kini diwarisi oleh anak bongsunya pula. Sama sahaja.

“Saiful jangan begini, cuba kenal dulu dengan Salina tu.”

Lembut suara Datuk Mansur memujuk Saiful. Anaknya itu sedang beremosi. Dia tidak boleh menyimbah minyak ke atas bara.

“Tapi daddy, saya tak nak! Apa yang saya mahu Tihani bukan Salina.”

“Saiful! Belum ada lagi keturunan kita berkahwin dengan janda. Kamu jangan nak pecah tradisi pulak. Kalau mummy kata tak setuju tu, tak setujulah faham?”

“Mummy, apa kurangnya Tihani? Orangnya cantik, pekertinya baik. Keturunan pun baik-baik. Pelajaran pun tinggi. Tak ada beza pun dia dengan Salina tu.”

“Ada! Salina anak dara, dia tu janda. Ada anak pulak tu. Kamu nak tanggung anak dia?”

“Apa salahnya? Kalau saya kahwin dengan dia, anak dia jadi anak saya juga.”

“Senang betul kamu bercakap ya? Mummy ni malu tahu? Mana nak letak muka kami ini hah?”

“Mummy, yang nak kahwin tu saya. Tihani saja yang boleh bahagiakan saya.”

“Dengan Salina pun kamu boleh bahagia juga, cubalah dulu.”

Sampuk Datuk Mansur.

“Kenapalah daddy dan mummy tak mahu faham? Saya mahu Tihani!”

“Saiful, kahwin tanpa restu orang tua tak ke mana perginya. Cuba kamu tengok abang dan kakak kamu, elok saja bahagia.”

“Daddy pasti ke dia orang bahagia?”

“Haii, kalau dah beranak-pinak tu tak bahagia lagi ke Saiful ooii?”

Geram sungguh Datin Laila dengan sikap degil anaknya itu. Saiful mencebik.

“Cubalah dulu ya Saiful. Salina tu pun tak kurang baiknya juga. Beruntung kamu kalau hidup dengan dia.”

“Tak payah pujuk-pujuk dah bang. Kalau kita cakap elok-elok bukan dia nak ikut pun.”

“Awak ni Laila, cuba jangan berkeras sangat.”
“Tak akanlah saya langsung tak ada peluang? Mummy dan daddy pun cubalah kenal dengan Tihani juga.”

“Tak payah! Mummy tak sudi. Kamu pilih Saiful, sama ada Salina atau Tihani?”

Datin Laila sudah memberi kata dua. Baginya itu sahaja pilihan yang ada. Cuba menggertak sedikit anak bongsunya yang keras kepala itu.

“Dah tentu saya pilih Tihani.”

“Baik, kalau itu pilihan kamu. Segala harta untuk kamu mummy akan tarik balik. Syer dalam company juga. So, baik kamu fikir semula.”

Datin Laila tersenyum sinis. Sebagai pewaris dan pemegang syer terbesar dia berhak. Saiful tersentak. Tak akanlah mummynya sanggup buat begitu? Lantas kata-kata Tihani tempoh hari menerjah kotak fikirannya semula. Andaian Tihani benar belaka. Sanggupkah dia melupakan kesenangan dan kemewahan yang dikecapinya sedari kecil itu? Sanggupkah dia tinggalkan segalanya untuk Tihani?

“Mummy, mana adil macam tu? Daddy?”

“Dalam kes ni, daddy tak ada kuasa Saiful.”

Simpati mula bertamu, melihat keruh di wajah anak kesayangannya itu. Mana mungkin dia membantah keputusan isterinya. Kejayaan dirinya ini pun kerana isterinya juga. Kerana kekayaan yang diwarisi oleh isterinya itu dari keluarganya. Keluarga mertuanya.

“Mummy please, understand me. I need your bless mummy.”

“Baik kalau itu yang kau mahu. Mummy boleh restu, tapi dia harus meninggalkan anaknya kalau mahu berkahwin dengan kamu. Budak tu tak dibenarkan masuk ke dalam rumah kita ni. Faham?”

Datuk Mansur pula tersentak. Tega sungguh isterinya itu. Mana mungkin anak sekecil itu dipisahkan dari ibunya.

“Mummy dah melampau! Mana boleh begitu. Mikhail anak Tihani dan dia layak menjaga anaknya itu. Itukan hak dia. Naik turun court pun keputusannya tetap sama mummy.”

“Ya Laila, abang rasa permintaan awak tu over limit dah. Lagipun pasti Tihani tak mahu berpisah dengan anaknya.”

“See? Itu menunjukkan cintanya pada si Saiful ini tidaklah sehebat mana. Mungkin dia saja nak menumpang senang, nak harta kita. Nak si Saiful ni bubuh nama anaknya sebagai pewaris harta nanti.”

“Astaghfirulllahalazim, awak ni suka sangat buruk sangka tak tentu fasallah.”

“Betul apa saya cakap? Mungkin itu niat budak perempuan yang tak sedar diri tu. Mungkin dia saja nak perangkap si Saiful ni.”

“Enough is enough! Saya tak mahu dengar lagi. Saya pergi office dulu.”

Saiful mengangkat punggung. Dia tidak betah lagi untuk terus duduk di situ. Terus bertengkar dengan mummynya. Dia sudah hilang cara untuk memujuk mummynya itu. Nafasnya sesak. Apakah cintanya kepada Tihani tidak kesampaian? Apakah memang dia tiada jodoh dengan Tihani di dunia ini?

Kamal Oh Kamalia 11

Dari jauh aku perhatikan dia. Ceria bergelak tawa bersama teman-temannya. Secara tak langsung menyeret aku untuk tersenyum sekali. Sesekali teman-temannya menunjuk ke arah aku. Seolah-olah mereka sudah tahu aku asyik memerhatikan mereka dari jauh. Dan tatkala Azlin Nasihin menoleh kepadaku, aku hadiahkan senyuman manis padanya. Dia tidak membalas tetapi tertunduk dan berpaling semula. Aku menahan sabar. Susah sangat aku hendak mendapat senyuman balas dari gadis itu.

Di tangan aku sekeping nota yang tertulis nombor telefonnya, aku pandang sayu. Masih berkira-kira mahu menelefon dia atau tidak. Terdetik di hati ingin mencuba nasib. Akan dilayankah panggilanku nanti? Hatiku gusar bercampur takut. Malu bukan kepalang jika aku ditolak mentah-mentah oleh gadis itu. Namun untuk mengenal erti putus asa itu bukanlah aku. Ini adalah Kamal Lutfi bin Anuar. Tidak ada istilah mengalah dalam kamus hidup aku.

Aku keluarkan telefon bimbitku berjenama Nokia N97. Cuba mendail nombor yang tertulis di nota itu. Sabar menanti dengan debaran yang bukan sedikit. Aduh, jantung aku ni kenapa pula? Berdebar-debar bagai nak terkeluar dari tempat asalnya. Dari jauh aku melihat Azlin Nasihin teraba-raba beg sandangnya, mencari telefon barangkali. Aku tersenyum kecil bila melihat telefonnya sudah berada di tangan.

“Hello, assalamualaikum.”

Aduhai, suara dia. Aku hampir-hampir cair mendengarnya. Lembut dan manja. Ini yang buat aku makin geram kat dia ni.

“Hello?”

“Err.. hello, walaikumsalam.”

“Siapa ni?”

“Err.. saya Kamal Lutfi. Ini Azlin Nasihinkan?”

“Ya saya. Ada yang boleh saya bantu?”

“Err.. tak ada apa sebenarnya, cuma.. nak berkenalan dengan awak saja. Boleh ke?”
“Mana dapat nombor telefon ni?”

“Adalah..”

“Maaf, saya tak berminat.”

Aku terkedu. Talian sudah dimatikan. Terkebil-kebil aku memandang telefon sendiri. Biar betul minah ni? Macam tu aja? Betul-betul jual mahal! Kenapa susah sangat aku hendak mendekati kau Azlin? Kenapa kau tidak mahu memberi sedikit peluang untuk aku? Adakah kau tidak sedar kewujudan aku di sini? Atau kau sudah punya kekasih hati? Aku mengeluh. Tidak ada guna aku merintih begitu. Hakikatnya, belum lagi berjuang aku sudah tewas. Sakit memang sakit. Bagai dicucuk-cucuk hati aku ni. Nampaknya aku tidak ada jalan lain lagi. Jalan terakhir untuk aku mengenali dia adalah dengan meneruskan rancangan gila aku tu. Kau tunggu Azlin Nasihin, suatu hari kau akan jadi milik aku juga!

***

Kak Effa merenung tepat ke arahku. Tiba-tiba aku jadi gelisah dengan renungan itu. Marah ke kakak sepupu Dina ni? Habislah kalau dia marah. Habislah kalau dia tak mahu tolong aku. Aku jelling Dina di sebelah Iqbal. Senyuman manisnya mekar di bibir. Iqbal pula buat muka selamba. Cuma aku, cuma aku yang gelisah serta berdebar dengan penerimaan kak Effa tentang idea gila aku tu.

“Boleh ke kak?”

Dina akhirnya bersuara menyelamatkan keadaan. Memang aku sedikit rimas dengan suasana yang bisu dan kaku itu.

“Berapa lama masa yang kamu dah setkan?”

Kak Effa merenung tepat ke arahku. Tiada reaksi marah di wajah kak Effa. Sedikit sebanyak membuat aku lega.

“Err.. maksud kak Effa? Set macam mana tu?”

“Yelah, kamu nak jadi housemate dia tu dalam masa terdekat ni juga ke?”

“Nampaknya begitulah kak.”

“Kalau begitu latihan kita sangat padat dan ketat.”

“Latihan?”

Kami bertiga bersuara serentak dan saling berpandangan sesama sendiri.

“Yelah. Habis tu korang ingat akak nak make over Kamal ni macam tu aja ke? Memanglah akak boleh transform muka dia jadi lawa tapi tingkah laku dia, habit dia, gaya jalan dia? Tu semua kena ambil kira. Barulah tembelang tak pecah.”

Terkebil-kebil aku mendengarnya. Begitu banyak sekalikah perubahan yang akan aku buat demi memenangi sekeping hati Azlin Nasihin? Sanggupkah aku?

“Sanggup Kamal?”

Ternyata soalan yang sama diajukan pada diri sendiri terpancul keluar dari bibir kak Effa yang sudah pun berwajah manis. Pasti gelihati melihat reaksi aku. Aku pandang Iqbal. Ternyata dia dan Dina sudah mengulum senyum.

“Kalau nak gelak tu, gelak ajalah. Tak payah nak cover-cover. Ingat aku tak tahu otak korang tu fikir apa?”

Tanpa menmbuang masa Iqbal dan Dina meledak tawa tanpa memikirkan perasaan aku lagi. Mengundang senyuman lebar dari bibir kak Effa.

“Hantu korang!”

“Aduh, sakit perut aku.. sabar ajalah.”

Ketawa Dina beransur-ansur hilang sambil mengesat matanya yang berair. Amboi, gelakkan aku tak ingat dunia. Ketawa Iqbal juga sudah reda.

“Sanggup ke Mal?”

Iqbal mengulang soalan yang sama. Aku merenung kak Effa. Wanita itu mengangkat kening sambil tersenyum. Kalau ikutkan hati memang tak sanggup nak jalani latihan tu. Tapi demi cintaku pada Azlin Nasihin membuat aku nekad menerimanya.

“Saya sanggup kak.”

“Bagus!”

“Err.. bila boleh mula?”

“Amboi, Kamal tak sabar-sabar eh?”

Aku cuma tersengih dengan soalan Dina itu.

“Kalau kamu nak sekarang pun boleh.”

“Err.. sekarang? Sekarang tak boleh kak. Err.. boleh saya tahu macam mana schedulenya? Bukan apa saya tak nak clash dengan study saya kak.”

“Okey kalau macam tu, ikut schedule belajar kamulah. Habis kuliah kamu ke sini. Kalau boleh hari-hari lagi bagus. Cepat sikit habisnya. Kamu pun nak dah tak sabar-sabar kan?”

Sekali lagi Iqbal tergelak. Aku hanya mampu menjeling geram. Kalau ikutkan hati memanglah tak sabar. Tapi untuk tidak nampak cacat celanya terpaksalah aku menjalani latihan ini dengan sabar.

“Err.. lagi satu kak. Err barapa cost semua ya?”

Kak Effa cuma tersenyum memandangku. Kemudian dia tergelak halus. Apa ke pelik minah ni? Aku tanya dengan serius dia boleh gelak-gelak pulak. Janganlah dia kenakan bayaran yang mahal. Mahu ikat perut aku dibuatnya nanti.

“Itu kita kira kemudian ya Kamal. Yang penting training dulu. Dah puas hati dengan hasilnya nanti, baru kita discuss about payment. Ok dear?”

Aku hanya tersengih. Kalau macam ni susahlah aku nak buat bajet. Sekurang-kurangnya bagilah klu. Tanpa sedar aku pun mengangguk perlahan. Seolah-olah bersetuju saja dengan keputusan kak Effa itu.

“Okey, kalau macam tu esok kita start ya. Boleh?”

“Boleh. Boleh sangat kak.”

Gaya aku yang tak sabar tu mengundang gelak yang bukan sedikit dari mereka bertiga. Lantak koranglah. Jadikanlah aku ni bahan ketawa korang hari ni. Demi Azlin Nasihin aku redha. Sudahnya aku juga tergelak sama.

Wasiat Cinta 24

Fendi tidak keruan. Pulang dari KLCC tadi, terus sahaja dia memerap dalam bilik. Fikirannya melayang, terbayang kemesraan Tihani dan seorang lelaki tinggi lampai. Dari jauh kelihatan lelaki itu mempunyai gaya yang tersendiri. Muka pun boleh tahan kacak. Tetapi apakah hubungan lelaki itu dengan Tihani? Teman lelaki barukah? Fendi mula gelisah. Api cemburu sudah meresap keseluruh jiwanya. Siapa lelaki tu? Siapa yang dah berjaya menawan hati insan yang disayanginya itu? Dia memandang telefon bimbitnya. Mencongak samada mahu menelefon Tihani atau pun tidak. Dia nekad. Dia mahu penjelasan.

“Assalamualaikum, Hani.”

“Walaikumsalam along, apa hal?”

“Takkan ada hal aja, baru along boleh call Hani?”

“Bukan macam tu, sorry.”

Tihani berasa serba salah.

“Hani free tak malam ni?”

“Free rasanya. Kenapa along?”

“Along nak ajak Hani keluar dinner.”

Tihani berkira-kira mahu terima pelawaan Fendi atau tidak. Tubuhnya agak letih hari ini. Seharian keluar menghabiskan masa cuti membuatnya ingin berehat saja.

“Hani letihlah, lagipun esok nak kerja.”

Fendi diam.

“Letih buat apa?”

“Berjalan sakan.”

Tihani tersengih. Teringat sketsa antara dia, Nadia dan Iskandar.

“Kalau macam tu, along ke rumah Hani sajalah.”

“Sorry ya along, tak susahkan along ke?”

“Ala, bukan jauh pun Subang dengan Shah Alam, kan?”

“Kalau macam tu, Hani tunggu. Along dinner kat sini sajalah ya. Nanti Hani beritahu ummi.”

“Tak susahkan ummi ke? Kesian pulak.”

“Tak adalah, dia lagi suka kalau ramai yang makan masakan dia.”

“Okeylah, lepas maghrib nanti along datang.”

“Ok bye.”

“Bye, sayang.”

Tihani terkedu. Getaran halus menyelinap masuk ke hatinya. Kenapa harus begini?


************


Malam masih muda. Fendi berayun di buaian besi di halaman rumah Tihani. Mengambil angin malam. Kuat juga angin yang menyapa wajahnya. Seperti hujan akan turun tidak lama lagi. Dia mendongak ke langit. Bintang tiada, bulan pun tiada. Gelap pekat. Hanya lampu jalan saja yang menerangi suasana kawasan perumahan itu. Tihani melangkah perlahan menuju ke arah Fendi. Dalam kesamaran dia dapat melihat lelaki itu sedang memerhatikannya.

“Along nak minum tak?”

Tihani menyapa lembut sambil melabuhkan punggung di sebelah Fendi. Bahu mereka bergesel. Membuat Fendi sedikit gusar.

“Tak nak, along dah kenyang.”

“Apa yang along tengok kat atas langit tu?”

“Hmm, malam ni tak ada bintang dan bulan, macam nak hujan aja.”

Kepala mereka mendongak meninjau-ninjau jika ada sebutir bintang yang tersesat. Tapi tiada.

“Angin pun agak kuatkan?”

Rambut Tihani yang separas bahu membuai-buai lembut mengikut rentak angin. Fendi terpaku dengan kecantikan semulajadi gadis itu. Rambut Tihani memang cantik. Hitam dan lebat. Tihani dapat rasakan Fendi sedang memerhatikannya. Dia menoleh.

“Kenapa along tengok Hani macam tu?”

“Tak ada apa, Hani cantik.”

Tihani tunduk tersipu malu. Mukanya membahang. Tidak betah dipuji begitu.

“Kenapa along ajak Hani keluar tadi? Ada hal penting ke?”

Tihani beralih kepada mauduk sebenar Fendi yang mahu ketemu dengannya. Fendi membuang pandang. Menarik nafas dalam.

“Tadi along nampak Hani kat KLCC.”

Tihani tersentak. Nampak dirinya? Adakah Fendi nampak dia bersama Iskandar tadi?

“Haah, memang Hani pergi KLCC tadi. Berjalan sakan.”

Tihani tergelak halus. Matanya beralih kepada Fendi. Wajah lelaki itu sungguh serius. Seperti menahan marah.

“Siapa lelaki itu?”

Tihani sudah dapat menebak, Fendi pasti akan bertanya soalan itu.

“Kawan.”

“Kawan ke boyfriend? Bukan main mesra lagi.”

Dia merenung tepat ke mata Tihani. Gadis itu kecut. Memang Fendi sedang marah, atau cemburu?

“Kawan aja.”

Tihani bersuara perlahan. Takut. Tidak pernah Fendi bersikap begini. Fendi yang dia kenal sejak sebelas tahun dulu tidak pernah marah kepadanya. Tidak pernah serius begini. Fendi terus merenung tajam Tihani.

“Along, jangan tengok Hani macam tu, salah ke Hani keluar dengan kawan?”

“Bukan salah, tapi Hani tahukan perasaan along pada Hani?”

Fendi menggenggam jemari Tihani.

“Along, jangan macam ni. Along kata tak nak paksa Hani?”

Tihani cuba meleraikan genggaman tangan Fendi namun semakin dia berusaha semakin kemas genggaman tangan lelaki itu.

“Along tahu, tapi along tak boleh menahan diri dari rasa cemburu, sayang. Along tak mahu kehilangan Hani sekali lagi. Along tak sanggup. Masa Hani bersama angah dulu pun dah cukup buat along terseksa. Along beralah demi adik along sendiri. Tapi tidak kali ni Hani, I love you so much.”

“Along, inikan tak adil buat along, Hani tak nak buat along begini. Maafkan Hani.”

Dadanya mula sebak. Bibir mata mula memberat.

“Apa maksud Hani? Along tak faham.”

Fendi membetulkan duduknya menghadap Tihani. Gadis itu tunduk. Wajahnya bertukar mendung. Dia mula rasa bersalah.

“Selama ni, Hani hidup dengan bayangan Faizal, along. Hani selalu membayangkan dia ada bersama Hani. Dengan cara tu, barulah Hani dapat teruskan hidup. Baru Hani dapat besarkan Mikhail. Dan kalau Hani rindu dia, Hani akan tengok along. Inikan tak adil buat along. Kalau Hani terima cinta along macam mana? Hani akan menganggap along adalah Faizal.”

Airmatanya sudah meluncur laju di pipi. Sedih dan pilu. Dia tidak sanggup mengecewakan harapan Fendi namun dia tidak boleh menerima lelaki itu. Fendi mengeluh berat.

“Hani, relakanlah angah pergi. Selagi Hani buat macam ni, selagi itulah Hani akan terseksa. Selagi itulah Hani akan terus menutup pintu hatimu, sayang.”

Fendi mengesat airmata yang membanjiri pipi Tihani. Cuba untuk memujuk gadis itu.

“Hani tak boleh. Hani dah cuba, tapi tetap jugak tak boleh.”

“Boleh, Hani boleh buat. Beri peluang pada diri sendiri. Peluang untuk bercinta semula, untuk menerima cinta baru.”

Kata-kata Fendi itu mengingatkannya kepada bicara Saiful tempoh hari. Bosnya itu juga menagih cintanya. Meminta peluang darinya. Peluang untuk mencintai dan dicintai.

“Bagi peluang pada along boleh? Along akan cuba mengisi kekosongan hati Hani tu. Along akan cuba yang terbaik untuk bahagiakan Hani. Along akan jaga Hani dan Mikhail, itu janji along. Hani tak kesian pada Mikhail ke?”

Siapalah yang tidak kasihan kepada anak yatim seperti Mikhail. Langsung tidak mengerti apa-apa. Langsung tidak merasai kasih seorang ayah.

“I will protect both of you. Just give me a chance, Hani. Let me prove my love to you.”

Tihani diam. Fikirannya buntu.

“Tapi, ini tak adil buat along. Hani rasa bersalah pada Faizal. Hani rasa Hani mengkhianati dia, Hani curang pada cintanya.”

“Hani, listen to me. Hani tak curang okey, Hani tak mengkhianati dia. Hani tetap boleh menyayanginya sampai bila-bila. Hani cuma perlu mulakan saja. Mulakan hidup baru dengan cinta baru. Along percaya dia faham dan along rasa pun dia tak nak Hani terus hidup begini. Hidup dalam bayang-bayangnya. Masa akan merubah segalanya sayang, percayalah cakap along.”

“Along macam mana? Kan tak adil kalau Hani terus menganggap along adalah dia?”

“Along dan angah walaupun kembar seiras tapi perangai kami lain. Hani pun tahu itu bukan? Angah happy go lucky dan along ni jenis yang cool. Betul bukan?”

Tihani memandang Fendi. Perlahan kepalanya diangguk. Memang benar sifat Fendi dan Faizal bagai langit dan bumi. Cuma ada satu saja persamaan. Kedua-duanya pandai menyimpan rahsia. Kemas sekali.

“Kita berusaha bersama ya? Along akan bantu Hani. Cuma beri along satu saja peluang. Peluang pertama dan terakhir, ya sayang?”

Fendi merenung tepat ke mata Tihani. Mengharap persetujuan dari gadis itu.

“Tengoklah dulu macam mana, I need more time.”

Fendi mengeluh kecewa. Wajahnya berubah. Harapan yang menggunung tinggi runtuh lagi.

“Tak apalah kalau macam tu, hari pun dah lewat ni, along balik dululah.”

“Along tak marah Hani?”

Fendi tersenyum. Dia tidak marah. Cuma ada sedikit rajuk di hatinya. Rajuk kerana cintanya ditolak sekali lagi.

“Tak sanggup along nak marah, sayang.”

Tihani bagai sudah lali mendengar perkataan sayang yang acap kali keluar dari bibir bekas abang iparnya itu.

“Kirim salam kat ummi ya.”

Perlahan kereta Fendi meninggalkan Tihani yang termangu sendirian. Marahkah Fendi? Merajukkah lelaki itu? Dia binggung.

Di dalam kereta Fendi mengeluh berat. Sengaja muzik dipasang kuat agar dia tidak mengantuk. Angah, along dah cuba tapi tak boleh. Susah betul nak tawan hati isteri kau, bro. Kau memang beruntung bro, kau dapat cintanya. Dia tak mahu lepaskan kau dari hatinya bro. Dia masih ingatkan kau. Nampaknya along terpaksa mungkir janji bro. Airmata Fendi menitis tatkala memori bersama Faizal tersingkap satu-persatu. Hatinya luluh.

Kamal Oh Kamalia 10

“Hoi!”

Iqbal tersedak akibat sergahan yang aku buat dari belakang. Kesian pula aku tengok dia terbatuk-batuk begitu. Aku gosok-gosok perlahan belakang dia. Muka dia merah padam menahan marah atau menahan peritnya tekak barangkali. Laju aku suakan air suam padanya. Matanya yang menyorot tajam itu tidak mampu membuat aku takut pun. Aku pamer sengih paling kacak padanya.

“Apa sengih-sengih? Kau nak bunuh aku ke? Kalau aku mati tercekik tadi?”

“Innalillah..”

Serentak itu dia baling biji cempedak pada aku. Namun secekap aku menangkap bola di padang, begitulah aku menangkap biji cempedak yang bagaikan peluru menghala ke muka aku.

“Relekslah bro, janganlah marah. Itu pun nak sentap. Macam perempuanlah kau ni.”

“Kepala hotak kau!”

“Oit, kau tu tengah curi makanan aku tau tak? Ni, cempedak goreng ni mak aku yang bekalkan untuk aku, yang kau bedal tu kenapa?”

“Eh, bukan mak kau kirim untuk aku ke? Ala, tak apalah ni kira aku on behalf kaulah.”

Aku mencebik. Laju tanganku mengacau Nescafe dalam mug.

“Apa cerita kampung? Kau kata family kau dari Singapore nak datang, jadi ke?”

“Jadi.”

Mendengar soalan Iqbal itu, tak semena-mena wajah muram Natrah menjelma. Simpati yang bukan sedikit mula menyapa ruang rasa. Walaupun aku agak rimas dengan perwatakan dia, tapi aku tak boleh nafikan hubungan kami yang sedari kecil itu sangat erat hingga tumbuh bibit-bibit cinta di hati Natrah. Aku mengeluh perlahan. Aku doakan dia cepat melupakan aku.

“Hai, mengeluh nampak? Macam ada masalah berat aja?”

“Bal, kau ingat tak sepupu aku yang aku ceritakan dulu?”

“Yang mana? Yang syok kat kau dari kecil tu?”

Aku mengangguk perlahan.

“Natrah nama dia. Family dialah yang tinggal kat Singapore tu.”

“Oh.. meaning is dia pun adalah datang sekali, gitu?”

Aku mengangguk lemah.

“So, apa cerita dia? Lawa ke sekarang?”

Aku gelak sumbing. Dari kaca mata seorang lelaki macam aku, Natrah sudah cukup sempurna dari segi penampilan dan rupa paras. Cuma sikapnya itu yang buat aku tak tahan.

“Lawa.”

“Serius? So, kau dag dig dug tak?”

“Tak pun.”

“Ha? Kau ni.. kayu betullah. Dah ada awek menyerah jiwa raga macam tu masih nak tunjuk ego lagi?”

“Dia sepupu aku Bal.”

“So, kenapa kalau dia sepupu kau? Salah?”

“Aku tak boleh. Dalam hati aku ni dah ada Azlin.”

“Ish.. Azlin tu kau belum tentu dapat lagi. Sepupu kau tu sah-sah kau dah tahu perasaan dia.”

“Senang sangatlah Bal. Tak thrill.”

“Banyaklah kau punya thrill. Nak pikat Azlin pun seksa. Ketar lutut. Ada hati nak thrill-thrill.”

“Itulah pasal. Entah bilalah aku dapat tackle dia.”

Aku mengeluh berat.

“Jadi ke kau nak buat rancangan mengarut kau tu?”

“Apa pulak tak jadi? Mesti dijadikan!”

“Kau betul-betul buang tabiat tau tak?”

“Kau tak faham perasaan aku Bal.”

“Ini bukan soal faham ke tak, ini soal maruah dan agama tau tak?”

Aku diam. Sudah berpuluh kali Iqbal menasihati aku. Namun bagai mencurah air ke daun keladi begitulah aku. Aku bagai tidak mengacuhkan segala nasihat dan amaran yang cuba dia sampaikan.

“Janganlah buat Mal. Berdosa, tak elok.”

“Habis tu, cara apa lagi untuk aku pikat dia?”

“Approachlah dia.”

“Aku dah cuba, banyak kali. Tak jadi-jadi jugak. Tengok hari tu, dia boleh buat don’t know je aku tegur. Jual mahal betullah minah tu.”

Igbal tergelak. Mengundang senyum nipis aku juga. Apalah malang nasib aku. Nak bercinta pun payah.

“Ok tell me, what is your plan?”

“Macam aku cakap tulah. Nak menyamar.”

“Macam mana? Kau ingat dia tak boleh cam ke siapa kau?”

“Tu sebab aku nak minta tolong Dina.”

“Apa sangatlah yang si Dina tu boleh tolong?”

“Dia kan ada kakak sepupu yang buka salun tu, yang perunding imej tu?”

Iqbal buat muka blur.

“Ala, yang boleh make over orang tu.”

“Maksud kau kak Effa?”

“Yup, kak Effa. Aku nak minta Dina tolong rekemenkan aku pada kak Effa.”

“Woi, kak Effa tu professional. Dia akan charge kau atas setiap kerja dia tahu? Kau mampu ke?”

“Tu sebab aku nak Dina rekemen kan, kot-kotlah boleh dapat diskaun.”

“Tak ada kerja cari kerjakan? Banyak duit kau?”

Aku sengih.

“Duit tu untuk belajar Mal. Bukan untuk kau habiskan pada benda-benda merapu macam ni. Dengarlah cakap aku ni Mal. Jadi apa-apa nanti kau menyesal tak sudah tahu?”

“Kau ni Bal, bukan nak sokong aku. Hentam lagi adalah.”

“Aku cakap benda yang betul.”

“Aku tahu apa yang aku buat Bal.”

Iqbal mengeluh berat.

“Kalau jadi plan kau ni, kau nak pindah ke rumah dia ke?”

“Tak.”

Iqbal memandang ku pelik.

“Habis tu macam mana kau nak jadi housemate dia kalau kau tak pindah ke sana?”

Aku tersenyum senang dengan soalan Iqbal. Sudah lama aku memikirkan caranya. Aku rasa cara ini boleh dipakai.

“Aku cadang macam ni, aku nak lepak rumah dia waktu siang aja. Malam aku lepak sinilah. Itu cara yang paling selamat untuk aku dan dia.”

“Apa kes malam tidur sini, siang lepak sana? Tak ke pelik?”

“Habis tu kau nak aku buat macam mana? Tak akan aku nak lepak malam-malam kat rumah dia. Haru Bal. Aku tak jamin. Aku bukan malaikat.”

Iqbal menggaru dagunya yang berjanggut halus. Dia ni kalau pasal jaga muka memang nombor satu. Sambil menggaru sambil mengangguk perlahan.

“Kalau dia tanya apa alasan kau?”

“Aku akan cakap aku kerja shift malam.”

“Oh, bukan kau nak menyamar jadi student jugak ke?”

“Bahaya Bal, satu kampus. Lagipun tak akan aku nak pergi kampus pakai baju perempuan kot? Haru biru jadinya nanti.”

Pecah ketawa Iqbal mendengar omelan aku. Mengheret aku sekali dalam gelak tawanya.

“Mal, Mal. Tak tahulah aku nak cakap apa lagi. kau bincanglah dengan Dina. Tapi yang nyata aku memang tak setuju dengan apa yang nak kau buat ni.”

“Trust me Bal.”

“Suka hati kaulah. Jangan heret aku sekali dalam masalah kau nanti sudah. Aku tak nak masuk campur.”

Aku hanya mampu tersengih mendengar amaran Iqbal yang lembut tapi berbisa itu.

“ InsyaAllah Bal, aku akan cuba tidak menyusahkan sesiapa. Cuma tolong doakan aku berjaya pikat dia.”

“Aku tak faham macam mana kau nak pikat dia, sedangkan kau nak make over diri kau jadi perempuan. Tak akan nak jadi lesbian dalam rumah tu?”

“Adalah cara aku. Kau tunggu dan lihat aja.”

“Hmm.. honestly, I can’t wait. Macam manalah rupa kau agaknya ya? Lawa ke? Entah-entah macam bapok tak?”

”Oit!”

Kurang asam! Giliran aku pula membaling biji cempedak ke arahnya. Beberapa biji sudah mengena di kepala dan belakang badannya tatkala dia cuba menyelinap ke biliknya bersama gelak yang maha kuat.

Wasiat Cinta 23

Iskandar termenung. Bosan pula hujung minggu begini terperap di rumah. Semua kenalannya ada hal. Dia membelek-belek telefon bimbitnya. Satu-persatu nama dicari sehingga matanya tertancap pada nama Tihani. Dia mengukir senyum. Apa agaknya cerita gadis comel itu?

Pertemuan pertamanya dengan Tihani menerjah kotak fikirannya semula. Bermula dengan sebuah kemalangan kecil sehingga terjadi pertemuan kedua. Makan malam bersama gadis itu membuat dia tersenyum bahagia. Entah kenapa dia amat tertarik dengan gadis itu. Baginya Tihani tidak seperti gadis-gadis yang dia kenal. Walaupun kecantikan Tihani setaraf dengan kesemua teman wanitanya, tetapi ada sesuatu yang istimewa tentang gadis itu membuat hati lelakinya tertawan. Sayangnya usia semuda itu sudah menjadi ibu tunggal. Sekali lihat tubuh gadis itu tidak luak langsung persis anak dara. Itu jugalah yang dia sangka pada mulanya. Tetapi bila mengetahui cerita sebenar, rupanya gadis malang itu amat tabah. Walaupun nampak santun dan lembut tetapi hatinya kuat.

Dia teringin menemui gadis itu lagi. Lantas tangannya pantas mendial nombor Tihani.

“Hello.”

“Hello cik Tihani, apa khabar?”

“Oh, Iskandar. Saya sihat.”

“Kat mana ni? Macam bising aja?”

“Saya dekat KLCC ni dengan kawan.”

“Oh, dating ya?”

“Eh, tak adalah, kawan office. Nadia namanya.”

“Oh ok, sorry. Shopping ke?”

“Haah, tadi shopping, lepas tu dia ajak tengok wayang pulak.”

“Bestnya, tak ajak kita pun?”

“La, awak nak join ke? Marilah ke sini.”

“Wayang pukul berapa? Cerita apa?”

“Entahlah Nadia ni, saya ikut aja.”

“Okey, awak tunggu saya datang tau.”


Tihani tergelak. Macam bagus saja lelaki ni. Dia tahu lelaki itu tidak serius. Dia juga tidak serius menjemput lelaki itu. Sekadar ajak-ajak ayam.

“Okey, saya ingat nak pergi minum dulu.”

“Eloklah tu, dalam masa sejam saya sampai. Bye.”

Talian dimatikan. Tihani terpinga-pinga. Biar betul? Mereka berdua santai minum di Starbuck. Menjamu mata melihat orang yang lalu-lalang. Pelbagai ragam.

“Hani, lately aku tengok kau dengan encik Saiful makin intim aja?”

“Mana ada biasa aja.”

Tihani menjawab acuh tak acuh. Tidak memandang Nadia. Sudah dapat menebak bagaimana rupa temannya itu di saat ini.

“Biasa kau kata? Wei, hari tu aku terdengar dia tersasul panggil kau sayang.”

“Telinga lintah betul kau ni.”

“Eh, mana ada! Cuba kau tengok telinga aku ni, ini telinga manusialah.”

Tihani mencebik pada Nadia yang berpura-pura tidak faham bahasa. Dia menjeling geram. Nadia pula sudah tersengih.

“Dulu BM kau failed ya?”

“Wei, ceritalah pada aku apa yang berlaku. Yang aku perasanlah, lepas kau keluar lunch dengan dia hari tu, terus hubungan you both ala-ala teman tapi mesra gitu.”

“Kau ni memang busy body ya? Peka betul. Eloknya kau ni jadi reporter baru sesuai.”

Nadia tergelak besar. Tihani hanya mampu menghela nafas perlahan.

“Dia cakap dia in love dengan aku.”

“Hah? Jatuh cinta pada kau?”

Suara Nadia yang bagai pembesar suara itu menggamit perhatian di sekeliling mereka.

“Kau ni, cuba slow sikit. Malu tahu tak?”

“Sorry, habis tu apa jawapan kau?”

“Sama macam Fendi.”

Nadia tersenyum nipis.

“Be strong okey. Aku tahu kau boleh lalui semua ni. Ambil masa untuk fikir betul-betul.”

“Thanks Nadia.”

Tihani tersenyum hambar. Perbualan mereka terganggu dek telefon bimbit Tihani. Iskandar lagi?

“Hello Is?”

“Tihani awak kat mana? Saya dah ada kat KLCC ni.”

Tihani tersentak. Lelaki ini serius rupanya. Dia hanya main-main saja tadi.

“Saya dekat Starbuck.”

“Okey tunggu situ.”

Talian dimatikan. Tihani mengeluh perlahan.

“Siapa tu?”

“Iskandar.”

“Iskandar? Iskandar mana pulak ni? Bila masa kau ada kawan nama Iskandar? Boyfriend baru kau ke? Kat mana kau jumpa dia? Handsome ke?”

Bertubi-tubi soalan yang keluar dari mulut becok Nadia.

“Hisyy.. kau ni, Iskandar tu mamat yang aku hentam kereta dia tulah. Yang aku dinner dengan dia sebagai ganti rugi yang dia minta. Tak akan tak ingat? Kan aku dah cerita,”

“Oh, aku lupa. Kau bayar ke dinner tu? Bukan kau cerita mamat tu ke yang bayar?”

“Yelah, memang dia yang bayar, konon nak tunjuk gentlementlah tu. Katanya kesudian aku dinner dengan dia pun, dah cukup dianggap sebagai ganti rugi. Memang sweet talker mamat tu.”

Nadia tergelak halus. Matanya tidak berkelip melihat seorang jejaka tampan yang tinggi lampai menghampiri Tihani.

“Hai Tihani.”

Iskandar sudah tercegat di sebelah Tihani dengan senyuman yang tidak lekang di bibir. Senyumannya itu memang menawan hingga membuat Nadia terpesona seketika.

“Hai Is, how are you?”

Tihani menoleh dan membalas senyuman Iskandar.

“Saya sihat.”

“Kenalkan bestfriend saya, Nadia. Nadia inilah Iskandar yang aku cerita tu.”

Tihani saling memperkenal mereka.

“Hai sweety, saya Iskandar Haq. Panggil Is aja.”

Iskandar menghulurkan tangan. Tak kurang manis juga gadis ni. Senyumannya semakin lebar.

“Saya Nadia, Nadia Hanim.”

Menyambut huluran tangan Iskandar sambil tersenyum manis. Memang lelaki ini bermulut manis seperti yang Tihani katakan.

“So, cik Nadia sudah tahu pasal sayalah?”

“Ya, itu pun jenuh paksa cik kak kita ni suruh cerita.”

“Mesti yang buruk-buruk, kan?”

“Eh, mana ada. Tihani ni baik, dia tak suka memburuk-burukkan orang.”

“Dengar tu?”

Tihani mengangkat kening. Nadia dan Iskandar tertawa riuh.

“Dengar, saya tahu awak memang baik. Itu sebab saya nak jadi kawan awak.”

Tihani mula mencebik. Matanya beralih melihat Nadia yang asyik dengan telefon bimbitnya. Mungkin berbalas sms.

“Ha, kata tadi nak tengok wayang. Jadi ke?”

“Tak jadi, tiket habis. Kami terlambat.”

“Today is sundaykan, confirm penuh punya.”

“Itulah lupa.”

Mata Tihani beralih semula ke arah Nadia. Masih asyik dengan telefon.

“Kau kenapa? Senyum-senyum, sengih-sengih?”

“Itulah, saya pun tengok jugak tadi. Ingat kawan awak ni mental.”

Tihani tergelak.

“Dia memang mental pun. Jaga-jaga tau awak.”

“Amboi, amboi, sedapnya mulut you both mengata aku? Apa tadi? Mental? Aku jahit mulut tu karang baru tahu.”

Nadia menjeling geram. Berpura-pura marah.

“Alamak Hani, dia sudah marahlah.”

Mereka berdua tergelak.

“Sorrylah makcik, aku usya kau dari tadi asyik tersenyum simpul, tersengih-sengih macam kerang busuk tu, apa hal?”

“Haikal.”

“Kenapa dengan Haikal? Dia marah kau dating dengan aku ke?”

“Tak adalah. Dia on the way ke sini. So, aku ingat aku tak lamalah lepak dengan kau hari ni.”

“La, kau cakap tadi dia nak pergi Melaka?”

Tihani mula tidak sedap hati. Tak akanlah Nadia mahu tinggalkannya berduaan dengan Iskandar saja?

“Cancel, sorry ek. Kau lepaklah dengan Is ni. Boleh jugak kenal hati budi.”

“Nadia!”

Tihani menjerit geram. Sempat pula menjeling ke arah Iskandar. Nadia tergelak.

“Boleh, boleh no problem. Bukan setakat nak kenal hati budi, nak kenal family pun boleh.”

Iskandar yang dari tadi hanya mendengar perbualan kedua-dua gadis itu mula tersengih-sengih. Pucuk dicita ulam mendatang.

“Ala, relekslah Hani. Apa kata korang pergi main bowling ke, karaoke ke, makan ke?”

Ewah-ewah sedap saja Nadia mengaturnya untuk buat itu ini begitu begini. Tihani menjeling geram.

“Saya sokong. Awak pilihlah mana satu awak nak buat, saya ikut aja.”

Iskandar pula cuba menokok tambah membuat hati Tihani semakin sebal.

“Hani, kan kau kata nak cari dvd tadi kan? Kau tolong aku boleh tak?”

“Tolong apa?”

“Tolong cari dvd Selamat Pagi Cinta, boleh?”

Iskandar mengangkat kening. Cerita melayu?

“Selamat Pagi Cinta? Cerita apa tu? Siapa pelakonnya?”

Tihani juga berkedut kening. Sejak bila Nadia minat cerita melayu?

“Entah, aku pun tahu. Aku rasa Fazura dengan Sharifah Amani yang berlakon kot.”

“Kot? Boleh pulak kot-kot ya. Takkan awak nak tengok cerita tu tapi awak tak tahu siapa pelakonnya?”

Iskandar pula menyoal mewakili soalan yang ingin ditanya Tihani. Tihani hanya mengangguk.

“Bukan saya yang tengok, adik saya yang pesan. Budak remaja biasalah.”

“Hmm.. aku dah agak dah. Aku pun pelik jugak bila masa pulak kau minat cerita-cerita macam tu? Tak apalah nanti aku cari. Kalau adalah.”

“Thank you darling. Nanti aku bayar balik eh?”

Nadia tersengih. Dia melihat sms yang masuk ke dalam telefon bimbitnya sekali lagi.

“Okeylah, aku blah dulu. Haikal dah sampai, ada kat bawah. Aku pun tak nak kacau you both.”

Nadia mengangkat punggung sambil mengenyitkan matanya ke arah Tihani.

“Iskandar, nice to meet you. Jaga kawan saya ni baik-baik tau. Lain kali jumpa lagi.”

“Nice to meet you too, Nadia. Awak jangan risau saya akan sambung tugas awak untuk entertain your friend ni. Jumpa lagi ya.”

Mereka berjabat.

“Hani, jangan lupa dvd adik aku. Tolong ya.”

Nadia berlalu sambil melambaikan tangan. Tihani mengeluh perlahan. Sudah ditinggalkan Nadia. Tak pasal-pasal berdating dengan Iskandar pulak.

“Siapa Haikal? Boyfriend dia ya?”

“Tunang dia.”

“Oh, dah bertunang rupanya. Melepaslah saya.”

“Awak ni, sempat lagi ya?”

Tihani menjeling Iskandar yang sudah tersengih.

“Tak adalah main-main aja. Buat apa nak tackle orang punya. Yang single and available ada depan mata.”

Iskandar mula bermain dengan kata-kata. Tihani mula tidak senang duduk.

“So, kita nak ke mana lepas ni?”

“Up to you, saya ikut aja.”

“Kalau macam tu, saya rasa nak baliklah. Dah lama saya keluar ni.”

“Nope! Yang itu tak boleh. Lagipun Nadia amanahkan awak mencari dvd untuk dia, kan?”

“Tapi, kesian ummi saya kena jaga Mikhail sendirian. Dia pun nak berehat jugak.”

Tihani cuba memberi alasan yang difikirnya munasabah.

“Tak boleh. Nadia amanahkan saya untuk jaga awak dan saya telah berjanji dengannya untuk hiburkan awak.”

Tihani mencebik. Memang bermulut manis betul lelaki ini. Pandai sungguh mengambil kesempatan.

“So, boleh ya? Please.”

“Hmmm..,”

Tihani menggaru-garu dagu dengan jari runcingnya. Iskandar terpegun bila melihat aksi Tihani yang bersahaja itu.

“Macam nilah, tak payah nak fikir panjang lagi. Sekarang baru pukul 12.30 tengah hari, so kita pergi kedai dvd dulu, then kita pergi makan, then kita baliklah.”

Tihani merenung Iskandar yang sudah membuat keputusan untuknya. Senangnya?

“Atau awak tak nak balik lagi? Nak pergi main bowling ke? Pergi karaoke ke?”

“Eh, tak nak, tak nak, saya ikut cadangan yang pertama tadi.”

Tihani menggelabah. Main bowling? Dia tak pandai. Karaoke? Lagilah tak pandai. Kalau dia menyanyi bukan saja hujan lebat akan turun, malahan tsunami yang akan melanda Malaysia nanti. Tak mahulah, buat malu saja.

“Yang mana? Cari dvd then pergi makan?”

Tihani mengangguk lemah. Iskandar tersenyum lebar. Gelihati melihat gelagat Tihani yang nampak sedikit cemas. Susah sangat mahu menawan hati gadis itu. Tetapi dia tidak akan berputus asa, selagi gadis itu mengelak selagi itulah dia akan terus memikat.

“Kalau macam tu jomlah. Lambat balik nanti pengsan pulak ummi awak.”

Tihani tergelak halus. Betul juga. Cepat selesaikan, cepatlah dia pulang. Mereka mengangkat punggung dan berlalu dari situ. Tanpa mereka sedari sepasang mata sudah lama memerhatikan kemesraan mereka dari kejauhan. Sayu pandangan itu dan hatinya bagai terhiris pedih.